Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN PETALING JAYA DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN WRIT SAMAN NO – BB-B53CY-4-12/2022 ANTARA MARIAH BINTI GHAZALI [IDENTITY CARD NO.: 750615715022] [TETUAN MAZLAN & ASSOCIATES] …PLAINTIF DAN MEDIA MULIA SDN. BHD [BUSINESS REGISTRATION NO.: 1292311] [TETUAN RAJA RIZA & ASSOCIATES] …DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN (KEPUTUSAN SELEPAS BICARA PENUH DENGAN SAKSI) LATARBELAKANG Ini adalah Rayuan yang difailkan oleh Perayu/Plaintif melalui Notis Rayuan di Lampiran 45 di mana Plaintif merayu terhadap keseluruhan keputusan HMS bertarikh 28hb June 2024 yang menolak tuntutan Plaintif dengan kos dibenarkan RM20,000.00 TUNTUTAN PLAINTIF [1] Plaintif ialah seorang pengusaha perniagaan ternakan ikan sungai dan juga merupakan pemilik tunggal bagi Marzamri Resources (No. Pendaftaran: 202003019549) yang beralamat di Lot 8487, Kampung Bidara, Bukit Chupak, 32800 Parit, Perak. [2] Defendan merupakan sebuah syarikat penerbitan akhbar yang mempunyai milikan terhadap akhbar Utusan Malaysia, akaun Facebook di bawah nama Utusan Online dan portal laman sesawang www.Utusan.com.my. [3] Pada 25 Julai 2022, Plaintif mendapati daripada beberapa individu bahawa terdapat beberapa penyiaran dan/atau penerbitan yang mencemarkan dan/atau berbaur fitnah yang merujuk kepada Plaintif melalui bangsal dan sangkar ikannya. [4] Pada 25 Julai 2022, Defendan telah menyebabkan satu penyiaran dan/atau penerbitan atas talian dibawah nama Utusan Online di aplikasi Facebook. Penyiaran tersebut adalah seperti berikut:- “UTUSAN ONLINE 25 July at 7.21 Penggunaan perut ayam sebagai makanan ikan membolehkan mereka menjimatkan kos tetapi ini menyebabkan pencemaran sungai dan bau yang busuk http://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/warga-kemboja-kuasai-pasaranikan-airtawar/?fbclid=IwAR2hWRMZhUNWN8XTw_www7crHWkIi909O pBWOsmteh9ViN_j48y6KmFL1Q (gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif) 640 reactions 211 comments 51 shares” [5] Pautan yang terkandung dalam penyiaran itu membawa kepada lama sesawang www.Utusan.com.my yang mana Defendan pada tarikh yang sama telah menyebabkan satu penyiaran dan/atau penerbitan satu artikel seperti berikut:- “WARGA KEMBOJA KUASAI PASARAN IKAN AIR TAWAR (Gambar sangkar ikan milik Plaintif) SANGKAR ternakan ikan patin yang diusahakan warga Kemboja di Sungai Perak ketika tinjauan di Parit, baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN Oleh SAYED HISHAM IDERIS, 25 Julai 2021, 7.21am “PARIT: Penternak ikan dalam sangkar Sungai Perak sekitar daerah Perak Tengah terutama di Parit, tertekan dengan kehadiran semakin ramai warga asing dari Kemboja yang menternak dan menguasai pasaran ikan air tawar daerah ini. Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penternak ikan yang enggan namanya disiarkan berkata, warga Kemboja yang tinggal menyewa rumah penduduk di beberapa buah kampung di sini, mengusahakan ternakan ikan sangkar seperti patin, tilapia dan baung. Katanya, kegiatan itu sebenarnya sudah lama bermula namun penguasaan mereka semakin ketara sejak kebelakangan ini apabila semakin ramai warga Kemboja tinggal di situ. Guna perut ayam sebagai makanan ikan Katanya, penternak warga Kemboja berupaya menawarkan harga ikan lebih rendah kerana dapat menjimatkan kos disebabkan operasi yang tidak mengikut syarat ditetapkan dengan cara memberi ikan makan perut ayam berbanding penternak tempatan yang menggunakan pallet. “Penggunaan perut ayam sebagai makanan ikan membolehkan mereka menjimatkan kos berbanding menggunakan pallet sepertimana penternak tempatan tetapi ini menyebabkan pencemaran