(f) kematian si mati tidak berlaku dengan serta merta sebaliknya si mati masih boleh bergerak sejauh hampir 100 meter dari tempat kejadian dan telah meninggal dunia lebih kurang 4 jam selepas mendapat kecederaan di leher. Dapatan dan keputusan kami [17] Mengenai elemen niat, peguam bela menghujahkan bahawa keterangan Perayu menyatakan dia hanya melibas golok sekali ke arah si mati akibat terkejut ketika si mati menjerit di bahagian belakang Perayu. Peguam bela juga menghujahkan bahawa si mati berada dalam keadaan berdiri berdasarkan terdapat percikan darah di dinding berhampiran Rayuan Jenayah No: D-05(M)-113-02/2018 10 dengan tingkap seperti ditunjukkan dalam gambar F18 di muka surat 38, Rekod Rayuan Jilid 3. [18] Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam bela terpelajar. Mengenai kesan darah pada dinding tidak menunjukkan corak darah yang terpercik. Ia lebih menunjukkan seperti kesan jari tangan si mati yang bangun dari kedudukan baring dari atas tilam untuk keluar dari rumah bagi mendapatkan pertolongan tetapi akhirnya telah jatuh dan terbaring di atas jalan tar lebih kurang 100 meter dari rumahnya. Laporan bedah siasat oleh Dr. Wan Mohamad Zamri bin Wan Nawawi (SP6) menyatakan terdapat luka hirisan pada jari-jari dan tapak tangan di tangan kiri si mati. SP6 mengesahkan luka-luka hirisan ini adalah kecederaan untuk mempertahankan diri (defensive wounds). [19] Kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa si mati dalam keadaan berbaring atas tilam pada masa kecederaan yang dikenakan terhadapnya. Kami juga bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa kecederaan yang dialami oleh si mati bukan dilakukan secara tidak sengaja seperti menurut dakwaan Perayu. Kedudukan darah yang tertumpu di atas tilam dan bantal (lihat gambar F16) serta luka hirisan di leher si mati tidak selari dengan dakwaan Perayu. SP6 telah menjelaskan bahawa dua luka hirisan di leher di dua tempat yang berbeza seperti jelas kelihatan pada gambar F28 di muka surat 45, Rekod Rayuan Jilid 3, menunjukkan leher si mati telah dikelar sebanyak dua kali dan ia telah dilakukan dengan sengaja dan penuh kesedaran oleh pelaku yang menyerang si mati. Perbuatan Perayu menghiris bahagian leher si mati sebanyak dua kali jelas kepada kami niat Perayu untuk membunuh si mati atau mengetahui bahawa perbuatannya itu akan mendatangkan kecederaan yang pada lazimnya Rayuan Jenayah No: D-05(M)-113-02/2018 11 boleh membawa kepada kematian si mati. Ini terjumlah bawah seksyen 300 (a) dan (c) Kanun Keseksaan. [20] Jika sekiranya keterangan Perayu bahawa dia telah melibas golok ke arah si mati hanya satu kali, Perayu dalam pembelaannya mengakui perbuatannya itu sangat merbahaya dan boleh mendatangkan kematian kepada si mati. Perayu menyatakan niatnya hanya untuk merompak dan merogol mangsa. Jika ini benar, mengapa perlu Perayu yang pada asalnya membawa kayu tetapi kemudiannya apabila masuk ke dalam rumah si mati telah mengambil sebilah golok. Tindakan Perayu sendiri menunjukkan niat sebenarnya dan niat untuk membunuh boleh timbul pada saat dan ketika Perayu mengelar leher si mati. Kami petik keterangan Perayu di muka surat 161 - 162, Rekod Rayuan Jilid 2 seperti berikut: “S : Kamu tahu golok itu tajam? : Tahu. : Kalau kita libas orang, orang boleh mati? : Boleh. : Kamu libas mula-mula dia terpekik, kemudian kamu libas sekali lagi? : Tak, saya libas sekali saja. : Kenapa ada dua kesan libas? : Libas sekali saja.” [21] Melalui pengakuan Perayu dan perbuatan Perayu melibas si mati yang berada di bahagian belakangnya boleh terjumlah kepada satu Rayuan Jenayah No: D-05(M)-113-02/2018 12 perbuatan dengan penuh niat dan pengetahuan boleh mendatangkan kematian kepada si mati di bawah seksyen 300 (b) Kanun Keseksaan. [22] Kami juga tidak dapat menerima hujahan Perayu bahawa Perayu melibas sekali ke arah si mati yang berada di belakangnya dan golok telah memantul semula untuk menjadikan dua hirisan di leher si mati. Dakwaan ini hanya satu pandangan yang tidak berasas (mere conjecture). Luka hirisan di tangan kiri seperti disebutkan oleh SP6 sebagai kecederaan untuk mempertahankan diri (defensive wounds) lebih menyokong kes pendakwaan bahawa si mati telah diserang oleh Perayu secara berhadapan dan si mati yang melihat senjata golok yang digunakan Perayu untuk menyembelih lehernya telah secara spontan memegang bilah golok tersebut untuk mempertahankan dirinya sehingga menyebabkan semua jari-jari dan juga tapak tangan kiri si mati mengalami kecederaan luka hirisan. [23] Perkara terakhir ditimbulkan oleh Perayu berkaitan dengan elemen niat ialah bahawa sekiranya Perayu sememangnya berniat untuk membunuh si mati, kematian si mati akan berlaku di situ juga. Dihujahkan kematian si mati tidak berlaku dengan serta merta. Kami mendapati hujahan ini juga tidak berasas dan tersasar. Sekiranya tanpa niat untuk membunuh dan perlakuan Perayu secara tidak sengaja, mengapakah Perayu terus melarikan diri dari tempat kejadian meninggalkan si mati tanpa memberikan sebarang pertolongan mahupun untuk meminta sebarang bantuan untuk cuba menyelamatkan nyawa si mati. [24] Apa yang telah dilakukan oleh Perayu selepas mengelar leher si mati, kemudian merogol si mati yang pada masa itu mengalami Rayuan Jenayah No: D-05(M)-113-02/2018 13 kecederaan dan pendarahan yang serius di leher dan sempat pula mengambil wang si mati sebelum meninggalkan si mati menderita akibat perbuatan Perayu tidak selari dengan ketidakbersalahannya. Seharusnya jika Perayu tiada niat untuk membunuh, Perayu wajar menolong atau memberi bantuan kepada si mati. Sebaliknya Perayu meninggalkan si mati dan terus pergi minum bir sehingga mabuk di sebuah restoran. Kelakuan Perayu juga berkaitan dan boleh dibuat inferen yang munasabah menunjukkan niat sebenar Perayu untuk membunuh si mati. [25] Kami mendapati hujahan Perayu langsung tidak menyentuh keterangan SP22, saksi mata yang melihat kejadian yang berlaku. SP22 menyatakan bahawa dia melihat bagaimana orang jahat (melalui kawad cam yang diadakan telah mengecamkan Perayu) telah mengelar leher si mati dan “menyucuk si mati dengan jarum” (merogol si mati). Hakim bicara telah menerima keterangan SP22 untuk menyokong sabitan terhadap Perayu dalam kes ini di bawah seksyen 133A Akta Keterangan 1950. [26] Hakim bicara telah menolak pembelaan Perayu dengan mengemukakan alasan-alasan dalam penghakimannya yang kami petik seperti berikut di muka surat 35 – 36, Rekod Rayuan Jilid 1: “[68] Dari keterangan-keterangan di atas, Mahkamah menyimpulkan bahawa Tertuduh telah melakukan kecederaan-kecederaan tersebut secara sengaja dengan niat untuk membunuh. Kecederaan yang dilakukan adalah “deliberate” dan disasarkan terhadap leher yang mempunyai urat dan nadi yang membawa darah dan oksigen ke otak. Adalah jelas kecederaan yang sengaja dilakukan ini adalah disasarkan ke “vital organ” si mati iaitu leher di bahagian urat dan nadi, sekaligus menunjukkan bahawa di dalam keadaan serius ini akan menyebabkan Rayuan Jenayah No: D-05(M)-113-02/2018 14 kematian sebagaimana diterangkan oleh SP6. Ini dengan sendiri memenuhi kehendak seksyen 300(c) Kanun Keseksaan. Malahan seksyen 300(a) dan (b) juga terpakai. [69] Tertuduh juga tidak menyangkal eksibit-eksibit yang dikemukakan oleh Pendakwaan khususnya Eksibit Parang (P41B (1)) yang merupakan barang kes yang dirampas di tempat kejadian oleh SP10 sebagai senjata yang mencederakan si mati dan sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Note berwarna Putih (P56C (1)) milik mangsa yang dijumpai di “Restoran Selatan/GM Sakura”, iaitu Restoran di mana Tertuduh telah memabukkan dirinya selepas kejadian. [70] Tertuduh telah mengakui mengambil parang tersebut yang berada di sinki di rumah tersebut. Tertuduh mengaku sebelum datang ke rumah si mati, Tertuduh telah membawa kayu. Namun setelah memasuki rumah si mati, Tertuduh mengambil parang tersebut pula. Mahkamah mendapati tidak ada keperluan untuk menggunakan parang tersebut jika tujuannya adalah untuk merompak ataupun merogol. [71] Tertuduh menyatakan dia melibas parang ke atas mangsa/si mati akibat daripada terperanjat apabila si mati terjaga dan telah mengenai leher si mati. Di dalam erti kata lain, Tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh. Mahkamah mendapati pembelaan ini tidak boleh diterima dan tidak masuk akal. [72] Ini adalah kerana dari keterangan SP22, Mahkamah berpendapat tindakan ini adalah disengajakan (deliberate) dan memang disasarkan terhadap leher. Sebab itu SP22 menyatakan bahawa ibunya di“sembelih”. SP22 berkata “dia ambil golok dan kerat tengkok ibu”. Tambah-tambah lagi, jika benar Tertuduh terperanjat dan akibat daripada “reflect action”nya, terlibas si mati kenapa Tertuduh telah mensasarkan organ penting iaitu “leher” khususnya di bahagian urat dan nadi. Rayuan Jenayah No: D-05(M)-113-02/2018 15 [73] Seperkara lagi jika benar Tertuduh terlibas kenapa ia meninggalkan 2 kecederaan kelaran. Tambah-tambah lagi terdapat “defensive wound” di tangan mangsa yang menunjukkan Tertuduh bukan saja mengelar di leher tetapi membuat serangan terhadap anggota lain si mati di dalam usaha si mati menahan serangan Tertuduh. [74] Adalah tidak dipertikaikan bahawa Tertuduh telah merompak dan merogol si mati. Tertuduh mengaku telah mengambil RM200 dari dalam dompet si mati dan sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Note berwarna Putih (Eksibit P56C (1)) yang Tertuduh tertinggal di Restoran Selatan. Tertuduh menyatakan semasa merogol si mati, si mati masih boleh bergerak tetapi tidak boleh bercakap. Ini adalah konsisten dengan luka kelar di leher si mati yang dilakukan oleh Tertuduh”. [27] Kami mendapati tiada merit dalam penghujahan Perayu atas alasan rayuan di perenggan (a). Hakim bicara telah membuat dapatan fakta dan menilai kredibiliti saksi-saksi. Dapatan hakim bicara tidak wajar diganggu gugat tanpa alasan yang kukuh. [28] Sekarang kami beralih kepada alasan rayuan kedua Perayu. Bantahan peguam bela Perayu hanyalah terhadap pernyataan nazak (P54) yang diberikan oleh si mati secara bertulis tidak menyebutkan bahawa Perayu sebagai orang yang telah membunuhnya. Sebaliknya, P54 hanya menyebut perkataan ‘kelar’, ‘samun’ dan ‘rogol’ sahaja tetapi tidak ada menyebut perkataan ‘membunuh’. Hakim bicara dihujahkan telah gagal untuk membuat pertimbangan sewajarnya tentang perkara ini. [29] Kami telah merujuk kepada P54 seperti di muka surat 118, Rekod Rayuan Jilid 3 yang menyebutkan seperti berikut: “anak abe Mat Tanah Putih yang rogol kelar samun duit”. Rayuan Jenayah No: D-05(M)-113-02/2018 16 [30] Tiada pertikaian terhadap kesahihan P54 telah ditulis sendiri oleh si mati semasa sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang dengan disaksikan oleh jururawat, Juniwartini binti Arshad (SP13). Juga tidak dipertikaikan bahawa ‘anak abe Mat Tanah Putih’ yang dimaklumkan oleh si mati merujuk kepada Perayu. Keterangan SP16 dan SP17 turut mengesahkan Perayu anak mereka. SP16 turut mengesahkan bahawa dia kenal dengan suami si mati, Mohd Azrul bin Ishak (SP19) selama lebih 2 tahun pada masa kejadian. Mereka bersama memelihara ayam hutan dan rebannya berada di rumah SP19. Keterangan SP16 juga menyatakan bahawa setiap kali dia datang ke rumah SP19, dia akan datang bersama-sama dengan Perayu. Keterangan SP16 ini sekaligus menyangkal keterangan Perayu yang menafikan pernah melihat dan mengenali si mati. [31] Mengenai bantahan peguam bela bahawa P54 tidak menyebut perkataan “membunuh”, jawapan kami adalah ringkas. Pada masa si mati menulis P54, si mati masih hidup dan tidak mengetahui dengan pasti bahawa dia akan menemui ajal. Adalah tidak munasabah sekiranya si mati pada waktu dia masih hidup menyatakan anak abe Mat Tanah Putih yang telah membunuhnya sedangkan si mati masih lagi hidup. [32] Hakim bicara dalam penghakimannya telah menerima P54 sebagai bukti keterlibatan Perayu sebagai pelaku (identity) yang telah menyebabkan kematian si mati dalam kes ini. P54 telah diterima masuk melalui saksi SP13 melalui peruntukan seksyen 32(1)(a) dan (i) Akta Keterangan 1950. Hakim bicara juga telah menerima keterangan SP13 sebagai seorang saksi yang jujur dan boleh dipercayai. Adalah undang-undang mantap bahawa P54 boleh diterima dengan tanpa memerlukan kepada sebarang keterangan sokongan. Rayuan Jenayah No: D-05(M)-113-02/2018 17 [33] Seksyen 32(1)(a) dan (i) Akta Keterangan 1950 kami perturunkan untuk kesenangan rujukan: “Cases in which statement of relevant fact by person who is dead or cannot be found, etc., is relevant