Content
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO : T - 05(M) - 290 - 05/2018 ANTARA MOHAMAD ZULKIFLI BIN ISMAIL ... PERAYU DAN PENDAKWA RAYA ... RESPONDEN [Dalam perkara mengenai Perbicaraan Jenayah No. 45B-02-03/2016 & 45B-03-03/2016 Dalam Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, Dalam Negeri Terengganu Antara Pendakwa Raya Dan [Mohamad Zulkili bin Ismail] CORAM YAACOB BIN HAJI MD SAM, HMR HARMINDAR SINGH DHALIWAL, HMR RAVINTHRAN PARAMAGURU, HMR ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Perayu telah dituduh dengan dua pertuduhan seperti berikut: Pertuduhan Pindaan (Pertuduhan Pertama)(P2C) Bahawa kamu pada 7 Disember 2015, jam lebih kurang 10.30 pagi, bertempat di kawasan sebuah rumah tidak bernombor, Jalan Kemaman – Dungun, Kampung Labohan Kerteh, dalam Daerah Kemaman, dalam Negeri Terengganu Darul Iman, telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Zulkefle bin Abdullah (No. K/P: 781229 -11-5119), dan oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pertuduhan (Pertuduhan Kedua)(P2B) Bahawa kamu pada 7 Disember 2015, jam lebih kurang 10.30 pagi, bertempat di kawasan sebuah rumah tidak bernombor, Jalan Kemaman – Dungun, Kampung Labohan Kerteh, dalam Daerah Kemaman, dalam Negeri Terengganu Darul Iman, telah menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki Melayu bernama Faizul bin Awang (No. K/P: 850225-11-5329) dengan menggunakan parang iaitu suatu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. [2] Kedua-dua pertuduhan dibicarakan secara bersama di hadapan YA Hakim Mahkamah Tinggi. Setelah perbicaraan penuh dijalankan, YA Hakim (Hakim bicara) mendapati Perayu bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan, mensabitkan Perayu dan menjatuhkan hukuman berikut: Pertuduhan Pertama (Seksyen 302 Kanun Keseksaan): Hukuman mati. Pertuduhan Kedua (Seksyen 326 Kanun Keseksaan): Hukuman penjara 14 tahun. [3] Terkilan dengan keputusan tersebut, Perayu telah merayu kepada mahkamah ini terhadap sabitan dan hukuman untuk kedua-dua pertuduhan. Kami telah mendengar rayuan Perayu dan memutuskan menolak rayuan Perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut. Kes Pendakwaan [4] Daripada keterangan yang telah dikemukakan, intipati kes pendakwaan adalah seperti berikut. [5] Keterangan penting kes pendakwaan datang daripada Faizul bin Awang (SP17), berumur 25 tahun ketika tarikh kejadian. SP17 ialah seorang 'Orang Kurang Upaya' (OKU) yang kudung di kaki sebelah kanan dan menggunakan kaki palsu. SP17 berumur 32 tahun semasa memberi keterangan di hadapan Hakim bicara. Menurut keterangan SP17, pada tarikh kejadian 7.12.2015, jam lebih kurang 10.00 pagi, SP17 menunggang motorsikalnya dengan seorang pembonceng bernama Zulkefle bin Abdullah (si mati) untuk mencari besi-besi buruk. SP17 memanggil si mati dengan nama panggilan “Pok Yi”. Si mati berusia tujuh tahun lebih tua daripada SP17. Selepas melepasi bawah Jembatan Kerteh, SP17 menunggang motorsikalnya melalui satu kawasan kampong dimana terdapat rumah-rumah kampong dan mereka berlegar mencari besi buruk. Setiba di sebuah rumah, SP17 melihat terdapat besi-besi buruk bersepah di bahagian tepi rumah itu. SP17 memberhentikan motorsikalnya. Si mati telah turun daripada motorsikal dan pergi ke tepi rumah tersebut untuk melihat-lihat keadaan besi-besi buruk yang terdapat di situ. SP17 menunggu di atas motorsikalnya. Tibatiba datang sebuah motorsikal yang ditunggang oleh seorang lelaki dari arah belakang tempat SP17 berada. Lelaki tersebut yang memegang sebilah parang terus datang kepada SP17 dan menikam bahagian dada sebelah kanan SP17 dengan parang tersebut. Sebaik ditikam, SP17 terjatuh daripada motorsikalnya dan motorsikal SP17 juga terbalik. Si mati yang ternampak SP17 jatuh daripada motorsikal telah datang untuk membantu SP17. Ketika si mati sedang merapati SP17 untuk membantu, si mati telah ditikam pula oleh lelaki tersebut dengan parang yang sama pada bahagian dada kanan si mati. [6] Sebaik kena tikam, si mati melarikan diri daripada lelaki yang menikamnya. Lelaki yang menikam SP17 dan si mati tersebut dicamkan oleh SP17 ialah perayu (Perayu). SP17 seterusnya melihat Perayu mengejar si mati yang sedang berlari ke arah jalan besar. Ketika mengejar si mati, tangan kanan Perayu masih memegang parang. SP17 melihat darah banyak keluar dari si mati akibat kena tikam dan titisan darah si mati jatuh di sepanjang laluan si mati melarikan diri. SP17 bangun dan mengekori dari belakang ke arah si mati berlari dan Perayu yang sedang mengejar si mati. Tujuan SP17 mengekori si mati ialah untuk membantu si mati. SP17 seterusnya melihat si mati jatuh terduduk atas 'divider' tengah pembahagi jalan besar. Jarak tempat si mati terjatuh terduduk dan tempat si mati ditikam lebih kurang 70 meter. Perayu tiba di tempat si mati terjatuh dan terus memukul si mati, iaitu secara menggunakan kakinya menendang lengan, kaki dan kepala si mati. Si mati ketika itu masih memakai topi keledar. Perayu memukul si mati sehingga topi keledar si mati tercabut daripada kepala si mati. SP17 seterusnya melihat si mati mengangkat kedua-dua tangan meminta ampun berkali-kali daripada Perayu untuk berhenti memukul, tetapi Perayu terus juga memukul si mati. SP17 juga merayu meminta Perayu berhenti daripada memukul si mati tetapi tidak dihiraukan oleh Perayu. Setelah berhenti memukul, Perayu berterusan mengawasi si mati dan mengacu-acukan parang ke arah SP17 untuk menghalang SP17 daripada mendekati si mati. Si mati kemudiannya jatuh rebah tertiarap di atas pembahagi jalanraya [(eksibit P5 - gambar 14, 15 7 20 Rekod Rayuan Jilid 3(1)] [7] Setelah si mati rebah tertiarap, SP17 melihat Perayu beredar meninggalkan si mati. Ketika itu SP17 melihat dua buah kereta melalui jalanraya tersebut, SP17 telah menahan kedua-dua kereta dan memberitahu kejadian si mati ditikam dan meminta bantuan daripada SP11 dan SP22 untuk memanggil ambulan. Ketika itu SP17 melihat Perayu sedang berjalan ke arah rumah di mana terdapat besi-besi buruk. Rumah di mana terdapat besi buruk itu kemudiannya diketahui milik Perayu. [8] SP17 yang mengalami kecederaan akibat ditikam Perayu, kemudiannya menunggang motosikalnya pergi ke tempat (pot) di mana rakan-rakan SP17 selalu berada. Setiba di 'pot' tersebut SP17 memberitahu rakan-rakannya tentang kejadian, Rakan SP17 cuba membaluti luka dan darah yang keluar banyak daripada dada SP17 tetapi darah masih banyak keluar, SP17 telah di bawa ke Klinik Ketengah Jaya yang berhampiran. Oleh kerana SP17 mengalami pendarahan yang banyak, rakan-rakan SP17 membawa SP17 ke Hospital Dungun. SP17 tidak sedarkan diri dan ketika terbangun SP17 mendapati dirinya berada di Hospital Besar Kuala Terengganu. Akibat kecederaan tikaman di dada, SP17 mengalami masalah pernafasan dan telah menjalani pembedahan untuk merawat darah beku dalam paru-paru. SP17 menderita kesakitan lebih daripada dua minggu akibat kecederaan tikaman. SP17 telah diberikan jahitan di bahagian kecederaan yang dialaminya. Parut luka kesan tikaman masih tinggal kekal kelihatan di bahagian dada SP17 [(eksibit P9 – Gambar 03 dan 04 muka surat 947 Rekod Rayuan Jilid 3(1) & ekisibit P83 & P84 muka surat 1064 – 1072 Jilid 3(2)]. Semasa memberi keterangan, SP17 telah mengecamkan senjata yang digunakan oleh perayu semasa menikam SP17 dan si mati, iaitu parang eksibit P47A [(eksibit P17 – gambar Al muka surat 992 Rekod Rayuan Jilid 3(1)]. [9] Mohd Rozi bin Taib (SP11) seorang juruteknik Petronas Carigali, mengatakan pada 17.12.2015, lebih kurang jam 10.30 pagi, SP11 bersama rakan kerjanya Yahya bin Azhar (SP22) dan Abu Syam sedang melalui Jalan Labohan Kerteh apabila mereka melihat seperti terdapat keadaan kecemasan di kawasan jalan tersebut. SP11 memperlahan keretanya dan berhenti di tepi stesyen minyak Petron untuk melihat apa yang sedang berlaku. SP11 melihat seorang lelaki melintas jalanraya dengan membongkok badan sambil memegang arah perut seperti orang kesakitan dan terduduk di atas pembahagian jalanraya. SP11 melihat terdapat seorang lelaki yang sedang memegang 'golok' mengekori lelaki yang melintas jalan itu dan berdiri berlegar-legar berhampiran lelaki yang terduduk. Ketika SP11 sedang melihat apa yang berlaku, seorang lelaki telah datang mendekati SP11 dan memberitahu ada orang cedera dan meminta SP11 memanggil ambulan. SP11 melihat lelaki yang datang kepadanya juga mengalami kecederaan (SP17). Setelah meminta SP11 memanggil ambulan, SP17 beredar ke arah Kerteh dengan menunggang motorsikal. SP22 telah membuat panggilan kecemasan kepada balai polis untuk memaklumkan hal perkara yang dilihat. Ketika itu jarak kedudukan kereta yang dinaiki SP11 dengan lelaki yang kelihatan cedera dan duduk di pembahagi jalanraya lebih kurang jarak 50 meter. SP11 dan rakannya hendak turun daripada kereta untuk melihat dan memberi bantuan kepada lelaki yang terduduk cedera tetapi tidak jadi turun memandangkan lelaki yang memegang 'golok' masih berdiri berhampiran seperti mengawasi lelaki yang duduk itu. SP11 melihat lelaki yang duduk cedera memegang bahagian hadapan badan dan kemudian mengangkat kedua-dua tangan seperti pergerakan meminta ampun daripada lelaki yang memegang 'golok'. Lelaki yang duduk kemudiannya dilihat jatuh rebah tertiarap di atas tanah pembahagi jalanraya. Selepas lelaki tersebut jatuh tertiarap, lelaki yang memegang 'golok' beredar meninggalkan lelaki yang tertiarap dan pergi ke arah sebuah rumah berdekatan. Melihatkan lelaki yang memegang 'golok' telah beredar menuju ke sebuah rumah berhampiran tempat tersebut yang jaraknya lebih kurang 30 meter daripada Stesyen Minyak Petron, SP11 dan SP22 telah turun daripada kereta dan pergi menghampiri lelaki yang tertiarap itu. SP1 dapati tidak ada sebarang pergerakan daripada lelaki yang duduk kerana cedera itu. Lelaki yang tertiarap itu dicamkan oleh SP11 adalah si mati. Lelaki yang memegang 'golok' dicamkan oleh SP11 adalah Perayu. SP11 kemudiannya telah menghampiri rumah di mana Perayu dilihat pergi ke situ. SP11 melihat Perayu memberi kunci, telefon tangan dan beg duit kepada seorang perempuan yang berada di situ. SP11 mendengar Perayu memberitahu perempuan itu bahawa Perayu hendak pergi ke balai untuk membuat laporan. SP11 kemudiannya melihat Perayu meninggalkan rumah tersebut dengan menaiki sebuah motorsikal. SP11 mengecamkan 'golok' yang dikatakannya dilihat dipegang oleh Perayu adalah eksibit P47A. [10] Keterangan Yahya bin Azhar (SP22) yang menumpang kereta SP11 pada masa kejadian, sama seperti keterangan SP11. SP22 bekerja sebagai juruteknik Petronas Carigali. Menurut SP22, beliau dan SP11 telah turun melihat lelaki yang cedera yang tertiarap dan mendapati banyak darah keluar daripada bahagian dada kanan lelaki tersebut (si mati). SP22 mengecamkan Perayu sebagai lelaki yang memegang 'golok' yang mengekori si mati semasa si mati melintas jalan dan berdiri berhampiran si mati yang duduk kerana cedera. [11] Rusdi bin Taha (SP4) mengatakan pada 7.12.2015, lebih kurang jam 10.48 pagi, SP4 sedang bertugas di Bilik Gerakan IPD Kemaman telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki memberitahu terdapat orang cedera di Kampung Labuhan Kerteh, Kemaman. SP4 telah memaklumkan maklumat yang diterimanya kepada Balai Polis Kerteh untuk mengarahkan anggota polis pergi ke lokasi yang dimaklumkan. Pada jam 11.00 pagi, SP4 mendapat panggilan daripada Balai Polis Kerteh memaklumkan dua anggota polis telah pergi ke lokasi tersebut dan mendapati kes tikam disyaki bunuh. SP4 kemudiannya memaklumkan maklumat yang diterimanya kepada ASP Ismail Abdul Ghani iaitu pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kemaman untuk tindakan lanjut. SP4 membuat laporan maklumat pertama melalui Kerteh Rpt. 1606/2015 (P19). [12] Insp. Mohamad Hanafi bin Nasir (SP10) bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kemaman. Pada 7.12.2015, jam 11.00 pagi, SP10 telah pergi ke lokasi kejadian bersama anggota beliau. Turut tiba di lokasi kejadian ialah Unit Forensik IPD Kemaman yang diketuai oleh Insp. Sharmemdra Devan a/I Dewadas (SP9). Ketika tiba, SP10 melihat telah terdapat sebuah ambulan dan anggota Balai Polis Kerteh di lokasi. Terdapat juga ramai orang awam yang datang melihat. SP10 mendapati lelaki yang mendapat kecederaan tikaman telah mati dan mayat si mati masih tertiarap. SP10 melihat terdapat titisan