sungai dan bau yang busuk. “Dengan cara itu, mereka boleh menjual ikan pada harga rendah contohnya ikan patin RM15 sekilogram oleh penternak tempatan tapi mereka jual serendah RM11 sekilogram. “Malah mereka pernah ‘pancung’ pelanggan saya dari Temerloh kerana menawarkan harga ikan yang lebih rendah berbanding yang saya tawarkan. “Saya hanya sempat menjual kepada pembeli dari Temerloh itu selama dua bulan, selepas itu pelanggan saya itu membeli pada penternak Kemboja yang menawarkan harga lebih murah,” katanya. Menurutnya, warga Kemboja tinggal di beberapa buah kampung di sini dan menjalankan ternakan ikan sangkar antaranya di Kampung Bidara, Bukit Chupak, Padang Kangar, Tanjung Dedalu, Sadang, Kampung Selboh, Kampung Tengah malah hingga di Kampung Mandah di Daerah Kuala Kangsar. Semakin hari semakin ramai Katanya, kehadiran warga Kemboja semakin bertambah sejak kebelakangan ini dan semakin ghairah mencari kekayaan dengan menternak ikan sangkar. Jelasnya, mereka menyewa rumah penduduk kampung di tepi sungai dan memujuk pemilik tanah untuk membenarkan mereka mengusahakan ternakan ikan sangkar di sungai. “Pada awalnya mereka datang tidak ramai dan mengusahakan ternakan ikan sangkar. Apabila keadaan aman damai, maksudnya tiada sebarang operasi pihak berkuasa terhadap mereka sebagai rakyat asing, mereka mengajak saudara mara dan rakan-rakan di kampung mereka di Kemboja untuk bekerja dengan mereka” “Mereka yang datang ini masuk ke negara ini sebagai pelancong, bukan sebagai pekerja. Lama kelamaan jika tiada sebarang penguat kuasaan dijalankan, mereka panggil lagi saudara dan rakan-rakan mereka di Kemboja, ini menyebabkan jumlah mereka semakin ramai. “Namun di sini mereka tidak tinggal secara beramai-ramai, satu kampung mungkin dua atau tiga keluarga tetapi mempunyai rangkaian atau hubungan dalam ternakan ikan dalam sangkar di kampung-kampung lain,” katanya. Katanya, warga Kemboja ini menjalankan perniagaan di pasar minggu di daerah ini selain menjual sayur dari rumah ke rumah penduduk kampung di daerah ini. “Mereka mengawal harga ikan air tawar di Perak Tengah kerana menawarkan harga yang rendah. “Apa yang membimbangkan, kaedah ternakan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan mencemar Sungai Perak. Umpamanya mereka membuang guni bekas perut ayam ke dalam sungai sehingga pernah berlaku bot nelayan hampir terbalik akibat guni tersangkut pada enjin bot,” katanya. Sumber itu berharap pihak penguat kuasa menjalankan operasi menahan warga Kemboja yang melanggar peraturan masuk ke negara ini kerana percaya ramai di antara mereka yang tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan. Kumpul kekayaan, beli tanah penduduk Selain menguasai pasaran ikan air tawar di Perak Tengah, penduduk tempatan bimbang warga Kemboja mengambil kesempatan membeli tanah penduduk kerana mereka mempunyai wang yang banyak hasil ternakan ikan di Sungai Perak. Seorang penduduk tempatan yang enggan namanya disiarkan berkata, tidak diketahui secara jelas sama ada terdapat tanah penduduk yang telah dibeli oleh warga Kemboja namun apa yang menjadi kemusyikilan adalah ada warga Kemboja di sini yang dilihat membina rumah. Katanya, jika tanah yang diduduki mereka tidak dibeli atau hanya menyewa, bagaimana warga asing itu boleh membina rumah. “Memang ada orang berasal dari Kemboja yang mempunyai kad pengenalan setelah berkahwin dengan rakyat tempatan dan membeli tanah serta membina rumah hasil daripada ternakan ikan sangkar yang mereka jalankan. “Namun ada juga warga Kemboja di sini yang apabila ditanya, mereka kata mereka cuma menyewa rumah penduduk tetapi saya lihat mereka membina rumah baharu. Malahan siap