Mengenai kelayakan SP5 yang dikatakan tidak layak untuk membuat penilaian melalui ujian AD-HTP ini, Perayu menghujahkan bahawa ujian tersebut hanya boleh dilakukan oleh seorang pakar psikiatri. Berkenaan kelayakan SP5 ini, keterangan beliau yang telah dikemukakan adalah seperti yang berikut: “Pemeriksaan Utama SP5 S: Di mana puan bertugas sekarang? J: Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. S: Sebagai apa? J: Pegawai Psikologi S44. S: Boleh nyatakan kelayakan akademik yang tertinggi? J: Master of Science (Counselling) dari Universiti Utara Malaysia. S: Sudah berapa bertugas di Cawangan D11, IPK Kedah? J: 13 tahun. S: Sepanjang bekerja selama 13 tahun di cawangan tersebut, ada pernah menghadiri sebarang kursus berkenaan dengan skop pekerjaan puan ini? J: Ada. S: Boleh senaraikan? J: Kursus yang wajib untuk perkhidmatan Pegawai Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam. S: Itu kursus wajib untuk Pegawai Psikologi? J: Maksud pelbagai jenis kursus yang diarahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. S: Bila puan hadiri kursus tersebut? J: Bermula dari perkhidmatan sebagai Pegawai Psikologi sehingga sekarang secara berkala mengikut ketetapan Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya. S: Sepanjang puan menjadi Pegawai Psikologi di Cawangan D11 selama 13 tahun, pernah hadir ke mahkamah untuk beri keterangan? J: Pernah. S: Berapa kali? J: Lebih kurang 15 kali. S: Boleh nyatakan secara ringkas apakah skop pekerjaan puan di Cawangan D11, IPK Kedah? J: Saya menjalankan perkhidmatan kaunseling, konsultansi dan krisis intervensi (crisis intervention) kepada mangsa, waris, suspek dan saksi. S: Selain itu, apa lagi skop pekerjaan puan selain daripada memberi perkhidmatan kaunseling kepada individu-individu tersebut? J: Saya menyampaikan ceramah kepada organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, kepada pusat pengajian IPTA dan IPTS, sekolah dan juga kepada komuniti. S: Kes-kes apa yang dikendalikan oleh Cawangan D11? J: Sepanjang pengalaman, kes yang saya kendalikan adalah kes rogol, kes cabul, keganasan rumah tangga, kes-kes di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanakkanak 2017, incest, semua kes-kes itu terlibat dalam cawangan jenayah seksual.”.