a
(a) Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dengan membenarkan tuntutan Plaintiff terhadap Defendan;
/akn/my/judgment/high-court/2026/a56f21d2-2f91-47f3-847a-4b3710e4d72f
High Court of Malaysia15 Mar 2026DA-12B-2-02/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“s not to call for evidence, apart from being bound by such election, all the evidence led by the plaintiff must be assumed to be true (Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd v. Kerajaan Negeri Kelantan [2015] MLJU 70; [2015] 2 AMR 142). However, the fact that the defendant led no evidence or call any witness does not abs”
“ngganggu dapatan fakta yang telah dibuat oleh hakim perbicaraan kecuali jika wujud salah arah yang nyata. Mahkamah ini merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan, Lim Peng Hock & Anor v Chuah Peng San & Anor [2021] CLJU 119 yang memutuskan - "It is trite law that an appellate court will not intervene unless the trial court is”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
DA-12B-2-02/2025 Kand. 29 07/06/2026 11:57:32 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-2-02/2025 ANTARA LIM YONG KIAT [NO. K/P:830622-01-5411] ...PERAYU DAN [NO. K/P:931015-03-6109] ...RESPONDEN [Dalam Mahkamah Sesyen Kota Bharu Dalam Negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia Guaman No. DA-A53KJ-975-09/2023 Antara Mohamad Khairul Sapaniy bin Zulkefli [No. K/P: 931015-03-6109] ...Plaintif Dan Lim Yong Kiat [No. K/P: 830622-01-5411] ...Defendan] ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Pihak-pihak dirujuk dalam Alasan Penghakiman ini sebagaimana rujukan pihak-pihak dalam kes perbicaraan dalam Mahkamah Sesyen. [2] Kes ini merupakan rayuan oleh Defendan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu bertarikh 3.2.2025 yang memutuskan Defendan bertanggungan 100% liabiliti dan membenarkan tuntutan Plaintif terhadap Defendan dengan kos. [3] Pada 15.3.2026, Mahkamah ini telah memutuskan di peringkat rayuan dengan menolak rayuan oleh Defendan atas isu kuantum dan liabiliti dengan kos RM3,000.00. [4] Defendan yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah ini telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan bertarikh 13.4.2026. Latar belakang kes [5] Kes ini merupakan suatu tuntutan gantirugi kemalangan jalanraya melibatkan Plaintif yang menunggang motorsikal nombor pendaftaran WFD 8210 dan motorkar nombor pendaftaran WA 7715 L dipandu oleh Defendan. Kemalangan berlaku pada 24.7.2022 jam 3.00 petang di KM 50.2 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang, Kelantan. [6] Versi Plaintif pada 24.7.2022, Plaintif menunggang motorsikal dari Kg Chenulang menghala ke Machang. Apabila tiba di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, tiba-tiba motokar Defendan dari arah belakang telah memotong motorsikal Plaintif dan telah memasuki laluan hadapan dan berhenti secara mengejut sehingga menyebabkan kemalangan. SP1 menyatakan semasa kemalangan berlaku, beliau mengekori Motorsikal No. WFD 8210 yang ditunggang oleh Plaintif (SP4) dengan keretanya dari Kampung Chenulang ke rumah sewa di Labok Machang. Pada masa itu, Plaintif dan isterinya SP1 dalam proses berpindah rumah. Plaintif membawa sebahagian barangan atas motorsikalnya manakala barangan yang lebih besar dibawa oleh SP1 dengan kereta. Tujuan beliau mengekori suaminya adalah kerana disebabkan beliau tidak tahu alamat rumah sewa. SP1 telah melihat kemalangan ini dan terus mengejar Motorkar No. WA 7715 L kerana pemandunya tidak keluar membantu selepas kemalangan dan terus memandu dengan melarikan dari lokasi. Isteri Plaintif SP 1 telah mengejar motorkar tersebut sehingga sampai ke satu jalan mati dan pemandu Motorkar No. WA 7715 L terus keluar dari motorkar itu dan melarikan diri. SP1 dan Plaintif telah mengenalpasti identity Motorkar No. WA 7715 L milik Defendan yang terlibat dengan kemalangan. SP1 telah mengambil gambar Motorkar tersebut yang ditandakan sebagai Exibit P3 A-C. [7] Tiada versi Defendan kerana pihak Defendan tiada mengemukakan saksi. Defendan juga tidak hadir memberikan keterangan dan tidak membuat laporan polis. [8] Perbicaraan penuh telah dijalankan di Mahkamah Sesyen yang mana semasa perbicaraan di peringkat kes Plaintif, pihak Plaintif telah memanggil 6 orang saksi. Saksi Plaintif ialah isteri Plaintif (SP1), Pegawai Penyiasat (SP2), Pakar Ortopedik (SP3), Plaintif (SP4), Prosthesis & Orthosis (SP5) dan majikan Plaintif (SP6). [9] Pada 3.2.2025, Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana ("HMS") telah memutuskan Defendan bertanggungan 100% liabiliti dan membenarkan tuntutan Plaintif terhadap Defendan dengan kos. [10] Terkilan dengan keputusan HMS tersebut, Defendan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah ini pada 13.2.2025 atas keseluruhan isu liabiliti dan kuantum. Prinsip undang-undang [11] Di dalam mana-mana rayuan, Mahkamah di peringkat rayuan jarang mengganggu dapatan fakta yang telah dibuat oleh hakim perbicaraan kecuali jika wujud salah arah yang nyata. Mahkamah ini merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan, Lim Peng Hock & Anor v Chuah Peng San & Anor [2021] CLJU 119 yang memutuskan - "It is trite law that an appellate court will not intervene unless the trial court is shown to be plainly wrong in arriving at its conclusion and where there has been insufficient judicial appreciation of the evidence. The appellate court will intervene in a case where the trial court had so fundamentally misdirected itself." (Penekanan ditambah) [12] Dalam kes Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng v. Gan Yook Chin & Anor [2003] 2 CLJ 19, Mahkamah Rayuan telah menegaskan bahawa adalah merupakan satu undang-undang yang mantap bahawa mahkamah di peringkat rayuan secara umumnya akan keberatan untuk mengganggu penemuan fakta hakim bicara yang lebih berhak berdasarkan kelebihan audio visual yang dinikmati oleh hakim bicara di dalam penilaian dan penghayatan keterangan lisan saksi. [13] Namun begitu, Mahkamah ini ingin menegaskan bahawa adalah menjadi suatu prinsip undang-undang yang mantap juga bahawa mahkamah yang mendengar rayuan boleh campur tangan dalam keputusan hakim bicara untuk memastikan bahawa keputusan tersebut tidak diperoleh daripada suatu dapatan yang khilaf tentang pemakaian undang-undang atau tidak mengambil kira keterangan yang relevan yang dibawa di hadapannya. [14] Dalam hal ini, Mahkamah ini merujuk kepada kes Sivalingan v. Periasamy [1996] 4 CLJ 545: "It is trite law that this Court will not readily interfere with the findings of fact arrived at by the Court of first instance to which the law entrusts the primary task of evaluation of the evidence. But we are under a duty to intervene in case where, as here, the trial Court has so fundamentally misdirected itself, that one may safely say that no reasonable Court which had properly directed itself and asked the correct questions would have arrived at the same conclusion." [15] Sehubungan dengan itu, dalam memastikan sama ada hakim bicara telah membuat penilaian yang betul, Mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk meneliti keterangan yang dikemukakan melalui keterangan lisan saksi-saksi serta keterangan dokumentar di mahkamah bicara. Mahkamah hendaklah menilai secara total keterangan yang dikemukakan bukan sahaja keterangan lisan (oral evidence) tetapi meliputi juga keterangan dokumentar (documentary evidence). Oleh itu, Mahkamah ini telah merujuk kepada rekod rayuan, alasan penghakiman HMS dan penghujahan oleh pihak-pihak. [16] Dalam membuktikan kes, Mahkamah ini tidak terlepas pandang untuk merujuk kepada kes Che Pah Itam v. Chang Bek Lee [1998] 4 CLJ 517 di mana Mahkamah telah memutuskan bahawa: "Although the defendant had not adduced any evidence he had nevertheless filed his statement of defence denying any liability whatsoever for the said accident. In the absence of the defendant's evidence is the court compelled to accept in toto the plaintiff's version? It is trite law that the onus of proving negligence lies on the plaintiff. In Wong Thin Yit v. Mohamed AH [1971] 1 MLRA 483; [1971] 2 MLJ 175, Ong CJ (as he then was) held: In a negligence action the onus of proof rests wholly on the plaintiff whether or not the defendant gives evidence.The plaintiff cannot succeed without proof of defendant's negligence." (Penekanan ditambah) [17] Merujuk kepada kes di atas, walaupun Defendan tidak hadir untuk menyangkal kes Plaintif, ini tidak bermaksud satu penghakiman harus dimasukkan memihak kepada Plaintif. Plaintif masih memikul beban untuk membuktikan kesnya di atas imbangan kebarangkalian walaupun Defendan atau saksi Defendan tidak hadir memberi keterangan. Hujahan Defendan [18] Defendan pada asasnya berhujah bahawa HMS telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam membuat dapatan liabiliti terhadap Defendan. Antara hujahan utama Defendan adalah seperti berikut: a) Dihujahkan bahawa terdapat percanggahan material dalam keterangan saksi-saksi utama Plaintif; b) Mahkamah hanya menerima versi pihak Plaintif tanpa memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pembelaan Defendan; c) Dihujahkan bahawa wujud keraguan munasabah yang sepatutnya memihak kepada Defendan; dan d) Seharusnya diputuskan equally liable. Hujahan Plaintiff [19] Plaintif menghujahkan seperti berikut: a) Defendan bukan sahaja gagal mengemukakan sebarang saksi untuk menyangkal versi Plaintif atas isu liabiliti dan kuantum, malah pemandu Motorkar Defendan juga gagal membuat sebarang laporan polis penafian atau laporan polis bagi menerangkan versi kemalangannya; b) Defendan menyatakan bahawa Defendan gagal dikesan. Maka, persoalan seterusnya adalah, bagaimanakah penyata pembelaan Defendan difailkan sedangkan Defendan tidak dapat dikesan? Andai kata peguam Defendan mendapatkan arahan Defendan dalam penyediaan dan pemfailan Pembelaan Defendan bertarikh 6.11.2023, mengapakah Defendan tidak mahu tampil sehin menafikan atau menyangkal versi kemalangan ini; c) Dihujahkan pembelaan Defendan adalah hanya bersifat 'bare denial' serta isu-isu yang dibangkitkan oleh Defendan dalam Memorandum Rayuan ini bersifat 'submissions from the bar table' tanpa sebarang keterangan saksi Defendan; d) Dihujahkan bahawa tempat kemalangan yang diplidkan oleh Plaintif menggunakan istilah "di atau berhampiran" yang membawa maksud akan lokasi secara umum dan berdekatan dengan kawasan kemalangan dan ini bukan kesilapan yang fatal; e) HMS telahpun meneliti handphone asal yang digunakan oleh SP 4 tersebut yang jelas tertera tarikh dan masa kemalangan dan setelah puas hati dengan bukti primer (primary evidence) dikemukakan barulah ianya ditandakan sebagai Exibit oleh HMS. Maka tiada keperluan untuk Plaintif mengemukakan sijil perakuan di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950; f) Berkenaan rayuan Defendan terhadap pliding dimana, dalam kes ini, Plaintif telah menamakan pemilik Motorkar No. WA 7715 L iaitu Lim Yong kiat sebagai Defendan yang merupakan pemandu dan atau agen atau pengkhidmat atau orang yang diizinkan oleh Defendan. Turut dihujahkan bahawa dalam keadaan dimana Defendan langsung tidak dapat dikenalpasti dimana hanya dinamakan sebagai John Doe telah juga diterimapakai oleh Mahkamah sebagai mencukupi untuk membuat dapatan liability ke atas Defendan sebagai pemilik kenderaan; g) Defendan bukan sahaja gagal mengemukakan sebarang saksi namun segala dokumentasi Defendan berkenaan kuantum juga ditolak oleh HMS kerana melanggari arahan 'unless order' pemfailan dokumentasi dalam tempoh masa yang ditetapkan; dan h) HMS telah memutuskan isu kuantum berkaitan kecederaan-kecederaan Plaintif secara betul, mantap, dan dengan merujuk kepada laporan-laporan perubatan, laporan-laporan pakar, nas undang-undang yang relevan serta Compendium. Analisis dan dapatan [20] Mahkamah ini mendapati beberapa isu yang dihujahkan dalam rayuan ini adalah seperti berikut:
a
(a) Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dengan membenarkan tuntutan Plaintiff terhadap Defendan;
b
(b) Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan kemalangan yang berlaku bukan akibat kecuaian Plaintif secara bersesama/berasingan atau menyumbang kepada berlakunya kemalangan;
c
(c) Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memberikan pampasan yang terlalu tinggi dan tidak mengikuti trend semasa pemberian award gantirugi am; dan
d
(d) Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membenarkan tuntutan kos ortosis, pain and sufferings for future operations dan kos pembedahan implant removal dan bone grafting. Isu liabilti Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dengan membenarkan tuntutan Plaintiff terhadap Defendan? Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan kemalangan yang berlaku bukan akibat kecuaian Plaintif secara bersesama/berasingan atau menyumbang kepada berlakunya kemalangan? [21] Berhubung isu liabiliti, Mahkamah ini akan mengulas isu-isu tersebut bersekali kerana ia saling berkait antara satu sama lain. Plaintif di dalam kes ini telah memplidkan bahawa Plaintif menunggang motorsikal dari Kg Chenulang menghala ke Machang. Apabila tiba di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, tiba-tiba motokar Defendan dari arah belakang telah memotong motorsikal Plaintif dan telah memasuki laluan hadapan serta berhenti secara mengejut sehingga menyebabkan kemalangan. [22] Berhubung isu liabiliti, Mahkamah ini merujuk kepada dapatan HMS melalui Alasan Penghakimannya. Secara ringkasnya, HMS telah membuat keputusan bahawa Defendan adalah cuai 100% dan Plaintif tiada kecuaian sumbangan berdasarkan kepada perkara perkara yang berikut: a) Keterangan Plaintif berkenaan versi kemalangan disokong oleh keterangan SP1 yang sedang memandu motokar mengekori motorsikal Plaintif dari belakang kerana pada hari tersebut, mereka dalam perjalanan memunggah barang ke rumah sewa. SP1 mengejar motokar Defendan sehingga sampai di jalan mati dan Defendan telah melarikan diri ke dalam semak. SP1 telah merakam gambar kenderaan Defendan dan motorsikal Plaintif pada hari kejadian; b) Hasil siasatan SP2, kemalangan dikategorikan sbg "Refer to Magistrate" (RTM) kerana Defendan tidak membuat laporan polis dan tidak hadir siasatan; c) Identiti motokar Defendan selari dengan carian rasmi JPJ yang dibuat oleh SP2; d) Kerosakan motokar Defendan selari dengan keterangan versi kemalangan oleh Plaintif; e) Berdasarkan keterangan tersebut, Mahkamah berpuas hati berlaku kemalangan antara kenderaan Plaintif dan Defendan; f) Mahkamah berpendapat Defendan cuai kerana ubah laluan masuk ke laluan hadapan Plaintif dan memberhentikan kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan; g) Peguam Defendan hujahkan bahawa keterangan Plaintif dan laporan polis menyatakan kemalangan berlaku di KM50.2 berbeza dgn pliding menyatakan di KM46. Oleh itu, gagal buktikan tempat kejadian. Mahkamah menerima keterangan SP2 menyatakan kemalangan di KM46 dan kegagalan mengemukakan rajah kasar/kunci tidak melemahkan kes Plaintif; dan h) Peguam Defendan hujahkan bahawa SP1 membuat laporan polis 4 hari selepas kejadian dan berkemungkinan ada versi ditokok tambah. Namun Mahkamah menerima penjelasan SP1 kerana beliau menjaga suaminya. [23] Berdasarkan nas undang-undang, adalah jelas bahawa beban pembuktian berada di atas bahu Plaintif sepanjang masa untuk membuktikan kes mereka terlebih dahulu sebelum beban berpindah kepada pihak Defendan. Dalam kes ini adalah menjadi keutamaan bagi menentukan sama ada kemalangan benar-benar berlaku sebagaimana yang diplidkan oleh Plaintif dan di mana dalam kes ini, tiada versi kemalangan oleh Defendan kerana tiada laporan polis oleh Defendan dan tiada keterangan oleh pihak Defendan berkenaan versi kemalangan. [24] Prinsip undang-undang adalah mantap bahawa Plaintif mempunyai tanggungjawab dan beban untuk membuktikan kesnya dengan keterangan yang secukupnya dan yang tidak bercanggah sebelum beban boleh dialihkan kepada Defendan. [25] Defendan berhujah bahawa klasifikasi "RTM" oleh Pegawai Penyiasat SP2 menunjukkan wujud keraguan dan oleh itu liabiliti sepatutnya dibahagikan secara sama rata (50:50). Namun, berdasarkan rekod yang ada, Mahkamah bersetuju dengan dapatan HMS bahawa keputusan RTM dibuat kerana Defendan tidak membuat laporan polis dan tidak hadir untuk siasatan. Justeru, keputusan tersebut bukanlah satu dapatan bahawa Defendan bebas daripada kesalahan, tetapi sekadar keputusan pentadbiran untuk merujuk perkara ke Mahkamah. [26] Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa keputusan RTM tidak mengikat Mahkamah dan tidak menentukan liabiliti secara muktamad. HMS telah menilai keseluruhan keterangan saksi dan bukti dokumentari secara bebas daripada keputusan RTM tersebut. [27] Defendan turut membangkitkan isu ketiadaan rajah kasar oleh Pegawai Penyiasat SP2. HMS telah menilai keterangan SP2 dan memutuskan bahawa ketiadaan rajah kasar tidak menjejaskan pembuktian tempat kejadian. Mahkamah ini mendapati bahawa dapatan tersebut adalah berasaskan keterangan yang mencukupi dan tidak bersifat spekulatif. Penilaian tersebut adalah satu dapatan fakta yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada di hadapan HMS. [28] Dalam kes ini, walaupun Defendan tidak hadir untuk menyangkal kes Plaintif, ini tidak bermaksud satu penghakiman harus dimasukkan memihak kepada Plaintif. Plaintif masih memikul beban untuk membuktikan kesnya di atas imbangan kebarangkalian walaupun tiada saksi Defendan hadir memberi keterangan. Mahkamah merujuk kepada kes Che Pah Itam v. Chang Bek Lee [supra] Mahkamah memutuskan bahawa: "... In the absence of the defendant's evidence is the court compelled to accept in toto the plaintiff's version? It is trite law that the onus of proving negligence lies on the plaintiff." (Penekanan ditambah) [29] Selanjutnya, Mahkamah ini merujuk kepada kes Ortus Expert White Sdn Bhd V. Nor Yanni Adom & Yang Lain [2021] 1 LNS 2350 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti berikut: "The Court of Appeal accepted the position of the law that once a defendant elects not to call for evidence, apart from being bound by such election, all the evidence led by the plaintiff must be assumed to be true (Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd v. Kerajaan Negeri Kelantan [2015] MLJU 70; [2015] 2 AMR 142). However, the fact that the defendant led no evidence or call any witness does not absolve the plaintiff from discharging its burden to prove its claim in law. The evidence adduced by the plaintiff must be sufficient to prove the claim (Mohamed Junus v. Rahman Shah Alang Ibrahim & Anor [2008] 3 MLJ 81; [2008] 2 CLJ 369)." (Penekanan ditambah) [30] Berdasarkan kes-kes yang dirujuk di atas, jelas bahawa walaupun pihak Defendan gagal memanggil saksi, Mahkamah perlu menilai keterangan saksi-saksi Plaintif dan memutuskan sama ada pihak Plaintif telah mengemukakan keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kecuaian di pihak Defendan di dalam kemalangan ini di atas imbangan kebarangkalian. [31] Dalam kes ini pihak Defendan telah gagal untuk memanggil saksi. Walaupun dalam kes ini versi Plaintif tidak disangkal melalui keterangan Defendan dan 'presumed to be true on the basis that the Defendan elected not to adduce evidence', ini tidak bermakna secara automatik Plaintif telah berjaya membuktikan bahawa terdapat kecuaian di pihak Defendan dalam kes ini. Mahkamah masih perlu menilai keterangan/versi Plaintif dengan keterangan lain untuk menentukan sama ada Plaintif telah berjaya membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa kecuaian Defendan telah menyebabkan kemalangan ini. [32] Mahkamah ini juga bersetuju dengan dapatan HMS yang menerima keterangan Plaintif dan saksi isterinya (SP1) sebagai saksi yang jujur, konsisten dan boleh dipercayai. Keterangan Plaintif adalah bahawa semasa beliau menunggang motosikalnya di laluan yang sah, sebuah motokar bernombor pendaftaran WA 7715 L dari arah belakang telah memotong motosikal Plaintif, memasuki laluan Plaintif secara tiba-tiba dan berhenti mengejut berhampiran simpang di sebelah kiri jalan. Tindakan tersebut telah mewujudkan halangan secara tiba-tiba di hadapan Plaintif sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku. [33] Keterangan tersebut disokong sepenuhnya oleh SP1 yang menyaksikan sendiri kejadian tersebut dari belakang. SP1 turut memberi keterangan bahawa selepas kemalangan berlaku, pemandu motokar tersebut tidak berhenti untuk membantu, sebaliknya terus memandu masuk ke satu simpang dan meninggalkan kenderaan tersebut sebelum melarikan diri. Mahkamah ini mendapati keterangan SP1 adalah terperinci, konsisten dan tidak berjaya digugat semasa pemeriksaan balas. [34] Selain itu, gambar-gambar yang dikemukakan sebagai Eksibit P3A hingga P3C menunjukkan nombor pendaftaran WA 7715 L serta kerosakan pada bahagian belakang motokar tersebut. Gambar-gambar tersebut telah dikenal pasti oleh SP1 sebagai gambar yang diambil olehnya menggunakan telefon bimbit asal yang dikemukakan di Mahkamah. [35] Berhubung dengan keterangan SP2, Mahkamah ini turut memberi perhatian kepada keterangan Pegawai Penyiasat (SP2) dan Mahkamah ini berpendapat SP2 sebagai seorang saksi bebas dan neutral yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam prosiding ini. Selaras dengan seksyen 114(e) Akta Keterangan 1950, terdapat anggapan bahawa tindakan rasmi pegawai awam telah dilaksanakan dengan teratur melainkan dibuktikan sebaliknya. Tiada keterangan dikemukakan oleh Defendan untuk menyangkal anggapan tersebut. [36] Mahkamah mendapati faktor paling signifikan dalam kes ini ialah kegagalan Defendan untuk tampil memberi keterangan. Defendan bukan sahaja gagal memberikan versi kejadian kepada pihak polis, malah gagal hadir untuk memberikan keterangan di Mahkamah bagi menyangkal dakwaan Plaintif. Pembelaan Defendan kekal sebagai suatu penafian kosong (bare denial) tanpa sebarang sokongan keterangan. [37] Mahkamah ini juga merujuk kepada kes yang dirujuk oleh pihak Plaintif iaitu kes Rubiah Anuar V Lim Sang [1998] 3 CLJ (Supp) 314 yang mana Abdul Malik Ishak J32 (pada masa itu) telah memutuskan bahawa: "The onus would be on the part of the driver of the car to show that he was not negligent. However, the