“Common Plan”. KEPUTUSAN MAHKAMAH [12] Sebelum Mahkamah ini menyentuh isu spesifik yang dibangkitkan oleh peguam terpelajar pemohon mengenai perbandingan nilaian tanah, adalah molek sekiranya Mahkamah ini menyatakan dahulu asas-asas Mahkamah ini dalam memutuskan untuk mengekalkan award responden semasa perbicaraan siasatan tanah. [13] Pertama sekali, adalah perlu untuk disebut di sini bahawa kedua-dua pengapit yang membantu Mahkamah ini telah menyatakan pandangan masing-masing, yang mana pandangan tersebut adalah lebih kurang sama dan yang paling penting pada penghujungnya sepakat dalam menyatakan nilaian responden sebanyak RM5,500.00 smp bagi tanah tersebut dan nilaian bangunan sebanyak RM246,100.00 adalah munasabah dan sesuai. [14] Untuk nilaian tanah, Mahkamah ini telah meneliti dua lot perbandingan sepunya yang terkandung di dalam kedua-dua laporan penilai pemohon dan penilai kerajaan iaitu PTB 24599, Bandar Johor Bahru, Persiaran Abu Bakar yang mana nilaian dan PTB 24600, Bandar Johor Bahru, Persiaran Abu Bakar dan bersetuju dengan pandangan pengapit-pengapit bahawa kedua-duanya adalah sesuai untuk dijadikan perbandingan berikutan faktor lokasi yang lebih berhampiran dengan tanah tersebut dan masa transaksi jual beli iaitu sekitar tahun 2019 – 2020 yang lebih hampir dengan tarikh pengambilan tanah tersebut berbanding lot-lot perbandingan lain yang lebih jauh kedudukannya dan lebih lama tarikh transaksinya. [15] Selain itu, Mahkamah juga bersetuju dengan pandangan pengapit-pengapit mengenai faktor-faktor pelarasan lain yang boleh mempengaruhi nilai bahawa kadar pelarasan yang ditunjukkan di dalam laporan penilaian kerajaan adalah lebih munasabah berbanding laporan penilaian swasta yang didapati membuat pelarasan-pelarasan secara tidak konsisten malahan tidak tepat dalam memberikan lokasi tanah tersebut yang dikatakan berada di dalam kawasan perdagangan yang matang dan sibuk sedangkan ia sebenarnya terletak di kawasan Skim Kampung Wadihana yang merupakan kawasan perkampungan lama di Johor Bahru yang mana persekitarannya terdiri daripada tanah kosong, rumah-rumah lama atau ramai pemilik bagi satu-satu hakmilik yang menjadikannya susah untuk dibangunkan. Selain itu, lot perbandingan lain yang digunakan oleh penilaian pemohon juga tidak sesuai untuk dijadikan perbandingan kerana ia mempunyai ‘seaview’ sebagai kelebihan sedangkan tanah tersebut tidak. [16] Sekarang, mengenai hujah peguam bijaksana pemohon bahawa nilaian pampasan bagi tanah tersebut hendaklah dinaikkan sekurang-kurangnya menyamai nilaian yang diberikan oleh Mahkamah ini untuk kes Lot 83 iaitu sebanyak RM5.700.00 smp, Mahkamah ini dengan hormatnya berpendapat bahawa hujahan sedemikian adalah too simplistic dan perlu diperhalusi dari sudut prosedur dan keterangan dalam konteks APT itu sendiri. [17] Ini kerana, sebagai undang-undang yang bersifat khusus mengenai pengambilan tanah oleh kerajaan, perkara-perkara mengenai keterangan dan prosedur rujukan tanah hendaklah mematuhi Jadual Ketiga APT, sebagai mana yang diperuntukkan dalam s. 45(1A) APT seperti berikut:- “45(1A) The provisions of the Third Schedule shall apply to every proceeding under this Part.” [18] Manakala Jadual Ketiga APT pula memperuntukkan bahawa laporan penilaian pemohon semata-mata yang akan mewujudkan kes prima facie terhadap pemohon, sebagai mana diperuntukkan dalam s.2(1)