Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI PARIT BUNTAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN PERBICARAAN JENAYAH NO: AJ-83D-420-05/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA
AJ-83D-420-05/2025
Magistrates Court of Malaysia19 Jun 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“rea menuntut pembuktian bahawa OKT mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan barang kes tersebut. [24] Maksud milikan telah di nyatakan dengan jelas merujuk kes Chan Pean Leon v. PP [1956] 1 LNS 17; [1956] MLJ 237 seperti berikut: “possession” for the purposes of criminal law involves possession itself— which some autho”
“4. After the defence is called, the accused elects to give evidence, then go through the steps set out in Mat v. PP [1963] CLJU 82; [1963] 1 LNS 82; [1963] 263. [penekanan ditambah] [59] Berdasarkan penilaian maksimum keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah ini memutuskan bahawa adalah tidak selamat untuk meme”
“ahaya 1952 **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 7 [11] Mahkamah ini merujuk kes Gunalan a/l Ramachandran & Ors. v. PP [2004] 4 CLJ 551; [2004] CLJU 318; [2004] 1 LNS 318; [2004] 4 MLJ 489, di mana Mahkamah Rayuan telah menyatakan dalam kes ini bahawa tempoh p”
“rakaman percakapan OKT (D25) merupakan suatu pendedahan awal yang mencukupi untuk mewujudkan suatu Notis Alcontara. [38] Prinsip undang-undang yang diputuskan dalam kes Phiri Mailesi (Zambian) v. PP [2013] CLJU 391; [2013] 1 LNS 391; [2013] MLRAU 17 dan Teo Kian Chun v. PP & Other Appeals [2020] 10 CLJ 398 adalah jelas”
“kan suatu pendedahan awal yang mencukupi untuk mewujudkan suatu Notis Alcontara. [38] Prinsip undang-undang yang diputuskan dalam kes Phiri Mailesi (Zambian) v. PP [2013] CLJU 391; [2013] 1 LNS 391; [2013] MLRAU 17 dan Teo Kian Chun v. PP & Other Appeals [2020] 10 CLJ 398 adalah jelas bahawa apabila suatu Notis Alconta”
“tanggungjawab untuk menyiasat secara adil semua fakta yang berpotensi menyokong atau menafikan kebersalahan seseorang tertuduh sebagaimana ditegaskan dalam kes Ghasem Gharezadehsharbiani Hassan v. PP [2014] CLJU 752; [2014] 5 MLJ 433, Rahmani Ali Mohamad v. PP [2014] 7 CLJ 405 dan Mohd Helmi Akmal Mohd Ali v. PP [2017]”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI PARIT BUNTAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN PERBICARAAN JENAYAH NO: AJ-83D-420-05/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
Mahkamah ini menegaskan bahawa kes ini pada peringkat awalnya telah didengar oleh Majistret terdahulu sebelum disambung di hadapan Mahkamah ini.
2
Dalam kes ini juga terdapat permohonan dibawah seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”) [Akta 593] pada 28/5/2025 untuk menghidupkan semula keterangan saksi-saksi bagi kes no: AJ- 83D-124-03/2023 sebelum ini.
3
Sehubungan itu, Mahkamah ini telah meneliti secara menyeluruh keseluruhan rakaman perbicaraan, minit prosiding terdahulu serta semua eksibit yang telah dikemukakan.
4
Setelah penelitian rapi dibuat, Mahkamah ini berpuas hati bahawa kesinambungan pendengaran kes ini adalah terpelihara dan Mahkamah ini meneruskan prosiding seolah-olah kes ini didengar sepenuhnya dari awal di hadapan Mahkamah ini sendiri.
5
Dalam kes ini, OKT telah dipertuduhkan seperti berikut: Pertuduhan Pindaan ‘‘Bahawa kamu pada 8.2.2023 jam lebih kurang 3.00 petang bertempat di sebelah pondok di tepi jalan Kampung Parit Haji Amin, 34350 Kuala Kurau, di dalam daerah Kerian, dalam negeri Perak, telah ada dalam milikan kamu dadah berbahaya iaitu jenis Methamphetamine seberat 10.38 gram. Oleh itu, kamu telah kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta yang sama.”
6
Seramai 4 orang saksi telah dipanggil oleh pendakwaan dan secara ringkasnya keterangan yang dikemukakan adalah seperti berikut; a) bertindak atas hasil maklumat, pada 8/2/2023 jam lebih kurang 3.00 petang, Insp G/24321 Mohd Najib Bin Mohd Hanafi (SP2) bersama sepasukan anggota polis narkotik telah menjalankan serbuan di sebuah pondok di tepi Jalan Kampung Parit Haji Amin, Kuala Kurau, Perak; b) hasil pemerhatian awal mendapati OKT berada seorang diri dalam keadaan mencurigakan di dalam pondok tersebut. Apabila SP2 memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, OKT cuba melarikan diri namun berjaya ditahan tidak jauh dari tempat kejadian; c) pemeriksaan badan yang dijalankan ke atas OKT telah menemukan sebuah beg berzip warna hitam berjenama CARENNO (P10) yang dipegang oleh OKT. Pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut telah menjumpai 18 paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah Methamphetamine iaitu (P4(A-R)); 4 d) SP2 telah merampas barang kes tersebut dan menyediakan Borang Bongkar (P12) yang turut ditandatangani oleh OKT sebelum satu salinan diserahkan kepadanya; e) OKT bersama barang kes kemudiannya dibawa ke IPD Kerian untuk tindakan lanjut. Di hadapan OKT dan saksi polis, SP2 telah menimbang barang kes dan mendapati berat kasar keseluruhan bahan tersebut adalah 20.24 gram. SP2 turut membuat tandaan pada barang kes dan menyediakan laporan polis Kuala Kurau 199/2023 (P13); f) pada hari yang sama, SP2 telah menyerahkan OKT serta barang kes kepada Pegawai Penyiasat, Insp G/23621 Nurul Shafinaz Binti Halim (SP4). Penyerahan tersebut direkodkan melalui Borang Akuan Penyerahan Barang Kes (P14); g) SP4 telah membuat timbangan semula dan mengesahkan berat kasar barang kes adalah 20.24 gram sebelum menyimpan barang kes di dalam lokar besi berkunci di pejabatnya; h) pada 20/2/2023, SP4 telah menghantar barang kes yang dimeteraikan ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bersama Borang Polis 31 (P21). Barang kes tersebut diterima oleh Ahli Kimia, Puan Masnura Binti Mukhtar (SP1), dalam keadaan meterai sempurna dan tidak terusik; 5 i) hasil analisa kimia melalui Laporan Kimia bernombor 23- FR-A-01119 (P6) mendapati bahan yang dirampas mengandungi Methamphetamine dengan berat bersih sebanyak 10.38 gram, iaitu sejenis dadah berbahaya di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952; j) setelah selesai analisa, barang kes telah dimeteraikan semula oleh SP1 dan diserahkan kembali kepada SP4 sebelum didaftarkan semula di Stor Barang Kes Balai Polis Parit Buntar mengikut prosedur yang ditetapkan; dan k) OKT kemudiannya telah dituduh di Mahkamah kesalahan pertuduhan pindaan di bawah seksyen 12(2) [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) [Akta 234] Akta yang sama.
7
Tugas utama Mahkamah di akhir kes pendakwaan telah diperuntukkan dalam seksyen 173(f)(i) dan seksyen 173(h)(iii) KTJ
8
Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan adalah sepertimana yang telah dinyatakan di bawah seksyen 180 KTJ. Pada peringkat ini, Mahkamah ini haruslah menentukan sama ada pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap bagi pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas OKT melalui keterangan yang boleh dipercayai (credible evidence).
9
Mahkamah ini berpandukan kepada dua kes utama berkaitan prima facie iaitu kes Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 dan kes PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457. Mahkamah dengan ini merumuskan bahawa di akhir kes pendakwaan hendaklah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan termasuk menilai kredibiliti keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan. Mahkamah ini sedar jika terdapat lebih dari satu inferens yang boleh dibuat, maka Mahkamah ini perlu memberi kelebihan kepada inferens yang memihak kepada OKT.
10
Antara elemen-elemen yang perlu dibukitkan bagi kesalahan dibawah seksyen 12(2) [Akta 234] adalah seperti berikut:
a
dadah yang merupakan hal perkara pertuduhan adalah dadah berbahaya sebagaimana yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952; dan
b
dadah berbahaya tersebut berada dalam milikan OKT. Analisa dan dapatan Mahkamah di akhir kes pendakwaan Sama ada dadah yang merupakan hal perkara pertuduhan adalah dadah berbahaya sebagaimana yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 [11] Mahkamah ini merujuk kes Gunalan a/l Ramachandran & Ors. v. PP [2004] 4 CLJ 551; [2004] CLJU 318; [2004] 1 LNS 318; [2004] 4 MLJ 489, di mana Mahkamah Rayuan telah menyatakan dalam kes ini bahawa tempoh penting dalam rantaian keterangan barang kes dadah adalah dari masa ia dirampas sehingga ia dianalisa oleh ahli kimia. [12] Mahkamah ini juga merujuk kes PP v. Chia Leong Foo [2004] 4 CLJ 649, di mana Mahkamah Tinggi telah menyatakan menyatakan bahawa Mahkamah berhak untuk menerima keterangan ahli kimia tanpa perlu ahli kimia tersebut untuk menerangkan secara terperinci apa yang dilakukannya di makmal langkah demi langkah melainkan jika ia sememangnya luar biasa atau pihak pembelaan mengemukakan keterangan pakar lain yang dapat menyanggah keterangannya dan sekiranya OKT tidak berpuas hati dengan dapatan yang diperoleh ahli kimia tersebut, OKT perlu memanggil ahli kimia itu sebagai saksi bagi maksud mengemukakan keterangan untuk menyangkal dapatan ahli kimia tersebut. [13] Berbalik semula dalam kes ini, Mahkamah ini mendapati tidak dipertikaikan bahawa bahan yang dirampas dalam kes ini adalah dadah jenis Methamphetamine seberat 10.38 gram sebagaimana disahkan melalui Laporan Kimia (P6). Dadah tersebut merupakan dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234]. [14] Keterangan SP2 menunjukkan bahawa rampasan barang kes dadah telah dibuat pada 8/2/2023 jam lebih kurang 3.00 petang di tempat kejadian sebelum barang kes tersebut diserahkan kepada Pegawai Penyiasat, SP4, pada hari yang sama. Penyerahan tersebut kemudiannya direkodkan secara rasmi melalui Borang Akuan Penyerahan Barang Kes (P14) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak. [15] Mahkamah ini mendapati setiap pergerakan barang kes telah direkodkan dengan teratur dan mematuhi prosedur pengendalian barang kes. Setelah menerima barang kes, SP4 telah membuat timbangan semula dan mengesahkan berat kasar kekal sebanyak 20.24 gram sebelum membuat tandaan pengenalan pada (P10) dan (P4(A-R)). Barang kes tersebut kemudiannya disimpan di dalam lokar besi berkunci yang hanya boleh diakses oleh SP4. [16] Keterangan SP4 selanjutnya menunjukkan bahawa barang kes telah diambil gambar, didaftarkan di Stor Barang Kes Balai Polis Parit Buntar melalui Buku Pendaftaran Barang Kes (P22) dan Borang Serah Menyerah ke Stor (P23(A)), sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisa bersama Borang Polis 31 (P21). [17] SP1 selaku Ahli Kimia mengesahkan bahawa sampul surat bertanda “NSH” yang diterima berada dalam keadaan baik, sempurna dan tidak terusik. Barang kes tersebut kemudiannya disimpan di tempat berkunci yang hanya boleh diakses oleh SP1 sepanjang proses analisa dijalankan. [18] Hasil analisa SP1 melalui Laporan Kimia (P6) mengesahkan bahawa bahan dalam (P4(A-R)) mengandungi Methamphetamine dengan berat bersih sebanyak 10.38 gram. Setelah selesai dianalisa, barang kes tersebut dimeteraikan semula sebelum diserahkan kembali kepada SP4 dan didaftarkan semula ke stor barang kes mengikut prosedur yang ditetapkan. [19] Setelah meneliti keseluruhan keterangan SP1, SP2 dan SP4, Mahkamah ini mendapati pengecaman terhadap barang kes adalah jelas, konsisten dan tidak menimbulkan sebarang keraguan. Setiap saksi berjaya mengecam tandaan masing-masing pada barang kes dan tiada sebarang bukti menunjukkan berlaku gangguan, pencemaran atau pertukaran terhadap barang kes tersebut. [20] Mahkamah ini juga berpuas hati bahawa rantaian kawalan dan pengendalian barang kes telah dibuktikan secara menyeluruh dan tidak terputus dari saat rampasan dibuat sehinggalah barang kes dikemukakan di Mahkamah. Oleh itu, Mahkamah menerima bahawa barang kes dadah yang dianalisa oleh SP1 dan dikemukakan di Mahkamah adalah barang kes yang sama yang dirampas daripada OKT. [21] Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen pertama pertuduhan melampaui keraguan munasabah. Sama ada dadah tersebut berada dalam milikan OKT [22] Mahkamah ini menegaskan bahawa untuk membuktikan kesalahan milikan dadah, pendakwaan hendaklah membuktikan kedua-dua elemen iaitu actus reus dan mens rea. [23] Actus reus menuntut pembuktian bahawa OKT mempunyai jagaan atau kawalan penuh ke atas barang kes, manakala mens rea menuntut pembuktian bahawa OKT mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan barang kes tersebut. [24] Maksud milikan telah di nyatakan dengan jelas merujuk kes Chan Pean Leon v. PP [1956] 1 LNS 17; [1956] MLJ 237 seperti berikut: “possession” for the purposes of criminal law involves possession itself— which some authorities term “custody’ or control” — and knowledge of the nature of the thing possessed. As to possession itself he cited the following definition in Stephen’s Digest (9th Ed), at p 304), in which the exclusive element mentioned by Taylor J appears: A moveable thing is said to be in the possession of a person when he is so situated with respect to it that he has the power to deal with it as owner to the exclusion of all other persons, and when the circumstances are such that he may be presumed to intend to do so in case of need. Once the elements needed to constitute possession are established, including the element of exclusive power to deal, then what is established is possession, not exclusive possession. So much for exclusive possession”. [Penekanan ditambah] [25] Mahkamah ini menegaskan bahawa kewujudan elemen “pemilikan” adalah bergantung sepenuhnya kepada fakta khusus setiap kes. Oleh itu, penentuan mengenai “pemilikan” tidak boleh disamaratakan, kerana sesuatu kes boleh membuktikan kewujudannya manakala kes yang lain gagal berbuat demikian, bergantung kepada perbezaan fakta yang dikemukakan. [26] Adalah menjadi suatu prinsip undang-undang yang mantap bahawa bagi membuktikan seseorang itu mempunyai milikan, pendakwaan perlulah membuktikan melalui keterangan bahawa seseorang itu mempunyai kawalan atau jagaan atas sesuatu barang kes dan bebas berurusan atau mengendalikan barang tersebut sepenuhnya tanpa penglibatan orang Iain (power of disposal to the exclusion of others). Seseorang itu juga perlu mempunyai pengetahuan atas sesuatu barang tersebut. [27] Mahkamah ini juga merujuk kes Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113 iaitu suatu keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah menetapkan prinsip undang-undang yang berikut berhubung dengan kawalan atau jagaan seperti berikut; “The law is well settled that having only custody or control over the said drugs is insufficient to establish ‘possession’. The physical act or custody must be accompanied with evidence that the accused had knowledge of the said drugs. In the absence of any statutory presumption, knowledge has to be proved either by direct evidence or circumstantial evidence. Mere knowledge alone without exclusivity of either physical custody or control or both is insufficient in law to constitute possession, let alone trafficking.” [Penekanan ditambah] [28] Selain itu, adalah menjadi suatu prinsip yang mantap bahawa pendakwaan bertanggungjawab untuk menutup sebarang kemungkinan bahawa dadah tersebut boleh diakses oleh orang lain. [29] Dalam kes Husin Sitrus v. PP [2012] 7 CLJ 205, telah menjelaskan akan keperluan pendakwaan untuk mengecualikan orang Iain daripada dadah yang menjadi persoalan seperti berikut: [15] There is a welter of authoritative precedents which have held that for possession to be established, accessibility by others to the place where the drugs are found should be excluded by evidence by the prosecution (PP v. Kang Ho Soh [1991] 3 CLJ 2914; [1991] 3 CLJ (Rep) 557 HC. PP v. Tang Chew Weng [1969] 1 LNS 141 HC). The onus is not on the defence to prove possibility of access by others but on the prosecution to exclude such possibility and the issue must be answered in favour of the appellant if there were more than one way in which the evidence adduced by the prosecution might be viewed such as in the present case, implicating the appellant or the other persons who were present in the boat. (Abdullah Zawawi Yusoff v. PP [1993] 4 CLJ 1 SC). In other words exclusivity of custody and control of the drugs ought to be established by the prosecution. [17] In 3 (three) celebrated cases of Abdullah Zawawi bin Yusof v. PP [1993] 4 CLJ 1, Choo Yoke Choy v. Public Prosecutor [1992] 4 CLJ 1791: [1992] 1 CLJ (Rep) 43, SC and Public Prosecutor v. Muhamad Nasir bin Shaharuddin & Anor [1992] 1 LNS 8, the court emphasized that the exclusivity of custody and control of the drugs by the accused must be established by the prosecution. Therefore, for possession to be established, accessibility by others to the place where the drugs are found must be excluded. [Penekanan ditambah] [30] Selanjutnya dalam sesuatu kes yang melibatkan suatu serbuan yang berdasarkan maklumat yang diberikan sepertimana dalam kes ini, Mahkamah ini perlu berhati-hati kerana terdapat kemungkinan dadah tersebut diletakkan oleh orang lain sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113 dan Abdullah Zawawi bin Yusoff v. PP [1993] 4 CLJ 1. [31] Persoalannya adakah pendakwaan berjaya membuktikan bahawa OKT mempunyai pengetahuan, jagaan atau kawalan sehingga menyingkirkan kemungkinan akses oleh pihak lain? a) Kewujudan dua naratif material dan kegagalan siasatan terhadap Notis Alcontara [32] Dalam kes ini, asas utama kes pendakwaan ialah dakwaan bahawa barang kes dadah ditemui di dalam sebuah beg berzip warna hitam berjenama CARENNO yang dipegang pada tangan kanan OKT semasa serbuan dijalankan. Pendakwaan seterusnya bergantung kepada faktor milikan fizikal tersebut serta perlakuan OKT yang didakwa cuba melarikan diri bagi mengaitkan OKT dengan pertuduhan. [33] Namun demikian, Mahkamah ini mendapati bahawa sejak awal lagi OKT telah secara konsisten mempertikaikan naratif tersebut melalui laporan polis (D15) dan rakaman percakapan OKT (D25). Naratif yang dikemukakan oleh OKT ialah dadah tersebut bukan ditemui pada dirinya, sebaliknya dijumpai di bawah tempat duduk motosikal jenis Yamaha Ego bernombor pendaftaran TCP 6509 yang digunakannya pada hari kejadian. [34] Mahkamah ini berpendapat bahawa persoalan sama ada dadah dijumpai pada tangan kanan OKT atau di bawah tempat duduk motosikal jenis Yamaha Ego bernombor pendaftaran TCP 6509 bukanlah isu sampingan. Sebaliknya, ia merupakan isu material yang menyentuh secara langsung elemen jagaan, kawalan dan pengetahuan, iaitu elemen-elemen asas yang wajib dibuktikan oleh pendakwaan. [35] Kewujudan dua naratif yang bercanggah ini turut diakui sendiri oleh SP4 semasa pemeriksaan balas. Justeru, Mahkamah ini mendapati bahawa naratif pembelaan bukanlah suatu penafian kosong atau fikiran terkemudian yang dibangkitkan buat pertama kali semasa perbicaraan. [36] Pendakwaan berhujah bahawa laporan polis OKT (D15) merupakan suatu fikiran terkemudian kerana dibuat beberapa bulan selepas tangkapan. Mahkamah ini tidak bersetuju dengan hujahan tersebut. [37] Keterangan menunjukkan bahawa OKT hanya diwakili peguam pada 13/6/2023 dan dokumen-dokumen berkaitan kes hanya dibekalkan kepada pihak pembelaan pada tarikh tersebut. Laporan polis OKT (D15) kemudiannya dibuat pada 28/8/2023, iaitu sebelum perbicaraan bermula. Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat bahawa laporan polis (D15) dan rakaman percakapan OKT (D25) merupakan suatu pendedahan awal yang mencukupi untuk mewujudkan suatu Notis Alcontara. [38] Prinsip undang-undang yang diputuskan dalam kes Phiri Mailesi (Zambian) v. PP [2013] CLJU 391; [2013] 1 LNS 391; [2013] MLRAU 17 dan Teo Kian Chun v. PP & Other Appeals [2020] 10 CLJ 398 adalah jelas bahawa apabila suatu Notis Alcontara yang mempunyai butiran mencukupi telah diberikan, beban beralih kepada pihak pendakwaan untuk menjalankan siasatan yang bermakna bagi mengesahkan atau menafikan versi yang dikemukakan oleh tertuduh. [39] Dalam kes ini, SP4 mengakui bahawa beliau mengetahui naratif yang dibangkitkan oleh OKT melalui laporan polis (D15) dan rakaman percakapan OKT (D25). Namun demikian, tiada siasatan lanjut dijalankan untuk mengesahkan pemilikan motosikal jenis Yamaha Ego bernombor pendaftaran TCP 6509 tersebut, mengenal pasti individu-individu yang dinamakan oleh OKT, ataupun menyiasat kemungkinan akses pihak lain terhadap motosikal berkenaan. [40] Lebih penting, SP4 turut mengakui bahawa beliau tidak pernah mendapatkan maklumat lanjut daripada OKT berhubung individu-individu yang dinamakan dalam rakaman percakapan OKT (D25). Dalam keadaan sedemikian, kegagalan memperoleh maklumat tambahan tidak boleh dipindahkan sebagai beban kepada OKT. [41] Mahkamah ini menegaskan bahawa tugas pegawai penyiasat bukan sekadar mencari keterangan yang menyokong pertuduhan. Sebaliknya, pegawai penyiasat mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat secara adil semua fakta yang berpotensi menyokong atau menafikan kebersalahan seseorang tertuduh sebagaimana ditegaskan dalam kes Ghasem Gharezadehsharbiani Hassan v. PP [2014] CLJU 752; [2014] 5 MLJ 433, Rahmani Ali Mohamad v. PP [2014] 7 CLJ 405 dan Mohd Helmi Akmal Mohd Ali v. PP [2017] 7 CLJ 666. [42] Mahkamah ini mendapati bahawa SP4 telah gagal menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap naratif yang dibangkitkan oleh OKT. Kegagalan tersebut telah mewujudkan satu kelompangan material dalam kes pendakwaan yang menyentuh secara langsung isu jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah yang dirampas. b) Kegagalan SP4 menyiasat pemilik bengkel dan kegagalan pendakwaan memanggil saksi material [43] Mahkamah mendapati bahawa melalui rakaman percakapan OKT (D25), OKT turut memaklumkan bahawa motosikal jenis Yamaha Ego bernombor pendaftaran TCP 6509 tersebut pernah digunakan oleh pemilik bengkel sebelum kejadian. Pembelaan seterusnya menjelaskan bahawa individu yang dimaksudkan ialah Zainudin Bin Abdullah atau nama panggilan Bob Bob, iaitu anak kepada Puan Hamidah Binti Othman. [44] Setelah fakta tersebut dibangkitkan, adalah menjadi tanggungjawab SP4 untuk menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan identiti sebenar pemilik bengkel serta menyiasat sama ada individu tersebut pernah menggunakan motosikal berkenaan dan mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang didakwa dijumpai di bawah tempat duduk motosikal tersebut. [45] Walaupun SP4 ada mengambil keterangan daripada Puan Hamidah Binti Othman, siasatan tersebut hanya tertumpu kepada sama ada beliau melihat kejadian tangkapan atau tidak. Tiada keterangan menunjukkan bahawa SP4 menyiasat isu sebenar yang dibangkitkan oleh pembelaan, iaitu siapa pemilik sebenar bengkel tersebut dan sama ada mana-mana pihak pernah menggunakan motosikal jenis Yamaha Ego bernombor pendaftaran TCP 6509 yang terlibat sebelum kejadian. [46] Mahkamah mendapati kegagalan ini bukanlah suatu kecacatan teknikal yang kecil. Sebaliknya, ia melibatkan suatu aspek material yang berpotensi memberi penjelasan terhadap kewujudan dadah yang dikatakan ditemui di bawah tempat duduk motosikal jenis Yamaha Ego bernombor pendaftaran TCP 6509 tersebut. [47] Lebih membimbangkan, pendakwaan memilih untuk tidak memanggil Puan Hamidah Binti Othman sebagai saksi walaupun beliau merupakan saksi material yang berupaya menjelaskan isu-isu penting yang masih tidak terjawab. Sebaliknya, beliau hanya ditawarkan kepada pihak pembelaan. [48] Walaupun pendakwaan mempunyai budi bicara dalam pemilihan saksi, prinsip yang diputuskan dalam kes Low Kian Boon & Anor v. PP [2010] 5 CLJ 489 adalah jelas bahawa hak menawarkan saksi kepada pembelaan tidak boleh digunakan bagi menampung kegagalan pendakwaan membuktikan suatu kes prima facie. [49] Dalam keadaan fakta kes ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa keterangan Puan Hamidah Binti Othman adalah material kerana ia berpotensi menjelaskan identiti sebenar pemilik bengkel, penggunaan motosikal oleh pihak lain sebelum kejadian serta kemungkinan akses pihak lain terhadap motosikal jenis Yamaha Ego bernombor pendaftaran TCP 6509 tersebut. [50] Oleh yang demikian, Mahkamah ini berpendapat bahawa kegagalan memanggil saksi material tersebut, digabungkan dengan kegagalan siasatan terhadap individu-individu yang dinamakan oleh OKT, mewajarkan Mahkamah mempertimbangkan inferens bertentangan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap kes pendakwaan.
c
Dapatan Mahkamah di akhir kes pendakwaan [51] Setelah menilai keseluruhan keterangan secara maksimum di akhir kes pendakwaan, Mahkamah mendapati bahawa terdapat dua naratif yang bercanggah mengenai tempat sebenar dadah dijumpai. Naratif pembelaan pula bukanlah suatu penafian kosong atau fikiran terkemudian kerana ia telah dibangkitkan sebelum perbicaraan bermula melalui laporan polis (D15) dan rakaman percakapan OKT (D25). [52] Kewujudan motosikal jenis Yamaha Ego bernombor pendaftaran TCP 6509 di tempat kejadian turut diakui oleh SP2, SP3 dan SP4. Oleh itu, naratif pembelaan bahawa dadah dijumpai di bawah tempat duduk motosikal bukanlah suatu perkara yang mustahil sehingga boleh diketepikan tanpa siasatan yang sewajarnya. [53] Mahkamah ini tidak boleh mengisi kelompangan keterangan atau membuat andaian bagi menyempurnakan kes pendakwaan. Beban pembuktian sentiasa terletak pada pendakwaan dan tidak pernah beralih kepada OKT. [54] Kegagalan menyiasat Notis Alcontara yang dibangkitkan oleh OKT, kegagalan menyiasat individu-individu yang dinamakan dalam rakaman percakapan OKT (D25) serta kegagalan memanggil saksi material Puan Hamidah Binti Othman telah mewujudkan keraguan munasabah yang tidak berjaya disingkirkan oleh pihak pendakwaan. [55] Keraguan tersebut menyentuh secara langsung elemen jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap barang kes dadah, iaitu elemen-elemen asas yang wajib dibuktikan bagi mensabitkan pertuduhan. [56] Mahkamah ini melalui keterangan yang dikemukakan merumuskan bahawa pendakwaan dalam kes ini telah gagal untuk membuktikan bahawa OKT; a) mempunyai kebebasan untuk berurusan atau mengendalikan barang tersebut sepenuhnya tanpa penglibatan orang Iain (power of disposal to the exclusion of others); dan b) mempunyai pengetahuan atas sesuatu barang tersebut. [57] Oleh yang demikian, mahkamah ini memutuskan bahawa intipati kedua iaitu dadah tersebut berada dalam milikan, kawalan atau jagaan OKT telah gagal untuk dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Kesimpulan [58] Mahkamah ini berpegang pada prinsip yang digariskan dalam kes PP v. Joachim Selvanathan & 2 lagi (2009) 10 CLJ 488 yang memutuskan seperti berikut: [24] In short this court should take the following steps at the close of the prosecution's case:
1
Subject the prosecution evidence in its totality to maximum evaluation. Carefully scrutinise the credibility of each of the prosecution's witnesses. Take into account all reasonable inferences that may be drawn from that evidence. If the evidence admits of two or more inferences, then draw the inference that is most favourable to the accused;
2
Ask yourself the question: If I now call upon the accused to make his defence and he elects to remain silent am I prepared to convict him on the evidence before me? If the answer to that question is "Yes", then a prima facie case has been made out and the defence should be called. If the answer is "No" then, a prima facie case has not been made out and the accused should be acquitted;
3
After the defence is called, the accused elects to remain silent, then convict;
4
After the defence is called, the accused elects to give evidence, then go through the steps set out in Mat v. PP [1963] CLJU 82; [1963] 1 LNS 82; [1963] 263. [penekanan ditambah] [59] Berdasarkan penilaian maksimum keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah ini memutuskan bahawa adalah tidak selamat untuk memerintahkan OKT membela diri atas alasan yang jelas iaitu pihak pendakwaan telah gagal membuktikan keterangan prima facie bagi pertuduhan yang dikenakan ke atas OKT. [60] OKT adalah dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pindaan di akhir kes pendakwaan. Bertarikh: 19hb Jun 2026 (SALWA ASMARY BINTI ABDUL RAHIM) Majistret Mahkamah Majistret Parit Buntar, Perak Darul Ridzuan. Tarikh Keputusan: 19hb Jun 2026 KAUNSEL: Bagi pihak pendakwaan-TPR Amirah Nabihan Binti Shahrir Bagi pihak Orang Kena Tuduh-Norfasihah Binti Mohamad Azmi KES-KES YANG DIRUJUK: Abdullah Zawawi bin Yusoff v. PP [1993] 4 CLJ 1; Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85; Chan Pean Leon v. PP [1956] 1 LNS 17; [1956] MLJ 237; Ghasem Gharezadehsharbiani Hassan v. PP [2014] CLJU 752; [2014] 5 MLJ 433; Gunalan a/l Ramachandran & Ors. v. PP [2004] 4 CLJ 551; [2004] CLJU 318; [2004] 1 LNS 318; [2004] 4 MLJ 489; Husin Sitrus v. PP [2012] 7 CLJ 205; Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113; Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113; Low Kian Boon & Anor v. PP [2010] 5 CLJ 489; Mohd Helmi Akmal Mohd Ali v. PP [2017] 7 CLJ 666; Phiri Mailesi (Zambian) v. PP [2013] CLJU 391; [2013] 1 LNS 391; [2013] MLRAU 17; PP v. Chia Leong Foo [2004] 4 CLJ 649; PP v. Joachim Selvanathan & 2 lagi (2009) 10 CLJ 488; PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457; Rahmani Ali Mohamad v. PP [2014] 7 CLJ 405; dan Teo Kian Chun v. PP & Other Appeals [2020] 10 CLJ 398. PERUNDANGAN YANG DIRUJUK: Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234], s. 12(2), s. 39A(1); Akta Keterangan 1950, s. 114(g); dan Kanun Tatacara Jenayah, s. 173(f)(i), s. 173(h)(iii), s. 180; s. 254A.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.