defendant took a perilous course by not attending the trial and, consequently, the defendant did not give evidence at the trial. That being the case the particulars of negligence of the defendant as itemised in the plaintiff's statement of claim stood unrebutted." (Penekanan ditambah) [38] Berdasarkan kes yang dirujuk, jelas bahawa prinsip asas ialah walaupun beban undang-undang untuk membuktikan kecuaian terletak pada plaintiff, keadaan sesuatu kemalangan boleh mewujudkan inferens prima facie bahawa pemandu kenderaan telah cuai. Dalam keadaan sedemikian, beban bukti beralih kepada defendan untuk memberikan penjelasan yang munasabah bahawa kemalangan tersebut bukan berpunca daripada kecuaiannya. [39] Apabila defendan gagal hadir memberikan keterangan atau memilih untuk tidak memberi keterangan di perbicaraan, mahkamah berhak membuat inferens yang tidak memihak kepada defendan. Kegagalan tersebut menyebabkan keterangan dan fakta yang dikemukakan oleh plaintiff kekal tidak dicabar dan tidak disangkal. Walau bagaimanapun, mahkamah masih perlu berpuas hati bahawa plaintiff telah berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan bukan semata-mata kerana defendan tidak hadir. [40] Dalam kes ini, Mahkamah ini mengambil pendirian bahawa Defendan telah memilih satu tindakan yang berisiko dengan tidak menghadiri perbicaraan. Akibatnya, Defendan kehilangan peluang untuk menjelaskan bagaimana kemalangan berlaku, mencabar versi fakta Plaintif atau menyangkal butiran kecuaian yang dinyatakan dalam penyataan tuntutan. Dalam keadaan ketiadaan keterangan daripada Defendan, segala dakwaan kecuaian yang telah diperincikan oleh Plaintif kekal tidak dicabar. Oleh itu, Mahkamah berhak menerima keterangan Plaintif sebagai keterangan yang lebih berwibawa dan seterusnya membuat dapatan bahawa kecuaian Defendan telah dibuktikan atas imbangan kebarangkalian. [41] Mahkamah mendapati bahawa Defendan telah gagal menghadiri perbicaraan dan tidak memberikan sebarang keterangan untuk menjelaskan keadaan kemalangan atau menyangkal dakwaan-dakwaan yang dikemukakan oleh Plaintif. Kegagalan tersebut menyebabkan keterangan Plaintif berhubung cara kemalangan berlaku serta butiran kecuaian Defendan kekal tidak dicabar dan tidak disangkal. Walaupun beban pembuktian kekal terletak pada Plaintif, setelah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan kecuaian Defendan atas imbangan kebarangkalian. [42] Setelah meneliti segala keterangan saksi-saksi Plaintif dan keterangan dokumen serta membaca alasan penghakiman HMS, Mahkamah ini mendapati HMS tidak terkhilaf dan telah membuat keputusan yang betul apabila memutuskan Defendan adalah bertanggungan 100% dan tiada sumbang cuai oleh Plaintif. Mahkamah ini mendapati HMS telah menilai dan meneliti keterangan dihadapannya dengan betul apabila membuat dapatan bahawa Plaintif tiada sumbang cuai dan Defendan adalah bertanggungan liabiliti 100%. [43] Di dalam mendengar rayuan daripada mahkamah bawahan, Mahkamah yang mendengar rayuan akan amat perlahan untuk campur tangan bagi mengusik atau mengganggu keputusan mahkamah bawah melainkan terdapat alasan yang kukuh untuk berbuat demikian. Mahkamah ini merujuk kes Samar Binti Mansor v. Mustafa Kamal Ariffin [1974] 2 MLJ 71 yang memutuskan seperti berikut: "That an appellate court ought not to interfere where the question is a pure question of fact unless it can be shown that he did not take all the circumstances and evidence into account, or that he has misapprehended certain of the evidence or that he has drawn an inference which there is no evidence to support." (Penekanan ditambah) [44] Dalam keadaan ini, tiada sebarang kesilapan dalam pelaksanan budi bicara oleh HMS dalam membenarkan tuntutan Plaintif. Oleh itu, tiada sebab mengapa dapatan fakta HMS tersebut harus diganggu melihatkan kepada keterangan-keterangan yang telah dibentangkan di mahkamah sebelum ini. Isu kuantum Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memberikan pampasan yang terlalu tinggi dan tidak mengikuti trend semasa pemberian award gantirugi am; dan Sama ada HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membenarkan tuntutan kos ortosis, pain and sufferings for future operations dan kos pembedahan implant removal dan bone grafting. [45] Prinsip asas mengenai rayuan terhadap kuantum gantirugi dalam kes kemalangan jalan raya adalah jelas iaitu mahkamah yang mendengar rayuan akan hanya mengusik award yang diberikan oleh