Lampiran
Lampiran 61 adalah permohonan Plaintif di bawah Aturan 20 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk mendapatkan kebenaran meminda Writ dan Pernyataan Tuntutan dan Defendan-defendan diberi lanjutan masa menfailkan Pembelaan Terpinda. [2] Defendan-Defendan membantah permohonan ini atas alasan pindaan yang dicadangkan dibuat di saat perbicaraan hampir bermula, pindaan tersebut mengubah kausa tindakan dan pindaan yang dicadangkan tersebut mendatangkan prejudis kepada Defendan. [3] Plaintif telah menfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap sebahagian keputusan Mahkamah ini yang memutuskan bahawa Permohonan Plaintif untuk Meminda Writ dan Pernyataan Tuntutan di bawah Kandungan 61 adalah dibenarkan sebahagian dengan kos sebanyak RM5,000.00 dibayar oleh Plaintif kepada Defendan dan cadangan pindaan di perenggan 17 dan 18 Cadangan Pernyataan Tuntutan Terpinda adalah ditolak. B. Ringkasan Latarbelakang Kes [4] Plaintif telah menfailkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan ini pada 15 November 2023 menuntut pemulangan wang RM900,000.00 yang diberikan oleh Plaintif kepada Defendan Pertama untuk dimasukkan ke dalam Akaun Bank Simpanan Tetap Defendan Pertama bagi memperolehi faedah 3.6% dalam tempoh 3 bulan dan tuntutan terhadap Defendan Kedua dan Ketiga kerana menggalakkan Plaintif memberikan wang tersebut kepada Defendan Pertama. [5] Defendan-Defendan telah menfailkan Pernyataan Pembelaan pada 29 Februari 2024. [6] Plaintif telah menfailkan Jawapan Kepada Pembelaan pada 20 Mac 2024. [7] Pada 7 November 2025, Plaintif telah menfailkan Notis Permohonan Lampiran 61 untuk mendapatkan kebenaran meminda Writ dan Pernyataan Tuntutan dan Defendan-defendan diberi lanjutan masa menfailkan Pembelaan Terpinda. [8] Pada 10 November 2025, Hakim Mahkamah Sesyen yang terdahulu telah melapangkan tarikh perbicaraan Lampiran 1 yang telah ditetapkan pada 5.12.2025 untuk Lampiran 61 didengar dan diberi keputusan terlebih dahulu. C. Undang-Undang [9] Prinsip undang-undang adalah bahawa pindaan hendaklah dibenarkan apabila ianya tidak menyebabkan ketidakadilan kepada pihak-pihak yang lain. [10] Seperti yang diputuskan dalam kes Yamaha Motor Co. Ltd v Yamaha (M) Sdn. Bhd. & Others [ 1983] CLJ 428, 3 persoalan asas yang seharusnya dipertimbangkan dalam menentukan sama ada pindaan tersebut akan menyebabkan ketidakadilan atau sebaliknya adalah: (a) sama ada permohonan pindaan tersebut adalah bona fide; (b) sama ada akan menyebabkan prejudis kepada pihak yang lain yang boleh dipampas dengan kos; dan (c) sama ada pindaan tersebut akan mengubah suatu kausa tindakan yang sepenuhnya baharu atau terpisah. [11] Mahkamah juga mengambilkira prinsip undang-undang yang diputuskan dalam kes Hong Leong Finance Bhd v Low Thiam Hoe & Another Appeal [2016] 3 MLRA 81 yang mana Mahkamah Persekutuan menyatakan dalam mengendalikan permohonan pindaan pliding, yang memperkenalkan suatu kausa tindakan yang baru dalam tuntutan, di saat perbicaraan hampir bermula, prinsip undang-undang di dalam kes Yamaha Motos bukan satu-satunya pertimbangan yang harus diambilkira. Prinsip Yamaha Motor terpakai untuk permohonan pindaan pliding yang dibuat di peringkat awal prosiding. Perkara-perkara lain yang juga perlu dipertimbangkan adalah: (a) terdapat penjelasan yang kukuh dan munasabah alasan kelewatan permohonan pindaan tersebut; (b) pindaan pliding tersebut bukan taktik untuk mendapat kelebihan yang tidak adil; (c) cadangan pindaan hendaklah mendedahkan perihal penuh untuk Mahkamah menentukan prospek sebenar kejayaan untuk membuktikan fakta pindaan yang dicadangkan; dan (d) kelewatan permohonan pindaan tidak dapat