(ii) ia adalah suatu undang-undang yang mantap bahawa ketiadaan alsan penghakiman tidak menjadikan sesuatu sabitan menjadi tak sah. [10] Adalah jelas bahawa wujud banyak nas-nas dari keputusan mahkamah di pelbagai peringkat sehingga ke Mahkamah Persekutuan yang membolehkan/membenarkan rayuan didengar tanpa alasan penghakiman hakim bicara. [11] Ketiadaan alasan penghakiman semata-mata bukan alasan untuk tidak mendengar rayuan kerana rayuan masih boleh terus berjalan. Ini kerana “an appeal is a continuation of proceedings by way of rehearing and an appeal court may subject the evidence to a critical re-examination. The appeal court has the power to reevaluate and to review all the evidence available as adduced by the prosecution." [12] Apa yang jelas dalam semua keputusan mahkamah yang terdahulu adalah tidak ada satu formula yang tetap bahawa apabila tiada alasan penghakiman disediakan, maka sesuatu rayuan hendaklah secara automatik ditukar menjadi suatu semakan jenayah, atau mendengar rayuan secara menggunakan prosedur rayuan. [13] Mahkamah ini memutuskan bahawa keputusan sama ada untuk meneruskan sesuatu rayuan tanpa alasan penghakiman melalui rayuan atau semakan jenayah adalah tertakluk kepada fakta dan keadaan dalam setiap kes. Mahkamah juga boleh mengambil kira permohonan perayu sama ada memohon rayuannya didengar secara rayuan atau semakan jenayah. [14] Berdasarkan fakta dan keadaan kes ini, dan mengambil kira bahawa Pesalah sendiri selaku perayu telah memohon Mahkamah ini meneruskan rayuannya secara rayuan substantif, maka Mahkamah ini mengarahkan supaya rayuan-rayuan dalam kes ini diteruskan secara rayuan dan bukannya semakan jenayah. [15] Memandangkan tiada alasan penghakiman disediakan, Mahkamah juga memutuskan bahawa peruntukan seksyen 310 Kanun Prosedur Jenayah adalah terpakai. Oleh itu, pihak-pihak adalah tidak terhalang dari meneruskan dengan rayuan masing-masing walaupun tidak mematuhi kehendak subseksyen 307(3), (4, (5) dan (6) Kanun Prosedur Jenayah mengenai pemfailan Petisyen Rayuan, dan kehendak subseksyen 307(9) Kanun Prosedur Jenayah adalah tidak terpakai kepada Perayu-Perayu. [16] Nota Prosiding Mahkamah ini menunjukkan bahawa walaupun Mahkamah ini memutuskan sedemikian, peguam Perayu memaklumkan mahkamah ini bahawa Perayu mengarahkan beliau untuk memfailkan Petisyen Rayuan dan tidak akan membuat permohonan untuk pemakaian s. 310 Kanun Prosedur Jenayah. [17] Subseksyen 307(6) Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan: “(6) Every petition of appeal shall state shortly the substance of the judgment appealed against and shall contain definite particulars of the points of law or of fact in regard to which the Court appealed from is alleged to have erred.” [18] Jelas sekali peruntukan mengenai Petisyen Rayuan itu tidak menggunakan frasa “grounds of decision” yang disebutkan dalam subseksyen 307(3), (3A) dan (4) tetapi “judgment”. [19] Mahkamah ini memutuskan berdasarkan peruntukan itu, walaupun ketiadaan Alasan Penghakiman yang disediakan oleh hakim bicara, subseksyen 307(6) CPC tidak menghalang Perayu dari memfailkan Petisyen Rayuan. [20] Satu lagi yang dibangkitkan oleh Pendakwa Raya ialah peguam Perayu telah memfailkan Petisyen Rayuan Perayu di luar masa. Mahkamah ini memutuskan demi keadilan kepada Perayu, Mahkamah ini membenarkan pemfailan Petisyen Rayuan itu di luar masa kerana ia sama sekali tidak menimbulkan sebarang bentuk prejudis atau ketakadilan kepada pihak Pendakwa Raya. Kes Pihak Pendakwaan [21] Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah disampaikan oleh saksi-saksi pendakwaan, ringkasan fakta bagi kes ini adalah seperti berikut: