Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN SIVIL NO: BA-23NCvC-39-09/2021 ANTARA LEOW HSIAD HUI … PLAINTIF DAN RAVI A/L MUNIANDY … DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN
BA-23NCvC-39-09/2021
High Court of Malaysia8 Feb 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“hen was) has clearly laid down the necessary procedure in establishing claim for libel (with which we agree), when he said at p 361 (MLJ); p 155 (CLJ): "In our law on libel, which is governed by the Defamation Act 1957, the burden of proof lies on the plaintiff to show (1) the words are defamatory; (2) the **Note : Ser”
“mendapati dalam keseluruhan konteks Hantaran FB tersebut, kenyataan sedemikian bukanlah berbaur fitnah. Mahkamah merujuk kes Review Publishing Co Ltd. And Another v Lee Hsien Loong and Another Appeal [2009] SGCA 46, Mahkamah Rayuan Singapura memutuskan: **Note : Serial number will be used to verify the originality of t”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN SIVIL NO: BA-23NCvC-39-09/2021 ANTARA LEOW HSIAD HUI … PLAINTIF DAN RAVI A/L MUNIANDY … DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN
1
Plaintif memulakan tindakan libel terhadap Defendan atas kiriman yang dipaparkan pada 17 Julai 2020 di akaun Facebook Defendan yang dikenali sebagai "Bhagawan Ji", (Hantaran FB) yang dikatakan mencemar reputasi Plaintif dengan penyebaran pernyataan yang tidak benar kepada orang ramai melalui laman Facebook.
2
Tindakan ini dimulakan pada 3 September 2021 untuk menuntut ganti rugi fitnah (libel), ganti rugi atas kepalsuan niat jahat, dan injunksi bagi menghalang Defendan daripada membuat penerbitan berkenaan Plaintif. 08/05/2024 11:41:56 BA-23NCvC-39-09/2021 Kand. 91
3
Pada 5 Ogos 2020, Plaintif yang juga dikenali sebagai June Leow, telah membaca satu hantaran bertarikh 17 Julai 2020 di laman Facebook akaun milik Defendan yang diberi nama "Bhagawan Ji" yang mengandungi gambar Plaintif dengan kandungan seperti berikut: “Yang Berhormat YB June Leow Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mana Hilang Duit Ratusan Ribu Ringgit Pembinaaan Bangunan Tambahan SJK Tamil Escort? RM 300,000 diperuntukkan Kerajaan PKR Selangor dan Orang PKR sendiri MEMPERMAINKAN peruntukan tersebut. Boleh klasifikasikan ini sebagai KECURIAN atau PECAH AMANAH? PKR Hulu Selangor & Ahli Parlimen tidak peduli hal pembinaan sekolah yang tergendala sejak 2015? Ahli Parlimen YB June tutup mata sebab penyelewengan ini melibatkan orang parti sendiri? Tak nak ambik tahu kerana ini SJK Tamil tak penting bagi PKR Hulu Selangor atau Ahli Parlimen? Saya mohon Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato Seri Anwar Ibrahim panggil Ahli Parlimen Hulu Selangor ‘sound’ minta penjelasan dan selesaikan. Jangan sampai PKR dilabel sebagai Parti yang tidak peduli atau membela sekolah tamil seperti yang berlaku di sekolah tamil ladang escort Hulu Bernam ini.”
4
Plaintif juga menyatakan lanjutan daripada Hantaran FB tersebut, terdapat kenyataan berunsur fitnah oleh Defendan di ruangan komen catatan Facebook Defendan (Facebook Comments) seperti berikut:
4
4.1 “Mohammad Haikal sahabat ini perkara Ahli Parlimen dah lama tahu. Orang parti orang kanan sendiri. Takkan AP bagi arahan settlekan”;
4
4.2 “AP adalah wakil PKR. Walaupun peruntukan Kerajaan Negeri tapi melalui PKR juga masuk sekolah tu. Kite mohon selesaikan tapi langsung tiada feedback”;
4
4.3 “Orang politik PKR masuk campur kacau projek tu. Ketua parti kena betulkan perangai pemimpin bawahan”;
4
4.4 “Yang war warkan peruntukan adalah usaha PKR dulu kurang sebut nama kerajaan negeri. Nama PKR yang meletup cari publisiti”;
4
4.5 “Ketua Cabang PKR kena ambik tindakan kebetulan Ahli Parlimen lagi.”;
4
4.6 “Sypudin Ramli lapor SPRM boleh tapi pembinaan lagi akan ambik masa berahun tahun lagi. Saya minta Ahli Parlimen panggil minta selesaikan hal ini supaya murid dah boleh Masuk kelas baru.”;
4
4.7 “Jamil Jaafar tak akan layan hal ehwal masyarakat. Bab buli , maki org dia layan hihi”
5
Ketika hantaran tersebut dibuat, Plaintif merupakan Ahli Parlimen Daerah Hulu Selangor di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR).
6
Plaintif menyatakan bahawa pernyataan tersebut merujuk kepada dirinya dan mengandungi kenyataan yang tidak benar dan palsu, menyebabkan persepsi negatif terhadapnya, menjejaskan reputasi, kebolehpercayaan, dan kewibawaannya sebagai seorang Ahli Parlimen dan tokoh politik, serta menyebabkan kerugian kepadanya.
7
Lanjutan dari itu, Plaintif telah membuat laporan polis No. repot: BK SENTOSA/004018/20 pada 7 Ogos 2020.
8
Melalui surat bertarikh 14 Ogos 2020, Defendan telah menerangkan kepada Plaintif bahawa Hantaran FB dan komen tersebut tidak bermaksud untuk menuduh atau memfitnah Plaintif. Sebaliknya, komen tersebut adalah bertujuan untuk membawa kepada perhatian Plaintif mengenai isu projek terbengkalai dan kehilangan dana yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah oleh PKR. Defendan juga telah memohon maaf kepada Plaintif.
9
Pada 28 September 2020, Plaintif melalui peguam caranya, Tetuan Nazrin Nasir T. Anand & Co. telah membalas surat Defendan serta menghantar Notis Tuntutan kepada Defendan, yang antara lain menuntut supaya Defendan :- a. Defendan menerbitkan di dalam surat khabar pilihan Plaintif, dan membuat satu catatan Facebook (Facebook Post) pada laman akaun Facebook “Bhagawan Ji”, satu penarikan balik dan permintaan maaf sepenuhnya dan selengkapnya (full and unqualified retraction) seperti yang diluluskan dan dipersetujui Plaintif; b. memberi jaminan dan aku janji secara bertulis (written assurance and undertaking) bahawa Defendan akan berhenti secara segera penerbitan dan/atau perbincangan perkara ini dan/atau membuat kenyataan yang berkaitan terhadap Plaintif; c. mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah tersebut dari Facebook dengan segera; d. memberi pampasan kepada Plaintif sejumlah RM 1,000,000.00 untuk kerosakan reputasi, mengakibatkan malu dan distres yang ditimbulkan dan untuk membuktikan sejauh mungkin reputasinya (vindicate, as far as is now possible, her reputation); e. memberi aku janji untuk tidak membuat penerbitan mengenai Plaintif pada masa yang akan datang.
10
Melalui surat bertarikh 5 November 2020 Defendan telah sekali lagi memohon maaf kerana membuat rujukan kepada Plaintif dalam hantaran tersebut, walaupun bukan Plaintif yang dituduh. Defendan juga memberi cadangan untuk memadamkan hantaran tersebut, memohon maaf secara terbuka di akaun Facebooknya dengan memberi penjelasan bahawa Plaintif tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan kehilangan RM300,000.00, dan memberi perakuan bertulis bahawa beliau tidak akan mengaitkan Plaintif dengan dakwaan tersebut. Seterusnya, Defendan menjelaskan bahawa beliau berada dalam kesulitan kewangan akibat pandemik Covid-19 dan oleh itu tidak dapat membuat permohonan maaf di surat khabar yang akan menelan kos yang tinggi. Atas alasan yang sama, Defendan juga tidak mampu membayar RM1,000,000.00 yang dituntut oleh Plaintif kerana amaun tersebut adalah tidak munasabah bagi tujuan menyelesaikan pertikaian tetapi hanya untuk memberi tekanan kepada Defendan.
11
Pada 31 Mei 2021, Plaintif melalui peguam caranya, telah memaklumkan Defendan yang antara lain, tidak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dikemukakan Defendan.
12
Oleh kerana Defendan gagal untuk memenuhi tuntutan Plaintif, Plaintif telah memfailkan tuntutan ini terhadap Defendan, yang antara lain menuntut :- a. ganti rugi am dalam jumlah yang ditaksirkan sebagai bersesuaian oleh Mahkamah Yang Mulia ini; b. ganti rugi teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Yang Mulia ini; c. faedah pada kadar 5% setahun ke atas amaun tuntutan (a) dan (b) di atas dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh; d. suatu injunksi untuk menghalang Defendan sama ada secara tersendiri, melalui pekerja-pekerja atau ejen-ejen Defendan atau dalam apa cara sekalipun, daripada menyiarkan atau dalam apa cara sekalipun, daripada menyiarkan atau menyebabkan penyiaran perkataan-perkataan memfitnah Plaintif atau perkataan-perkataan seumpama dengannya; e. perintah untuk Defendan menerbitkan di dalam surat khabar pilihan Plaintif, dan membuat satu catatan Facebook (Facebook Post) pada laman akaun Facebook “Bhagawan Ji”, satu penarikan balik penuh dan permintaan maaf (full and unqualified retraction) yang dipersetujui Plaintif; f. suatu perintah untuk mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah tersebut dari Facebook dengan segera; g. kos permohonan ini ditanggung oleh Defendan kepada Plaintif; h. faedah pada kadar 5% setahun untuk kos dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh; dan i. apa-apa relif lain sebagaimana yang difikirkan patut dan adil oleh Mahkamah Yang Mulia ini.
