Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA NOTIS USUL NO: DA-44-6-01/2025 Dalam Perkara Mengenai Perkara 5(1), (2),
DA-44-6-01/2025
High Court of Malaysia22 May 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ity. …” [25] Beban pembuktian tersebut bermula sebaik sahaja Pemohon mengatakan bahawa penahanannya adalah tidak sah sebagaimana yang diputuskan dalam kes Mohinuddin v. District Magistrate, Beed AIR [1987] SC 1977, yang dirujuk dalam kes SK Tangakaliswaran Krishnan v Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors (supra) di mana”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA NOTIS USUL NO: DA-44-6-01/2025 Dalam Perkara Mengenai Perkara 5(1), (2),
3
(3), Perkara 149 dan Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan Dan Perkara Mengenai Seksyen 3, Seksyen 4, Seksyen 5, Seksyen 6, Seksyen 9, Seksyen 10 dan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) Dan Dalam Perkara Mengenai Seksyen 23, Seksyen 28A dan Permohonan Habeas Corpus selaras Bab xxxvi Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) Dan Dalam Perkara Mengenai Seksyen 25(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91) Dan Dalam Perkara Mengenai Akta Keterangan 1950 (Akta 56) ANTARA MOHAMAD AMIROL SYAHMI BIN MOHD ROSLAN (No. K/P: 040319-03-0735) … PEMOHON DAN
2
PENGARAH PUSAT PEMULIHAN AKHLAK, KLUANG, JOHOR. … RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Pemohon memfailkan satu permohonan Habeas Corpus terhadap perintah penahanannya bertarikh 27.6.2024 (perintah tahanan tersebut) yang telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri menurut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta tersebut). Latar Belakang (Versi Responden) [2] Pada 3.5.2024 jam lebih kurang 2.00 petang, Pemohon telah ditangkap oleh Inspektor Polis Azharreidza Idzan bin Abdul Wahab dan pasukannya di Balai Polis Rantau Panjang, Kelantan. [3] Pada 4.5.2024 jam lebih kurang 1.40 petang, Inspektor Polis Azharreidza Idzan bin Abdul Wahab telah memberi kebenaran untuk melanjutkan tahanan Pemohon melebihi 24 jam memandangkan siasatan masih belum lengkap. [4] Pada 5.5.2024 jam lebih kurang 1.00 petang, ASP Mohd Khairul Fazrie bin Mohd Fauzi telah memberi kebenaran untuk melanjutkan tahanan Pemohon melebihi 48 jam memandangkan siasatan masih belum lengkap. [5] Seterusnya pada 9.5.2024, Inspektor Polis Azharreidza Idzan bin Abdul Wahab telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan Pemohon kepada DSP Roslan bin Hussin bagi membolehkan tahanan Pemohon dilanjutkan melebihi daripada tempoh 14 hari. [6] Pada tarikh yang sama iaitu 9.5.2024, DSP Roslan bin Hussin telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan Pemohon kepada ACP Shahidi bin Abdullah selaku Penolong Pengarah Narkotik (Tahanan) di Bukit Aman yang kemudiannya telah melaporkan kepada Menteri Dalam Negeri pada 10.5.2024. [7] Pada 5.5.2024, Inspektor Polis Azharreidza Idzan bin Abdul Wahab telah berjumpa dengan Pemohon dan telah merakam percakapan Pemohon dengan dibantu oleh Sarjan Abdul Rahim bin Ahmad sebagai jurutaip rakaman percakapan tersebut. Setelah proses rakaman siap, Inspektor polis Azharreidza Idzan bin Abdul Wahab telah membacakan kandungan rakaman percakapan tersebut kepada Pemohon dan kandungannya telah diakui betul oleh Pemohon dan apabila ditanya sama ada Pemohon ingin membuat sebarang pindaan, Pemohon mengatakan dia tidak ingin membuat sebarang pindaan. Pemohon seterusnya telah menandatangani dan menurunkan cap jarinya pada dokumen rakaman percakapan tersebut. [8] Selanjutnya, Inspektor Polis Azharreidza Idzan bin Abdul Wahab telah meneruskan siasatannya termasuklah dengan mengambil keterangan daripada saksi-saksi