dipampas dengan kos. D. Isu Untuk Diputuskan [12] Isu di hadapan Mahkamah adalah: (a) sama ada pindaan tersebut adalah bona fide; (b) sama ada pindaan tersebut akan memperkenalkan suatu kausa tindakan yang baru; (c) sama ada pindaan tersebut mendatangkan prejudis kepada Defendan dan tidak boleh dipampas dengan kos. E. Analisis dan Dapatan Mahkamah [13] Mahkamah telah meneliti Afidavit Sokongan, Afidavit Jawapan, hujahan bertulis dan hujahan lisan kedua-dua pihak serta draf pindaan yang dicadangkan. [14] Mahkamah memutuskan permohonan pindaan ini adalah dibenarkan sebahagian iaitu kesemua pindaan adalah dibenarkan kecuali perenggan 17 dan 18 dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda. (a) Sama ada Pindaan Tersebut Adalah Bona Fide [15] Mahkamah berpuashati walaupun permohonan difailkan selepas penutupan pliding dan perbicaraan hampir bermula, Mahkamah mendapati tiada kekeliruan, salah faham dan atau prejudis apabila terdapat kesilapan klerikal atau perkeranian berkenaan nombor pendaftaran syarikat Plaintif yang hanya disedari oleh peguamcara baru Plaintif. [16] Mahkamah mendapati tiada kesilapan nama syarikat Plaintif iaitu Megatech M&E Works Sdn Bhd yang mana telah dijelaskan identiti Plaintif ini di dalam Pernyataan Tuntutan dan turut diakui oleh Defendan-Defendan di dalam Pernyataan Pembelaan Defendan-Defendan mengenai identiti Plaintif. [17] Mahkamah juga mendapati cadangan pindaan berkenaan wang peti iaitu daripada RM9,000.00 kepada RM9,500.00 juga adalah bona fide oleh kerana kesilapan klerikal dan cadangan pindaan tersebut adalah berdasarkan rekod akaun Plaintif yang dikemukakan. [18] Mahkamah juga mendapati cadangan pindaan-pindaan terma-terma lain seperti berikut adalah bona fide berdasarkan sebab-sebab berikut: (a) Pindaan ke atas perenggan 4 dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda adalah untuk menegaskan hubungan sebenar Defendan Pertama dan Defendan Kedua; (b) Pindaan ke atas perenggan 8 dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda adalah untuk menjelaskan kadar deposit tetap 3.6% dikira berdasarkan kadar tahunan dan juga menyokong relif Plaintif asal di perenggan 17 Pernyataan Tuntutan. Ini adalah perlu agar tidak meninggalkan apa-apa ketidak-pastian pada masa kelak; (c) Pindaan ke atas perenggan 3 dan 4 dalam Cadangan Pindaan Writ Terpinda dan perenggan 19.3, 19.4 dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan Aturan 42 Kaedah 12 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Pindaan tersebut juga memastikan bahawa tiada faedah atas faedah dikenakan ke atas Defendan-Defendan menurut Seksyen 11(1)(a) Akta Undang-Undang Sivil 1956. [19] Mahkamah berpuas hati bahawa permohonan pindaan ini dibuat secara bona fide dan bukan bertujuan melengah-lengahkan prosiding. (b) Sama Ada Pindaan Tersebut Memperkenalkan Kausa Tindakan Baru; [20] Perenggan 17 dan 18 dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda adalah seperti berikut (di Lampiran 63, Afidavit Tambahan Plaintif, Eksibit “KTH-2” m/s 15 pdf): “17. Plaintif menyatakan bahawa wang berjumlah RM900,000.00 berserta faedahnya dan juga wang sebanyak RM9,500.00 tersebut adalah wang-wang yang telah diterima (money had and received) oleh Defendan-Defendan dan sepatutnya dipulangkan kepada Plaintif. Plaintif juga menyatakan bahawa Defendan-Defendan bertanggungjawab untuk memulangkan wang-wang tersebut sebab penukaran wang secara salah (conversion of money) serta pelanggaran amanah (breach of trust) berhubung wang-wang milik Plaintif yang dipegang dan / atau dikendalikan oleh Defendan-Defendan, terutamanya Defendan Pertama. 18. Secara alternatif, Plaintif menyatakan bahawa Defendan-Defendan telah diperkayakan secara tidak adil (“unjustly enriched”) dari kegagalan, keabaian dan/atau kecuaian untuk memulangkan wang berjumlah RM900,000.00 berserta faedahnya dan juga wang sebanyak RM9,500.00 tersebut kepada Plaintif. Plaintif juga menyatakan bahawa Defendan-Defendan telah menerima manfaat atas perbelanjaan Plaintif (“at the Plaintiff’s expense”) dan ia adalah tidak adil untuk Defendan-Defendan menahan pemulangan wang-wang tersebut kepada Plaintif. Oleh itu, Defendan-Defendan mempunyai obligasi dari segi undang-undang untuk memulangkan wang-wang tersebut di atas kepada Plaintif.” [21] Berkenaan perenggan 17 dan 18 dalam Cadangan Pindaan PernyataanTuntutan Terpinda, Mahkamah berpendapat cadangan pindaan tersebut memasukkan kausa tindakan yang baru iaitu “conversion” dan “breach of trust”. [22] Mahkamah mendapati cadangan pindaan tersebut jelas bercanggah dengan tuntutan asal Plaintif yang berasaskan “recovery of fixed deposit”. [23] Mahkamah berpendapat dengan memasukkan elemen pecah amanah, Plaintif mengubah sifat guaman ini secara drastik daripada pertikaian komersial kepada pertikaian yang melibatkan elemen ketidakjujuran (dishonesty) fraud dan tanggungjawab fidusiari. (c) Sama Ada Pindaan Tersebut Memprejudiskan Defendan [24] Mahkamah berpendapat perenggan 17 dan 18 dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda akan memprejudiskan Defendan-Defendan kerana: (a) Defendan telah menyediakan pembelaan dan saksi berdasarkan tuntutan hutang mudah; (b) Tuduhan Breach of Trust memerlukan pembuktian elemen niat jahat (mens rea) dan hubungan fidusiari yang tidak pernah dibangkitkan sebelum ini; (c) Defendan kini terpaksa membina semula strategi pembelaan dari awal dua tahun kes berjalan dan jelas bahawa ini merupakan sejenis prejudis yang tidak boleh dipampas dengan kos. F. Keputusan Mahkamah [25] Kesimpulannya, Mahkamah memutuskan permohonan pindaan ini adalah dibenarkan sebahagian iaitu kesemua pindaan adalah dibenarkan kecuali perenggan 17 dan 18 dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda. [26] Mahkamah mendapati bahawa sebarang prejudis kepada Defendan-defendan untuk pindaan-pindaan yang dibenarkan boleh diperbaiki melalui: (a) Kebenaran untuk memfailkan Pembelaan Terpinda; dan (b) Perintah kos. [27] Mahkamah berpendapat bahawa adalah wajar demi keadilan untuk membenarkan pindaan ini sebahagian seperti yang telah dinyatakan di atas supaya semua isu sebenar dapat diputuskan dalam satu prosiding. [28] Sehubungan itu, permohonan Plaintif adalah dibenarkan sebahagian dengan terma-terma berikut: (i) Bahawa Plaintif diberi kebenaran untuk meminda Writ dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 15.11.2023 seperti mana yang ditunjukkan dengan garisan warna merah pada Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda kecuali pada perenggan 17 dan 18 dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Tuntutan Terpinda yang dilampirkan sebagai Lampiran A; (ii) Bahawa pindaan tersebut digunapakai atas semua kertas kausa yang telah difailkan dalam seluruh prosiding Guaman ini; (iii) Bahawa Defendan-defendan diberi lanjutan masa untuk memfailkan Pernyataan Pembelaan Terpinda dalam masa 14 hari selepas Writ Terpinda dan Pernyataan Tuntutan Terpinda disampaikan oleh Plaintif / peguamcara Plaintif kepada Defendan-Defendan / peguamcara mereka; (iv) Bahawa Plaintif diberi lanjutan masa untuk memfailkan Jawapan Terpinda dalam masa 14 hari selepas tarikh penyampaian Pernyataan Tuntutan Terpinda; (v) Kos RM5,000.00 dibayar oleh Plaintif kepada Defendan-defendan. Bertarikh : 5 Mac 2026 Aleeza (KHAINUR ALEEZA BINTI ISMAIL) Hakim Mahkamah Sesyen Mahkamah Sesyen Kajang Selangor