(iv) Klausa 18. Perjanjian Jual Beli memperuntukkan bahawa MASA adalah intipati kontrak. 13 D. ANALISIS DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH [6] Di dalam kes ini adalah tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak bahawa Perjanjian Jual Beli tersebut telah ditandatangani mereka. [7] Secara dasarnya, Defendan telah menentang permohonan Plaintif semata-mata atas dakwaan bahawa: i. perjanjian jual beli tersebut telah terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana masa merupakan intipati kontrak . ii. pembayaran-pembayaran yang telah dibuat oleh Plaintif kesemuanya adalah wang bayaran sewaan hartanah tersebut yang dibayar terus kepada Bank Muamalat (Bank Pembiaya). Dakwaan i. Perjanjian jual beli tersebut telah terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana masa merupakan intipati kontrak. 14 [8] Mahkamah ini perlu menyatakan bahawa terma-terma masa di dalam Perjanjian Jual Beli tersebut tidak lagi menjadi intipati kontrak ‘essence of the contract’ kerana pihak-pihak telah bertindak di luar terma masa. Atas persetujuan lisan di antara pihak-pihak yang kemudiannya diterjemahkan oleh tindak-tanduk Plaintif dan Defendan telah menjadikan terma masa bagi pembayaran baki harga jualan bukan lagi menjadi intipati kontrak/ perjanjian. [9] Apa yang jelas dan nyata, setelah Perjanjian Jual Beli tersebut ditandatangani tempoh pembayaran harga baki jualan yang diperuntukkan di dalam perjanjian tidak lagi berkuatkuasa dan malahan pihak-pihak telah bersetuju bahawa Plaintif membuat bayaran terus kepada akaun Defendan di bank pembiaya (Bank Muamalat (M) Berhad). Dakwaan ii.Pembayaran-pembayaran yang telah dibuat oleh Plaintif kesemuanya adalah wang bayaran sewaan hartanah tersebut yang dibayar terus kepada Bank Muamalat (M) Berhad. 15 [10] Mahkamah ini perlu menyatakan di sini bahawa berhubung bayaran RM21,000.00 yang telah dibayar oleh Plaintif kepada Defendan, Defendan telah tidak menafikan langsung bayaran tersebut dibuat tetapi hanya membangkitkan bahawa bayaran wang sebanyak RM3,000.00 telah tidak dibayar kepada beliau tetapi kepada Norazmira sebanyak RM1,000.00 dan RM2,000.00 lagi dibayar kepada Bank Muamalat (M) Bhd. [11] Apa yang penting di sini adalah selain daripada jumlah RM3,000.00 ini, Defendan sendiri telah mengakui telah menerima bayaran sebanyak RM21,000.00 daripada Plaintif. [12] Berhubung bayaran RM3,000.00 tersebut Plaintif telahpun menjelaskan bahawa bayaran yang dibuat kepada Norazmira adalah di atas permintaan Defendan sendiri kerana Norazmira adalah agen bagi urusan jual beli hartanah tersebut bagi pihak Defendan. Manakala bagi RM2000.00 tersebut telah dibayar kepada Bank Muamalat kerana Defendan sendiri telah merayu bahawa beliau menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu membayar ansuran bulanan kepada Bank Muamalat (M) Berhad. 16 [13] Defendan telah cuba menafikan bayaran-bayaran terus kepada Bank Muamalat (M) Berhad oleh Plaintif adalah bayaran-bayaran baki harga jualan dan membangkitkan bahawa beliau tidak tahu mengenai bayaran-bayaran yang dibuat terus kepada Bank Muamalat. Defendan cuba mengatakan bahawa kesemua bayaran di Ekshibit “M-5” adalah merupakan bayaran sewa rumah atas hartanah tersebut. [14] Adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa pengataan Defendan berhubung dengan bayaran sewaan ini adalah pengataan kosong semata-mata yang tidak disokong oleh sebarang keterangan dokumentar. [15] Adakah Defendan ingin Mahkamah ini mempercayai bahawa Plaintif telah membayar kepada Bank Muamalat (M) Berhad jumlah sewaan sedangkan tidak ada sebarang perjanjian sewaan telah ditandatangani di antara Plaintif dan Defendan dikemukakan oleh Defendan. 17 [16] Diandaikan benar wujudnya perjanjian sewaan seperti yang didakwa oleh Defendan kenapa pula Defendan berdiam diri dan membiarkan Perjanjian Jual Beli tersebut berterusan tanpa mengambil tindakan untuk menamatkan perjanjian jual beli tersebut atas kegagalan Plaintif membuat bayaran di dalam tempoh masa yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Jual Beli tersebut. [17] Di dalam kes ini, Defendanlah yang sebenarnya telah duduk berdiam diri dari tahun 2011 sehingga kes ini difailkan (27.10.2017). Defendan kini cuba pula mengatakan bahawa Perjanjian Jual Beli tersebut telah terbatal atas dasar masa adalah intipati kontrak dan bayaran-bayaran yang dibuat oleh Plaintif kepada Bank Muamalat (M) Berhad adalah bayaran sewa hartanah tersebut. [18] Bagi Mahkamah ini, Plaintif yang telahpun menyelesaikan bayaran baki harga jualan telah berusaha untuk menghubungi Defendan tetapi malangnya tidak berjaya. Plaintif tidak ada pilihan yang lain bagi memuktamadkan Perjanjian Jual Beli tersebut selain mendapatkan perintah-perintah yang dipohon di dalam permohonannya ini. 18 [19] Berhubung kes Plaintif ini, Mahkamah telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Ooi Poh Ean & Anor v Lembaga Pembangunan Langkawi & Anor [2017] 1 LNS 1983 yang memutuskan seperti berikut: “ [34] According to this principle, when a purchaser of a property has performed his or her contractual obligation upon the full settlements of the purchase price besides executing all the formal documents to effect the registration of ownership, equity accords him or her with all the rights and privileges of a legal owner over the property. The purchaser thus enjoys the benefit of being the owner of the acquired property even though he or she has yet to become its registered owner.” [20] Adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa Perjanjian Jual Beli tersebut adalah masih berkuatkuasa dan pihak-pihak telah dengan tindak tanduk mereka telah menjadikan terma tempoh pembayaran bukan lagi menjadi intipati kontrak. Maka, apabila Plaintif telah menunaikan obligasinya dengan membuat bayaran penuh harga belian hartanah tersebut, Plaintif adalah dengan ini berhak kepada pindah milik hartanah tersebut kepadanya. 19 [21] Atas alasan-alasan di atas, Mahkamah ini membenarkan permohonan Plaintif di Kandungan 1 bagi relif-relif (a), (b), dan (c) dengan kos sebanyak RM8000.00 kepada Plaintif untuk dibayar oleh Defendan. ………………………………….. (DATUK AZIMAH BINTI OMAR) Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor Darul Ehsan Bertarikh 15hb Mei, 2018 Peguam Plaintif - Tetuan Lainah Yaacob & Zulkepli Encik Azmer Bin Md Saad Peguam Defendan - Tetuan Ashraf & Co Encik Mohd Yusoff