Content
CA-22NCvC-26-08/2021 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR GUAMAN SIVIL NO: CA-22NCVC-26-08/2021 ANTARA MAHFA WORLD RESOURCES SDN. BHD. [201801039816 (1301847-H)] ...PLAINTIF
CA-22NCvC-26-08/2021
High Court of Malaysia12 Jun 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“mbangkan autoriti yang dirujuk oleh Defendan-Defendan, termasuk Lagenda Kencana, Khaw Poh Chhuan, T Devindran, Kuala Excel dan The Ah Hong & Ors v. Big Supermarket Sdn Bhd (Lian Bok San, Third Party) [2024] MLJU 513. [60] Autoriti-autoriti tersebut menyokong prinsip umum bahawa penghakiman persetujuan boleh diketepikan”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
CA-22NCvC-26-08/2021 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR GUAMAN SIVIL NO: CA-22NCVC-26-08/2021 ANTARA MAHFA WORLD RESOURCES SDN. BHD. [201801039816 (1301847-H)] ...PLAINTIF
1
DGL FREIGHT SDN BHD [NO SYARIKAT:201701003153(1217303-H)]
2
SRI DHURGALU A/L SREE RAMAU (NO K/P: 780108-06-5309) ...DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Ini ialah permohonan Defendan-Defendan melalui Lampiran 76 untuk mengetepikan Penghakiman Persetujuan yang telah direkodkan pada 11.12.2023. [2] Permohonan ini dibuat selepas Plaintif mengambil langkah langkah pelaksanaan berdasarkan Penghakiman Persetujuan tersebut, termasuk prosiding garnisi, kebankrapan dan penggulungan. [3] Mahkamah telah meneliti Notis Permohonan, Afidavit Sokongan Defendan-Defendan, Afidavit Jawapan Plaintif, Afidavit Balasan Defendan-Defendan serta hujahan bertulis dan hujahan balas kedua-dua pihak. Latar belakang ringkas [4] Plaintif telah memfailkan tindakan terhadap Defendan-Defendan pada 4.8.2021. Antara lain, Plaintif menuntut pemulangan wang berjumlah RM213,440.00 dan RM56,000.00, gantirugi serta relif relif berkaitan. [5] Defendan-Defendan telah memfailkan Pembelaan dan Tuntutan Balas. Mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai pembelaan yang kukuh terhadap tuntutan Plaintif. [6] Pada 11.12.2023, satu Penghakiman Persetujuan telah direkodkan. Terma utama Penghakiman Persetujuan tersebut ialah Defendan-Defendan bersetuju membayar RM135,000.00 sebagai penyelesaian penuh dan muktamad kepada tuntutan Plaintif, tanpa pengakuan liabiliti. [7] Jumlah RM135,000.00 tersebut hendaklah dibayar melalui bayaran RM10,000.00 pada atau sebelum 11.12.2023, dan baki RM125,000.00 pada atau sebelum 31.1.2024. [8] Terma 5 Penghakiman Persetujuan memperuntukkan bahawa sekiranya Terma 1 dan/atau Terma 2 gagal dipatuhi, jumlah RM334,440.00 akan dimasukkan sebagai jumlah penghakiman terhadap Defendan-Defendan dan Plaintif bebas mengambil langkah pelaksanaan. [9] Defendan-Defendan tidak membayar keseluruhan RM135,000.00 dalam tempoh yang ditetapkan. Plaintif kemudiannya mengambil langkah pelaksanaan berdasarkan klausa kemungkiran tersebut. Isu-isu untuk diputuskan [10] Berdasarkan hujahan pihak-pihak, isu-isu utama yang perlu diputuskan ialah:
a
sama ada Mahkamah mempunyai kuasa untuk mengetepikan Penghakiman Persetujuan;
b
sama ada permohonan ini terhalang oleh prosedur, kelewatan atau prinsip functus officio;
c
sama ada Penghakiman Persetujuan tersebut direkodkan tanpa persetujuan atau tanpa kuasa;
d
sama ada kegagalan peguamcara terdahulu Defendan-Defendan menerangkan Terma 5, jika benar, boleh dijadikan asas untuk mengetepikan Penghakiman Persetujuan;
e
sama ada pembayaran sebahagian oleh Defendan-Defendan selepas Penghakiman Persetujuan merupakan pengesahan ratification terhadap penghakiman tersebut;
f
sama ada merit pembelaan asal Defendan-Defendan relevan pada peringkat ini. Prinsip undang-undang [11] Mahkamah menerima prinsip bahawa suatu penghakiman persetujuan mempunyai dua sifat. Pertama, ia merupakan suatu perintah mahkamah. Kedua, ia juga berasaskan kontrak atau persetujuan antara pihak-pihak. [12] Oleh itu, suatu penghakiman persetujuan boleh diketepikan atas alasan yang sama seperti suatu kontrak boleh diketepikan. Antara alasan tersebut ialah penipuan, salah nyata, kesilapan, dorongan, pengaruh tidak wajar, ketiadaan persetujuan, ketiadaan kuasa atau keadaan lain yang menjejaskan persetujuan bebas. [13] Prinsip ini dapat dilihat dalam autoriti seperti Badiaddin Mohd Mahidin v. Arab Malaysian Finance Bhd [1998] 2 CLJ 75, Khaw Poh Chhuan v. Ng Gaik Peng & Yap Wai Chuan & Ors [1996] 2 CLJ 185, Lagenda Kencana Sdn Bhd v. Peter's Holdings Sdn Bhd [2012] 4 MLJ 855 dan T Devindran a/l Thatchanamurthy v. Kerajaan Negeri Johor [2004] 7 MLJ 151 yang dirujuk oleh pihak-pihak. [14] Namun begitu, kuasa untuk mengetepikan penghakiman persetujuan bukanlah kuasa yang digunakan secara ringan. Mahkamah perlu berhati-hati kerana penghakiman persetujuan membawa elemen penamat. la menamatkan pertikaian antara pihak-pihak dan membolehkan pihak yang berjaya bergantung kepada terma-terma yang telah direkodkan. [15] Pihak yang memohon untuk mengetepikan suatu penghakiman persetujuan memikul beban untuk menunjukkan bukti yang jelas dan meyakinkan bahawa persetujuan tersebut telah terjejas atau tidak wujud. Isu prosedur,fFunctus oficio dan kelewatan [16] Plaintif berhujah bahawa permohonan ini tidak sesuai dibuat di bawah Aturan 42 kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, dan Mahkamah telah functus officio setelah Penghakiman Persetujuan direkodkan. [17] Mahkamah bersetuju bahawa prinsip functus officio adalah penting. Secara amnya, setelah suatu penghakiman direkodkan dan disempurnakan, mahkamah tidak boleh mengubah atau mengetepikannya kecuali dalam keadaan yang dibenarkan undang-undang. [18] Namun begitu, Mahkamah tidak menerima hujahan bahawa prinsip functus officio secara mutlak menghalang Mahkamah daripada meneliti permohonan ini. Autoriti-autoriti yang dirujuk oleh kedua-dua pihak menunjukkan bahawa mahkamah tetap mempunyai bidang kuasa dalam keadaan luar biasa, khususnya di mana terdapat dakwaan bahawa penghakiman persetujuan direkodkan tanpa persetujuan sebenar atau tanpa kuasa. [19] Oleh itu, Mahkamah tidak menolak permohonan ini semata mata atas alasan functus officio atau kesilapan prosedur. [20] Walau bagaimanapun, kelewatan dalam memfailkan permohonan ini merupakan faktor yang sangat material. [21] Penghakiman Persetujuan direkodkan pada 11.12.2023. Permohonan untuk mengetepikan hanya difailkan pada tahun 2026. Plaintif menyatakan bahawa terdapat kelewatan sebanyak 821 hari. [22] Plaintif juga menyatakan bahawa penghakiman persetujuan bermeterai telah diserahkan kepada peguamcara Defendan-Defendan pada 5.2.2024, surat bertarikh 19.2.2024 telah dihantar kepada peguamcara Defendan-Defendan untuk memaklumkan default clause dan emel bertarikh 10.10.2025 telah dihantar kepada bahagian akaun Defendan Pertama menyatakan bahawa jumlah penghakiman ialah RM334,440.00 akibat klausa kemungkiran. [23] Defendan-Defendan berhujah bahawa kelewatan tersebut wajar dimaafkan kerana mereka hanya mengetahui Terma 5 pada tahun 2026. [24] Mahkamah tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut. Defendan-Defendan tidak memberikan butiran yang mencukupi tentang bila, bagaimana dan melalui siapa mereka mula mengetahui kandungan penuh Penghakiman Persetujuan. Lebih penting, dakwaan tersebut tidak disokong oleh bukti kontemporari yang kukuh. [25] Dalam keadaan di mana Penghakiman Persetujuan telah diserahkan kepada peguamcara Defendan-Defendan, surat dan emel telah dihantar dan beberapa prosiding pelaksanaan telah dimulakan, Mahkamah mendapati bahawa penjelasan kelewatan oleh Defendan-Defendan adalah tidak memuaskan. Sama ada terdapat ketiadaan persetujuan [26] Intipati kes Defendan-Defendan ialah bahawa mereka tidak pernah bersetuju kepada Terma 5 Penghakiman Persetujuan. Mereka menyatakan bahawa mereka hanya memahami bahawa jumlah penyelesaian ialah RM135,000.00 dan tidak pernah dimaklumkan bahawa kegagalan membayar dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan jumlah RM334,440.00 dimasukkan sebagai jumlah penghakiman. [27] Mahkamah menerima bahawa sekiranya benar suatu penghakiman persetujuan direkodkan tanpa persetujuan pihak yang terikat olehnya, Mahkamah mempunyai kuasa untuk campur tangan. [28] Namun begitu, dalam kes ini, Defendan-Defendan tidak menafikan bahawa:
a
rundingan penyelesaian memang berlaku;
b
mereka bersetuju menyelesaikan kes;
c
mereka bersetuju membayar RM135,000.00;
d
bayaran telah dibuat selepas Penghakiman Persetujuan direkodkan;
e
peguamcara mereka hadir dan bertindak bagi pihak mereka ketika Penghakiman Persetujuan direkodkan. [29] Oleh itu, dakwaan Defendan-Defendan bukanlah bahawa tiada sebarang penyelesaian langsung. Dakwaan mereka lebih sempit, iaitu bahawa mereka tidak mengetahui atau tidak bersetuju dengan Terma 5. [30] Persoalannya ialah sama ada dakwaan tidak mengetahui Terma 5, tanpa bukti kukuh bahawa peguamcara bertindak tanpa kuasa, cukup untuk mengetepikan keseluruhan Penghakiman Persetujuan. [31] Mahkamah berpendapat jawapannya adalah tidak. Kuasa Peguamcara [32] Dalam litigasi, seorang peguamcara yang dilantik dan hadir bagi pihak anak guam mempunyai kuasa zahir (apparent authority) untuk berunding, menyelesaikan dan merekodkan penghakiman persetujuan bagi pihak anak guamnya. [33] Prinsip ini penting untuk melindungi kepastian litigasi dan kebergantungan pihak lawan terhadap representasi peguam yang hadir di mahkamah. [34] Plaintif berhak bergantung kepada kedudukan bahawa peguamcara Defendan-Defendan yang hadir ketika itu mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak Defendan-Defendan. [35] Jika benar peguamcara terdahulu telah bertindak tanpa arahan atau gagal menerangkan terma penting kepada Defendan-Defendan, perkara tersebut mungkin menimbulkan isu antara Defendan-Defendan dengan peguamcara terdahulu mereka. Namun, tanpa bukti yang jelas, dakwaan tersebut tidak boleh secara automatik menjejaskan hak Plaintif sebagai pihak lawan yang telah bertindak berdasarkan penghakiman yang direkodkan. [36] Dalam kes ini, Defendan-Defendan tidak mengemukakan afidavit daripada peguamcara terdahulu mereka untuk mengesahkan dakwaan bahawa Terma 5 tidak diterangkan atau bahawa peguamcara tersebut tidak diberi kuasa untuk bersetuju kepada Terma 5. [37] Ketiadaan afidavit tersebut adalah material. Ini kerana keseluruhan asas permohonan Defendan-Defendan bergantung kepada apa yang dikatakan berlaku antara mereka dengan peguamcara terdahulu. [38] Mahkamah juga mengambil kira bahawa tiada bukti jelas bahawa Defendan-Defendan telah mengambil tindakan lanjut terhadap peguamcara terdahulu mereka, seperti aduan rasmi atau prosiding sivil, walaupun mereka mendakwa akibat kewangan yang serius telah timbul daripada tindakan peguamcara tersebut. [39] Oleh itu, Mahkamah mendapati bahawa Defendan-Defendan gagal mengatasi anggapan bahawa peguamcara mereka mempunyai kuasa zahir untuk merekodkan Penghakiman Persetujuan tersebut. Pembayaran sebahagian dan pengesahan [40] Fakta yang tidak dipertikaikan ialah Defendan-Defendan telah membuat beberapa bayaran selepas Penghakiman Persetujuan direkodkan. [41] Defendan-Defendan menyatakan bahawa bayaran tersebut dibuat atas kepercayaan bahawa jumlah penyelesaian hanyalah RM135,000.00. [42] Mahkamah telah mempertimbangkan penjelasan tersebut. Namun, dalam keadaan keseluruhan kes, pembayaran pembayaran tersebut lebih konsisten dengan pengiktirafan terhadap kewujudan penyelesaian dan Penghakiman Persetujuan. [43] Plaintif berhujah bahawa terdapat enam bayaran yang dibuat antara Disember 2023 hingga Oktober 2025, dengan jumlah keseluruhan RM58,776.83. Plaintif menyatakan bahawa tindakan ini menunjukkan pembayaran sebahagian dan pengesahan terhadap Penghakiman Persetujuan. [44] Mahkamah bersetuju bahawa pembayaran-pembayaran tersebut merupakan faktor penting. la bukan semata-mata kes di mana Defendan-Defendan kekal diam selepas penghakiman direkodkan. Mereka telah mengambil langkah positif dengan membuat pembayaran. [45] Jika benar Defendan-Defendan tidak bersetuju atau tidak mengetahui terma penghakiman, adalah munasabah untuk menjangkakan bahawa mereka akan segera membantah, meminta penjelasan atau memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman sebaik sahaja mereka mengetahui kandungan sebenar penghakiman. [46] Namun, perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, pembayaran diteruskan dalam tempoh yang panjang. [47] Dalam keadaan ini, Mahkamah mendapati bahawa tingkah laku Defendan-Defendan selepas Penghakiman Persetujuan direkodkan memberi inferens bahawa mereka menerima, atau sekurang-kurangnya mengesahkan, penyelesaian yang telah direkodkan. Merit pembelaan asal [48] Defendan-Defendan berhujah bahawa mereka mempunyai pembelaan yang kukuh terhadap tuntutan asal Plaintif. Mereka menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebab untuk bersetuju kepada Terma 5 kerana mereka mempunyai pembelaan dan tuntutan balas yang bermerit. [49] Mahkamah tidak menerima hujahan ini sebagai asas untuk mengetepikan Penghakiman Persetujuan. [50] Pada peringkat ini, isu utama bukan lagi sama ada Defendan-Defendan mempunyai pembelaan yang baik terhadap tuntutan asal. Isu utama ialah sama ada Penghakiman Persetujuan yang telah direkodkan itu sah atau telah dicemari oleh faktor yang membolehkan Mahkamah mengetepikannya. [51] Sesuatu pihak boleh mempunyai pembelaan yang baik tetapi tetap memilih untuk menyelesaikan pertikaian atas sebab komersial, risiko litigasi, kos guaman, masa atau kepastian penyelesaian. [52] Malah Defendan-Defendan sendiri menyatakan bahawa mereka bersetuju menyelesaikan perkara tersebut untuk menjimatkan kos guaman dan masa mahkamah. [53] Oleh itu, kewujudan pembelaan asal, walaupun benar, tidak membuktikan bahawa Penghakiman Persetujuan telah direkodkan tanpa persetujuan. Sama ada prosiding perlaksanaan menunjukkan prejudis atau penyalahgunaan proses [54] Defendan-Defendan berhujah bahawa mereka telah diprejudiskan kerana Plaintif telah mengambil beberapa prosiding pelaksanaan seperti garnisi, kebankrapan dan penggulungan. [55] Mahkamah tidak menerima bahawa prosiding pelaksanaan tersebut dengan sendirinya menjadikan Penghakiman Persetujuan tidak sah. [56] Jika Penghakiman Persetujuan sah dan masih berkuat kuasa, Plaintif berhak mengambil langkah pelaksanaan yang dibenarkan undang-undang. Hak tersebut secara nyata diperuntukkan dalam Terma 5 Penghakiman Persetujuan. [57] Prejudis yang dialami oleh Defendan-Defendan berpunca daripada kegagalan mereka mematuhi jadual pembayaran yang dipersetujui, bukan daripada sebarang tindakan tidak sah oleh Plaintif. [58] Sebaliknya, sekiranya Penghakiman Persetujuan diketepikan selepas kelewatan yang panjang dan selepas Plaintif mengambil langkah berdasarkan penghakiman tersebut, Plaintif juga akan mengalami prejudis yang nyata. Autoriti-autoriti yang dirujuk [59] Mahkamah telah mempertimbangkan autoriti yang dirujuk oleh Defendan-Defendan, termasuk Lagenda Kencana, Khaw Poh Chhuan, T Devindran, Kuala Excel dan The Ah Hong & Ors v. Big Supermarket Sdn Bhd (Lian Bok San, Third Party) [2024] MLJU 513. [60] Autoriti-autoriti tersebut menyokong prinsip umum bahawa penghakiman persetujuan boleh diketepikan dalam keadaan tertentu, khususnya apabila terdapat ketiadaan persetujuan sebenar, ketiadaan kuasa atau faktor yang menjejaskan persetujuan bebas. [61] Namun, autoriti-autoriti tersebut tidak membantu Defendan Defendan sekiranya fakta kes ini tidak menunjukkan ketiadaan persetujuan yang jelas. [62] Kes ini berbeza kerana Defendan-Defendan ialah pihak utama dalam tindakan, diwakili peguamcara, bersetuju kepada penyelesaian dan kemudiannya membuat pembayaran beberapa kali selepas Penghakiman Persetujuan direkodkan. [63] Mahkamah juga mengambil kira autoriti yang dirujuk oleh Plaintif mengenai kuasa zahir peguamcara, kemutakmadan penghakiman persetujuan, estopel, pengesahan dan prinsip bahawa pihak tidak boleh mengambil faedah (manfaat) daripada sesuatu perkara atau perjanjian, tetapi pada masa yang sama menolak atau mempertikaikan syarat-syarat lain yang berkaitan dengannya. [64] Mahkamah mendapati bahawa prinsip-prinsip tersebut lebih terpakai kepada fakta kes ini. Kesimpulan [65] Mahkamah tidak berpuas hati bahawa Defendan-Defendan telah melepasi ambang yang diperlukan untuk mengetepikan Penghakiman Persetujuan bertarikh 11.12.2023. [67] Mahkamah mendapati bahawa permohonan ini lebih merupakan percubaan untuk mengelak akibat klausa kemungkiran selepas Defendan-Defendan gagal mematuhi jadual pembayaran yang telah dipersetujui. [68] Penghakiman Persetujuan tersebut kekal sah, mengikat dan boleh dikuatkuasakan. [69] Oleh itu, permohonan Defendan-Defendan di Lampiran 76 adalah ditolak. [70] Kos sebanyak RM10, 000 diberikan kepada Plaintif, tertakluk kepada alokatur. Tarikh: 16 Julai 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Peguam Bagi Pihak : Tetuan Kavi & Co Peguam Bela & Peguam Cara B-1-1-6, Solaris Dutamas No.1, Jalan Dutamas 1 50480 Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Defendan Tetuan Ooi's Chambers Peguambela & Peguamcara E-28-05, Menara Suezcap 2 KL Gateway, No.2, Jalan Kerinchi Gerbang Kerinchi Lestari 59200 Kuala Lumpur
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.