13
Pihak Plaintif telah memanggil lima (5) orang saksi, iaitu: a. SP1 - Leow Hsiad Hui (Plaintif) b. SP2 - Natasha Nabila binti Rani (pembantu peribadi Plaintif) c. SP3 - Kanagaraja a/l Allagasen (Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor/kenalan Plaintif) d. SP4 - Law Zhi Yong (kenalan Plaintif) e. SP5 - Rajan a/l Kannan (Naib Ketua Cabang PKR
14
Defendan pula telah memanggil dua (2) orang saksi yang berikut: a. SD1 - Ravi a/l Muniandy (Defendan) b. SD2 - Mohd Ridhwan bin Omar (pegawai penyiasat SPRM)
15
Pihak-pihak telah bersetuju bahawa isu-isu untuk dibicarakan adalah seperti berikut: i. Sama ada perkataan-perkataan yang diterbitkan oleh Defendan pada 17 Julai 2020 melalui Laman Media Sosial Facebook, pada laman akaun “Bhagawan Ji” mengandungi unsur fitnah (defamatory). ii. Sama ada perkataan-perkataan yang diadukan yang diterbitkan oleh Defendan adalah merujuk secara langsung (direct reference) dan/atau boleh difahami sebagai merujuk kepada Plaintif. iii. Sama ada melalui surat Defendan bertarikh 14/08/2020 kepada Plaintif, Defendan mempunyai kesedaran atau sepatutnya mempunyai kesedaran bahawa hantaran Defendan digunakan untuk menyerang Plaintif. iv. Sama ada Defendan boleh diberikan perlindungan di bawah pembelaan Komen Berpatutan dan/atau boleh diberikan perlindungan di bawah pembelaan perlindungan bersyarat di bawah Common Law. v. Sama ada Plaintif berhak terhadap relif-relif yang diplidkan di Perenggan 21 (a) sehingga (i) Pernyataan Tuntutan bertarikh 3 September 2021 dan/atau boleh bergantung kepada fakta- fakta yang diplidkan dalam Perenggan 13(a) hingga Perenggan 13(h) Pembelaan bagi tujuan mengurangkan gantirugi selaras dengan peruntukan di bawah Aturan 78 kaedah 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
16
Undang-undang berhubung fitnah adalah mantap. Merujuk kes Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd v Hue Shieh Lee [2019] 3 MLJ 720, Mahkamah Persekutuan telah menjelaskan berkenaan fitnah. Mahkamah menyatakan: “[29] Defamation is committed when the defendant publishes to a third person words or matters containing untrue imputation against the reputation of the plaintiff. Liability for defamation is divided into two categories, that of libel and slander. If the publication is made in a permanent form or is broadcast or is part of a theatrical performance, it is libel. If it is in some transient form or is conveyed by spoken words or gestures, it is slander (see: Gatley on Libel and Slander (9th Ed) at p 6). [30] In Ayob Saud v. TS Sambanthamurthi [1989] 1 MLJ 315; [1989] 1 CLJ 152; [1989] 1 CLJ (Rep) 321, His Lordship Mohamed Dzaiddin J (as he then was) has clearly laid down the necessary procedure in establishing claim for libel (with which we agree), when he said at p 361 (MLJ); p 155 (CLJ): "In our law on libel, which is governed by the Defamation Act 1957, the burden of proof lies on the plaintiff to show (1) the words are defamatory; (2) the words refer to the plaintiff; and (3) the words were published. …” [31] In other words, the plaintiff must prove three elements of the tort of defamation, which are:
a
the plaintiff must show that the statement bears defamatory imputations;
b
the statement must refer to or reflect upon the plaintiff’s reputation; and
c
the statement must have been published to a third person by the defendant.” [32] What is “defamatory imputation”? There is no precise test to be applied to determine whether or not any given words are defamatory. His Lordship Mohamed Azmi J (as he then was) in the case of Syed Husin Ali v Sharikat Penchetakan Utusan Melayu Berhad & Anor [1973] 2 MLJ 56 at p 58, quoting Gatley on Libel and Slander, (6th Ed) p 4, stated the following: "There is no wholly satisfactory definition of a defamatory imputation. Any imputation which may tend ‘to lower the plaintiff in the estimation of right thinking members of society generally’, ‘to cut him off from society’ or ‘to expose him to hatred, contempt or ridicule’, is defamatory of him. An imputation may be defamatory whether or not it is believed by those to whom it is published." It was further quoted that: "A defamatory imputation is one to a man’s discredit, or which tends to lower him in the estimation of others, or to expose him to hatred, contempt or ridicule, or to injure his reputation in his office, trade or profession, or to injure his financial credit. The standard of opinion is that of right thinking person’s generally...”
17
Oleh itu bagi membuktikan satu tindakan fitnah libel, tiga (3) elemen utama hendaklah dibuktikan oleh Plaintif. Elemen-elemen tersebut adalah: a. Plaintif mesti menunjukkan bahawa pernyataan itu mempunyai imputasi atau maksud fitnah. b. pernyataan fitnah itu mesti merujuk kepada atau mencerminkan reputasi Plaintif. c. pernyataan itu mestilah telah diterbitkan kepada orang ketiga oleh Defendan.
18
Di dalam kes ini Defendan telah mengaku bahawa Defendan telah membuat Hantaran FB tersebut yang diterbitkan di akaun Facebook bernama “Bhagawan Ji” pada 17 Julai 2020. Defendan juga mengaku bahawa pemilik akaun Facebook tersebut adalah beliau. Oleh itu elemen ketiga iaitu bahawa Hantaran FB tersebut telah diterbitkan adalah diakui.
19
Maka, Plaintif hanya perlu membuktikan elemen pertama dan kedua, iaitu, pernyataan itu mempunyai imputasi atau maksud fitnah dan pernyataan fitnah itu merujuk kepada atau mencerminkan reputasi Plaintif.
20
Plaintif dalam plidingnya telah menyatakan pernyataan fitnah tersebut telah diterbitkan oleh Defendan di dalam laman media Facebook yang kebanyakannya dianggotai oleh penduduk sekitar Daerah Hulu Selangor dan masyarakat umum termasuk kenalan serta ahli keluarga Plaintif.
21
Plaintif seterusnya telah memplidkan bahawa pernyataan fitnah tersebut adalah merujuk kepada dan/atau boleh difahami merujuk kepada Plaintif kerana Defendan telah secara jelas menyatakan nama Plaintif, jawatan rasmi dan gambar Plaintif.
22
Plaintif selanjutnya memplidkan dalam maksudnya yang biasa dan lazim dan/atau dalam maksud inferensnya, pernyataan fitnah tersebut bermaksud dan difahamkan untuk bermakna: a. Plaintif adalah seorang yang tidak jujur dan bertanggungjawab atau memainkan peranan dalam menyalahgunakan wang peruntukan kerajaan dengan menyatakan Plaintif telah mempermainkan wang peruntukan kerajaan; b. Plaintif telah terbabit atau disyaki telah terbabit dalam jenayah curi atau pecah amanah; c. Plaintif mengendahkan atau disyaki telah mengendahkan tugas rasminya; c. Plaintif telah atau disyaki telah menyalahgunakan jawatan rasminya. e. secara alternatif, pernyataan fitnah tersebut adalah dimaksudkan untuk memperkecilkan Plaintif dalam jawatannya.
23
Plaintif memplidkan bahawa Defendan mengetahui dan/atau seharusnya mengetahui bahawa pernyataan fitnah tersebut adalah tidak benar dan palsu serta akan membawa kerosakan kepada Plaintif dan selanjutnya akan menyinggung perasaan Plaintif.
24
Seterusnya Plaintif memplidkan Defendan telah memburuk-burukkan Plaintif dan menjatuhkan maruah serta reputasi baik Plaintif dengan menggunakan pernyataan fitnah tersebut.
25
Plaintif seterusnya memplidkan oleh sebab penerbitan pernyataan fitnah tersebut, Plaintif sebagai seorang Ahli Parlimen, tokoh politik dan masyarakat telah menghadapi tanggapan negatif, skandal awam, kebencian dan cemuhan atau kemarahan, kesangsian dan penghinaan dan telah mengalami kerosakan dan tersinggung perasaannya.
26
Juga, oleh sebab penerbitan pernyataan fitnah tersebut, Plaintif sebagai seorang Ahli Parlimen, tokoh politik dan masyarakat telah rosak kebolehpercayaan, kewibawaan dan reputasi dan telah tersinggung perasaannya.
27
Juga, oleh sebab penerbitan pernyataan fitnah tersebut, Plaintif sebagai seorang Ahli Parlimen, tokoh politik dan masyarakat telah dipandang rendah oleh orang yang berfikiran wajar amnya dan tersinggung perasaannya.
28
Defendan dalam Pembelaannya telah menafikan bahawa pernyataan dalam Hantaran FB beliau adalah berunsur fitnah yang merujuk kepada Plaintif.
29
Defendan selanjutnya memplidkan bahawa Hantaran FB yang dibuat olehnya adalah atas perkara yang melibatkan kepentingan awam, khususnya untuk masyarakat Tamil di Hulu Selangor.
30
Pernyataan dalam Hantaran FB tersebut mengandungi soalan atau permintaan yang munasabah dan yang perlu dijawab dari segi moral, politik atau undang-undang, memandangkan Plaintif adalah wakil rakyat dan Defendan adalah pengundi beliau.
31
Selanjutnya, Defendan menyatakan fakta yang dinyatakan dalam Hantaran FB adalah benar kerana dana sebanyak RM300,000.00 yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2015 bagi tujuan pembinaan satu blok baharu, yang mengandungi tiga bilik darjah di SRJK (T) Ladang Escot di Hulu Selangor (Sekolah Tamil Ladang Escot), tidak digunakan sepenuhnya bagi tujuan tersebut sehingga menyebabkan projek pembinaan tersebut terbengkalai sehingga 2020. Defendan juga menjelaskan bahawa “Orang PKR” adalah rujukan kepada Pengerusi PIBG SRJK (T) Ladang Escot, S. Ananthan @ Anand Subban, yang merupakan ahli PKR dan juga Ketua Komuniti Kaum India DUN Hulu Bernam yang dilantik oleh, atau dengan pengesyoran, Plaintif.
32
Defendan seterusnya memplidkan bahawa pernyataan dalam Hantaran FB tersebut merupakan komen berpatutan kerana ia boleh dibuat secara jujur dan munasabah oleh mana-mana orang yang berfikiran adil (fair minded person) yang mempunyai pengetahuan mengenai fakta yang benar tersebut.
33
Defendan juga telah membangkitkan pembelaan komen berpatutan (fair comment) dan perlindungan bersyarat (qualified priviledge), jika Mahkamah mendapati pernyataan dalam Hantaran FB tersebut bersifat fitnah yang merujuk kepada Plaintif.
34
Setelah meneliti semua keterangan dokumentari dan lisan yang dikemukakan di hadapan Mahkamah serta setelah menimbangkan hujahan bertulis dan hujahan lisan pihak Plaintif dan Defendan, Mahkamah mendapati Plaintif telah gagal untuk membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa Hantaran FB yang dibuat oleh Defendan mempunyai imputasi atau maksud fitnah terhadap Plaintif secara nyata (direct) atau tersirat (indirect) dan ianya merujuk kepada atau mencerminkan reputasi Plaintif. Alasan saya adalah seperti yang diterangkan di bawah.
35
Dalam menentukan sama ada sesuatu kenyataan itu adalah merupakan fitnah, Mahkamah hendaklah meneliti Hantaran FB tersebut dalam konteks ‘maksud semula jadi dan biasa’ (in their natural and ordinary meaning) dan sama ada ‘orang yang munasabah’ berkemungkinan memahami kenyataan itu sebagai suatu fitnah (a reasonable man would be likely to understand the statement in a defamatory way).
36
Berdasarkan ujian ‘orang yang munasabah’ (the reasonable man test) dan standard pendapat orang yang berfikiran betul secara umum (standard of opinion of right-thinking person in general), Mahkamah ini mendapati pernyataan dan perkataan yang digunakan dalam Hantaran FB Defendan dalam maksud semula jadi dan biasa seperti yang difahami oleh ‘orang yang munasabah’, yang tidak terlalu curiga, atau gemar untuk skandal, tidak akan menyimpulkan maksud kandungan Hantaran FB tersebut sebagai fitnah.
37
Selanjutnya, Mahkamah mendapati pernyataan dalam Hantaran FB Defendan jika diambil dalam konteks yang dikatakan, tidak mungkin mengaitkan sebarang kenyataan fitnah terhadap Plaintif.
38
Setelah meneliti Hantaran FB dengan teliti Mahkamah mendapati walaupun Hantaran FB tersebut telah dihantar kepada Plaintif dan menyebut nama dan jawatan rasmi Plaintif, namun jika diteliti Hantaran FB tersebut secara objektif dan keseluruhan, pernyataan tersebut merupakan persoalan-persoalan yang diajukan kepada Plaintif, berhubung satu penyelewengan wang dana yang berlaku di Sekolah Tamil Ladang Escot, yang melibatkan seorang individu dari parti PKR, yang mana Plaintif adalah Ahli Parlimen di kawasan tersebut. Mahkamah mendapati soalan-soalan yang telah diajukan oleh Defendan selaku pengundi kawasan tersebut adalah berkenaan kepentingan awam iaitu berhubung sekolah yang merupakan public domain. Pada penelitian Mahkamah, Hantaran FB tersebut tidak menyatakan atau memberi imputasi bahawa Plaintif lah yang telah menyelewengkan, dan/atau mencuri dan/atau melakukan pecah amanah wang dana tersebut. Oleh itu Mahkamah mendapati tuduhan penyelewengan, mencuri dan pecah amanah yang dikatakan dalam Hantaran FB tersebut tidak merujuk kepada Plaintif, tetapi merujuk kepada seorang individu lain dari Parti PKR.
39
Fakta bahawa terdapat penyelewengan berhubung dana Sekolah Tamil Ladang Escot adalah benar. SD2, pegawai penyiasat SPRM telah mengesahkan bahawa SPRM Selangor sedang menyiasat berkenaan tuntutan palsu pembinaan blok sekolah di Selangor bernilai RM300,000.00 yang berlaku enam (6) tahun terdahulu dan bahawa tangkapan beberapa orang telah dibuat termasuk bekas PIBG sekolah tersebut. Walaupun SD2 tidak dapat mendedahkan secara terperinci berhubung sekolah yang terbabit serta individu yang terbabit disebabkan penyiasatan masih sedang dijalankan, namun keterangan beliau adalah selari dengan keterangan SD1 yang membuat laporan kepada SPRM berhubung penyelewengan wang dana RM300,000.00 di Sekolah Tamil Ladang Escot dan bahawa pengerusi PIBG sekolah tersebut iaitu S. Ananthan @ Anand Subban yang merupakan ahli parti PKR telah direman oleh SPRM kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM300,000.00 berhubung projek pembinaan tersebut pada tahun 2016.
40
Oleh itu, terdapat keterangan di hadapan Mahkamah bahawa terdapat unsur penyelewengan berhubung dana sekolah tersebut. Terdapat juga keterangan yang menunjukkan terdapat kelewatan dalam pembinaan tambahan di sekolah tersebut, yang mana Plaintif sendiri bersetuju terdapat bangunan terbengkalai di sekolah tersebut. Tambahan lagi, saksi-saksi Plaintif iaitu SP2 dan SP3 juga telah mengesahkan terdapat penyelewengan dan/atau kelewatan dalam pembinaan tambahan di Sekolah Tamil Ladang Escot. Oleh itu soalan-soalan dalam Hantaran FB tersebut yang dikemukakan kepada Plaintif selaku Ahli Parlimen kawasan adalah relevan, untuk menarik perhatian Plaintif untuk mengambil tindakan perlu selaku Ahli Parlimen. Hantaran FB tersebut juga jelas meminta masalah Sekolah Tamil Ladang Escot itu diselesaikan dengan segera.
41
Mahkamah tidak mendapati perkataan-perkataan dalam Hantaran FB tersebut mempunyai maksud bahawa terdapat alasan yang munasabah untuk mengesyaki Plaintif telah melakukan penyelewengan, mencuri atau pecah amanah.
42
Mahkamah bersetuju dengan hujahan Defendan bahawa jika pun ada tuduhan terhadap Plaintif, ianya hanyalah bahawa Plaintif telah tutup mata iaitu membawa maksud Plaintif tidak ambil peduli tentang masalah di Sekolah Tamil Ladang Escot, namun Plaintif tidak memplidkan maksud tuduhan tersebut. Walau bagaimanapun, Mahkamah mendapati dalam keseluruhan konteks Hantaran FB tersebut, kenyataan sedemikian bukanlah berbaur fitnah. Mahkamah merujuk kes Review Publishing Co Ltd. And Another v Lee Hsien Loong and Another Appeal [2009] SGCA 46, Mahkamah Rayuan Singapura memutuskan: “[127] It is clear from the above passages that the propositions enunciated by the various judges in Chakravarti are all consistent with Diplock LJ’s statement in Slim that the plaintiff may not rely on a meaning which is more defamatory than that which he has pleaded (and, similarly, the court may not find that the offending words bear a more defamatory meaning than that which has been pleaded) …” [emphasis added]
43
Mahkamah juga mendapati Plaintif gagal membuktikan Hantaran FB tersebut telah menjatuhkan reputasinya sehingga beliau tidak dicalonkan semula untuk bertanding untuk posisi Ahli Parlimen Daerah Hulu Selangor bagi pilihan raya berikutnya. Plaintif sendiri mengakui dalam pemeriksaan balas bahawa beliau tidak menerima apa-apa surat tunjuk sebab atau pernah dipanggil untuk memberikan apa-apa penjelasan berhubung isu yang ditimbulkan dalam Hantaran FB tersebut oleh pihak atasan PKR atau Pakatan Harapan (PH). Beliau juga mengakui beliau tidak dipanggil oleh pihak polis atau pihak SPRM untuk siasatan mengenai isu tersebut. Maka Mahkamah mendapati tiada bukti untuk menunjukkan Hantaran FB tersebut, yang sebenarnya tidak merujuk kepada perbuatan penyelewengan, curi atau pecah amanah terhadap Plaintif, telah memberikan apa-apa impak kepada reputasi Plaintif. Dakwaan Plaintif bahawa Plaintif tidak dicalonkan semula untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen di Hulu Selangor lantaran dari Hantaran FB Defendan adalah spekulasi semata-mata tanpa apa-apa bukti yang dikemukakan oleh Plaintif untuk menunjukkan keputusan sedemikian telah diambil oleh pihak atasan PKR terhadap Plaintif.
44
Mahkamah mendapati Plaintif telah gagal membuktikan bahawa Hantaran FB tersebut telah mencederakan reputasinya dan/atau telah mendedahkannya kepada cemuhan, penghinaan atau menjatuhkan martabatnya secara nyata (direct) atau tersirat (indirect). Tiada apa-apa bukti yang dikemukakan oleh Plaintif untuk membuktikan dakwaan tersebut. Keterangan saksi-saksi Plaintif juga tidak memberikan apa-apa bukti bahawa reputasi Plaintif telah tercemar. Mahkamah mendapati saksi-saksi Plaintif adalah kenalan Plaintif sendiri. Dakwaan bahawa pertanyaan oleh orang parti PKR atau orang awam berhubung Hantaran FB tersebut hanyalah dikatakan melalui panggilan telefon dan pertanyaan. Tiada hantaran (posting) tambahan dalam Facebook atau media sosial lain, tiada laporan dalam akhbar-akhbar harian dan sebagainya. Saksi-saksi juga tidak mengemukakan apa-apa bukti lain berhubung dakwaan tersebut.
45
Mahkamah juga mendapati Plaintif gagal membuktikan Defendan telah melakukan kepalsuan niat jahat (malicious falsehood).
46
Mahkamah telah meneliti keterangan serta demeanor Plaintif (SP1) dan mendapati sepanjang keterangan diberikan di Mahkamah beliau cuba untuk mengelak persoalan yang diutarakan oleh peguam Defendan. Kenyataan beliau tidak konsisten dan sering menjawab tidak tahu atau tidak maklum kepada soalan-soalan yang agak ketara jawapannya. Masalah di Sekolah Tamil Ladang Escot wujud dan adalah benar dan sekolah tersebut adalah dalam kawasan Plaintif. Walaupun pada hakikatnya beliau selaku Ahli Parlimen kawasan Hulu Selangor seharusnya mempunyai pengetahuan dan bertanggungjawab berhubung kepentingan awam di kawasan beliau namun keengganan beliau untuk memberikan keterangan yang jujur berhubung permasalahan di sekolah tersebut adalah ketara. Mahkamah mendapati jawapan Plaintif yang sering mengatakan tidak tahu atau tidak maklum memberikan inferens bahawa Plaintif langsung tidak ambil peduli mengenai apa yang sedang berlaku di kawasan beliau, atau beliau memilih untuk tidak memberikan keterangan yang jujur. Pada keseluruhannya, Mahkamah mendapati keterangan Plaintif agak mencurigakan dan beliau tidak memberikan keterangan yang jujur.
47
Sebagai contoh, Mahkamah merujuk keterangan Plaintif ketika disoal balas oleh peguam Defendan: “SS : Puan tahu atau tidak SPRM telah menangkap PIBG SJKT Escot kerana salah guna RM300,000.00 yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor? June : Yang Arif, saya tidak ada maklumat. SS : Tiga orang tersebut adalah Sivanesan, Jayanthi dan S Ananthan. S Ananthan ini adalah pengerusi PIBG. Puan setuju atau tidak tiga orang ini yang kena tangkap? June : Yang Arif, saya tidak ada maklumat. SS : Tak. Puan tahu atau tak tahu? June : Saya tak ada maklumat. SS : Tak ada maklumat ni macam ada orang kena supply the maklumat to you. I’m not asking whether you have been informed. Whether, you know or you don’t know? June : Saya tak tahu. SS : Setuju atau tidak puan, Ananthan Subban tu atau S. Anathan tu adalah pengerusi PIBG. Dia adalah ahli PKR, setuju? June : Dia adalah ahli PKR. Setuju. SS : Ok. Saya katakan, S. Ananthan, pengerusi PIBG, SJKT Escot telah ditangkap selepas aduan dibuat oleh Defendan. Saya cadangkan, Puan tak tahu? June : Yang Arif, boleh tak bagi jelas sikit apa yang ditanya? SS : Pengerusi PIBG, tak apa saya terangkan Puan. Pengerusi PIBG, S. Ananthan iaitu seorang ahli PKR. Dia telah ditahan oleh SPRM. Bersangkut dengan salah guna dana RM300,000.00 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri. Puan tahu atau tak tahu? June : Yang Arif, saya tidak tahu. SS : Saya cadangkan kepada Puan yang Puan langsung tidak mengambil tahu isu yang berlaku di kawasan Hulu Selangor ketika Puan menjadi Ahli Dewan Rakyat untuk kawasan tersebut. Ini cadangan saya. June : Tidak benar Yang Arif. SS : Tadi Puan kata, 2018, 2019, Puan ada melawat Sekolah Escot sempena Hari Sukan dan sebagainya. Puan tak nampak ada bangunan yang terbengkalai di situ? Bangunan bilik darjah. Bangunan satu tingkat yang ada tiga bilik darjah, yang ada tiang sahaja, atap sahaja. Dinding, lantai apa pun tak ada. Puan tak nampak kah? Semasa melawat sekolah itu? June : Ya, saya nampak. SS : Ok. Kalau Puan nampak, ada tak Puan tanya siapa-siapa di situ kenapa bangunan ini terbengkalai? Ada tanya tak? June : Saya tanya soalan itu sejak 2015, masa saya jadi ahli majlis, bukan masa jadi Ahli Parlimen. SS : …Soalan saya ialah pada 2018/2019, ok, sebelum posting yang dibuat oleh Defendan ini, Puan telah melawat sekolah itu untuk urusan lain, urusan sukan. Dan Puan kata Puan terlihat bangunan yang terbengkalai. Bangunan satu tingkat yang ada tiga bilik darjah itu. Soalan saya ialah ada tak Puan tanya siapa-siapa, apakah jawapan Puan? Saya tak clear tadi. Puan ada tanya atau tidak, Puan kata ada? June : Saya ada rujuk kepada guru besar dan juga ada dengan PIBG. SS : Baik, apa jawapan yang diberi oleh guru besar dan PIBG itu? June : Jawapan yang diberikan oleh guru besar, mereka akan berusaha dan mendapatkan dana yang lebih daripada kerajaan negeri untuk siapkan bangunan itu. SS : Ok, maksudnya pada tahun 2018, Puan dah tahulah masalah sekolah itu? Ada tak Puan tanya berapa you dah dapat, berapa lagi you nak, ada tak Puan tanya? June : Tak pernah saya tanya. SS : Pada ketika itu Puan tahu tak, RM300,000 telah pun diberikan kepada sekolah itu untuk menyiapkan satu bangunan, tiga bilik darjah itu pada ketika itu, 2018? June : Saya dimaklumkan oleh guru besar. SS : RM300,000? June : Yes. SS : Puan ada minta tak breakdown, bagaimana RM300,000 itu digunakan? June: Yang Arif, pembangunan peruntukan yang dapat daripada kerajaan negeri itu di bawah bidang kuasa PIBG. Jadi saya tak ada kuasa untuk mendapatkan maklumat, itu semua serah kepada PIBG. SS : Baik. Jikalau Puan tidak ada kuasa, kenapa Puan dimaklumkan tentang RM300,000 itu? June : Saya tanya kepada guru besar. SS : Jadi Puan setujulah Puan ada hak untuk bertanya? June : Saya ada hak bertanya tapi saya tak ada hak untuk meminta apakah projek yang dibuat oleh PIBG. SS : Puan tanya kenapa bangunan projek itu terbengkalai, Puan diberitahu RM300,000 telah diberikan tapi dah habis, saya perlukan dana lagi banyak. Dan Puan tak tanya breakdown? June : Saya tak dimaklumkan peruntukan RM300,000 itu habis. Saya juga-SS : Kalau perlukan dana yang lebih besar, yang RM300,000 itu dah habislah. June : Saya hanya dimaklumkan peruntukan itu, RM300,000 disalurkan oleh PIBG, oleh kerajaan negeri Selangor. SS : Dan RM300,000 itu tak cukup, mereka perlukan dana. June : Saya tak dimaklumkan cukup ke tak cukup. SS : Tadi Puan bagitahu dana yang lebih besar diperlukan, kenapa dia beritahu? June : Lepas tu saya baru tanya. SS : Puan tanya? June : Ya. SS : Puan tanya apa? June : Lepas itu saya tanya kenapa belum siap lagi. SS : Ok. Jawapan Puan, apakah jawapan diberi? June : Mereka perlukan penambahan peruntukan. SS : Selepas itu Puan ada tanya tak, kenapa nak dana yang lebih besar? June : Tak ada. SS : Tak tanya? Ok. Sebab itu saya katakan Puan, Puan bersikap tidak peduli dengan perkembangan di kawasan di mana Puan menjadi Ahli Dewan Rakyat. Sekarang Puan setuju? June : Tak setuju. SS : Tak setuju? Baik Puan saya merujuk pada SP1, iaitu penyata saksi saksi, ms 2 jawapan kepada soalan 3. … SS : …Puan saya bacakan jawapan Puan. “walaupun bukan tugas rasmi, sebagai ahli parlimen kawasan Hulu Selangor, kerja-kerja inisiatif tambahan saya adalah seperti berikut, menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat Hulu Selangor.” Sekiranya Puan dengan jujur telah melakukan tugas ini, iaitu menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat Hulu Selangor, sudah pastilah Puan akan bertanya lebih sedikit kepada guru besar bagaimana RM300,000 itu dibelanjakan, berapa banyak kamu perlukan lagi dan kemudian Puan akan cuba bantu untuk dapatkan dana tambahan sekiranya perlu. June : Tidak benar.”
48
Keterangan di atas menunjukkan Defendan mempunyai asas untuk berpandangan bahawa Plaintif tidak ambil peduli terhadap permasalahan di sekolah tersebut walaupun Plaintif adalah Ahli Parlimen di kawasan tersebut. Keterangan di atas juga menunjukkan bagaimana Plaintif cuba mengelak dan berdolak-dalik dalam memberikan jawapan yang jujur kepada soalan yang diutarakan oleh peguam Defendan.
49
Mahkamah juga mendapati saksi-saksi lain bagi pihak Plaintif juga cuba mengelak dan berdolak-dalik dari menjawab soalan berkenaan isu Sekolah Tamil Ladang Escot dan berhubung Hantaran FB tersebut. Saksi-saksi Plaintif juga cuba mengelak soalan-soalan yang diutarakan oleh peguam Defendan dengan menjawab tidak tahu atau tidak pasti kepada soalan yang ketara jawapannya. Mahkamah mendapati keterangan saksi-saksi bagi pihak Plaintif adalah disesuaikan menurut cara tertentu untuk menyokong kes Plaintif (the Plaintiff’s witnesses’ evidence was tailored in a certain manner to support the Plaintiff’s case).
50
Maka atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, Mahkamah mendapati Plaintif telah gagal untuk membuktikan elemen pertama dan kedua berhubung kenyataan fitnah, iaitu, Hantaran FB tersebut mengandungi pernyataan yang mempunyai imputasi atau maksud fitnah dan pernyataan fitnah itu merujuk kepada atau mencerminkan reputasi Plaintif. Oleh yang demikian Mahkamah mendapati Plaintif telah gagal membuktikan tuntutannya terhadap Defendan atas imbangan kebarangkalian.
51
Oleh kerana Mahkamah mendapati Hantaran FB tersebut tidak mengandungi pernyataan fitnah yang merujuk kepada Plaintif, maka Mahkamah tidak perlu untuk meneliti pembelaan komen berpatutan (fair comment) dan perlindungan bersyarat (qualified priviledge) yang dibangkitkan oleh Defendan.
52
Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, Mahkamah dengan itu telah memerintahkan tuntutan Plaintif terhadap Defendan ditolak dengan kos sebanyak RM30,000 tertakluk kepada alokatur. Bertarikh: 8 Mei 2024 t.t. JAMHIRAH ALI PESURUHJAYA KEHAKIMAN Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam (NCVC1) Kepada peguam pihak-pihak: Pihak Plaintif : Datuk Anandan P.Thatchanamoorthy & Nur Fatin Farzana binti Mohd Redzuan (Tetuan Nazrin Nasir T.Anand & Co.) Pihak Defendan : Dr. Shamser Singh Thind & Gunamalar a/p Joorindanjn (Tetuan Gunamalar Law Chambers)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.