PERTUDUHAN KETIGA “Bahawa kamu pada 29 Jun 2017, jam lebih kurang 10.30 pagi, di rumah beralamat No. 73, Lorong 2/3A, Taman Sri Pinang, 08000, Sungai Petani dalam daerah Kuala Muda, di dalam negeri Kedah, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Cannabis seberat 4896 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”. B. LATAR BELAKANG KES [3] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh dan mengarahkan Tertuduh membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut. [4] Semasa di peringkat pembelaan, Tertuduh telah memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Pembelaan Tertuduh [5] Tertuduh dalam pembelaannya telah menyatakan bahawa rakannya yang dikenali sebagai “Chak” adalah penyewa dan Tertuduh hanya pergi menumpang tidur di rumah tersebut. Semasa serbuan dibuat pada tarikh 29/6/2017, rakannya itu telah keluar dari rumah. [6] Pembelaan berhujah bahawa berkemungkinan besar rakan Tertuduh itu tinggal di situ dan menghuni bilik pertama rumah tersebut. Ini dapat dilihat dengan bukti adanya pakaian dan katil serta tilam dalam bilik tersebut. Namun begitu, bukti-bukti tersebut dikatakan tidak disiasat oleh pihak pendakwaan walaupun dibangkitkan dalam pembelaan. Ini kerana tiada rampasan pakaian daripada bilik pertama untuk dibuat acu pakai oleh Tertuduh. Acu pakai yang dibuat hanyalah terhadap pakaian yang dipakai oleh Tertuduh semasa pergi menumpang tidur di ruang tetamu rumah tersebut. [7] Pembelaan membangkitkan bahawa saksi pendakwaan tidak menafikan yang bilik pertama mempunyai penghawa dingin dan tempat tidur yang lengkap, dan terdapat pakaian di bilik tersebut. Malah, daripada Ekshibit “P9”, iaitu gambar B, C dan J, jelas menunjukkan terdapat alat penghawa dingin dan pakaian di dalam bilik pertama tersebut. [8] Selain itu, pembelaan menyatakan bahawa dadah ganja yang dijumpai adalah di dalam bilik kedua, yang tidak ada bukti pakaian atau barang peribadi milik Tertuduh ditemui di situ. [9] Pembelaan berhujah bahawa walaupun semasa serbuan dan tangkapan dibuat terdapat sedikit pergelutan, namun ia berlaku akibat daripada tindakan anggota serbuan yang masuk secara tiba-tiba kerana kesemua pintu rumah dan pintu pagar adalah tidak berkunci. Malah, pembelaan menyatakan bahawa tiada kunci gril dan kunci pintu rumah dikemukakan sebagai ekshibit. [10] Dalam kes ini, pembelaan juga berhujah bahawa tiada keterangan berkaitan transaksi jual beli dadah dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan kes ini juga tidak melibatkan agent provocateur. [11] Pembelaan juga menyatakan bahawa penangkapan Tertuduh di rumah tersebut dapat membanteras aktiviti pengedaran dadah yang bakal dilakukan oleh rakan Tertuduh yang dikenali sebagai “Chak”, kerana pada masa serbuan dia sudah keluar dan Tertuduh hanya menumpang tidur di rumah tersebut. [12] Pembelaan juga membangkitkan isu tindakan pegawai serbuan yang tidak merampas pakaian dalam bilik pertama dan kedua dan seterusnya menyiasat pakaian yang terdapat di dalam bilik pertama dan di dalam bilik kedua tersebut. Tiada barang-barang peribadi lain seperti pakaian di dalam bilik pertama dan bilik kedua serta alat-alat dapur rumah dirampas untuk tujuan DNA Tertuduh, selain sarung bantal dan tuala mandi yang didapati mempunyai DNA Tertuduh. Oleh itu, pembelaan berhujah bahawa fakta itu semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan Tertuduh ialah penyewa rumah tersebut. Hujahan Pendakwaan [13] Pendakwaan berhujah bahawa Tertuduh mempunyai milikan (kawalan dan pengetahuan) terhadap dadah berbahaya yang dirampas dalam rumah sewa tersebut. Ini kerana melalui keterangan-keterangan yang diperoleh, Tertuduh sedang berada seorang diri dalam rumah semasa serbuan dan duduk di lantai ruang tamu rumah. Barang-barang kes juga ditemui di atas lantai, dalam kotak bertulis “faber living the Italian style” di mana Tertuduh sedang duduk di situ. Turut dijumpai di atas lantai ruang tamu rumah tersebut adalah sealer, plastik lutsinar kosong dan alat penimbang. [14] Oleh itu, pendakwaan menegaskan bahawa Tertuduh mempunyai kedekatan (proximity) dengan dadah berbahaya yang berada di dalam kotak di ruang tamu pada masa itu dan mempunyai kuasa untuk menguruskan (power to deal) terhadap barang-barang kes tersebut. Barang-barang kes juga turut dijumpai di dalam bilik kedua, dalam kotak kertas warna coklat, di atas lantai bilik tersebut. [15] Berhubung dengan hujahan sama ada Tertuduh mempunyai pemilikan eksklusif (exclusive possession) atas dadah yang dijumpai dalam rumah itu, pihak pendakwaan menyatakan bahawa apa yang perlu dibuktikan adalah Tertuduh mempunyai milikan, kawalan dan pengetahuan ke atas barang-barang kes dadah dan bukan pemilikan eksklusif. [16] Pada masa serbuan tersebut, hanya Tertuduh sahaja yang berada di dalam rumah itu. Saksi pendakwaan SP5 mengesahkan bahawa rumah tersebut disewa oleh Tertuduh dan Tertuduh mempunyai akses, kawalan dan pengurusan terhadap rumah dan barang-barang dalam rumah tersebut. Tertuduh didapati menyewa rumah tersebut sejak tahun 2015 manakala kejadian serbuan berlaku adalah pada tahun 2017. Walaupun tiada perjanjian bertulis dibuat antara SP5 dengan Tertuduh, namun itu tidak menjejaskan kes pendakwaan kerana SP4 juga telah mengecam Tertuduh sebagai jiran sebelah rumahnya. [17] Saksi SP5 dan SP4 juga turut mengesahkan bahawa Tertuduh tinggal seorang sahaja di rumah tersebut dan bukti surat BRIM atas nama Tertuduh juga turut dijumpai dalam rumah tersebut. [18] Hasil analisis oleh pegawai sains ke atas barang-barang peribadi milik Tertuduh juga mengesahkan kehadiran DNA Tertuduh pada barang-barang tersebut. [19] Pendakwaan berhujah bahawa ciri-ciri bahawa terdapatnya mental milikan (mens rea possession) telah dibuktikan melalui keterangan SP7 apabila Tertuduh enggan membuka pintu setelah diketuk beberapa kali. Tertuduh juga bertindak agresif serta cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan. Pelakuan Tertuduh itu menunjukkan bahawa dengan merujuk kepada pemakaian seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952, Tertuduh mempunyai pengetahuan tentang kewujudan dan sifat am barang kes. [20] Pendakwaan menegaskan bahawa tidak wujud seorang yang bernama “Chak” seperti yang dikatakan oleh pihak pembelaan kerana saksi SP5 dan SP4 telah mengesahkan bahawa hanya Tertuduh yang tinggal di premis tersebut. Pihak pendakwaan merujuk keterangan yang telah diberikan oleh Tertuduh dalam pernyataan saksinya, iaitu di Ekshibit “D76”. Tertuduh menyatakan pada tarikh dan masa kejadian tersebut, Tertuduh berada di rumah kawannya yang dikenali sebagai “Chak”. Namun pihak pendakwaan menyatakan bahawa keterangan yang diberikan oleh OKT tentang kewujudan kawan yang dinamakan sebagai “Chak” adalah rekaan semata-mata. [21] Berkenaan dengan isu yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan bahawa tiada bukti yang menunjukkan pintu telah ditendang dan sama ada pintu dan pintu grill gate dikunci, pendakwaan berhujah bahawa ia hanyalah merupakan isu remeh dan tidak relevan serta tidak perlu dibahaskan dengan lebih mendalam lagi. Ini kerana, apa yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan adalah milikan, kawalan, pengetahuan serta pengedaran dadah berbahaya oleh Tertuduh. [22] Sehubungan dengan itu, dengan merujuk kepada seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952, pendakwaan berhujah bahawa Tertuduh adalah dianggap memiliki dadah tersebut dan juga dianggap mengetahui tentang sifat-sifat dadah tersebut sehingga dibuktikan sebaliknya. [23] Untuk itu, pihak pendakwaan telah merujuk kepada kes Wan Marzuki Wan Abdullah v PP [2008]4 CLJ 631 yang menyatakan bahawa – “Kes pembelaan adalah bertentangan sama sekali dengan kes pendakwaan. Isu yang perlu dijawab oleh Yang Arif Hakim adalah sama ada PW5 berkata benar mengenai apa yang dipersetujui, iaitu sama ada versi tertuduh mungkin betul secara munasabahnya. Selepas meneliti keterangan pada keseluruhannya, yang arif hakim mendapati tidak ada kredibiliti pada versi pembelaan. Beliau juga mendapati bahawa versi tersebut tidak membangkitkan keraguan munasabah pada pemikirannya. Menurut beliau penjelasan tertuduh adalah rekaan semata-mata, mengambil kira cara bagaimana kes pembelaan tersebut diajukan kepada kepada saksi-saksi pendakwaan. Berdasarkan fakta, Hakim mempunyai justifikasi untuk mengambil pendirian sedemikian.” [24] Dalam kes pembelaan Tertuduh, pihak pembelaan tidak memanggil kawan yang dinamakan “Chak” untuk menyokong versi pembelaan. Oleh yang demikian, cerita Tertuduh mengenai “Chak” tidak dapat dipastikan kesahihannya. [25] Pihak pendakwaan telah merujuk kepada kes PP v Hadi Bakhshi Kheimeisari Aliasghar & Appeal [2021]3 MLJ 259: [34] With regard to the first contention above, the first point to note is that Ali did not testify. Therefore Ali could not corroborate the appellant’s evidence. Second, when the appellant gave his statement to the police, he said he did not know the full name of Ali. He gave Ali’s full name only when he testified in court… [35] With regard to the second, third and fourth contentions above, first the appellant did not even know the name of Ali’s friend who gave the bags to home in Iran. The very least, the appellant should know his name or at least ask for his name. Not knowing this and not asking only means that the evidence of the appellant regarding this is highly suspicious. Besides, nobody would nowadays dare carry bags and the likes to a foreign country over thousands of miles, especially from someone they do not know. And in this regard, the appellant is a savvy businessman and not someone from the backwaters of Iran, too naïve on the criminal intents of others.” [26] Rujukan juga dibuat oleh pihak pendakwaan kepada kes Mirza Murtala v PP [2010] 5 MLJ 616, di mana Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa – “…trite principle of law that suggestions made to the prosecution’s witnesses at the prosecution’s stage by the defence are not evidence and remains mere suggestions-see Public Prosecutor v Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (No 3) [1999]2 MLJ 1 approving Emperoro v Karimuddi Sheikh AIR [1932] Cal 373. Hence, we are of the view that what was put to the witness SP6 was just a proposition unsupported by evidence and successfully refuted by the prosecution.” [27] Oleh itu, pihak pendakwaan berhujah bahawa “Chak” sememangnya tidak wujud kerana pembelaan Tertuduh adalah bertentangan dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan terutama sekali SP5 yang mengesahkan bahawa Tertuduh yang telah menyewa rumah beliau sejak tahun 2015. SP5 juga mengesahkan bahawa Tertuduh ada memaklumkan kepadanya yang Tertuduh hanya akan tinggal seorang sahaja di rumah itu. Keterangan SP4 yang merupakan jiran Tertuduh mengesahkan bahawa Tertuduh merupakan jiran sebelah beliau dan Tertuduh hanya tinggal seorang diri. [28] Berkenaan dengan isu tiada penyiasatan terhadap “Chak” dilakukan oleh pegawai penyiasat sebagaimana yang dibangkitkan oleh Tertuduh semasa pembelaan, pendakwaan menghujahkan bahawa tiada satu Notis Alcontara yang efektif telah diberikan oleh Tertuduh. Oleh itu, pihak polis terutamanya SP9 tidak boleh dipersalahkan atas apa-apa kegagalan penyiasatan terhadap penama “Chak” tersebut. Malah, semasa disoal balas oleh pihak pendakwaan, Tertuduh juga gagal memberikan nama penuh “Chak” dan mengakui tidak memberitahu secara terperinci tentang “Chak” kepada pegawai penyiasat. [29] Bagi maksud itu, pihak pendakwaan merujuk kes Ibrahim Bakri v PP [2014]1 LNS 1943, di mana Mahkamah Rayuan menyatakan – “[37] The evidence of PW9 coupled with the testimonies of PW2 and PW6 that there was no one else inside the house except the Accused’s wife and his children, that the drugs found inside black plastic bag found underneath the dressing table inside the Accused’s room, there was also a family photograph of the Accused and his wife as in Exhibit P3(6) inside the master bedroom room and also the Accused’s document [Exhibit P18] which was found inside the bag [Exhibit P17], all pointed to one strong inference that the house (scene) and the master bedroom was occupied by the Accused and therefore he had knowledge, custody and control of the said drugs.” [30] Pihak pendakwaan juga telah merujuk kepada kes Chandru Muniandy v PP [2021]2 CLJ 48, di mana Mahkamah Rayuan menyebut – “[21] In respect of the argument that the learned Judicial Commissioner made a mistake in stating in her grounds that the appellant looked shocked and pale when he came out of the bathroom when in fact the raiding officer (SP4) said he looked shocked only, we find that this is not a material error that affected her finding in respect of possession. The learned Judicial Commissioner considered the overall evidence in finding that the appellant was in possession of the drugs during the raid at the said rented house.” [31] Di akhir kes pembelaan, setelah mendengar penghujahan pihak-pihak, Mahkamah telah memutuskan bahawa Tertuduh telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dengan penilaian secara keseluruhan (in totality) keterangan di peringkat pendakwaan dan pembelaan, adalah jelas bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah dan Tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan munasabah. [32] Mahkamah seterusnya telah mensabitkan Tertuduh dengan ketiga-tiga pertuduhan dan memanggil Tertuduh untuk mitigasi sebelum menjatuhkan hukuman. [33] Dalam mitigasinya, peguam bela Tertuduh selain membangkitkan isu-isu dalam pembelaannya, hanya merujuk kepada kes PP V TAING HAW KWONG (Criminal Appeal No. Q-05(SH) -571- 11/2018 dated 1/8/2022, [2022] MLRAU 158 di mana dalam kes tersebut Mahkamah Rayuan telah merujuk kepada kes TAZATARJI V PP & ANOTHER APPEAL (2020) MLRAU 312. [34] Dalam kes tersebut perayu telah memohon supaya perayu dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana tertuduh telah memenuhi kehendak-kehendak seksyen 39B(2) dan (2A)(a),(b),(c) dan (d) Akta Dadah Berbahaya 1952. [35] Maka, peguam bela Tertuduh dalam membuat rayuan atas hukuman, telah bergantung kepada alasan-alasan seperti yang dibangkitkan dalam pembelaannya. Selain itu, dengan merujuk kepada kehendak-kehendak seksyen 39B(2) dan (2A)(a),(b),(c) dan (d) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang telah dipenuhi dalam kes ini, peguam bela menyatakan bahawa, memadai dan mencukupi apabila salah satu keperluan di bawah seksyen 39B(2A) dapat dipenuhi, Mahkamah ini boleh mengunakan budi bicaranya untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan kepada Tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkap, iaitu pada 29/6/2017. C. KEPUTUSAN MAHKAMAH [36] Menjadi prinsip penghukuman bahawa selain kepentingan umum yang merupakan keutamaan, kebajikan Tertuduh juga hendaklah diambil kira. [37] Berhubung dengan perkara ini, rujukan dibuat oleh Mahkamah kepada kes R v. Ball (Kenneth John) [1951] 35 Cr App R 164, di mana Hilbery J memutuskan bahawa – "In deciding the appropriate sentence a court should always be guided by certain considerations. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicly enforced, not only with the object of punishing crime, but also in the hope of preventing it. A proper sentence, passed in public, serves the public interest in two ways. It may deter others who might be tempted to try crime as seeming to offer easy money on the supposition, that if the offender is caught and brought to justice, the punishment will be negligible. Such a sentence may also deter the particular criminal from committing a crime again, or induce him to turn from a criminal to an honest life. The public interest is indeed served, and best served, if the offender is induced to turn from criminal ways to honest living. Our law does not, therefore, fix the sentence for a particular crime, but fixes a maximum sentence and leaves it to the court to decide what is, within the maximum, the appropriate sentence for each criminal in the particular circumstances of each case. Not only in regard to each crime, but in regard to each criminal, the court has the right and the duty to decide whether to be lenient or severe.” [38] Mahkamah seterusnya merujuk kepada kes Mohd Asmawi Bin Md Desa & Mohd Saiful Bin Mad Talin v PP [2018] 1 LNS 1670, di mana Mahkamah Rayuan memutuskan seperti yang berikut: “[22] Selain itu, kami turut telah mempertimbangkan prinsip hukuman yang melibatkan kesan yang teruk (crushing effect) berasaskan kepada prinsip totaliti. Perayu-Perayu telah disabitkan atas tiga pertuduhan kerana memiliki jenis-jenis dadah berbahaya yang berbeza dan telah dihukum dengan 6 tahun penjara dengan 10 sebatan rotan dan 3 tahun penjara dengan 4 sebatan rotan bagi Pertuduhan Kedua dan Pertuduhan Ketiga. Bagi Pertuduhan Pertama yang mewajibkan kami mengenakan hukuman sebatan minimum 10 rotan menjadikan jumlah sebatan maksimum 24 sebatan seperti dibenarkan di bawah seksyen 288(1) Kanun Prosedur Jenayah. Kami mengambil kira bahawa dengan hukuman 24 sebatan rotan akan membawa kesan yang teruk kepada Perayu-Perayu dan hukuman yang kami berikan itu memadai untuk mendatangkan kesan pencegahan (deterrence) terhadap Perayu-Perayu.”. [39] Selanjutnya, dalam kes Bachik Abdul Rahman v. PP [2004] 2 CLJ 572 , Augustine Paul JCA telah menggariskan prinsip berhubung dengan pengenaan hukuman secara serentak atau berasingan seperti yang berikut: “[14] …. It cannot be denied that the cumulative effect of both the sentences will have a crushing effect on the accused …”. [40] Sehubungan dengan itu, setelah membuat pertimbangan terhadap keseluruhan fakta kes, mitigasi oleh Tertuduh dan hujahan lisan pemberat daripada pihak pendakwaan, Mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Tertuduh seperti yang berikut: