Whether the defence had raised a reasonable doubt against the finding of actual trafficking.” [42] Dengan merujuk kepada kes Roman Zolotarov, peguam perayu menghujahkan perayu bukan sahaja perlu mematahkan anggapan seksyen 37(d), tetapi juga perlu menimbulkan keraguan munasabah. [43] Timbalan Pendakwa Raya pula menghujahkan bahawa HMT menggunapakai seksyen 37(d). Ulasan HMT di perenggan 105 dan 157 alasan penghakiman menunjukkan HMT tidak keliru mengenai beban yang diletakkan ke atas perayu. Di perenggan 105 dan 157 penghakiman, HMT memutuskan: “[105] Keterangan tertuduh semasa membela diri bahawa tertuduh tiada pengetahuan tentang dadah dalam beg bagasi dan beg tersebut kepunyaan pemandu UBER (SP6) sukar diterima atau dipercayai oleh mahkamah ini. Justeru, tertuduh di atas imbangan kebarangkalian, telah gagal mematahkan anggapan milikan dan pengetahuan dadah di bawah s.37(d) ADB 1952. [157] Dalam dapatan mahkamah ini, pembelaan tertuduh, di atas imbangan kebarangkalian, telah gagal mematahkan anggapan milikan dan pengetahuan ke atas dadah tersebut. Beg bagasi P8 yang mengandungi dadah tersebut sentiasa berada dalam jagaan dan kawalan tertuduh. Tiada orang lain yang terlibat. Hanya tertuduh sahaja yang terlibat dan didapati mengedar dadah berbahaya tersebut semasa kejadian”. [44] Kami bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya bahawa HMT telah membuat dapatan affirmative mengenai milikan dan pengetahuan dengan menggunapakai seksyen 37(d). HMT dengan betulnya memutuskan bahawa perayu telah gagal mematahkan anggapan s.37 (d) atas imbangan kebarangkalian. Tidak ada di mana-mana di dalam alasan penghakiman yang menunjukkan HMT telah meletakkan dua beban yang berbeza ke atas perayu mengenai isu milikan dan pengetahuan. [45] Mengenai dapatan HMT bahawa perayu sebenarnya ada pengetahuan mengenai dadah dalam P8, kami mendapati dapatan HMT itu dibuat dengan merujuk kepada tingkah laku perayu yang merayu kepada SP4 supaya beliau dilepaskan. Sedangkan anggapan milikan dan pengetahuan di bawah seksyen 37(d) itu merujuk kepada jagaan, kawalan dan pemilikan beg P8 yang berisi dadah oleh perayu. Keterangan mengenai tingkah laku perayu adalah relevan dan boleh diterima di bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950. [46] Dalam kes ini, perayu hanya menafikan beg P8 adalah kepunyaan beliau. Perayu mendakwa beg P8 adalah kepunyaan pemandu kereta UBER, SP6. SP6 telah tampil memberi keterangan bahawa beg P8 dibawa oleh perayu dan hanya perayu seorang sahaja yang menaiki kereta SP6. Dari segi lojik akal juga, adalah tidak munasabah untuk pemandu kereta UBER meletakkan beg bagasi ditempat duduk penumpang belakang kerana ia boleh mengganggu keselesaan penumpang. Adalah mustahil juga untuk pemandu kereta UBER menyuruh perayu membawa keluar beg bagasi dari kereta sementara pemandu UBER mencari tempat letak kereta. [47] Atas sebab-sebab yang dinyatakan, kami mendapati hujahan peguam perayu mengenai isu milikan dan pengetahuan tidak bermerit dan ditolak oleh mahkamah ini. Keterangan Ibu Perayu (SD2) Tidak Diambilkira [48] Peguam perayu menghujahkan HMT gagal menilai, mengupas dan memberikan sebarang penilaian terhadap keterangan ibu perayu, SD2. HMT dikatakan tidak membuat sebarang dapatan sama ada keterangan SD2 adalah ditolak atau diterima. Peguam perayu menghujahkan, kekhilafan HMT ini adalah satu salah arah yang serius. [49] Kami sama sekali tidak bersetuju dengan hujahan peguam perayu. HMT ada memperincikan dan merujuk kepada keterangan SD2. Suatu