darah dari lokasi mayat si mati hingga ke halaman rumah. SP10 dan SP9 menyelusuri titisan darah tersebut. Di hadapan kawasan rumah yang terdapat titisan darah tersebut SP10 telah bertemu seorang perempuan bernama Roslina binti Abdul Kari (isteri Perayu) (SP23) dan bertanyakan di mana Perayu. SP10 dimaklumkan oleh SP23 bahawa Perayu telah pergi ke Balai Polis Kerteh untuk membuat laporan. SP10 dan SP9 telah memasuki rumah tersebut dan menjumpai sebilah parang bersama sarungnya dan membuat rampasan parang tersebut (P47A). SP10 kemudiannya pergi ke Balai Polis Kerteh dan berjumpa Perayu di sana. SP10 membuat tangkapan ke atas Perayu. SP10 membuat laporan tangkapan melalui Kerteh Rpt. 1611/15 (P64). [13] Khairul Anuar bin Othman (SP8) ialah pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Kerteh. Pada 7.12.2015, lebih kurang jam 10.30 pagi, SP8 menerima panggilan kecemasan daripada MECC (Medical Emergency Call Centre) Hospital Sultanah Nur Zahirah memaklumkan kejadian kemalangan di Kampung Labuhan. SP8 dengan menaiki ambulan telah tiba dilokasi kejadian pada jam 10.45 pagi. Setiba di lokasi SP8 melihat seorang lelaki tertiarap di atas tanah pembahagi jalanraya dan terdapat banyak darah. SP8 mendapati lelaki tersebut cedera akibat tikaman. SP8 memeriksa nadi lelaki itu tetapi tiada denyutan nadi dikesan. Lelaki itu juga tidak memberi sebarang reaksi apabila anak mata diperiksa. SP8 mengesahkan lelaki itu, iaitu si mati telah mati. Seketika kemudian SP10 dan SP9 tiba dilokasi. SP8 memberitahu SP10 bahawa si mati telah mati. SP8 mengatakan beliau tidak membuat sebarang rawatan atas simati kerana si mati telah tidak lagi bernafas dan badan si mati telah mula mengeras. SP8 kemudiannya membantu SP9 mengangkat mayat si mati untuk dinaikkan ke ambulan bagi dihantar ke hospital. [14] Dr Sri Marni binti Zainal Abidin (SP12) ialah pakar perubatan forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, mempunyai pengalaman melakukan bedah siasat ke atas 450 hingga 500 mayat. Pada 8.12.2015, SP12 telah bertolak daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan ke Hospital Kemaman kerana terdapat permintaan untuk menjalankan post mortem terhadap mayat si mati. Pada 8.12.2015, SP12 melakukan bedah siasat atas mayat si mati mulai jam 10.15 pagi hingga jam 12.30 tengah hari. Hadir sama ialah Insp. Lokmanul Hakim bin Abdul Majid (SP24), iaitu pegawai penyiasat kes bersama seorang juru photo dan adik lelaki si mati bernama Mohd Ariffin bin Abdullah (SP7) yang membuat pengecaman terhadap mayat si mati. Sijil Perakuan kematian si mati (P57). SP12 mengesahkan sebab kematian si mati adalah "Stab wound of the chest" atau luka tikaman pada dada. [15] Adalah berfaedah kami menurunkan bahagian keterangan SP12 yang relevan berkaitan hasil pemeriksaan SP12 terhadap mayat si mati, adalah seperti berikut [(muka surat 393-395 Rekod Rayuan Jilid 2(2)]: "S: Dalam bedah siasat tersebut Doktor, apakah pemeriksaan pemeriksaan yang dijalankan oleh Doktor? J: Pemeriksaan bedah siasat dibahagi kepada 2 bahagian iaitu pemeriksaan luaran atau external examination dan pemeriksaan dalam iaitu internal examination atau dissection. S: Jika demikian apakah hasil pemeriksaan luaran external tersebut? J: Saya dapati terdapat seorang lelaki dewasa berkulit cerah dan berpakaian seperti berikut: i. T-shirt hitam tanpa lengan lebel Jubli Perak MPK dan terdapat satu lubang pada bahagian depannya. ii. Sepasang seluar pendek berwarna kuning mustard berlebel Camel size 26". Pakaian simati lembab dengan darah. Terdapat juga kesan darah pada mukanya, badan dan kedua-dua lengan dan kaki. Anggaran ketinggian adalah 167 sm dan berat pula dianggarkan antara 55- 65 kilogram. Kaku mayat adalah menyeluruh manakala lebam mayat kelihatan di belakang badan. Salor darah vena kelihatan agak tebal. Terdapat sedikit kehijauan pada kulit di fossa illak kanan dan kiri abdomen. Dedaun dan pasir kelihatan pada muka, kedua-dua lengan dan kaki serta pakaian. Kedua-dua konjunktiva kanan dan kiri iaitu bahagian dalam kelopak mata kelihatan pucat. Terdapat satu parut lama yang linea panjang 4.5 sm di bahagian depan lengan bawah kiri. Terdapat juga luka utama seperti berikut:- i. Satu luka tikaman 4 X 1.3 sm, 5.5 X 0.5 sm jika dirapatkan pada kuadran atas kanan dada. Bucu atas terletak 7 sm di bawah bahu kanan dan 7.5 sm ke kanan dari garis tengah. Bucu atas luka ini kelihatan tumpul manakala bucu bawah kelihatan tajam. la menghala kearah belakang, bawah dan kiri. Pemeriksaan dalaman menunjukkan track luka telah melibatkan ruang interkostal kanan pertama dan kedua tulang rusuk kanan kedua, ruang dada kanan, salor darah arteri dan vena subklavian kanan di mana kedua-duanya terpotong sepenuhnya dan lobus atas paru-paru kanan. Luka pada bahagian depan paru-paru ini adalah 5 sm panjang manakala luka pada bahagian belakangnya adalah 5 mm panjang. Ruang dada kanan mengandungi 600 gm darah beku dan 400 – 500 ml cecair darah. Luka-luka lain termasuklah pada lengan iaitu beberapa luka abrasi antara size 0.3 sm dan 0.5 X 0.3 sm pada siku kanan dan pada kaki. Satu luka abrasi 2 X 0.5 sm pada kaki kanan. S: Berkenaan dengan luka-luka lain iaitu di lengan dan kaki itu boleh Doktor jelaskan apa yang menyebabkan luka-luka tersebut? J: Pada luka lengan dan kaki iaitu luka-luka abrasi yang dijumpai adalah konsisten dengan impak dengan permukaan tumpul atau pun kasar. Jadi apa-apa permukaan yang tumpul dan kasar boleh menyebabkan luka-luka abrasi pada lengan dan kaki. S: Seterusnya bagaimana pula hasil pemeriksaan dalaman internal yang dijalankan oleh Doktor ke atas mayat tersebut? J: Pemeriksaan dalaman pada bahagian dada menunjukkan kecederaan pada organ dan struktur dalaman termasuklah salor darah yang telah disebut berkaitan dengan luka tikaman tadi paru-paru kanan beratnya 289 gram, kelihatan pucat kecut atau collapsed. Selain dari itu organ-organ lain tidak menunjukkan apa-apa kecederaan atau penyakit yang signifikan. S: Setelah Doktor membuat pemeriksaan menggunakan 2 bentuk pemeriksaan yang diceritakan sebentar tadi boleh Doktor beritahu kepada mahkamah apakah sebab atau punca kematian semati? J: Stab wound of the chest atau luka tikaman pada dada. S: Seterusnya boleh Doktor beritahu mahkamah kenapakah Doktor boleh membuat kesimpulan tersebut berkenaan dengan punca kematian tersebut? J: Luka tikaman pada dada telah menyebabkan kecederaan pada paru-paru dan salor-salor darah. Ini mengakibatkan pendarahan dan kehilangan darah yang banyak dan boleh menyebabkan pengaliran darah ke organ-organ lain seperti otak dan jantung terganggu. Pernafasan juga terganggu kerana terdapatnya kecederaan pada dada dan paru-paru. Kedua-dua mekanisme ini boleh menyebabkan kematian." SP12 juga mengemukakan laporan bedah siasat beliau (muka surat 1141-1155 Rekod Rayuan Jilid 3(2). Dapatan Hakim Bicara Diakhir Kes Pendakwaan [16] Diakhir kes pendakwaan, Hakim bicara memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Perayu untuk kedua-dua pertuduhan. Perayu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan. [17] Keputusan Hakim bicara itu terdapat di perenggan (55) penghakiman beliau, seperti berikut (muka surat 54 Rekod Rayuan Jilid 1): "55. Daripada keterangan-keterangan yang telah dikemukakan di hadapan Mahkamah, Mahkamah berpuas hati dan memutuskan bahawa setelah menilai keseluruhan keterangan pihak pendakwaan secara maksima, pihak pendakwaan telah berjaya mengasaskan satu kes prima facie bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana membunuh si mati dan juga mendatangkan kecederaan parah kepada SP17. Mahkamah dengan ini memanggil OKT untuk membela diri akan kedua-dua pertuduhan tersebut." Pembelaan Perayu [18] Perayu memberi keterangan pembelaan secara bersumpah. Tiada saksi lain dipanggil. Perayu dalam keterangannya mengatakan pada pagi tarikh kejadian, Perayu dan isterinya berada di kedai makan milik Perayu. Selepas selesai membasuh pinggan mangkok, Perayu menunggang motosikalnya untuk pulang ke rumah. Perayu membawa sama pisau P47A dan meletakkan P47A dalam raga motorsikal. Pisau tersebut mempunyai sarung diambil dari penyangkut dinding kedai. Jarak kedai makan Perayu dengan rumah Perayu lebih kurang satu minit jika menunggang motorsikal. Sebahagian kecil bahagian rumah Perayu dijadikan bengkel dan Perayu ada meletakkan besi-besi buruk berbentuk bulat dan 'hollow di bahagian luar tepi bengkel tersebut. Ketika sampai berhampiran rumahnya Perayu melihat seorang lelaki (SP17) sedang duduk di atas motorsikal. Kemudian Perayu melihat seorang lelaki (si mati) sedang mengumpil pintu besi jenerator buruk yang terdapat di tepi rumah. Perayu berhentikan motorsikalnya dan bertanya kepada SP17 "Mu buat apa di sini, akulah tuan rumah". Ketika itu Perayu meihat SP17 turun daripada motorsikal dan menerpa ke arah Perayu dan hendak menumbuk Perayu. Perayu turun daripada motosikalnya untuk mengelak daripada kena tumbukan SP17 dan Perayu mencapai pisau P47A daripada raga dan menikam kena bahagian dada sebelah kanan SP17. Perayu mengatakan masa dia mengelak tumbukan SP17, perayu hendak menikam sisi badan SP17 tetapi SP17 dapat elak dan tikaman kena pada bahagian dada kanan SP17. Perayu mengatakan dia menikam SP17 untuk acah dan mempertahankan diri. Selepas menikam dada SP17, Perayu menarik keluar semula pisau P47A. [19] Perayu seterusnya mengatakan sebaik Perayu cabut pisau P47A daripada dada SP17, Perayu lihat si mati datang menerpa Perayu. Perayu mengatakan si mati hendak memukul Perayu di kepala dengan sebatang besi tebal panjang lebih kurang 2 kaki. Perayu memusing badan ke arah si mati yang sedang menerpa dan oleh kerana terlalu dekat dan si mati datang laju "dia melanggar golok di tangan saya". Perayu mengatakan dia tiada niat menikam dan membunuh si mati tetapi si mati cedera kerana melanggar parang P47 yang sedang dipegangnya. Perayu seterusnya mengatakan selepas si mati kena tikaman, Perayu menarik keluar P47A daripada dada si mati dan si mati lari ke atas 'divider' di seberang jalan. Perayu kemudiannya mengekori si mati yang duduk di atas tanah bahagian 'divider' jalan dan nampak si mati cedera. Perayu mengatakan dia pergi kepada si mati dan tidak berbuat apa-apa walaupun P47A masih ditangannya. Perayu mengatakan si mati ada mengangkat tangan minta maaf. Perayu kemudiannya melihat si mati rebah ke tanah. Ketika itu orang ramai mula datang. Perayu melihat SP17 telah meninggalkan tempat kejadian dengan menunggang motorsikal. Perayu kemudian balik ke rumahnya. Setelah tiba di rumah Perayu meletakkan P47A di atas meja. Perayu kemudian menalipon isterinya (SP23) untuk balik dan memberitahu isterinya yang dia telah bergaduh dengan dua orang pencuri. Perayu kemudiannya pergi ke balai polis untuk membuat laporan (P71). Dapatan Hakim Bicara Diakhir Kes Pembelaan [20] Di akhir kes pembelaan, setelah menimbangkan pembelaan perayudan keseluruhan kes pendakwaan, Hakim bicara dapati Perayu gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan atas kedua-dua pertuduhan. Perayu didapati bersalah, disabitkan dan dihukum mati untuk pertuduhan seksyen 302 Kanun Keseksaan dan hukuman penjara 14 tahun untuk pertuduhan di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan. [21] Kami meneliti alasan penghakiman Hakim bicara. Kami dapati penghakiman Hakim bicara begitu teliti dan komprehensif dalam menimbangkan pembelaan perayu dari pelbagai aspek pembelaan yang dibangkitkan oleh Perayu. Kami akan huraikan lebih lanjut perkara ini di bawah nanti. [22] Mengimbau kembali pembelaan perayu, perayu mengatakan kecederaan yang ditimpakan ke atas SP17 berlaku ketika perayu cuba mempertahankan diri daripada serangan SP17 yang dikatakan datang menerpa ke arah perayu dan hendak menumbuk perayu. Oleh itu pembelaan Perayu berkaitan tikaman terhadap SP17 adalah dalam menjalankan hak pertahankan diri (private defence). [23] Untuk kecederaan yang dialami oleh si mati, pembelaan perayu ialah si mati dikatakan telah datang secara laju menerpa ke arah Perayu dan hendak memukul kepala Perayu dengan batang besi sepanjang lebih kurang dua kaki. Ketika si mati menerpa kearahnya, Perayu telah menggerakkan sedikit kaki dan si mati terlanggar parang P47A yang sedang dipegang oleh Perayu dan si mati tertikam sendiri bukannya ditikam oleh Perayu. Pembelaan Perayu dengan itu menjurus kepada tikaman kecederaan atas si mati adalah dalam menjalankan hak pertahanan diri (private defence) dan juga suatu kemalangan (accidental). [24] Kami meneliti alasan penghakiman Hakim bicara dalam semua jenis pembelaan yang kami nyatakan di atas. Kami dapati pada perenggan (76), (77), (78), (79), (80), (81), (82), (83), (84), (85, (86), (93), (94), (95) dan (99), penghakiman beliau, Hakim bicara telah menimbangkan pembelaan "private defence" Perayu. Hakim bicara membuat dapatan, berdasarkan keterangan SP17 dan keterangan mengikut keadaan yang lain, pembelaan Perayu tersebut tidak mempunyai sebarang sokongan atau dapat menyangkal keterangan pendakwaan dan dengan itu pembelaan 'private defence' Perayu ditolak. Kami tidak mendapati sebarang kekhilafan oleh Hakim bicara dalam dapatan dan keputusan beliau menolak pembelaan 'private defence' Perayu itu. Kes-kes berikut telah dibuat rujukan oleh Hakim bicara dalam panduan menimbangkan pembelaan 'private defence': Chung Tain Kong v PP [2010] 2 CLJ 397; PP v Dato' Balwant Singh (No.2) [2003] MLJ 395; Soosay v PP [1993] 3 SLR 272; Wong Teck Choy v PP [2005] 3 CLJ 431; Mohd Shamsul bin Abdul Aziz @ Abdul Azis v Public Prosecutor and Another Appeal [2016] 3 MLJ 215; Che Omar Mohd Akhir v PP [2007] 3 CLJ 281. Hakim bicara juga membuat dapatan bahawa tidak terdapat sebarang perlakuan "grave and sudden provocation" oleh SP17 dan si mati terhadap Perayu sebelum SP17 dan si mati ditikam. Kami bersetuju dengan dapatan tersebut sebagai betul dan teliti dibuat. [25] Pada perenggan (90), (91), (92) dan (99) alasan penghakiman, Hakim bicara telah menimbangkan pembelaan Perayu bahawa tikaman yang mendatangkan kecederaan adalah suatu kemalangan (accidental) yang tidak diniatkan oleh Perayu. Hakim bicara menolak pembelaan Perayu tersebut yang tidak mempunyai asas atau sokongan berdasarkan keterangan yang terdapat. Hakim bicara merujuk kepada kes-kes berikut sebagai panduan dalam membuat dapatan tersebut: Abdul Aziz Miew Yiong v PP [2014] 1 LNS 1875 dan Toh Kian Peng v PP (Criminal Appeal No. J-05(M)-459-12/2016. Kami mendapati Hakim bicara tidak khilaf dalam membuat dapatan tersebut dan menolak pembelaan kemalangan. Rayuan Perayu [26] Peguamcara terpelajar bagi pihak perayu membangkitkan satu isu sahaja di hadapan kami dalam mencabar sabitan dan hukuman terhadap Perayu di bawah seksyen 302 tersebut. Satu-satunya alasan rayuan di hadapan kami untuk dipertimbangkan ialah, samada Hakim bicara khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mensabitkan Perayu terhadap kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan sedangkan keterangan kes pendakwaan tidak melihatkan Perayu mempunyai niat atau 'mens rea' untuk membunuh si mati. [27] Kami meneliti alasan penghakiman Hakim bicara dalam isu ini. Kami dapati Hakim bicara telah menimbangkan isu niat atau 'mens rea' pada perenggan (33), (34), (35), (36), (37), (38), (39), (40), (41), (42), (43), (44), (45), (46), (47), (85), (95), (96) dan (97) penghakiman beliau. Hakim bicara memutuskan Perayu mempunyai niat untuk menyebabkan kematian si mati dan perbuatan Perayu tersebut tergolong di bawah keadaan perenggan (c) seksyen 300 Kanun Keseksaan. Hakim bicara merujuk kepada kes-kes berikut sebagai panduan dalam membuat dapatan tersebut: Mohd Asmadi Yusof v PP [2011] 1 CLJ 41; Tham Kai Yau & Ors v Public Prosecutor [1977] 1 MLJ 174; Mohammad Faizal bin Dzulkifli v Public Prosecutor [2017] 2 MLJ 228; Virsa Singh v The State of Punjab AIR [1991] SC 467; Mohd Shamsul bin Abdul Aziz v Public Prosecutor and another appeal (supra); Ratanlal & Dhirajlal's Law of Crimes, $ 25^{\mathrm{th}} $ edn. muka surat 1315-1316 dan Patmanabhan a/l Nalliannen v Public Prosecutor and another appeal [2017] MLJU 257. [28] Berbalik kepada rayuan di hadapan kami. Peguamcara terpelajar menghujahkan pihak pendakwaan tidak mengemukakan keterangan daripada SP12 sama ada satu-satunya tikaman ke atas si mati oleh Perayu melibatkan kekuatan atau 'force' memandangkan luka tikaman tersebut tidak terlalu dalam jika dilihat kepada senjata P47A. Peguamcara berhujah lanjut, jika Perayu berniat atau mempunyai 'mens rea' mematikan si mati, maka Perayu tentunya akan menggunakan 'force' atau kekuatan apabila menikam dada si mati dengan P47A secara penuh dan rapat. Oleh yang demikian, peguamcara menegaskan perbuatan Perayu menikam si mati berlaku tanpa mempunyai niat untuk menyebabkan kematian kepada si mati dan hanya menembusi sedikit sahaja dada si mati. Peguamcara berhujah Hakim bicara gagal menimbangkan keadaan tersebut dan sekiranya pertimbangan yang teliti dibuat, Perayu mungkin hanya melakukan kesalahan mematikan orang tanpa niat untuk membunuh di bawah seksyen 304 Kanun Keseksaan. Untuk menyokong hujahannya, peguamcara merujuk kepada kes Mohd Shamsul bin Abdul Aziz @ Abdul Azis v Public Prosecutor and another appeal (supra) iaitu kes yang dibuat rujukan oleh Hakim bicara. Peguamcara menghujahkan dalam kes tersebut, terdapat keterangan patologi yang mengatakan kecederaan si mati walaupun hanya satu tikaman tetapi "was inflicted with much force". Peguamcara menghujahkan keterangan sedemikian tidak terdapat dalam kes di hadapan kami ini. Peguamcara juga berhujah tidak terdapat apa-apa keterangan bahawa Perayu ada membuat persediaan (preparation) untuk mencederakan atau membunuh SP17 dan si mati. Parang yang dibawa oleh Perayu mengikut keterangan isteri Perayu (SP23), adalah senjata yang biasa dibawa oleh Perayu untuk memotong daging kerana Perayu mengusahakan kedai makanan. Oleh yang demikian, tidak terdapat motif untuk membunuh si mati. Peguamcara perayu juga merujuk kepada kes PP v Mohan Dass Ganesan [2007] 8 CLJ 23 untuk menyokong hujahan beliau dalam isu niat dan motif. [29] Bagaimanapun, kami berpendapat kes Mohan Dass Ganesan ini tidak dapat membantu hujahan peguamcara kerana kes tersebut diputuskan di bawah isu seksyen 300 (d) Kanun Keseksaan seperti mana yang dapat dilihat pada perenggan (18) penghakiman YA Pesuruhjaya Kehakiman tersebut. Jelasnya jika bacaan teliti dibuat kepada perenggan (d) seksyen 300 Kanun Keseksaan, elemen niat atau 'intention' tidak diperlukan kerana perenggan tersebut menggunakan perkataan "knows" bermaksud pengetahuan. [30] Mahkamah Persekutuan dalam kes Abdul Aziz bin Mohamed Shariff v Public Prosecutor [2010] 6 MLJ 759, pada perenggan (14) muka surat 766 pengakiman, dengan jelas memberikan perbezaan pemakaian perenggan (a), (b), (c) atau (d) seksyen 300 Kanun Keseksaan. Mahkamah Persekutuan mengatakan: [14] One would notice that in s 300(d) of the Penal Code, the word used to describe the mental element of the accused is: 'knows' as compared to s. 300(a), (b) and (c) of the Penal Code which use the word 'intention'. And when one looks at s. 86(2) of the Penal Code, the word used to describe the mental conditions is 'intention' which is similar to that appearing in s 300(a), (b) and (c) of the Penal Code. This caused Yong Pung How CJ Singapore in the case of Juma'at bin Samad v Public Prosecutor [1993] 3 SLR 388 (which carries identical provisions as our Penal Code) to comment: It is observed that cll (a), (b) and (c) of s 300 contemplate intention in one form or another. In cl (a), it is intention to cause death. In cl (b) and (c), it is intention to cause bodily injury. On the other hand, there is no requirement of an intention to cause death or bodily injury in cl (d) of s 300 ('cl (d)'). Thus, intention is not necessary element in cl (d); all that required to be proved is knowledge that the act is likely to cause death (see Inder Singh v Crown ILR 1928 10 Lah 477). It has been held that this clause is intended to apply only when there is no intention to cause death, or in other words, when the three earlier clause clauses are inapplicable (see Hasta Ismail v Emperor AIR 1937 Lah 593; Behari v State AIR 1953 All 203). Section 86 is therefore applicable to cll (a), (b) and (c) of s 300 and inapplicable to cl (d)." [31] Dalam kes Herman bin Mohd Amin Iwn Pendakwa Raya [2018] MLJU 432, Mahkamah Rayuan menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman mati terhadap perayu, telah membuat rujukan kepada seksyen 300 (perenggan 20): "[20] Seksyen 300 Kanun Keseksaan memperuntukkan seperti berikut: