Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-158-04/2023 & B-05(M)-159-04/2023 ____________________________________________
B-05(M)-159-04/2023
Court of Appeal of Malaysia21 Jun 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“idence, the quantum of proof must be more than mere skeletons. The first and foremost principle to be borne in mind when approaching circumstantial evidence is set out in Idris v. PP [1960] 1 LNS 40; [1960] MLJ 296 at 297 (where Hill Ag CJ quoted with approval the trial judge's summing up to the jury and his quotation”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-158-04/2023 & B-05(M)-159-04/2023 ____________________________________________
1
MEHMOOD NASIR (No. Pasport: EJ0155632)
2
MUHAMMAD RAMZAN (No. Pasport: AN9211183) ... PERAYU LAWAN PENDAKWA RAYA ...RESPONDEN DAN [Dalam Perkara Mengenai Mahkamah Tinggi Shah Alam
1
Lawan
2
Mehmood Nasir Muhammad Ramzan] KORUM VAZEER ALAM BIN MYDIN MEERA, HMR AHMAD ZAIDI BIN IBRAHIM, HMR S.M. KOMATHY A/P SUPPIAH, HMR PENGHAKIMAN Pengenalan: [1] Alasan Penghakiman ini adalah bagi dua (2) rayuan iaitu, Rayuan Jenayah No: B-05(M)-158-04/2023 dan Rayuan Jenayah No: B-05(M)- 159-04/2023 yang telah didengar dan diputuskan secara bersekali oleh Mahkamah ini. Rayuan adalah terhadap keputusan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam (PK) bertarikh 07.04.2023 bagi Perbicaraan Jenayah No. BA-45B-18-05/2019. [2] Selanjutnya, pihak-pihak di sini dirujuk sepertimana berikut iaitu, Mehmood Nasir/Tertuduh 1 sebagai Perayu 1 dan Muhammad Ramzan/Tertuduh 2 sebagai Perayu 2. [3] Dalam kes Perbicaraan Jenayah di atas Perayu 1 dan 2 dituduh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama seksyen 34 KK atas kesalahan membunuh. Di akhir perbicaraan, pada 07.04.2023 mereka berdua didapati bersalah dan disabitkan. Susulan itu, mereka berdua telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh PK yang membicarakan kes tersebut. [4] Terkilan dengan keputusan PK tersebut, mereka merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia (Mahkamah ini) terhadap keseluruhan keputusan tersebut melalui 2 Rayuan di atas. Keputusan Mahkamah ini (di peringkat rayuan): [5] Setelah Mahkamah ini mempertimbangkan rayuan mereka, Mahkamah ini secara sebulat suara mendapati dan memutuskan sepertimana berikut:
i
Rayuan terhadap Sabitan: Perayu 1 dan 2 gagal menunjukkan adanya merit dalam rayuan mereka berhubung dengan sabitan. Mahkamah ini mendapati sabitan ke atas mereka oleh PK adalah selamat. Ekoran itu, rayuan mereka terhadap sabitan adalah ditolak.
II
(ii) Rayuan terhadap Hukuman: Bagi rayuan terhadap hukuman pula, Mahkamah ini mendapati ada merit dalam rayuan mereka. Oleh itu, rayuan mereka terhadap hukuman dibenarkan. Susulan itu, perintah hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan oleh PK diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara selama tempoh tiga puluh lima (35) tahun, berkuat kuasa dari tarikh 17.08.2018 (tarikh tangkapan). Kedua-dua Perayu masing-masing juga dikenakan hukuman sebatan rotan sejumlah dua belas
12
kali, selaras dengan kehendak undang-undang berkenaan. [6] Mahkamah ini menolak rayuan terhadap sabitan dan membenarkan rayuan terhadap hukuman atas alasan berikut: Latar Belakang: Pertuduhan: [7] Perayu 1 dan 2 dituduh dengan niat bersama membunuh mangsa (Simati), di bawah seksyen 302 KK, dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama. Pertuduhan terhadap mereka adalah seperti berikut: “Bahawa kamu bersama-sama, pada 15.08.2018, jam di antara jam 05.00 petang hingga 16.08.2018 jam 03.00 pagi, di tempat dalam bilik No. DS2-10-P, Desa Satu Apartment, Desa Aman Puri, di dalam Daerah Gombak, dalam Negeri Selangor telah didapati membunuh Ali Adnan, RJ1795492. Oleh demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun yang sama”. Fakta dan Kronologi Kes: [8] Pihak Pendakwaan memanggil 19 orang saksi (SP1 - SP19) yang terdiri dari saksi orang awam (SP2, SP3, SP12, SP14 dan SP15), saksi pakar perubatan/forensik (SP1, SP4, SP10 dan SP11) dan saksi Polis (SP5, SP6, SP7, SP8, SP9, SP13, SP16, SP17, SP18 dan SP19), bagi membuktikan kes Pendakwaan. Kes Pendakwaan: [9] Perayu 1 dan 2 didakwa dengan niat bersama telah membunuh Ali Adnan (Simati) “antara jam 5.00 petang 15.08.2018 hingga jam 3.00 pagi 18.08.2018 di bilik No. DS2-10-P, Desa 1 Apartment, Desa Aman Puri, Daerah Gombak, Selangor” (Desa Aman Puri). [10] Secara ringkas, pihak Pendakwaan mendakwa Simati telah diculik dan selepas itu ditahan di Desa Aman Puri (tempat kejadian) untuk dijadikan tebusan. Mayat Simati kemudiannya, telah dijumpai di dalam sebuah kotak di satu kawasan lain, hasil dari kenyataan tunjuk arah (statement leading to discovery) oleh Perayu 2 kepada Polis. Bedah siasat oleh pakar bedah (pathologist) membuktikan Simati meninggal dunia akibat dicederakan/dipukul dengan senjata/objek tumpul (“blunt force trauma”) di bahagian kepala. [11] Bagi membuktikan pertuduhan terhadap mereka, pihak Pendakwaan bergantung kepada keterangan 19 saksi mereka (SP1- SP19), khususnya SP9 dan SP15 yang merupakan saksi utama Pendakwaan. Secara ringkas, keterangan relevan dan material SP9 dan SP15 adalah sepertimana berikut:
i
SP9 (DSP Lutfi Abdul Mutallib – Pegawai Risikan dan Operasi Jenayah IPD Sentul). Menurut SP9, SP15 telah membuat satu Laporan Polis (Ekshibit P41) perihal penculikan ke atas abang beliau bernama Ali Adnan (Simati). Susulan itu, beliau mengetuai satu pasukan Polis untuk kes tersebut. Menurut beliau, ‘penculik’ dan SP15 telah berunding melalui telefon berkaitan jumlah wang tebusan yang perlu dibayar oleh SP15. Menurut SP9 pada akhirnya, penculik/pemanggil tersebut bersetuju menerima wang tebusan sejumlah RM15,000-00 dan telah mengarahkan SP15 untuk pergi ke Hentian Bas Batu Tiga Jalan Ipoh bersebelahan Plaza Sungai Mas, untuk penyerahan wang tersebut. Susulan itu, SP9 dan pasukan telah membuat intipan (lay in ambush) di kawasan berhampiran Hentian Bas tersebut yang terletak berdekatan Plaza Sungai Mas, Kuala Lumpur, sepertimana yang diarahkan oleh ‘peculik’ kepada SP15.
Preamble
Menurut SP9, semasa di situ, beliau seketika, SP9 nampak sebuah motorsikal yang dinaiki dua (2) lelaki tiba dan berhenti tidak jauh dari hentian itu. SP9 nampak penunggang motorsikal itu turun dan berjalan menuju ke arah SP15, sementara penunggang menunggu di atas motorsikal. Melihat keadaan tersebut, SP9 dan pasukan menyerbu dan menangkap lelaki tersebut yang kemudiannya dicamkan sebagai Muhammad Ramzan (Perayu 2). Pada masa itu juga, SP9 melihat penunggang motosikal memecut dari situ. Namun, penunggang tersebut yang kemudiannya dicamkan sebagai Mehmood Nasir (Perayu 1) telah berjaya ditangkap oleh anggota polis berdekatan sebuah hotel tidak jauh dari situ. Selepas menangkap Perayu 2, SP9 membawa balik beliau ke Balai Polis untuk disoal siasat. Menurut SP9, Perayu 2 telah memberi maklumat tentang lokasi di mana mayat Simati ditinggalkan/dibuang dan juga tempat di mana Simati ditahan/kurung. Maklumat dari Perayu 2 tersebut, SP9 telah mencatatkan maklumat Perayu 2 tersebut secara bertulis dalam Laporan Polis Sentul Report 15206/18 beliau (Ekshibit P60). Selanjutnya, menurut SP9, Perayu 2 kemudiannya telah memandu arah beliau dan pasukan dengan kereta pasukan Polis ke lokasi/tempat yang dinyatakan tersebut. Menurut SP9 setiba di situ, kejadian tersebut, pihak Polis menemui sebuah kotak yang mana di dalamnya mayat Simati telah disumbat. Setelah itu, Perayu 2 telah memandu arah beliau dan pasukan ke rumah pangsa di Desa Aman Puri (tempat kejadian) yang beliau sewa di mana SP9 telah menjumpai dan merampas antara lain, puntung rokok (Ekshibit P6). Menurut SP9 semasa menangkap Perayu 2 di Hentian Bas Batu Tiga, beliau telah menjumpai dan merampas sebuah telefon bimbit dari badan Perayu 2 yang kemudiannya dikenalpasti dan dicamkan sebagai telefon milik Simati; dan
II
(ii) SP15 (Norman Nasir) adalah adik kepada Simati. Menurut SP15 pada 11.08.2018 jam 4.30 petang abang beliau Ali Adnan menelefon beliau memberitahu yang beliau berada bersama kawan dan tidak akan pulang pada hari tersebut. Pada esoknya, pada jam 12.30 tengahari beliau sekali berhubung dan bercakap dengan Ali Adnan melalui telefon beliau bila mana Ali Adnan telah memberitahu hal yang sama. Selepas itu, pada hari yang sama, pada jam kira-kira 8.30 malam, SP15 menerima panggilan dari telefon berakhir dengan nombor “3578” di mana pemanggil, seorang lelaki yang tidak dikenalinya yang memberitahu beliau, abang beliau, Ali Adnan sedang ditahan oleh mereka dan meminta wang tebusan sebanyak RM100,000-00 sebagai wang tebusan. Pemanggil tersebut memberikan amaran abang beliau akan dibunuh dan jari beliau akan dihantar kepada SP15 sekiranya SP15 memberitahu orang lain dan supaya tidak melaporkan kepada Polis. Namun, SP15 telah melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur sepertimana Ekshibit P51. Susulan itu, atas arahan pihak Polis, panggilan/perbualan telefon dengan lelaki tersebut seterusnya telah dirakamkan oleh beliau ke dalam telefon beliau. Menurut SP15 lagi, susulan perbualan telefon berkali-kali antara beliau dan 2 lelaki tersebut, beliau dapat mengecam suara mereka. SP15 menyerahkan rakaman tersebut kepada pihak Polis (SP18/Pegawai Penyiasat). Berkait wang tebusan, ‘penculik’ telah diberitahu hanya sejumlah RM15,000-00 berjaya beliau kumpulkan. Jumlah tersebut, akhirnya dipersetujui oleh ‘penculik’ tersebut yang mengarahkan wang tersebut diserahkan di lokasi yang ditetapkan iaitu, di Hentian Bas Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, pada hari dan waktu yang ditetapkan. Susulan itu, satu pasukan polis membuat pemantauan dan pemerhatian (lay in ambush) di lokasi tersebut. Dipendekkan cerita, SP15 kemudiannya telah pergi ke lokasi tersebut dengan membawa wang tebusan yang diminta dan menunggu di lokasi yang ditetapkan iaitu Hentian Bas Batu Tiga, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Selepas menunggu seketika di situ, beliau menerima panggilan dari ‘penculik’ sama yang mengarahkan beliau supaya bergerak ke satu jambatan berhampiran dan membuang beg berisi wang tebusan ke bawah jambatan. Menurut SP15, apabila beliau meminta untuk bercakap dengan abang beliau (Simati) dahulu bagi memastikan beliau masih selamat/hidup, ‘penculik’ tersebut dengan marah dan mengingatkan SP15 akan akibat yang boleh menimpa abang beliau, sebelum menamatkan perbualan telefon mereka. Setelah menunggu untuk seketika dan setelah gagal menghubungi semula ‘penculik’ tersebut, SP15 telah meninggalkan tempat itu. Tambah SP15 lagi, pada esoknya 17.08.2018 pada sebelah tengahari beliau menerima panggilan telefon dari ‘penculik’ sama yang mengarahkan beliau pergi ketempat/hentian bas dan untuk membawa wang tebusan. Menurut SP15, semasa menunggu di situ, telah tiba 2 lelaki (kemudiannya dicamkan sebagai Perayu 1 dan 2) dengan sebuah motosikal dan berhenti tidak jauh dari tempat SP15 menunggu. SP15 melihat pembonceng (kemudiannya dicamkan sebagai Perayu 2 turun dari motorsikal itu dan berjalan menuju ke arah beliau, sementara penunggang (kemudiannya dicamkan sebagai Perayu 1) menunggu di atas motosikal tersebut. Menurut SP15 lagi sebelum menyerahkan beg berisi wang tebusan itu kepada mereka, beliau bertanyakan tentang abang beliau. Apabila diberitahu yang abang beliau akan dibebaskan dan dibawa ke situ dalam masa 20 minit, SP15 telah memeluk leher lelaki tersebut dan menjatuhken beliau ke tanah. Pada masa tersebut, SP15 nampak lelaki kedua iaitu, penunggang motorsikal, memecut motosikalnya dari situ. SP15 mengecam pembonceng sebagai Perayu 1. Kejadain yang berlaku di situ pada tarikh tersebut dinyatakan oleh beliau dalam laporan Polis yang dibuat beliau seprtimana Jinjang Report 16957/18 (Ekshibit P41). [12] Keterangan relevan saksi-saksi lain Pendakwaan pula adalah sepertimana berikut:
III
(iii) SP1 (Wan Zalina – Ahli Kimia, Jabatan Kimia Petaling Jaya). Menurut SP1 atas permohonan pegawai penyiasat, beliau melakukan analisis DNA ke atas barang kes termasuk sebatang kayu (Ekshibit P20A) yang disyaki senjata yang digunakan ke atas Simati, berus gigi, puntung rokok, kuku dan rambut. SP1 mengesahkan kewujudan DNA Perayu 2 pada berus gigi yang dirampas dari bilik air tempat kejadian dan juga pada puntung rokok (Ekshibit P6) yang juga dijumpai/dirampas di tempat kejadian tersebut. SP1 mengesahkan tiada kesan DNA Mehmood Nasir (Perayu 1) ditemui pada barangkes yang beliau analisa tersebut;
IV
(iv) SP2 (Kui Yuk Lam – tuan rumah/premis No. DS2-10-P, Desa Satu Apartment, Desa Aman Puri, Gombak, Selangor (Desa Aman Puri). Menurut SP2 premis tersebut telah beliau sewakan kepada warganegara Pakistan bernama “Ramzan” (Perayu 2). SP2 menggunakan khidmat Lai Thiang Weng (SP3), seorang ejen hartanah berhubung penyewaan bagi rumah beliau tersebut;
v
SP3 (Lai Thiang Weng – Ejen hartanah). SP3 mewakili tuan rumah (SP2) menyewakan rumah SP2 tersebut kepada “Ramzan” melalui Perjanjian Sewaan (Ekshibit P21). SP3 dapat camkan Perayu 2 sebagai penyewa tersebut di Mahkamah;
VI
(vi) SP4 (Dr. Ching Kay Lee – Pakar bedah forensik). SP4 mengambil sample darah, kuku dan rambut Mehmood Nasir (Perayu 1) untuk analisa DNA sepertimana permohonan oleh Pegawai Penyiasat, ASP Tan Wun Chun. SP4 juga membuat pemeriksaan badan Perayu 1 dan mendapati terdapat kesan lebam dan calar pada badan beliau. SP4 dapat camkan Perayu1 semasa di Mahkamah;
VII
(vii) SP5 (Kpl Hafiz Mohamad – Jurufoto PDRM) SP5 mengambil gambar barang kes;
VIII
(viii) SP6 (Kpl Zulkifli Abu Bakar – Jurufoto PDRM) SP6 mengambil gambar di tempat kejadian;
IX
(ix) SP7 (Kpl Mohd Nurhafiz Hashim – Jurustor PDRM) SP6 menyimpan selamat barang kes bagi kes ini;
x
SP8 (ASP Mohd Nazrin Nasir – Pegawai kawad cam) SP8 menjalankan proses dan prosedur kawad cam ke atas Perayu 1 dan 2. Saksi-saksi berkaitan dapat camkan mereka;
XI
(xi) SP10 (Dr Siti Wira) adalah pakar bedah siasat (pathologist) di Hospital Kuala Lumpur. SP10 melakukan bedah siasat ke atas jasad Ali Adnan (Simati). Mayat Simati dicamkan oleh Norman Nazir (SP15) iaitu, adik Simati. SP5 mengesahkan Simati telah meninggal dunia akibat kecederaan di kepala akibat pukulan benda tumpul (blunt force injury to the head). S10 menyediakan Laporan Post Mortem (Ekshibit 47). Menurut SP10 kecederaan pada kepala (pecah tengkorak) pada Simati adalah penyebab kematian Simati. Menurut SP10 mayat Simati dicamkan oleh Norman Nasir iaitu, adik Simati. SP10 mengesahkan Simati telah meninggal dunia akibat kecederaan di kepala (blunt force injury to the head);
XII
(xii) SP11 (Dr. Gunasilan a/l Subramaniam – pakar forensik). Bertindak atas permintaan Pegawai Penyiasat kes ini, beliau mengambil sample darah, kuku dan rambut Muhammad Ramzan (Perayu 2) untuk proses analisa DNA. SP11 dapat camkan Perayu 2 di Mahkamah semasa perbicaraan;
XIII
(xiii) SP12 (Muhammad Izat Azra – pegawai BOMBA di Balai BOMBA Sg. Buloh). Menurut SP12, beliau telah membantu pihak Polis mengangkat sebuah kotak berisi jasad manusia (mayat Simati) yang dijumpai di sungai/longkang besar berdekatan kawasan perindustrian Sri Damansara. Setiba beliau di situ, SP12 mendapati pasukan Polis berpakaian preman telah berada di situ, sambil mengawal keadaan dan orang ramai yang turut berada di situ. Setelah diangkat keluar kotak tersebut, beliau dan pasukan BOMBA menyerahkan kotak yang berisi jasad manusia tersebut kepada pasukan forensic PDRM;
XIV
(xiv) SP13 (Kpl Muhammad Asful Fual – anggota Polis IPD Sentul). SP13 bertugas di pusat kawalan IPD Petaling Jaya pada tarikh dan masa yang material. Pada hari tersebut, 17.08.2018 pada jam kira-kira 7.44 malam beliau dimaklumi melalui telefon oleh Insp Fitri perihal penemuan mayat Simati di kawasan perindustrian Sri Damansara. Susulan itu, SP13 membuat laporan Polis Sri Damansara No. 5181/18 (Ekshibit P50 dirujuk);
XV
(xv) SP14 (Lee Chee Yong) SP14 adalah pemilik kedai peralatan komunikasi dan beliau mengesahkan telah menjual dan mendaftar Kad SIM nombor telefon Digi 016-6713578 kepada Mehmood Nasir (Perayu 1). SP14 dapat mengecam Perayu 1 sebagai pembeli kad SIM tersebut;
XVI
(xvi) SP16 (Insp. Sharul Azwa Bin Sharum – Pegawai Penyiasat IPD Dang Wangi) Pada masa material SP16 bertugas di IPD Sentul sebagai pegawai penyiasat.
Preamble
Menurut SP16 beliau menjalankan siasatan ke atas laporan Polis SP15 (Ekshibit P51) yang melaporkan tentang kehilangan dan tahanan salah ke atas abang beliau (Simati) di bawah seksyen 342 KK. Apabila abang pengadu dijumpai mati, siasatan kes diambil alih oleh SP18 (ASP Ang Lu Chan) di bawah seksyen 302 KK;
XVII
(xvii) SP17 (ASP Muhammad Faizul Bin Ismail – Pegawai Penyiasat Forensik IPK Kuala Lumpur). Menurut SP17 beliau telah pergi ke dua (2) tempat bersama-sama SP18 di mana beliau dan pasukan melakukan siasatan. Tempat pertama adalah di tepi longkang/sungai di Jalan Jaguh 1, Persiaran Industri Kuala Lumpur dan tempat kedua adalah Apartment Desa 1, Desa Aman Puri, Kuala Lumpur (gambar Ekshibit P31 dan P37).
Preamble
Menurut SP17 beliau menjumpai/merampas tali rafia hijau, puntung rokok, beberapa helai rambut dan kuku, serta dua (2) berus gigi;
XVIII
(xviii) SP18 (ASP Tan Loon Chuan – Pegawai Penyiasat Jenayah Kanan IPD Sentul); dan
XIX
(xix) SP19 (Hu Ket Hau - Pegawai Penyiasat Kanan IPD Sentul). SP19 telah merakam Pernyataan saksi-saksi yang terlibat dalam kes ini. Keputusan dan dapatan Mahkamah Tinggi di akhir Kes Pendakwaan: [13] PK mendapati satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan. Susulan itu Perayu 1 dan 2 dipanggil untuk membela diri (perenggan 58 Alasan Penghakiman PK dirujuk). Kes Pendakwaan: [14] Keterangan Pembelaan Perayu 1 dan 2 adalah sepertimana yang diputuskan oleh PK di perenggan (59) hingga (70) Alasan Penghakiman beliau. Pembelaan Perayu 1 (Mehmood Nasir): [15] Secara ringkasnya, Perayu 1 memberikan pembelaan berikut:
i
Beliau menafikan terlibat dengan kematian Simati;
II
(ii) Beliau mendakwa tidak mengenali Ali Adnan (Simati) dan Norman Nazir (SP15);
III
(iii) Beliau mengakui telah pergi ke Hentian Bas Batu Tiga, bersebelahan Plaza Sungai Mas, tetapi beliau ke situ setelah diminta oleh rakan beliau bernama ‘Tahir’ untuk memungut wang hutang dari seseorang yang akan berada di hentian bas tersebut dan untuk beliau menunggu panggilan telefon dari ‘Tahir’ selepas itu;
IV
(iv) ‘Tahir’ juga telah ditangkap oleh Polis berhubung kes ini;
v
Beliau pergi ke situ bersama Ramzan (Perayu 2) dengan motosikal Ramzan. Motosikal ditunggang oleh Ramzan dan beliau membonceng. Setiba disitu, Ramzan telah berhenti tidak jauh dari hentian bas itu. Beliau turun dari motosikal dan berjalan menuju hentian bas itu, ke arah seorang lelaki yang beliau nampak sedang menunggu. Pada ketika itu, beliau telah dipegang dan ditahan oleh sekumpulan lelaki yang kemudiannya memperkenalkan diri sebagai Polis. Pada masa itu, beliau nampak Ramzan memecut pergi dari situ dengan motosikal beliau;
VI
(vi) Selepas ditangkap, dari situ beliau telah dibawa ke Balai Polis Sentul dengan kereta Polis. Dalam perjalanan ke Balai Polis beliau telah dipukul oleh Polis yang bertanyakan tentang seorang bernama ‘Ali Adnan’ dan ‘Norman Nasir’. Apabila beliau menafikan mengenali mereka tersebut dan juga menafi meminta wang tebusan daripada Norman, beliau telah dipukul/dibelasah oleh Polis tersebut;
VII
(vii) Tambah beliau, semasa di situ beliau ada memberitahu kepada pasukan Polis tersebut tentang ‘Tahir’ yang pada masa itu sedang berada di Plaza Sungai Mas, menunggu wang yang dipungut oleh beliau tetapi ianya tidak diendahkan oleh Polis tersebut;
VIII
(viii) Beliau kemudiannya dibawa oleh Polis ke premis di Desa Aman Puri (tempat kejadian) dan beliau menunggu di dalam kereta Polis sementara Polis naik/masuk ke rumah/premis tersebut. Pada masa itu beliau nampak Ramzan (Perayu 2) juga berada di situ dibawa oleh Polis;
IX
(ix) Dari situ, kereta Polis yang beliau naiki telah mengekori kereta Polis yang dinaiki oleh Ramzan telah pergi ke satu kawasan di tepi satu parit besar. Setiba di situ beliau melihat ada satu kotak besar. Semasa di situ, Polis meminta beliau menunjuk ke arah kotak tersebut sambil Polis mengambil gambar beliau berbuat demikian. Selepas itu barulah beliau mendapat tahu yang terdapat mayat di dalam kotak tersebut;
x
Kemudiannya semasa dalam tahanan reman, Polis membawa beliau ke sebuah kedai runcit di mana sepertimana yang berlaku di tepi longkang besar, beliau telah diarahkan untuk menunjuk ke arah tempat tali rafia dan tempat kotak besar yang dipamer di kedai tersebut; dan
XI
(xi) Berhubung premis/rumah (tempat Simati ditahan/kurung) beliau menafikan mempunyai sebarang pengetahuan mahupun kaitan dengannya. Pembelaan Perayu 2 (Muhammad Ramzan): [16] Secara ringkas, Perayu 2 memberikan pembelaan yang serupa dengan Perayu 1 iaitu:
i
Beliau menafikan membunuh Simati;
II
(ii) Beliau tidak mengenali Simati dan SP15. Beliau tidak pernah bercakap/berhubung dengan SP15;
III
(iii) Beliau dan Perayu 1 telah ke Hentian Bas Batu Tiga atas permintaan ‘Tahir’. Mereka pergi dengan menaiki motosikal ‘Tahir’. Di situ, apabila beliau nampak Perayu 1 ditangkap oleh sepasukan orang, beliau terus memecut, meninggalkan tempat itu kerana beliau beranggapan Perayu 1 telah ditahan oleh pihak Imigresen. Beliau melarikan diri kerana pada masa itu, beliau tidak membawa pasport dan tidak memiliki lesen memandu. Setelah ditangkap tidak jauh dari situ, barulah beliau mendapat tahu yang mereka adalah pasukan Polis;
IV
(iv) Setelah ditangkap, Polis telah merampas Perjanjian Sewaan (Ekshibit P21) daripada beliau. Perjanjian tersebut adalah bagi rumah di Desa Aman Puri (tempat kejadian) yang disewa oleh beliau. Beliau seterusnya telah dibawa oleh Polis ke rumah sewa tersebut. Namun, di rumah tersebut beliau tidak dibawa masuk bersama ke rumah tersebut. Beliau menunggu di dalam kereta selama 3½ jam sementara pihak Polis memasuki rumah sewa beliau tersebut. Setelah itu, pihak Polis membawa beliau ke satu kawasan parit besar. Menurut beliau lagi, setiba di situ, terdapat orang ramai dan beliau nampak mayat sesorang terbaring di situ; dan
v
Semasa ditahan reman, beliau dibawa ke sebuah kedai runcit yang menjual tali rafia dan kotak. Beliau menafikan pernah pergi ke kedai tersebut. Keputusan Mahkamah Tinggi di akhir kes Pembelaan: [17] Di akhir perbicaraan, pada 07.04.2023, PK mendapati kedua-dua Perayu gagal menimbulkan syak yang munasabah ke atas kes Pendakwaan. PK mendapati pihak Pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan melampaui keraguan yang munasabah. Isu-Isu untuk diputuskan di peringkat Mahkamah Rayuan: [18] Di hadapan Mahkamah ini, isu utama untuk diputuskan adalah:
i
Adakah PK terkhilaf dalam mendapati satu kes prima facie telah dibuktikan di akhir kes Pendakwaan?
II
(ii) Adakah PK terkhilaf dalam mendapati pembelaan Perayu 1 dan 2 telah gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes Pendakwaan?
III
(iii) Adakah PK terkhilaf dalam mendapati pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan Pertuduhan terhadap Perayu 1 dan Perayu 2 melampaui keraguan yang munasabah?
IV
(iv) Adakah hukuman yang dijatuhkan wajar dikekalkan? Dapatan dan Keputusan Mahkamah ini: [19] Setelah Mahkamah ini meneliti Rekod Rayuan secara menyeluruh dan mempertimbangkan Hujahan serta Hujahan Balas kedua-dua pihak, berkait isu-isu di atas, Mahkamah ini memutuskan sepertimana berikutnya: Isu (i) - Adakah PK terkhilaf dalam mendapati satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan di akhir kes Pendakwaan? [20] PK mendapati satu kes prima facie telah diwujudkan berdasarkan dapatan fakta berikut:
i
Saksi-saksi Pendakwaan adalah telus dan “credible”;
II
(ii) Setiap intipati Pertuduhan berjaya dibuktikan; dan
III
(iii) Perayu 1 dan 2 secara niat bersama telah mencederakan Simati.
i
Saksi-saksi Pendakwaan adalah telus dan ‘credible’: [21] PK mendapati saksi-saksi Pendakwaan khususnya SP9 dan SP15 saksi-saksi yang ‘credible’ dan bercakap benar. Menurut PK saksi-saksi Pendakwaan memberikan keterangan yang selari dan saling menyokong dan sebarang percanggahan antara keterangan SP15 dan SP9 khususnya, telah diperjelaskan dan adalah tidak material dan tidak menggugat keterangan teras/substantif Pendakwaan (perenggan 15 Alasan Penghakiman PK di rujuk). [22] Peguam Perayu-Perayu berhujah PK telah terkhilaf dalam dapatan beliau kerana terdapat percanggahan pada keterangan mereka yang material. TPR berhujah sebaliknya. Pada hemat Mahkamah ini, sebagai hakim bicara yang telah melihat sendiri tindak tanduk dan gelagat (conduct and demeanour) saksi-saksi, PK berada pada kedudukan terbaik untuk membuat dapatan sepertimana yang telah dilakukan di sini. Mahkamah ini mendapati tiada sebab/alasan kukuh yang mewajarkan Mahkamah ini mengusik dapatan fakta PK berhubung kredibiliti saksi-saksi Pendakwaan.
II
(ii) Setiap intipati Pertuduhan telah dibuktikan: [23] PK mendapati setiap intipati Pertuduhan berjaya dibuktikan iaitu:
a
Simati adalah ‘Ali Adnan’.
b
Simati telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami yang diakibatkan oleh Perayu 1 dan 2.
c
Perayu 1 dan 2 mempunyai niat bersama. [24] Di perenggan 58 Alasan Penghakiman, PK memutuskan satu kes prima facie telah berjaya diwujudkan sepertimana Pertuduhan berdasarkan dapatan berikut:
a
Simati adalah Ali Adnan: [25] Mayat mangsa (Simati) telah dicamkan oleh SP15 semasa prosedur bedah siasat dilakukan oleh SP10. Mahkamah ini mendapati tiada keraguan mayat yang dibedah siasat adalah Ali Adnan (Simati) yang dinamakan dalam Pertuduhan. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati PK tidak terkhilaf dalam dapatan beliau di sini.
b
Simati meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami: [26] PK menerima keterangan SP10 yang mengesahkan bahawa Simati cedera pada bahagian kepala akibat objek/senjata tumpul (blunt object). PK juga menerima keterangan SP10 berhubung sebab kematian Simati. Berdasarkan keterangan SP10 serta Laporan Bedah Siasat beliau, Mahkamah ini mendapati kecederaan Simati tersebut adalah satu kecederaan yang “sufficient in the ordinary course of nature to cause death”. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bahawa kecederaan yang dialami Simati jatuh di bawah seksyen 300 (c) KK. Dalam ketiadaan sebarang keterangan pakar lain yang menyangkal kepakaran dan dapatan SP10 Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bagi isu ini. [27] Berkait rapat dengan isu di atas adalah dakwaan peguam bahawa waktu kematian Simati. Peguam berhujah bahawa PK terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan keterangan pakar bedah (SP10) yang menyatakan bahawa pada masa bedah siasat dilakukan ke atas mayat Simati pada 17.08.2018, mayat telah reput (decay) yang menunjukkan kematian berlaku lebih dari 4 hari. [28] Peguam berhujah dalam keadaan tersebut tidak mungkin Perayu telah melakukan kesalahan tersebut kerana menurut Pertuduhan terhadap mereka, kejadian bunuh tersebut yang didakwa berlaku “pada 15.08.2018, jam di antara jam 05.00 petang hingga 16.08.2018 jam 03.00 pagi” di premis “No. DS2-10-P, Desa Satu Apartment, Desa Aman Puri, Gombak, Selangor”. PK merujuk kepada keterangan SP15 yang menyatakan bahawa beliau telah berbual dengan Simati melalui telefon pada tengahari 12.08.2018 (perenggan 46 hingga 48 Alasan Penghakiman YA PK di rujuk). [29] Mahkamah ini mengambil maklum bahawa PK telah menerima saksi-saksi Pendakwaan, termasuk SP15 sebagai saksi yang telus dan ‘credible’. SP15 mengesahkan yang pada tengahari 12.08.2018 beliau berbual melalui telefon dengan Simati yang merobohkan sama sekali dakwaan/hujahan peguam di atas. Oleh itu, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bahawa Pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tempoh waktu pembunuhan berlaku “pada 15.08.2018, jam di antara jam 05.00 petang hingga 16.08.2018 jam 03.00 pagi” sepertimana penemuan oleh SP10 (perenggan 46 hingga 48 Alasan Penghakiman PK di rujuk). [30] Walaupun tiada saksi mata (eye witness) atau keterangan terus (direct evidence) dikemukakan oleh Pendakwaan bagi menunjukkan bahawa Perayu-Perayu terlibat secara terus dengan perbuatan membunuh Simati, PK mendapati kecederaan/kematian Simati adalah disebabkan oleh perbuatan Perayu 1 dan 2 berdasarkan keterangan ikut keadaan yang dikemukakan Pendakwaan. [31] Mahkamah ini ambil maklum bahawa PK telah menerima saksi-saksi Pendakwaan, termasuk SP15 sebagai saksi yang telus dan ‘credible’. Oleh itu, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bahawa Pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tempoh waktu pembunuhan berlaku “pada 15.08.2018, jam di antara jam 05.00 petang hingga 16.08.2018 jam 03.00 pagi” sepertimana penemuan oleh SP10.
c
Niat bersama Perayu-Perayu - seksyen 34KK: [32] Berkait intipati niat bersama Perayu 1, peguam berhujah bahawa tiada sebarang keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kejadian Simati diculik, ditahan di premis Desa Aman Puri dan dengan pembuangan mayat Simati. Ringkasnya, Perayu 1 menafikan segalanya, sepertimana Pembelaan beliau. PK tidak mempercayai dan tidak menerima pembelaan Perayu 1. PK mendapati pembelaan Perayu 1 adalah suatu penafian yang gagal mencabar keterangan ikut keadaan Pendakwaan. [33] Berkait intipati niat membunuh pula, peguam berhujah PK terkhilaf dalam dapatan mendapati kematian Simati terjumlah di bawah seksyen 300(a) KK berdasarkan jenis dan cara kecederaan dilakukan ke atas Simati.
Preamble
Menurut peguam PK terkhilaf kerana gagal mengarahkan minda kepada perbezaan antara seksyen 299 dan 300 KK. Menurut TPR keperluan membezakan seksyen 299 dan 300 KK hanya timbul jika tiada keterangan jelas sama ada kecederaan yang disebabkan ke atas Simati terjatuh di bawah mana-mana takrifan bawah Seksyen 300 KK. [34] Dalam ketiadaan keterangan saksi pakar lain untuk menyangkal dapatan SP10, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK yang menerima keterangan pakar Pendakwaan tersebut, berhubung punca dan sebab kematian Simati. Mahkamah ini mendapati dakwaan peguam bahawa seksyen 300 dan 299 KK gagal dipertimbangkan oleh PK adalah tidak bermerit. Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan TPR bahawa niat membunuh Simati boleh dirumuskan melalui tindakan dan perbuatan Tertuduh sebelum, semasa dan selepas kejadian yang berikut:
i
Perayu menculik Simati untuk tebusan dan memberi amaran/ugutan kepada SP15 akan membunuh Simati dan jari beliau dihantar kepada SP15 sekiranya wang tebusan tidak dibayar;
II
(ii) Simati telah dipukul dengan kuat dan kejam di bahagian kepala, bahagian penting (vital part) badan Simati, yang mana Perayu sedar atau harus sedar boleh mengakibatkan kecederaan yang boleh menyebabkan kematian (sepertimana yang kemudiannya disahkan oleh pakar (SP10); dan
III
(iii) Perayu membeli/menyediakan kotak dan tali rafia untuk membuang mayat Simati. [35] Perlu diingatkan bahawa dapatan PK adalah berteraskan kepada keterangan saksi-saksi Pendakwaan secara menyeluruh, setelah PK menerima keterangan saksi-saksi tersebut, khususnya SP15 dan SP9 sebagai bercakap benar. SP15 telah memberi keterangan bahawa pada 10.08.2018 hari Perayu ditangkap di lokasi yang dijanjikan bagi penyerahan wang tebusan, iaitu di Hentian Bas Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, sebaik tiba Perayu-Perayu dengan menaiki motosikal dan beliau melihat pembonceng, Perayu 1 turun daripada motorsikal itu dan berjalan bertemu beliau, sebelum beliau menyerahkan wang tebusan itu kepada Perayu 1, beliau bertanyakan tentang status abang beliau. Perayu 1 memberitahu yang yang abang beliau akan dibebaskan dan dibawa ke situ dalam masa 20 minit. Pada masa itu, SP15 telah memeluk leher Perayu 1 dan mereka bergelut, sebelum pasukan Polis yang berada berdekatan datang dan memberkas Perayu 1. Apa yang berlaku di situ pada tarikh tersebut telah dinyatakan oleh SP15 dalam Laporan Polis beliau (Jinjang Report 16957/18 - Ekshibit P41). [36] Pada hemat Mahkamah ini, keterangan SP15 tersebut yang diterima sebagai benar oleh PK dan gagal diruntuhkan oleh Perayu 1, secara efektif telah mematahkan pembelaan penafian Perayu. Sekiranya benar Perayu tidak terlibat dan tidak mengetahui tentang apa yang berlaku ke atas Simati, mengapakah beliau memberitahu SP15 yang abang beliau akan dibebaskan dan dibawa ke situ dalam masa 20 minit. Oleh itu, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bahawa intipati niat dan niat bersama telah berjaya dibuktikan terhadap Tertuduh 1 dan 2. [37] Berkait intipati niat membunuh, peguam berhujah PK terkhilaf dalam mendapati kematian Simati terjumlah di bawah seksyen 300(a) KK berdasarkan jenis dan cara kecederaan dilakukan ke atas Simati. Menurut peguam PK terkhilaf kerana gagal mengarahkan minda kepada perbezaan antara seksyen 299 dan 300 KK dalam pembuktian niat membunuh dan membunuh tanpa niat. Menurut TPR keperluan membezakan seksyen 299 dan 300 KPJ hanya timbul jika tiada keterangan jelas sama ada tindakan dan kecederaan yang disebabkan ke atas Simati terjatuh di bawah mana-mana takrifan bawah Seksyen 300 KK. Keterangan ikut keadaan (circumstantial evidence): [38] Tidak dipertikaikan bahawa tiada saksi mata (eye witness) atau keterangan terus (direct evidence) yang melihat pembunuhan Simati oleh Perayu-Perayu. Namun, setelah Mahkamah ini mengperhalusi dapatan dan alasan PK yang telah menimbang keseluruhan keterangan yang dikemukakan, termasuk kesemua keterangan ikut keadaan (circumstantial evidence), pada hemat Mahkamah ini, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK dalam mendapati kematian Simati adalah diakibatkan oleh perbuatan Perayu. Mahkamah ini mendapati PK telah memberikan alasan/sebab yang mantap (cogent) bagi dapatan beliau tersebut. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK di sini. [39] PK mendapati keterangan ikut keadaan (circumstantial evidence) yang dikemukakan adalah mencukupi dan kukuh untuk membuktikan bahawa Perayu 1 dan 2 telah mengakibatkan kematian Simati pada tarikh kejadian. PK mendapati keterangan ikut keadaan (circumstancial evidence) berikut membuktikan Perayu-Perayu adalah individu yang mengakibatkan kematian Simati:
a
kesan DNA Perayu 2 dan Simati di premis Desa Aman Puri (tempat kejadian), tempat di mana Simati ditahan sebelum dibunuh.
