(iii) bencana tubuh/kecederaan yang dialami oleh simati adalah akibat perbuatan OKT berdasarkan kepada rakaman CCTV yang ditandakan sebagai ID17(a) dan ID17(b) yang menunjukkan OKT telah menendang simati sehingga terjatuh dan kemudian menumbuk simati. [28] Secara kesimpulannya, pihak pendakwaan menghujahkan bahawa berasaskan kepada penilaian maksima, Mahkamah ini wajar memutuskan kes prima facie ke atas OKT dan OKT hendaklah dipanggil untuk membela diri. HUJAHAN PEMBELAAN [29] Secara ringkasnya peguambela yang bijaksana menghujahkan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen ketiga pertuduhan bahawa OKT telah menyebabkan kematian ke atas mangsa (simati) seperti berikut: a) keterangan SP1 berkenaan kenyataan seorang individu bernama Prem yang merupakan saksi penting dalam kes ini dan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan keterangan Prem. b) kegagalan untuk menyiasat dan mengemukakan rakaman CCTV tempat kejadian oleh pegawai penyiasat, ASP Chua Chong Kheow (SP6). c) siasatan pengawai penyiasat yang cacat yang telah memprejudiskan pembelaan tertuduh. d) kegagalan pihak pendakwaan membuktikan mens rea untuk satu kes bunuh. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH Rakaman CCTV ditandakan sebagai ID17(a) dan ID17(b) [30] Bersandarkan kepada prinsip undang-undang mantap yang telah diputuskan oleh Mahkamah atasan, adalah menjadi tugas Mahkamah ini membuat penilaian maksima atas keterangan saksi-saksi pendakwaan untuk memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap OKT. Dalam erti kata lain, penilaian maksima menghendaki Mahkamah ini menilai kredibiliti saksi-saksi pendakwaan, percanggahan fakta dan juga apa-apa keraguan yang berbangkit daripada keterangan itu akibat fakta yang tidak jelas atau inferens yang memihak kepada pihak pembelaan susulan penilaian keterangan yang dikemukakan. Hakim Augustine Paul dalam kes PP v Dato’ Seri Anwar Ibrahim (no.3) [1999] 2 CLJ 215 menyatakan: “ a prima facie case as prescribed by the new section 180(1) Criminal Procedure Code must mean a case which unrebutted would warrant a conviction.” [31] Berdasarkan kepada naratif kes ini, pihak pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada rakaman CCTV yang ditandakan sebagai ID17(a) dan ID17(b) untuk mengaitkan OKT dengan kematian mangsa. [32] TPR telah mencadangkan kepada Mahkamah ini untuk menandakan rakaman CCTV tersebut sebagai ID memandangkan punca kepada pendrive yang mengandungi rakaman di tempat kejadian tidak dapat dipastikan. Oleh itu, rakaman CCTV tersebut tidak ditandakan sebagai eksibit. [33] Mahkamah berpandangan tindakan TPR dalam hal ini adalah wajar kerana pegawai penyiasat SP6 yang merupakan saksi penting pendakwaan telah gagal memberikan keterangan yang meyakinkan Mahkamah mengenai bagaimana pendrive berada di atas meja di pejabat SP6 dan beliau bersetuju dengan cadangan peguambela semasa disoal balas bahawa SP6 tidak tahu siapa yang menghantar pendrive tersebut ke pejabatnya. [34] Malahan SP6 juga telah gagal membuat siasatan lanjut mengenai pendrive atau rakaman CCTV berkenaan. Dalam konteks naratif kes ini berkaitan pendrive tersebut, kes pendakwaan menjadi lebih kritikal kerana pendrive atau rakaman CCTV tersebut tidak dihantar ke forensik bagi menguji ketulinan dan kesahihannya. Menurut keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam Ahmad Najib bin Aris v PP [2009] 2 MLJ 613, Zulkefli Ahmad Makinudin HMP (ketika itu) telah memutuskan bagi pihak Mahkamah Persekutuan seperti berikut: “(7) CCTV tapes were documents produced by a computer by virtue of the definition ascribed to the words ‘document’ and ‘computer’ under s 3 of the Act. In the instant case, since the CCTV tapes tendered by the prosecution did not satisfy the requirements of s 90A, they were inadmissible as evidence (see paras 37–40)” [35] Keputusan Mahkamah Persekutuan di atas merupakan prinsip undang-undang mantap mengenai isu berkaitan penerimaan dokumen melalui computer sepertimana terjatuh di bawah takrifan “computer” di bawah seksyen 3 dan syarat-syarat penerimaanya sepertimana di bawah seksyen 90A Akta Keterangan 1950. Begitu juga tidak ada sijil di bawah seksyen 90A yang dikemukakan di mahkamah. Keputusan tersebut merupakan rujukan yang tepat dan diterima pakai oleh Mahkamah sepertimana di dalam keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Yap See Yah v PP [2024] CLJU