saya tidak pernah menghisap dadah. Pembelaan Tertuduh Keenam (Mak Kwong Ming / SD6) • Sebelum ditangkap saya bekerja sebagai seorang pemandu Grab. • Pada bulan Jun 2018, saya ada melihat iklan yang dikongsi dalam satu kumpulan laman web Facebook oleh seorang pengguna menawarkan kerja untuk penghantaran hadiah ke luar negara. Saya masih ingat bahawa iklan tersebut ada menyatakan bahawa barang yang dibawa pasti bukan dadah. Saya kemudiannya telah menghantar mesej melalui Facebook dan saya kemudiannya telah dimasukkan ke dalam satu group WeChat yang bernama Taiwan Trip. Di dalam group WeChat tersebut ada 3 orang pengguna termasuk saya dan salah satu daripada pengguna tersebut menggunakan nama “Company”. “Company” telah memasukkan duit ke dalam akaun bank saya dan telah memberi dan telah memberi saya satu (1) tiket penerbangan ke Taiwan melalui Wechat kepada saya untuk pergi ke Taiwan. Pada masa itu, saya tidak diminta untuk membawa apa-apa barang dan hanya dimaklumkan bahawa tiket penerbangan tersebut adalah percuma. Saya telah bersetuju dengan permintaan “Company” kerana saya percaya akan mendapat duit dan perjalanan percuma ke Taiwan tanpa keperluan untuk membawa apa-apa. Berikutan itu, pada 2 Julai 2018, saya bersama dengan seorang lelaki India yang bernama, Lim Chein Tiong telah pergi ke Taiwan tanpa membawa apa-apa barang atas arahan “Company”. • Pada bulan Jun 2018, saya ada melihat iklan yang dikongsi dalam satu kumpulan laman web Facebook. Iklan tersebut telah menawarkan kerja untuk penghantaran hadiah ke luar negara. Iklan tersebut ada menyatakan bahawa barang yang dibawa pasti bukan dadah. Saya kemudiannya telah menghantar mesej melalui Facebook. Pada 9 Ogos 2018 lebih kurang pukul 4.30 petang, saya telah dimasukkan ke dalam satu Kumpulan WeChat bertulis "Korea" (dalam tulisan bahasa Cina) untuk penghantaran hadiah ke Korea dan saya dijanjikan upah sebanyak RM8,000.00 hingga RM10,000.00 termasuk duit poket. Di dalam group tersebut ada tujuh (7) orang termasuk satu pengguna dengan nama “Company”. Di dalam group tersebut kami diminta untuk berkumpul di Blok C, 08-22 Scott Garden, Jalan Kuchai lama. • Setibanya saya disana, saya telah berjumpa dengan tertuduh kelima dan kami berdua telah pergi ke unit itu tetapi kami dapati tidak ada orang di dalam rumah. • Kemudian, saya pergi makan bersama tertuduh kelima. Lebih kurang pukul 7.00 petang, kami berdua kembali ke rumah tersebut dan di dalamnya ada tertuduh ketiga dan keempat. Selepas itu, tertuduh pertama dan kedua juga telah masuk ke dalam rumah itu. Seorang lelaki Cina yang bernama Ho Chung Keat juga ada datang ke rumah itu. • Pada 11 Ogos 2018 lebih kurang pukul 1.00 pagi, Ho Chung Keat dan seorang lelaki Cina kurus telah membawa 1 bagasi hijau. Saya hanya tahu lelaki Cina kurus tersebut adalah bernama Dennis Goh Zhan You selepas saya berada di Penjara Sungai Buloh dan mendapat tahu beliau telah ditangkap untuk satu kes pengedaran dadah juga. Ho Chung Keat telah membuka beg tersebut dan didalamnya terdapat beberapa paket plastik yang mengandungi bahan berwarna putih dan juga beberapa pasang kasut. • Saya berasa terkejut pada masa itu dan tidak bersetuju untuk membawa barang tersebut. Ho Chung Keat ada berbincang dengan Dennis tetapi Ho Chung Keat telah kata kepada kami bahawa kami tidak ada pilihan lain melainkan kami boleh menggantikan wang yang telah dibelanja. • Saya tidak mempunyai wang untuk menggantikan tiket penerbangan yang telah dibeli. Dennis Goh Zhan You telah memberitahu saya bahawa barang tersebut adalah ubat larangan gym dan hanya perlu bayar denda sahaja. Saya akhirnya hanya bersetuju kerana percaya kata-kata Dennis bahawa barang tersebut adalah ubat gym yang tidak berbahaya. Ho Chung Keat juga ada merampas telefon bimbit saya dan tukar lock telefon bimbit saya supaya berada dalam keadaan tidak berkunci sebelum memberikannya balik kepada saya. Dennis telah meletakkan barang salah tersebut pada paha kiri dan kanan saya dan kemudiannya telah mengikat barang tersebut dengan plastik dan tape. Dennis telah mengarahkan saya untuk memilih kasut untuk dipakai semasa pergi ke Korea. • Pada lebih kurang pukul 4.15 pagi, Dennis dan Ho Chung Keat telah memanggil Grab dan Dennis telah memberi RM2,000.00 setiap orang untuk digunakan sebagai duit poket semasa di Korea. Selepas itu, Dennis terus keluar dari rumah tersebut. • Lebih kurang 10 minit kemudian Ho Chung Keat terus mengarahkan kami untuk turun ke bawah kerana kereta sudah sampai. Kami telah menaiki kereta Alza warna yang saya tidak pasti kerana gelap pada masa itu dan kami telah dibawa ke KLIA 2. Pada pukul lebih kurang 5.15 pagi, kami telah sampai ke KLIA 2 di hadapan Maybank tingkat 3 dan “Company" telah telefon dan arahkan kami untuk menukar duit yang telah diberikan. • Saya telah meminta tertuduh kelima untuk membantu saya mencetak tiket penerbangan dan saya menolong tertuduh keempat untuk menukar duit. Kemudian, kami semua telah melalui semakan sekuriti. Semasa sedang melalui Gate P6, saya melihat empat (4) orang daripada kumpulan kami telah ditahan oleh pihak polis. Pada masa itu, saya tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana pada masa itu saya telah berada menunggu mereka di dalam Gate P6. Seorang anggota polis (ASP Mohd Zairul Haidi bin Zamsuri / SP4) kemudiannya telah datang dan memeriksa pasport saya dan menahan saya. • Saya kemudiannya telah dibawa ke satu kawasan untuk menunggu bersama dengan tertuduh-tertuduh yang lain. Kami kemudiannya dibawa ke satu pejabat untuk disemak oleh beberapa orang anggota polis. Selepas semakan awal ini, kami kemudiannya telah dibawa ke Pejabat Narkotik KLIA 2 di mana balutan pada paha saya telah dibuka dan gambar telah diambil. Pada masa itu, terdapat beberapa orang pegawai polis yang mengendalikan barang-barang yang dijumpa. Saya telah cuba untuk terangkan kepada pihak polis bahawa barang yang dijumpai pada saya adalah sebenarnya ubat larangan gym sahaja. • Saya juga ada menunjukkan sejarah perbualan saya dengan “Company” dalam Kumpulan WeChat kepada pihak polis dan menerangkan kepada polis tentang peranan dua orang penama lelaki cina bertocang (Ho Chung Keat) dan lelaki cina kurus (Dennis Goh Zhan You). • Saya mempercayai kata-kata Ho Chung Keat dan Dennis Goh Zhan You bahawa barang tersebut adalah ubat larangan gym yang tidak berbahaya. Saya juga berasa takut pada masa itu kerana tidak mempunyai wang untuk membayar balik kepada Ho Chung Keat dan Dennis Goh Zhan You. Pada masa itu, saya telah berada di dalam rumah mereka dan berada di bawah pemantauan mereka. Saya tidak akan membawa barang yang dijumpai sekiraya saya sedar bahawa barang tersebut adalah dadah methamphetamine. • Saya setuju untuk menerima tawaran kerja untuk penghantaran hadiah ke luar negara asalkan ianya bukan melibatkan dadah. • Bahan berwarna putih yang dibalut di paha kiri dan kanan saya dan yang disorok di dalam kasut yang saya pakai adalah ubat larangan dan bukannya dadah. • Tiada gangguan, ugutan atau ancaman bunuh terhadap saya dan keluarga dan tiada pistol diletakkan pada diri saya oleh Ho Chung Keat dan Dennis atau “Company” jika saya tidak membawa barangan tersebut ke Korea. Walaupun misi penghantaran barangan ini ke Korea gagal dan setelah saya berada di dalam penjara selama (6) tahun masih tiada apa-apa ancaman terhadap saya. • Dennis dan Ho Chung Keat tidak naik Grab bersama-sama saya ke KLIA2. Bila sampai di KLIA, saya tidak nampak Dennis dan Ho Chung Keat. Sepanjang perjalanan ini sampai saya masuk Gate P6 ini saya memang tidak nampak Ho Chung Keat dan Dennis. • Kalau saya rasa terancam atau takut, atau dipaksa untuk bawa dadah saya akan membuat panggilan untuk melapor polis, tapi pada masa itu saya tidak dipaksa oleh sesiapa. • “The Company” atau Dennis dan Ho membertiahu saya, apa yang saya bawa hanya adalah ubat larangan. Jika saya ditangkap saya hanya akan didenda sahaja, dan “The Company” akan membayar balik saya jika saya membayar denda itu. Saya tidak dipaksa. Oleh itu saya tidak membuat laporan polis atau panggilan. Saksi Pembelaan Ho Chung Keat / SD9 • Saya kini ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana terlibat dalam satu kes dadah. Saya telah ditangkap pada Februari 2020. Sebelum saya ditangkap, saya bekerja sebagai penjual telefon bimbit di Plaza Low Yat. Sebelum saya ditahan di Penjara Sungai Buloh pada 2018 saya sedikit gemuk dan bertocang. • Saya kenal tertuduh-tertuduh ini dan pernah berjumpa dengan mereka. Saya pernah jumpa mereka semasa saya buat kerja sambilan saya di Scott Garden, Jalan Klang Lama. • Saya berkenalan dengan seorang kawan yang dipanggil Ah Ming melalui kawan lain. Memandangkan saya memerlukan duit, Ah Ming telah menawarkan satu peluang pekerjaan sambilan kepada saya. Ah Ming minta saya berhubung dengan seorang bernama Dennis melalui aplikasi WeChat. Ah Ming memberitahu saya bahawa kerja sambilan ini adalah untuk membantu pekerjanya bernama Dennis menguruskan macam-macam kerja (miscellaneous jobs). • Selepas itu, saya telah berhubung dengan Dennis melalui aplikasi WeChat. Dennis telah mengajak saya untuk berjumpa di Scott Garden pada 9 Ogos 2018 lebih kurang pukul 1.30 petang. Sampai di situ, Dennis telah memberikan kunci unit C-08-22 kepada saya dan mengarahkan saya untuk tunggu enam (6) orang pekerja barunya datang ke unit tersebut. Dennis juga telah mengarahkan saya untuk membelikan makanan dan sedikit keperluan harian dalam unit tersebut. • Dennis adalah seorang lelaki Cina yang kurus, rendah dan berkulit cerah. Nama penuh dia adalah Dennis Goh Zhan You (No. K/P: 981003-01-6579). Setahu saya, dia telah ditangkap untuk kes mengedar dadah sekitar Mei 2019. • Saya telah menunggu sehingga mereka sampai. Mereka telah sampai berasingan bermula dari 1.30 petang. Setelah saya tunggu kesemua mereka sampai, saya telah memberitahu mereka bahawa bos, iaitu Dennis akan datang jumpa mereka pada hari keesokan untuk memberikan maklumat lanjut berkenaan kerja sambilan mereka. Lebih kurang pukul 2.00 pagi (10 Ogos 2018) saya pun beredar dan pulang ke rumah saya sendiri. • Pada 11 Ogos 2018 lebih kurang pukul 12.00 pagi, saya telah terima mesej WeChat daripada Dennis untuk berjumpa dengannya sekali lagi di Scott Garden. Semasa saya sampai di lobi Blok C di Scott Garden, saya mendapati Dennis telah membawa satu beg beroda hijau bersamanya. Kami berdua kemudiannya telah naik ke unit C-08-22 untuk berjumpa dengan tertuduh-tertuduh. • Apabila kami sampai di situ, kesemua tertuduh berada di dalam unit C-08-22. Dennis telah buat briefing dan memberitahu mereka bahawa kerja mereka adalah untuk membawa barang ke Korea Selatan. Kemudiannya Dennis telah mengarahkan saya membuka beg beroda tersebut. Saya mendapati bahawanya terdapat beberapa paket plastik lutsinar, beberapa pasang seluar jeans dan kasut dalam beg beroda tersebut. Seingat saya, kasut-kasut tersebut adalah warna hitam putih. Saya ditugaskan oleh Dennis untuk tolong membalut paket-paket plastik lutsinar atas paha tertuduh pertama, kedua dan keempat. • Sebelum balutan ini dibuat, Dennis telah menyuruh tertuduh pertama, kedua dan keempat mereka membuka seluar supaya dia dan saya dapat membalut paket-paket lutsinar tersebut atas paha mereka dengan menggunakan pita kertas. Dennis juga suruh mereka memakai kasut-kasut yang dibawa oleh Dennis. Setahu saya, kasut-kasut tersebut telah dijahit dengan paket-pakat plastik yang sama. • Saya tidak tahu apakah isi kandungan di dalam paket-paket tersebut kerana ianya sudah pun berbalut. Tetapi Dennis memberitahu tertuduh-tertuduh lain bahawa kesemua itu adalah ubat gym yang dikatakan boleh