a
(a)Terdapat kelompongan dan keraguan atas eksibit dadah pertuduhan kerana saksi-saksi pendakwaan SP1 (ahli kimia) dan SP2 (pegawai tangkapan) tidak membuat pengecaman dan penandaan eksibit di mahkamah semasa memberi keterangan masing-masing;
/akn/my/judgment/court-of-appeal/2018/226d1030-b8fe-44c3-84d5-7a776cdae36d
Court of Appeal of Malaysia11 Apr 2018B-05(M)-133-04/2016
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“erana rantaian keterangan mengenai barang kes atau eksibit terputus. Peguam cara terpelajar merujuk kepada kes-kes berikut untuk menyokong hujahan: Mohamad Hanafi bin Muhamad Hashim Iwn Pendakwa Raya [2016] MLJU 245; Muhamad Zikry K Suresh bin Abdullah & Anor v Pendakwa Raya [2014] 1 MLJU 1110; Sia Soon Suan v Public P”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO : B-05 (M)-133-04/2016 ANTARA LUO WENQIN (W/Negara China/Pasport No:E30980480) PERAYU DAN PENDAKWA RAYA ... RESPONDEN [Dalam perkara mengenai Perbicaraan Jenayah No. 45A-121-11/2014 Dalam Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor Antara Pendakwa Raya Dan Luo Wenqin (W/N China/Pasport No:E30980480)] CORAM: MOHTARUDIN BIN BAKI, HMR YAACOB BIN HAJI MD SAM, HMR ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL, HMR PENGHAKIMAN MAHKAMAH Pendahuluan [1] Luo Wenqin (perayu), seorang wanita warga China, telah dituduh atas pertuduhan sepertimana yang berikut: Bahawa kamu pada 15 November 2013, jam lebih kurang 1.35 pagi, bertempat di Kawasan Mesin Pengimbasan Kastam, Balai Ketibaan Antarabangsa LCCT, Sepang, di dalam Daerah Sepang, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati memperedarkan dadah berbahaya seberat 1533.6 gram Methamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama. [2] Mahkamah Tinggi telah mendapati perayu bersalah, mensabitkan perayu terhadap pertuduhan dan menjatuhkan hukuman mati mandatori. [3] Perayu telah merayu kepada Mahkamah ini. Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan sebulat suara memutuskan rayuan perayu ditolak. Keputusan serta hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan. [4] Kami kini perturunkan alasan kami memutuskan sedemikian. Kes Pendakwaan [5] Pada 25 November 2013, jam lebih kurang 1.35 pagi, Sarjan 88542 Ngasiman bin Kadar (SP3) yang bertugas untuk memeriksa penumpang dan bagasi di Kawasan Ketibaan Antarabangsa LCCT Sepang, Selangor telah menahan seorang perempuan (perayu) yang ketika itu sedang menarik sebuah beg beroda warna hitam (P18) berhampiran kawasan mesin pengimbas kastam. SP3 memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta perayu memberikan pasport untuk diperiksa. SP3 kemudiannya menjalankan imbasan ke atas bagasi P18 dan melihat ada imej yang mencurigakan. SP3 serta merta memaklumkan penahanan perayu kepada Inspektor Mohideen bin Hasin (SP2) iaitu pegawai polis bertugas pada malam tersebut. [6] Inspektor Mohideen bin Hasin (SP2) datang ke tempat pengadu ditahan. SP2 memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan membuat semakan ke atas butiran pasport perayu. Perayu bernama Luo Wenqin seorang wanita warga negara China, Pasport No. E30980480. SP2 mengarahkan perayu untuk membuka bagasi (P18). Perayu telah membuka P18 melalui nombor kombinasi pada kunci P18. Di dalam bagasi P18 terdapat dua beg tangan serta beberapa helai pakaian. Setelah dua beg tangan serta pakaian dikeluarkan daripada bagasi P18, SP2 memeriksa P18 dan mendapati pada bahagian dasar P18 yang ditutupi dengan lapisan kain kelihatan berkeadaan tebal. SP2 mengarahkan perayu untuk memasukkan semula dua beg tangan dan pakaian ke dalam bagasi P18 dan mengarahkan perayu membawa bagasi P18 ke Pejabat Narkotik LCCT untuk diperiksa lanjut. [7] Di Pejabat Narkotik LCCT, SP2 membuat pemeriksaan teliti atas bagasi P18. Pada bahagian luar P18 terdapat sticker bertulis "New 360, Expander Ultra - Light". Pada pemegang (handle) P18 terdapat tag bertulis Air Asia Flight AK 1655, Tag No. KUL0807422883 atas nama Luo/Wenqin bertarikh 14 