Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI LKUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. WA-22C-46-06/2021 MERANTI MARSHAL SDN BHD …PLAINTIF
WA-22C-46-06/2021
High Court of Malaysia6 Jan 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“-pihak. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 33 [59] Mahkamah ini merujuk kepada kes Tawfique Hasan Chowdhury v BWFW Medic Sdn Bhd & Ors [2022] MLJU 1246 di mana Mahkamah telah merujuk kepada Keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan tort konspirasi di mana telah d”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI LKUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. WA-22C-46-06/2021 MERANTI MARSHAL SDN BHD …PLAINTIF
1
1.
2
EMF ENERGY SDN BHD …DEFENDAN-DEFENDAN JUDGMENT Latar Belakang Kes & Tuntuan Plaintif [1] Pada atau sekitar 04/04/2019, pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) melalui laman sesawang mereka telah mengeluarkan kenyataan tender di bawah tajuk “Membina dan menyiapkan jalan dari Kg. Beng ke Kg. Raja Intan Suraya, Hulu Perak, Perak Darul Ridzuan (Fasal 1- dari Kg. Beng ke Kg. Batu Reng) (“Projek tersebut”) untuk ditawarkan kepada syarikat-syarikat kontraktor Bumiputera. [2] Plaintif dalam kes ini mendakwa bahawa Defendan Pertama, yakni Mohd Kushari bin Kamisan (“Defendan Pertama”) yang juga saksi unggul Defendan Pertama dalam kes ini, kononnya melalui hubungan yang terbina dengan pihak JKR, telah berjaya mendapatkan projek tersebut di mana Defendan Pertama merupakan individu yang bertanggungjawab memasukkan nama syarikat Defendan Kedua, EMF Energy Sdn Bhd (“Defendan Kedua”) untuk diawadkan projek tersebut yang mana pada akhirnya syarikat Defendan Kedua dilantik sebagai kontraktor utama. [3] Plaintif seterusnya mendakwa sungguhpun dilantik sebagai kontraktor utama, Defendan Kedua tidak mempunyai kewangan yang kukuh, kepakaran yang khusus ataupun peralatan yang tuntas dan sesuai untuk menyiapkan projek tersebut, dan atas nasihat dan cadangan Defendan Pertama, syarikat Plaintif, yang dikenali sebagai Meranti Marshal Sdn Bhd (“Plaintif”) telah dipilih sebagai antara calon syarikat subkontraktor untuk menggantikan Defendan Kedua sebagai kontraktor utama untuk menjalankan Projek tersebut. [4] Plaintif kemudiannya mendakwa setelah beberapa sesi rundingan telah dibuat, Plaintif bersetuju untuk dilantik sebagai syarikat subkontraktor dan sejumlah RM 800,000.00 (Ringgit Malaysia Lapan Ratus Ribu) kononnya dipersetujui dibayar kepada Defendan Pertama oleh Plaintif sebagai bayaran komisyen setelah pihak Plaintif menandatangani Surat Setuju Terima Tender dengan Defendan Kedua. [5] Pada 13/01/2020, Defendan Kedua telah mengeluarkan sekeping surat dengan melampirkan satu kontrak yang dinamakan Surat Setuju Terima Tender (“Kontrak tersebut”) kepada Plaintif yang mana Kontrak tersebut telah ditandatangani dan dicop oleh Plaintif dan Defendan Kedua. [6] Plaintif mengatakan bahawa bayaran komisyen berjumlah RM 800,000.00 telah dibuat kepada Defendan Pertama melalui 4 keping cek bernilai RM 200,000.00 masing-masing bertarikh 23/01/2020 dan 24/01/2020 (“Komisyen tersebut”) yang dibuat di atas nama dua buah perniagaan iaitu Melati Evergreen Enterprise dan satu lagi perniagaan bernama Sallista Trade and Services. [7] Plaintif kemudian menegaskan bahawa tanpa berlengah-lengah Plaintif telah melakukan perkara-perkara wajar termasuklah merangka plan/atau pembinaan, mencari dan/atau menyediakan peralatan pembinaan untuk kegunaan pekerjaan buruh dan menyewa jentera berat, membekalkan serta menghantar bahan-bahan pembinaan ke tapak pembinaan bagi tujuan pembinaan Projek Tersebut. [8] Plaintif juga bertegas bahawa pada setiap masa material, Plaintif telah diarahkan oleh Defendan Kedua untuk berhubung terus dan melaporkan perkembangan semasa Projek tersebut kepada Defendan Pertama termasuklah dalam urusan keluar masuk wang untuk Projek tersebut. [9] Plaintif juga menyatakan bahawa Defendan Pertama juga sentiasa memainkan peranan belakang tabir dan seringkali melawat tapak pembinaan di dalam Projek tersebut. [10] Ia juga adalah kes Plaintif bahawa tenaga kerja untuk menyiapkan projek tersebut terdiri daripada kakitangan Defendan Kedua dan pekerja-pekerja Plaintif dan Kakitangan Defendan Kedua bertanggungjawab untuk memantau gerak kerja di tapak projek yang mana ianya terdiri kepada Pengarah Projek, Jurutera dan Jurukur Bahan yang merupakan posisi-posisi terpenting di dalam Projek tersebut. [11] Plaintif kemudian menyatakan bahawa pada sepanjang masa material Plaintif telah melaporkan segala gerak kerja di tapak pembinaan kepada Defendan Pertama dan hasil perkembangan dari kerja-kerja tersebut, Plaintif telah menuntut bayaran Interim kepada Defendan Kedua bagi gerak kerja Projek tersebut sepertimana berikut: No. Interim Tarikh bayaran Jumlah bayaran 1 070/2/2020 44,100.00 2 09/09/2020 72,000.00 3 09/09/2020 55,800.00 4 09/09/2020 24,300.00 5 09/09/2020 12,600.00 6 26/06/2020 26,000.00 7 22/07/2020 117,000.00 8 26/08/2020 21,000.00 9 21/09/2020 86,000.00 10 20/10/2020 390,600.00 11 - 292,500.00 12 - 126,900.00 13 26/07/2021 275,400.00 6 14 05/02/2021 275,400.00 15 349,272.00 [12] Plaintif seterusnya menegaskan bahawa kerja-kerja pembinaan telah berlangsung baik sehinggalah pada 06.02.2021, apabila Plaintif telah digemparkan dengan dua kepingan notis perletakan jawatan, kedua-duanya bertarikh 06.02.2021 daripada En. Zainuddin bin Kasim dan En. Luqmanul Hakim Syah bin Abdullah, masing-masing telah melepaskan jawatan sebagai Pengurus Projek merangkap Perancang (Project Manager cum Planner) dan Jurutera Projek (Project/OAOC Engineer). Kedua-dua mereka telah menamatkan perkhidmatan mereka pada 21.02.2021 dan 22.02.2021. [13] Plaintif juga menegaskan tidak lama selepas itu, Plaintif sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi notis perletakan jawatan oleh Puan Nurulain binti Mohd Razali bertarikh 11.02.2021 sebagai Quantity Surveyor yang berkuatkuasa serta-merta. [14] Plaintif dalam pliding nya telah menegaskan bahawa Defendan-Defendan, secara sesama atau berasingan, membuat pakatan sulit, mala fide, tipu muslihat, salah nyata dan pengaruh tidak wajar terhadap Plaintif dengan tujuan mencetuskan suasana negatif, menganggu dan/atau merosakkan gerak kerja Plaintif dan dengan itu menyebabkan Plaintif dapat diberikan notis penamatan kontrak lebih awal. [15] Plaintif kini menuntut terhadap Defendan Pertama dan Defendan Kedua untuk suatu perintah seperti berikut: - a) Satu deklarasi bahawa surat penamatan kontrak bertarikh 24.02.2021 oleh Defendan Kedua di atas adalah cacat, menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah dan tidak mempunyai kesan dan/atau tidak sah dari segi undang-undang dan/atau fakta; b) Pembayaran mana mana jumlah yang bakal dituntut oleh Plaintif berhubung dengan kesiapan kerja-kerja yang dijalankan sehingga hari ini dalam masa 14 hari dari tarikh tuntutan interim tersebut dibuat; c) Satu injunksi untuk menghalang dan/atau menahan defendan-defendan samada dengan sendiri, melalui pengkhidmat atau ejennya atau sebaliknya dan/atau walaubagaimanapun jua berurusan dengan dan/atau memindahkan dan/atau melupuskan wang plaintif dalam Defendan Kedua dan/atau Defendan Pertama yang diterima oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia; d) Gantirugi khas sejumlah RM 4,914,915.81; e) Faedah keatas jumah gantirugi khas yang dikira pada kadar 10% atas RM 4,914,915.81 iaitu jumlah – jumah yang belum lagi dibayar dan patut dibayar kepada Plaintif; f) Gantirugi jangkaan untung berjumlah RM 6,600,356.80 atau (untuk ditaksirkan); g) Ganti rugi am yang akan ditaksirkan; h) Faedah ke atas jumlah gantirugi am yang dikira pada kadar 8% setahun dari tarikh penyampaian writ hingga ke tarikh penghakiman; i) Kos tindakan ini (atas dasar peguamcara dan anakguam). Kes Defendan Pertama [16] Defendan Pertama dalam pembelaannya telah menyatakan bahawa Defendan Pertama adalah wakil dari syarikat Melati Evergreen Sdn. Bhd (“MESB”) yang telah dilantik oleh Defendan Kedua sebagai Project Management Consultant (“PMC”) bagi Projek tersebut melalui surat bertarikh 20.12.2019 daripada Defendan Kedua. [17] Defendan Pertama menghujahkan bahawa beban pembuktian dalam kes ini adalah terletak di atas Plaintif bagi membuktikan setiap fakta kes dan menghujahkan lanjut bahawa Plaintif telah gagal untuk membuktikan kes Plaintif terhadap Defendan Pertama di bawah seksyen 101, 102 dan 103 Akta Keterangan 1950. [18] Defendan Pertama juga mendakwa bahawa:
18
18.1 tiada sebarang pembayaran komisyen diterima oleh Defendan Pertama dari Plaintif;
18
18.2 tiada perjanjian bertulis mengenai tujuan bayaran komisyen tersebut.
18
18.3 Defendan Pertama mempunyai pengetahuan berkenaan pembayaran sebanyak RM800,000.00 kerana Defendan Pertama telah diminta oleh pihak Melati Evergreen Enterprise dan Sallista Trade and Services untuk mengambilkan 4 keping cek diatas nama Melati Evergreen Enterprise dan Sallista Trade and Services dari pihak Plaintif setelah Defendan Kedua mengawadkan projek tersebut.
18
18.4 Pembayaran sebanyak RM800,000.00 tersebut merujuk kepada pembayaran yang meliputi bayaran balik kos kerja awalan, bayaran balik kos kerja prelim, bayaran levi CIDB, insuran tapak, yuran perkhidmatan bagi menguruskan keperluan tapak seperti bahan mentah seperti pasir, tanah, balak, dan tempat lupus. Selain itu, untuk menyediakan utiliti api dan air termasuk jamuan, sumbangan orang kampung dan kos untuk mendapatkan perunding iaitu Value Engineering satu syarikat konsultan yang membuat cadangan balas kepada struktur projek sedia ada. Seterusnya, pembayaran tersebut meliputi kos bagi mendapatkan tapak pejabat dan juga pejabat yang diduduki sekarang. Pembayaran ini dibuat atas perkiraan ‘lumpsum’ dan rela hati antara Plaintif dan juga penerima bayaran.
18
18.5 sepatutnya Melati Evergreen Enterprise dan Sallista Trade and Services yang disaman oleh Plaintif untuk mendapatkan jumlah RM800,000.00 kerana Defendan Pertama tidak pernah menerima jumlah RM800,000.00 tersebut dari Plaintif. Kes Defendan Kedua [19] Defendan Kedua diantara lain berhujah bahawa penamatan kontrak oleh Defendan Kedua adalah satu penamatan kontrak yang sah kerana penamatan tersebut dilakukan akibat dari kemungkiran pihak Plaintif sendiri untuk memenuhi peruntukkan fundamental kontrak tersebut. [20] Defendan Kedua juga menyatakan dalam pembelaannya bahawa Defendan kedua tidak langsung tahu menahu berkenaan pembayaran RM800,000.00 yang kononnya dibuat oleh Plaintif ke Defendan Pertama. Analisis dan Pendapatan Mahkamah [21] Adalah menjadi fakta yang dipersetujui oleh kesemua pihak dalam kes ini bahawa inter alia: 12 21.1 Defendan Kedua telah dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina dan menyiapkan Jalan Dari Kg. Beng ke Kg Raja Intan Suraya, Hulu Perak, Perak Darul Ridzuan (Fasal 1- dari Kg Beng Ke Kg Batu Reng) (Projek tersebut);
21
21.2 Defendan Kedua kemudiannya telah melantik syarikat Melati Evergreen Sdn Bhd (“MESB”) sebagai project management consultant (“PMC”) untuk menguruskan serta memantau perjalanan kerja di tapak;
21
21.3 Defendan Pertama adalah pengarah bagi PMC tersebut;
21
21.4 bahawa Defendan Kedua melalui notis bertarikh 24.02.2021 telah menamatkan perjanjian tersebut. Kedudukan Pihak Masing-Masing [22] Mahkamah mendapati bahawa di atas tawaran Plaintif melalui surat Plaintif bertarikh 13.01.2020, yang boleh dilihat di mukasurat 3 Ikatan B, Defendan Kedua bersetuju untuk melantik Plaintif sebagai sub kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan dan menyiapkan Projek tersebut bagi pihak Defendan Kedua. [23] Mahkamah juga mendapati bahawa bagi tujuan ini, Defendan Kedua telah mengeluarkan surat setuju terima tender bertarikh 13.01.2020 kepada Plaintif dan ianya telah ditandatangani oleh Plaintif dan Defendan Kedua, sepertimana di mukasurat 4 hingga 8 Ikatan B. [24] Saya telah merujuk kepada dokumen di Bundle B mukasurat 2 yakni surat bertarikh 20.12.2019 daripada Defendan Kedua kepada MESB, di mana MESB telah dilantik sebagai PMC bagi Projek tersebut dan carian SSM keatas MESB. Berdasarkan dokumen-dokumen tersebut saya menerima kenyataan Defendan Pertama bahawa dokumen tersebut menunjukkan ianya adalah wakil dari Defendan Kedua, dan pada penadapat Mahkamah dokumen tersebut juga membuktikan bahawa MESB telah dilantik sebagai PMC bagi Projek tersebut bagi tujuan melaksanakan tugas sebagai PMC sehingga berjaya, dan membuat pemantauan dan pengurusan projek, membuat penilaian dan mencadangkan perlantikan sub-kontraktor bagi melaksanakan projek diatas dan memberi laporan prestasi kemajuan projek dan permasalahan kepada Defendan Kedua. Isu komisyen RM 800,000.00 [25] Berkenaan isu komisyen RM800,000.00, Peguamcara Defendan Pertama menghujahkan bahawa syarikat – syarikat yang dimiliki oleh Defendan Pertama adalah berbeza (“separate legal entity”) dengan syarikat yang menerima bayaran RM800,000.00 dari Plaintif, dan seterusnya menghujahkan bahawa tiada priviti diantra Plaintif dan Defendan Pertama kerana Defendan Pertama adalah entiti yang berasingan dengan entiti-entiti yang disebutkan. [26] Saya telah meniliti Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif dan mendapati bahawa tuntutan Plaintif hanya merujuk kepada:
a
pembayaran RM800,000.00 kepada Defendan Pertama sebagai komisyen setelah Plaintif menandatangani Surat Setuju Terima; dan
b
bayaran komisyen tersebut telah dinyatakan sebagai di buat kepada Defendan Pertama melalui 4 keping cek bernilai RM200,000.00 masing-masing dan di buat di atas nama dua buah syarikat Defendan Pertama iaitu Melati Evergreen Enterprise dan Salista Trade and Services. [27] Semasa perbicaraan, Plaintif telah memberi bukti dan Mahkamah ini menerima bukti bahawa ada 4 keping cek yang berasingan bernilai RM200,000.00 setiap satu dan kesemuanya berjumlah RM800,000.00 yang mana masing-masing bertarikh 23.01.2020, dan 24.01.2020. Walau bagaimana pun cek-cek tersebut di buat di atas nama masing-masing Melati Evergreen Enterprise dan Salista Trade and Services. [28] Semasa perbicaraan, Mahkamah telah ditunjuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menunujukkan bahawa masing-masing Melati Evergreen Enterprise dan Salista Trade and Services adalah perniagaan atau ‘business’ yang mana Melati Evergreen Enterprise adalah milikan tunggal seorang bernama Mohd Khaizan bin Kamisan sejak 11.11.2003 walhal Defendan Pertama telah menarik diri dari perniagaan tersebut sejak 7.9.2016 dan bagi Salista Trade and Services, pemilik tunggal nya sejak 12.04.2017 adalah Salwah binti Sahat. [29] Jelas dari carian-carian daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, maasing-masing kedua-dua Melati Evergreen Enterprise dan Salista Trade and Services adalah perniagaan atau ‘business’ milikan tunggal dan bukannya entiti “Sendirian Berhad” yang berasingan dan bahawa semasa 4 keping cek bernilai setiap satu RM200,000.00 yang dikeluarkan oleh Plaintif, cek-cek tersebut bukanlah di atas Defendan Pertama dan Defendan Pertama bukan pemilik kedua business’ milikan tunggal tersebut. [30] Maka isu ‘separate legal personality’ antara kedua business’ milikan tunggal dan Defendan Pertama yang dibangkitkan oleh Defendan Pertama sepertimana yang dinyatakan di atas adalah dalam pandangan Mahkamah ini tidak terpakai dalam perkara ini. [31] Mahkamah juga berpendapat bahawa Plaintif tidak dapat menunjuk sebarang bukti secara keberangkalian kepada Mahkamah ini bahawa bayaran tersebut adalah untuk tujuan bayaran komisyen dan dengan itu Plaintif telah gagal dalam tuntutannya untuk pembayaran balik RM800,000.00 dari Defendan Pertama. Ini juga telah disangkal oleh Defendan Pertama semasa ianya, memberi keterangan semasa di Mahkamah tujuan pembayaran RM800,000.00 seperti berikut: RI: Ok. Soalan saya, En Kushairi, ya, adakah ini pembayaran komisen kepada En Kushairi ataupun pembayaran kepada konsultan? MK: Sebenarnya untuk bayaran ini, sebenarnya adalah hasil daripada persetujuan bersama daripada pihak Meranti dan juga saya, kamilah. Jadi, bayaran RM800,000 ini merangkumi perbelanjaan elaun, kos dan juga termasuk belanja pengurusan. Jadi, antaranya adalah untuk mendapat, antara tugas-tugas persetujuan yang kami capai adalah pihak perunding seperti kami harus menyediakan kemudahan di tapak iaitu kerja-kerja preliminaries dan juga ground work seperti pelantikan konsultan untuk value engineering, pembayaran levi CIDB, insurance workman composition, public liability dan juga, dengan contractor risk dan juga termasuk kos untuk menguruskan orang kampung. Jadi, kami ada untuk membuat kenduri untuk, apa, sebab land acquisition itu dah selesai, jadi dia ada pertindihan border melibatkan orang kampung. Dan juga, kami juga, dalam kos ini juga untuk mengenal pasti sumber untuk bahan pembinaan seperti mendapatkan sumber pasir, mendapatkan sumber tanah, mendapatkan tempat buang tanah. Jadi, ini semua adalah di dalam perbincangan dan dia adalah dicapai secara bersama. RI: Jadi, maksud ia bukanlah bayaran komisen daripada En Kushairi, ya? MK: Bukanlah semata-mata. Maksudnya kos ini juga dijadikan sebagai, apa, kos, apa, pengurusan di tapak. RI: Dan… MK: Tuan, minta, saya nak cuma maklumkan bahawa Meranti masuk bukan pada tarikh yang sebenar tarikh award, jadi mereka masuk agak kelewatan. Jadi, banyak kos-kos pendahuluan yang perlu disempurnakan telah dijalankan sebelum penglibatan mereka. Contoh macam pembelian insurans. Setelah mendapat surat tawaran, untuk nak mengabsahkan tawaran tersebut setelah diterima oleh pihak kontraktor dan juga JKR, kami perlu membeli insurans terdahulu untuk mengesahkan bahawa projek ini sudah dimulai. [32] Di atas imbangan kebarangkalian yang telah diterima oleh Mahkamah ini, dan oleh kerana tiada sebarang keterangan/bukti yang bertentangan dengan itu, Mahkamah ini juga menerima kenyataan saksi Defendan Pertama semasa di soal balas oleh peguam Plaintif bahawa disebabkan Projek ini bermula lebih awal dan Plaintif masuk terkemudian, jadi telah berlaku kos yang telah diperbelanja daripada tarikh surat lantikan sehingga tarikh milik tapak oleh Plaintif. [33] Keterangan ini boleh dilihat dari Nota Prosiding di mana tercatit seperti berikut: Ok, betul. Jadi, mengapa anda minta bayaran itu dibayarkan kepada syarikat yang bukan kepada Defendan Ke-2? Itu soalan saya sebenarnya MK Rujuk Jawapan 12? 12, ya. Kerana kerja-kerja ia macam ini. Boleh saya terangkan sikit, Tuan peguam? Ya, soalan saya kenapa. MK: Projek ini bermula lebih awal. Plaintif masuk terkemudian. Jadi berlaku kos daripada surat lantikan sehingga tarikh milik tapak oleh Plaintif. Minta maaf, Yang Arif. Jadi, kelewatan memasuki tapak itu telah dijalankan kerja oleh pihak-pihak ke-3, ke-4, dan sebagainya. Jadi di situlah Plaintif tebus, bersetuju untuk membayar balik segala kos yang telah belanja sebelum, seperti yang dinyatakan Jawapan 12, Yang Arif. Jadi soalan saya, kenapa tidak minta bayaran RM800,000 itu dibuat Plaintif secara langsung kepada D2? Kerana kos bukan dikeluarkan oleh D2, Yang Arif. D2 hanya siap, dia macam, ok lantik, siap. Lepas itu, D1 cuba mengatur, membekal ataupun subkontraktor melalui bayar apa, lantikan secara runcit-runcit. Jadi, apabila kos itu telah dikumpul, maka Plaintif bersetuju untuk mengambil alih tapak bersama dengan kos yang telah dibelanjakan, supaya interim claim akan layak diterima dalam bayaran untuk Plaintif. Jadi apa-apa kerja yang dilakukan sebelum itu, termasuk insuran levi apa semua akan dibayar dalam claim Plaintif yang (..00:47:33). Jadi itu secara rundingan yang dipersetujui. HN: Dan En Kushairi, ini tidak ada pun dalam mana-mana dokumen dalam Mahkamah, setuju? Ya. Sebab dalam Jawapan No.12, dah ada tulis bahawa, pembayaran itu dibuat atas perkiraan lumpsum dan rela hati dan perbincangan dengan Plaintif. Maksudnya, masing-masing dah tahu masa itu. Dia masuk lambat dan dia layak ambil claim kerja yang orang lain buat. HN: Ok, begini. [34] Sehubungan dengan itu, Mahkamah juga mendapati daripada semua keterangan dan kesaksian secara keseluruhan dalam kes ini bahawa Plaintif gagal membuktikan bahawa Defendan Kedua mempunyai pengetahuan tentang pembayaran itu dan/atau terlibat dengan perkara itu. [35] Walau bagaimanapun, isu kemungkiran kontrak oleh Plaintif seperti yang akan dinyatakan seterusnya dalam penghakiman saya akan pada pandangan saya juga memberi impak terhadap pemulangan wang komiysen tersebut. Isu Samada Pembatalan Kontrak Bertarikh 24.02.2021 Tersebut Adalah Dilakukan Dengan Sah [36] Mahkamah bersetuju dengan peguam bijaksana Defendan Kedua bahawa antara isu utama yang harus diputuskan oleh Mahkamah yang mulia ini adalah samada pembatalan kontrak bertarikh 24.02.2021 tersebut adalah dilakukan dengan sah. [37] Saya telah memeriksa Surat Setuju Terima Tender tersebut di muka surat 5 Ikatan B bertarikh 28.6.2023 dan mendapati Klausa 5 menyatakan seperti berikut: - “Setelah arahan dikeluarkan oleh EMF Energy Sdn Bhd, Tuan dikehendaki melaksanakan kerja dalam tempoh yang ditetapkan dan kualiti kerja tersebut hendaklah memuaskan hati serta memenuhi kehendak Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) / EMF Energy Sdn. Bhd. Sekiranya Tuan gagal melaksanakan kerja dalam tempoh yang ditetapkan, EMF Energy Sdn. Bhd. berhak membatalkan arahan yang dikeluarkan dan/atau mengenakan Liquidated & Ascertained Performance Damages (LAD) seperti yang ditetapkan dalam Lampran A.” [38] Setelah membaca klausa 5 tersebut saya mendapati adalah jelas bahawa: a. tanggungjawab asas (fundamental) Plaintif adalah untuk menyiapkan projek tersebut; b. Plaintif dikehendaki melaksanakan kerja dalam tempoh yang ditetapkan; dan c. kualiti kerja tersebut hendaklah memuaskan hati serta memenuhi kehendak JKR / Defendan Kedua, yakni menyiapkan projek tersebut dengan sempurna. [39] Saya telah di minta untuk melihat perenggan 24 Pernyataan Tuntutan Terpinda di mana Plaintif telah mengakui dan memplidkan bahawa tugasan untuk membina projek tersebut terpaksa dihentikan, dimana Perenggan 24 Pernyataan Tuntutan Terpinda menyatakan dengan khususnya seperti berikut: - Plaintif selanjutnya mengatakan bahawa berpunca daripada perletakan ketiga-tiga jawatan yang dinyatakan di atas, tugasan-tugasan pembinaan untuk Projek tersebut tidak dapat diteruskan dan terpaksa dihentikan untuk sementara waktu. [40] Daripada dokumen-dokumen perletakkan ketiga-tiga jawatan tersebut, adalah jelas bahawa pekerja-pekerja yang dimaksudkan oleh Plaintif tersebut bukanlah pekerja Defendan Pertama dan/atau Defendan Kedua tetapi adalah pekerja-pekerja Plaintif sendiri. Ini dapat di lihat dari surat perletakkan ketiga-tiga jawatan tersebut, yakni masing-masing dari En. Zainuddin bin Kasim, En. Luqmanul Hakim Syah bin Abdullah dan Puan Nurulain binti Mohd Razali yang di alamatkan kepada pihak Plaintif dan/atau Dato Mohd Fishal bin Ab Raub, selaku Pengarah Urusan Plaintif dan bukan kepada Defendan Kedua. [41] Perkara ini juga boleh disokong oleh keterangan SP-1 di dalam keterangannya semasa pemeriksaan utama menyatakan:- Soalan 23: Q: Apakah kesan daripada perletakan jawatan ketiga-tiga pegawai tersebut kepada Plaintiff? A: Perletakan ketiga-tiga jawatan itu memberi kesan yang buruk kepada Plaintif yang mana Plaintif tidak dapat meneruskan pembinaan projek tersebut dengan lancar. Plaintif terpaksa memberhentikan projek tersebut untuk sementara waktu memandangkan ketiga-tiga jawatan itu merupakan jawatan yang penting dalam menjalankan dan menjayakan projek ini. Hal ini kerana, Plaintif bukanlah syarikat yang mempunyai pengalaman dalam bidang projek pembinaan. [42] Mahkamah juga mendapati bahawa semasa soal balas di perbicaraan dan mengikut Nota Keterangan di mukasurat 115, saksi Plaintif, Dato Mohd Fishal bin Ab Raub (“SP1”), telah menyatakan: - AA: Defendan Ke-2 tidak terlibat dengan peletakan-peletakan jawatan pekerja Plaintif tersebut. Setuju atau tidak? MP: Saya bersetuju tetapi lebih kepada Defendan Pertamalah. Sebab untuk pengetahuan Tuan Arif, apa itu, pekerja-pekerja yang berhenti ini adalah merupakan orang yang ditanam oleh Defendan Pertama. [43] Saya mendapati bahawa alasan-alasan Plaintif ini bukanlah suatu alasan yang munasabah, kerana berdasarkan bukti dokumen yang ada di hadapan Mahkamah, jelas pekerja-pekerja yang dimaksudkan adalah pekerja-pekerja Plaintif sendiri. [44] Walaupun Mahkamah mengambil perhatian bahawa Plaitinf pada 22.02.2021, telah mengeluarkan sekeping surat yang mana Plaintif menarik balik hasrat penamatan Kontrak Tersebut dan yang mana Plaintif juga menerima baik nasihat dan cadangan Defendan Kedua untuk Plaintif melantik kontraktor penyelamat; saya berpendapat bahawa surat Plaintif ini adalah terlambat kerana Defendan Kedua telah mengeluarkan satu surat penamatan kepada Plaintif melalui notis Defendan Kedua bertarikh 24.02.2021 yang telah menamatkan perjanjian antara Defendan Kedua dan Plaintif tersebut. [45] Saya mengguna pakai kes Mahkamah Rayuan Tan Kau Tiah @ Tan Ching Hai v Tetuan Teh Kim Teh, Salina & Co (a firm) & Anor [2010] 3 MLJ 569, dimana Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut: - “Each contract contains some central critical obligation and by its non-performance there could be no performance of the contract as a whole. This central critical obligation is referred to as a ‘fundamental term’ and the breach of it is equivalent to a non-performance of the contract. It is ideal to refer to the speech of Lord Diplock in Photo Production Ltd v Securicor Transport Ltd [1980] 2 WLR 283 (HL). There at p 294, Lord Diplock defined ‘fundamental breach’ as ‘… the failure by one party to perform a primary obligation has the effect of depriving the other party of substantially the whole benefit which it was the intention of the parties that he should obtain from the contract, … (emphasis oleh saya) ‘. The principles governing both ‘fundamental term’ and ‘fundamental breach’ are well illustrated by Lord Abinger CB in Chanter v Hopkins (1838) 150 ER 1484 at p 14874 M & W 399, when His Lordship said: ‘… if a man offers to buy peas of another, and he sends him beans, he does not perform his contract; but that is not a warranty; there is no warranty that he should sell him peas; the contract is to sell peas, and if he sends him anything else in their stead, it is a non-performance of it. A finding that there has been either a breach of a fundamental term or a fundamental breach would mean that the party not in default may put an end to the contract — in the sense that whatever obligations then outstanding need no longer be performed by either party (emphasis oleh saya) and the aggrieved party may sue for damages for any loss suffered as a result of the other party’s non-performance. This is the situation in which the appellant found himself in. The second respondent failed to perform the central critical obligation under the contract. So, the appellant considered the contract to have come to an end and sued for damages.” [46] Di dalam kes ini, Mahkamah mendapati bahawa terma asasi atau ‘fundamental’ kontrak adalah seperti mana yang dinyatakan di dalam klausa 5 kontrak tersebut (iaitu Surat Setuju Terima Tender) dan bahawa daripada membaca keseluruhan Surat Setuju Terima Tender tersebut, adalah jelas bahawa tanggungjawab Plaintif adalah untuk menyiapkan projek tersebut dengan sempurna tertakluk pada masa yang ditetapkan yang mana pada penghakiman saya adalah juga suatu terma tersirat. [47] Dalam kes Damansara Realty Bhd v Bungsar Hill Holdings Sdn Bhd & Anor [2011] 6 MLJ 464, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan: “[25] Question two implies that it is a principle of law that in order for time to be of the essence it must be stipulated in a given contract. With respect, such an impression, whether intended or otherwise, is erroneous. On the contrary, it is trite law that a contract need not contain such a term or clause for time to be made of the essence in the same way 'that a stipulation as to time must be read along with other provisions of the contract to determine if time is truly of the essence of the contract' (see Berjaya Times Square Sdn Bhd (formerly known as Berjaya Ditan Sdn Bhd) v M-Concept Sdn Bhd [2010] 1 MLJ 597; [2010] 1 CLJ 269). Thus, whether or not time had been intended to be of the essence would depend on the conduct and the dealings of the parties. There is no necessity in law that a clause making time of the essence must be expressed in any given contract. Similarly, the fact that there is a clause stating that time is to be of the essence does not ipso facto result in time being of the essence. [26] In the case of Mohammed Ibrahim & Anor v Mohammed Abdul Razzak AIR 2007 AP 294 the High Court of India observed that 'it is settled law, merely because there is a mention in the agreement making time as essence of the contract, it does not mean that such time is made an essence of the contract. The court has to decide the same while taking in to consideration the intention of parties in making such a stipulation, their conduct and surrounding circumstances'. [27] It follows that the absence of such a clause does not per se mean that the parties did not intend for time to be of the essence. In Ranieri v Miles & Anor Lord Edmund-Davies in his speech rejected an assertion that in the absence of a clause stating that time was of the essence, the law regards the contract as unbroken provided that defaulting party performs its obligation within a reasonable time from the due date. [28] We are of course conscious that in any given contract where time is not of the essence, whether express or implied, then s 56(2) is relevant. In such case the innocent party is not entitled to terminate the contract and is only entitled to damages. It is under s 56(1) where time is of the essence that the innocent party may exercise its right to terminate the contract. [29] The distinction between the two sub-sections of s 56 has been succinctly explained by Cheong May Fong in Civil Remedies in Malaysia, Sweet & Maxwell Asia, 2007, at p 38 where the learned author said the following: In both s 56(1) and 56(2), a specified date is fixed for performance. However, under s 56(1), there is an intention that time should be of the essence of the contract but there is no similar intention under s 56(2). Thus, the effect of a breach to perform at the time stipulated under s 56(1) where time is of the essence cause the contract to be voidable and gives the innocent party the option whether to terminate (rescind) or carry on (affirm) the contract. On the other hand, a breach to perform within the time stipulated under s 56(2) where time is not of the essence, the contract is not voidable and the innocent party is only entitled to compensation for the loss suffered as a result of the breach” [48] Berasaskan bukti yang telah dinyatakan di atas dan kes Damansara Realty Bhd (supra), saya juga mendapati bahawa isu Plaintif bukanlah syarikat yang mempunyai pengalaman dalam bidang projek pembinaan adalah salah satu fakta yang menyebabkan Plaintif tidak boleh berterus dengan Projek tersebut apabila ketiga-tiga perkerja Plaintif yang dinyatakan di atas telah meletak jawatan. [49] Malah Plaintif sendiri dalam perkara ini telah menyatakan dalam plidingnya seperti berikut: Perenggan 24 Pernyataan Tuntutan Terpinda: - Plaintif selanjutnya mengatakan bahawa berpunca daripada perletakan ketiga-tiga jawatan yang dinyatakan di atas, tugasan-tugasan pembinaan untuk Projek tersebut tidak dapat diteruskan dan terpaksa dihentikan untuk sementara waktu. [50] Maka adalah jelas bagi Mahkamah bahawa Plaintif telah dengan sendirinya mengakui dan memplidkan bahawa tugasan untuk membina projek tersebut terpaksa dihentikan di atas sebab perletakan ketiga-tiga jawatan yang telah dinyatakan di atas. [51] Malah SP-1 di dalam keterangannya telah jelas menyatakan situasi yang berlaku setelah perletakkan jawatan 3 watak penting di dalam projek tersebut di mana kerja-kerja tersebut telah diberhentikan sementara, di mana saya mengulangi keterangan beliau :- Soalan 23 Q: Apakah kesan daripada perletakan jawatan ketiga-tiga pegawai tersebut kepada Plaintiff? A: Perletakan ketiga-tiga jawatan itu memberi kesan yang buruk kepada Plaintif yang mana Plaintif tidak dapat meneruskan pembinaan projek tersebut dengan lancar. Plaintif terpaksa memberhentikan projek tersebut untuk sementara waktu memandangkan ketiga-tiga jawatan itu merupakan jawatan yang penting dalam menjalankan dan menjayakan projek ini. Hal ini kerana, Plaintif bukanlah syarikat yang mempunyai pengalaman dalam bidang projek pembinaan. [52] Mahkamah telah juga mendapati bahawa mengikut surat-surat
17
Defendan Kedua kepada Plaintif masing-masing bertarikh 28.8.2020,
2
2.2021 dan 18.2.2021 pada masa yang material, pihak Plaintif telah memulakan kerja untuk tempoh 13 bulan dan kemajuan kerja ketika itu adalah seharusnya sebanyak 30%, namun kemajuan kerja hanyalah pada kadar 6.35% sahaja. Perkara ini tidak dinafikan oeh Plaintif dalam mana-mana dokumen yang bersikap ‘contemporaneous’. [53] Semasa bicara Plaintif telah memberi keterangan bahawa kelewatan tersebut adalah berpunca dari pihak JKR, namun Mahkamah ini tidak mendapati sebarang bukti dokumentari dikemukakan di hadapan Mahkamah untuk menyokong keterangan tersebut. Walhal semasa soal balas saksi Plaintif oleh peguam Defendan Pertama, Mahkamah mendapati bahawa saksi Plaintif tidak dapat menjawab dan menerangkan dengan munasabah kelewatan kemajuan kerja di tapak. Dengan itu dakwaan Plaintif ini merupakan satu dakwaan yang kosong (bare denial) sahaja. [54] Dengan sebab kesemua alasan-alasan yang dinayatakan di atas Mahkamah ini memutuskan bahawa terdapat kemungkiran yang asasi/fundamental yang mana Plaintif sememangnya telah melanggar kontrak nya dengan Defendan Kedua yang mewajarkan pengeluaran notis penamatan oleh Defendan Kedua keatas Plaintif. [55] Saya juga mesti menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah ini berhubung kesahihan penamatan Kontrak / Surat Setuju Terima juga merupakan faktor yang akan menyebabkan Plaintif kehilangan hak untuk di pulangkan kos RM800,000.00 tersebut walaupun jika terdapat bukti bahawa wang tersebut di bayar untuk tujuan komisyen, yang saya tegaskan sekali lagi tidak ada bukti langsung di hadapan Mahkamah ini. Dakwaan pakatan sulit, mala fide, tipu muslihat, salah nyata dan pengaruh tidak wajar terhadap Plaintif dengan tujuan mencetuskan suasana negatif, menganggu dan/atau merosakkan gerak kerja Plaintif” [56] Saya mendapati bahawa tidak ada apa-apa bukti dihadapan Mahkamah ini yang menunjukkan terdapatnya dakwaan pakatan sulit, mala fide, tipu muslihat, salah nyata dan pengaruh tidak wajar terhadap Plaintif dengan tujuan mencetuskan suasana negatif, menganggu dan/atau merosakkan gerak kerja Plaintif. [57] Dengan hormatnya, dakwaan Plaintif bahawa isu tersebut dapat dilihat apabila Defendan Kedua telah dikatakan manamatkan Surat Tawaran tersebut dengan alasan-alasan yang tidak munasabah dan seterusnya melantik Defendan Pertama sebagai sub-kontraktor yang baru, bukanlah dalam dapatan Mahkamah ini bukti yang mencukupi untuk membuktikan pada imbangang keberangkalian bahawa wujudnya pakatan sulit, mala fide, tipu muslihat, salah nyata oleh kedua Defendan dalam kes ini. [58] Dakwaan ini juga tidak dibuktikan oleh Plaintif dengan hanya membuat kenyataan tanpa bukti yang kukuh bahawa:
58
58.1 Defendan-Defendan, secara sesama atau berasingan, telah membuat pakatan sulit, mala fide, tipu muslihat, salah nyata dan pengaruh tidak wajar apabila mempengaruhi Pengurus Projek merangkap Perancang (Project Manager cum Planner), Jurutera Projek (Project/OAOC Engineer) dan Quantity Surveyor supaya tidak memberitahu Plaintif lebih mengenai niat mereka untuk melepaskan jawatan masing-masing dan dengan itu akan menyebabkan Plaintif tidak dapat membuat persediaan yang rapi;
58
58.2 Defendan-Defendan, secara sesama atau berasingan, telah membuat pakatan sulit, mala fide, tipu muslihat, salah nyata dan pengaruh tidak wajar apabila mempengaruhi Plaintif untuk menamatkan dan/atau mengembalikan projek tersebut lebih awal dengan sebab itu dapat memanipulasi kesan kontrak terhadap pihak-pihak. [59] Mahkamah ini merujuk kepada kes Tawfique Hasan Chowdhury v BWFW Medic Sdn Bhd & Ors [2022] MLJU 1246 di mana Mahkamah telah merujuk kepada Keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan tort konspirasi di mana telah dinyatakan seperti berikut: -
25
25.2 In Cubic Electronic Sdn Bhd vs MKC Corporate & Business Advisory Sdn Bhd and Another Appeal [2016] 3 MLJ 797, the Court of Appeal again succinctly explained the difference between unlawful means conspiracy and lawful means conspiracy: “[11] There are two kinds of conspiracy, the elements of which are distinct:
a
(a)unlawful means conspiracy: a conspiracy in which the participants combine to perform acts which are themselves unlawful (under either criminal or civil law); and
b
(b)lawful means conspiracy: a combination to perform acts which, although not themselves per se unlawful, are done with the sole predominant purpose of injuring the claimant — it is in the fact of the conspiracy that the unlawfulness resides (see Milicent Rosalind Danker and Anor v Malaysia-Europe Forum Bhd & Ors [2012] 2 CLJ 1076 (HC); SCK Group Bhd & Anor v Sunny Liew Siew Pang & Anor [2011] 4 MLJ 393 (CA)). [60] Adalah keputusan Mahkamah ini bahawa Plaintif telah gagal dan/atau tidak dapat membuktikan mana-mana dakwaan konspirasi di kes di hadapan Mahkamah ini seperti dinyatakan di kes Cubic Electronic Sdn Bhd (supra). [61] Saya dengan ini menolak perbalahan atau dakwaan Plaintif wujudnya pakatan sulit, mala fide, tipu muslihat, salah nyata oleh kedua Defendan dalam kes ini. Tuntutan Gantirugi Pembelian Dua Buah Kenderaan [62] Mahkamah juga memutuskan bahawa disebabkan kesemua alasan-alasan penghakiman Mahkamah ini di atas, tuntutan gantirugi Plaintif bagi pembelian dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux, nombor kenderaan VEL 4049, dan Nissan X-Trail, ditolak. [63] Dalam apa jua keadaan, Mahkamah berpendapat tuntutan Plaintif bagi pembelian dua kenderaan tersebut tidak munasabah kerana kenderaan-kenderaan tersebut adalah dimilik dan/atau bawah kawalan Plaintif yang mana juga Mahkamah ini berpendapat akan digunakan untuk masa hadapan oleh Plaintif. [64] Perkara ini dapat dilihat dari nota perbicaraan dimana saski tunggal Plaintiff di soal balas oleh Peguam Defendan Kedua seperti berikut: AA Saya berpindah kepada perenggan 19 pernyataan tuntutan di muka surat yang sama, ya? Disebut di situ bahawa, “Plaintif telah bertindak membeli dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux, nombor kenderaan VEL 4049, dan Nissan X-Trail, nombor kenderaan VEJ 6265, yang dibeli melalui satu pinjaman sewa beli di Public Islamic Bank,” ya. Kenderaan-kenderaan ini dibeli atas nama siapa? Siapakah pembeli yang berdaftar - MP Dibeli atas nama Merantilah. AA Dibeli atas nama Plaintif. MP Dan diguna oleh pihak JKR. AA Tak, itu saya tak tanya. Saya tanya dibeli atas nama Plaintif, ya? MP Ya. AA Saya cadangkan bahawa kenderaan-kenderaan yang disebut di sini, iaitu Toyota Hilux dan Nissan X-Trail ini, adalah masih di dalam kawalan Plaintif ataupun pemilikan Plaintif. Setuju atau tidak? MP Sekarang, of course lah. Tapi semasa – AA Setuju atau tidak? MP Bila waktu itu? AA Sekarang. MP Sekarang, ya. Sebab kita sudah – AA Betul, ya? MP Sudah projek, apa ini, terbengkalai, kita ambil baliklah.
para
[65] Berdasarkan alasan-alasan Mahkamah ini, Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif telah gagal membuktikan kesnya terhadap Defendan Pertama. [66] Mahkamah juga memutuskan bahawa berdasarkan alasan-alasan Mahkamah ini di dalam alasan penghakiman ini, adalah: -
i
jelas bahawa penamatan kontrak yang dilakukan oleh Defendan Kedua adalah satu penamatan yang sah dan berpatutan; dan
II
(ii) Plaintif lah yang memungkiri janjinya kerana tidak berkeupayaan untuk meneruskan projek di atas kesilapan nya sendiri yang tidak bersangkutan sama sekali dengan tanggungjawab Defendan Kedua di bawah kontrak tersebut. [67] Dengan itu, Plaintif tidak mempunyai hak untuk menuntut apa-apa gantirugi terhadap Defendan Pertama dan Defendan Kedua dan tuntuan Plaintif terhadap Defendan Pertama dan Defendan Kedua di tolak dengan kos yang mana Plaintif perlu membayar RM20,000.00 kos kepada Defendan Pertama dan kos sejumlah RM50,000.00 di bayar kepada Defendan Kedua. Bertarikh: 6hb Januari 2025 sgd. NADZARIN WOK NORDIN HIGH COURT JUDGE CONSTRUCTION COURT 1 PEGUAM BELA BAGI PIHAK PLAINTIF: Hisham Nen (Messrs Hisham Nen & Co.] PEGUAM BELA BAGI PIHAK DEFENDAN: Mohd Khairul Zaman bin Ahmad Tajuddin (Messrs Raja Ismail & Amril Ghazaly]
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.