meningkatkan prestasi kesukanan seseorang. Oleh kerana ubat ini adalah dilarang di Korea Selatan, jadi perlu dibawa secara rahsia oleh tertuduh pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam. • Setelah mendengar taklimat tersebut, tertuduh-tertuduh ada bertanya kepada Dennis dan saya apa terkandung di dalam paket-paket plastik tersebut dan kenapa perlu dilekat di paha dan disimpan secara rahsia dalam kasut-kasut tersebut. Dennis dan saya juga memberitahu mereka bahawa mereka perlu membayar balik kos tiket penerbangan jika mereka enggan teruskan dengan kerja ini. Memandangkan mereka tiada duit maka mereka akhirnya telah bersetuju teruskan dengan kerja ini. • Walaubagaimanapun, Dennis telah secara berulangan memberitahu mereka bahawa paket-paket semua ini adalah ubat gym yang dilarang di Korea Selatan. Dennis menyakinkan mereka semua bahawa paket-paket itu bukan dadah berbahaya dan jika mereka ditangkap oleh pihak penguat kuasa, mereka hanya akan dikenakan hukuman denda sahaja. • Pada lebih kurang pukul 3.00 pagi (11 Ogos 2018) paket-paket tersebut telah siap dilekatkan pada paha tertuduh-tertuduh. Dennis mengarahkan saya membuat tempahan Grab untuk kesemua mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia 2 (KLIA2) bagi penerbangan ke Korea Selatan. Kereta Grab telah sampai pada pukul 4.00 pagi. Sebelum naik kereta, Dennis telah memberi kepada kesemua setiap orang tertuduh RM2,000.00 sebagai duit perbelanjaan di Korea Selatan. • Saya tidak pergi KLIA2. Saya ada dijanjikan upah wang tunai sebanyak RM1,000.00 tetapi saya tidak menerimanya sehingga ke hari ini. • Saya tahu berkenaan tangkapan tertuduh pertama sehingga tertuduh keenam sebab saya terbaca dalam surat khabar dan Facebook. Saya cuba hubungi Dennis tetapi tidak dapat. • Saya tidak berani membuat laporan polis selepas tertuduh-tertuduh ini ditangkap kerana saya baca dan mengetahui daripada surat khabar bahawa balutan plastik-plastik pada paha dan kasut tertuduh-tertuduh mengandungi dadah. • Setelah saya ditangkap pada Februari 2020, saya telah ditahan di Penjara Sungai Buloh pada bulan March 2018. Saya dicamkan oleh salah seorang tertuduh di dalam kes ini semasa di Penjara Sungai Buloh. Mereka meminta bantuan saya untuk memberi keterangan sebagai saksi di dalam kes ini terhadap kesemua tertuduh dan bukan untuk membantu mereka. Tujuan saya hadir ke Mahkamah hanyalah untuk memberitahu apa yang saya tahu di dalam kes ini. Dapatan Mahkamah Tinggi Di Akhir Kes Pembelaan [43] Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana di dalam alasan penghakimannya di akhir kes pembelaan di antara lainnya memutuskan seperti yang berikut dan kami petik: KES PEMBELAAN [36] Setiap Tertuduh telah memberikan keterangan secara bersumpah. Mereka juga telah memanggil seorang saksi pembelaan iaitu Ho Chung Keat [SP9] manakala Tertuduh Kelima dan Keenam telah memanggil seorang Jurubahasa Mandarin (SD7) dan Pegawai Forensik PDRM (SD8) berkaitan pemeriksaan terhadap telefon bimbit Tertuduh-tertuduh yang dirampas. Keterangan saksi-saksi pembelaan secara terperinci adalah seperti yang telah direkodkan oleh Mahkamah ini. Saya nyatakan ringkasan kepada pembelaan mereka. [37] Keterangan Tertuduh Pertama hingga Keenam adalah lebih kurang sama. Mereka menyatakan bahawa terdapat tawaran kerja sambilan untuk menghantar barang / hadiah ke Korea daripada 'bos' yang dipanggil The Company. Kerana perlukan wang mereka bersetuju dan telah dimasukkan ke dalam kumpulan perbualan di aplikasi WeChat. Mereka juga telah menghantar butiran peribadi untuk tujuan membeli tiket penerbangan. Mereka juga telah diarahkan oleh The Company untuk ke sebuah bangunan bernama Scott Garden di Jalan Klang Lama. Di Scott Garden mereka telah bertemu dengan seorang lelaki cina gemuk bertocang yang dipanggil Abang / Tocang / Lenchai / Taiko / Ooi dan seorang lagi lelaki kurus bernama Denis / Lenchai. Di Scott Garden, paket-paket plastik lutsinar telah dibalut di paha mereka dan mereka juga diarahkan untuk memakai kasut yang berisi paket-paket lutsinar yang sama. Mereka juga diberikan wang sebanyak RM2000.00. Mereka ada bertanya tentang paket-paket plastik tersebut tetapi telah diyakinkan bahawa ia bukan dadah berbahaya tetapi ubat gym / Clenbuterol yang dilarang di Korea Selatan dan hanya akan dikenakan denda jika paket-paket tersebut dijumpai oleh pihak berkuasa. Apabila mereka ragu atau enggan, lelaki gemuk bertocang dan lelaki kurus telah mengugut agar mereka membayar balik kos tiket penerbangan. Oleh kerana tiada wang dan juga takut dipukul, mereka telah meneruskan pekerjaan tersebut sehingga mereka ditangkap. [38] Apabila ditanya oleh polis mereka menyatakan bahawa paket-paket lutsinar itu adalah ubat gym dan oleh kerana ia adalah ubat larangan, maka ia telah disorokkan. Mereka juga menyatakan bahawa telefon bimbit mereka telah dirampas dan di dalam telefon bimbit itu terdapat perbualan WeChat dalam Bahasa Cina yang juga telah dimaklumkan kepada polis. Mereka menyatakan semasa ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, pada sekitar Mac 2020, telah terserempak dengan lelaki cina gemuk bertocang itu yang telah ditangkap atas kesalahan mengedar dadah berbahaya. Pada waktu itu barulah mereka mengetahui bahawa nama lelaki gemuk bertocang itu ialah Ho Chung Keat (SD9). Mereka juga mengatakan lelaki kurus itu telah diketahui namanya sebagai Dennis Goh Zhan You. [39] Bagi Tertuduh Pertama hingga Keempat, ini adalah perjalanan pertama mereka menghantar barang / hadiah ke Korea manakala bagi Tertuduh Kelima ini adalah perjalanan keduanya. Bagi Tertuduh Keenam pula ini adalah perjalanannya yang ketiga untuk menghantar barang / hadiah bagi pihak The Company. [40] SD9 telah memberikan keterangannya dengan mengatakan bahawa pada 11.08.2018, dia telah ke Scott Garden dan melihat Dennis memberi 'briefing' dan memberitahu kesemua Tertuduh bahawa kerja mereka adalah untuk membawa barang ke Korea Selatan. Dia kemudiannya telah membalut paket-paket plastik lutsinar di paha Tertuduh Pertama, Kedua dan Keempat. Dia mengatakan bahawa dia tidak tahu apa isi kandungan paket-paket plastik itu tetapi Dennis telah memberitahu kesemua Tertuduh bahawa ia adalah ubat gym yang dikatakan boleh meningkatkan prestasi kesukanan seseorang. la dibawa secara rahsia kerana ia dilarang di Korea Selatan. SD9 juga mengatakan bahawa dia telah ditangkap pada Februari 2020 dan ditahan di Penjara Sg Buloh dan semasa di situ, dia telah mengecamkan salah seorang Tertuduh dan bersetuju untuk memberikan bantuan dalam kes ini. [41] Tertuduh Kelima dan Keenam juga telah mengemukakan siaran iklan di Facebook yang menawarkan pelancongan percuma / penghantaran barang yang mengatakan bahawa barang yang dihantar itu bukan dadah. Terdapat juga komunikasi di Facebook antara Tertuduh Kelima dengan The Company berkenaan kerja yang ditawarkan. Pihak pembelaan juga telah menghujahkan bahawa “Notis Alcontara” telah diberikan untuk menunjukkan bahawa pembelaan mereka adalah tulen dan bukan rekaan. SAMA ADA PIHAK PENDAKWAAN TELAH BERJAYA MEMBUKTIKAN KES MELAMPAUI KERAGUAN MUNASABAH [43] Saya telah meneliti pembelaan yang telah dikemukakan oleh setiap Tertuduh. Saya mendapati keterangan pembelaan yang dikemukakan gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah. Saya enggan untuk mempercayai keterangan Tertuduh-Tertuduh bahawa mereka tidak mengetahui paket-paket lutsinar itu adalah dadah berbahaya tetapi hanyalah ubat gym yang dilarang dibawa ke Korea. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, cara bagaimana paket-paket dadah itu disorok dengan dibalut ketat di kedua belah paha serta disorokkan di bawah pelapik kasut mereka bagi mengelakkan ia dikesan oleh pihak berkuasa di Malaysia menunjukkan bahawa setiap dari Tertuduh tahu bahawa mereka sedang membawa dadah berbahaya. Jika benar setiap Tertuduh percaya bahawa mereka membawa ubat gym dan akan hanya berhadapan dengan hukuman denda, tiada keperluan untuk mereka bertindak untuk menyorokkan dadah-dadah tersebut sedemikian rupa. [44] Apatah lagi keterangan bersumpah setiap Tertuduh sendiri mengatakan mereka nampak plastik-plastik lutisinar tersebut semasa berada di Scott Garden yang menyebabkan ada antara mereka yang berasa ragu-ragu atau takut dan ingin pulang ke rumah. Ada juga yang berasa terkejut dan tidak bersetuju untuk menghantar barang tersebut. Namun demikian, keterangan menunjukkan, mereka telah meneruskan dengan penghantaran barangan tersebut atas alasan kononnya tiada duit untuk membayar balik kos tiket kapal terbang dan juga takut akan dipukul. Harus diingat, keterangan mereka sendiri menyatakan bahawa lelaki cina gemuk bertocang dan lelaki kurus tidak mengikut mereka ke lapangan terbang tetapi mereka berenam telah ke lapangan terbang secara sendiri dengan menaiki van grab. Mereka berenam telah melalui perjalanan dari Scott Garden ke lapangan terbang banyak peluang untuk mereka melepaskan diri dari situasi tersebut jika mereka mahu. Apatah lagi lapangan terbang adalah satu tempat awam yang mudah untuk mereka mendapatkan bantuan. Namun begitu tiada seorang pun dari mereka yang cuba menyelamatkan diri. Alasan bahawa mereka tiada duit untuk membayar kos tiket kapal terbang dan alasan bahawa mereka takut dipukul adalah alasan remeh berbanding risiko yang akan mereka hadapi akibat membawa barang yang dilarang undang-undang. Mereka telah memilih untuk meneruskan dengan kerja menghantar barang terlarang untuk mendapatkan upah yang dijanjikan. Keterangan mereka sendiri mengatakan mereka telah diberikan wang sebanyak RM2000 sebagai wang belanja. Perbuatan setiap Tertuduh adalah dengan sengaja dan rela (intentionally and willingly) membenarkan dirinya dibalut dengan paket-paket plastik lutsinar tersebut menunjukkan setiap Tertuduh tahu bahawa apa yang mereka bawa adalah dadah berbahaya. Setiap mereka juga memakai kasut yang sesuai dengan saiz kaki mereka dimana di dalamnya telah disorok paket-paket plastik berisi dadah. Fakta-fakta ini menunjukkan persediaan setiap Tertuduh untuk meneruskan misi membawa dadah berbahaya tersebut ke Korea. [45] Mahkamah juga telah meneliti pembelaan Tertuduh-Tertuduh yang mengatakan bahawa Notis Alcontara telah diberikan dengan sempurna sejak awal lagi iaitu semasa kes ini disiasat. Namun demikian keterangan daripada Pegawai Penyiasat (SP6) adalah sebaliknya. Keterangan beliau semasa diperiksa balas oleh Peguambela Tertuduh Pertama adalah seperti berikut: Saya cadang Ho Chung Keat Keat lelaki gemuk bertocang ini juga telah diberitahu kepada Insp dalam rakaman percakapan OKT1? Tidak setuju. Bacakan jawapan? Siapa balut bungkusan dadah di paha kamu, lelaki cina gemuk yang saya panggil abang. M/s 2 para 3, barisan 14, bermula tocang panggil abang. Setuju lelaki gemuk ini bertocang ini telah timbul dalam rakaman percakapan OKT1? Setuju. Lelaki gemuk bertocang dalam rakaman pemeriksaan ini adalah bernama Ho Chung Keat? Tidak setuju [46] Saya juga telah meneliti Rakaman Percakapan Tertuduh Pertama hingga Kelima (D133, D120, D121, D122 dan D118). Namun begitu saya mendapati tiada nama Ho Chung Keat atau Dennis Goh Zhan You disebut di dalam rakaman percakapan tersebut. Rakaman percakapan mereka kepada pihak polis langsung tidak menyebut berkenaan ubat gym. Memang benar ada disebut 'lelaki cina gemuk bertocang' tetapi setiap Tertuduh mempunyai panggilan berbeza terhadap lelaki ini. Tertuduh Pertama memanggilnya Abang, Tertuduh Kedua memanggilnya 'Tocang', Tertuduh Ketiga memanggilnya Lenchai, Tertuduh Keempat pula memanggilnya Taiko manakala Tertuduh Kelima memanggilnya Ooi. Siapakah sebenarnya lelaki cina gemuk bertocang ini? Nama Ho Chung Keat hanya timbul pada masa perbicaraan dan tidak pernah timbul semasa siasatan. la konsisten dengan keterangan SP6 yang menafikan ada dimaklumkan nama Ho Chung Keat semasa kes ini disiasat. Melalui keterangan Tertuduh-Tertuduh sendiri, mereka bertemu SD9 di Penjara Sungai Buloh dan hanya mengetahui namanya adalah Ho Chung Keat. Justeru, tidak mungkin SP6 mahupun SP3 telah dimaklumkan penama Ho Chung Keat dan Dennis Goh Zhan You pada masa tangkapan dan siasatan. Oleh itu saya mendapati tidak terdapat notis yang sempurna yang memberikan butiran lengkap nama lelaki cina gemuk bertocang dan lelaki kurus, telah diberikan oleh Tertuduh-Tertuduh kepada pegawai penyiasat agar siasatan dapat dijalankan. Saya merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan Alcontara Ambross Anthony v. Public Prosecutor [1996] 1 CLJ 705. [47] Disamping itu, jika pun notis tersebut diberikan dengan sempurna dan siasatan telah dijalankan, ia tidak akan menangkis fakta yang telah dibuktikan bahawa setiap Tertuduh telah dibalut di kedua belah pahanya dengan dadah berbahaya dan terdapat juga dadah di bawah pelapik kasut setiap dari mereka, yang menunjukkan bahawa setiap Tertuduh mempunyai milikan dan pengetahuan bahawa mereka membawa dadah. Keterangan SP6 tidak menafikan berkenaan wujudnya pihak yang dinamakan “The Company” yang menawarkan upah bagi penghantaran barang ke Korea Selatan. Nama “The Company” telah ditimbulkan sejak awal-awal lagi semasa penyiasatan dijalankan. SP6 dan SP3 juga tidak menafikan mereka telah dimaklumkan berkenaan Kumpulan WeChat dengan The Company yang terdapat di dalam telefon bimbit Tertuduh-tertuduh. Sungguh pun demikian, saya mendapati fakta ini tidak boleh menangkis bahawa dadah-dadah tersebut berada dalam milikan setiap Tertuduh dan mereka mempunyai pengetahuan berkenaan dadah-dadah itu. Ini adalah kerana maksud 'milikan' yang mempunyai unsur actus reus dan mens rea di bawah undang-undang, adalah berbeza dengan maksud umum pemilikan (ownership). Walau pun dadah tersebut bukan dipunyai oleh setiap Tertuduh, keterangan yang banyak menunjukkan bahawa setiap dari mereka mempunyai 'milikan' dan 'pengetahuan' berkenaan dadah berbahaya tersebut. [48] Tertuduh-Tertuduh telah memanggil SD9 yang memberikan keterangan menyokong keterangan mereka bahawa Tertuduh-tertuduh telah diberitahu bahan yang dibalut dipaha dan di bawah pelapik kasut mereka adalah ubat gym. Saya mendapati keterangan SD9 tidak dapat membantu kes pembelaan. Seperti yang dipersoalkan oleh saya sebelum ini, siapakah sebenarnya lelaki cina gemuk bertocang itu? Untuk dia dipanggil gemuk dan bertocang tentulah jelas kegemukan dan tocang lelaki tersebut. Namun begitu, dilihat dengan mata kasar, SD9 yang hadir ke Mahkamah tidak gemuk dan tidak bertocang. SD9 mengatakan bahawa sebelum dia ditangkap, dia berbadan gemuk dan juga bertocang. Peguam Tertuduh Pertama telah mengemukakan gambar-gambar SD9 sebelum dia ditangkap. Ini dapat dilihat di ekshibit IDD125 (1) hingga (6). Selain dari IDD125 (1) hingga (6) tidak dibuktikan dengan pemanggilan pembuatnya, setelah saya melihat gambar tersebut, ia tidak menunjukkan bahawa SD9 adalah seorang gemuk manakala gambar (6) yang dikatakan adalah gambar yang menunjukkan SD9 bertocang juga tidak dapat membantu dakwaan Tertuduh-tertuduh kerana gambar tersebut diambil dari belakang dan saya tidak dapat melihat 'tocang' yang dikatakan itu. [49] Peguam Tertuduh Kelima juga mengemukakan perbualan Tertuduh Kelima dengan The Company di aplikasi Facebook. la adalah di ekshibit IDD114 A dan IDD114 B (terjemahan). Disamping itu Tertuduh Kelima telah memanggil SD7 Puan Liew Wai Yee iaitu seorang jurubahasa Mandarin yang telah menterjemahkan perbualan dan iklan diaplikasi Facebook itu. Saya telah meneliti terjemahan tersebut dan mendapati ia tidak dapat membantu kes pembelaan bagi menimbulkan keraguan terhadap pembuktian elemen 'pengetahuan' terhadap dadah yang dibawanya. Dokumen tersebut hanya mengesahkan kewujudan The Company dan tawaran pekerjaan yang diberikan. IDD115 A dan IDD115 B (terjemahan) iaitu iklan pekerjaan tersebut menyatakan seperti berikut: Pelancongan Ke luar negara secara percuma! Semestinya pekerjaan haram. Kalah perjudian, berhutang, kesempitan wang, Berhubung dengan saya! Ke luar negara selama 3 hari 2 malam, makanan dan tempat tinggal ditanggung. Nota: Pasti bukan dadah tolong jangan bersenda. Saya mendapati iklan ini bertarikh pada 11,12 dan 13 November 2018 iaitu 3 bulan selepas Tertuduh Kelima ditangkap. Justeru, persoalan timbul adakah ini iklan yang dilihat oleh Tertuduh Kelima? Disamping itu seseorang yang munasabah yang membaca iklan-iklan itu pasti akan timbul rasa curiga dan tidak terus mempercayainya memandangkan selain dari perkataan “...pasti bukan dadah…” terdapat juga perkataan “semestinya pekerjaan haram”. Iklan itu juga menyeru orang yang kalah judi, berhutang dan berada dalam kesempitan wang untuk menyertai mereka. Bukankah perkataan-perkataan sebegini akan menimbulkan rasa curiga? [50] Peguam pihak pembelaan juga menghujahkan bahawa Tertuduh-tertuduh kelihatan tenang dan tidak cuba untuk melarikan diri semasa ditangkap. Menurut mereka ia konsisten dengan ketidakbersalahan mereka bahawa meraka tidak tahu paket-paket plastik itu berisi dadah. Saya mendapati tingkah laku Tertuduh-tertuduh tidak dapat membantu kes mereka. Ini adalah kerana adalah menjadi kes mereka sendiri bahawa setiap Tertuduh tahu bahawa mereka membawa bahan yang menyalahi undang-undang dan akan dikenakan denda apabila ditangkap. Justeru, dengan menggunakan logik mereka sendiri, walau pun mereka tahu mereka membawa barangan menyalahi undang-undang, fakta menunjukkan bahawa Tertuduh-Tertuduh masih kelihatan tenang walau pun telah ditangkap oleh pihak polis. Justeru, tingkah laku mereka yang tenang bukan kayu pengukur untuk membuktikan mereka tidak bersalah. [51] Di akhir kes pembelan, setelah membuat penilaian maksima, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bahawa setiap Tertuduh memiliki dan mengetahui bahawa setiap dari mereka sedang memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine. Mahkamah telah mendapati setiap Tertuduh telah dianggap mengedar dadah berbahaya tersebut berdasarkan berat dadah Methamphetamine yang melebihi berat statutori 50gram seperti peruntukan seksyen 37 (da) ADB. Mahkamah juga mendapati pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah di dalam kes pendakwaan dan mematahkan pengoperasian anggapan tersebut. Justeru setiap Tertuduh disabitkan bersalah atas pertuduhan yang dihadapi oleh mereka. Prinsip Undang-Undang Berkaitan Dapatan Fakta Di Peringkat Rayuan [44] Secara prinsipnya, mahkamah di peringkat rayuan jarang sekali campurtangan atau mengganggu dapatan fakta yang dibuat hakim perbicaraan melainkan terdapat alasan-alasan yang kukuh dan mendesak untuk berbuat demikian. [45] Di dalam kes Herchun Singh & Ors v. PP [1969] MLRA 382, Ong Hock Thye CJ (beliau pada ketika itu) menyatakan seperti berikut: "An appellate Court should be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the Judge, who had the advantage of seeing and hearing the witness, unless there are substantial and compelling reasons for disagreeing with the finding.” [46] Di dalam kes PP v. Mohd Radzi bin Abu Bakar [2005] 2 MLRA 590, Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti berikut: “Now, it settled law that it is no part of the function of an appellate court in a criminal case - or indeed any case - to make its own findings of fact. That is a function exclusively reserved by the law to the trial Court. The reason is obvious. An appellate Court is necessarily fettered because it lacks the audio-visual advantage enjoyed by the trial Court.”