Walau bagaimanapun, fakta dalam kes Triple Zest Trading & Suppliers & Ors adalah berbeza dengan kes ini. Dalam Triple Zest Trading & Suppliers & Ors, tiada hartanah yang hendak dijual beli. Ia adalah pinjaman wang tunai dengan keuntungan berjumlah RM800,000.00 dalam tempoh 30 hari yang dipersetujui sebagai sandaran untuk faedah. Keuntungan yang dipersetujui bagi kes Triple Zest Trading & Suppliers & Ors adalah merujuk kepada kadar faedah efektif 100% sebulan atau 1,200% setahun. Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, terdapat hartanah sebenar yang menjadi subjek OTP dan OTP adalah perjanjian jualan hartanah yang perlu diselesaikan dalam tempoh satu tahun. Sekiranya ia gagal diselesaikan, Plaintif berhak kepada pampasan berjumlah RM100,000.00 sebagaimana yang dipersetujui dalam OTP. Oleh itu, OTP dalam Rayuan ini adalah pampasan bagi liquidated damages sekiranya penjual (D1) mungkir dan bukanlah faedah atas pinjaman.