November 2013. SP2 memeriksa bahagian dasar P18 dan mendapati di bawah lapisan kain dasar P18 terdapat satu papan nipis. SP2 menarik keluar papan nipis tersebut dan menjumpai 3 bungkusan plastik warna kuning yang terlekat di bahagian dasar bagasi P18. SP2 mengeluarkan ketiga-tiga bungkusan dan membuat sedikit torehan pada setiap bungkusan dan mendapati di dalam setiap bungkusan terdapat ketulan kristal putih disyaki dadah. Ketiga-tiga bungkusan tersebut dibuat timbangan oleh SP2 dan mendapati berat keseluruhan ketiga-tiga bungkusan berserta kandungan sejumlah 2100 gram. Pemeriksaan badan perayu dan dua beg tangan tidak mendapati sebarang barang salah. SP2 menangkap perayu dan menerangkan kesalahan. SP2 membuat tandaan pengenalan ke atas semua barang kes yang dirampas. SP2 seterusnya menyediakan Senarai Bongkar (P11) dan membuat laporan tangkapan melalui KLIA Sepang/013738/13 (P12). Pada jam lebih kurang 7.30 pagi, 15.11.2013, SP2 menyerahkan perayu dan barang kes kepada pegawai penyiasat kes iaitu G/19898 Inspektor Eddy Amin bin Hussin (SP4) berserta Borang Serah Terima Barang Kes (P13). [8] Pada hari yang sama (15.11.2013), SP4 membuat serahan barang kes disyaki dadah kepada ahli kimia untuk tujuan analisis. SP1 mengeluarkan resit akuan terima barang kes (P6). Ahli Kimia, Suhana binti Ismail (SP1) telah membuat analisis terhadap keseluruhan bahan kristal jernih dan mengesahkan bahan kristal jernih tersebut mengandungi Methamphetamine berat keseluruhan 1533.6 gram. Methamphetamine ialah dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 ("ADB 1952"). SP1 juga menyediakan laporan analisis beliau (P8). Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan [9] Di akhir kes pendakwaan, Yang Arif Hakim bicara berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perayu (muka surat 16 Rekod Rayuan Jilid 1). Justeru itu perayu telah diperintahkan untuk membela diri. Kes Pihak Pembelaan [10] Perayu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah. YA Hakim bicara membuat ringkasan terhadap keterangan pembelaan perayu seperti berikut (muka surat 17-18 Rekod Rayuan Jilid 1): "Tertuduh ditangkap pada 15.11.13. Ini adalah kali kedua Tertuduh datang ke Malaysia. Pada kali pertama datang, beliau datang bersama teman lelakinya bernama Andy, seorang warga Ghana. Kali pertama Tertuduh datang ke Malaysia, Andy membawa Tertuduh berjumpa dengan keluarga Andy yang tinggal di Malaysia. Selepas mereka pulang ke China, mereka berdua telah bersetuju untuk berkahwin. Atas sebab itulah, Tertuduh datang sekali lagi ke Malaysia atas alasan mahu berbincang dengan keluarga Andy berkait urusan perkahwinan mereka. Di China, mereka tinggal bersama-sama, Andy juga fasih berbahasa Mandarin. Tertuduh memberitahu Mahkamah bahawa segala urusan imigresen dan lain-lain urusan untuk datang ke Malaysia diuruskan oleh Andy. Sebelum bertolak ke Malaysia untuk kali kedua, Tertuduh ada berjumpa dengan kakak beliau (SD2) di Naning, China. Seterusnya, daripada situ, Tertuduh bersama kakaknya pergi ke lapangan terbang. Tertuduh pada waktu itu hanya membawa beg tangan sahaja yakni P7. Tertuduh memberitahu bahawa beliau tidak pernah membawa P18. Menurut Tertuduh, P18 diberi oleh Andy sewaktu di lapangan terbang bersama-sama dengan pakaian Tertuduh. Sebelum ini Tertuduh tidak pernah melihat P18. Itulah kali pertama beliau melihat P18 iaitu semasa di lapangan terbang. P18 adalah sebuah beg yang tidak ada kunci kombinasi. Andy memberitahu Tertuduh bahawa ahli keluarga Andy akan menunggu beliau di Malaysia dan Andy akan menyusul beliau pada keesokan harinya. Selepas Tertuduh sampai di Malaysia, beliau tunggu dan dalam lebih kurang 21/2 jam, baru Tertuduh ambil beg P18 itu. Selepas itu, beliau berjumpa dengan seorang lelaki China yang berbahasa Mandarin. Tertuduh bersama dengan lelaki itu sama-sama keluar. Seterusnya, Tertuduh letakkan bagasi dan beg tangan beliau ke atas mesin pengimbas. Masa itu seorang lelaki beruniform datang ke arah Tertuduh.
preamble
Menurut Tertuduh, lelaki tersebut menyuruh beliau mengekorinya ke sebuah bilik. Di sana 3 bungkusan telah dikeluarkan daripada P18 (P7 gambar no. 8). Tertuduh menafikan bahawa P18 adalah milik beliau. Ianya dikatakan milik Andy. Menurut Tertuduh, beliau memberitahu polis bahawa Andy memberikan P18 itu kepada beliau untuk dibawa masuk ke Malaysia. Menurut Tertuduh lagi, itulah kali pertama beliau melihat bungkusan-bungkusan tersebut semasa polis membuka P18. Tertuduh menafikan bahawa beliau yang meletakkan bungkusan-bungkusan ke dalam P18.” [11] Perayu memanggil seorang saksi bernama Luo Li (SD2) iaitu kakak perayu untuk memberi keterangan bagi pihak pembelaan. [12] Keterangan Luo Li (SD2) diringkas oleh YA Hakim bicara seperti berikut (muka surat 19 Rekod Rayuan Jilid 1): "SD2 bekerja sebagai agen hartanah di Guangxi Naning, China. Keterangan beliau menunjukkan memang Tertuduh ada datang ke Malaysia sebanyak dua kali. Pada kali kedua, memang SD2 yang menghantar Tertuduh ke Lapangan Terbang sepertimana yang diberitahu oleh Tertuduh sebelum ini. Keterangan SD2 menunjukkan bahawa sebelum bertolak ke Malaysia, Tertuduh ada mencari SD2 untuk bercerita perihal teman lelaki beliau. SD2 juga memberitahu Mahkamah bahawa Tertuduh ada menyatakan kepada beliau akan tujuannya datang ke Malaysia iaitu untuk berjumpa dengan keluarga Andy. SD2 mengenali Andy secara ringkas sahaja di mana beliau pernah berjumpa dengan Andy di Lapangan Terbang Hong Kong. SD2 memberitahu mahkamah bahawa P18 telah diberikan oleh Andy kepada Tertuduh di Lapangan Terbang sebelum bertolak ke Malaysia di mana P18 telah dibuka terlebih dahulu untuk Tertuduh meletakkan baju dan barang-barang beliau yang lain. Dengan kata lain, barang-barang lain sebelum Tertuduh buka P18 adalah milik Andy. Sewaktu tertuduh ke Naning, SD2 menyatakan bahawa Tertuduh tidak membawa P18. SD2 hanya melihat P18 sewaktu di lapangan terbang sahaja. Setelah beg di "check in", Andy memberitahu Tertuduh bahawa beliau tidak dapat pergi ke Malaysia bersama Tertuduh." Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan [13] Di akhir kes pembelaan, Yang Arif Hakim bicara mendapati pembelaan perayu gagal menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. YA Hakim bicara membuat dapatan bahawa keterangan pembelaan perayu hanya merupakan suatu "afterthought". Hakim bicara juga membuat dapatan bahawa perayu bukan seorang 'passive carrier'. Penilaian ke atas kes pembelaan oleh Hakim bicara dapat dilihat di muka surat 20 hingga 27 Rekod Rayuan Jilid 1. YA Hakim bicara berpuas hati bahawa kes pendakwaan telah dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah dan dengan itu perayu telah didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum dengan hukuman mati. Rayuan Perayu [14] Peguam cara terpelajar bagi pihak perayu mengemukakan tiga alasan berikut dalam mencabar keputusan Hakim bicara:
a
(a)Terdapat kelompongan dan keraguan atas eksibit dadah pertuduhan kerana saksi-saksi pendakwaan SP1 (ahli kimia) dan SP2 (pegawai tangkapan) tidak membuat pengecaman dan penandaan eksibit di mahkamah semasa memberi keterangan masing-masing;
b
(b)Hakim bicara khilaf apabila menggunakan keterangan pengedaran secara langsung (direct evidence) semasa memanggil pembelaan perayu tetapi kemudiannya menggunakan peruntukan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB apabila mensabitkan perayu di akhir kes pembelaan.
c
(c)Hakim bicara khilaf kerana tidak menimbangkan keterangan perayudan saksi SD2 yang bukan keterangan 'afterthought'. Keputusan Mahkamah Ini Sama ada barang kes telah dicamkan dan dikemukakan dengan betul sebagai eksibit oleh saksi SP1 dan SP2 [15] Kami menimbangkan isu pertama yang dibangkitkan oleh peguam cara terpelajar bagi pihak perayu. Peguam cara terpelajar menghujahkan bahawa berdasarkan nota keterangan oleh mahkamah, tidak ada pengecaman terhadap barang kes dibuat oleh saksi-saksi pendakwaan khususnya SP1 dan SP2. Hujahan oleh peguam cara terpelajar ini dibuat berdasarkan nota keterangan yang melibatkan ahli kimia (SP1) di muka surat 2 Rekod Rayuan Jilid 2 yang mencatatkan seperti berikut: "Mahkamah : Sesi pengecaman dan tandaan barang kes". Selepas catatan tersebut, nota keterangan mencatatkan perkataan "Pemeriksaan Balas". Peguam cara dengan itu menghujahkan tiada catatan oleh Hakim bicara tentang eksibit sebenar yang telah dicamkan oleh saksi SP1 dan penandaannya sebagai eksibit di hadapan mahkamah. [16] Peguam cara terpelajar selanjutnya merujuk kepada keterangan SP2. Pada muka surat 11 Rekod Rayuan Jilid 3 mencatatkan seperti berikut: "Mahkamah : Sesi pengecaman barang kes." Selepas catatan tersebut, nota keterangan mencatatkan perkataan "Pemeriksaan Balas". Peguam cara terpelajar dengan itu menghujahkan tiada catatan oleh Hakim bicara bahawa SP2 telah sebenarnya mencamkan eksibit dan penandaannya sebagai eksibit di hadapan mahkamah. [17] Peguam cara terpelajar juga menghujahkan terdapat keraguan sama ada Hakim bicara melihat sendiri barang kes dan keraguan dalam kaedah penandaan barang kes sebagai eksibit mahkamah. Peguam cara terpelajar berhujah tidak terdapat sebarang catatan di muka surat 2 dan 11 Rekod Rayuan Jilid 3 tersebut yang mencatatkan Hakim bicara membenarkan tandaan ke atas barang kes atau eksibit-eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Justeru itu peguam cara terpelajar menghujahkan bahawa wujud kesenjangan (gap) dan keraguan dalam kes pendakwaan kerana rantaian keterangan mengenai barang kes atau eksibit terputus. Peguam cara terpelajar merujuk kepada kes-kes berikut untuk menyokong hujahan: Mohamad Hanafi bin Muhamad Hashim Iwn Pendakwa Raya [2016] MLJU 245; Muhamad Zikry K Suresh bin Abdullah & Anor v Pendakwa Raya [2014] 1 MLJU 1110; Sia Soon Suan v Public Prosecutor [1966] 1 MLJ 116; Lew Wai Loon v PP [2014] 2 CLJ 649. [18] Pada peringkat awal sebelum rayuan ini didengar, Mahkamah ini pada 2 Mac 2018 telah membenarkan penangguhan yang dipohon oleh peguam cara terpelajar untuk mendapatkan salinan rakaman prosiding (CRT) daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam bertujuan untuk mahkamah ini dapat melihat bagaimana prosiding pengecaman barang kes dijalankan oleh Hakim bicara. Bagaimana pun apabila rayuan ini didengar, tiada permohonan oleh mana-mana pihak untuk rakaman CRT ditayangkan atau dipohon untuk rakaman CCTV menjadi sebahagian daripada rekod rayuan di hadapan kami. Maka itu, hujahan pihak-pihak semasa pendengaran rayuan ini diasaskan kepada catatan nota keterangan yang terkandung dalam Rekod Rayuan. [19] Dalam keadaan sedemikian kami membuat penelitian ke atas nota keterangan dan rekod rayuan serta alasan penghakiman oleh YA Hakim bicara untuk menentukan sama ada benar saksi-saksi tidak menjalankan pengecaman atas eksibit dan sama ada hakim bicara tidak melihat pencaman eksibit oleh saksi dan penandaan eksibit. [20] Alasan Penghakiman oleh YA Hakim bicara menunjukkan sejumlah 25 jenis eksibit telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan Hakim bicara mengatakan bahawa pertimbangan telah diberikan oleh beliau terhadap keseluruhan eksibit tersebut (muka surat 16 Rekod Rayuan Jilid 1). [21] Bahagian III - Senarai Eksibit yang dilampirkan dalam Rekod Rayuan Jilid 3 menunjukkan senarai atau butiran setiap eksibit daripada eksibit pertama iaitu P1 (Izin Dakwa) hingga eksibit P25E(2)(Satu tiub darah atas nama Luo Wei Qin). Eksibit tiga bungkusan dadah terlibat ditandakan sebagai P9A, P9B dan P9C. [22] Alasan Penghakiman Hakim bicara juga membuat rujukan kepada eksibit bungkusan dadah bertanda P9A, P9B dan P9C (muka surat 8 Rekod Rayuan Jilid 1). Seterusnya Hakim bicara membuat dapatan bahawa perayu mempunyai milikan atas dadah P9A, P9B dan P9C (muka surat 12 Rekod Rayuan Jilid 1), [23] Hujahan bertulis oleh peguam cara perayu yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi tidak menunjukkan sebarang hujahan dibangkitkan oleh pihak pembelaan terhadap ketiadaan pengecaman barang kes atau keraguan ke atas eksibit oleh saksi-saksi pendakwaan khususnya SP1 dan SP2. [24] Berdasarkan butiran catatan dalam Rekod Rayuan seperti yang kami huraikan di atas, kami berpuas hati bahawa pengecaman barang kes/eksibit telah dibuat oleh saksi-saksi pendakwaan dan sempurna diterima masuk sebagai eksibit kes pendakwaan oleh Hakim bicara. Oleh itu hujahan peguam cara terpelajar dalam isu ini tidak mempunyai merit. Sama ada Hakim bicara khilaf dan tersalah arah dalam pemakaian peruntukan seksyen 2 dan peruntukan anggapan pengedaran seksyen 37(da) (xvi) ADB 1952 [25] Peguam cara terpelajar menghujahkan Hakim bicara telah melakukan khilaf dan salah arah apabila bergantung pada seksyen 2 ADB bagi unsur pengedaran semasa kes pendakwaan tetapi di masa yang sama mengguna pakai anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB pada akhir kes pembelaan. Justeru itu peguam cara terpelajar menghujahkan bahawa tiada dapatan yang jelas oleh Hakim bicara sama ada perayu disabitkan atas "actual trafficking" atau "presumed trafficking" dan dengan itu berlaku salah arah yang serius hingga membawa satu ketidakadilan (miscarriage of justice) terhadap perayu kerana perayu berhadapan dengan dua situasi ketidaktentuan beban pembuktian, iaitu menimbulkan keraguan yang munasabah bagi actual trafficking dan dalam masa yang sama beban 'balance of probability' untuk mematahkan anggapan pengedaran. Peguam cara terpelajar merujuk kepada dua autoriti keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes berikut untuk menyokong hujahan: Abou Sylla v Public Prosecutor (Criminal Appeal No. W-05(M)-168-05/2016); Soorya Kumar a/I Narayanan @ Narayanasamy v Public Prosecutor [2009] 6 CLJ 257. [26] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terpelajar dalam hujah balas menghujahkan bahawa Hakim bicara betul dalam mengguna pakai seksyen 2 ADB. TPR selanjutnya menghujahkan terdapat keterangan langsung bahawa perayu melakukan perbuatan pengedaran seperti mana yang ditakrifkan oleh seksyen 2 ADB apabila perayu mengangkut atau membawa P18 yang diketahui mengandungi dadah. TPR merujuk kepada autoriti berikut untuk menyokong hujahan: Teh Geok Hock v Public Prosecutor [1989] 3 MLJ 162; Public Prosecutor v Atisheshan Singaram [2010] 1 LNS 463. Melalui kata-kata pembukaan semasa permulaan perbicaraan, TPR juga mengatakan secara alternatif pihak pendakwaan mengguna pakai peruntukan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB (muka surat 5 Rekod Rayuan Jilid 3). Maka yang demikian perayu tidak diprejudiskan dengan tahap beban pembuktian kes pembelaan. [27] Kami meneliti alasan penghakiman Hakim bicara berkaitan analisis dan dapatan beliau pada akhir kes pendakwaan. Hakim bicara membuat dapatan seperti berikut (muka surat 14-15 Rekod Rayuan Jilid 1): "Perbuatan Tertuduh membawa dadah tersebut di dalam bagasi P18 tersebut adalah terjumlah kepada perbuatan pengedaran sebagaimana yang didefinasikan di bawah Seksyen 2, Akta Dadah Berbahaya, 1952 iaitu membawa. Beliau membawa dadah-dadah tersebut dari China bagi diedarkan di Malaysia. Tertuduh bukan setakat membawa atau menyimpan dadah berbahaya berkenaan tetapi, "whether he is a trafficker in those circumstances depend on the facts and circumstances of the given case, including the quantity of the drugs and any transaction the accused proposed to enter into". (lihat kes Mohamad Yazri Minhat v Public Prosecutor [2003] 2 CLJ 65 p 75). Memandangkan jumlah dadah yang dibawa oleh Tertuduh adalah satu jumlah yang besar iaitu 1533.6 gram, maka adalah sesuatu yang tidak dapat disangkalkan bahawa Tertuduh membawa dadah tersebut untuk tujuan pengedaran (Ong Ah Chuan v PP [1981] 1 MLJ 64). Manakala dalam kes Mohamad Yazri Minhat v Public Prosecutor (supra) diputuskan: "As a matter of common sense the larger the quantity of drugs involved the stronger the inference that they were not intended for the personal consumption of the person carrying them, and the more convincing the evidence needed to rebut it". Dari fakta dapat digarab bahawa berdasarkan kepada cara dadah tersebut dibawa dan jumlah dadah yang agak besar, maka "irresistible inference" boleh dibuat berdasarkan kepada "common sense approach" bahawa Tertuduh sememangnya berniat untuk mengedar dadah tersebut. Lantas, pihak pendakwaan diputuskan telah berjaya membuktikan bahawa Tertuduh telah melakukan perbuatan mengedar dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya, 1952 iaitu membawa." [28] Jelasnya YA Hakim bicara di akhir kes pendakwaan telah berpuas hati dan memutuskan suatu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap perayu bagi kesalahan pengedaran dadah seperti mana yang didefinasikan di bawah seksyen 2 ADB. Dengan kata lain YA Hakim bicara telah membuat "positive findings" milikan dan pengetahuan perayu ke atas dadah tersebut dalam memerintahkan perayu untuk membela diri atas pertuduhan. Walaupun Hakim bicara ada mengatakan tentang jumlah dadah yang besar dalam milikan perayu, tetapi Hakim bicara tidak mengguna pakai peruntuk anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB. Beban pembuktian pembelaan oleh perayu oleh itu kekal pada tahap hanya untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. [29] Kami meneliti pula apakah pendekatan dan dapatan oleh Hakim bicara di akhir kes pembelaan berkaitan beban pembuktian pembelaan perayu. YA Hakim bicara memutuskan seperti berikut (muka surat 27-28 Rekod Rayuan Jilid 1): "Keputusan Setelah saya meneliti serta menghalusi akan keterangan dari saksi-saksi Pendakwaan yang seramai 4 orang semuanya serta mendengar dan menghalusi akan keterangan dari Tertuduh dan kakaknya, setelah meneliti kepada kedudukan Undang-Undang yang berkaitan dengannya, mengkaji otoriti-otoriti kes yang dikemukakan, menilai serta menimbang kepada keterangan secara keseluruhannya, dengan ini mencapai suatu keputusan iaitu Tertuduh diperingkat akhir kes Pembelaan ini telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes Pihak Pendakwaan. Tiada keterangan berjaya dikemukakan bagi menyangkal kesahihan keterangan pihak Pendakwaan bagi tujuan menimbulkan keraguan yang munasabah. Sehingga ke akhir kes Pembelaan ini, jelas bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka melampaui keraguan yang munasabah terhadap Tertuduh. Oleh itu Tertuduh ini dengan ini disabitkan di atas kesalahan sepertimana Pertuduhan.” [30] Kami menimbangkan juga maksud perkataan "menyangkal" oleh Hakim bicara yang mengatakan "Tiada keterangan berjaya dikemukakan bagi menyangkal kesahihan keterangan pihak Pendakwaan bagi tujuan menimbulkan keraguan yang munasabah". Kami dapati. ungkapan pengataan "menyangkal" tersebut merujuk kepada dapatan terdahulu oleh Hakim bicara yang membuat dapatan terhadap pembelaan perayu seperti berikut (muka surat 25 Rekod Rayuan Jilid 1): "Melalui keterangannya (perayu) juga fakta-fakta berikut telah tidak disangkal oleh pihak Tertuduh. Malah Tertuduh telah mengesahkan keterangan saksi pendakwaan bahawa: i) Pada 15.11.2013 Tertuduh telah tiba di Aras 3, MTB KLIA Sepang. ii) Setelah tiba Tertuduh telah menarik beg menuju ke kawasan pengimbasan bagasi. iii) Pada masa itu Tertuduh jalan tidak tentu hala, iaitu pandang kiri dan kanan. iv) Pada waktu itu Tertuduh ada menarik P18. v) SP3 ada imbas P18. vi) Tag bag pada P18 atas nama Tertuduh. vii) Apabila dadah berjaya dijumpai oleh SP2, air muka Tertuduh berubah. viii) Dalam P18 terdapat baju milik Tertuduh. ix) SP2 telah menghubungi SP3. x) Pemeriksaan pada P18 dibuat di dalam Pejabat Narkotik di hadapan Tertuduh." [31] Meneliti alasan penghakiman YA Hakim bicara, kami mendapati Hakim bicara tidak mengguna pakai anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) terhadap Perayu baik pada akhir kes pendakwaan mahu pun pada akhir kes pembelaan. Sebutan oleh YA Hakim bicara atas berat dadah yang besar dan terdapatnya peruntukan anggapan pengedaran hanya merupakan suatu 'by-passing' yang tidak dijadikan asas oleh Hakim bicara dalam membuat dapatan dan sabitan terhadap perayu. Hakim bicara secara konsisten dari akhir kes pendakwaan hingga akhir kes pembelaan meletakkan beban pembuktian pembelaan perayu hanya pada tahap menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Oleh itu tidak timbul isu bahawa terdapat kekeliruan atau ketidakpastian dalam hal beban pembuktian kes pembelaan yang boleh menjadi satu salah arah yang serius oleh Hakim bicara yang membawa kepada suatu ketidakadilan atas perayu. Malahan dengan tidak menggunapakai peruntukan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB, perayu mendapat faedah daripada tahap beban pembuktian yang lebih rendah iaitu hanya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan berbanding dengan tahap beban pembuktian pembelaan yang lebih tinggi sekiranya peruntukan anggapan pengedaran digunakan oleh Hakim bicara (Hossein Shahsavandi Ahmad v PP [2015] 7 CLJ 882 COA). [32] Dalam kes PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499, Mahkamah Persekutuan telah mengetepikan hukuman dan sabitan di bawah seksyen 12(2) yang dibaca bersama seksyen 39A(2) ADB digantikan dengan sabitan di bawah seksyen 39B(1)(a) dan hukuman di bawah seksyen 39B(2) ADB. Mahkamah Persekutuan memutuskan perbuatan perayu yang membawa beg yang mengandungi dua kotak berisi dadah semasa ditahan di LLCT (KLIA2) tergolong di bawah maksud pengedaran di bawah seksyen 2 ADB. Raus Sharif PCA (beliau ketika itu) memutuskan seperti berikut: "[38] With respect, the proposition that there must be in all cases an overt act in order to constitute trafficking is misconceived. It would be contrary to the definition of trafficking as provided for under s 2 of the Act. In the present case, there is no dispute that the respondent did not try to do anything, when she was approached by PW4, to disassociate herself with the impugned drugs. In this type of situation, this court in Teh Hock Leong v. PP [2008] 1 MLRA 548 had held that: [5] It is our view that in order to draw a favourable inference from the appellant's contemporaneous conduct, his action or inaction must be examined in the light of the situation at the material time. The area where the appellant was confronted by PW5 was the arrival gate of an incoming flight in the KLIA. This was the only exit point where passengers disembarking the plane can enter the KLIA terminal. It is common knowledge that the area was tight and restricted with hardly any room for the appellant to make a successful escape even if he had tried. From here the appellant was then taken by PW5 and his men to PW5's office in the KLIA. The approximate walking distance was 600-800 metres. Here again the appellant's chances of a quick getaway were minimal since he was escorted and was within the restricted vicinity of the KLIA building. And, if the appellants were to attempt to throw away or disassociate himself with the backpack during this entire duration described it would evidently be noticeable. Of course, since the drugs were so cunningly concealed, there could be no necessity to take such drastic actions which may attract instant suspicion. So against these circumstances, the appellant's docile conducted throughout the period described could not have inferred an absence of knowledge of the said drugs. For this reason, there is no misdirection by the courts below." [39] We are of the view that whether or not a person is a trafficker within the definition of s 2 of the Act is dependent on the facts and circumstances of a given case. In this case, it is not in dispute that when the respondent was arrested she was carrying the luggage bag which amongst other things contained the impugned drugs. The respondent was apprehended in the act of carrying from one place to another a large amount of dangerous drugs. It is in evidence that the respondent was unaccompanied by any person when she carried the luggage bag. The luggage bag was registered in the respondent's name when she checked in at the Air Asia check-in counter. The impugned drugs were found hidden in the two boxes. In fact, the drugs were neatly and securely concealed from view in both the boxes. We are of the view that the manner in which the impugned drugs were concealed in the luggage bag showed that the respondent knew the existence of the drugs there, and evinced the intention of and careful planning by the respondent to conceal the impugned drugs to avoid and escape detection (PP v. Abdul Rahman Akif [2007] 1 MLRA 568 and Teh Hock Leong v. PP [2008] 1 MLRA 548)." [33] Kami juga menimbangkan sama ada Hakim bicara melakukan salah arah yang terjumlah kepada tiada arahan jika Hakim bicara menggunakan peruntukan seksyen 2 ADB dan secara alternatif mengguna pakai peruntukan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB. Pun begitu perlu ditegaskan bahawa kami tidak mengatakan Hakim bicara telah menggunakan peruntukan anggapan pengedaran seksyen 37(da) ADB secara alternatif dalam mensabitkan perayu. [34] Dalam kes PP v Lim Hock Boon [2009] 3 CLJ 430, Mahkamah Persekutuan membenarkan penggunaan seksyen 2 ADB dan seksyen 39(da) ADB secara alternatif apabila mengesahkan sabitan responden di bawah seksyen 39B(2) ADB. Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti berikut: "Held (3) Although there is only one offence of trafficking under the Act, there are several acts that may constitute the offence. If the prosecution is not able to bring its case within one of the acts under s.2 of the Act but is nevertheless able to establish the existence of primary facts that draw the presumptions under the Act, then the court is enjoined to draw those presumptions, subject to the bar as set by the case of PP v. Abdul Manaf Muhamad Hassan. In instant case, there was an express finding of actual possession by the trial judge and since the weight of the cannabis exceeded the presumption of trafficking under s. 37(da) of the Act against the respondent. The respondent's failure to even cast a reasonable doubt over the prosecution's case, when in fact he had a heavier burden ie. on the balance of probabilities to rebut the presumption of trafficking, meant that the respondent was rightly convicted before the High Court. With this kind of evidence before the court, the Court of Appeal ought to have found that the conviction was safe." [35] Kami juga mendapati kes perayu ini tidak melibatkan sebarang isu pemakaian anggapan berganda (double presumptions) oleh Hakim bicara. Dengan kata lain tidak terdapat apa-apa langgaran peraturan anggapan berganda dalam kes di hadapan kami ini (Raman Kunjiraman v PP [2014] 9 CLJ 915 FC). [36] Berdasarkan huraian yang dinyatakan di atas, kami dapati hujahan peguam cara terpelajar tidak bermerit. Kami berpuas hati bahawa Hakim bicara telah mengaplikasi fakta dan undang-undang dengan betul. Sama ada Hakim bicara khilaf kerana tidak menimbangkan keterangan perayu dan keterangan saksi SD2 yang bukan keterangan 'an afterthought' [37] Peguam cara terpelajar menghujahkan bahawa Hakim bicara khilaf apabila memutuskan pembelaan perayu hanya merupakan satu 'bare denial' serta pembelaan perayu sebagai suatu yang difikirkan terkemudian (an afterthought). Peguam cara terpelajar juga berhujah bahawa Hakim bicara khilaf apabila memutuskan kakak perayu iaitu SD2 ialah saksi yang tidak boleh dipercayai sedangkan SD2 ialah saksi bebas yang menyokong keterangan pembelaan oleh perayu. Justeru itu, peguam cara terpelajar menghujahkan Hakim bicara telah gagal untuk menilai keterangan pembelaan di hadapannya secara adil dan mencukupi. [38] Kami meneliti alasan penghakiman Hakim bicara yang melibatkan analisis dan dapatan berkaitan keterangan pembelaan perayu. Keterangan dan penilaian Hakim bicara terhadap keterangan pembelaan perayu dipaparkan seperti mana di muka surat 17 hingga 27 Rekod Rayuan Jilid 3. [39] Perayu menafikan mempunyai pengetahuan atas dadah yang terdapat dalam P18. Sebaliknya perayu mengatakan P18 diberikan kepada perayu oleh teman lelaki perayu seorang warga Ghana bernama Andy, semasa perayu berada di lapangan terbang Naning, China dan hendak bertolak ke Malaysia pada tarikh kejadian. Perayu mengatakan dia pergi ke lapangan terbang bersama kakaknya SD2. Di lapangan terbang perayu melihat terdapat sebuah beg (P18) yang tidak ada kunci kombinasi dan Andy meminta perayu membawa P18 tersebut ke Malaysia. Perayu mengatakan Andy memberitahunya yang ahli keluarga Andy akan menunggu perayu. Perayu juga mengatakan Andy memberitahunya bahawa Andy akan datang ke Malaysia pada hari esoknya. Maka itu, perayu telah membawa P18 sebelum ditahan semasa imbasan atas P18 dilakukan oleh pegawai beruniform. Perayu mengatakan dia ada memberitahu pegawai yang menahannya bahawa P18 diberikan kepadanya oleh Andy. [40] Keterangan SD2 pula mengatakan dia pernah sebelum tarikh perayuditangkap berjumpa Andy secara ringkas di lapangan terbang Hong Kong. SD2 mengatakan perayu ada memberitahunya yang Andy ialah teman lelaki perayu. SD2 seterusnya mengatakan dia ada menghantar perayu ke lapangan terbang di Naning, Cina untuk bertolak ke Malaysia bertujuan untuk berjumpa dengan keluarga Andy yang tinggal di Malaysia. Semasa di lapangan terbang, Andy telah datang dan memberikan P18 kepada perayu. SD2 mengatakan perayu telah membuka P18 untuk memasukkan baju-baju dan barangan peribadi perayu dalam P18. SD2 mengatakan hanya setelah P18 di "check in" Andy memberitahu perayu yang Andy tidak dapat pergi ke Malaysia bersama perayu. [41] Peguam cara terpelajar berhujah bahawa watak Andy bukan satu watak rekaan atau watak yang difikirkan kemudian dalam pembelaan perayu. Peguam cara terpelajar berhujah watak Andy telah dikemukakan pada peringkat kes pendakwaan melalui pemeriksaan balas semasa keterangan SP2. Kami meneliti keterangan SP2 dalam hal watak Andy tersebut. Di muka surat 15 Rekod Rayuan Jilid 2 mencacatkan keterangan SP2 semasa pemeriksaan balas oleh peguam cara perayu seperti berikut: "Q. Setuju dengan saya OKT semasa di dalam tahanan ASP OKT ada minta untuk buat panggilan telefon sepanjang tahanan di bawah kawalan ASP? J: Kita memang tidak beri dia buat panggilan. Saya tidak ingat. Q: Setuju saya katakan OKT ada sebut nama Andy kepada ASP semasa sebelum beliau diserahkan kepada I.O.? J: Tidak ada." [42] SP2 (pegawai penangkap ASP Mohideen bin Hashim) menafikan perayu ada menyebut nama Andy semasa perayu berada di bawah kawalan SP2. Tiada cabaran dibuat oleh pembelaan terhadap keterangan SP2 tersebut sebagai tidak benar. [43] Peguam cara terpelajar selanjutnya menghujahkan bahawa watak Andy juga diberitahu oleh perayu kepada pegawai penyiasat kes iaitu SP4. SP4 bersetuju bahawa watak Andy ada disebutkan dalam rakaman percakapan perayu yang diambil oleh SP4. SP4 mengatakan walau pun perayu memberitahu tentang watak Andy, tetapi perayu tidak memberikan butiran lain tentang watak Andy tersebut seperti nama penuh, pasport, tempat tinggal Andy dan keluarga Andy. SP4 mengatakan semakan SP4 atas dua telefon tangan yang dirampas daripada perayu tidak terdapat apa-apa nama Andy direkodkan. Keterangan SP2 tersebut tidak dicabar oleh pihak pembelaan. Pembelaan juga tidak mengemukakan salinan rakaman percakapan beramaran perayu. [44] Dalam kes Alcontara a/l Amross Anthony v Public Prosecutor [1996] 1 MLJ 209, pihak pembelaan mengemukakan percakapan beramaran perayu sebagai eksibit pembelaan semasa perbicaraan. Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan perayu tersebut memutuskan bahawa adalah satu salah arahan yang serius oleh hakim bicara untuk mengkritik pembelaan perayu tersebut apabila gagal menimbulkan nama Che Mat di peringkat kes pendakwaan dan dengan itu pembelaan tidak boleh menimbulkan watak tersebut di peringkat pembelaan diri. Mahkamah Persekutuan mengatakan percakapan beramaran perayu tersebut yang memberikan butiran lengkap tentang nama Che Mat, nombor telefon Che Mat dan tempat tinggal Che Mat telah membentuk satu notis kepada pihak pendakwaan bagi watak Che Mat tersebut dibuat penyiasatan oleh pegawai penyiasat di mana siasatan tersebut tidak dibuat. Berbanding dengan kes Alcontara (supra) tersebut, butiran yang sedemikian yang boleh membantu siasatan tidak terdapat dalam kes perayu ini untuk membolehkan SP4 membuat siasatan kebenaran wujudnya watak Andy tersebut. Oleh itu pihak pendakwaan tidak boleh ditanggungjawabkan di atas isu benar wujud atau tidak Andy. Dengan kata lain notis Alcontara tidak memadai dalam kes perayu ini. [45] Penelitian kami ke atas alasan penghakiman Hakim bicara, kami berpuas hati hakim bicara telah meneliti dan menimbangkan dengan teliti dan menyeluruh pembelaan perayu khususnya watak Andy yang dibangkitkan oleh pembelaan. Hakim bicara juga membuat dapatan bahawa perayu bukan seorang "innocent carrier". Tidak terdapat apa-apa alasan yang kukuh untuk mahkamah ini bercampur tangan atas dapatan oleh Hakim bicara tersebut. Mahkamah ini juga akan membuat dapatan yang serupa dengan keterangan yang terdapat itu. [46] Mahkamah ini juga mendapati Hakim bicara tidak tersalah arah dirinya dalam isu beban pembuktian. Dapatan oleh Hakim bicara ialah pengedaran dadah secara langsung di bawah seksyen 2 ADB 1952 dan beban pembelaan atas perayu hanya untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Hakim bicara tidak meletakkan beban pembelaan yang lebih tinggi terhadap perayu. Justeru, Mahkamah ini dapati hujahan peguam cara terpelajar dalam perkara ini tidak mempunyai merit. Kesimpulan [47] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, Mahkamah ini mendapati YA Hakim bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggui keputusan Hakim bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat. [48] Justeru, Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi. (YAACOB BIN HAJI MD. SAM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh 30 April 2019 Peguam cara bagi pihak perayu: Ramzani bin Idris Tetuan Haresh Hamadevan & Co. Peguambela dan Peguamcara No. 49, Tingkat 1 Jalan Yam Tuan 70000 Seremban Negeri Sembilan. Peguam cara bagi pihak responden Hamdan bin Hamzah Timbalan Perdakwa Raya Jabatan Peguam Negara Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Aras 5, Blok 4G7, No.45, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.