b
kenyataan pandu arah Perayu 2 kepada penemuan mayat Simati (statement leading to discovery).
c
kehadiran Perayu 1 dan 2 di Hentian Bas Batu Tiga.
d
tindak tanduk (conduct) Perayu 1 dan 2 yang cuba meloloskan diri daripada tangkapan Polis.
e
transkrip rakaman perbualan antara SP15 dan ‘penculik’ (Ekshibit P53).
f
penemuan telefon bimbit Simati daripada Perayu 2.
a
Ketiadaan DNA Perayu 1 di tempat kejadian: [40] Berkait fakta ketiadaan kesan DNA Perayu 1 di tempat kejadian, peguam berhujah ianya membuktikan Perayu 1 tidak berada di situ dan telah mencederakan Simati. Peguam berhujah bahawa YA PK terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa Perayu 1 juga terlibat dan berada di situ. Sebaliknya, TPR berhujah YA PK tidak terkhilaf. [41] Mahkamah ini mendapati hujahan Perayu 1 berkait isu ini tidak bermerit dalam keadaan di mana Perayu 1 telah dituduh dengan niat bersama di bawah seksyen 34 KK kesan DNA tidak menjejaskan sehingga meruntuhkan kes Pendakwaan terhadap beliau. Keterangan DNA hanyalah merupakan keterangan sokongan sekiranya ada. Ketiadaan keterangan DNA semata-mata tidak dapat menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas keseluruhan keterangan ikut keadaan yang telah dikemukakan oleh Pendakwaan di dalam kes ini. [42] Pada hemat Mahkamah ini, walaupun tiada kesan DNA Perayu 1 dijumpai di tempat kejadian, ianya tidak menjejaskan kes Pendakwaan. Kesan/profile DNA hanya merupakan keterangan sokongan. Keterangan ikut keadaan lain mengaitkan beliau dengan jenayah tersebut. Dalam kes Mohd Fazli Ismail & Satu Lagi Lwn PR [2013] 2 CLJ 467 Mahkamah Rayuan menyatakan: “Pada hemat Mahkamah ini, ketiadaan cap jari Fazli dan Esma tidak semestinya bererti mereka tidak berada di tempat kejadian semasa pembunuhan dilakukan. Adanya cap jari di tempat kejadian adalah bukti yang positif, tetapi ketiadaan cap jari adalah tidak mencukupi untuk menyatakan bahawa orang-orang yang berkenaan tidak ada di tempat kejadian. Jadi, ketiadaan cap jari bukanlah penentu bahawa orang yang berkenaan tidak ada di tempat kejadian. Hal ini dijelaskan dalam kes Gade Lakshmi Mangraju v. State of Andhra Pradesh AIR 2001 SC 2677: …Presence of fingerprint the scene of occurrence is a positive evidence but the absence of a fingerprint is not enough to foreclose the presence of the person concerned at the scene. if during perpetration of the crime the fingerprint of the culprit could possibly be remitted at the scene it is equally a possibility that such a reminant would not be remitted at all. Hence absence of finger impression is not guarantee of absence of the person concerned at the scene”. [43] Dalam kes Low Kian Boon v. PP [2010] 5 CLJ 489 juga berkaitan keterangan ikut keadaan (circumstantial evidence), Mahkamah Persekutuan merujuk kepada keputusan dalam kes Public Prosecutor v. Wong Wai Hung & Anor [1993] 1 SLR 927, yang memutuskan, antara lain bahawa: “It is trite law that when the prosecution relies wholly on circumstantial evidence, the quantum of proof must be more than mere skeletons. The first and foremost principle to be borne in mind when approaching circumstantial evidence is set out in Idris v. PP [1960] 1 LNS 40; [1960] MLJ 296 at 297 (where Hill Ag CJ quoted with approval the trial judge's summing up to the jury and his quotation of the words of Lord Cairns in Belhaven & Stenton Peerage [1875-6] LR 1 App Cas 278 at 279): ... in dealing with circumstantial evidence we have to consider the weight which is to be given to the united force of all the circumstances put together. You may have a ray of light so feeble that by itself it will do little to elucidate a dark corner. But on the other hand, you may have number of rays, each of them insufficient, but all converging and brought to bear upon the same point, and when united, producing a body of illumination which will clear away the darkness which you are endeavouring to dispel. In other words, circumstantial evidence consists of this: that when you look at all the surrounding circumstances, you find such a series of undersigned, unexpected coincidences that, as a reasonable person, you find your judgment is compelled to one conclusion. If the circumstantial evidence is such as to fall short of that standard, if it does not satisfy that test, if it leaves gaps then it is of no use at all. As I have stated this case depends entirely upon circumstantial evidence”. Rumusan – Isu (i): [44] Setelah mengambilkira keterangan saksi-saksi Pendakwaan secara keseluruhan (the totality of evidence) PK mendapati satu kes prima facie telah dibuktikan oleh pihak Pendakwaan. Berdasarkan prinsip undang-undang mantap di atas dan atas fakta dan keterangan kes ini, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan dan keputusan PK bahawa keterangan ikut keadaan dalam kes ini yang diambil bersekali dan secara menyeluruh menjuruskan kepada satu kesimpulan sahaja iaitu, kecederaan dan kematian Simati sememangnya telah dilakukan oleh Perayu 1 dan 2 (perenggan 58 Alasan Penghakiman PK di rujuk). Hatta, Mahkamah ini mendapati PK tidak terkhilaf dalam dapatan beliau berhubung pembuktian kes prima facie di peringkat kes Pendakwaan. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bagi Isu (i). [45] Seterusnya, Isu (ii) dan (iii) diputuskan secara bersekali kerana ianya adalah berkaitan. Isu (ii): Adakah PK terkhilaf dalam mendapati pembelaan Perayu 1 dan 2 telah gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes Pendakwaan? Isu (iii): Adakah PK terkhilaf dalam mendapati pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan Pertuduhan terhadap Perayu 1 dan Perayu 2 melampaui keraguan yang munasabah? [46] Peguam secara ringkasnya, berhujah bahawa PK telah ternyata terkhilaf dalam mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes Pendakwaan. Sebaliknya, TPR terpelajar berhujah bahawa pembelaan Tertuduh 1 dan 2 secara keseluruhannya adalah penafian semata-mata dan fikiran terkemudian yang mana adalah tidak memadai dalam mematahkan kes pendakwaan dan mewujudkan keraguan munasabah (kes PP v Ling Tee Huah [1980] 1 LNS 212 antara lain, dirujuk). [47] Perayu menafikan ‘menculik dan menahan’ Simati di tempat kejadian. Mereka menafikan telah membunuh Simati. Mereka menamakan penama ‘Tahir’ sebagai individu yang terlibat. Menurut mereka ‘Tahir’ lah individu yang menyuruh mereka pergi ke Hentian Bas Batu Tiga pada hari mereka ditangkap oleh Polis. Ringkasnya, Tertuduh mendakwa kematian ke atas Simati ada kaitannya dengan ‘Tahir’ dan kegagalan Pendakwaan memanggil atau menawarkan individu tersebut telah menimbulkan infrens bertentangan (adversed inference) dan keraguan terhadap kes Pendakwaan. [48] Oleh itu, menurut peguam PK telah terkhilaf kerana gagal menggunapakai seksyen 114(g) AK 1950 terhadap pihak Pendakwaan di sini. Berhubung tindakan mereka cuba meloloskan diri daripada tangkapan polis, peguam berhujah bahawa PK gagal menimbangkan dengan betul pembelaan mereka iaitu, kerana untuk melepaskan diri dari ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Imigresen (ketiadaan pasport) dan kesalahan jalan raya (ketiadaan lesen memandu). [49] Peguam berhujah, atas kegagalan PK untuk mempertimbangkan pembelaan mereka tersebut, menjadikan sabitan ke atas Perayu 1 dan 2 tidak selamat. Peguam juga berhujah PK terkhilaf apabila menolak pembelaan Perayu 1 Peguam berhujah, dalam keadaan di atas, pembelaan Perayu 1 dan 2 telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pihak Pendakwaan. Sebaliknya, TPR berhujah bahawa PK telah mempertimbangkan pembelaan Perayu 1 dan 2 sewajarnya. [50] Setelah Mahkamah ini meneliti Alasan Penghakiman PK secara menyeluruh, Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan peguam di atas. Mahkamah ini mendapati pembelaan yang ditimbulkan oleh Perayu 1 dan 2 telah dipertimbangkan sewajarnya oleh PK. [51] Kewujudan dan peranan ‘Tahir’ telah dipertimbangkan dengan mendalam oleh PK sebelum membuat dapatan fakta ke atasnya (perenggan 55, 57, 59, 61 - 62, 66 - 67, 71 - 72 dan 78 Alasan Penghakiman PK dirujuk). Pada hemat kami dapatan fakta PK berhubung ‘Tahir’ adalah kukuh dan tidak wajar diusik di peringkat rayuan ini. [52] Perayu 1 mendakwa di kawasan tepi longkang di mana kotak berisi mayat dijumpai, beliau telah dipaksa oleh Polis supaya menunjuk ke arah kotak tersebut dan aksi beliau tersebut diambil gambar oleh Polis. Keadaan yang serupa berlaku di kedai runcit semasa dibawa ke situ, di mana SP18 mengarah beliau supaya menunjukkan tempat kotak dan tali rafia sebelum gambar aksi beliau diambil (gambar - Ekshibit P31 dan P37 dirujuk). Dakwaan Perayu tersebut dinafikan oleh saksi Pendakwaan yang berkenaan. Menurut saksi Pendakwaan, Perayu 1 bertindak secara sukarela. Keterangan Saksi Pendakwaan tersebut diterima oleh PK berbanding Perayu 1. Saksi-saksi Pendakwaan berkenaan telah didapati saksi yang telus oleh PK dan keterangan mereka diterima oleh PK sebagai benar. Dalam keadaan tersebut pembelan Perayu 1 dan 2 kekal sebagi penafian. Mahkamah ini bersetuju denga dapatan PK. Rumusan – Isu (ii) dan (iii): [53] Oleh itu, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bahawa Perayu 1 dan 2 gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan dan berdasarkan keterangan secara menyeluruh, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bahawa Pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Perayu 1 dan 2 melampaui keraguan yang munasabah. [54] Berdasarkan prinsip undang-undang mantap di atas dan berdasarkan fakta dan keterangan dalam kes ini, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan dan keputusan PK di atas. Pada hemat Mahkamah ini, keterangan ikut keadaan dalam kes ini, diambil bersekali dan secara menyeluruh adalah kukuh yang menjuruskan kepada satu kesimpulan sahaja iaitu, kecederaan dan kematian Simati sememangnya dilakukan oleh Perayu 1 dan 2. Setelah menimbangkan keterangan secara menyeluruh, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bahawa ketiadaan kesan DNA atau kesan cap jari Perayu 1 di tempat kejadian tidak menjejaskan pembuktian kesalahan terhadap beliau memandangkan beliau telah dituduh dengan niat bersama (common intention) Bersama-sama dengan Perayu 2, di bawah seksyen 34 KK. [55] Setelah menilai fakta dan keterangan berkaitan isu di atas, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK sepenuhnya. Mahkamah ini mendapati tiada sebab kukuh untuk Mahkamah ini mengusik dapatan PK tersebut. Kewujudan suatu kesan DNA merupakan keterangan yang menyokong kehadiran seseorang di tempat berkenaan. Namun, ketiadaan suatu kesan tidak bermakna seseorang tiada di tempat tersebut. Oleh itu, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan PK bahawa ketiadaan kesan DNA Perayu 1 di tempat kejadian tidak menjejaskan kes Pendakwaan dan tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Pendakwaan berkait Perayu 1. Berlandaskan fakta dan undang-undang yang dinyatakan, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan dan keputusan PK berhubung dengan niat. [56] Sebagai rumusan dan penutup kesimpulan berkaitan isu sabitan, berdasarkan dapatan PK di atas Mahkamah ini mendapati Perayu 1 dan 2 gagal menunjukkan bahawa PK telah ternyata terkhilaf dalam memutuskan bahawa Perayu 1 dan 2 gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan dan dalam mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Perayu 1 dan 2 melampaui keraguan yang munasabah. Mahkamah ini mendapati sabitan di sini adalah selamat. Oleh itu Mahkamah ini menolak rayuan Perayu 1 dan 2 terhadap sabitan. Rayuan terhadap Hukuman: [57] Bagi rayuan terhadap hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Perayu 1 dan 2, Mahkamah ini merujuk kepada Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2022 dan kepada kes-kes Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi kesalahan yang serupa dan setelah mengambilkira fakta dan keadaan kes ini secara menyeluruh, Mahkamah ini mendapati terdapat merit bagi rayuan terhadap hukuman. Pada hemat Mahkamah ini, kesalahan yang dilakukan bukanlah suatu kesalahan yang “rarest of the rare” yang mewajarkan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan oleh PK dipertahankan dan dikekalkan. Oleh itu, rayuan dibenarkan dan selaras dengan itu, hukumah gantung sampai mati oleh PK adalah diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara selama tempoh tiga puluh lima (35) tahun, berkuatkuasa dari tarikh Perayu 1 dan 2 ditangkap (17.08.2018). Perayu 1 dan 2 juga masing-masing diperintahkan dirotan sebanyak dua belas (12) kali. - t.t - AHMAD ZAIDI BIN IBRAHIM HAKIM MAHKAMAH RAYUAN, MALAYSIA
1
Bagi pihak Perayu 1 dan 2 Encik Mohd Hisham bin Mohd Nazir
2
Mr. Rao & Datuk Wira Mohtarudin Baki Tetuan Rao & Kamal. Bagi pihak Responden Encik Mohd Amril bin Johari Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Malaysia.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.