(c) hakim bicara gagal menghargai kes pembelaan sewajarnya. [25] Berkenaan isu (a), peguam terpelajar menghujahkan SP7 dan SP8 menghuni rumah tersebut bersama-sama seorang anak mereka dan menetap di salah sebuah bilik di rumah berkenaan (bilik tengah). Peguam menegaskan bahawa kedua-dua saksi ini tampil memberikan keterangan berkenaan siapakah yang tinggal di rumah dan di bilik-bilik di dalam rumah berkenaan dan berpandukan keterangan SP7 dan SP8, tertuduh ialah satu-satunya individu yang berada di dalam bilik berkenaan. Seterusnya, peguam menghujahkan bahawa kedua-dua saksi ini merupakan saksi berkepentingan “interested witnesses’ kerana mereka ialah suami isteri, pernah ditangkap dan dituduh bersama-sama dengan tertuduh malahan kedua-dua mereka telah dilepaskan dan dibebaskan untuk menjadi saksi pendakwaan. Tambahan lagi, keterangan SP7 juga harus diterima dengan berhati-hati dan memerlukan keterangan sokongan kerana SP7 ada membuat dakwaan bahawa pihak polis telah meletakkan kunci rumah B206 di dalam biliknya. Oleh yang demikian, peguam menegaskan keterangan mereka harus diragui, tidak boleh dipercayai, dan diberikan sekadar untuk melepaskan diri mereka. [26] Berkenaan isu (b), peguam menghujahkan bahawa ‘Wee Chong Seng’ iaitu penyewa rumah berkenaan tidak ditangkap pada hari kejadian. Ditegaskan keterangan ini jelas menunjukkan bahawa Wee Chong Seng ini sebenarnya melarikan diri setelah serbuan dilakukan oleh pihak polis ke atas premis berkenaan bersama-sama dengan penemuan dadah di 11 dalam bilik yang didudukinya. Wong Chee Seng bukanlah satu karakter rekaan. Dia sememangnya wujud dan kegagalan siasatan terperinci oleh pihak pendakwaan serta kegagalan mengemukakan Wong Chee Seng itu untuk memberikan keterangan membolehkan anggapan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950 terpakai. Tambahan pula, peguam menghujahkan bahawa tertuduh hanya menumpang di bilik Wong Chee Seng dan tidak mempunyai akses kepada rumah tersebut kerana tidak memiliki kunci rumah. Kehadiran Wong Chee Seng sememangnya amat diperlukan untuk menutup kelompangan berkaitan pemilikan dadah terhadap tertuduh yang amat diragui. [27] Bagi isu (c) pula, perayu menghujahkan bahawa hakim bicara telah gagal menghayati pembelaan yang dikemukakan oleh perayu. Pembelaan tertuduh telah pun berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. [28] Timbalan Pendakwa Raya pula dalam menangkis dakwaan peguam menyatakan bahawa pembelaan tertuduh hanyalah penafian semata-mata. Keterangan, yang melimpah ruah, menunjukkan bahawa tertuduh ialah orang yang mendiami bilik berkenaan lebih dari satu tahun sebelum serbuan dibuat. Keterangan ini dihujahkan menyangkal dakwaan tertuduh bahawa dia hanya berada di situ atas dasar menumpang bilik Wong Chee Seng. Selain isu pindaan atas pertuduhan kedua, pendakwaan menyokong keputusan hakim bicara sebagai tepat dan betul dalam keadaan kes ini. 12 Keputusan Kami [29] Setelah memperhalus rekod rayuan ini, kami sebulat suara bersetuju dengan dapatan hakim bicara. Kami mendapati penemuan yang dibuat oleh hakim bicara disokong jamin atau diwajarkan (warranted) oleh keterangan yang mencukupi dan selaras dengan penemuan tersebut, keputusan yang dibuat tidak menyimpang dan tidak mewajarkan campur tangan kami. [30] Mengenai isu (a), iaitu keterangan SP7 dan SP8 yang dikatakan tidak meyakinkan, diragui, memerlukan keterangan sokongan dan sekadar melepaskan diri daripada pertuduhan, kami tidak nampak adanya kekuatan dalam hujahan ini. Kami berpuas hati dengan dapatan dan penilaian teliti yang dibuat oleh hakim bicara sebagaimana yang berikut: “[19] Sekarang saya akan terlebih dahulu menyentuh isu-isu yang dibangkitkan oleh peguambela tertuduh di dalam hujahan bertulisnya: i) Bilik dimana dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA dijumpai adalah bilik Wee Chong Sen. Keterangan SP7 dan SP8 dengan jelas menunjukkan bahawa tertuduh mendiami bilik dimana dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA dijumpai (bilik kiri) dan bilik kiri tersebut bukannya didiami oleh Wee Chong Sen. Wee Chong Sen mendiami bilik kanan. Di dalam pemeriksaan balas, SP7 tidak bersetuju dengan cadangan peguambela tertuduh bahawa Wee Chong Sen tinggal di bilik kiri tersebut. Fakta bahawa mereka pernah ditangkap, direman dan dituduh bersama-sama dengan tertuduh dalam kes ini tetapi dibebaskan untuk menjadi saksi pendakwaan tidak boleh dikatakan bahawa keterangan mereka tidak boleh dipercayai. Keterangan SP7 dan SP8 telah diuji dalam pemeriksaan balas. Keterangan mereka adalah sejajar (consistent), mantap dan tidak digoyah semasa pemeriksaan balas. Keterangan mereka juga tidak ada percanggahan yang ketara. Oleh itu kebolehpercayaan mereka amat meyakinkan dan boleh dipercayai kebenaran keterangan mereka. Mereka adalah saksi yang boleh dipercayai (credible). 13 SP7 mengakui di dalam pemeriksaan balas bahawa beliau marah dan berang kepada tertuduh atas apa yang berlaku kepada beliau dan isterinya (SP8). SP7 mungkin mempunyai dendam terhadap tertuduh atas apa yang berlaku. Dalam keadaan sedemikian keterangan beliau mestilah diperlakukan dengan berhati-hati dan memerlukan sokongan (Magendran a/l Mohan v PP [2011] 6 MLJ 1). Keterangan SP7 bahawa tertuduh mendiami bilik kiri tersebut adalah disokong oleh keterangan SP8. Keterangan SP7 juga disokong oleh keterangan SP6 dan SP11 dimana ketika serbuan dibuat hanya tertuduh seorang sahaja yang berada di dalam bilik kiri tersebut. Memang benar keterangan SP7 tentang kunci premis B206 adalah bercanggah dengan keterangan SP6 dan SP11. SP7 menyatakan pihak polis yang meletakkan kunci tersebut di dalam biliknya (bilik belakang) manakala SP6 dan SP11 menyatakan kunci tersebut dijumpai di dalam bilik SP7. Tetapi adakah percanggahan tersebut sangat material sehingga menjejaskan kes pendakwaan. Pada pendapat saya percanggahan ini tidak menjejaskan kebolehpercayaan SP7 sebagai saksi. Ini kerana keterangan SP7 bahawa tertuduh mendiami bilik kiri tersebut adalah sejajar dengan keterangan SP6 dan SP11 bahawa tertuduh berada di dalam bilik kiri tersebut ketika serbuan dibuat. Keterangan SP7 dengan keterangan SP6 dan SP11 tentang perkara ini langsung tidak bercanggah. Percanggahan keterangan SP7 dengan SP6 dan SP11 tentang kunci premis B206 bukanlah sesuatu yang relevan dan sangat material dan ianya tidak menjejaskan kes pendakwaan terhadap tertuduh kerana apa yang penting adalah dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA dijumpai di dalam bilik yang didiami tertuduh dan tertuduh berada seorang diri dalam biliknya pada masa material. Begitu juga dengan kelakuan SP7 cuba menutup pintu kayu premis tersebut apabila SP6 kenalkan diri sebagai polis dan meluru masuk ke biliknya di belakang selepas SP6 bersama anggota pasukannya berjaya masuk ke dalam premis tersebut walaupun tidak ada penjelasan dari SP7 tentang pelakuannya itu, saya berpendapat ianya bukanlah sesuatu yang penting dan tidak relevan kerana tidak ada apa-apa dadah yang dijumpai dalam bilik yang didiami SP7 dan SP8 sebaliknya dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA adalah dijumpai di dalam bilik yang didiami tertuduh. Tidak terdapat keterangan untuk menunjukkan bilik dimana dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA dijumpai (bilik kiri) adalah bilik Wee Chong Sen dan tertuduh hanya tumpang untuk bermalam di bilik kiri tersebut pada hari kejadian. Juga tidak ada keterangan baju kotak-kotak, seluar berwarna coklat, sepasang 14 kasut dan gambar berbingkai yang berada dalam almari tempat dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA dijumpai adalah milik dan atau alamari tersebut digunakan oleh Wee Chong Sen. Keterangan SP7 dan SP8 dengan jelas menunjukkan bilik kiri dimana dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA dijumpai adalah bilik yang didiami tertuduh manakala Wee Chong Sen mendiami bilik kanan. Berkenaan dengan seluar pendek milik SP8 (P29(a)) yang dijumpai oleh SP9 di dalam bilik kanan dimana SP8 gagal menjelaskannya, pada pendapat saya ini hanya menunjukkan bahawa SP8 mempunyai akses kepada bilik kanan tersebut. Namun begitu, ianya tidak menjadi isu kerana dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA adalah dijumpai di dalam bilik kiri yang didiami oleh tertuduh dan tidak ada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa SP8 mempunyai akses kepada bilik kiri tersebut.” [31] Seterusnya, hakim bicara membuat dapatan yang berikut di muka surat 45: “49. Mahkamah menerima keterangan SP7 dan SP8. Tidak ada sebab untuk Mahkamah menolak keterangan mereka. Mereka telah memberi keterangan yang jelas, konsisten, mantap dan tidak ada percanggahan yang ketara. Keterangan mereka langsung tidak digoyah semasa pemeriksaan balas. Keterangan mereka juga langsung tidak tercabar semasa pemeriksaan balas. Tertuduh setuju semasa diperiksa balas oleh TPR, bahawa dia tidak ada apa-apa pertelingkahan dengan SP7 sebelum ini. Oleh itu tidak ada apa-apa alasan untuk SP7 menganiaya tertuduh dengan memberi keterangan yang tidak benar. Mahkamah juga menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan yang lain. Keterangan mereka adalah konsisten, mantap dan tidak ada percanggahan ketara. Keterangan mereka tidak digoyah, tidak tercabar semasa pemeriksaan balas. Tidak ada sebab untuk Mahkamah menolak keterangan mereka.” [32] Kami berpuas hati dengan kupasan dan rumusan hakim bicara di atas. Memandangkan rumusan di atas melibatkan penemuan fakta yang melibatkan penilaian kredibiliti para saksi, undang-undang kini mantap bahawa keistimewaan itu diberikan kepada hakim bicara dan hanya akan 15 kami ganggu jika dapat ditunjukkan adanya kekhilafan yang nyata yang dilakukan oleh hakim bicara. Kami tidak nampak adanya kelemahan dan kekhilafan yang nyata dalam rumusan dan dapatan hakim bicara itu. [33] Berkenaan isu (b), kami juga berpendapat tidak ada juga kekuatan dalam hujahan peguam. Kami mendapati hakim bicara telah menimbangkan keterangan berkenaan dengan kegagalan pihak pendakwaan memanggil Wee Chong Sen dalam penghakimannya dengan betul dan baik sekali sebagaimana yang berikut: “19 (ii) Anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan terpakai terhadap pihak pendakwaan kerana gagal memanggil Wee Chong Sen untuk memberi keterangan. Memang benar dari keterangan Yee Soo Kiat (SP11) dan P1, Wee Chong Sen telah menyewa premis tersebut. Tetapi setiap bilik di dalam premis tersebut didiami oleh orang yang berlainan. SP7 dan SP8 mendiami bilik belakang, Wee Chong Sen mendiami bilik kanan dan tertuduh mendiami bilik kiri. SP1 tidak tahu ada orang lain di premis tersebut selain Wee Chong Sen, SP7 dan SP8. Pada masa material hanya tertuduh seorang diri berada dalam biliknya dimana dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA dijumpai. Tanpa keterangan Wee Chong Sen pihak pendakwaan telah membuktikan tertuduh mendiami bilik kiri dimana dadah Methamphetamine, Ketamine dan MDMA dijumpai dan pada masa material hanya tertuduh seorang diri berada di dalam biliknya. Oleh itu Wee Chong Sen bukanlah seorang saksi yang penting dan material kepada kes ini (Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492). Tidak timbul persoalan bahawa keterangan Wee Chong Sen jika dipanggil akan memudaratkan kes pendakwaan. Maka anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan tidak terpakai dengan kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Wee Chong Sen memberi keterangan. Juga tidak terdapatnya gap (lompangan) di dalam kes pendakwaan dengan kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Wee Chong Sen memberi keterangan (Abdullah Zawawi v PP [1985] 2 MLJ 16.)” [34] Seterusnya hakim bicara juga telah mengulas dengan lanjut di muka surat 43, alasan penghakimannya seperti yang berikut: 16 “42. Sebenarnya tertuduh telah mendiami bilik kiri tersebut lebih dari satu tahun sebelum serbuan dibuat. Bilik kiri tersebut bukanlah bilik Ah Wee. Keberadaan tertuduh di dalam bilik kiri tersebut bukanlah sepertimana keterangan tertuduh. Keterangan SP7 dan SP8 jelas menunjukkan tertuduh mendiami bilik kiri tersebut manakala Ah wee mendiami bilik kanan. Tidak ada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa barang-barang dalam almari di bahagian kanan adalah milik Ah Wee. Keterangan tertuduh bahawa Ah Wee telah mengalihkan barang-barang dia dari bahagian pintu kiri ke bahagian pintu kanan almari untuk beliau meletakkan barang-barangnya di bahagian pintu kiri almari adalah ditolak oleh Mahkamah. Tertuduh telah mendiami bilik kiri tersebut lebih dari satu tahun. Tertuduh mendiami bilik kiri tersebut seorang diri. Tidak ada keraguan bahawa tertuduhlah yang mendiami bilik kiri tersebut. Pihak pendakwaan telah menunjukkan kemungkinan Ah Wee mempunyai akses ke atas bilik kiri tersebut sebelum serbuan telah dikecualikan (excluded). Dengan demikian hanya tertuduh yang mempunyai milikan dan kawalan eksklusif ke atas bilik kiri tersebut.” [35] Selanjutnya, pegawai penyiasat SP12 telah menjelaskan bahawa segala usaha telah dilakukan untuk menjejak Wee Chong Sen. Ini dapat dilihat di rekod rayuan Jilid 2B, muka surat 281-282: “Q: Ada tuan rakam statement Wee Chong Sen ini? A: Tiada Q: Tiada, ya. Kenapa tak rakam tuan? A: tiada dikesan. Q: Ok tuan tak rakam statement dia sebab dia gagal dikesan? A: Ya Q: Ok start from here. Sejak bila gagal dikesan? A: kita tak jumpa berkaitan dengan dia di situ, dokumennya tak jumpa. Q:Sejak bila tak dapat dikesan, tuan? A: selepas kejadian itu. Q: Selepas kejadian dia gagal dikesan? A: Ya 17 Q: Untuk tujuan bicara, ada cuba cari dia for the last time? A: Tiada Q: Setuju dengan saya. Tuan. Sebelum ini effort usaha telah dilakukan oleh pihak tuan untuk mengesan Wee Chong Sen ini tetapi gagal? A: setuju.” [36] Daripada petikan-petikan di atas, kami tidak nampak kelemahan atau kekhilafan hakim bicara yang tidak mempercayai dan tidak menerima hujahan peguam bahawa ketiadaan Wee Chong Sen telah memudaratkan kes pendakwaan. Kami berpuas hati bahawa Wee Chong Sen bukanlah seorang saksi penting. Tambahan lagi, tidak ada unsur penyembunyian atau penindasan secara sengaja dilakukan semata-mata untuk menggagalkan atau memudaratkan pembelaan tertuduh-rujuk antara lain Nanda Kumar Kunyikanan & Anor v PP [2011] 8 CLJ 406, dan PP v Mansor Md Rashid & Anor [1997] 1 CLJ 233. [37] Kami juga berpuas hati bahawa hujahan bagi isu (c) tidak mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi kami untuk mengakas keputusan hakim bicara. Alasan yang sama di atas juga terpakai dalam menjawab isu (c) yang dikemukakan oleh pihak tertuduh. Kami berpendapat hakim bicara telah menilai dengan sedalamnya semua keterangan yang ada dan seterusnya mempertimbangkan pembelaan yang dibangkitkan oleh perayu. Dakwaan perayu bahawa hakim bicara telah gagal mempertimbangkan sewajarnya pembelaan perayu ternyata tersasar. Kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara di muka surat 44 dan 45 rekod rayuan yang menyatakan: “46. Pembelaan tertuduh bahawa beliau datang dari Yong Peng ke Muar pada 8.9.2012 setelah menerima tawaran bekerja dari Ah Wee untuk menjaga ikan-ikan di premis tersebut, Ah Wee menjemput dan 18 membawa beliau ke premis tersebut, beliau menumpang sementara di bilik kiri iaitu bilik Ah Wee sehingga bilik kanan yang kosong dimana beliau akan mendiaminya setelah dilengkapkan dengan perabot, beliau tidak mendiami bilik kiri, bilik kiri tersebut adalah bilik Ah Wee, bahagian pintu kanan almari digunakan oleh Ah Wee, beliau menghisap syabu di dalam bilik kiri tersebut setelah diajak oleh Ah Wee, dadah tersebut bukan kepunyaannya tetapi kepunyaan Ah Wee, beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang kewujudan dadah tersebut, adalah penafian semata-mata untuk menafikan bahawa sebenarnya beliau telah mendiami bilik kiri tersebut lebih dari satu tahun, mendiaminya seorang diri, hanya beliau yang mempunyai milikan dan kawalan eksklusif ke atas bilik kiri tersebut seterusnya mempunyai milikan ke atas dadah tersebut.