1
Permohonan ini adalah suatu permohonan oleh Pempetisyen melalui Notis Permohonan bertarikh 21 Februari 2025 (Lampiran 53) untuk meminda perintah akses lawatan yang telah diberikan kepada Responden terhadap anak perkahwinan pihak-pihak.
AA-33-316-09/2017
High Court of Malaysia17 Mar 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
1
Permohonan ini adalah suatu permohonan oleh Pempetisyen melalui Notis Permohonan bertarikh 21 Februari 2025 (Lampiran 53) untuk meminda perintah akses lawatan yang telah diberikan kepada Responden terhadap anak perkahwinan pihak-pihak.
2
Perintah yang ingin dipinda adalah perintah yang telah direkodkan dalam Petisyen Perceraian No: AA-33-316-09/2017 melalui Dekri Nisi dan Perintah bertarikh 29 Ogos 2019.
3
Melalui perintah tersebut, Pempetisyen diberikan hak penjagaan, pemeliharaan dan kawalan terhadap anak perkahwinan manakala Responden diberikan hak akses lawatan secara berkala termasuk hak bermalam pada waktu tertentu setiap bulan.
4
Permohonan semasa difailkan adalah atas alasan bahawa terdapat perubahan keadaan yang didakwa menjejaskan kebajikan anak perkahwinan dan oleh itu memerlukan Mahkamah untuk mengehadkan hak akses Responden.
5
Pihak-pihak merupakan bekas suami isteri yang telah sah bercerai melalui Petisyen Perceraian No: AA-33-316-09/2017.
6
Melalui perintah Mahkamah terdahulu, hak penjagaan terhadap anak perkahwinan diberikan kepada Pempetisyen manakala Responden diberikan hak akses lawatan yang melibatkan lawatan hujung minggu termasuk akses bermalam.
7
Menurut Pempetisyen, selepas beberapa tahun pelaksanaan perintah tersebut, telah berlaku beberapa keadaan yang menimbulkan kebimbangan terhadap kebajikan dan kesejahteraan emosi anak perkahwinan. Antara perkara yang dibangkitkan termasuk dakwaan bahawa anak perkahwinan menunjukkan ketakutan untuk berjumpa dengan Responden serta mengalami tekanan emosi selepas sesi lawatan.
8
Pempetisyen juga mendakwa bahawa anak tersebut telah dirujuk kepada rawatan psikologi dan terdapat laporan daripada pihak sekolah yang menunjukkan anak berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil.
9
Berdasarkan keadaan tersebut, Pempetisyen memohon agar hak akses bermalam Responden dimansuhkan dan akses lawatan dihadkan kepada dua kali sebulan sahaja iaitu pada waktu siang.
10
Sebaliknya, Responden menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dan berhujah bahawa permohonan ini adalah satu percubaan untuk menyekat hubungan antara Responden dengan anak perkahwinan. Responden menyatakan bahawa beliau sentiasa mematuhi perintah Mahkamah terdahulu dan telah berusaha mengekalkan hubungan dengan anak.
11
Responden juga mendakwa bahawa Pempetisyen telah secara berterusan menyukarkan pelaksanaan hak akses lawatan termasuk dengan tidak memberi kerjasama dan menyekat komunikasi antara Responden dan anak. C) ISU UNTUK DIPUTUSKAN
12
Isu-isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah adalah: i. Sama ada terdapat perubahan material dalam keadaan sejak perintah bertarikh 29.08.2019 dikeluarkan; dan ii. Jika terdapat perubahan tersebut, sama ada perubahan itu mewajarkan Mahkamah meminda perintah akses lawatan Responden demi kebajikan anak perkahwinan. D) HUJAHAN PEMPETISYEN
13
Pempetisyen berhujah bahawa terdapat perubahan material dalam keadaan yang menjejaskan kebajikan anak perkahwinan sejak perintah Mahkamah terdahulu dibuat. Menurut Pempetisyen, setiap kali Responden datang untuk mengambil anak bagi tujuan lawatan, anak perkahwinan akan menangis dan menunjukkan ketakutan untuk berjumpa dengan Responden.
14
Pempetisyen mendakwa bahawa anak perkahwinan telah mengadu bahawa beliau mengalami penderaan mental oleh Responden. Pempetisyen juga mendakwa bahawa Responden telah melakukan perbuatan yang menakutkan anak termasuk memegang objek berbahaya dan meminta anak melakukan perbuatan yang tidak wajar. Keadaan ini didakwa menyebabkan anak mengalami tekanan emosi yang serius.
15
Selain itu, Pempetisyen berhujah bahawa anak perkahwinan telah dirujuk kepada rawatan psikiatri dan juga menerima perhatian daripada pihak sekolah berhubung keadaan emosinya.
16
Menurut Pempetisyen, keadaan ini menunjukkan bahawa kebajikan anak perkahwinan terjejas akibat interaksi dengan Responden.
17
Responden menentang permohonan Pempetisyen tersebut dan berhujah bahawa permohonan ini adalah tidak berasas serta bertujuan untuk menyekat hubungan antara Responden dan anak perkahwinan mereka.
18
Responden menegaskan bahawa beliau sentiasa mematuhi perintah Mahkamah terdahulu dengan membayar nafkah dan melaksanakan hak akses lawatan sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah.
19
Responden juga berhujah bahawa Pempetisyen telah secara berterusan menyukarkan pelaksanaan hak akses lawatan dengan tidak memberi kerjasama dengan menyekat komunikasi antara Responden dan anak.
20
Menurut Responden, Pempetisyen sering tidak menjawab panggilan telefon atau membawa anak ke tempat lain tanpa memaklumkan kepada Responden apabila tiba giliran Responden untuk berjumpa dengan anak.
21
Responden turut menafikan dakwaan bahawa beliau telah mendera anak secara fizikal atau mental. Responden menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan tidak disokong oleh bukti yang kukuh.
22
Responden berhujah bahawa hubungan antara beliau dan anak perkahwinan adalah baik dan bahawa anak biasanya kembali ceria selepas berada bersama beliau.
23
Sehubungan itu, Responden memohon supaya permohonan Pempetisyen ditolak dengan kos.
24
Permohonan ini pada asasnya adalah satu permohonan oleh Pempetisyen untuk meminda perintah akses lawatan Responden terhadap anak perkahwinan yang telah direkodkan melalui Dekri Nisi dan Perintah Mahkamah bertarikh 29 Ogos 2019. Melalui perintah tersebut, Responden diberikan hak akses lawatan secara berkala termasuk akses bermalam pada hujung minggu tertentu setiap bulan.
25
Undang-undang memperuntukkan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa untuk meminda atau mengubah sesuatu perintah berkaitan penjagaan atau akses terhadap kanak-kanak sekiranya terdapat perubahan material dalam keadaan selepas perintah tersebut dibuat.
26
Dalam melaksanakan bidang kuasa tersebut, Mahkamah sentiasa terikat dengan prinsip bahawa kebajikan kanak-kanak merupakan pertimbangan yang paling utama (paramount consideration).
27
Pempetisyen berhujah bahawa selepas perintah tersebut dibuat, telah berlaku perubahan keadaan yang menjejaskan kesejahteraan emosi anak perkahwinan. Antara perkara yang dibangkitkan oleh Pempetisyen ialah bahawa setiap kali tiba masa untuk anak berjumpa dengan Responden, anak tersebut akan berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil, menangis serta menunjukkan ketakutan untuk berjumpa dengan Responden.
28
Pempetisyen juga merujuk kepada rawatan psikologi yang diterima oleh anak serta beberapa rakaman yang didakwa menunjukkan keadaan emosi anak apabila isu lawatan dengan Responden dibangkitkan.
29
Mahkamah juga mengambil maklum bahawa dalam afidavit Pempetisyen turut dikemukakan satu laporan daripada pihak sekolah yang menunjukkan bahawa anak perkahwinan berada dalam keadaan emosi yang terganggu ketika sesi pembelajaran di sekolah.
30
Laporan tersebut menyatakan bahawa anak berkenaan pernah menangis teresak-esak semasa berada di sekolah sehingga pihak guru telah menyediakan satu laporan berhubung masalah murid tersebut.
31
Mahkamah berpendapat bahawa laporan daripada pihak sekolah tersebut merupakan satu dokumen yang relevan kerana ia datang daripada pihak ketiga yang tidak mempunyai kepentingan dalam pertikaian antara ibu bapa ini.
32
Responden pula menafikan sepenuhnya dakwaan tersebut dan berhujah bahawa permohonan ini sebenarnya merupakan satu percubaan oleh Pempetisyen untuk menyekat hubungan antara Responden dan anak perkahwinan. Responden menyatakan bahawa beliau sentiasa mematuhi perintah Mahkamah terdahulu dan telah berusaha untuk mengekalkan hubungan dengan anak.
33
Responden juga berhujah bahawa anak perkahwinan berada dalam keadaan ceria apabila bersama beliau dan bahawa Pempetisyen telah mempengaruhi anak untuk menolak hubungan dengan Responden.
34
Mahkamah menerima bahawa terdapat pertikaian fakta yang ketara antara pihak-pihak berhubung kejadian-kejadian yang didakwa berlaku semasa anak bersama Responden.
35
Walau bagaimanapun, dalam perkara yang melibatkan kebajikan kanak-kanak, Mahkamah tidak semestinya perlu membuat dapatan konklusif bahawa salah satu pihak telah melakukan penderaan sebelum mengambil langkah yang wajar untuk melindungi kesejahteraan kanak-kanak tersebut.
36
Mahkamah berpendapat bahawa gabungan beberapa faktor yang dikemukakan oleh Pempetisyen termasuk keadaan emosi anak yang didakwa terjejas, rujukan kepada rawatan psikologi serta laporan daripada pihak sekolah berhubung keadaan anak merupakan faktor-faktor yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh Mahkamah.
37
Mahkamah berpendapat bahawa walaupun bukti yang dikemukakan mungkin tidak cukup untuk membuat dapatan konklusif bahawa Responden telah melakukan penderaan terhadap anak, keadaan yang ditunjukkan oleh keterangan tersebut sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa terdapat kebimbangan yang munasabah mengenai kesan interaksi antara anak dan Responden dalam keadaan semasa.
38
Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah berpendapat bahawa pendekatan yang paling wajar adalah untuk mengambil langkah berhati-hati dengan meminda perintah akses lawatan supaya interaksi antara Responden dan anak perkahwinan dapat diteruskan tetapi dalam keadaan yang lebih terkawal dan tidak memberi tekanan emosi kepada anak.
39
Mahkamah juga menekankan bahawa tujuan pindaan ini bukanlah untuk memutuskan hubungan antara Responden dan anak perkahwinan, tetapi semata-mata untuk memastikan bahawa hubungan tersebut berlaku dalam keadaan yang lebih sesuai dengan keadaan emosi anak pada masa ini.
40
Sehubungan itu, Mahkamah berpendapat bahawa permohonan Pempetisyen adalah wajar dibenarkan setakat yang perlu bagi melindungi kebajikan anak perkahwinan.
41
Berdasarkan alasan-alasan tersebut, Mahkamah dengan ini membenarkan permohonan Pempetisyen dan memerintahkan bahawa perintah akses lawatan Responden bertarikh 29 Ogos 2019 dipinda seperti berikut: i. Hak akses bermalam Responden terhadap anak perkahwinan adalah dibatalkan; ii. Responden diberikan hak akses lawatan terhadap anak perkahwinan sebanyak dua kali sebulan pada hari Sabtu atau Ahad dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang; dan iii. Akses lawatan tersebut hendaklah tertakluk kepada jadual persekolahan anak perkahwinan.
42
Mahkamah selanjutnya menegaskan bahawa kedua-dua pihak hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan bahawa hubungan antara anak perkahwinan dan kedua-dua ibubapanya dapat diteruskan dalam keadaan yang tidak menjejaskan kesejahteraan emosi anak tersebut. Mahkamah Tinggi Malaya Ipoh Pihak-pihak: Bagi Pihak Pempetisyen: Nurul Hafizah binti Mohamad Pauzi; Penasihat Undang-Undang Jabatan Biro Guaman Negeri Perak Bagi Pihak Responden: Soo Liang Xhe; Tetuan Ding & Co.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.