Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH: J-05(M)-393-10/2020 ANTARA MOHAMED HAFIZ BIN MOHD BAKRI (NO. KAD PENGENALAN: 881130-01-5685) … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN [Dalam Perkara Mengenai Mahkamah Tinggi di Johor Bahru Perbicaraan Jenayah No. JA-45B-26-11/2017 Antara Pendakwa Raya Dan Mohamed Hafiz bin Mohd Bakri] KORAM: HAS ZANAH BINTI MEHAT, HMR CHE MOHD. RUZIMA BIN GHAZALI, HMR AHMAD ZAIDI BIN IBRAHIM, HMR 25/01/2023 10:45:28 J-05(M)-393-10/2020 Kand. 41 PENGHAKIMAN MAHKAMAH PENGENALAN [1] Ini adalah rayuan Perayu kepada Mahkamah ini terhadap sabitan dan hukuman mati yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Hakim Bicara) terhadap Perayu atas tuduhan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. [2] Pertuduhan terhadap Perayu adalah seperti berikut: Bahawa kamu, pada 21.04.2017 jam lebih kurang 04.30 petang, di rumah beralamat No. 6, Jalan Sri Bahagia 1, Taman Sri Bahagia, Tampoi, di dalam daerah Johor Bahru, di dalam negeri Johor, telah membunuh Nina Farrina binti Simbul (NO KP: 960508-01-6352), dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. KES PENDAKWAAAN [3] Kes pendakwaan menyatakan pada 21.4.2017, jam 4 petang, Shahrul Nizam bin Abdullah (SP 6) selepas menghantar ibu saudaranya ke tempat kerja di Pasar Larkin, pulang ke rumah di No 6, Jalan Sri Bahagia 1, Taman Sri Bahagia, Tampoi, Johor Bahru (“tempat kejadian”). Pada masa itu Perayu berada di ruang tamu. SP 6 kemudian bertanya kepada Perayu sama ada Perayu memerlukan SP 6 membeli sesuatu untuk Perayu kerana SP 6 hendak ke kedai membeli lauk. Perayu meminta SP 6 untuk membeli petrol. Apabila SP 6 bertanya kepada Perayu tujuan membeli petrol tersebut, Perayu tidak mengendahkan pertanyaan SP 6 dan hanya menyuruh SP 6 membeli petrol. SP 6 telah mengambil sebiji botol di dapur dan keluar untuk membeli lauk dan juga petrol RM 2.00. Apabila SP 6 tiba di rumah dari kedai, Perayu menyuruh SP 6 meletakkan botol petrol itu di dalam bilik Perayu. Menurut SP 6, tiga daripada anak saudaranya, Perayu dan si mati, berada di rumah tempat kejadian pada masa itu. [4] SP 6 kemudiannya pergi ke dapur untuk menyimpan lauk yang dibeli. SP 6 dengar pertengkaran Perayu dan si mati. SP 6 kembali ke ruang tamu dan meminta Perayu dan si mati supaya berhenti bertengkar. Perayu bagaimanapun menyuruh SP 6 masuk ke dalam bilik dan tidak masuk campur. Menurut SP 6, pertengkaran antara tertuduh dan si mati menjadi tegang. Pada masa itu, SP 6 terdengar bunyi percikan dan dia mengintip di antara tirai untuk melihat. SP 6 melihat Perayu menyimbah petrol ke atas si mati. Dalam masa kurang daripada seminit, SP 6 melihat api menyala. SP 6 bergegas keluar dari rumah melalui tingkap. SP 6 tidak melihat siapa yang menyalakan api yang menyebabkan si mati yang telah disimbah dengan petrol terbakar. [5] Selepas itu, SP 6 memanggil ambulans. Apabila SP 6 membuka ‘sliding door’ di bahagian hadapan rumah, asap hitam telah memenuhi ruang tamu dan SP 6 melihat si mati terbakar. Selepas SP 6 membuka ‘sliding door’ tersebut, Perayu membawa si mati keluar dari dalam rumah.