lain sehingga selesai siasatan. Inspektor Polis Azharreidza Idzan bin Abdul Wahab akhirnya telah menyediakan satu laporan lengkap dan laporan tersebut telah diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri dan Pegawai Inkuiri, Kementerian Dalam Negeri pada 27.5.2024 Versi Pemohon [9] Pemohon mengatakan bahawa terdapat 2 kali rakaman percakapannya telah diambil. Pertamanya pada hari ketiga penahanannya (5.5.2024) dan kali keduanya pada hari kelima penahanannya (7.5.2024). [10] Dalam kedua-dua rakaman percakapan tersebut, Pemohon ada meminta untuk membaca rakaman percakapannya namun tidak dibenarkan. Rakaman percakapannya juga tidak dibacakan kembali kepadanya dan dia tidak berpeluang untuk membuat pembetulan kepada rakaman percakapannya tersebut. Pemohon juga tidak diberikan sesalinan rakaman percakapan tersebut dan tidak diminta untuk menandatangani rakaman percakapan tersebut. [11] Beberapa hari kemudian, pada waktu malam, Pemohon telah diarahkan untuk menandatangani beberapa dokumen pada ruang tandatangan yang telah disediakan tanpa diterangkan kandungan dokumen tersebut dan tanpa dibenarkan untuk membaca dokumen tersebut terlebih dahulu. Asas Permohonan Habeas Corpus Pemohon [12] Pemohon telah mencabar kesahihan perintah penahanan tersebut berdasarkan 4 isu seperti berikut: i) Isu Pertama. Ketidakteraturan atau pelanggaran seksyen 4 Akta tersebut berhubung kenyataan atau rakaman percakapan yang diambil daripada pemohon. ii) Isu Kedua. Laporan penyiasatan yang disediakan oleh Inspektor Polis Azharreidza Idzan bin Abdul Wahab di bawah seksyen 3(3) Akta tersebut adalah tidak lengkap. iii) Isu Ketiga. Pelanggaran seksyen 5 akta tersebut apabila Pegawai Inkuiri gagal memanggil adik pemohon dalam penyediaan laporan kepada Menteri. iv) Isu Keempat. Pelanggaran seksyen 6(1) Akta tersebut apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri membuat keputusan berdasarkan laporan penyiasatan yang tidak lengkap. [13] Berkenaan isu pertama, Pemohon telah mengatakan dalam afidavit sokongannya bahawa dia telah ditahan oleh pihak polis semasa dia sedang berada di Balai Polis Rantau Panjang, Kelantan pada
3
3.5.2024 jam 12 tengah hari bagi melaporkan diri sebagaimana perintah Mahkamah bagi kes DA-41S-6-03/2022. Setelah ditahan, Pemohon dibawa ke IPK, Kelantan. [14] Pada hari ketiga Pemohon berada di lokap IPK, Kelantan iaitu pada
5
5.5.2024, Pemohon telah dibawa keluar lokap dan rakaman percakapan Pemohon telah diambil. Walau bagaimanapun Pemohon tidak dibenarkan untuk membaca rakaman percakapan tersebut dan pegawai yang merakamkannya juga tidak membacanya kepada Pemohon dan tidak memberi peluang kepada Pemohon untuk membuat apa-apa pembetulan kepada rakaman percakapan tersebut. Pemohon tidak diberikan sesalinan rakaman percakapan tersebut dan tidak diminta untuk menandatangani rakaman percakapan tersebut. [15] Selanjutnya, pada hari kelima penahanan Pemohon di lokap IPK Kelantan iaitu pada 7.5.2024, Pemohon sekali lagi dibawa keluar dan keterangannya/pernyataannya sekali lagi diambil. Perkara yang sama berlaku apabila Pemohon telah meminta untuk membaca/melihat catatan yang dibuat oleh pegawai yang mengambil pernyataannya/keterangannya, namun pegawai tersebut tidak membenarkannya. Selain itu, Pemohon juga tidak dibacakan pernyataannya sekaligus tidak diberi peluang untuk Pemohon membuat apa-apa pembetulan terhadap pernyataan Pemohon pada hari tersebut. [16] Selain itu, Pemohon juga mengatakan dalam affidavit sokongannya bahawa pegawai yang mengambil pernyataannya sebagaimana peruntukan Seksyen 4(1) Akta tersebut tidak pernah menerangkan/memberitahu Pemohon mengenai peruntukan Subseksyen 4(2) dan Subseksyen 4(3) Akta tersebut. Pemohon juga menyatakan bahawa pernyataannya tidak pernah dibacakan semula kepadanya dan keengganan pegawai polis untuk memberikan kebenaran kepadanya untuk membaca catatan pernyataannya telah menyalahi peruntukan Seksyen 4(5) Akta tersebut. [17] Alegasi Pemohon berkenaan rakaman percakapan telah dibuat tanpa mematuhi peruntukan s. 4 Akta tersebut telah dijawab oleh Inspektor Azharriedza Idzan bin Abdul Wahab melalui afidavitnya yang telah diikrarkan pada 3.3.2025 di mana Inspektor Azharriedza Idzan bin Abdul Wahab mengatakan bahawa rakaman percakapan telah dibuat secara teratur dan mematuhi segala peruntukan s. 4 Akta tersebut. Inspektor Azharriedza Idzan bin Abdul Wahab juga mengatakan bahawa dia hanya membuat rakaman percakapan Pemohon sekali sahaja iaitu pada 5.5.2024. [18] Keterangan afidavit Inspektor Azharriedza Idzan bin Abdul Wahab telah disokong oleh keterangan pembantunya iaitu Sjn Abdul Rahim bin Ahmad (anggota yang membantu menaip rakaman percakapan Pemohon) melalui afidavitnya yang telah diikrarkan pada 3.3.2025. Kedua-dua keterangan afidavit Inspektor Azharriedza Idzan bin Abdul Wahab dan Sjn Abdul Rahim bin Ahmad menunjukkan bahawa mereka telah mematuhi peruntukan s. 4 Akta tersebut dalam mengambil dan membuat rakaman percakapan terhadap Pemohon. [19] Peguam Pemohon yang bijaksana pula menghujahkan bahawa beban pembuktian adalah terletak ke atas Responden untuk meyakinkan Mahkamah bahawa pernyataan/rakaman percakapan Pemohon telah diambil adalah teratur mengikut peruntukan Seksyen 4 Akta tersebut. [20] Peguam Pemohon yang bijaksana juga berhujah bahawa Inspektor Azharreidza dan/atau Sarjan Abdul Rahim bin Ahmad mempunyai tanggungjawab untuk mengemukakan atau mengekshibitkan salinan rakaman percakapan Pemohon bagi menunjukkan dan meyakinkan Mahkamah ini bahawa rakaman percakapan tersebut hanya diambil/direkod pada satu hari sahaja iaitu 5.5.2024. [21] Peguam Persekutuan yang bijaksana pula menghujahkan bahawa berdasarkan keterangan afidavit Inspektor Azharriedza Idzan bin Abdul Wahab dan Sarjan Abdul Rahim bin Ahmad, segala peruntukan Seksyen 4 Akta tersebut telah dipatuhi dengan sempurna oleh pihak Responden. Berdasarkan prinsip dalam kes Su Yu Min v. Ketua Polis Negeri & Ors [2005] 3 CLJ 875, Peguam Persekutuan yang bijaksana menghujahkan bahawa keterangan-keterangan Inspektor Azharriedza Idzan bin Abdul Wahab dan Sarjan Abdul Rahim bin Ahmad sebagai pegawai awam patut lebih diterima oleh Mahkamah kerana ia lebih kukuh dan lebih boleh dipercayai berbanding keterangan Pemohon yang ditahan dan mungkin mereka-reka cerita bagi membebaskan diri dari tahanan. [22] Peguam Persekutuan juga menghujahkan bahawa tiada peruntukan nyata untuk Responden mengemukakan rakaman percakapan Pemohon di bawah undang-undang dan Akta tersebut. Responden juga tidak dibebankan untuk mengemukakan rekod keluar masuk Pemohon daripada lokap polis memandangkan tiada keperluan undang-undang yang khusus yang menyatakan sedemikian dalam Akta tersebut. [23] Peguam Persekutuan seterusnya menghujahkan bahawa Responden melalui afidavit ASP Mohd Syaipul Rizal bin Abu Bakar mengatakan bahawa antara tugasnya adalah untuk membekalkan salinan rakaman percakapan kepada pihak orang yang ditahan atau peguambelanya. Ini menunjukkan bahawa sememangnya salinan rakaman percakapan tersebut boleh diberikan kepada orang yang ditahan atau peguamnya. Jika Pemohon merasakan rakaman percakapan tersebut adalah penting bagi Pemohon, Pemohon boleh memohon salinan rakaman percakapan tersebut daripada pihak Responden namun tiada sebarang permohonan sedemikian telah dibuat oleh Pemohon. Analisis dan dapatan Mahkamah berkenaaan Isu Pertama [24] Dalam suatu permohonan Habeas Corpus, beban pembuktian untuk membuktikan bahawa penahanan Pemohon adalah sah terletak di atas bahu pihak berkuasa yang menahan Pemohon. Prinsip ini telah dinyatakan dalam kes SK Tangakaliswaran Krishnan v Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors [2009] 6 CLJ 705 di mana Mahkamah Persekutuan Malaysia mengatakan bahawa: “[5] In my considered judgment the point at stake falls to be resolved with reference to the principles governing the burden of proof in an application for habeas corpus. It is settled law that on an application for habeas corpus the burden of satisfying the court that the detention is lawful lies throughout on the detaining authority. …” [25] Beban pembuktian tersebut bermula sebaik sahaja Pemohon mengatakan bahawa penahanannya adalah tidak sah sebagaimana yang diputuskan dalam kes Mohinuddin v. District Magistrate, Beed AIR [1987] SC 1977, yang dirujuk dalam kes SK Tangakaliswaran Krishnan v Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors (supra) di mana Mahkamah Agong India mengatakan seperti berikut dalam konteks Perkara 22 Perlembagaan India yang telah diambil dan dijadikan Perkara 151 Perlembagaan negara kita: It is enough for the detenu to say that he is under wrongful detention, and the burden lies on the detaining authority to satisfy the Court that the detention is not illegal or wrongful and that the petitioner is not entitled to the relief claimed. This Court on more occasions than one has dealt with the question and it is now well-settled that it is incumbent on the State to satisfy the Court that the detention of the petitioner/detenu was legal and in conformity not only with the mandatory provisions of the Act but also strictly in accord with the constitutional safeguards embodied in Art. 22(5).” Penekanan ditambah. [26] Seksyen 4(1) Akta tersebut telah menetapkan bahawa bagi tujuan untuk memuaskan hati Menteri bahawa satu perintah di bawah Seksyen 6(1) patut dibuat dan untuk tujuan membolehkan Menteri membuat penyataan di bawah perenggan 9(2)(b), pegawai polis yang menyiasat boleh mengarahkan mana-mana anggota polis yang berpangkat tidak bawah dari sarjan untuk memeriksa secara lisan mana-mana orang yang dirasakan mempunyai pengetahuan berkenaan fakta dan hal keadaan kes itu dan hendaklah menurunkan secara betulis sebarang penyataan yang dibuat oleh orang yang diperiksa tersebut. [27] Daripada Seksyen 4(1) ini, rakaman percakapan ini adalah satu sumber atau asas penting bagi memuaskan hati Menteri untuk Menteri membuat perintah tahanan tersebut. Ia juga merupakan asas kepada penyediaan laporan lengkap yang mesti disediakan oleh pegawai penyiasat polis kepada pegawai inkuiri dan Menteri menurut Seksyen 3(3) Akta tersebut. [28] Mahkamah ini berpendapat bahawa apabila terdapat cabaran serius oleh Pemohon terhadap rakaman percakapan tersebut dan terdapat percanggahan atau pertembungan keterangan afidavit oleh kedua-dua pihak, adalah penting untuk rakaman percakapan tersebut dikemukakan untuk penelitian pihak Mahkamah bagi membolehkan Mahkamah meneliti dan memutuskan versi keterangan afidavit siapakah yang lebih selari dengan rakaman percakapan tersebut dan seterusnya menyelesaikan pertikaian keterangan afidavit tersebut. [29] Namun dalam kes ini, walaupun terdapat cabaran yang serius berkenaan ketidakpatuhan rakaman percakapan tersebut terhadap peruntukan Seksyen 4 Akta tersebut, Responden telah gagal untuk mengemukakannya untuk penelitian Mahkamah tanpa sebarang alasan munasabah selain mengatakan bahawa Pemohon tidak pernah memohon salinan rakaman percakapan tersebut. Sekali lagi Mahkamah ini menegaskan bahawa beban pembuktian terletak di atas bahu Responden selaku pihak berkuasa yang menahan Pemohon. [30] Dalam kes Dhinesh Tanaphll v. Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors [2022] 5 CLJ 1, Mahkamah Persekutuan telah mengatakan seperti berikut: “As is trite it is incumbent upon the Respondent to prove compliance with the law. As such it would have been simple matter for the Respondent to produce the minutes of the Board of Inquiry which would have provided a contemporaneous note of what transpired. That would have resolved the conflicting accounts of the parties. The relevant confidential matters relating to security could have been redacted or held in camera as been stated in other case law. Penekanan ditambah. [31] Dalam kes ini, kedua-dua pihak dalam afidavit masing-masing telah memberi versi yang bertentangan berkenaan rakaman percakapan Pemohon tersebut. Walaupun tiada peruntukan undang-undang yang khusus yang mewajibkan Responden untuk mengemukakan rakaman percakapan Pemohon tersebut, namun tiada juga peruntukan undang-undang yang menghalang Responden dari mengemukakan rakaman percakapan Pemohon tersebut untuk penelitian pihak Mahkamah. Perlu diingat bahawa akhirnya Mahkamahlah yang akan membuat keputusan berkenaan keabsahan perintah tahanan tersebut yang dikeluarkan ke atas Pemohon dan perlu juga diingat bahawa adalah menjadi tanggungjawab Responden untuk membuktikan bahawa perintah tahanan tersebut adalah sah. [32] Responden mengatakan bahawa pihaknya bersedia untuk membekalkan salinan rakaman percakapan tersebut jika diminta oleh orang yang ditahan atau peguamcaranya, jika ini adalah kedudukan atau ketetapan yang diambil oleh Responden, maka apakah yang menghalang Responden dari mengemukakan rakaman tersebut sebagai ekshibit dalam afidavitnya apabila dokumen tersebut telah dicabar secara serius oleh Pemohon dalam afidavitnya. [33] Pemohon telah mengatakan bahawa terdapat 2 kali rakaman percakapan dibuat pada 5.5.2024 dan 7.5.2024 serta Pemohon tidak disuruh menandatangani rakaman percakapan tersebut. Jika rakaman percakapan tersebut dikemukakan ia akan dapat membantu Mahkamah untuk menentukan keterangan siapakah yang disokong oleh dokumen tersebut. Lebih-lebih lagi bukti dokumentar tersebut sememangnya berada dalam simpanan Responden dan sedia untuk dikemukakan dengan mudah, hanya dikepilkan sebagai ekshibit sahaja. [34] Dalam kes Dhinesh Tanaphll v. Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors [2022] 5 CLJ 1, Mahkamah Persekutuan telah mengatakan seperti berikut: “[245] In the instant appeal, as is evident from the recitation of the salient facts, there was a serious conflict between the evidence of the detainee and his supporting witness Mathan Raj versus the evidence put forward by the Board through its secretary as well as the Chairman. It is also the case that it is difficult for the court in a situation such as this to make a determination as to the veracity of each version in the absence of any other documentary evidence. [248] Even without applying SK Tangakaliswaran Krishnan v. Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors [2009] 6 CLJ 705, it follows that an adjudicatory authority is able to undertake its task of adjudication with evidence, particularly where such evidence is readily available. [250] The divergence of versions could have been resolved in the instant case by the respondent producing the minutes of the inquiry, which would have provided a contemporaneous note of what transpired. That would have resolved the conflicting accounts of the parties. The relevant confidential matters relating to security could have been redacted or held in camera. Penekanan ditambah. [35] Walaupun pihak Responden menggesa Mahkamah ini agar lebih mempercayai keterangan Inspektor Azharriedza Idzan bin Abdul Wahab dan Sarjan Abdul Rahim bin Ahmad sebagai pegawai awam berdasarkan kes Su Yu Min (supra), namun Mahkamah ini turut berpendapat bahawa keterangan Pemohon juga tidak patut diketepikan begitu sahaja. Ini bertepatan dengan prinsip yang juga dinyatakan dalam kes Dhinesh Tanaphll v. Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors (supra) seperti berikut: “[246] There is a tendency to presume that there is no reason for the Board to affirm to anything other than the truth of what occurred, as it is expected to be unbiased. However as famously stated in R v. Sussex Justices, ex parte McCarthy ([1924] 1 KB 256, [1923] All ER Rep 233), – “Justice must not only be done but must be seen to be done”. [247] Given the purport of art. 151 FC it is imperative that the detenu’s version of events not be rejected outright and the Board’s version assumed to be correct. To ensure that impartiality is ensured, the diametrically opposed versions ought to be tested.” Penekanan ditambah. [36] Dalam kes yang dibicarakan ini, kegagalan Responden mengemukakan rakaman percakapan tersebut yang sememangnya berada dalam simpanannya walaupun telah dicabar oleh Pemohon terjumlah kepada satu perbuatan menahan keterangan penting (withholding of material evidence) sebagai mana prinsip yang juga dinyatakan dalam kes Dhinesh Tanaphll v. Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors (supra) seperti berikut: “[251] Authority for this proposition is to be found in the decision of this court in Mohammad Azanul Haqimi Tuan Ahmad Azahari v. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors [2019] 8 CLJ 465 (“Haqimi”). It is authority for the proposition that the failure to adduce minutes of the inquiry, where the burden to justify the detention in question lies on the respondents, amounts to a wilful withholding of material evidence. This enables an inference favourable to the detainee to be made and also an adverse inference against the respondents. In short, the presumption was made that if the respondents had adduced the contents of the minutes of the Board hearing, the contents of those minutes would have been unfavourable to them.” Penekanan ditambah. [37] Kegagalan Responden untuk mengemukakan rakaman percakapan tersebut boleh menyebabkan Mahkamah tidak dapat mencapai satu keputusan yang konklusif berkenaan sama ada rakaman percakapan tersebut telah dibuat dengan mematuhi peruntukan undang-undang atau sebaliknya. Ini akan menimbulkan satu keraguan dan manfaat keraguan tersebut patut diberikan kepada Pemohon yang merupakan orang yang ditahan dalam keadaan beban pembuktian untuk membukti bahawa segala kehendak undang-undang telah dipatuhi adalah terletak di atas Responden sebagai Pihak Berkuasa yang menahan. Sekali lagi prinsip ini dinyatakan dalam kes Dhinesh Tanaphll v. Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors (supra seperti berikut: “[249] Where such evidence is forthcoming and it is not tenable to arrive at a conclusive decision otherwise, the benefit of the doubt ought to be given to the detainee, as the burden lies throughout on the authorities to prove that all equisite procedures and relevant provisions of the FC have been complied with.” Penekanan ditambah. [38] Dalam kes Dhinesh Tanaphll v. Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors (supra) yang sama juga, Mahkamah telah menggunapakai anggapan bertentangan (adverse inference) ke atas kegagalan Responden mengemukakan minit inkuiri. Mahkamah memutuskan seperti berikut: “ [252] Similarly, in the instant case we are constrained to invoke the ratio in Haqimi and to draw an adverse inference against the respondents for failing to provide the relevant minutes of the inquiry. This would have shown instantly what actually happened, ie, whether the detainee asked for Mathan Raj to be called or did not. As stated in Haqimi, security concerns relating to national interests, if any, could have been dealt with by redaction. At the very least, the relevant minutes could have been produced for perusal by the court. None of this however was done.” [253] In these circumstances we were left with no alternative but to conclude, given the adverse inference drawn, that there was a failure to permit Mathan Raj to give evidence as requested for by the detainee. The consequence is that the failure to accord the detainee a full opportunity to put forward his representations against his preventive detention for a lengthy period, was denied. This amounts to a breach of natural justice as contained in art.151 FC. It is a substantive irregularity. Therefore, this issue which had merit, comprised another ground for the issuance of an order of habeas corpus.” [39] Mahkamah ini sekali lagi menegaskan bahawa walaupun tiada sebarang peruntukan undang-undang yang mewajibkan atau menghendaki Responden mengemukakan rakaman percakapan dalam suatu kes Permohonan Habeas Corpus, namun jika keadaan kes tersebut menghendaki ia dikemukakan demi untuk memenuhi beban pembuktian yang dipikul oleh Responden, sebagaimana dalam kes ini, ia perlu dikemukakan untuk penelitian Mahkamah sebagai pemutus fakta muktamad (final adjudicator of facts). [40] Dalam kes Muhammad Jailani Kasim v. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Malaysia & Ors [2006] 4 CLJ 687, Mahkamah Persekutuan mengatakan seperti berikut: [9] … The reports specified in s. 6(1)(a) and (b) of the Act play a very significant role in the making of a detention order against a person and the Minister must consider these reports before making a detention order. They are therefore pre-conditions to the exercise of power under s. 6(1) of the Act and are part of the decision-making process and not the decision itself. Thus, they amount to procedural requirements governing the exercise of discretion by the Minister in making a detention order within the meaning of s. 11C of the Act, and a breach of this requirement is hence subject to judicial review. Therefore, if a report must be considered before making a detention order, it must be one that is in regular form. It follows that the report of the IO that the Minister must consider under s. 6(1)(b)of the Act must be one that has satisfied the requirements of s. 5 of the Act. Since there was no evidence of compliance with s. 5 of the Act in this case, the report under s. 6(1)(b) of the Act could not be said to have been made in accordance with law. Accordingly, the detention order made against the appellant could not be said to be one that had been validly made. [41] Berdasarkan kepada perkara-perkara yang dinyatakan di atas, bagi isu pertama ini, Mahkamah ini mendapati dan memutuskan bahawa Responden telah gagal untuk mengemukakan bukti bahawa rakaman percakapan Pemohon tersebut telah dibuat dengan mematuhi kehendak s. 4 Akta tersebut. Oleh kerana rakaman percakapan tersebut merupakan asas penting kepada satu laporan lengkap yang perlu diberikan oleh pegawai penyiasat polis kepada pegawai inkuiri dan juga Menteri di bawah s. 3(3) Akta tersebut, dan laporan lengkap tersebut kemudiannya akan menjadi asas penting untuk memuaskan hati Menteri bagi mengeluarkan satu perintah tahanan di bawah s. 6(1) Akta tersebut maka ia memberi kesan secara langsung kepada keabsahan perintah tahanan yang telah dikeluarkan oleh Menteri terhadap Pemohon dalam kes ini. Atas dasar ini sahaja perintah tahanan ke atas Pemohon tersebut adalah tidak sah dan perlu dibatalkan. [42] Namun bagi tujuan kesempurnaan pendengaran permohonan ini, isu-isu kedua, ketiga dan keempat yang tertumpu kepada laporan yang tidak lengkap berdasarkan tiada siasatan ke atas adik Pemohon, Mahkamah ini berpendapat bahawa pihak pegawai penyiasat polis dan pegawai inkuiri mempunyai budibicara dan tatacara mereka sendiri berkenaan bagaimana penyiasatan hendak dibuat dan siapa saksi-saksi yang hendak dipanggil dan dirakamkan percakapannya. [43] Maklumat berkenaan penglibatan adik Pemohon yang dikatakan telah direkrut oleh Pemohon untuk menjual dadah boleh sahaja diperolehi daripada sumber-sumber atau saksi-saksi lain yang telah diperiksa oleh pegawai penyiasat dan pegawai inkuiri selain daripada adik Pemohon sendiri. [44] Dalam kes Muhammad Jailani Kasim v. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Malaysia & Ors (supra), diputuskan seperti berikut berkenaan tatacara siasatan oleh pegawai inkuiri: “In carrying out his duty he has a discretion whether or not to call witnesses. And it is not mandatory that he should invoke the powers contained in sub-s (3) of s 5 of the Act.” [45] Jika diteliti kepada afidavit Timbalan Menteri Dalam Negeri dan juga alasan-alasan penahanan yang disertakan bersama perintah penahanan tersebut, ia mengatakan bahawa berdasarkan kedua-dua laporan daripada pegawai penyiasat polis dan pegawai inkuiri, beliau berpuas hati bahawa Pemohon merupakan sebahagian daripada sekumpulan besar orang yang pernah ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan atau melibatkan pengedaran dadah berbahaya: antaranya, i) pil kuda jenis methamphetamine, ii) dadah jenis sama dalam bentuk tiub straw dan paket dengan variasi berat dan harga berbeza, iii) membeli bekalan dadah jenis sama berbentuk peket (berisi 200 biji dengan harga RM600.00 sepeket dari rakan sejenayah dan membuat pembungkusan semula ke dalam bentuk tiub straw dan paket kecil untuk pengedaran, iv) merekrut rakan sejenayah iaitu adik beliau untuk membantu menjual dadah. [46] Jikalau pun benar, tiada keterangan yang mencukupi untuk mengatakan bahawa Pemohon terlibat dalam aktiviti merekrut adiknya sebagai rakan sejenayah untuk membantu menjual dadah apabila adik Pemohon tidak dipanggil dan diperiksa sebagai saksi, 3 aktiviti yang lain sudah memadai untuk menunjukkan Pemohon terlibat dalam sekumpulan besar orang yang pernah ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan atau melibatkan pengedaran dadah berbahaya. Oleh itu semata-mata alasan bahawa kegagalan pegawai penyiasat polis dan/atau pegawai inkuiri untuk memanggil dan mengambil keterangan adik Pemohon dan menentukan adik Pemohon yang manakah yang telah direkrutkan untuk membantu menjual dadah, tidaklah menjadikan report-report tersebut sebagai tidak lengkap. Kesimpulan [47] Oleh itu Mahkamah ini membenarkan permohonan Habeas Corpus Pemohon berdasarkan isu pertama sahaja dan Mahkamah ini memerintahkan Pemohon dikemukakan di Mahkamah ini dan dilepaskan. Keputusan telah diumumkan dalam Mahkamah terbuka pada 22.5.2025. Alasan Penghakiman ini disediakan pada 19.6.2025. ……………………………….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Peguam bagi Pemohon: En. Muhammad Zaem Bin Ab Aziz, Tetuan Fadzli &Co, PT 8646 (A), Bandar Baru Pasir Mas, Lubok Jong, 1700 Pasir Mas, Kelantan. Peguam bagi Responden: Tuan Mohd Zain Bin Ibrahim, Peguam Kanan Persekutuan, Pejabat Penasihat Undang-Undang, Kementerian Dalam Negeri, Aras 5, Setia Perkasa 1, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya,
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.