Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN RAYUAN SIVIL NO.: BA-12B-81-11/2023 Antara LIM A/L DIN GEN …PERAYU Dan DAKRIM BIN DAUD … RESPONDEN (Didengar Bersama) DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN RAYUAN SIVIL NO.: BA-12B-85-11/2023 Antara DAKRIM BIN DAUD … PERAYU Dan LIM A/L DIN GEN …RESPONDEN Dalam Mahkamah Sesyen Di Kuala Kubu Bharu Dalam Negeri Selangor Darul Ehsan Saman No: BF-A53KJ-152-11/2019 Antara Dakrim bin Daud ... Plaintif Dan Lim a/l Din Gen ... Defendan S/N o3P3lm80yEmYdByV6gNudw ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Lim a/l Din Gen, Perayu (Lim) merupakan Defendan dalam guaman di Mahkamah Sesyen, Kuala Kubu Bharu, telah merayu terhadap sebahagian keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) mengenai isu kuantum gantirugi am yang dibenarkan berjumlah RM330,500.00 dan kehilangan keupayaan pendapatan masa hadapan berjumlah RM700,000.00. [2] HMS juga telah memutuskan bahawa Lim bertanggungan 50% dan Plaintif/Responden (Dakrim) juga bertanggungan 50% cuai. Lim selanjutnya diperintahkan untuk membayar kepada Dakrim sejumlah RM552,417.50 (atas dasar 50%) dan kos tindakan RM44,632.92. [3] Dakrim tidak berpuas hati dengan keputusan 50% liabiliti (dan juga kuantum) terhadapnya maka kedua-dua pihak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan HMS. [4] Setelah meneliti Rekod Rayuan dan mendengar hujahan pihak-pihak, saya membenarkan rayuan Dakrim mengenai peratusan liabiliti dan mengubah keputusan HMS kepada Lim cuai dan bertanggungan 100% terhadap Dakrim. [5] Mengenai kuantum untuk gantirugi am, saya tidak menggangu keputusan HMS kecuali untuk untuk closed fracture head of right fibula, saya benarkan sejumlah RM20,000.00. Begitu juga dengan gantirugi khas, kos yang diputuskan HMS dikekalkan melainkan mengenai kos kehilangan keupayaan pendapatan masa hadapan yang mana telah saya benarkan sejumlah RM1,464,900.00 (tanpa faedah). S/N o3P3lm80yEmYdByV6gNudw [6] Kedua-dua pihak kini merayu ke Mahkamah Rayuan dan alasan keputusan saya adalah sepertimana berikut. Fakta kes [7] Pada 31.1.2016, Dakrim menunggang motorsikal berkuasa tinggi jenis Aprillia daripada arah Rawang menghala ke Kuala Kubu Bharu manakala Lim memandu sebuah kereta jenis Perodua Viva dari arah Kuala Kubu Baru membelok ke kanan menuju ke Stesen KTM Serendah. [8] Semasa menghampiri lampu isyarat simpang empat berhampiran stesen KTM, Dakrim mengatakan lampu isyarat sudah bewarna hijau dan Lim dikatakan membelok ke kanan menyebabkan Dakrim tidak sempat mengelak dan terlanggar kereta Lim yang membelok ke kanan arah Stesen KTM. Lim pula mengatakan lampu isyarat untuk beliau membelok ke kanan masih hijau semasa dia membelok masuk. [9] Perlanggaran adalah pada sebelah kiri kereta Lim mengakibatkan motosikal jatuh dan terseret manakala Dakrim tercampak ke tepi jalan dan tidak sedarkan diri. Dakrim telah mengalami kecederaan pada bahagian lengan, bahu, tangan, pergelangan tangan, peha, pelvis, bengkak di kedua-dua lutut dan patah tulang. [10] Pada hari kejadian, seorang rakan Dakrim juga ada bersama di tempat kemalangan iaitu SP5. [11] Dakrim telah dirawat di Hospital Selayang dan menjalani lima (5) kali pembedahan. Beliau juga telah mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur bagi kecederaan tangan yang melibatkan tiga belas (13) kali pembedahan. [12] Dakrim telah membuat laporan polis pada 13.4.2016 manakala Lim telah membuat dua (2) laporan polis pada 31.1.2016 dan 5.5.2016. S/N o3P3lm80yEmYdByV6gNudw [13] Dalam kes ini terdapat empat (4) lagi laporan polis dibuat oleh SP5, seorang saksi bebas, SP2, rakan Dakrim yang kebetulan berada ditempat kejadian dan laporan dari pemilik motosikal yang ditunggang oleh Dakrim. [14] Dalam mempertimbang isu liabiliti, HMS telah melihat kepada fakta-fakta berikut: