Content
1 DI MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM PERBICARAAN JENAYAH NO: JA-45A-70,72-11/2021 PENDAKWA RAYA LAWAN MOHAMAD FAEZ BIN MOKTAR ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Tertuduh telah dituduh mengedar dadah jenis Cannabis dengan berat bersih 2450.02 gram dan 338.59 gram Methampethamine dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan memiliki 1.97 gram racun jenis Etizolam dibawah Akta Racun 1952. [2] Pertuduhan-pertuduhan adalah seperti berikut: Pertuduhan Pertama “Bahawa kamu pada 30/12/2020, jam lebih kurang 04.30 hrs, di alamat No 50 (PTD 145178), Jalan Pinggiran 2, Horizon Hills, di dalam Daerah Iskandar Puteri, di dalam Negeri Johor Darul Takzim telah mengedar dadah merbahaya seberat bersih 2450.02 gram iaitu Cannabis. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama.” Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu pada 30/12/2020, jam lebih kurang 04.30 hrs, di alamat No 50 (PTD 145178), Jalan Pinggiran 2, Horizon Hills, di dalam Daerah Iskandar Puteri, di dalam Negeri Johor Darul Takzim telah mengedar dadah merbahaya seberat bersih 338.59 gram iaitu Methamphetamine. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama.” Pertuduhan Ketiga “Bahawa kamu pada 30/12/2020, jam lebih kurang 04.30 hrs, di alamat No 50 (PTD 145178), Jalan Pinggiran 2, Horizon Hills, di dalam Daerah Iskandar Puteri, di dalam Negeri Johor Darul Takzim telah didapati memiliki sejumlah berat bersih 1.97 gram racun jenis Etizolam yang disenaraikan dalam Jadual Pertama dan Jadual Ketiga (Bahan Psikotropik) Akta Racun 1952. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta yang sama.” [3] Di akhir kes pendakwaan, saya memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh telah dilepaskan dan dibebaskan. [4] Pihak pendakwaan kini merayu ke Mahkamah Rayuan maka berikut adalah alasan saya terhadap keputusan tersebut. Kes Pendakwaan [5] Bertindak atas maklumat siasatan kes rampasan dadah yang dilakukan terhadap seorang lelaki Cina (Pang Ching Yong) yang ditangkap di Pusat Kuarantin Hotel Ramada, Iskandar Puteri pada 29.12.2020, pengadu iaitu Inspektor Mohamad Ridzuan bin Abd Hadi (SP3) telah pada keesokkannya, 30.12.2020, jam lebih kurang 1.00 tengahari bersama-sama sepasukan anggota polis dari IPD Iskandar Puteri membuat serbuan di bilik No 53109, Hotel Ramada. [6] Dalam serbuan tersebut, SP3 telah menangkap Mohamad Faez bin Moktar (tertuduh) bersama seorang perempuan Melayu bernama Siti Nur Syahidah binti Mat Rozi yang berada di dalam bilik tersebut. Tiada rampasan dadah dibuat dari dalam bilik Hotel tersebut. [7] Walau bagaimanapun setelah pemeriksaan tubuh badan dijalankan ke atas tertuduh, SP3 menjumpai kunci kepada sebuah rumah di alamat lain. Kunci tidak dikemukakan tetapi dirujuk melalui gambar dan ditandakan sebagai ID 19. SP3 turut merampas wang tunai berjumlah RM1470 dari tertuduh. [8] Soal siasat lanjutan dibuat dan hasil maklumat yang diperoleh dari tertuduh dan dipandu arah olehnya, SP3 telah dibawa ke satu Apartment (Apartment Almas), Puteri Harbour di Iskandar Puteri. Namun tiada barang salah ditemui. Tertuduh seterusnya memandu arah SP3 dan anggota serbuan ke satu lagi alamat rumah di Horizon Hills. [9] Mereka sampai di lokasi, No. 50 (PTD 145178), Jalan Pinggiran 2, Horizon Hills (rumah Horizon Hills), pada jam 4.30 pagi dan menggunakan kunci (ID19) yang dijumpai dari tertuduh, SP3 berjaya membuka pintu rumah tersebut. [10] Rumah tersebut jenis dua (2) tingkat dan mempunyai tiga (3) bilik. Pemeriksaan dibuat dan SP3 menjumpai di ruangan sebelah dapur, di atas meja: - a. Satu (1) kotak bewarna biru/putih bertulisan Miss The Rain yang mengandungi – i. Enam (6) balutan plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja. ii. Satu (1) papan pemotong warna putih. iii. Satu (1) pisau warna hitam/oren. iv. Satu (1) penimbang digital warna silver. b. Empat (4) balutan plastik wrapping lutsinar. [11] Juga dijumpai di dalam bilik sebelah kiri bahagian atas rumah, atas meja kecil: - a. Satu (1) bekas plastik lutsinar bertutup warna ungu berisi tumbuhan kering disyakki dadah jenis ganja. b. Satu (1) kerajang aluminium merah/silver berisi sepuluh (10) biji pil disyaki pil Erimin 5. c. Empat (4) peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu. d. Empat (4) bungkusan peket plastik kecil lutsinar disyaki digunakan untuk membungkus dadah. [12] Turut dijumpai di bahagian bawah laci katil dalam bilik yang sama satu (1) bungkusan plastik warna kuning bertulisan Guanyinwang yang di dalamnya terdapat satu (1) bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu. [13] Barang peribadi yang dirampas adalah paspot antarabangsa milik tertuduh yang dijumpai atas lantai bilik berhampiran meja kecil (bilik yang sama dijumpai dadah dirampas). [14] Barang kes dadah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia oleh pegawai penyiasat, Inspektor Muhamad Alif Lokman Hakim (SP5) dan telah dianalisa oleh ahli kimia, Puan Nor Hidayah bt Idris (SP4) yang kemudian mengesahkan bahawa dadah yang dirampas adalah jenis Cannabis seberat 2450.07 gram, Methamphetamine seberat 338.59 gram dan racun Etizolam seberat 1.97 gam. Laporan Kimia disediakan dan dikemukakan sebagai P25. Kes Prima Facie [15] Di akhir kes pendakwaan, satu kes prima facie sebagaimana diperuntukkan dalam s.180(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan dari keterangan bukti yang boleh dipercayai dan kredibel yang mana jika tidak disangkal akan membolehkan sabitan dibuat (rujuk s.180 (4) dan kes Abdullah Atan lwn PP (2020) 9 CLJ 151). [16] Ungkapan "mengemukakan keterangan kukuh yang membuktikan setiap satu faktor kesalahan” dalam s. 180(4) bermaksud bahawa pihak pendakwaan perlu membuktikan setiap elemen kesalahan sama ada dengan mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai, membuat inferen terhadap fakta atau mengguna pakai anggapan undang-undang (lihat kes Abdullah Atan di muka surat 166). [17] Kes prima facie ialah kes yang mencukupi untuk tertuduh dipanggil untuk menjawab pertuduhan keatasnya dan keterangan yang dikemukakan mencukupi melainkan ia disangkal atau diakas melalui keterangan lain (lihat kes Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 85). Dalam kes Ong Cheng Heong lwn PP (1998) 4 CLJ 209, pandangan Vincent Ng, J telah dirujuk dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Abdullah Atan mengenai apa yang terjumlah sebagai satu kes prima facie seperti berikut: “..prima facie evidence is evidence which is sufficient to establish a fact in the absence of any evidence to the contrary but is not conclusive. I would follow that there should be credible evidence on each and every ingredient of the offence. Credible evidence is evidence which has been filtered and which has gone through the process of evaluation. Any evidence which is not safe to be acted upon should be rejected.” [18] Begitu juga sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Looi Kow Chai v. Public Prosecutor [2003] 2 MLJ 65, yang mengatakan seperti berikut: “It therefore follows that there is only one exercise that a judge sitting alone under s. 180 of the CPC has to undertake at the close of the prosecution case. He must subject the prosecution evidence to maximum evaluation and to ask himself the question: if I decide to call upon the accused to enter his defence and he elects to remain silent, am I prepared to convict him on the totality of the evidence contained in the prosecution case? If the answer is in the negative, then no prima facie case has been made out, and the accused would be entitled to an acquittal.” [19] Maka, dalam menentukan pembuktian kes prima facie, satu penilaian secara maksima perlu dibuat terhadap keseluruhan keterangan bukti yang dikemukakan termasuk menilai kredibiliti saksi-saksi dan melihat inferen yang boleh dibuat dari keterangan bukti kes pendakwaan untuk membuktikan setiap elemen kesalahan (rujuk kes PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457). [20] Keterangan bukti yang perlu dikemukakan untuk kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB adalah bahawa dadah yang dirampas adalah dadah berbahaya seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB dan Akta Racun 1952 (bagi kesalahan memiliki Etizolam) dan ia adalah dalam pemilikan tertuduh apabila dibuktikan dadah adalah di bawah jagaan, kawalan dan pengetahuannya dan seterusnya, tertuduh mengedar dadah tersebut. Pengedaran boleh dibuktikan dengan keterangan langsung berdasarkan tafsiran pengedaran di bawah seksyen 2 Akta atau anggapan di bawah seksyen 37 (da) ADB. Analisa Keterangan Bukti [21] Di akhir kes pendakwaan, hujahan telah dikemukakan seperti berikut oleh pihak pendakwaan: