tidak bertanggungan untuk membayar sebarang gantirugi kepada Plantif. Terdapat isu yang meragukan dan melibatkan penipuan (frod) yang mana Defendan (2) mendakwa tuntutan Plantif terhadap Defendan-Defendan adalah tuntutan palsu demi menuntut gantirugi daripada Defendan (2). [5] Mahkamah mendapati tiada keterangan daripada saksi bebas di tempat kejadian ketika kemalangan dikatakan berlaku melainkan keterangan SP7 iaitu Defendan (1) yang mana dikatakan terlibat dalam kemalangan tersebut. Mahkamah selanjutnya menimbang keterangan saksi bebas lain iaitu Pegawai Penyiasat (SP1) di samping keterangan senyap seperti gambar tempat kejadian, gambar motorsikal Plantif, rajah kasar dan laporan polis pihak-pihak. Analisa & Dapatan Mahkamah [6] Sungguhpun Defendan-Defendan tidak megemukakan sebarang saksi atau membentangkan kesnya di hadapan Mahkamah ini, prinsip undang-undang mantap menyatakan beban pembuktian kecuaian pada tahap imbangan kebarangkalian adalah kekal di atas bahu Plantif. Ini juga sejajar dengan kehendak Seksyen 101 dan Seksyen 102 Akta Keterangan 1950. [7] Dalam memahami pekara ini, kes-kes duluan berikut adalah dirujuk; WONG THIN YIT V. MOHAMAD ALI [1971] 2 MLJ 175: In a negligence action, the onus of proof rests wholly on the plaintiff, whether or not the defendant gives evidence and the plaintiff cannot succeed without proof of the defendant's negligence. Mahkamah juga merujuk kepada kes KUNASEGARAN MANICKAM V. BAULA SINGH KIPA SINGH & ANOR & ANOTHER CASE [1982] CLJ (REP) 506: The fact that the defendants had not been called to rebut the plaintiff's case did not mean judgment must be entered in favour of the plaintiff. The question of tilting the balance of probabilities in the plaintiff's favour would only arise where the plaintiff has proved his case. Prinsip tersebut juga telah dirujuk dalam kes CHE PAH BINTI ITAM V. CHANG BEK LEE [1998] 4 CLJ 517: Although the defendant had not adduced any evidence he had nevertheless filed his statement of defence denying any liability whatsoever for the said accident. In the absence of the defendant's evidence is the court compelled to accept in toto the plaintiff's version? It is trite law that the onus of proving negligence lies on the plaintiff. In Wong Thin Yit v. Mohamed Ali [1971] 1 LNS 151 Ong CJ (as he then was) held: In a negligence action the onus of proof rests wholly on the plaintiff, whether or not the defendant gives evidence.The plaintiff cannot succeed without proof of defendant's negligence. [8] Sehubungan itu, adalah amat penting bagi Mahkamah untuk menentukan sama ada kemalangan sebenarnya telah berlaku antara Plantif dan Defendan (1) memandangkan Defendan (2) telah mempertikaikan berlakunya kemalangan tersebut. Mahkamah ini perlu menimbang beban pembuktian penipuan dalam kes ini atas imbangan kebarangkalian bagi menentukan sama ada kemalangan sebenarnya berlaku seperti yang telah diputuskan dalam kes SINNAIYAH & SONS SDN BHD V. DAMAI SETIA SDN BHD [2015] 7 CLJ 584 seperti berikut: We therefore reiterate that we agree and accept the rationale in re B (Children) (supra) that in a civil claim even when fraud is alleged the civil standard of proof, that, is, on the balance of probabilities, should apply. [9] Mahkamah berpendapat keterangan SP6 iaitu Plantif dan SP7 iaitu Defendan (1) adalah perlu diteliti bagi Mahkamah ini membuat dapatan samada di atas imbangan keberangkalian bahawa versi yang dikemukakan oleh Plantif adalah boleh dipercayai dan berkeyakinan di sisi undang-undang. Adalah perlu difahami bahawa kedua-dua saksi ini adalah watak-watak penting yang dikatakan berada di tempat kejadian pada tarikh dan masa dikatakan kemalangan berlaku. [10] Adalah mustahak untuk Mahkamah ini meneliti keterangan Plantif-SP6 terlebih dahulu dengan merujuk kepada penyata saksi-P9 di mana menyatakan seperti berikut: Pada 30.11.2019 jam lebih kurang 9.10 malam saya dari rumah di Taman Rhu menuju ke Taman Rambai Kuala Selangor dengan menunggang motorsikal No. BKF 5509. Semasa melalui jalan Teluk Piah Kanan, tiba-tiba sebuah motorsikal no. WC 2113 S jenis tidak pasti telah keluar dari simpang Jalan Medan Niaga. Saya sempat membrek namun terlanggar juga motorsikal tersebut. Semasa pemeriksan balas SP6 memaklumkan beliau dilanggar di sebelah kiri motorsikalnya dan beliau kemudian turut jatuh di sebelah kiri. Kemudian beliau telah dihantar pulang ke rumah oleh kawan-kawannya yang turut berada berhampiran kawasan kemalangan. SP6 turut memaklumkan, beliau mengetahui nombor pendaftaran motorsikal Defendan (1) melalui kawannya yang telah meninggal dunia. [11] Di samping itu, Mahkamah turut dikemukakan dengan laporan polis – P1 yang telah dibuat oleh SP6 yang mana isi kandungan laporan tersebut menyatakan antara lain bagaimana, di mana dan bila kemalangan berlaku adalah sejajar dengan keterangan SP6 di perenggan [10]. Sungguhpun begitu, Mahkamah perlu berhati-hati dalam menerima seadanya laporan polis tersebut kerana ianya telah dibuat Plantif pada 5.12.2019 yang mana lebih kurang 6 hari selepas kemalangan berlaku. Mahkamah mendapati tiada alasan munasabah yang diberikan Plantif atas kelewatan melaporkan kemalangan yang dialami beliau. Hal ini kerana Mahkamah ini mendapati dalam kes ini wujud tiga laporan perubatan Plantif yang mana masing-masing di bahagian History patient jelas menunjukkan tiga naratif kes Plantif yang tidak konsisten antara satu sama lain. Adalah lebih baik Mahkamah ini memperturunkan History laporan perubatan seperti berikut: Laporan Perubatan History Klinik Kesihatan Jeram (2.12.2019) Alleged MVA (fall from motorbike) 29.11.2019 due to faulty tyre. Fell on left side sustained pain and bswelling left foot. Hospital Tanjung Karang (2.12.2019) He was involved in MVA whereby he lost control of his motorbike & subsequently fell over his left foot. Hospital Sungai Buloh (17.12.2019) Had an alleged MVA on 30.11.2019 (MB v. MB), was riding at 80 km/h and wearing a helmet when suddenly another motorcyclist drove out from the left junction. Patient’s motorcycle collided the other motorcycle and fell on his left side. [12] Berdasarkan History dalam laporan perubatan Hospital Sungai Buloh, Mahkamah mendapati ianya konsisten dengan laporan polis Plantif bagi menyokong keterangan Plantif di Mahkamah berkenaan bagaimana, di mana dan bila kemalangan dikatakan berlaku. Akan tetapi Mahkamah ini berpendapat adalah tidak selamat untuk Mahkamah ini bersandar kepada kedua-dua dokumen tersebut semata-mata kerana laporan polis dibuat 6 hari lewat dari tarikh kemalangan dikatakan berlaku iaitu 30.11.2019 dan Plantif hanya menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh pada 17.12.2019. [13] Situasi kelewatan sebegini jelas membolehkan fakta yang dinyatakan dalam kedua-dua dokumen tersebut adalah fikiran terkemudian oleh Plantif bagi membaiki naratif kes Plantif seperti yang dinyatakan dalam Laporan Perubatan Klinik Kesihatan Jeram dan Laporan Perubatan Hospital Tanjung Karang iaitu kemalangan berlaku pada 29.11.2019 yang mana Plantif telah jatuh dari motorsikalnya akibat gagal mengawal motorsikal disebabkan kerosakan tayar motorsikal. Malahan itu, lebih meragukan Mahkamah versi yang dikemukakan Plantif dalam Laporan Perubatan Klinik Kesihatan Jeram dan Hospital Tanjung Karang adalah pada 2.12.2019 iaitu yang mana jauh lebih awal daripada tarikh laporan polis Plantif dibuat 5.12.2019. Mahkamah berpendapat adalah munasabah dikatakan memori ingatan Plantif berkenaan kemalangan tersebut adalah lebih kuat pada 2.12.2019. Dalam hal ini, Mahkamah perlu merujuk kepada keterangan SP2 iaitu Ketua Rekod Hospital Tanjung Karang yang mengesahkan bahawa bahagian History adalah dapatan daripada perbualan doktor dan pesakit dan laporan perubatan adalah disediakan oleh pegawai perubatan /doktor berdasarkan rekod perubatan pesakit. Mahkamah turut ambil maklum bahawa motorsikal Plantif tidak dilindungi insurans pada setiapa masa yang material maka Plantif tidak layak membuat tuntutan insurans melainkan menuntut gantirugi ke atas syarikat insurans bagi kenderaan lain yang dikatakan terlibat kemalangan. [14] Mahkamah mendapati sepanjang kes Plantif berlansung, doktor-doktor yang menyediakan laporan perubatan Klinik Kesihatan Jeram dan Hospital Tanjung Karang gagal disapina oleh Peguamcara Plantif tanpa sebarang alasan munasabah dikemukakan bagi menjelaskan percanggahan yang timbul tersebut. Hal ini kerana, menurut keterangan SP2 tugas beliau adalah seperti berikut: S: apa tugas puan di jabatan rekod perubatan J: menguruskan penyimpanan rekod perubatan, menguruskan permohonan laporan perubatan dan pengurusan statistik S: jika skop adalah untuk menguruskan permohonan laporan perubatan, maka siapa yang type atau sediakan laporan perubatan J: pegawai perubatan yang akan buat laporan perubatan S: setuju apa yang ditulis/type adalah dirujuk kepada rekod perubatan pesakit yang ada tersebut J: setuju Tambahan itu, keterangan SP5 iaitu Ketua Rekod Klinik Kesihatan Jeram turut mengesahkan bahagian History dalam laporan perubatan adalah apa yang diceritakan oleh pesakit kepada doktor ketika pemeriksaan awal dibuat dan kebiasaanya doktor akan bertanya kepada pesakit bagaimana kecederaan diperolehi dan doktor kemudian akan mencatit dalam nota klinikal jabatan dan catitan akan dinyatakan dalam laporan perubatan apabila dipohon oleh mana-mana pihak. Berdasarkan kepada kedua-dua keterangan SP2 dan SP5, Mahkamah menerima penjelasan mereka keseluruhannya di samping mereka adalah saksi bebas yang tidak mempunyai kepentingan. Penjelasan yang dikemukakan di Mahkamah adalah berkeyakinan, konsisten, boleh dipercayai dan munasabah. [15] Atas kegagalan tersebut, Mahkamah ini membuat satu inferens bertentangan di bawah Seksyen 114 (g) Akta Keterangan 1950. Mahkamah berpendapat saksi-saksi tersebut amat material kerana mereka yang menyediakan laporan-laporan tersebut berdasarkan nota klinikal yang dicatit apabila temubual dengan pesakit dibuat. Tiada keterangan menafikan kemungkinan doktor-doktor ini juga yang menemu bual Plantif pada 2.12.2019. Oleh itu, tanpa keterangan melalui saksi-saksi ini sama sekali amat menjejaskan kebolehterimaan versi Plantif melalui penyataan tuntutannya. Mahkamah turut berpendapat adalah salah arah untuk Mahkamah ini mengabaikan bukti History laporan perubatan Klinik Kesihatan Jeram dan Hospital Tanjung Karang dan hanya menggunapakai History laporan perubatan Hospital Sungai Buloh. [16] Selanjutnya, Mahkamah ini mengambil maklum Defendan (1) tidak hadir ke Mahkamah memberikan keterangan bagi pihak Defendan tetapi hadir sebagai saksi yang disapina oleh Peguamcara Plantif. Semasa pemeriksaan utama SP7 memaklumkan beliau telah dilanggar oleh motorsikal yang ditunggang Plantif ketika cuba membelok keluar simpang dari Jalan Naga 2 untuk menuju ke Kuala Lumpur (arah bawah Rajah Kasar) setelah selesai berjumpa dengan kawan-kawannya. Usai kemalangan, SP7 tidak terus membuat laporan polis kerana mangsa Plantif memberitahu hanya mengalami kecederaan ringan maka tiada keperluan membuat laporan polis. SP7 hanya membuat laporan polis selepas mendapat surat peringatan daripada Polis. Berdasarkan keterangan SP7 semasa pemeriksaan utama, ianya seakan menyokong keterangan Plantif-SP6 berkenaan kewujudan kemalangan berlaku akibat pelanggaran motorsikal Plantif terhadap motorsikal Defendan (1). [17] Walaubagaimanapun, Mahkamah berpendapat keterangan SP7 semasa pemeriksaan utama adalah tidak konklusif untuk menyokong keterangan Plantif-SP6 apabila Mahkamah mendapati tiada rujukan dilakukan oleh Peguamcara Plantif kepada laporan polis yang dilakukan oleh SP7 pada 21.6.2020 dan rajah kasar tempat kejadian gagal difahami oleh SP7 sepenuhnya berkenaan gambaran tempat kejadian. Akan tetapi, semasa pemeriksaan balas SP7 Mahkamah mendapati SP7 kredibilitinya adalah diragui kebolehpercayaan disebabkan terdapat percanggahan material keterangan beliau sendiri yang amat ketara terutamanya tentang bagaimana, bila dan di mana kemalangan berlaku. Antaranya: