Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA SAMAN PEMULA NO. JA-24NCvC-973-10/2022 Dalam Perkara Kaveat Persendirian, No. Perserahan 554/2022, yang telah dimasukkan pada 7 Julai 2022 Dan Dalam Perkara Seksyen-Seksyen 327, 328 dan 329 Kanun Tanah Negara 1965 Dan Dalam Perkara Hakmilik GM 55, Lot 126 Mukim Jelutong, Daerah Johor Bahru, Negeri Johor Dan Dalam Perkara Aturan 7 dan 28 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ANTARA LONG KEE PILING WORKS SDN BHD …PLAINTIF DAN CHANG KIAN CHIANG …..DEFENDAN 19/03/2025 09:22:36 JA-24NCvC-32-01/2023 Kand. 36 Didengar bersama DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA SAMAN PEMULA NO. JA-24NCvC-32-01/2023 Dalam Perkara Kaveat Persendirian, No. Perserahan 856/2022, yang telah dimasukkan pada 18 Oktober 2022 Dan Dalam Perkara Seksyen-Seksyen 327, 328 dan 329 Kanun Tanah Negara 1965 Dan Dalam Perkara Hakmilik GM 55, Lot 126 Mukim Jelutong, Daerah Johor Bahru, Negeri Johor Dan Dalam Perkara Aturan 7 dan 28 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ANTARA LONG KEE PILING WORKS SDN BHD …PLAINTIF DAN TANG CHEAH WEE …DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN (taksiran gantirugi) Pendahuluan [1] Ini adalah permohonan taksiran gantirugi yang difailkan oleh Plaintif berikutan keputusan Mahkamah ini pada 2.4.2023 yang memutuskan bahawa Defendan-defendan telah secara salah masing-masing memasukkan kaveat persendirian ke atas tanah milik Plaintif. [2] Sebagai latar belakang ringkas, Plaintif adalah pemilik berdaftar sekeping tanah di bawah hakmilik No. GM 55, Lot 126 Mukim Jelutong, Daerah Johor Bahru (“Hartanah”) berkeluasan 3.4499 hektar (8 ekar 2 rod 4 pol) manakala Defendan-defendan adalah mantan pengarah Plaintif. Pada masa kini, Defendan-defendan merupakan pemegang saham Plaintif. [3] Melalui mesyuarat Lembaga Pengarah Plaintif yang diadakan pada 4.5.2021 dan 5.5.2021 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa Plaintif pada 28.12.2021, syarikat itu telah meluluskan ketetapan (resolution) bagi menjual Hartanah tersebut bagi menyelesaikan 3 tuntutan pemiutang (creditors) yang dibuat melalui tindakan mahkamah yang jumlah keseluruhannya melebihi RM5.62 juta, [4] Ekoran itu, pada 20.5.2022, Plaintif telah menandatangani suatu perjanjian jual beli (“Perjanjian Jual Beli”) dengan Buminuri Bestari Sdn Bhd (“Buminuri”) bagi menjual Hartanah tersebut dengan harga jualan sebanyak RM3.7 juta. Salah satu syarat dalam Perjanjian Jual Beli tersebut dinyatakan bahawa pindahmilik Hartanah tersebut hendaklah dilaksanakan oleh Plaintif dalam masa maksimum 4 bulan iaitu 3 bulan + 1 bulan. Ini bermakna pindahmilik hendaklah dibuat selewat-lewatnya pada 20.9.2022. [5] Berikutan dengan Perjanjian Jual Beli tersebut, pada 4.7.2022, Buminuri telah menjelaskan keseluruhan harga jualan kepada Plaintif. [6] Pada 7.7.2022, Chang Kian Chiang (“Chang”) sebagai Defendan dalam kes JA-24NCvC-973-10/2022 (“OS 973”) telah memasukkan suatu kaveat persendirian ke atas Hartanah tersebut bagi menghalang penjualannya atas alasan harga jualan berkenaan, pada pandangan beliau adalah di bawah harga pasaran. Selain itu, Chang juga menyatakan bahawa beliau telah memulakan suatu tindakan derivatif terhadap Plaintif melalui Saman Pemula No. JA-24NCC-21-10/2021 di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. [7] Pada 14.7.2022, Buminuri telah membayar duti stem sebanyak RM284,082.75 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (“LHDN”) sebagai salah satu syarat pembelian Hartanah tersebut. [8] Disebabkan pindahmilik Hartanah tersebut tidak dapat dilaksanakan berikutan terdapatnya kaveat persendirian yang dimasukkan oleh Chang, maka pada 5.10.2022 Plaintif telah memfailkan OS 973 bagi mendapatkan perintah supaya kaveat persendirian tersebut dibatalkan. [9] Plaintif juga telah memohon kepada Pejabat Tanah dan Daerah Johor Bahru (“PTDJB”) agar kaveat persendirian yang dimasukkan oleh Chang ditarik balik di bawah s. 326(1) Kanun Tanah Negara (“KTN”). Ekoran itu pada 21.8.2022, PTDJB telah mengeluarkan notis cadangan membatalkan kaveat persendirian kepada Chang. Pada 29.11.2022, kaveat persendirian yang dimasukkan oleh Chang telah dibatalkan. [10] Bagi Tang Cheah Wee (“Tang”) pula, sebagai Defendan dalam kes JA-24NCvC-32-01/2023 (“OS 32”), beliau telah memasukkan kaveat persendirian pada 14.10.2022 ke atas Hartanah tersebut, juga atas alasan tidak berpuas hati terhadap harga jualan berkenaan. [11] Tidak lama selepas itu, pada 2.1.2023, Tang telah memfailkan Petisyen Penggulungan No. JA-28NCC-2-01/2023 di bawah s. 465(1)(f) Akta Syarikat 2016 bagi menggulung Plaintif atas alasan, antaranya, pengarah-pengarah Plaintif telah bertindak tidak adil kepada pemegang saham Plaintif disebabkan penjualan Hartanah tersebut kepada Buminuri iaitu syarikat yang dimiliki oleh bekas pemegang saham Plaintif yang juga anak kepada salah seorang pengarah Plaintif dan dijual di bawah harga pasaran. [12] Pada 10.1.2023 Plaintif memfailkan OS 32 untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan kaveat persendirian yang dimasukkan oleh Tang. [13] Atas permohonan pihak-pihak dan disebabkan kedua-dua kes melibatkan Hartanah, relif dan Plaintif yang sama serta alasan memasukkan kaveat persendirian oleh Defendan-defendan juga adalah hampir sama, maka pada 8.2.2022 saya membenarkan kedua-dua kes ini didengar bersama. [14] Dalam kes OS 973, Chang tidak memfailkan apa-apa affidavit jawapan, namun dalam kes OS 32, Tang telah memfailkan affidavit jawapan pada 13.2.2023. [15] Pada 2.4.2023, setelah mendengar hujah kesemua pihak, Mahkamah ini memutuskan bahawa Chang dan Tang tidak mempunyai kepentingan boleh kaveat (caveatable interest) semasa mereka memasukkan kedua-dua kaveat persendirian berkenaan. Justeru, Mahkamah ini mendapati Chang dan Tang telah memasukkan kaveat persendirian tersebut secara salah dan memerintahkan taksiran gantirugi diilaksanakan. [16] Bagi tujuan gantirugi, Plaintif memohon gantirugi yang berikut: