(vi) Pendakwa Raya (responden) sebagai pihak pendakwaan sebagaimana panggilan mereka di Mahkamah Tinggi. Fakta Kes [5] Pada 12 Julai 2018, lebih kurang pukul 12.00 tengahari ketika D/Sarjan Muhamad Norazlan bin Mohd Rashid (SP2) sedang bertugas di Bahagian Perlucutan Harta, ASP Ahmad Syaari bin Ishak (pengadu / SP3) telah mengarahkan SP2 bertindak sebagai penyamar sulit bagi urusan membeli dadah berbahaya daripada T1 yang juga dikenali sebagai “Arab”. SP3 telah membekalkan telefon bimbit jenama Samsung (017-5836773) kepada SP2 untuk menghubungi T1. [5] Pada hari yang sama juga, sekitar pukul 2.00 petang, SP3 telah mengadakan taklimat di Bilik Gerakan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor bagi penugasan SP2 sebagai penyamar sulit pertama manakala Koperal Mohd Noh bin Ngadiman (SP6) pula ditugaskan sebagai penyamar sulit kedua. [6] SP2 diarahkan untuk berurusan jual beli dadah berbahaya dengan T1. Manakala SP6 pula ditugaskan untuk memandu kereta pasukan No Pendaftaran JJS 4823 dan menjaga wang tunjuk. [7] SP3 telah mengarahkan SP2 untuk membeli 10 paun Heroin dimana perjumpaan akan diadakan di Restoran Burger King, Petronas Tol Skudai pada 12 Julai 2018, lebih kurang pukul 4.00 petang. [8] Kemudiannya SP2 dan SP6 bergerak ke lokasi yang diarahkan. Pada jam 5.30 petang, SP2 dan SP6 sampai di Restoran Burger King, Petronas Tol Skudai. SP2 keluar dari kenderaan yang dinaiki dan berjalan masuk ke dalam Restoran Burger King tersebut. SP2 telah menghubungi T1 dan memaklumkan kepadanya bahawa SP2 telah berada di lokasi perjumpaan berkenaan. T1 pula memberitahu SP2 bahawa dia masih lagi di dalam perjalanan ke sana. [9] Pada pukul 5.50 petang, T1 sekali lagi telah menghubungi SP2 dan memaklumkan kepada SP2 bahawa dia masih dalam perjalanan kerana berlaku kesesakan di Tol Kempas. Pada jam 6.00 petang, SP2 menghubungi T1 bertanyakan lokasinya dan T1 memberitahu sudah sampai tetapi bercadang untuk mengisi minyak keretanya di Pam Minyak Petronas. [10] SP2 menunggu kedatangan T1 dan kemudian T1 menghubungi SP2 melalui panggilan telefon memaklumkan telah sampai di Restoran Burger King dan sedang parkir kenderaannya iaitu kereta Produa Myvi. [11] Semasa menunggu di dalam Restoran Burger King tersebut, SP2 melihat T1 berjalan masuk ke Restoran tersebut dari tempat parkir. SP2 berjumpa T1 di dalam Restoran Burger King sambil bersalaman. SP2 berbincang dengan T1 mulai jam 6.05 petang hingga 6.45 petang berkaitan penjualan 10 paun Heroin dengan harga RM6,500.00 untuk 1 paun. SP2 meminta agar serahan duit dilakukan di dalam restoran yang sama. Sebaliknya, T1 tidak bersetuju dan meminta penghantaran dadah tersebut dibuat di kedai mamak di Setia Tropika. SP2 tidak bersetuju dan memberi alasan tidak biasa dan tidak berani ke sana bimbang dirompak kerana membawa duit yang banyak. [12] T1 dilihat menghubungi seseorang untuk berurusan jual beli dadah berbahaya di Setia Tropika. Jika tiada persetujuan dicapai maka urusan akan ditangguhkan pada keesokan harinya. T1 memberi cadangan kepada SP2 untuk membuat urusan penjualan dan pembelian dadah ini pada keesokan harinya iaitu sebelum pukul 12.00 tengahari. [13] SP2 berpura-pura berlakon membuka google maps di hadapan T1. SP2 memberitahu T1 untuk berurusan di kedai Coffee Bean & Tea Leaf, Setia Tropika sebelum pukul 12.00 tengahari. T1 bersetuju dengan tempat tersebut dan bersetuju untuk menyerahkan 10 paun heroin pada keesokan harinya. T1 terus keluar dengan menaiki keretanya dan meninggalkan restoran berkenaan pada pukul 6.45 petang. [14] Pada 13 Julai 2018, lebih kurang pukul 2.00 petang, SP3 yang mengetuai satu pasukan polis telah pergi ke kedai Coffee Bean & Tea Leaf di Taman Setia Tropika. Sebaik sampai di lokasi berkenaan, SP3 telah membuat pemerhatian selama 35 minit. SP3 telah melihat SP2 turun dari kereta yang di parkirnya dan masuk ke dalam kedai Coffee Bean & Tea Leaf. Manakala SP6 menunggu di dalam kereta yang di parkir di hadapan kedai tersebut. [15] SP2 telah masuk ke dalam kedai itu dan duduk di meja paling hadapan di dalam kedai tersebut. Selang 30 minit kemudian, SP3 melihat T1 masuk dan duduk semeja dengan SP2. Selepas 40 minit kemudiannya, T2 dilihat masuk ke dalam kedai berkenaan. T2 duduk semeja bersama SP2 dan T1. Selang 25 minit kemudian, T3 pula masuk dan duduk semeja bersama SP2, T1 dan T2. [16] Selepas SP3 membuat pemerhatian selama sejam, SP3 melihat sebuah motorsikal yang ditunggang oleh T4 dan pemboncengnya T5 berhenti di hadapan kedai Coffee Bean & Tea Leaf tersebut. T5 dilihat mengalas sebuah beg berwarna hitam biru telah turun dari motorsikal itu dan pergi ke arah kereta yang dinaiki oleh SP2. T2 masuk ke dalam kereta tersebut. T4 pula tidak turun dari motorsikalnya. [17] SP3 kemudiannya nampak SP2 keluar dari kedai tersebut dan menuju ke kereta dimana di dalamnya ada T5 dan SP6. Diringkaskan SP2 kemudiannya telah memberi isyarat kepada SP3. SP3 dan anggota pasukannya telah bertindak menyerbu dan berjaya menangkap T1, T2, T3, T4 dan T5. T5 sedang memeluk beg yang dibawanya ketika tangkapan. [18] Pemeriksaan telah dilakukan di hadapan semua tangkapan. Di dalam beg tersebut dijumpai plastik merah di mana di dalamnya mengandungi 10 bungkusan plastik lutsinar berisi disyaki dadah berbahaya jenis heroin. [19] SP3 telah membuat rampasan barang kes dadah sebagaimana Senarai Borang Geledah (P9) dan menangkap kesemua tangkapan untuk siasatan lanjut. SP3 telah membuat laporan polis berkaitan rampasan dan tangkapan sebagaimana Kempas Report No: 005668/2018 (D15). [20] Siasatan kes ini telah dijalankan oleh Inspektor Muhammad Saifuddin bin Che Anawa (SP7). Pada 17 Julai 2018 pukul 2.58 petang, SP7 telah menyerahkan kesemua dadah berbahaya yang dirampas kepada Ahli Kimia iaitu Puan Nur Hafiza binti Md Yusop (SP5) di Jabatan Kimia Johor Bahru, Johor untuk di analisis. [21] Hasil analisis yang dijalankan, SP5 telah mengesahkan bahawa berat bersih dadah yang dirampas berjumlah 153.3gram heroin. Laporan kimia bertarikh 6 November 2018 yang disediakan oleh SP5 ditandakan sebagai ekshibit P13. Ringkasan Pembelaan T1 [22] Pada 13 Julai 2018, lebih kurang pukul 3.00 petang, T1 pergi ke Coffee Bean & Tea Leaf di Jalan Setia Tropika 1/2, Taman Setia Tropika untuk berjumpa dengan majikannya iaitu T2. T1 berjumpa dengan T2 atas urusan penyerahan beberapa kepingan cek untuk bayaran kedai aksesori dan bayaran gaji T1. [23] T2 meminta T1 untuk datang berjumpa dengannya bagi mengambil cek jika T1 memerlukan wang dengan segera. T1 berkomunikasi dengan melalui "WhatsApp" dan ada menghantar lokasinya iaitu Coffee Bean & Tea Leaf. T1 telah sampai dahulu di lokasi berbanding dengan T2. [24] Sebaik sahaja T1 sampai di lokasi berkenaan, T1 telah menghantar "voicenote" melalui "WhatsApp" kepada T2. memberitahu T1 supaya masuk dahulu ke kedai untuk berjumpa dengan kawannya yang telah lama menunggu. T2 memberitahu T1 bahawa dia akan sampai tidak lama lagi. [25] T2 memberitahu T1 kawannya adalah seorang lelaki Melayu bernama "Emi" (SP2) memakai T-Shirt berwarna putih dan memakai topi sedang duduk dalam kedai tersebut. T1 telah masuk ke dalam kedai dan berjumpa lelaki Melayu bernama "Emi". Tidak sampai 5 minit kemudian, T2 bersama adiknya bernama Sri Taran iaitu T3 telah sampai di Coffee Bean & Tea Leaf. T1 ada berbual dengan "Emi" dengan memberitahu T1 adalah pekerja kepada T2. [26] “Emi" ada memberitahu T1 bahawa dia sudah lama menunggu T2. Sebaik sahaja T2 dan T3 sampai, T1 ada bersalaman dengan T2. T1 ada bertanyakan cek kepada T2. T2 meminta T1 supaya tunggu dahulu dan T2 pun berbual dengan "Emi". T2 meminta maaf kepada "Emi" kerana lambat sampai. [27] Semasa T2, “Emi” dan T3 berbual-bual, T1 memaklumkan kepada T3 melalui isyarat tangan bahawa T1 akan ke tandas. Selepas T1 ke tandas, T1 ada membuat pesanan air di kaunter. Sebaik sahaja membuat pesanan air, T1 menuju kembali ke mejanya. T1 nampak T2, T3 dan “Emi” sedang berbincang tentang sesuatu perkara tetapi butiran perbincangan tidak dapat didengari dengan jelas oleh T1 ditambah pula dengan bunyi bising muzik yang dimainkan di dalam Coffee Bean & Tea Leaf berkenaan. Semasa di meja itu, T1 menggunakan telefon bimbitnya sambil minum air yang dipesannya. [28] Selepas itu T1 nampak T2 dan "Emi" bangun dari kerusi mereka dan keluar daripada kedai. T1 tidak nampak arah mana mereka pergi. T1 nampak T3 sedang berbual-bual menggunakan telefon bimbitnya. Perbualan adalah di dalam Bahasa Tamil. [29] Tidak berapa lama kemudian, T1 nampak T2 dan "Emi" berjalan masuk ke kedai semula dan menuju meja di mana T3 sedang duduk. T1 nampak "Emi" telah bangun dan keluar daripada kedai. T1 merasa perbincangan antara mereka telah selesai. T1 bangun dan menuju ke arah T3. [30] Tiba-tiba, sekumpulan lelaki berpakaian preman telah masuk ke Coffee Bean & Tea Leaf dan terus menangkap T1, T2 dan T3. Ketika tangkapan, T1 tidak cuba melarikan diri. Semasa T1 dibawa keluar dari kedai, T1 nampak 2 orang lelaki India ditangkap berhampiran kedai tersebut. T1 dan tangkapan lainnya telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bharu, Johor. Semasa berada di sana, barulah T1 sedar bahawa dirinya ditangkap di atas kesalahan mengedar dadah berbahaya. [31] T1 menafikan ada mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 153.3gram. T1 telah dirujuk dengan gambar P7, namun T1 tidak tahu beg itu kepunyaan siapa. T1 menafikan masa tangkapan beg tersebut berada dalam kawalan atau jagaannya. T1 tidak mengenali "Emi" sebelum ditangkap. Ringkasan Pembelaan T5 [32] Sebelum T5 di tangkap di tempat kejadian, pada 13 Julai 2018, T5 datang daripada Kempas. T5 ke Kempas untuk membaiki motornya di kedai motor di Kempas. Ketika itu T5 seorang diri. Kemudiannya, lebih kurang jam 3.00 petang, T3 menghubungi T5 melalui telefon bimbit untuk mengajak T5 makan. T3 berada di Summit Apartment di Setia Tropika. T5 mengenali T3 selama lebih kurang 1 hingga 1½ tahun sebelum hari kejadian. T5 mengenali T3 apabila sama-sama terlibat dalam perhiasan perkahwinan. T5 telah pergi ke D'Summit untuk mengambil T4. T4 ada memberitahu T5 bahawa selepas makan mereka ada sedikit kerja untuk dibuat tetapi T4 tidak pula memberitahu T5 secara khusus kerja apa yang hendak dilakukan. [33] T4 telah menunggu T5 di lobi D'Summit. T4 memakai jaket dan membawa satu (1) beg. T5 telah parkir motorsikalnya dekat lobi D'Summit. SP4 mengajak T5 menaiki motorsikalnya. [34] T4 telah membatalkan rancangannya untuk pergi makan tetapi pergi ke White Cafe. T5 semasa menunggang motorsikal dari Kempas sehingga ke D'Summit tidak membawa apa-apa barang. T4 telah memberikan beg seperti dalam gambar P7 kepada T5 semasa keluar dari D'Summit. T5 ada bertanyakan kepada T4 (berkenaan beg tersebut). T4 mengatakan tiada apa-apa. TP4 menyuruh T5 menyimpan beg tersebut di dalam bakul raga motorsikal dimana T5 adalah pemboncengnya. [35] T4 telah memberhentikan motorsikalnya di hadapan sebuah kereta Plat 720 warna maroon. T4 telah menyuruh T5 menyerahkan beg tersebut kepada kawannya yang berada di dalam kereta itu. Sebelum menyerahkan beg tersebut, T5 ada bertanyakan kepada T4 apakah isi kandungan di dalam beg tersebut. T4 mengatakan tiada apa-apa barang dan menyuruh T5 menyerahkan sahaja beg tersebut kepada orang yang berada dalam kereta itu. T5 mengetuk cermin kereta itu dan orang yang berada dalam kereta (lelaki berbangsa Melayu) mengajak T5 masuk dan duduk di dalam kereta. [36] Tidak sempat T5 bertanyakan kepada lelaki Melayu itu, dengan tiba-tiba sahaja beberapa orang anggota polis telah menyerbu kereta yang dimasuki oleh T5 dan menunjukkan kad kuasa polis. T5 telah digari semasa berada di dalam kereta tersebut. T5 menyatakan dia tidak mengetahui kandungan di dalam beg yang diserahkan di D'Summit sehingga dirinya ditangkap. T5 menyatakan bahawa dia tiada mempunyai apa-apa urusan dengan lelaki yang ditangkap termasuk T1. Dapatan Mahkamah Tinggi di Akhir Kes Pembelaan [37] Di antara lain dapatan beliau di akhir kes pembelaan adalah seperti yang berikut dan kami petik: “[51] Saya telah meneliti pembelaan T1 dan T2 secara mendalam. Secara ringkasnya pembelaan T1 pergi ke Coffee Bean & Tea Leaf untuk berjumpa majikannya iaitu Narsimah untuk urusan cek. T1 menafikan ada berbincang dengan AP1 [SP2] di Burger King Skudai sehari sebelum tangkapan dilakukan. T1 menafikan ada berbincang urusan jual beli dadah berbahaya dengan AP1 [SP2] di Burger King. T1 sekadar berjumpa Narsimah urusan cek dan tiada kaitan langsung dengan jual beli dadah yang dibincangkan oleh AP1 Saya akan menimbangkan pembelaan T1 terlebih dahulu dalam Penghakiman ini. Saya berpendapat pembelaan T1 menafikan ada perbincangan beli dadah dengan AP1 [SP2] di Burger King. Saya memutuskan untuk menerima keterangan AP1 [SP2] dan ASP Ahmad Syaari bin Ishak [SP3] bagaimana perbincangan dengan T1 [Man Arab] bermula di Burger King, Skudai pada 12.7.2018. Perbincangan berkaitan pembelian dadah Heroin sebanyak 10 paun. Harga belian 1 paun bernilai RM6,500.00. Penyerahan dadah di buat di tempat lain yang dicadangkan oleh AP1 dan T1 bersetuju. Kehadiran T1 di Coffee Bean & Tea Leaf adalah seperti yang dibincangkan dalam pertemuan di Burger King. Saya juga menimbangkan tindakan T1 yang pergi ke kereta di mana AP2 [SP6] membawa wang projek. T1 telah melihat wang yang di bawa oleh AP2 [SP6]. Selepas itu T1 berjumpa semula AP1 [SP2] dan memberitahu tidak lama lagi dadah yang dipersetujui akan dibawa ke lokasi. Pembelaaan T1 kononnya tidak terlibat dalam perjumpaaan di Burger King sukar di terima. Saya memutuskan tiada alasan untuk saksi pendakwaan khasnya AP1 [SP2], AP2 [SP6] dan SP4 untuk berbohong di Mahkamah atau menganiyai T1. Tiada keterangan yang menunjukkan AP1 [SP2], AP2 [SP6] dan SP4 ada perbalahan atau berdendam ke atas T1 (sila rujuk kes PP v. Shaaban Bin Abd Rahman [1989] 2 MLJ 313 dan PP v. David Ackowuah Bonsu [ 1999] 2 CLJ 677). [52] Saya turut menimbangkan pembelaan T1, kononnya pada hari kejadian hadir ke Coffee Bean & Tea Leaf semata-mata untuk berjumpa majikannya iaitu Narsimah urusan cek dan bukannya urusan jual beli dadah yang menjadi teras pertuduhan pindaan. Saya telah meneliti pendirian T1 semasa soal-balas saksi-saksi pendakwaan tidak pernah meletakkan atau mencadangkan T1 ke Coffee Bean & Tea Leaf untuk mengambil cek daripada Narsimah. Saya memutuskan pembelaan sebegini sekadar pemikiran semula (Tan Kim Ho & Anor v. PP [2009] 3 MLJ 151). Saya turut menimbangkan Borang Senarai Geledah [P9] yang ditandatangani oleh T1 dan Narsimah, jika benar T1 hadir untuk mengambil cek daripada Narsimah, sudah pasti Narsimah akan membawa buku cek ke Coffee Bean & Tea Leaf. Sebaik P9 diteliti, item (1) hingga (10) langsung tidak memasukkan sebarang cek yang dikatakan oleh T1. Sebaliknya jika diamati P9, pada milikan T1 dijumpai wang tunai campur-campur bernilai RM2,800.00. Saya berpendapat T1 tidak mempunyai masalah kewangan sehingga perlu berjumpa majikannya iaitu Narsimah untuk mengambil cek bayaran gajinya. Setelah meneliti keseluruhan keterangan pembelaan T1 dan keterangan kes pendakwaan, saya memutuskan T1 gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas pertuduhan mengedar dadah bergantung kepada keterangan AP1 [SP2] dan AP2 [SP6] dan jual beli dadah s. 2 Akta itu. Pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan yang munasabah iaitu T1 secara niat bersama dengan T2 telah melakukan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis Heroin seberat 153.3gram sebagaimana Pertuduhan Pindaan. [53] Sekarang saya beralih kepada pembelaan T2. Saya telah menimbangkan pembelaan T2 secara menyeluruh dan membandingkan dengan kes pendakwaaan. Sebagaimana yang dihujahkan oleh TPR yang terpelajar pembelaan T2 sekadar penafian kosong semata-mata. dalam pembelaanya menyatakan hadir ke lokasi kejadian atas arahan Selvarajoo untuk menyerahkan bag berwarna hitam sebagaimana yang tertera dalam gambar [P7 [1]]. [54] T2 tidak mengetahui bag yang diserahkan kepada AP2 [SP6] mengandungi dadah berbahaya. Peguam T2 yang terpelajar menghujahkan T2 tidak mempunyai pengetahuan bag yang diserahkan kepada AP2 mengandungi dadah berbahaya yang menjadi teras Pertuduhan Pindaan. Pembelaan bergantung kepada pembawa tidak bersalah atau "innocent carrier". T2 menghantar bag berisi dadah berbahaya atas permintaan kawannya bernama Selvarajoo. T2 dan Selvarajoo berada di lokasi kejadian semasa tangkapan dilakukan. Pembelaan telah meletakan asas pembelaan "innocent carrier" semasa kes pendakwaan lagi. Turut dihujahkan T2 jika mempunyai pengetahuan bag mengandungi dadah, T2 sudah pasti akan membuang atau cuba melarikan diri semasa di tangkap. Dalam kes semasa T2 tidak bertindak sedemikian menunjukkan tiada pengetahuan. Pembelaan turut menghujahkan pendakwaan tidak mengemukakan telefon bimbit T2 semata-mata bagi mengelakkan butiran atau komunikasi T2 dengan Selvarajoo di kesan. Pendakwaan gagal mengemukakan keterangan rebuttal, versi pembelaan seharusnya di terima (PP v. Mohd Zurizal Bin Saad [2021] MLJU 318). [55] Sebelum saya menimbangakan pembelaan “innocent carrier”, eloklah di rujuk nas duluan yang merungkai prinsip ini. Saya merujuk kes Public Prosecutor v. Herlina Purnama Sari [2016] CLJU 1855; [2016] 1 LNS 1855; [2017] 1 MLRA 499, Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman yang disampaikan oleh Mohd Raus Shariff PMR (beliau pada ketika itu) menerangkan maksud doktrin kebutaan disengajakan (wilful blindness) seperti yang berikut: … [56] Selanjutnya dalam kes Maria Elvina Pinto v. PP [2020] 5 CLJ 1; [ 2020] 3 MLJ 21, Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman yang disampaikan oleh YAA Tun Tengku Maimun, Ketua Hakim Negara memutuskan seperti yang berikut: … [57] Berdasarkan prinsip-prinsip yang diputuskan dalam kes Herlina Purnama Sari [supra] dan Maria Elvina Pinto [supra], saya akan menimbangkan adakah T2 boleh berpayung atas pembelaan “innocent carrier”? [58] Saya telah menimbangkan pembelaan T2 secara mendalam. T2 dalam pembelaannya seolah-olah menuruti permintaan kawannya Selvarajoo untuk menyerahkan bag [P7