di pasang pagar lagi. Jika cuma menyewa mengapa hendak bina rumah? “Inilah yang membimbangkan kami yang jika dibiarkan mungkin ada tanah dibeli oleh orang asing kerana mereka banyak duit hasil pekerjaan menternak ikan sangkar, boleh beli apa saja,” katanya kepada Utusan Malaysia. Menurutnya, diakui warga Kemboja mempunyai wang yang banyak hasil daripada aktiviti ternakan ikan sangkar selain menjual sayur kepada penduduk di kampung-kampung menaiki motosikal. Katanya, dengan kemampuan kewangan yang mereka miliki, mereka boleh membeli tanah lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh penduduk tempatan. “Sudah ada mereka yang asalnya warga Kemboja namun mempunyai kad pengenalan membeli tanah dan membina rumah besar. Mereka juga mampu membeli kereta secara tunai, juga memiliki lori untuk menghantar ikan kepada pembeli,” katanya. Mampu pandu kereta mahal Menurutnya, kehadiran warga Kemboja di sini tidak seperti warga asing yang lain seperti warga Indonesia yang datang hanya untuk bekerja. Katanya, namun berlainan bagi warga Kemboja yang datang ke sini dan berniaga, mengumpul kekayaan sehingga menjejaskan peluang orang tempatan. “Dari segi sosialnya, mereka ini ada juga yang bergaul dengan penduduk tempatan tetapi tengok status, kalau yang sudah bergelar tauke, jarang bergaul dengan kami. Yang bergaul cuma mereka yang biasa-biasa atau yang bagi yang baru sampai ke sini, kerap nampak mereka di surau, melaungkan azan, tapi apabila sudah kaya nampak egonya. “Saya perhatikan mereka ini mempunyai satu sikap iaitu datang ke sini mencari kekayaan. Mereka datang ke sini tak akan jadi kuli, dia mesti nak jadi tauke, kalau boleh orang tempatan yang kerja dengan dia. “Di sini mereka berpakaian biasa, tapi kalau bercuti, cukup bergaya dari segi pakaian dan bercuti di tempat yang agak mewah. Nampak ‘sengkek’ tapi berduit pakai, pandu kereta mahal seperti Toyota Estima yang dibeli tunai, tak ada hutang,” katanya. – UTUSAN”” [6] Gambar yang digunapakai dalam penyiaran dan/atau penerbitan ini menunjukkan bangsal dan sangkar ikan milik Plaintif. [7] Pada tarikh yang sama juga, terdapat satu artikel akhbar fizikal Utusan Malaysia yang mempunyai artikel yang sama seperti pengataan di perenggan 7 Pernyataan Tuntutan ini dan turut menggunakan gambar yang sama. [8] Pada 9 Ogos 2022, Defendan telah menyebabkan satu penyiaran dan/atau penerbitan di bawah nama Utusan Online di aplikasi Facebook seperti berikut:- “UTUSAN ONLINE” 9 August, at 7.46 Perbezaan harga sumber makanan yang ketara ini membolehkan penternak warga asing menjual ikan ternakan dengan harga sekitar RM10 atau RM11 sekilogram manakala penternak lain yang menggunakan makanan pelet ikan sepenuhnya perlu menjual hasil ternakan sekitar RM15 atau RM16 sekilogram," https://www.utusan.com.my/berita/2022/08/sangkar-ikan-disewa-wargakemboja/?fbclid=IwAR35aMA7WGBIatSAauY8km55D65CIh 6bxn7xmY6VbDN N5hBRh9v7yzrNpPQ (gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif) 484 reactions 304 comments 40 shares” [9] Pada tarikh yang sama juga, Defendan telah menyebabkan satu penyiaran dan/atau penerbitan di bawah nama Utusan Online di aplikasi Facebook seperti berikut:- “UTUSAN ONLINE” 9 August, at 11.05 IPOH: Sangkar-sangkar ternakan ikan yang diusahakan oleh warga Kemboja di Parit di sini mungkin berdaftar atas nama penternak tempatan tetapi disewakan kepada mereka. http://www.utusan.com.my/berita/2022/08/sangkar-ikan-disewa-wargakemboja/?fbclid=IwAR35aMA7WGBIatSAauY8km55D65CIh 6bxn7xmY6VbDN N5hBRh9v7yzrNpPQ Jom follow Utusan Malaysia di FACEBOOK, INSTAGRAM, TWITTER dan TIKTOK https://www.facebook.com/UtusanOnline https://www.instagram.com/utusanonline/ https://twitter.com/UMonline https://www.tiktok.com/@utusanonline (gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif) 93 reactions 63 comments 11 shares” [10] Pautan-pautan yang terkandung dalam kedua-dua penyiaran dan/atau penerbitan bertarikh 9 Ogos 2022 yang dinyatakan di atas membawa kepada lama sesawang www.Utusan.com.my yang mana Defendan telah menyebabkan satu penyiaran dan/atau penerbitan satu artikel seperti berikut:- “SANGKAR IKAN DISEWA WARGA KEMBOJA (gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif) SANGKAR ternakan ikan patin yang diusahakan warga Kemboja di Sungai Perak ketika tinjauan di Parit, baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN Oleh WAT KAMAL ABAS 9 Ogos 2022, 7:45 am IPOH: Sangkar-sangkar ternakan ikan yang diusahakan oleh warga Kemboja di Parit di sini mungkin berdaftar atas nama penternak tempatan tetapi disewakan kepada mereka. Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, maklumat itu berdasarkan siasatan Cawangan Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan negeri dan Pejabat Perikanan Daerah Perak Tengah susulan laporan akhbar ini mengenai penternak ikan dalam sangkar warga Kemboja di Parit. Menurutnya, berdasarkan siasatan awal dianggarkan sebanyak empat lokasi penternakan ikan dalam sangkar diusahakan oleh warga asing di Parit melibatkan sejumlah keseluruhan lebih kurang 100unit petak sangkar. “Berikutan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah akan menjalankan program Bancian Ternakan Ikan Sangkar di sepanjang Sungai Perak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja dan Bota. “Ini untuk mengenal pasti status kebenaran Lesen Menduduki Sementara (TOL) semua projek ternakan ikan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya. “Jabatan Perikanan negeri juga juga dalam usaha untuk mewartakan Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Perak. “Pewartaan ini supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan ke atas penternak yang menternak ikan tanpa kebenaran dan mengabaikan Amalan Akuakultur Baik dalam menjalankan aktiviti akuakultur di negeri Perak,” katanya kepada Utusan Malaysia. Mengenai persaingan harga jualan ikan yang dipasarkan oleh penternak warga asing yang lebih rendah berbanding harga jualan oleh ikan penternak tempatan, Razman berkata, ikan yang diternak oleh warga asing boleh dipasarkan pada harga yang lebih rendah adalah disebabkan penggunaan perut ayam sebagai sumber makanan utama ikan yang diternak. Katanya, umum mengetahui perut ayam boleh didapati pada harga yang murah dan seterusnya mengurangkan kos operasi ternakan ikan dan menyebabkan mereka mampu untuk menawarkan harga jualan ikan yang lebih rendah. Jelasnya, ini berbeza dengan penternak ikan tempatan yang menggunakan makanan rumusan atau pelet yang mempunyai harga yang lebih tinggi, namun, menjamin penghasilan ikan yang lebih berkualiti, bersih dan suci. “Perut ayam boleh diperoleh dengan harga 80 sen sekilogram manakala harga pelet mencecah RM76 untuk pek bersaiz 20kilogram atau RM3.80 sekilogram. “Perbezaan harga sumber makanan yang ketara ini membolehkan penternak warga asing menjual ikan ternakan dengan harga sekitar RM10 atau RM11 sekilogram manakala penternak lain yang menggunakan makanan pelet ikan sepenuhnya perlu menjual hasil ternakan sekitar RM15 atau RM16 sekilogram,” katanya. Menurutnya, pemborong ikan lebih cenderung mendapatkan ikan dengan tawaran harga yang lebih murah. Katanya, keadaan ini menjadikan penternak tempatan sukar bersaing dalam memasarkan hasil ternakan mereka walaupun kualiti ikan penternak tempatan lebih baik dari segi rasa dan tekstur. “Penggunaan perut dan usus ayam tidak diproses sebagai bahan utama makanan menghasilkan ikan yang kurang kualiti dari segi tekstur dan rasa dimana isi ikan lembik, lebih berlemak dan berminyak apabila dimasak. “Tambahan pula penggunaan perut dan usus ayam secara terus tanpa melalui proses pembersihan dan masak terlebih dahulu adalah diragui dari segi kebersihan kesuciannya. “Amalan ini juga adalah diluar daripada yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan yang menekankan Amalan Akuakultur Baik,” katanya. –UTUSAN ONLINE [11] Plaintif menegaskan bahawa penyiaran-penyiaran dan/atau penerbitan-penerbitan di akhbar Utusan Malaysia, akaun Utusan Online di aplikasi Facebook dan portal laman sesawang www.Utusan.com.my seperti yang disebut di atas (“Penerbitan” tersebut), secara individu dan/atau keseluruhannya dan/atau melalui juxtaposition dan/atau alternatifnya, yang ditebalkan dan digarishitamkan secara kronologikal, adalah berunsurkan fitnah (‘Ayat-ayat Tercemar’ tersebut). [12] Dalam pada itu, Penerbitan tersebut secara individu dan/atau keseluruhannya dan/atau melalui juxtaposition dan/atau alternatifnya, yang ditebalkan dan digarishitamkan secara kronologikal telah merujuk kepada Plaintif melalui penggunaan gambar bangsal dan sangkar ikan milik Plaintif. [13] Penyiaran fitnah yang telah diterbitkan dan/atau disiarkan dan/atau disebabkan penyiaran dan/atau penerbitannya oleh Defendan dalam akhbar fizikalnya, Utusan Malaysia, akaun Facebooknya, Utusan Online dan laman sesawangnya, www.Utusan.com.my, pada masa material, ditemani dengan gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif yang mana penyiaran-penyiaran dan/atau penerbitan-penerbitan ini boleh ditonton secara umum dan boleh diakses oleh jutaan rakyat Malaysia, masyarakat sekeliling Plaintif, kawankawan bersama (mutual) Plaintif, kenalan Plaintif, rakan satu industri perikanan dan orang ramai yang merupakan khalayak umum dan pelanggan Plaintif, pelanggan berpotensi dan pelanggan terdahulu Plaintif. [14] Kata-kata yang diadukan dan dirujukkan dalam Penerbitan tersebut, difahamkan untuk membawa maksud bahawa:- a. Plaintif adalah seorang pendatang asing tanpa izin dari negara Kemboja; b. Plaintif melampaui keberadaannya di Malaysia setelah tempoh visa pelancongnya luput; c. Plaintif memujuk dan/atau mempengaruhi penduduk tempatan yang memiliki tanah supaya membenarkan Plaintif mengoperasikan perniagaan perternakan ikan dan/atau akukultur secara haram di tanah penduduk tempatan; d. Plaintif telah mengambil kesempatan dengan membeli tanah penduduk tempatan pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran setelah menjadi kaya-raya dek perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur haramnya; e. Plaintif menyewa tanah penduduk tempatan untuk menjalankan perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur secara haram; f. Plaintif telah mengajak ahli keluarganya dari Kemboja untuk menetap bersamanya secara haram bagi menjalankan perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur haram; g. Plaintif mengoperasikan perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur secara haram; h. Plaintif mengoperasikan perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur dengan cara yang kotor dan tidak bersih lagi suci melalui penggunaan perut ayam semata-mata berbanding penggunaan pellet. i. Perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur Plaintif secara langsung mencemarkan Sungai Perak; j. Plaintif memotong harga para penternak tempatan dengan mengambil harga yang lebih rendah per kilo berbanding harga pasaran. k. Plaintif telah merencatkan perkembangan industri tempatan bagi penternakan ikan, khalayak umum dan masyarakat sekeliling Parit; l. Plaintif merupakan individu yang sombong dan bongkak dalam komuniti Parit; dan m. Plaintif hidup bermewah-mewahan tetapi tampak miskin dan ‘sengkek’ di mata masyarakat umum. BUTIR-BUTIR MAKNA JELAS DAN BIASA AYAT-AYAT TERCEMAR DAN/ATAU MAKSUD KIASAN (INNUENDO) AYAT-AYAT TERCEMAR DAN/ATAU MELALUI PEMAKAIAN GAMBAR BANGSAR DAN SANGKAR IKAN PLAINTIF SECARA TERUS DAN LANGSUNG DAN/ATAU TIDAK LANGSUNG DAN/ATAU JUXTAPOSITION [15] Ayat-ayat yang dicemari dalam makna jelas dan biasa dan/atau secara alternatif, melalui kiasan, dan/atau secara alternatif, melalui juxtaposition berdasarkan pemakaian gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif dibaca secara individu dan/atau keseluruhan, dan/atau yang ditebalkan dan digarishitamkan bermaksud dan/atau difahamkan bahawa:- a. Plaintif adalah seorang pendatang asing warga Kemboja yang menetap secara haram di Malaysia dan bukannya seorang warganegara Malaysia; b. Plaintif secara haramnya menikmati peluang, sumber-sumber sungai, sumber-sumber tanah dan sumber-sumber semulajadi milik Malaysia sebagai seorang warga asing yang tidak sah; beliau tidak sepatutnya berbuat sedemikian; c. Plaintif selaku pendatang asing tanpa izin telah mengusahakan satu perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur secara haram dengan menggunapakai kaedah-kaedah yang jijik dan kotor serta tidak bersih lagi suci dalam pengoperasian penternakan ikan dan/atau akuakulturnya; d. Plaintif selaku pendatang asing tanpa izin telah mengusahakan satu perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur secara haram dan menyebabkan kemelesetan ekonomi tempatan dalam industry penternakan ikan dan/atau akuakultur; e. Plaintif yang menjalankan perniagaan penternakan ikan dan/atau akuakultur haram lalu memotong harga penternak-penternak lain seolah-olah menutup peluang pendapatan dan/atau periuk nasi mereka dalam penternakan ikan dan/atau akukultur; f. Plaintif adalah seorang yang tidak jujur dan tidak boleh dipercayai dalam persaingan sihat pasaran ternakan ikan tempatan; g. Plaintif adalah seorang yang sombong, takbur dan berlagak dengan masyarakat sekeliling;dan h. Plaintif telah menimbulkan isu pencemaran alam di Sungai Perak. [16] Disebabkan Penerbitan tersebut dan Ayat-ayat Tercemar tersebut dan/atau penyataan-penyataan berunsurkan fitnah bertemankan gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif, reputasi peribadi Plaintif dan namabaik Plaintif telah dicemari dan dirosakkan dengan serius serta mengaibkan dan memalukan Plaintif. [17] Plaintif menegaskan bahawa Ayat-ayat Tercemar tersebut dan/atau penyataan-penyataan berunsurkan fitnah yang diterbitkan oleh Defendan seperti yang tertera diatas adalah:- a. dikira untuk merosakkan dan mencemarkan reputasi Plaintif dengan mendedahkan Plaintif kepada kebencian, penghinaan dan/atau cemuhan; b. diniatkan untuk menurunkan Plaintif dalam tanggapan (estimation) ahli masyarakat yang mempunyai pemikiran yang betul secara umumnya; c. dikira untuk merosakkan dan merendahkan reputasi Plaintif dalam perdagangan, profesion dan/atau perniagaan Plaintif; dan/atau d. diniatkan untuk membawa Plaintif, memandangkan kedudukannya, kehormatan dan integriti, dalam skandal awam, kebencian (odium) dan penghinaan. [18] Dalam pada masa yang sama, Ayat-ayat Tercemar tersebut dan/atau penyataan-penyataan berunsurkan fitnah adalah dikira untuk menyebabkan kerugian kewangan kepada Plaintif selaku penternak ikan atau secara alternatifnya, perniagaan dan/atau perdagangan Plaintif. [19] Disebabkan Penerbitan tersebut dan Ayat-ayat Tercemar tersebut dan/atau penyataan-penyataan berunsurkan fitnah oleh Defendan, Plaintif telah direndahkan dan/atau dirosakkan reputasi peribadi dan perniagaannya, nama baik peribadi dan perniagaannya, dibawa kepada cemuhan dan/atau kebencian awam, dan/atau mengalami kejatuhan air muka/maruahnya serta perdagangannya dan perniagaannya baik di kawasan sekeliling dan/atau di alam maya media sosial. [20] Sejak Penerbitan tersebut diterbitkan, Plaintif kini mengusahakan satu warung makanan di Taiping akibat rasa malu dan rendah diri untuk mengusahakan perniagaan yang sama di Parit dek dikenali sebagai seorang pendatang asing tanpa izin warga Kemboja. PEMBOHONGAN BERNIAT JAHAT [21] Berdasarkan fakta dan butiran yang dinyatakan di atas, Plaintif menegaskan bahawa yang sama juga turut menimbulkan kausa tindakan berasaskan pembohongan berniat jahat (malicious falsehood) terhadap Defendan. [22] Ayat-ayat Tercemar tersebut dan/atau penyataan-penyataan berunsurkan fitnah oleh Defendan adalah palsu, tidak benar dan/atau tidak berasas kerana: BUTIR-BUTIR PEMBOHONGAN a. Plaintif ialah seorang warganegara Malaysia dan bukannya pendatang asing tanpa izin warga Kemboja mahupun pelancong yang melebihi tempoh visa pelancongnya; b. Plaintif menjalankan perniagaan penternakan ikan sungai dan/atau akuakultur yang sah dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan badan berkuasa tempatan; c. Tanah yang diusahakan oleh Plaintif adalah harta pusaka turun temurun daripada ibu kandungnya dan bukannya dibeli dari penduduk tempatan dengan mengambil kesempatan; d. Plaintif menggunakan pellet dalam pemberian makanan kepada ikan ternakan, bukan hanya menggunakan perut ayam semata-mata; e. Plaintif bersaing secara sihat dalam pasaran industri penternakan ikan sungai tanpa memotong harga pasaran; f. Plaintif hanya hidup bersederhana dengan kereta yang dianggap mewah sebagai kenderaan transportasi logistik perniagaannya; dan g. Plaintif tidak menyombong dan/atau berlagak dengan masyarakat sekeliling, malah susur galur keluarga Plaintif yang menetap di kediamannya adalah sejak dari turun temurun menunjukkan tiada isu sombong dan/atau berlagak dengan masyarakat sekeliling. [23] Seterusnya, Ayat-ayat Tercemar tersebut dan/atau penyataan-penyataan berunsurkan fitnah oleh Defendan adalah berniat jahat dan palsu kerana: BUTIR-BUTIR NIAT JAHAT a. Defendan menggunapakai sentimen perkauman dan/atau xenophobism untuk mensensasikan penerbitannya tanpa membuat pengesahan terhadap kebenaran dan/atau keesahan artikelnya yang mempalitkan Plaintif; b. Defendan menggambil dan menerbitkan gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif dari sungai tanpa keizinan dan/atau kebenaran Plaintif; c. Defendan telah menggunakan dan menerbitkan gambar bangsal dan sangkar ikan Plaintif dengan sub-tajuk “SANGKAR ternakan ikan patin yang diusahakan warga Kemboja di Sungai Perak ketika tinjauan di Parit, baru-baru ini” tanpa menemuramah Plaintif dan/atau mendapat pengesahan daripada Plaintif; d. Defendan menimbulkan rasa kebencian terhadap expat dan/atau immigran terutamanya terhadap warga Kemboja dalam kalangan masyarakat Malaysia yang aman damai demi meraih ketipan (clicks) terhadap artikelnya daripada pembaca-pembacanya; e. Setelah diberi peluang oleh Plaintif sendiri melalui aplikasi Facebook untuk Defendan memperbetulkan keadaan, Defendan enggan dan/atau abai untuk membalas ajakan Plaintif untuk berbuat sedemikian; f. Setelah Plaintif, melalui peguamcaranya, Tetuan R. Zulfarhan menghantar satu notis tuntutan untuk memadam Penerbitan tersebut dan membuat satu permohonan maaf, Defendan masih lagi enggan berbuat sedemikian hingga kini; [24] OLEH YANG DEMIKIAN, Plaintif menuntut daripada Defendan:-