Prinsip untuk membenarkan perintah injunksi adalah mantap (lihat keputusan Mahkamah Agung di dalam kes Alor Janggus Soon Seng Trading Sdn Bhd v. Sey Hoe Sdn Bhd [1995] 1 CLJ 461; [1995] 1 MLJ 241 dan keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Keet Gerald Francis Noel John v Mohd Noor bin Abdullah & Ors [1995] 1 MLJ 193 yang menerima prinsip di dalam kes American Cyanamid Co v Ethicon Ltd [1975] AC 396). Kedudukan undang-undang berkait perkara ini boleh diikhtisar seperti berikut: a. Terdapat isu serius untuk dibicarakan - lihat kes-kes seperti Tenaga Nasional Berhad Iwn. Jeffry Hassan & Satu Lagi [2016] CLJU 1731; M&C Precision Sdn Bhd Iwn. Pengangkutan Tey Selatan Sdn Bhd [2025] CLJU 3471; dan Zumatex Engineering Sdn Bhd Iwn. Chung Yoo Hock Oceanenergy Gases Sdn Bhd [2020] CLJU 1891. Tuntutan pemohon mestilah mendedahkan isu bona fide yang serius untuk dibicarakan. Mahkamah tidak perlu membuat penentuan muktamad mengenai merit tuntutan pada peringkat ini, tetapi hanya perlu memastikan bahawa tuntutan tersebut bukan remeh, menyusahkan, atau jelas tidak berasas. b. Ganti rugi bukan remedy yang mencukupi - lihat keskes Tenaga Nasional Berhad Iwn. Jeffry Hassan & Satu Lagi (supra); M&C Precision Sdn Bhd Iwn. Pengangkutan Tey Selatan Sdn Bhd (supra); Zumatex Engineering Sdn Bhd Iwn. Chung Yoo Hock Oceanergy Gases Sdn Bhd (supra). Mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada ganti rugi akan memberi pampasan yang mencukupi kepada pemohon sekiranya injunksi ditolak dan pemohon berjaya dalam perbicaraan. Jika ganti rugi mencukupi dan defendan mampu membayar, injunksi biasanya tidak akan diberikan. Sebaliknya, jika ganti rugi tidak mencukupi untuk pemohon, Mahkamah akan mempertimbangkan sama ada defendan akan diberi pampasan yang mencukupi di bawah akujanji ganti rugi plaintiff sekiranya injunksi diberikan dan plaintiff gagal dalam perbicaraan. c. Pemohon memberikan akujanji ganti rugi - lihat keskes Lim Hun Giap & Satu Lagi Iwn. Mok Chee Wai & Yang Lain [2001] 7 CLJ 208; Ong Lian Shyang & Satu Lagi Iwn. Hoover Mutiara Sdn Bhd & Satu Lagi (No 2) [2001] 1 CLJ 141. Pemohon mesti memberikan akujanji ganti rugi, dan Mahkamah mesti berpuas hati dengan kemampuan pemohon untuk memenuhi akujanji ini. d. Imbangan kesenangan memihak kepada pemohon – lihat kes-kes Tenaga Nasional Berhad Iwn. Jeffry Hassan & Satu Lagi (supra); M&C Precision Sdn Bhd Iwn. Pengangkutan Tey Selatan Sdn Bhd (supra); Zumatex Engineering Sdn Bhd Iwn. Chung Yoo Hock Oceanergy Gases Sdn Bhd (supra) - Mahkamah mesti menimbang kemudaratan yang akan timbul jika injunksi diberikan berbanding dengan kemudaratan yang akan berlaku jika injunksi ditolak, untuk menentukan pihak mana yang akan mengalami ketidakadilan yang lebih besar. Semua perkara yang relevan, termasuk realiti praktikal kes, akan diambil kira. e. Pemeliharaan status quo - lihat kes-kes Tenaga Nasional Berhad Iwn. Jeffry Hassan & Satu Lagi (supra); M&C Precision Sdn Bhd Iwn. Pengangkutan Tey Selatan Sdn Bhd (supra); Zumatex Engineering Sdn Bhd Iwn. Chung Yoo Hock Oceanergy Gases Sdn Bhd (supra). Injunksi adalah remedy budi bicara yang bertujuan untuk mengekalkan status quo antara pihak-pihak sehingga perbicaraan penuh. f. Prinsip "tangan bersih"- lihat kes M&C Precision Sdn Bhd Iwn. Pengangkutan Tey Selatan Sdn Bhd (supra). Mahkamah boleh mempertimbangkan kelakuan keseluruhan pemohon, termasuk sama ada pemohon telah bertindak secara konsisten dengan kewajipan kontraktualnya sendiri, dan sama ada pemohon datang ke mahkamah dengan "tangan bersih". g. Pemohon mestilah membuat pendedahan fakta material secara penuh dan jujur - lihat kes-kes Datuk Wira SM Faisal Sm Nasimuddin Kamal Iwn. Datin Wira Emilia Hanafi & Yang Lain [2017] CLJU 2261; Lee Ah Kong @ Lee Muk Sang Iwn. Southern Finance Berhad & Satu Lagi [2010] CLJU 496. Terutamanya untuk permohonan ex-parte, pemohon mesti membuat pendedahan penuh dan jujur semua fakta material. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan injunksi diketepikan. h. Jika permohonan dibuat secara ex-parte terdapat keadaan mendesak untuk permohonan ex-parte - lihat Tenaga Nasional Berhad Iwn. Jeffry Hassan & Satu Lagi [2016] CLJU (supra). Permohonan injunksi interim secara ex-parte hanya boleh dibuat dalam kes-kes yang mendesak. i. Bagi permohonan secara ex-parte, keperluan afidavit sokongan mengandungi pernyataan yang jelas dan ringkas mengenai, fakta yang menimbulkan tuntutan, fakta yang menimbulkan permohonan injunksi interim, fakta yang menjadi sandaran untuk mewajarkan permohonan ex-parte, termasuk butiran notis yang diberikan kepada pihak lain atau sebab mengapa notis tidak diberikan, sebarang jawapan yang mungkin ditegaskan oleh defendan, sebarang fakta yang mungkin menyebabkan mahkamah tidak memberikan permohonan ex-parte, sebarang permohonan serupa yang dibuat kepada Hakim lain dan perintah yang dibuat, dan relief yang tepat dipohon-lihat kes Datuk Wira SM Faisal Sm Nasimuddin Kamal Iwn. Datin Wira Emilia Hanafi & Yang Lain (supra) dan Aturan 29 k 1(2A) Kaedah Kaedah Mahkamah 2012. j. Tempoh luput dan penyampaian injunksi ex-parte. Injunksi interim yang diperoleh secara ex-parte akan luput secara automatik selepas 21 hari dari tarikh ia diberikan, melainkan dibatalkan atau diketepikan lebih awal. Injunksi interim ex-parte mesti disampaikan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, dan Mahkamah mesti menetapkan tarikh pendengaran inter-parte dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu.