PA-25-57-12/2021 (“Kes 57”) – Mahkamah Perusahaan telah memutuskan pembuangan kerja Muhammad Asyraf (“Asyraf”) tidak sah dan telah mengembalikan kerjanya serta diarahkan supaya dibayar gaji kebelakang. [2] Kedua-dua permohonan ini didengar bersama. Setelah mendengar kedua-dua pihak, saya telah memutuskan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Perusahaan di dalam kedua-dua kes dan seterusnya membenarkan permohonan-permohonan ini dengan kos. [3] Suria merupakan Pembantu Keselamatan di syarikat pemohon di bahagian Aviation Security (“AVSEC”) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sejak 8.9.2007. Sekitar bulan 8.8.2018 Suria didapati melakukan kesalahan membawa senjata api di jalan awam dalam waktu bekerja menemani Asyraf untuk mengambil senjata apinya di stor senjata (“AMRA”) tanpa kebenaran daripada penyelia mereka. Mereka sepatutnya mengikut jalan dalam lapangan terbang tersebut tetapi telah memilih mengikuti jalan awam. Ini merupakan satu kesalahan di mana sebagai polis bantuan mereka tidak dibenarkan membawa senjata api di luar kawasan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia tanpa kebenaran Ketua Polis Daerah. [4] Berikutan itu kedua-dua mereka diserahkan surat tunjuk sebab bertarikh 22.10.2018 dan dikehendaki memberi penjelasan atas tingkah laku mereka. Mereka mengemukakan surat penjelasan mereka bertarikh 24.10.2018 dan Asyraf mengaku akan kesalahannya. Pemohon tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Sehubungan itu pemohon telah mengeluarkan notis bagi inkuiri dalaman dan pertuduhan bertarikh 5.11.2018 kepada kedua-dua mereka. Pertuduhan terhadap mereka ialah membawa senjata api keluar dari Kawasan Syarikat tanpa kebenaran. [5] Inkuiri dalaman diadakan pada 29.11.2018 dan kedua-dua mereka mengaku salah. Pemohon kemudiannya mengeluarkan surat bertarikh 8.1.2019 kepada kedua-dua mereka memaklumkan mereka dibuang kerja. Mereka telah kemukakan aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan dan kes mereka dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang masing-masingnya didaftarkan sebagai Kes No.: 9/4- 558/19 dan Kes No.: 9/4-1755/19. Keputusan Mahkamah Perusahaan [6] Setelah membicarakan kes-kes mereka yang didengar bersama Mahkamah Perusahaan memutuskan pembuangan kerja mereka adalah tanpa sebab atau alasan yang munasabah dan mengembalikan mereka ke jawatan asal dan dibayar gaji kebelakang. Alasan yang diberikan oleh Pengerusi Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang (“Pengerusi”) yang terpelajar ialah walaupun tidak dipertikaikan bahawa senjata api telah dibawa oleh Suria dan Asyraf keluar Kawasan Syarikat namun larangan ini tidak disampaikan kepada mereka baik secara bertulis maupun secara lisan. Beliau juga mendapati tiada apa-apa keterangan menunjukkan di mana kawasan yang dikatakan Kawasan Syarikat. Berikutan itu beliau memutuskan hukuman pembuangan kerja adalah terlalu berat dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. [7] Peguam terpelajar bagi pemohon menghujahkan di dalam inkuiri dalaman kedua-dua Suria dan Asyraf mengaku akan kesalahan yang mereka lakukan. Inkuiri dalaman ini menurut peguam terpelajar tidak cacat dan sah serta kesimpulan yang dibuat oleh inkuiri dalaman tersebut betul. Kegagalan Pengerusi terpelajar mempertimbangkan perkara ini serta kesahihan nota keterangan inkuiri dalaman serta dapatan inkuiri tersebut terjumlah kepada kesilapan undang-undang yang membolehkan Mahkamah ini mengusik keputusan Mahkamah Perusahaan tersebut. [8] Hujah peguam terpelajar bagi pemohon lagi Pengerusi terpelajar telah buat penemuan bahawa Suria dan Asyraf membawa senjata api keluar Kawasan Syarikat tetapi beliau membuat dapatan bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai larangan tersebut. Bagi isu ini Pengerusi gagal mempertimbangkan keterangan tiga saksi yang mengesahkan ketika kursus induksi bagi semua pegawai AVSEC mereka telah dimaklumkan akan larangan tersebut. Selain itu Pengerusi terpelajar juga membuat dapatan bahawa mereka tidak tahu perimeter Kawasan Syarikat. Dalam hal ini beliau gagal mempertimbangkan pengakuan kedua-dua mereka ketika inkuiri diadakan. [9] Peguam terpelajar bagi pemohon merujuk kepada dapatan oleh Pengerusi terpelajar bahawa mereka tidak dimaklumkan akan larangan membawa senjata api dan perimeter Kawasan Syarikat tetapi kemudiannya beliau menyatakan kedua-dua mereka mempunyai pengetahuan akan larangan berkenaan. Oleh itu beliau menghujahkan Pengerusi terpelajar telah melakukan kesilapan undang-undang. [10] Peguam terpelajar bagi Suria dan Asyraf menghujahkan bahawa pihak pemohon tidak menafikan tiadanya memo atau makluman bertulis mengenai larangan tersebut. Tiada keterangan dikemukakan oleh pemohon bahawa terdapat perintah larangan rasmi berkaitan dengan perkara ini. Beliau seterusnya berhujah bahawa tiada pemohon gagal mengemukakan keterangan berkenaan apa yang dikatakan sebagai Kawasan Syarikat. [11] Beliau selanjutnya berhujah bahawa pengakuan oleh mereka adalah bersyarat. Mereka telah memberikan alasan mengapa mereka terpaksa keluar mengikuti jalan awam. Dapatan [12] Ketika prosiding di hadapan Pengerusi terpelajar keterangan berkaitan inkuiri dalaman dikemukakan dan nota keterangan juga dikemukakan. Penemuan atau dapatan inkuiri dalaman juga didedahkan. Pengerusi terpelajar sepatutnya mempertimbangkan sama ada inkuiri tersebut dijalankan secara adil dan sah serta sama ada keputusan atau dapatan inkuiri tersebut betul atau sebaliknya. Perkara-perkara ini perlu diteliti oleh beliau dalam membuat keputusan beliau sendiri. Saya bersetuju bahawa berdasarkan otoriti-otoriti yang dikemukakan di antaranya kes Lini Feinita Feisol v. Indah Water Konsortium Sdn Bhd [2021] 5 CLJ 459, kegagalan Pengerusi terpelajar mempertimbangkan keputusan inkuiri dalaman dan inkuiri yang diadakan terjumlah kepada keputusan yang tidak rasional membolehkan saya mengubah keputusan Pengerusi terpelajar. [13] Keterangan menunjukkan tiga saksi pemohon menyatakan berkenaan larangan tersebut. Pengerusi terpelajar tidak memberi pertimbangan kepada keterangan ini sama ada menerima atau menolak keterangan mereka. Beliau juga tidak mempertimbangkan pengakuan kedua-dua mereka ketika inkuiri serta pengakuan Asyraf dalam surat jawapan kepada surat tunjuk sebab. Beliau tidak langsung mempertimbangkan sama ada pengakuan mereka ini bersyarat atau sebaliknya. Oleh itu jelas keputusan Pengerusi terpelajar tidak rasional atau munasabah kerana bertentangan dengan keterangan yang dikemukakan. [14] Jelas sekali Pengerusi terpelajar di perenggan 40/42 alasan penghakiman beliau menyatakan seperti berikut: “Mahkamah percaya ketika sesi latihan penggunaan senjata api, Pihak Menuntut sedia maklum mengenai larangan membawa keluar senjata api ke tempat awam. Pihak Menuntut memaklumkan kepada Mahkamah kejadian tersebut berlaku ketika waktu puncak iaitu terdapat banyak pendaratan dan pelepasan pesawat di lapangan terbang tersebut.”. Ini adalah penemuan yang bertentangan dengan dapatan beliau yang mereka tidak tahu akan larangan tersebut dan perimeter Kawasan Syarikat. Oleh itu saya setuju bahawa keputusan Pengerusi terpelajar tidak rasional dan bertentangan dengan keterangan. Keputusan [15] Dalam kes Ranjit Kaur a/p S Gopal Singh v Hotel Excelsior (M) Sdn Bhd [2010] 6 MLJ 1 Raus Sharif HMP (beliau ketika itu) di ms 10- 11 menerangkan: “[16] The Rama Chandran decision has been regarded or interpreted as giving the reviewing court a license to review without restrain decisions for substance even when the said decision is based on finding of facts. However, post Rama Chandran cases have applied some brakes to the courts' liberal approach in Rama Chandran. The Federal Court in the case of Kumpulan Perangsang Selangor Bhd v Zaid Noh [1997] 1 MLJ 789; [1997] 2 CLJ 11 after affirming the Rama Chandran decision held that there may be cases in which for reason of public policy, national interest, public safety or national security the principle in Rama Chandran may be wholly inappropriate. [17] The Federal Court, in Petroliam National Bhd v Nik Ramli Nik Hassan [2004] 2 MLJ 288; [2003] 4 CLJ 625, again held that the reviewing court may scrutinise a decision on its merits but only in the most appropriate of cases and not every case is amenable to the Rama Chandran approach. Further, it was held that a reviewing judge ought not to disturb findings of the Industrial Court unless they were grounded on illegality or plain irrationality, even where the reviewing judge might not have come to the same conclusion. [18] The Court of Appeal has in a number of cases held that where finding of facts by the Industrial Court are based on the credibility of witnesses, those findings should not be reviewed (see William Jacks & Co (M) Sdn Bhd v S Balasingam [2000] 7 MLJ 1; [1997] 3 CLJ 235; National Union of Plantations Workers v Kumpulan Jerai Sdn Bhd, Rengam [2000] 2 MLJ 144; [2000] 1 CLJ 681; Quah Swee Khoon v Sime Darby Bhd [2000] 2 MLJ 600; [2001] 1 CLJ 9; Colgate Palmolive (M) Sdn Bhd v Yap Kok Foong and another appeal [2001] 4 MLJ 97; [2001] 3 CLJ 9). However, there are exceptions to this restrictive principle where: