Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN PETALING JAYA DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SAMAN PEMULA NO – BB-59-1-01/2024 ANTARA LEONG YAN PING [IDENTITY CARD NO.: 920520105714] [HISHAM YOONG - K C LIM] …PLAINTIF DAN HONG JUN SENG [IDENTITY CARD NO.: 920208105621] [C.S. TAN SEAH & PARTNERS] …DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN (RAYUAN INTERLOKUTORI) LATARBELAKANG KES Ini adalah rayuan Perayu/Plaintif LEONG YAN PING [IDENTITY CARD NO.:920520105714], melalui Notis Rayuan di Lampiran 14 atas keseluruhan keputusan Mahkamah selain keputusan yang diputuskan selepas perbicaraan yang diberi pada 24 haribulan April 2024, terhadap keseluruhan keputusan bahawa tuntutan Perayu/Plaintif terhadap Responden/Defendan ditolak. DAPATAN MAHKAMAH [1] Mahkamah telah meneliti Saman Pemula, Afidavit-afidavit, hujahan bertulis dan otoriti kedua-dua pihak. Saman Pemula Lampiran 1 adalah permohonan Plaintif untuk perintah seperti berikut: 1) Bahawa Defendan membayar nafkah kepada Plaintif sebanyak RM3,115.00 sebulan atau sekian banyak yang diperintahkan oleh Mahkamah yang Mulia ini bermula dari Februari 2023; dan 2) Bahawa Defendan membayar nafkah kepada anak-anak sah iaitu Hong Zhi Hao (No. Sijil Kelahiran DAA75441/No. Mykid:200616-10-1261) dan Hong Zhi Fei (No. Sijil Kelahiran EA9174/No. Mykid:220727-10-1924) sebanyak RM5,400.00 sebulan bagi kedua-dua anak tersebut atau sekian banyak yang diperintahkan oleh Mahkamah yang Mulia ini bermula dari Februari 2023; dan 3) Nafkah-nafkah kepada Plaintif dan anak-anak tersebut di atas akan dinaikkan pada kadar 5% setahun untuk setiap tahun bermula dari Tarikh perintah ini; dan 4) Bahawa kos permohonan ini ditanggung oleh Defendan atas dasar peguamcara – anakguam; dan 5) Perintah dan/atau relif selanjutnya yang difikirkan sesuai dan adil Mahkamah yang Mulia ini. [2] Alasan permohonan Plaintif adalah dinyatakan dalam affidavit sokongan yang mana antara lain menyatakan bahawa: 1) Pada 2/1/2020, Plaintif dan Defendan telah berkahwin secara sah di sisi undang-undang dan dikurniakan 2 orang anak. 2) Pada tahun 2019, atas permintaan Defendan, Plaintif telah berhenti kerja sebagai seorang jurujual dengan gaji sebanyak RM2,000.00 sebulan untuk menjaga anak. 3) Sejak perkahwinan, Defendan sering berkelakuan kasar, tidak memberi nafkah dan tidak menjaga kebajikan Plaintif dan anak-anak dan telah menyebabkan penderaan mental kepada Plaintif dan anak-anak. 4) Terdapat beberapa insiden di mana Defendan telah memukul Plaintif. Memandangkan kelakuan Defendan tersebut, Plaintif pada malam 7/2/2023 telah balik ke rumah ibubapa Plaintif tanpa membawa apa-apa barang keperluan harian termasuk pakaian dan sehingga kini, Defendan tidak pernah mengembalikan barangan tersebut kepada Plaintif. 5) Sejak 7/2/2023 itu juga, Defendan tidak pernah memberikan apa-apa nafkah kepada Plaintif dan anak-anak. 6) Plaintif tidak dapat keluar bekerja kerana anak-anak masih kecil dan ibubapa sakit serta mendapat bantuan PPUM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. 7) Kini Plaintif, 2 anak dan ibubapa tinggal dirumah papan yang disewa dan dalam keadaan menderita. 8) Plaintif menanggung perbelanjaan anak dan keperluan kewangan dengan bergantung kepada sumbangan dan derma jiran-jiran. 