Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR [NO. KES: CB-83D-1191-08/2022] PENDAKWA RAYA LAWAN PENGHAKIMAN (Keputusan pada akhir kes pendakwaan secara lisan*) Memandangkan barang rampasan dadah tidak dijumpai pada tubuh badan Tertuduh, maka kes ini bukan satu kes milikan secara langsung. Untuk membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai milikan terhadap barang rampasan yang dijumpai, pendakwaan mestilah bergantung kepada “circumstancial evidence”. Berkenaan “circumstancial evidence”, mahkamah ini merujuk kepada kes PP v Lin Lian Chen [1991] 1 MLJ 316 yang menyatakan:- “It is trite law that where the prosecution are relying on circumstantial evidence the onus upon it is a very heavy one and that evidence must point irresistibly to the guilt of the accused. If there are gaps in it then that will not be sufficient.” MOHAMAD NAZRI BIN ALI Dalam kes ini, SP3 memberi keterangan bahawa ruang tamu di rumah tempat kejadian hanya diterangi lampu daripada dapur rumah semasa pemerhatian dibuat. Dinding berwarna merah jambu di belakang sofa di gambar P9 (f) semestinya menghalang cahaya untuk melihat apa-apa di atas karpet di gambar P9 (f), apatah lagi barang rampasan yang sepatutnya ada di tempat bertanda X dan Tertuduh yang baring di sofa “two-seater” di gambar kanan atas P9 (e). Tambahan pula SP3 yang merupakan satu-satunya pasukan serbuan yang dipanggil sebagai saksi tidak memberikan keterangan yang nyata sama ada ada membuat pemerhatian dari tingkap-tingkap di gambar P9 (d) atau tidak. Sekiranya tiada pemerhatian dibuat daripada tingkap-tingkap di gambar P9 (d) dan tiada saksi lain dipanggil untuk mengesahkan sebegitu, maka kesimpulan yang boleh dibuat adalah tiada keterangan yang menunjukkan Tertuduh berada berdekatan dengan barang rampasan semasa pemerhatian dibuat. Dalam keadaan begini, mahkamah mendapati bahawa keterangan yang menyatakan Tertuduh berada berdekatan dengan barang rampasan semasa pemerhatian dibuat meragukan. Mengambil kira bahawa rumah termasuk ruang tamu tersebut bukan milik atau didiami Tertuduh sendiri sahaja dan ditambah pula dengan fakta kes pendakwaan bahawa Tertuduh sendiri yang membuka pintu utama untuk pasukan serbuan, pemilikan eksklusif Tertuduh terhadap barang rampasan tidak dapat ditegakkan. Oleh itu, barang rampasan boleh dikatakan berada di suatu tempat terbuka yang boleh diakses oleh mana-mana penghuni dalam rumah itu. Selaras dengan itu, barang rampasan haruslah dikecualikan milikannya oleh penghuni-penghuni lain. SP4 telah menyatakan bahawa penguni-penghuni rumah lain seperti ibu dan adik Tertuduh tidak dirakam percakapan mereka berkenaan milikan barang rampasan tersebut. Oleh itu, terdapat juga inferens alternatif yang mana kemungkinan barang rampasan adalah milikan penghuni rumah yang lain. Selain itu, versi kejadian Tertuduh adalah bahawa P6 dan P10 bukanlah barang yang dirampas daripada tempat kejadian. Versi ini telah dikemukakan seawal pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaan. SP3 telah merampas barang rampasan dari rumah tersebut dan tidak membuat tandaan pada barang-barang rampasan tersebut mahupun mengisi borang bongkar pada masa dan tempat serbuan dibuat. Laporan Kuala Krau 935/22 dibuat pada 12.28pm hari yang sama. Tandaan yang dibuat oleh SP3 adalah berdasarkan kepada nombor laporan tersebut. Oleh itu, tandaan barang rampasan bolehlah disimpulkan sebagai ditanda lebih daripada 10 jam selepas masa rampasan memandangkan tandaan hanya boleh dibuat selepas laporan Kuala Krau 935/22 dibuat. Pengisian borang bongkar juga hanya dibuat di IPD sekitar jam 9 hingga 10 pagi iaitu hampir 7 atau 8 jam selepas masa rampasan. SP3 dalam keterangannya menyatakan bahawa dalam tempoh masa antara barang rampasan ini dirampas dan ditanda, barang-barang tersebut disimpan di dalam beg galas beliau. Beg galas itu juga diisi dengan barang-barang rampasan lain daripada lebih daripada 10 serbuan lain pada hari yang sama. Barang-barang rampasan lain tidak dinyatakan dengan jelas sama ada juga tidak ditanda atau ditanda. Oleh itu, terdapat satu keraguan bagaimana SP3 mengenal pasti barang rampasan yang dijumpai di tempat kejadian sedangkan terdapat lebih daripada 10 serbuan pada hari itu dan juga tiada tandaan dibuat. Alasan beg galas mempunyai banyak ruang untuk barang rampasan diasingkan serta alasan SP3 mempunyai system sendiri untuk mengasingkan barang rampasan tidak diterima oleh mahkamah ini. Sistem terbaik yang sepatutnya digunakan adalah untuk barang rampasan ditanda sebelum disimpan di mana-mana agar identiti barang rampasan dapat dikenalpasti dengan jelas serta tidak bercampur dengan barang rampasan lain. Sistem penandaan ini tidak digunakan oleh SP3. Sehubungan dengan itu, saya mendapati versi Tertuduh bahawa P6 dan P10 bukanlah barang yang dirampas daripada tempat kejadian berkemungkinan berlaku dan selanjutnya menimbulkan satu keraguan dalam minda saya berkenaan barang yang benar-benar dirampas di tempat kejadian. Dalam kes PP v. Mohd Radzi Bin Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 FC telah dinyatakan: - “at the close of the prosecution's case, subject the evidence led by the prosecution in its totality to a maximum evaluation. Carefully scrutinise the credibility of each of the prosecution's witnesses. Take into account all reasonable inferences that may be drawn from that evidence. If the evidence admits of two or more inferences, then draw the inference that is most favourable to the accused.”. Dalam kes ini, mahkamah ini membuat inferens yang paling menyebelahi Tertuduh dan mendapati pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap Tertuduh berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan sebentar tadi. Adalah tidak selamat untuk memanggil Tertuduh untuk membela diri terhadap pertuduhan kes ini dan mahkamah ini tidak bersedia untuk mensabitkan Tertuduh jika pembelaan dipanggil dan Tertuduh memilih untuk berdiam diri. Maka, Tertuduh adalah dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri. Wang jaminan dikembalikan. TAN CHIEW KING Majistret Mahkamah Majistret (1) Temerloh 13 November 2024 *Penghakiman ini diberikan secara lisan pada 13 November 2024 dan bukanlah alasan keputusan penuh mahkamah ini. Alasan keputusan bertulis penuh akan disediakan sekiranya rayuan difailkan. Pihak-pihak: Khairunnisa binti Zaffar (Timbalan Pendakwa Raya) untuk pihak Pendakwaan Ahmad Zahid bin Abu Hashim (Tetuan Ahmad Zahid) dan Khairul Anuar in Abu Hasan Ashaari (Khairul Anuar, Mazieera & Associates) untuk Tertuduh