Content
1 DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SUNGAI PETANI DI DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN KES NO. : KB-45A-18-03/2023 PENDAKWA RAYA LAWAN LIM TYAN IT (NO. K/P:811026-07-5707) PENGHAKIMAN
KB-45A-18-03/2023
High Court of Malaysia22 Feb 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SUNGAI PETANI DI DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN KES NO. : KB-45A-18-03/2023 PENDAKWA RAYA LAWAN LIM TYAN IT (NO. K/P:811026-07-5707) PENGHAKIMAN
1
Orang Kena Tuduh (OKT), Lim Tyan It telah dipertuduhkan bagi satu
1
pertuduhan di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) yang boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta yang sama kerana mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 217.0 gram.
2
Pertuduhan adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 18/07/2022, jam lebih kurang 10.15 malam, bertempat di tepi Jalan, Lorong Serai Wangi 14/11, Taman Serai Wangi, 09400 Padang Serai, di dalam Daerah Kulim, di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah didapati mengedar dadah berbahaya Methamphetamine seberat 217.0 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.”
3
Seramai tiga (3) orang saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwaan iaitu:
i
Puan Faesmaziana binti Napiah (Ahli Kimia)(SP1);
II
(ii) Insp. G/25693 Hairo Nizam bin Mohd Nasir (Pegawai Tangkapan/Pengadu)(SP2); dan
III
(iii) Asp G/18856 Mohd Kamal bin Abd Wahab (Pegawai Penyiasat)(SP3).
4
Setelah pihak Pendakwaan menutup kesnya, seramai lapan (8) orang saksi telah ditawarkan kepada pihak Pembelaan. Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah telah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie atas Pertuduhan. Mahkamah memerintahkan OKT dilepas dan dibebaskan daripada Pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.
5
Pendakwaan yang terkilan dengan keputusan Mahkamah telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan atas keseluruhan kes.
6
Pada 18.07.2022, semasa Pengadu iaitu Insp. G/25693 Hairo Nizam Bin Mohd Nasir (SP2) berada di Pejabat Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (JSJN, IPK Kedah), beliau telah dimaklumkan mengenai satu maklumat pengedaran dadah.
7
Selepas menerima maklumat tersebut, SP2 telah memberi taklimat kepada semua anggota serbuan yang terdiri daripada pegawai dan anggota JSJN, IPK Kedah di Bilik Taklimat JSJN, IPK Kedah.
8
Semasa taklimat tersebut, SP2 telah memberikan penugasan seperti berikut:
a
Team A (Strike) diketuai oleh SP2, D/SM 150502 Tan dan D/Kpl 174079 Hafiz (menggunakan Kereta Jenis Avanza No. Pendaftaran AHQ 2829); dan
b
Team B (Strike) diketuai D/Sjn 172431 Khairil, D/Kpl 175595 Abdullah dan L/Kpl 205362 Geman (menggunakan Kereta Jenis Myvi No. Pendaftaran PJN 6654).
9
Selepas taklimat tersebut, SP2 bersama sepasukan anggota polis dari JSJN, IPK Kedah bergerak ke Padang Serai dari IPD, Kulim dan sampai di Padang Serai, Kulim Kedah pada jam 2130 hrs (9.30 malam).
10
SP2 bersama Team A telah membuat pemerhatian di kawasan jalan dan sekitar kawasan Taman Serai Wangi, Padang Serai. Manakala Team B berada di belakang kereta SP2 pada jarak lebih kurang 50 meter. Team B turut melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan Taman Serai Wangi, Padang Serai.
11
Pada jam lebih kurang 2213 hrs (10.13 malam), SP2 bersama anggota telah melihat satu saspek lelaki seorang diri dalam keadaan mencurigakan yang sedang berjalan dan memegang (1) beg plastik lutsinar dengan tangan kanannya yang berada di tepi jalan Lorong Serai Wangi 14/11, Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kedah. Pada ketika itu, jarak SP2 dengan saspek adalah lebih kurang 10 hingga 20 meter sahaja dan hanya saspek seorang diri yang berada di tempat kejadian.
12
Setelah pemerhatian dibuat selama 1 ke 2 minit, SP2 mengarahkan pemandu D/Kpl 174079 untuk menghentikan kereta berdekatan dengan saspek. SP2 bersama D/SM 150502 dan D/Sjn 172431 telah terus turun dari kereta. Selanjutnya SP2 telah menahan serta memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa polis kepada saspek iaitu seorang lelaki Cina.
13
Pada ketika itu, saspek kelihatan terkejut dan cemas. Jarak SP2 dan pasukan dengan saspek cuma kira-kira 1 ke 2 meter sahaja. Saspek tidak dapat berbuat apa-apa dan tidak dapat melarikan diri.
14
Seterusnya, dengan dibantu oleh D/SM 150502 dan D/Sjn 172431, SP2 telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas saspek tersebut dan telah merampas (1) beg plastik lutsinar yang dipegang dengan tangan kanan saspek (Eksibit P3A). Semasa merampas beg plastik lutsinar, beg tersebut itu dalam keadaan terbuka.
15
Pemeriksaan lanjut telah dilakukan di dalam beg plastik dan telah menjumpai (2) peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan disyaki dadah jenis syabu (Eksibit P3B (1-2)). Maklumat tangkapan terhadap saspek pula saspek dikenali sebagai Lim Tyan It (OKT).
16
Selepas rampasan barang kes dan membuat tangkapan terhadap saspek, SP2 telah menyediakan satu Borang Bongkar (Eksibit P8) di tempat kejadian dan telah ditandatangani oleh saspek.
17
Setelah balik ke IPD , Kulim, SP2 seterusnya telah membuat satu laporan tangkapan sebagaimana Padang Serai Repot 2443/22 (Eksibit P4).
18
Pada 19.07.2022 jam lebih kurang 0245 hrs (2.45 pagi) di Pejabat BSJN, IPD Kulim, Kedah, SP2 telah menyerahkan kesemua barang kes dan saspek kepada Pegawai Penyiasat, P/ASP G/19856 Mohd Kamal Bin Abd Wahab (SP3).
19
Pada 21.07.2022 jam lebih kurang 10.30 pagi, SP3 telah ke Jabatan Kimia Kedah dan menyerahkan barang kes kepada Ahli Kimia, Puan Faesmaziana Binti Napiah (SP1) untuk dianalisis.
20
Berdasarkan kepada Laporan Kimia No. Makmal: 22-FR-K-04792 (Eksibit P2) yang dikeluarkan oleh SP1 mengesahkan barang kes yang dianalisis mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 217.0 gram.
21
S. 180 Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”) menyatakan bahawa beban pembuktian di akhir kes pendakwaan untuk membuktikan wujudnya satu kes prima facie setelah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan.
22
Pihak Pendakwaan perlu mengemukakan keterangan yang kredible (credible evidence) untuk membuktikan setiap elemen kesalahan yang telah dipertuduhkan.
23
Satu kes prima facie dikatakan telah berjaya dibuktikan apabila Mahkamah berpuashati bahawa dengan keterangan yang ada dan jika tidak dipatahkan (unrebutted) ianya akan mewarankan (would warrant) Mahkamah untuk mensabitkan OKT. (Rujuk kes Looi Kow Chai v. PP [2003] 2 MLJ 65, Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 dan PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457).
24
Bagi pertuduhan di bawah s. 39B, elemen-elemen yang perlu dibuktikan adalah seperti berikut:
i
jenis dan berat dadah yang menjadi hal perkara pertuduhan tersebut adalah dadah merbahaya seperti ditakrif di bawah ADB 1952;
II
(ii) OKT memiliki dadah berbahaya dan mempunyai pengetahuan mengenai milikan itu; dan
III
(iii) OKT mengedar dadah berbahaya tersebut.
25
Mahkamah Rayuan dalam kes Sahrul Mazlee bin Mohd Khalid v. Pendakwa Raya [2022] 3 MLRA 47 menyatakan seperti berikut: [39] The learned trial judge quite correctly held that in order for the prosecution to make out a prima facie case in respect of a charge under section 39B(1)(a) of the Act, it is incumbent upon the prosecution to prove the following ingredients of the offence:
a
firstly, that the drugs were dangerous drugs within the meaning and definition provided in the Act;
b
secondly, that the accused was in possession of the said drugs; and
c
thirdly, that the accused was trafficking in the drug. (Rujuk juga Muhammad Lukman Mohamad v. PP [2021] 7 CLJ 524). Elemen 1 – Dadah Methamphetamine merupakan dadah berbahaya seperti mana yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Akta itu
26
Keterangan Ahli Kimia (SP1) mengesahkan bahawa dadah-dadah yang telah dianalisis adalah Methamphetamine seberat 217.0 gram. SP1 turut mengeluarkan Laporan Kimia (Eksibit P2) yang mengesahkan pemeriksaan beliau dan mengesahkan dadah jenis Methamphetamine ialah dadah berbahaya seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta itu.
27
Mahkamah menerima keterangan Ahli Kimia (SP1) sebagai seorang ahli kimia yang berkelayakan untuk menjalankan analisa ke atas dadah-dadah tersebut.
28
Keterangan SP1 harus diterima oleh Mahkamah pada nilai mukanya (on its face value) tanpa keperluan kepada penerangan secara terperinci apa yang dilakukan di makmal kecuali keterangannya adalah so inherently incredible.
29
Mahkamah ini merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan iaitu Chu Tak Fai v. PP [2006] 4 CLJ 931 yang menyatakan bahawa: [20] On the sufficiency of the evidence of the chemist, we wish to reiterate that the court is entitled to accept the evidence of the chemist on its face value without the necessity for him to go into details of what he did in the laboratory step by step unless the evidence is so inherently incredible that no reasonable person can believe it to be true or the defence calls evidence in rebuttal by another expert. (Rujuk juga kes Mahkamah Agong, Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] CLJ (Rep) 221; Khoo Hii Chiang v. PP [1994] 2 CLJ 151; Mahkamah Rayuan dalam Tarmizi Bin Yaacob dan Satu Lagi v. PP [2006] 6 MLJ 197; [2006] 4 CLJ 472).
30
Berkaitan identiti dadah Methamphetamine yang telah dirampas, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan tidak ada kelompangan di dalam rantaian keterangan barang-barang kes daripada mula ianya dirampas oleh Pegawai Serbuan (SP2), diserahkan kepada Pegawai Penyiasat (SP3) sehinggalah ianya diserahkan kepada Ahli Kimia (SP1) untuk dianalisis.
31
Keterangan SP1, SP2, dan SP3 juga telah mengecam tandaan-tandaan yang telah dibuat, tandatangan mereka dan tarikh pada barang-barang kes yang telah dirampas. Saksi-saksi ini juga telah membuat pengecaman barang kes secara fizikal di Mahkamah Terbuka dan juga berdasarkan kepada gambar-gambar barang kes yang diambil dan ditunjukkan kepada mereka.
32
Malahan pihak pembelaan tidak mempertikaikan bahawa elemen pertama telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
33
Oleh yang demikian, Mahkamah berpuas hati bahawa rantaian keterangan eksibit tidak terputus, dan barang kes dadah-dadah yang dirampas, dan dianalisa sehinggalah dikemukakan di Mahkamah adalah barang kes yang sama. (Rujuk kes Mahkamah Rayuan dalam Gunalan Ramachandran & Ors v. PP [2004] 4 CLJ 551; Tarmizi Bin Yaacob dan Satu Lagi v. PP [2006] 6 MLJ 197; [2006] 4 CLJ 472 dan Mazlan Bin Mustaffa v. PP [2012] Rayuan Jenayah No: P-05-212-08-2012; dan kes Mahkamah Persekutuan dalam Hasbala Mohd Sarong v. PP [2013] 6 CLJ 945).
34
Akhirnya, Mahkamah turut berpuas hati bahawa dadah-dadah yang telah dianalisa merupakan dadah berbahaya Methamphetamine yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta itu. Sehubungan itu, Pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen pertama bagi pertuduhan tersebut. Elemen 2 – Tertuduh mempunyai pemilikan dadah tersebut
35
Pendakwaan berhujah bahawa elemen pemilikan dan kawalan serta pengetahuan ke atas dadah yang dijumpai dibuktikan oleh Pendakwaan ke atas OKT.
36
Ini berdasarkan keterangan-keterangan langsung oleh saksi-saksi Pengadu (SP2) dan Pegawai Penyiasat (SP3) seperti berikut:
i
(i)
Preamble
Menurut keterangan SP2, dadah telah dijumpai di dalam beg plastik lutsinar (Ekshibit P3) yang dipegang oleh OKT sendiri dan ia ada pada fizikal OKT sahaja. SP2 telah menunjukkan cara OKT memegang beg plastik lutsinar tersebut. Selepas OKT ditahan, SP2 telah membuat pemeriksaan di dalam beg plastik lutsinar dan mendapati ada (2) peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi Methamphetamine. Dadah ada pada milikan fizikal OKT.
II
(ii) Menurut SP2, pencahayaan di tempat kejadian dibantu oleh lampu jalan dan lampu kenderaan serta tiada halangan dari pemerhatian terhadap OKT. Hanya OKT seorang diri yang berada di tempat kejadian pada waktu malam berjalan di tempat tangkapan sambil memegang satu plastik lutsinar yang mengandungi dadah.
III
(iii) Keterangan SP2 ini disokong oleh laporan polis oleh SP2 (Eksibit P4) yang bertarikh 19.07.2022. SP2 menyatakan bagaimana dadah tersebut dijumpai dan ini jelas menunjukkan dadah ada pada kawalan dan jagaan OKT.
IV
(iv) OKT turut kelihatan terkejut dan cemas selepas SP2 dan pasukan keluar dari kereta dan selanjutnya telah memperkenalkan diri sebagai polis kepada OKT. Perbuatan OKT ini adalah relevan di bawah s. 8 Akta Keterangan 1950.
37
Menurut Pendakwaan, berdasarkan perkara-perkara yang digalurkan di perenggan 36(i) hingga (iv) di atas jelas menunjukkan OKT mengetahui bahawa beliau memiliki dadah di dalam beg silang tersebut.
38
Manakala pembelaan telah berhujah atas beberapa isu bahawa:
i
Sama ada OKT ditangkap di tepi jalan atau di dalam rumah;
II
(ii) Beg plastik (P3A) yang berisi dadah bukan milik OKT;
III
(iii) Sama ada OKT dibawa balik ke balai polis IPD Kulim bersama Kan Jai Poh;
IV
(iv) Terdapat percanggahan keterangan SP2 dan SP3;
v
Sama ada dadah dalam gambar Eksibit P7A-E milik OKT;
VI
(vi) Sama ada OKT mempunyai kawalan dan jagaan ke atas beg plastik tersebut;
VII
(vii) OKT tidak mengedar dadah tersebut; dan
VIII
(viii) Kegagalan SP3 (Pegawai Penyiasat) untuk membuat siasatan secara menyeluruh. Isu 1 – Sama ada OKT ditangkap di tepi jalan atau di dalam rumah
39
Pembelaan OKT menyatakan bahawa beliau sebenarnya ditangkap di rumah No. 4329, Lorong Serai Wangi 14/11, Taman Serai Wangi, Kulim Kedah yang diketuai oleh pegawai serbuan ASP Vickneswaran a/l Cheliah pada tarikh yang sama jam lebih kurang 7.00 malam.
40
Menurut pembelaan pada tarikh yang sama di dalam rumah tersebut, ASP Vikneswaran telah menangkap dua (2) suspek terlebih dahulu iaitu suspek yang bernama Kan Jai Poh (No. K/P: 940914-07-5579) dan Miss Bunyanuch (Passport Thailand: AB4078755).
41
Berkait tangkapan Kan Jai Poh dan Miss Bunyanuch di rumah tersebut, ASP Vickneswaran a/l Cheliah telah membuat laporan polis sebagaimana yang dirujuk oleh pembelaan sebagai Padang Serai Repot 2436/22 (tidak ditandakan).
42
Pembelaan menyatakan bahawa ASP Vikneswaran telah menggunakan Kan Jai Poh sebagai umpan untuk menjerat OKT dengan cara meminta Kan Jai Poh menghubungi OKT untuk datang berjumpanya di alamat rumah tersebut. OKT telah menerima tawaran Kan Jai Poh untuk pergi berjumpa di rumah tersebut.
43
OKT telah pergi ke rumah tersebut dengan sebuah kereta Honda City No. BNW 7728 yang dipinjam dari majikan OKT dan parking kereta di depan rumah Kan Jai Poh dan membuat video call kepada Kan Jai Poh yang kemudiannya meminta OKT terus masuk ke dalam rumah.
44
Selepas OKT masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan, dan sebaik sahaja OKT membuka pintu dan berada di ruang tamu, tiba-tiba anggota serbuan yang bersembunyi di belakang pintu kayu rumah terus menahan dan menangkap OKT.
45
Setelah itu, pihak polis telah membawa Kan Jai Poh dan OKT ke ruang tamu dan terus balik ke balai IPD Kulim dengan menaiki kereta Honda City yang dibawa oleh OKT ke rumah tersebut.
46
Manakala Pendakwaan berhujah bahawa tangkapan OKT bersangkut Repot Padang Serai/2443/22 (Eksibit P4) tidak ada sebarang kaitan dengan serbuan yang dilakukan bersangkut Repot Padang Serai/2436/22. Ini adalah kerana tangkapan OKT adalah berbeza sama sekali di mana masa dan tempat OKT adalah berlainan dengan Repot Padang Serai/2436/22.
47
Malahan nama OKT juga tidak langsung dimasukkan dalam Repot Padang Serai/2436/22 sebagai saspek yang ditangkap bersama dengan dua orang lain seperti mana didakwa oleh pembelaan.
48
Bagi elemen kedua ini, pendakwaan perlu membuktikan OKT mempunyai jagaan dan kawalan terhadap dadah yang dijumpai (Rujuk PP v. Abdul Rahman bin Akif [2007] 5 MLJ 1, PP v. Denish Madhavan [2009] 2 MLJ 194, Siew Yoke Keong v. PP [2013] 3 MLJ 630, Ghasem Hozouri Hassan v. PP [2019] 6 MLJ 231 & Chan Wei Loon v. PP and Another Appeal [2021] 4 MLJ 660).
49
Mahkamah mendapati bahawa keterangan SP2 menyatakan bahawa OKT ditahan di tepi jalan Lorong Serai Wangi 14/11, Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kulim Kedah pada jam lebih kurang 10.15 malam.
50
SP2 semasa disoal balas telah mengakui bahawa beliau turut terlibat membantu ASP Vickneswaran a/l Cheliah dalam tangkapan dua (2) saspek bernama Kan Jai Poh dan Miss Bunyanuch di rumah tersebut.
51
Namun demikian, SP2 telah menafikan bahawa OKT ditangkap di rumah tersebut bersama-sama dengan dua (2) saspek tersebut.
52
Oleh yang demikian, terdapat dua versi keterangan di hadapan Mahkamah ini sama ada OKT ditangkap di tepi jalan atau di dalam rumah bersama-sama dua (2) saspek yang telah ditangkap oleh ASP Vickneswaran a/l Cheliah sebelum itu.
53
ASP Vickneswaran a/l Cheliah merupakan saksi material untuk menjelaskan versi yang sebenar tangkapan terhadap OKT. Namun beliau tidak dipanggil bagi memberi keterangan dan penjelasan terhadap dakwaan pembelaan tersebut.
54
Malahan, saksi-saksi anggota tangkapan terhadap OKT di tepi jalan juga tidak dipanggil bagi menyokong keterangan SP2 bahawa OKT ditangkap di tepi jalan.
55
Maka, terdapat keraguan dalam isu lokasi dan masa sebenar tangkapan ke atas OKT dan siapa yang menjumpai dan merampas bungkusan dadah dari OKT yang mana keterangan SP2 tidak dapat menjelaskan atau menafikan versi pembelaan.
56
Mahkamah ini tidak menafikan bahawa Pendakwa Raya mempunyai budi bicara sama ada untuk memanggil mana-mana saksi atau tidak atau hendak memanggil bilangan saksi-saksi yang dikehendaki.
57
Walaupun pendakwaan mempunyai budi bicara memanggil mana-mana saksi yang dikehendaki, namun budi bicara ini perlu dilaksanakan dengan wajar dengan tidak mengenepikan hak-hak pembelaan apabila timbul isu tempat tangkapan yang sebenar tersebut.
58
Mahkamah berpendapat bahawa keterangan ASP Vickneswaran atau saksi-saksi tangkapan yang lain adalah penting bagi menjelaskan versi tangkapan yang sebenar. Namun demikian, ASP Vickneswaran atau saksi-saksi tangkapan yang lain tidak dipanggil ke Mahkamah.
59
Oleh demikian, s. 114 (g) Akta Keterangan 1950 terpakai terhadap kes pendakwaan atas kegagalan memanggil ASP Vickneswaran atau saksi-saksi tangkapan yang lain bahawa sekiranya saksi-saksi tersebut dipanggil ianya tidak akan memihak kepada kes pendakwaan. (Rujuk kes Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v. Mansor Md. Rashid & Anor [1997] 1 CLJ 233; Ghasem Hozouri Hassan v. Public Prosecutor [2018] 6 CLJ 133; [2019] 6 MLJ 231 dan Rosli Yusof v. PP [2021] 5 MLRA 150).
60
Sehubungan itu, apabila terdapat dua atau lebih naratif keterangan, maka keterangan yang memihak kepada OKT hendaklah diberikan kepada OKT. Isu 2 - Terdapat percanggahan keterangan SP2 dan SP3
61
Pihak pembelaan berhujah bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan di antara SP2 (Pegawai Serbuan) dan juga SP3 (Pegawai Penyiasat) mengenai sebuah kenderaan Honda City.
62
Menurut pembelaan, SP2 telah menafikan apabila dicadangkan bahawa OKT telah pergi ke rumah tersebut dengan sebuah kenderaan Honda City. Namun keterangan SP3 telah menyatakan bahawa OKT ada menggunakan kenderaan Honda City untuk ke rumah tersebut tetapi telah dirampas oleh SP2 untuk tujuan sitaan
63
Pembelaan berhujah bahawa keterangan SP2 dan SP3 tersebut telah menunjukkan satu percanggahan yang ketara yang mana boleh menimbulkan satu keraguan berkenaan naratif pihak pendakwaan.
64
Berdasarkan kepada keterangan SP3 jelas bahawa OKT memang pergi ke rumah tersebut dengan kereta jenis Honda City tetapi SP2 telah menyembunyikan bukti tersebut.
65
Pendakwaan menghujahkan tidak ada sebarang percanggahan dalam keterangan saksi pendakwaan kerana keterangan SP2 menunjukkan beliau tidak langsung bersetuju dengan cadangan pembelaan yang OKT telah pergi ke rumah dengan kereta Honda City. Sebaliknya, OKT telah ditangkap di tepi jalan.
66
Manakala, SP3 selaku Pegawai Penyiasat pula menyatakan, SP2 telah memaklumkan bahawa kereta Honda City telah disita bagi tujuan siasatan Forfeiture of Property (FOP) dan ianya adalah bukan di bawah siasatan SP3.
67
Mahkamah berpendapat bahawa keterangan SP3 terdapatnya sebuah kereta Honda City telah disita bagi tujuan siasatan Forfeiture of Property (FOP) telah menunjukkan kebenaran kepada naratif pembelaan bahawa OKT telah ke tempat tersebut dengan menaiki kereta Honda City tersebut.
68
Penafian SP2 bahawa wujudnya kereta Honda City tersebut menimbulkan pertanyaan atau persoalan mengenai kredibiliti SP2 dalam kes ini.
69
Keterangan yang tidak konsisten di antara SP2 dan SP3 mengenai kewujudan kereta Honda City tersebut telah menjejaskan kes pendakwaan. Isu-isu lain
70
Mahkamah tidak berhasrat untuk menjawab isu-isu lain yang diketengahkan oleh pembelaan, memandangkan isu-isu 1 dan 2 di atas telah memadai dan menunjukkan tiada kes prima facie dibuktikan. Elemen 3 – OKT mengedar dadah berbahaya tersebut
71
Oleh kerana elemen pemilikan gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan, maka anggapan mengedar dadah berbahaya di bawah s. 37(da) ADB 1952 gagal diaktifkan oleh pihak pendakwaan.
72
Mahkamah merujuk kepada kes Public Prosecutor v. Chia Leong Foo [2000] 4 CLJ 649; [2000] 6 MLJ 705 yang memutuskan di halaman 718 seperti berikut: "As most of the acts that constitute trafficking involve the pre-requisite element of possession the initial matter that requires proof by the prosecution is possession. The ingredients necessary to establish possession have been considered in numerous cases."
73
Berdasarkan alasan-alasan yang diperincikan di atas, Mahkamah ini berpandangan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
74
Oleh yang demikian, Mahkamah memerintahkan OKT dilepas dan dibebaskan daripada Pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela dirinya.
75
Barang kes dadah (melainkan dokumen) dikembalikan kepada pihak polis untuk simpanan selamat sehingga kes dilupuskan (jika ada rayuan). Bertarikh 12 April 2026 ................................................... (DARMAFIKRI BIN ABU ADAM) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sungai Petani Kedah, Darul Aman Pendakwa Raya: Lishantini a/p Munusamy Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah Peguam Bela : Ai Cha Ran Tetuan Ai Cha Ran & Co. Peguam Bela dan Peguam Cara No. 75, Taman Sultan Abdul Halim Jalan Tanjung Bendahara, 05300 Alor Setar
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.