fakta yang tidak boleh dipertikaikan oleh perayu ialah SD2 adalah saksi yang ada kepentingan untuk melihat anaknya tidak disabitkan. Paling baik, keterangan SD2 ialah perayu dikatakan tidak membawa beg P8. Sudah tentu keterangan SD2 ini harus diuji dengan keterangan saksi pendakwaan SP4, SP5 dan SP6. Kesemua saksi ini tidak mengenali perayu dan tidak ada kepentingan peribadi. Ketiga-tiga saksi ini mengatakan mereka nampak perayu yang membawa beg P8. Jika ramai yang nampak perayu bawa beg P8, tentulah keterangan SD2 itu adalah tidak benar dan harus ditolak. Oleh itu, walaupun HMT tidak menyatakan keterangan SD2 diterima atau pun tidak,ia tidak sama sekali menjejaskan kes pendakwaan kerana adalah jelas SD2 tidak bercakap benar bila mengatakan perayu tidak membawa beg P8. Maka, isu mengenai keterangan SD2 ini juga tidak bermerit dan ditolak. Kegagalan HMT Mengeluarkan (Expunge) Pengakuan Perayu [50] Di para 7 pernyataan saksi SP4, SP4 menyatakan: “Selepas nampak sepuluh (10) ketulan mampat itu, lelaki Melayu tersebut terus merayu supaya dilepaskan dan menyatakan dia terpaksa membawa dadah ini ke Kajang untuk selesaikan hutang.” [51] Peguambela perayu pada masa itu telah memohon kepada HMT supaya mengeluarkan (expunge) pernyataan di para 7 pernyataan saksi SP4 kerana ia terjumlah sebagai pengakuan kepada SP4 dan memprejudiskan perayu. Permohonan peguambela perayu telah ditolak oleh HMT. [52] Peguam perayu menghujahkan kegagalan HMT mengeluarkan pengakuan perayu telah mengakibatkan satu ketidakadilan kepada perayu. [53] Timbalan Pendakwa Raya pula menghujahkan HMT tidak bergantung kepada pengakuan perayu untuk membuat sabitan. Tanpa mengambilkira pengakuan perayu pun, kes pendakwaan adalah kukuh. [54] Kami bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya. Kes pendakwaan ialah pada masa kejadian, hanya perayu seorang sahaja yang dilihat membawa beg P8. Pembelaan perayu bahawa beg P8 adalah kepunyaan SP6, bukan sahaja telah disangkal oleh SP6, malah versi perayu itu adalah tidak munasabah sama sekali dan dengan betulnya ditolak oleh HMT. HMT telah menerima keterangan SP4, SP5 dan SP6. Dari alasan penghakiman beliau, jelas bahawa HMT tidak bergantung kepada pengakuan perayu. HMT telah mengupas dan menilai keseluruhan keterangan dengan terperinci. Oleh itu, keengganan HMT untuk mengeluarkan pengakuan perayu tidak memprejudiskan perayu kerana keterangan melimpah ruah dari saksi-saksi pendakwaan menjurus kepada satu konklusi sahaja iaitu perayu adalah satu-satunya individu yang memiliki, menjaga, mengawal dan mengedar dadah dalam beg P8. Maka, untuk sekian kalinya, isu ketiga yang dibangkitkan oleh perayu juga tidak bermerit dan mestilah gagal Keputusan Kami [55] Dengan tertolaknya kesemua isu yang dibangkitkan, kami sebulat suara mendapati sabitan ke atas perayu adalah selamat. Mengenai hukuman, berat dadah cannabis melebihi 9 kilogram. Tidak ada apa-apa keterangan atau representasi yang dibuat kepada pendakwaan untuk membolehkan hukuman alternatif diberikan. Dalam keadaan yang dinyatakan,kami tiada pilihan melainkan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan oleh HMT. [56] Atas sebab-sebab yang dinyatakan, rayuan perayu ditolak. Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan. Bertarikh: 28 Ogos 2023. - Sgd - Hadhariah binti Syed Ismail Hakim Mahkamah Rayuan Bagi Pihak Perayu : Afifuddin Ahmad Hafifi; Tetuan Salehuddin Saidin & Associates. Bagi Pihak Responden : Mohd Fairuz bin Johari; Timbalan Pendakwa Raya; Jabatan Peguam Negara Malaysia.