hakim bicara bila mana hakim bicara didapati telah bertindak atas prinsip undang-undang yang salah, atau telah memberikan award yang terlalu tinggi atau terlalu rendah tanpa justifikasi yang wajar atau tanpa mengikut trend kuantum gantirugi yang kebiasaannya diawardkan oleh mahkamah-mahkamah. [46] Begitu juga dalam kes Lim Eng Kay v. Jaafar [1982] 2 MLJ 156, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan: "The proper approach which we will adopt in this case is therefore to avoid conjecturing into the unchartered sphere of public policy and to confine ourselves merely to the examination of the award in order to see whether its assessment is perverse or whether it was arrived at on an incorrect principles". (Penekanan ditambah) [47] Mahkamah ini juga merujuk kepada prinsip yang dinyatakan dalam kes Sambaga Valli KR Ponnusamy v. Datuk Bandar Kuala Lumpur & Ors And Other Appeal [2018] 1 MLJ 784 seperti yang berikut: "[8] The Court of Appeal may interfere with the quantum of damages awarded by the judge only if it is shows that the latter:
a
(a) acted on the wrong principles
b
(b) misapprehended the facts; and
c
(c) had for these or other reasons made a wholly erroneous estimate of his damages." (Penekanan ditambah) [48] Plaintif dan juga Defendan bergantung sepenuhnya kepada hujahan bertulis pihak-pihak mengenai isu kuantum. [49] Pihak Defendan menghujahkan HMS gagal mempertimbangkan laporan pakar dan sebut harga ortotik Defendan kerana lewat difailkan yang mana Defendan percaya kelewatan tersebut tidak memprejudiskan tuntutan Plaintiff. [50] Defendan dalam hujahan bertulis menghujahkan mengenai kuantum kecederaan tibia dan femula dan temur masing-masing berjumlah RM45,000.00 dan RM50,000.00 adalah jumlah yang tinggi. Dihujahkan kecederaan ini melibatkan kaki di bahagian kiri dan HMS sepatutnya mengambil kira overlapping kerana melibatkan bahagian fungsi anggota badan yang sama. Oleh itu, perlu ditolak 10% daripada keseluruhan jumlah pampasan yang diberikan. [51] Pihak Defendan menghujahkan berdasarkan Laporan Pakar Ortopedik Defendan, Plaintif mengalami kependekan sebanyak 1.5cm dan anggaran ortosis adalah sebanyak RM30,249.00. Defendan juga menghujahkan bagi kependekan tidak melebihi 2cm, Plaintif mempunyai pilihan menggunakan insole sahaja. Plaintif juga tidak mengemukakan bukti telah menggunakan custom made shoe untuk mengalami masalah kependekan tersebut. [52] Selanjutya, pihak Defendan menghujahkan HMS khilaf membenarkan pain and sufferings for future operation sedangkan tuntutan tersebut tidak dibuktikan. Di dalam kes ini, dicadangkan removal of implant dan bone grafting, namun tiada indikasi keduadua pembedahan tersebut akan dijalankan. [53] Dengan hormatnya, Mahkamah ini tidak bersetuju dengan hujahan pihak Defendan. Mahkamah telah meneliti laporan perubatan yang dikemukakan oleh Plaintif serta keterangan doktor yang memberi keterangan dalam prosiding ini. Mahkamah menerima keterangan perubatan tersebut sebagai keterangan pakar yang tidak dicabar secara material. [54] Berhubung dengan award bagi kecederaan tibia dan fibula dan femur masing masing sebanyak RM45,000 dan RM50,000, Mahkamah ini bersetuju HMS telah mengambil kira hujahan bertulis kedua-dua pihak dalam kes ini. Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan pihak Plaintif bahawa Defendan gagal mengemukakan sebarang otoriti bagi menyokong hujahannya di Mahkamah Sesyen serta jumlah yang dihujahkan adalah lebih rendah daripada Compendium of Personal Injuries yang memberikan sebanyak RM36,000 hingga RM 60,000 bagi kecederaan Femur/Tibia and fibula (with shortening). [55] Mahkamah ini bersetuju dengan hujahah Plaintif di mana Plaintif hujahkan bahawa SP5 telah memberi keterangan mengenai keperluan peralatan orthosis bagi Plaintif. Plaintif juga telah memberi keterangan di Mahkamah bahawa beliau ingin membeli dan menggunakan kasut khas serta selipar khas serta segala peralatan orthotis yang disyorkan oleh doktor pakar. Keterangan ini gagal dicabar oleh pihak Defendan pada bila-bila masa semasa perbicaraan. Laporan pakar Orthosis Plaintif di atas adalah satu – satunya laporan pakar di hadapan Mahkamah ini dan gagal dicabar oleh Defendan. Isu orthosis adalah isu kepakaran dan Plaintif telah mengemukakan dua (2) saksi pakar (Orthopedik dan Orthosis) bagi menyokong dan membuktikan tuntutan Plaintif. [56] Selanjutnya, HMS telah membuat penemuan fakta yang betul terhadap satu-satunya keterangan yang telah dibuktikan berkenaan isu keperluan pembedahan "implant removal" dan "bone grafting" melalui keterangan pakar Plaintif, SP3. Tiada keterangan dari pakar Defendan terhadap isu ini. Berhubung dengan isu kos juga, Mahkamah ini berpandangan jumlah kos yang diawardkan oleh HMS adalah berlandaskan prinsip undang-undang sedia ada dan jumlah tersebut adalah munasabah dan wajar. [57] Dalam menetapkan gantirugi untuk setiap kecederaan, HMS telah merujuk kepada tuntutan Plaintif dan nas undang-undang yang menjadi sandaran untuk tuntutan tersebut. Beliau juga telah meneliti award yang disyorkan oleh Defendan dan otoriti untuk syor tersebut. Kemudiannya, HMS merujuk Revised Compendium of Personal Injury Awards (Revised 2018) sebagai panduan sebelum menetapkan award gantirugi. [58] Mahkamah ini berpendapat penelitian yang wajar telah dibuat oleh HMS dalam mencapai jumlah yang telah diawardkan dengan berpandukan laporan-laporan perubatan, laporan-laporan pakar, gambar-gambar dan hujahan-hujahan bertulis pihak-pihak sebelum memutuskan award bagi gantirugi kepada Plaintiff. [59] Mahkamah ini mendapati hakim bicara telah mengambil kira semua fakta yang relevan dalam membuat keputusan dan telah memberikan alasan mengapa beliau membuat keputusan yang diberikan. Hakim bicara telah berpeluang untuk melihat dan mendengar saksi-saksi memberikan keterangan dan dengan demikian berupaya membuat penilaian terhadap kredibiliti setiap saksi. [60] Adalah prinsip undang-undang yang mantap berkenaan award gantirugi, sebagaimana diputuskan dalam kes Inas Faiqah Mohd Helmi (A Child Suing Through Her Father and Next Friend; Mohd Helmi Abdul Aziz) v. Kerajaan Malaysia & Ors [2016] 2 CLJ 885, yang mana Mahkamah Persekutuan menyatakan: "(1) It is trite that damages served as compensation, not a reward, less still a punishment. In assessing damages, the courts should not be motivated by sympathy and award fair compensation based on cogent evidence. The court could not descend into a domain of speculation. The evaluation of evidence which form the basis of any risk of future damage, must still be undertaken. The trial judge could only evaluate such evidence based on the recognized balance of probability standard, but with a lower degree of certainty as to the occurrence of such loss or damage in the future. Such a lower degree to be attached is best term by the word 'possibility' chance', 'risk', 'danger' or 'likehood' but regard of the word used and their semantics, they must also essentially be a substantial one and not speculative." (Penekanan ditambah) [61] Berhubung dengan kuantum, Mahkamah ini mendapat panduan daripada pedoman yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Bank Utama (M) Bhd v. Insan Budi Sdn Bhd [2009] 1 MLJ 148 MR: "It is trite that an appellate court will not ordinarily interfere with the findings and award of the trial court unless the following are shown: (i) that the award or findings were clearly wrong or erroneous; taking into account irrelevant matters and not considering relevant matters; (ii) that the findings were clearly wrong in law and principle." (Penekanan ditambah) [62] Award yang diberi oleh mahkamah perbicaraan untuk gantirugi adalah suatu budi bicara oleh sesuatu mahkamah dan Mahkamah ini dalam mendengar rayuan ini harus berhati-hati sebelum masuk campur melainkan award yang dibenarkan tidak mengikut prinsip undang-undang. Di dalam kes ini, Mahkamah ini berpendapat HMS telah meneliti kesemua perkara-perkara dalam memutuskan tuntutan kuantum gantirugi. Maka, Mahkamah ini berpendapat tiada alasan untuk Mahkamah ini mengganggu dapatan tersebut. [63] Kesimpulannya, Mahkamah ini tidak berhasrat untuk mencampuri keputusan HMS berkenaan dengan isu liabiliti dan kuantum dan bersetuju dengan dapatannya. Keputusan [64] Setelah meneliti Rekod Rayuan secara keseluruhan dan mengambil kira penghujahan oleh pihak-pihak serta dapatan-dapatan terhadap isu-isu di atas, Mahkamah ini memutuskan menolak rayuan Defendan atas isu kuantum dan liabiliti dengan kos masing-masing sebanyak RM23,000.00 kepada Plaintif. Keputusan HMS berkenaan liabiliti dan award kuantum gantirugi adalah dikekalkan. Bertarikh: 7 Jun 2026 Mahkamah Tinggi Kota Bharu (1), Kelantan KAUNSEL: Bagi pihak Defendan/ Perayu Norizan Ab Rahman Tetuan VP Nathan & Partners Bagi pihak Plaintif/ Kameswary a/p Ramasamy Responden Tetuan Kames & Associates
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.