9) Defendan merupakan ejen hartanah dan mempunyai tarfa kewangan dan kehidupan yang baik. Keluarga Defendan juga adalah peniaga yang mewah dan kaya. 10) Plaintif telah beberapa kali menghubungi Defendan dan keluarga Defendan untuk meminta bantuan kewangan bagi kegunaan anak-anak tetapi tidak diendahkan. [3] Defendan telah memfailkan affidavit jawapan yang mana antaranya menyatakan seperti berikut: 1) Adalah tidak masuk akal untuk Defendan mengarahkan Plaintif berhenti kerja pada tahun 2019 bagi menjaga anak-anak memandang mereka hanya berkahwin pada 2/1/2020. 2) Defendan tidak pernah meminta Plaintif berhenti kerja bahkan menyokong Plaintif untuk bekerja agar masing-masing boleh membantu membina dan menyara keluarga. 3) Defendan telah menjalankan tugas sebagai seorang suami dan bapa dengan baik, penuh kasih sayang dan telah menyediakan keperluan kehidupan yang baik kepada Plaintif dan anak-anak serta sering membawa Plaintif dan anak-anak bercuti. 4) Defendan menafikan ada berkelakuan kasar terhadap Plaintif. Plaintif gagal mengemukakan apa-apa bukti kukuh dan tidak pernah membuat laporan polis jika ada kekasaran oleh Defendan. 5) Plaintif sengaja mereka cerita yang tidak benar bagi menutup kesalahannya yang telah secara tiba-tiba lari dari rumah bersama anak-anak tanpa kebenaran, kerelaan dan alasan yang munasabah. 6) Selepas Plaintif membawa anak-anak keluar dari rumah, Defendan sudah tidak dapat berhubung dna berbincang dengan Plaintif bagi menyelesaikan perkara ini. 7) Plaintif juga telah menghalang Defendan untuk berjumpa dengan anak-anak dan telah bersikap untuk hidup berdikari dan ingin hidup bersama anak-anak tanpa Defendan sebagai suami dan ayah. 8) Defendan telah cuba memujuk Plaintif dan berusaha untuk berbaik/berdamai dan memujuk Plaintif dan anak-anak untuk pulang ke rumah tetapi Plaintif berdegil dan enggan. Plaintif yang berkera untuk tinggal berasingan daripada Defendan. 9) Tuntutan nafkah oleh Plaintif adalah tidak munasabah memandangkan Plaintif tidak taat kepada Defendan sebagai suami yang masih sah dan menolak pelawaan dan permintaan ikhlas Defendan untuk kembali hidup bersama. 10) Adalah lebih adil untuk tanggungjawab menyara anak dan perbelanjaan keluarga ditanggung bersama-sama dan Plaintif masih muda dan boleh bekerja bagi menyara hidupnya dan keluarga mereka. 11) Defendan sanggup berbincang dan ingin yang terbaik bagi mereka serta tidak ingin terus berbalah dan tinggal berasingan seperti sekarang. 12) Defendan tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan bergantung kepada komisyen penjualan hartanah yang berjaya. Sejak Covid-19, sector penjualan hartanah merosot dan Defendan telah hilang punca pendapatan. 13) Gambar-gambar yang diambil oleh Plaintif dalam eksibit adalah gambar-gambar lama dan tidak menunjukkan kesenangan dan kemewahan Defendan. 14) Defendan juga menanggung perbelanjaan dna komitmen hidup dan tidak mampu memenuhi keperluan bulanan yang dicadangkan oleh Plaintif. 15) Defendan menafikan bahawa Plaintif ada menghubungi Defendan dan keluarga Defendan bahkan Plaintif mengelak untuk berkomunikasi dan berbincang dengan Defendan. 16) Taraf hidap keluarga Defendan tidak ada kena mengena dengan perkahwinan ini. Defendan bekerja sendiri untuk menanggung keluarga dan bukan ditanggung oleh ibubapa atau keluarga Defendan. 17) Plaintif dan Defendan masih pasangan suami isteri yang sah dan belum bercerai. [4] Mahkamah merujuk kepada peruntukan yang digunapakai oleh Plaintif dalam permohonan di Saman Pemula ini. Plaintif dalam tindakan ini memohon di bawah Seksyen 3 Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Nafkah) 1950. Akta ini juga dikenali sebagai Akta 263. Seksyen 3 adalah seperti berikut: