(ii) pelaksanaan hak tersebut, iaitu bagaimana harta pusaka diturun milik, dipindah milik, dijual, diletak hak atau didaftarkan. [27] Dalam kes ini, hak substantif telah ditentukan. Yang dibangkitkan hanyalah isu pelaksanaan. D4. Seksyen 433B Kanun Tanah Negara 1965 [28] Seksyen 433B Kanun Tanah Negara 1965 secara amnya memperuntukkan bahawa pemerolehan tanah, kepentingan dalam tanah atau pindah milik kepada bukan warganegara adalah tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. [29] Peruntukan ini penting kerana Responden Kedua ialah seorang warganegara India walaupun beliau merupakan pemastautin tetap Malaysia. [30] Namun, seksyen 433B tidak boleh dibaca sebagai larangan mutlak terhadap pemilikan atau pemerolehan kepentingan tanah oleh bukan warganegara. Struktur peruntukan itu sendiri menunjukkan bahawa undang-undang membenarkan perkara tersebut berlaku, tetapi hanya selepas kelulusan Pihak Berkuasa Negeri diperoleh. [31] Oleh itu, isu seksyen 433B menyentuh persoalan pendaftaran, pelaksanaan, kelulusan pentadbiran tanah dan kawal selia Pihak Berkuasa Negeri. Ia tidak dengan sendirinya menghapuskan hak Responden Kedua sebagai benefisiari pusaka. [32] Jika tidak, akibatnya akan menjadi tidak munasabah. Seorang waris yang sah menurut undang-undang pusaka akan dinafikan haknya hanya kerana beliau bukan warganegara, sedangkan undang-undang tanah sendiri menyediakan mekanisme permohonan kelulusan. Mahkamah tidak boleh membaca seksyen 433B sedemikian rupa sehingga ia menafikan hak pusaka sebelum proses kelulusan dimulakan. E. ANALISIS MAHKAMAH E1. Tiada pertikaian mengenai asas permohonan Pemohon [33] Mahkamah mendapati bahawa asas permohonan Pemohon adalah kukuh. [34] Pertama, Pemohon ialah Pentadbir yang sah kepada harta pusaka Simati. Perkara ini tidak dicabar. [35] Kedua, 24 hartanah yang disenaraikan dalam Saman Pemula adalah harta tak alih yang termasuk dalam harta pusaka Simati. Perkara ini juga tidak dipertikaikan. [36] Ketiga, waris-waris yang berhak telah ditentukan melalui Sijil Faraid. Sijil tersebut menunjukkan tiga waris sahaja, iaitu Pemohon, Responden Pertama dan Responden Kedua. [37] Keempat, bahagian asal masing-masing telah ditentukan, iaitu 2/5 kepada Pemohon, 2/5 kepada Responden Pertama dan 1/5 kepada Responden Kedua. [38] Kelima, Responden Pertama telah melepaskan bahagian beliau kepada Pemohon. Tiada bantahan substantif dibuat terhadap pelepasan tersebut. [39] Oleh itu, pembahagian akhir yang dipohon oleh Pemohon, iaitu 4/5 kepada Pemohon dan 1/5 kepada Responden Kedua, tidak mengubah atau mengurangkan hak Responden Kedua. Responden Kedua tetap menerima 1/5 bahagian sebagaimana yang ditentukan oleh Sijil Faraid. E2. Bantahan Responden Kedua bukan bantahan terhadap hak, tetapi terhadap mekanisme [40] Mahkamah menerima bahawa Responden Kedua telah memperbetulkan salah faham dalam hujahan Pemohon. Responden Kedua bukan mengatakan beliau tidak mahu 1/5 bahagian. Beliau hanya tidak bersetuju supaya setiap hartanah didaftarkan dalam nisbah 4/5 kepada Pemohon dan 1/5 kepada beliau. [41] Bantahan ini mesti difahami secara tepat. la bukan bantahan terhadap hak faraid. la juga bukan bantahan terhadap kuasa Pemohon sebagai Pentadbir. la ialah bantahan terhadap kaedah pelaksanaan yang dicadangkan oleh Pemohon. [42] Pada hemat Mahkamah, perbezaan ini penting. Sekiranya Responden Kedua mempertikaikan haknya atau mempertikaikan kesahan Sijil Faraid, isu yang timbul mungkin berlainan. Namun dalam keadaan sekarang, Mahkamah hanya berhadapan dengan bantahan terhadap kemungkinan kesukaran pelaksanaan. E3. Mahkamah tidak menerima bahawa seksyen 433B menjadikan permohonan Pemohon tidak sah [43] Responden Kedua berhujah bahawa memandangkan beliau bukan warganegara Malaysia, seksyen 433B Kanun Tanah Negara menjadikan pindah milik kepadanya sangat sukar, malah dihujahkan sebagai hampir mustahil. [44] Mahkamah tidak dapat menerima hujahan tersebut. [45] Pertama, tiada sebarang permohonan kepada Pihak Berkuasa Negeri telah dibuat. Oleh itu, belum ada sebarang keputusan yang boleh dinilai oleh Mahkamah. [46] Kedua, tiada bukti bahawa Pihak Berkuasa Negeri akan menolak permohonan tersebut. [47] Ketiga, tiada bukti mengenai dasar kerajaan negeri yang menyatakan bahawa permohonan seperti ini pasti tidak akan diluluskan. [48] Keempat, tiada bukti bahawa mana-mana Pendaftar Hakmilik telah menolak pendaftaran berdasarkan perintah yang dipohon. [49] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah diminta untuk menolak permohonan Pemohon berdasarkan kemungkinan bahawa kelulusan mungkin tidak diperoleh pada masa hadapan. Pada pandangan Mahkamah, hal ini terlalu spekulatif. [50] Mahkamah tidak seharusnya menolak suatu permohonan pentadbiran pusaka yang pada asasnya sah semata-mata kerana terdapat kemungkinan bahawa pada masa hadapan proses pendaftaran mungkin memerlukan kelulusan lanjut atau mungkin menghadapi halangan pentadbiran. [51] Jika kelulusan di bawah seksyen 433B diperlukan, pihak yang berkaitan hendaklah memohon kelulusan tersebut. Jika kelulusan diberikan, tiada masalah. Jika kelulusan ditolak, maka barulah isu sebenar timbul dan pihak-pihak boleh mengambil langkah yang bersesuaian menurut undang-undang. [52] Mahkamah tidak boleh membuat keputusan berdasarkan anggapan bahawa permohonan kepada Pihak Berkuasa Negeri pasti akan gagal. E4. Mahkamah tidak perlu menyelesaikan semua kemungkinan masalah pelaksanaan [53] Satu persoalan penting dalam kes ini ialah sama ada Mahkamah perlu pada peringkat ini menentukan apakah yang perlu berlaku sekiranya bahagian Responden Kedua tidak dapat didaftarkan. [54] Pada hemat Mahkamah, jawapannya adalah tidak. [55] Fungsi Mahkamah dalam permohonan ini adalah untuk menentukan sama ada Pemohon sebagai Pentadbir patut diberi kebenaran untuk melaksanakan pembahagian harta pusaka berdasarkan hak benefisiari yang telah ditentukan. [56] Mahkamah tidak diminta untuk memberikan pandangan atau nasihat tentang semua kemungkinan yang mungkin berlaku pada peringkat pelaksanaan. Mahkamah juga tidak diminta untuk menentukan lebih awal bagaimana Pendaftar Hakmilik atau Pihak Berkuasa Negeri akan bertindak. [57] Jika selepas perintah dibuat terdapat isu pendaftaran, isu tersebut hendaklah ditangani melalui mekanisme yang disediakan oleh undang-undang tanah. Pihak-pihak juga boleh kembali ke Mahkamah jika terdapat keperluan undang-undang untuk mendapatkan arahan lanjut. [58] Dengan hormat, Mahkamah tidak wajar menolak permohonan hari ini semata-mata kerana mungkin timbul masalah di masa depan. [59] Sesuatu permohonan di bawah seksyen 60 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 tidak patut ditolak semata-mata kerana terdapat kemungkinan berlakunya kesukaran pelaksanaan pada masa hadapan, selagi permohonan itu tidak menyalahi undangundang, tidak mengurangkan hak mana-mana benefisiari dan tidak terbukti mustahil untuk dilaksanakan. E5. Cadangan supaya bahagian Responden Kedua dipindahkan kepada suaminya [60] Responden Kedua mencadangkan supaya bahagian 1/5 beliau dipindahkan kepada suaminya kerana suaminya ialah warganegara Malaysia. [61] Mahkamah tidak dapat menerima cadangan tersebut. [62] Suami Responden Kedua bukan waris Simati. Beliau tidak dinamakan dalam Sijil Faraid. Beliau bukan benefisiari harta pusaka. Beliau juga bukan pihak kepada prosiding ini. [63] Mahkamah tidak boleh, dalam satu permohonan pentadbiran pusaka, memerintahkan aset pusaka dipindah milik terus kepada seorang bukan benefisiari tanpa asas undang-undang yang jelas dan tanpa permohonan yang sewajarnya. [64] Jika selepas menerima bahagiannya Responden Kedua ingin memindahkan, menjual, menghadiahkan atau menyerahkan haknya kepada suami beliau, itu adalah hak beliau sebagai pemilik atau pemegang kepentingan, tertakluk kepada undangundang yang berkuat kuasa. Namun itu bukan alasan untuk Mahkamah mengarahkan pindah milik terus daripada pusaka Simati kepada suami Responden Kedua dalam prosiding ini. E6. Cadangan supaya semua hartanah dijual [65] Responden Kedua juga mencadangkan supaya semua hartanah dijual dan hasil jualan dibahagikan mengikut bahagian 4/5 dan 1/5. [66] Mahkamah menerima bahawa cadangan tersebut mungkin kelihatan praktikal dari perspektif Responden Kedua. Namun persoalan bagi Mahkamah bukanlah semata-mata apakah kaedah yang paling mudah bagi seorang benefisiari. Persoalannya ialah sama ada terdapat asas undang-undang untuk Mahkamah menolak permohonan Pentadbir dan memerintahkan semua hartanah dijual. [67] Dalam kes ini, tiada permohonan balas difailkan untuk perintah jualan. Tiada penilaian dikemukakan. Tiada bukti bahawa semua hartanah tersebut tidak boleh diagihkan. Tiada bukti bahawa penjualan adalah perlu untuk menyelesaikan hutang pusaka. Tiada persetujuan semua benefisiari untuk penjualan. Pemohon selaku Pentadbir juga tidak bersetuju. [68] Mahkamah tidak boleh memaksa semua harta pusaka dijual semata-mata kerana salah seorang benefisiari berpendapat bahawa penjualan adalah lebih praktikal. [69] Penjualan harta pusaka mungkin menjadi satu mekanisme yang sesuai dalam keadaan tertentu. Namun ia perlu disokong oleh fakta, permohonan dan asas undang-undang yang jelas. Hal itu tidak wujud dalam kes ini. E7. Cadangan supaya Pemohon membeli bahagian Responden Kedua [70] Responden Kedua juga mencadangkan supaya hartanahhartanah dinilai dan Pemohon membayar kepada beliau nilai 1/5 bahagian beliau. [71] Mahkamah juga tidak dapat menerima cadangan ini sebagai asas untuk menolak permohonan Pemohon. [72] Cadangan tersebut pada hakikatnya merupakan satu bentuk "buy-out" antara benefisiari. la mungkin boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh pihak-pihak. Namun Mahkamah tidak boleh memaksa Pemohon membeli bahagian Responden Kedua tanpa persetujuan Pemohon dan tanpa asas undang-undang yang jelas. [73] Tambahan pula, tiada penilaian dikemukakan. Tiada syarat pembayaran dicadangkan secara lengkap. Tiada cadangan bagaimana kos, cukai, levi atau perbelanjaan lain hendak ditanggung. Oleh itu, cadangan tersebut bukan satu alternatif yang matang untuk diperintahkan oleh Mahkamah pada peringkat ini. E8. Cadangan Pemohon mengenai pemegang amanah atau pindah milik kepada anak Responden Kedua [74] Dalam afidavit balasan, Pemohon pula mencadangkan secara alternatif supaya beliau dilantik sebagai pemegang amanah bagi bahagian Responden Kedua atau bahagian Responden Kedua diberikan kepada anaknya yang merupakan warganegara Malaysia. [75] Mahkamah juga tidak membuat apa-apa perintah berdasarkan cadangan alternatif ini. [76] Relief asal dalam Saman Pemula tidak memohon pelantikan Pemohon sebagai pemegang amanah. Tidak ada persetujuan jelas Responden Kedua untuk mewujudkan amanah tersebut. Mahkamah juga tidak mempunyai asas yang cukup untuk mengalihkan hak Responden Kedua kepada anaknya, yang bukan pihak dan bukan benefisiari pusaka Simati. [77] Oleh itu, Mahkamah mengehadkan pertimbangannya kepada prayer asal dalam Saman Pemula. E9. Perbezaan antara hak dan pendaftaran [78] Kes ini memperlihatkan kepentingan membezakan antara hak pusaka dan pendaftaran hak milik. [79] Hak Responden Kedua sebagai benefisiari timbul daripada hubungan kekeluargaan dan disahkan melalui Sijil Faraid. Hak tersebut tidak hilang hanya kerana proses pendaftaran mungkin memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. [80] Sebaliknya, pendaftaran hak milik tanah adalah tertakluk kepada Kanun Tanah Negara. Jika Kanun Tanah Negara menghendaki kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, maka kelulusan tersebut hendaklah dipohon. Jika terdapat syarat nyata, sekatan kepentingan, levi atau keperluan pentadbiran lain, maka ia hendaklah dipatuhi. [81] Perintah Mahkamah dalam permohonan ini tidak mengetepikan Kanun Tanah Negara. Ia juga tidak memaksa Pihak Berkuasa Negeri meluluskan apa-apa permohonan. Perintah ini hanya memberikan kebenaran kepada Pentadbir untuk melaksanakan pentadbiran pusaka mengikut hak benefisiari yang telah ditentukan. [82] Dengan kata lain, perintah Mahkamah ini tidak menggantikan fungsi Pihak Berkuasa Negeri atau Pendaftar Hakmilik. Sebaliknya, perintah ini beroperasi dalam ruang lingkup probet dan pentadbiran pusaka F. DAPATAN MAHKAMAH [83] Berdasarkan keseluruhan alasan di atas, Mahkamah membuat dapatan berikut. [84] Pertama, Pemohon ialah Pentadbir yang sah kepada harta pusaka Simati. [85] Kedua, 24 hartanah yang disenaraikan adalah harta tak alih yang termasuk dalam pusaka Simati. [86] Ketiga, Sijil Faraid telah menentukan waris dan bahagian masing-masing. [87] Keempat, selepas mengambil kira pelepasan hak oleh Responden Pertama, pembahagian akhir yang dipohon oleh Pemohon, iaitu 4/5 kepada Pemohon dan 1/5 kepada Responden Kedua, adalah selaras dengan hak benefisiari yang tidak dipertikaikan. [88] Kelima, permohonan ini tidak menjejaskan atau mengurangkan hak Responden Kedua. Sebaliknya, ia mengiktiraf hak beliau sebanyak 1/5 bahagian. [89] Keenam, bantahan Responden Kedua berdasarkan seksyen 433B Kanun Tanah Negara adalah bersifat pramatang dan spekulatif kerana tiada permohonan kelulusan kepada Pihak Berkuasa Negeri dibuat dan tiada keputusan penolakan dikemukakan. [90] Ketujuh, cadangan alternatif Responden Kedua tidak boleh diperintahkan dalam prosiding ini kerana ia melibatkan pihak bukan benefisiari, tidak dipersetujui semua pihak, tidak disokong oleh permohonan balas yang sewajarnya, dan tidak disokong oleh keterangan yang mencukupi. [91] Kelapan, jika pada peringkat pelaksanaan atau pendaftaran kelak timbul apa-apa isu di bawah Kanun Tanah Negara atau mana-mana undang-undang lain, pihak-pihak bebas mengambil langkah yang sesuai menurut undang-undang. Isu tersebut tidak menjadi alasan untuk menolak permohonan Pemohon pada peringkat ini. G. KESIMPULAN [92] Mahkamah menegaskan bahawa fungsi Mahkamah dalam permohonan ini adalah terhad kepada pemberian kebenaran kepada Pentadbir untuk melaksanakan pentadbiran harta pusaka menurut hak benefisiari yang telah ditentukan. Mahkamah tidak perlu, dan tidak wajar, menyelesaikan secara pramatang segala kemungkinan kesukaran yang mungkin timbul pada peringkat pendaftaran tanah. [93] Mahkamah juga menegaskan bahawa keputusan ini tidak bermaksud seksyen 433B Kanun Tanah Negara diketepikan. Sebaliknya, mana-mana keperluan di bawah Kanun Tanah Negara tetap perlu dipatuhi pada peringkat pelaksanaan. [94] Apa yang diputuskan oleh Mahkamah hanyalah bahawa kemungkinan berlakunya kesukaran pelaksanaan pada masa hadapan, tanpa bukti bahawa pelaksanaan tersebut mustahil atau telah ditolak oleh pihak berkuasa yang berkenaan, bukanlah alasan yang mencukupi untuk menolak permohonan Pentadbir di bawah seksyen 60 Akta Probet dan Pentadbiran 1959. [95] Oleh itu, permohonan Pemohon dibenarkan seperti yang dipohon dalam Saman Pemula. [96] Kandungan Mahkamah 1 dibenarkan. Tiada perintah berkenaan kos. Tarikh: 16 Julai 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Peguam Bagi Pihak : Tetuan Edwin Ng Syamsul & Associates Pemohon Peguambela & Peguamcara No. A-137 (1 $ ^{st} $ Floor) Bangunan Sri Prima Jalan Haji Abdul Aziz 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur : Tetuan Balendran Chong Peguambela & Peguamcara No. 42-A, Jalan Square 6 Putra Squate 25200 Kuantan Pahang Darul Makmur