Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI MARANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN NO. KES TF-83D-304-06/2023 PENDAKWA RAYA LAWAN MOHAMMAD IZZE BIN SAMAT (NO. K/P.: 931121-11-5441) ALASAN PENGHAKIMAN
TF-83D-304-06/2023
Magistrates Court of Malaysia2 Nov 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“nimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 16 [rujuk Mohamed Shariff v Public Prosecutor [1964] MLJ 64 dan Nadarasa v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 47]. Keterangan pihak pembelaan tidak semestinya konklusif [ruj”
“ika Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan terhadap tertuduh. 18. Mahkamah juga merujuk kes Mat v PP [1963] MLJ 263 yang menyatakan prinsip berikut: “The correct law for Magistrates to apply is as follows. If you accept th”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI MARANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN NO. KES TF-83D-304-06/2023 PENDAKWA RAYA LAWAN MOHAMMAD IZZE BIN SAMAT (NO. K/P.: 931121-11-5441) ALASAN PENGHAKIMAN
1
Tertuduh telah dituduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB”) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) ADB. Di akhir kes pendakwaan, tertuduh telah dipanggil membela diri. Tertuduh memilih untuk memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi. Di akhir kes pembelaan, Mahkamah mendapati keterangan pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Disebabkan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah, mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepaskan dan dibebaskan. Terkilan, pihak Pendakwa Raya memfailkan rayuan.
2
Pertuduhan ke atas tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 18/1/2023 jam lebih kurang 6.00 petang bertempat di hadapan sebuah bengkel kereta beralamat Lot 10586 Jalan Haji Abdullah Kampung Tasek Masjid Bukit Payong 21400 dalam Daerah Marang dalam Negeri Terengganu, dapati telah ada dalam kawalan kamu iaitu dadah jenis methamphetamine, berat bersih 8.50 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta yang sama. Hukuman: Jika disabitkan kesalahan dihukum dengan penjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun, dan ia juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada sembilan sebatan.”
3
Alasan penghakiman Mahkamah ini adalah sebagaimana yang dihuraikan selanjutnya.
4
Pihak pendakwaan telah memanggil seramai 6 orang saksi dan mengemukakan 20 ekshibit bagi membuktikan suatu kes Prima Facie terhadap tertuduh. Fakta kes pendakwaan secara ringkasnya seperti berikut: a. Pada 18 Januari 2023, sekitar pukul 6.00 petang, D/SI Mohd Marzuki (SP1) mengetuai Ops Selamat dan Ops Tapis Khas bersama lima anggota polis di Kampung Tasek Masjid, Bukit Payong. Semasa operasi, pasukan melihat seorang lelaki (tertuduh) berkelakuan mencurigakan di hadapan sebuah bengkel kereta. Pemerhatian dibuat selama lima minit sebelum SP1 dan anggota lain menghampiri tertuduh. Lelaki tersebut cuba melarikan diri dan semasa meloloskan diri, dia dilihat telah mencampakkan satu paket plastik lutsinar mengandungi bungkusan kertas ke tanah sebelum berjaya ditangkap. b. Setelah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, SP1 memeriksa tertuduh namun tiada apa-apa barang salah dijumpai pada tubuhnya. Pemeriksaan terhadap bungkusan yang dicampakkan menemui empat paket plastik biru berisi pil-pil merah dan hijau disyaki dadah jenis yaba dengan anggaran berat kasar 82.92 gram. Tertuduh dikenal pasti sebagai Mohammad Izze Bin Samat. Pasukan kemudian membawa tertuduh dan barang kes ke Pejabat Narkotik IPD Marang tanpa berhenti di mana-mana, dan SP1 membuat laporan tangkapan serta menyediakan borang senarai geledah. Keterangan SP1 disokong turut disokong dengan keterangan SP2 dan SP3, yang mana kedua-duanya juga adalah anggota polis yang terlibat dengan serbuan tersebut. c. Pada pukul 11.40 malam, Pegawai Penyiasat Insp Siti Robiah (SP6) menerima tertuduh dan barang kes yang kemudian disimpannya dalam loker besi berkunci yang hanya boleh dicapai olehnya. Pada 25 Januari 2023, SP6 menyerahkan barang kes tersebut kepada Ahli Kimia, Puan Dharmeziyana (SP5) di Jabatan Kimia Malaysia. Barang kes kemudian dipulangkan bersama laporan kimia pada 20 April 2023 melalui ASP Mohammad Azmi Bin Awang Lah (SP4). d. Hasil analisis, melalui keterangan SP5 dan Laporan Kimia (P17) menyatakan pil merah seberat 70.66 gram mengandungi 8.47 gram Methamphetamine, manakala pil hijau seberat 0.62 gram mengandungi 0.03 gram Methamphetamine. e. Methamphetamine adalah disenaraikan dalam
Schedule
Jadual Pertama ADB. 5. Antara isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan semasa kes pendakwaan adalah seperti berikut: a. Semasa tangkapan, tertuduh sedang menaiki motosikal Honda bernombor pendaftaran TH 5766. b. Ketiadaan bukti kukuh yang mengaitkan tertuduh dengan barang kes, termasuk kegagalan pendakwaan membuktikan link of evidence dan nexus proximity. c. Tiada kata-kata amaran diberikan kepada tertuduh semasa tangkapan, menjadikan keterangan pemilikan dadah tidak boleh diterima (inadmissible). d. Ketiadaan mens rea dan actus reus, termasuk tiada bukti tertuduh mengetahui atau sedar tentang kewujudan dadah tersebut. e. Laporan Kimia didakwa cacat dan tidak lengkap, kerana tidak menyatakan di bawah bahagian mana dalam Jadual Akta Dadah Berbahaya dadah tersebut diklasifikasikan, menyebabkan identiti dadah tidak dibuktikan. f. Tiada pemilikan eksklusif (exclusive possession) oleh tertuduh terhadap dadah yang dijumpai. Tiada cap jari tertuduh ditemui pada barang kes, menimbulkan keraguan tentang pengetahuan dan pemilikan tertuduh terhadap dadah. g. Kegagalan pihak pendakwaan membuktikan alamat tempat kejadian, termasuk tiada nombor rumah, nombor jalan atau dokumentasi yang menunjukkan lokasi sebenar, menimbulkan keraguan material. h. Percanggahan dan ketidakkonsistenan mengenai identiti barang kes, seperti warna kertas pembungkus, warna getah pengikat, dan kenderaan yang digunakan semasa serbuan mewujudkan dua versi keterangan saksi pendakwaan. i. Ketiadaan keterangan bebas, seperti saksi awam pemilik bengkel, rakaman CCTV, rakaman dashcam serta cap jari menunjukkan pendakwaan gagal melengkapkan beban pembuktian. C. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PENDAKWAAN 6. Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan ialah untuk pihak pendakwaan membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh (seksyen 173(f) dan seksyen 173(h) Kanun Tatacara Jenayah). Dalam hal ini, Mahkamah hendaklah membuat penilaian maksima ke atas semua keterangan yang dikemukakan semasa kes pendakwaan (rujuk LOOI KOW CHAI & ANOR V PP [2003] 1 CLJ). Mahkamah juga merujuk kepada kes BALACHANDRAN V PUBLIC PROSECUTOR [2005] 2 MLJ 301, yang menyatakan bahawa di akhir kes pendakwaan, Mahkamah hendaklah bertanya pada diri sama ada jika tertuduh dipanggil membela diri dan memilih untuk berdiam diri, adakah Mahkamah bersedia untuk mensabitkan tertuduh. 7. Untuk membuktikan pertuduhan tersebut terhadap tertuduh, pihak Pendakwaan perlu membuktikan elemen-elemen berikut: a. Dadah berbahaya yang dirampas adalah sejumlah 8.50 gram Methamphetamine; b. Tertuduh, pada tarikh, masa dan tempat kejadian mempunyai kawalan dan pengetahuan ke atas dadah berbahaya berkenaan; dan c. Rantaian barang kes tidak terputus. 8. Analisis dan dapatan Mahkamah di akhir kes pendakwaan adalah seperti berikut: a. Pada peringkat ini, Mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kredibel untuk membuktikan setiap elemen pertuduhan. b. Mahkamah berpuas hati bahawa rantaian keterangan / barang kes adalah terjaga sehingga tertuduh dituduh di Mahkamah. c. Berhubung isu nexus, link of evidence dan tindakan tertuduh, Mahkamah mendapati bahawa keterangan SP1, SP2 dan SP3 menunjukkan secara konsisten bahawa tertuduh dilihat cuba melarikan diri dan mencampakkan satu paket plastik sebelum ditangkap. Keterangan ini, sekadar pada tahap prima facie, adalah mencukupi untuk mengaitkan tertuduh kepada bungkusan barang kes tersebut. d. Unsur pengetahuan dan kawalan, pada tahap ini, dibuktikan melalui inferens munasabah daripada perlakuan tertuduh sewaktu kejadian yang cuba melarikan diri dan membuang barang yang mengandungi dadah berbahaya. e. Mengenai hujahan pembelaan berkenaan ketiadaan kata amaran, ketiadaan cap jari, dan ketiadaan saksi bebas, Mahkamah berpandangan bahawa isu-isu ini tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, pada peringkat ini. 9. Mahkamah telah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan ekshibit-ekshibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan serta mengambil kira hujahan-hujahan bertulis oleh pihak-pihak. Setelah membuat penilaian maksima ke atas keterangan-keterangan tersebut, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta yang sama. 10. Justeru, Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Maka, tertuduh dipanggil untuk membela diri bagi pertuduhan tersebut. D. KES PEMBELAAN 11. Bagi membela dirinya, tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan memanggil seorang lagi saksi pembelaan (SD2 – Muhammad Zulkeflie bin Yusof). 12. Fakta kes pembelaan adalah seperti berikut: a. Tertuduh / SD1 menyatakan bahawa pada tarikh kejadian, beliau dari tempat kerja dengan menaiki kereta telah pergi ke tempat rakannya, SD2 untuk meminjam motosikal Honda C70 warna hitam bernombor pendaftaran TH 5766 untuk pergi ke bank bagi memasukkan wang kepada isterinya. Setelah selesai urusan di bank, tertuduh melalui jalan pintas untuk kembali ke tempat kerja, namun jalan tersebut ditutup kerana kerja-kerja pemasangan paip. Ketika beliau berpatah balik, beliau tiba-tiba ditahan dan “diserbu” oleh polis tanpa sebarang alasan diberitahu kepadanya pada masa itu. Menurutnya, beliau bersendirian, tidak cuba melarikan diri dan tidak memegang apa-apa barang ketika ditahan. b. Tertuduh menyatakan polis hanya memaklumkan di balai bahawa mereka kononnya menjumpai “pil kuda” dan mendakwa beliau mencampakkan barang tersebut. Tertuduh menafikan sekeras-kerasnya pernah melihat, memegang atau memiliki barang kes tersebut. Tertuduh menegaskan bahawa sekiranya benar beliau memegang paket tersebut, pasti akan terdapat cap jarinya, namun polis tidak menunjukkan sebarang cap jari. Tertuduh turut menyatakan bahawa beliau telah dipaksa untuk menandatangani Borang Senarai Geledah (P1) tanpa dibenarkan membacanya terlebih dahulu, dan beliau akur menandatangani kerana takut. c. Tertuduh juga menyatakan beliau tidak membuat laporan polis atau aduan semasa reman kerana takut dipukul atau dianiaya semula. Tertuduh menegaskan bahawa keterangannya di Mahkamah adalah benar, dan keterangan pihak polis terhadapnya adalah tidak benar. d. Meskipun berdepan cabaran dalam pemeriksaan balas, tertuduh tetap mengekalkan pendirian bahawa beliau tidak melarikan diri, tidak mencampakkan apa-apa barang dan tidak tahu-menahu tentang dadah. e. Hasil ujian air kencing tertuduh juga adalah negatif. f. Pembelaan turut memanggil seorang lagi saksi, iaitu SD2, rakan tertuduh sejak zaman sekolah. SD2 mengesahkan bahawa motosikal Honda C70 bernombor pendaftaran TH 5766 digunakan oleh tertuduh pada hari kejadian adalah miliknya. SD2 menyatakan tertuduh ada meminjam motosikal tersebut selepas waktu Asar pada tarikh kejadian dan SD2 membenarkannya. Menurut SD2, motosikal itu dibeli olehnya sejak zaman PKP dengan warna hitam, namun belum ditukar nama kerana pemilik asal bekerja di offshore. Namun, SD2 akui beliau tidak mengetahui apa-apa tentang kejadian sebenar pada jam 6.00 petang tersebut kerana tidak berada di tempat kejadian. SD2 juga menyatakan bahawa motosikal tersebut tidak dipulangkan pada hari tersebut kerana ia berada di balai dan hanya dipulangkan beberapa hari selepas itu oleh abang kepada tertuduh. Manakala kereta yang ditinggalkan oleh tertuduh di tempatnya telah diambil oleh pihak polis pada hari kejadian. g. SD2 mengakui bahawa beliau rapat dengan SD1 dan hadir ke mahkamah untuk membantu tertuduh. Namun beliau menegaskan keterangannya berkaitan pemilikan motosikal adalah benar. 13. Sebelum keputusan akhir kes pembelaan diberikan, pihak pendakwaan telah mengemukakan pertuduhan pindaan (P21). Tiada bantahan dikemukakan oleh pihak pembelaan, dan Mahkamah membenarkannya. Pertuduhan pindaan tersebut dibacakan semula kepada tertuduh, yang mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Pihak-pihak juga mengesahkan bahawa mereka tidak akan memanggil saksi-saksi lain dan memohon Mahkamah untuk meneruskan dengan keputusan. 14. Pertuduhan pindaan (P21) ke atas tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 18/1/2023 jam lebih kurang 6.00 petang bertempat di hadapan sebuah bengkel kereta beralamat Lot 10586 Jalan Haji Abdullah Kampung Tasek Masjid Bukit Payong 21400 dalam Daerah Marang dalam Negeri Terengganu, didapati telah ada dalam milikan kamu iaitu dadah berbahaya jenis methamphetamine, berat bersih 8.50 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta yang sama. Hukuman: Jika disabitkan kesalahan dihukum dengan penjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun, dan ia juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada sembilan sebatan.” 15. Hujahan pihak pendakwaan semasa di akhir kes pembelaan adalah seperti berikut: a. Keterangan SD2 berhubung motosikal yang didakwa dipinjamkan kepada tertuduh adalah tidak boleh dipercayai dan tidak menyokong pembelaan. Tiada sebarang bukti seperti gambar, geran atau apa-apa dokumen dikemukakan di Mahkamah untuk membuktikan kewujudan motosikal tersebut atau pemilikan SD2 terhadapnya. Hanya semasa pemeriksaan balas, SD2 bersetuju bahawa motosikal tersebut bukan didaftarkan atas namanya. b. Walaupun SD2 menyatakan tertuduh telah meminjam motosikal beberapa jam sebelum tangkapan, beliau turut mengakui tidak dapat mengesahkan bahawa motosikal tersebut digunakan oleh tertuduh ketika tangkapan dibuat. c. SD2 adalah rakan tertuduh sejak zaman sekolah, sekali gus menjadikannya saksi yang berkepentingan. Oleh itu, keterangannya perlu ditangani dengan berhati-hati dan memerlukan sokongan serta pengesahan daripada keterangan lain yang mana dalam kes ini tidak wujud. Pendakwaan berhujah bahawa keterangan SD2 merupakan “afterthought” yang direka untuk menyelamatkan tertuduh, lebih-lebih lagi apabila SD2 sendiri mengakui bahawa kehadirannya ke Mahkamah adalah untuk membantu tertuduh. d. Pendakwaan merujuk prinsip undang-undang dalam Public Prosecutor v Mohd Razali bin Zakariya [2018] 3 MLJ 34 (CA) bahawa saksi berkepentingan tidak ditolak secara automatik, namun kredibiliti mereka perlu diuji berdasarkan kebarangkalian, motif serta percanggahan dalam keterangan. Dalam kes ini, Pendakwaan menegaskan keterangan SD2 adalah improbable, bercanggah dan tidak disokong mana-mana bukti lain. Pendakwaan turut merujuk prinsip dalam Liow Siow Long v PP [1970] 1 MLJ 40 bahawa jika saksi adalah partisan kepada tertuduh dan keterangan tidak bebas, keterangan mereka adalah “tainted” dan memerlukan pengesahan. 16. Hujahan pihak pembelaan pula adalah seperti berikut: a. Sejak dari peringkat kes pendakwaan lagi pihak pembelaan telah secara konsisten menyatakan bahawa tertuduh berada di atas sebuah motosikal ketika tangkapan dilakukan, dan bukannya berada dalam keadaan berjalan kaki atau berdiri seperti yang cuba digambarkan oleh pihak pendakwaan. Justeru, isu berkaitan motosikal bukanlah satu “afterthought” tetapi merupakan pembelaan yang telah dibangkitkan sejak awal serta kekal konsisten sepanjang perbicaraan. b. Keterangan bersumpah tertuduh adalah tidak bercanggah dan tetap konsisten dalam menafikan bahawa beliau ada membuang apa-apa bungkusan dadah. Ketiadaan bukti sokongan objektif seperti rakaman CCTV, rakaman kamera dashcam kereta peronda polis, keterangan saksi bebas awam atau cap jari tertuduh pada paket dadah melemahkan dakwaan bahawa tertuduh telah melontar dadah tersebut. Menurut pihak pembelaan, ketiadaan bukti sokongan ini, apabila dibandingkan dengan keterbukaan dan konsistensi keterangan SD1, telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah. c. Keterangan SD2 mengukuhkan lagi keterangan tertuduh bahawa tertuduh sememangnya telah meminjam motosikal SD2 pada hari kejadian. Ini menunjukkan bahawa keterangan tertuduh bukanlah suatu rekaan, tetapi selari dengan versi yang telah diberikan sejak peringkat awal dan dikuatkan pula oleh saksi pembelaan lain. d. Melalui keseluruhan faktor ini, pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh telah berjaya membuktikan pembelaannya sekurang-kurangnya pada tahap imbangan kebarangkalian, sekali gus menimbulkan keraguan munasabah terhadap versi pihak pendakwaan. E. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PEMBELAAN (i) Beban Pembuktian 17. Dalam membuat keputusan di akhir kes pembelaan, Mahkamah merujuk Seksyen 173(m) KTJ yang memperuntukkan bahawa setelah perbicaraan selesai, Mahkamah hendaklah menilai semua keterangan yang telah dikemukakan dan memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Jika Mahkamah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa tertuduh bersalah dan boleh mensabitkan kesalahan serta menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang. Jika Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan terhadap tertuduh. 18. Mahkamah juga merujuk kes Mat v PP [1963] MLJ 263 yang menyatakan prinsip berikut: “The correct law for Magistrates to apply is as follows. If you accept the explanation given by or on behalf of the accused, you must of course acquit. But this does not entitle you to convict if you do not believe that explanation, for he is still entitled to an acquittal if it raises in your mind a reasonable doubt as to his guilt, as the onus of proving his guilt lies throughout on the prosecution. If upon the whole evidence you are left in a real state of doubt, the prosecution has failed to satisfy the onus of proof which lies upon it. The position may be conveniently stated as follows: (a) If you are satisfied beyond reasonable doubt as to the accused's guilt ........ Convict. (b) If you accept or believe the accused's explanation.. Acquit. (c) If you do not accept or believe the accused's explanation.. Do not convict but consider the next steps below. (d) If you do not accept or believe the accused's explanation and that explanation does not raise in your mind a reasonable doubt as to his guilt........ Convict (e) If you do not accept or believe the accused's explanation but nevertheless it raises in your mind a reasonable doubt as to his guilt.. Acquit Magistrates would assist the appellate Court if they indicate in their grounds that they are aware of the tests laid down in steps (d) and (e) above.” 19. Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa beban pembuktian terletak sepenuhnya pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Berdasarkan prinsip dalam kes Mat v PP, secara ringkasnya, sekiranya Mahkamah menerima penjelasan yang diberikan oleh pihak pembelaan, Mahkamah hendaklah melepaskan tertuduh. 20. Untuk dilepaskan dan dibebaskan, tertuduh hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan [rujuk Mohamed Shariff v Public Prosecutor [1964] MLJ 64 dan Nadarasa v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 47]. Keterangan pihak pembelaan tidak semestinya konklusif [rujuk Chay Hon Song v Public Prosecutor [1967] 1 MLJ 210 at 211] dan tertuduh juga tidak perlu membuktikan fakta yang menjadi asas kepada pembelaannya [rujuk Nagappan a/l Kuppusamy v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 53, [1988] 1 CLJ 283, SC]. 21. Dalam erti kata lain, tertuduh tidak perlu meyakinkan mahkamah bahawa penjelasannya adalah benar. Jikapun Mahkamah tidak percaya dengan kebenaran penjelasan tersebut, adalah memadai jika penjelasan itu reasonably be true and probable (rujuk Murugiah v Public Prosecutor [1941] 1 MLJ 17b]. 22. Mahkamah juga mengambil maklum bahawa kewujudan keraguan munasabah bergantung kepada keseluruhan keterangan dan perlu dinilai secara adil dan munasabah berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan, bukan secara terasing. Penafian semata-mata atau memberikan cerita kosong tentang tidak bersalah, tidak boleh dianggap sebagai menimbulkan keraguan munasabah [rujuk Ali Tan bin Abdullah v Public Prosecutor [2013] 2 MLJ 676, CA]. 23. Waima apapun, the falsity of the defence juga tidak melepaskan pihak pendakwaan daripada tanggungjawab untuk membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah [rujuk PP v Saimin & Ors [1971] 2 MLJ 16]. 24. Mahkamah turut merujuk kes Mohamad Radhi bin Yaakub v Public Prosecutor [1991] 3 MLJ 169 at 171, SC yang memutuskan bahawa apabila kes jenayah diputuskan berdasarkan kebenaran kes pendakwaan melawan the falsity of the defence story, Mahkamah hendaklah mengikut prinsip yang ditetapkan dalam kes Mat v Public Prosecutor [1963] 2 MLJ 263. 25. Berdasarkan prinsip undang-undang yang telah ditetapkan, untuk dilepaskan, tertuduh tidak perlu membuktikan kes pembelaannya sepenuhnya, tetapi cukup menimbulkan keraguan munasabah. (ii) Isu Sama Ada Terdapat Motosikal Berada Di Tempat Kejadian. 26. Berhubung isu ini, terdapat versi yang berbeza antara kes pendakwaan dan kes pembelaan. Keterangan pihak pendakwaan menyatakan semasa pemerhatian dan serbuan, tertuduh sedang berdiri di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan. Tiada apa-apa kenderaan atau motosikal yang digunakan oleh tertuduh pada masa tersebut. Pihak pembelaan pula menyatakan tertuduh sedang menunggang motosikal semasa serbuan polis dilakukan. 27. Percanggahan ini bukan perkara remeh, ia menyentuh keadaan sebenar semasa tangkapan dan kawalan, milikan serta pengetahuan terhadap barang kes, yang merupakan elemen penting dalam kesalahan memiliki dadah berbahaya. Tambahan pula pihak pendakwaan turut menyatakan tertuduh telah mencampak barang kes semasa cuba melarikan. 28. Analisis dan dapatan Mahkamah berhubung isu ini adalah seperti berikut: a. Tertuduh secara konsisten sejak peringkat kes Pendakwaan menyatakan bahawa beliau sedang menunggang sebuah motosikal ketika serbuan/tangkapan dilakukan. Keterangan ini juga tidak berjaya digugurkan semasa pemeriksaan balas terhadapnya dan kekal menjadi teras pembelaannya. Mahkamah mendapati bahawa isu berkenaan kewujudan motosikal bukanlah suatu “afterthought” atau penafian kosong kerana ia telah ditimbulkan lebih awal semasa kes pendakwaan. b. Keterangan SD1 disokong dengan keterangan lisan oleh SD2. Walaupun SD2 tidak mengemukakan geran atau apa-apa dokumen pemilikan ke atas motosikal nombor pendaftaran TH 5766, Mahkamah juga mencatat bahawa pendakwaan juga tidak mengemukakan apa-apa keterangan/bukti berhubung pemilikan motosikal tersebut sedangkan mempunyai masa untuk berbuat demikian kerana isu motosikal ini telah dibangkitkan di peringkat kes pendakwaan lagi. c. Walaupun SD2 menyatakan motosikal tersebut miliknya semasa pemeriksaan utama namun kemudian mengakui bahawa motosikal tersebut bukan didaftarkan atas namanya semasa pemeriksaan balas, namun SD2 semasa menjawab soalan daripada TPR yang terpelajar tidak terkejut malah terus bersetuju dengan cadangan-cadangan daripada TPR sebelum menjelaskan lebih lanjut berkenaan pemilikan motosikal tersebut. Berikut adalah petikan keterangan SD2 semasa diperiksa balas oleh TPR: “S: SIAPA PUNYA MOTOSIKAL TH 5766? J: SAYA PUNYA S: MOTOSIKAL TERSEBUT BUKAN MILIK KAMU? J: MILIK SAYA S: PENAMA PEMILIK MOTOR ADALAH KHAIRUL JASNI J: YA, TAPI BELUM TUKAR NAMA. SAYA BELI MOTOR TU. S: MOTOR BUKAN WARNA HITAM J: SETUJU. TAPI SEKARANG WARNA HITAM. MASA SAYA BELI WARNA HITAM S: KAMU TAK CAKAP JUJUR J: TAK SETUJU. JUJUR” Semasa pemeriksaan semula, SD2 menjelaskan sedemikian: “S: DPP KATA AWAK MENIPU SEBAB MOTOR BUKAN AWAK PUNYA J: SAYA BELI MOTOR TAHUN PKP, BELI DENGAN KARIM, DENGAN HARGA RM200, PAKAI SAMPAI HARINI, MEMANG MASA BELI WARNA HITAM. SAMPAI SEKARANG TAK TUKAR NAMA. TUAN PUNYA KERJA OFFSHORE. SAYA JARANG JUMPA.” d. Justeru, Mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh SD2 berhubung pemilikan motosikal tersebut. Mahkamah juga menerima keterangan SD2 yang menyatakan bahawa motosikal tersebut tidak dipulangkan pada hari tersebut dan berada di balai. Keterangan ini menunjukkan SD2 sememangnya mempunyai pengetahuan ke atas keadaan dan keberadaan motosikal tersebut pada hari kejadian. 29. Pembelaan telah membawa isu kenderaan motosikal tersebut secara terperinci sejak peringkat awal, termasuk butiran nombor pendaftaran. Pendakwaan tidak menyiasat atau sekurang-kurangnya menunjukkan bukti bahawa siasatan telah dilakukan terhadap maklumat ini dengan sewajarnya. Ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap kelengkapan siasatan. Kelemahan ini bukanlah sesuatu yang remeh, malah cukup material hingga menjadikan naratif pihak pendakwaan tidak selamat untuk diterima oleh Mahkamah. 30. Setelah menimbang kedua-dua versi, Mahkamah mendapati bahawa versi pihak pembelaan mengenai kewujudan motosikal, meskipun tidak bebas dari kelemahan, tidak dapat ditolak secara total dan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap versi pihak pendakwaan. Dalam hal ini, penilaian lanjut berhubung cara tangkapan dan keadaan pergerakan tertuduh semasa tangkapan adalah penting kerana ia berkait langsung dengan inferens bahawa tertuduh telah melontar atau membuang bungkusan dadah tersebut. (iii) Isu Sama Ada Elemen Milikan dan Pengetahuan Tertuduh ke atas Dadah Berbahaya Berjaya Dibuktikan Melampaui Keraguan Munasabah 31. Harus diingatkan bahawa beban pembuktian kekal di pihak pendakwaan. Walaupun pembelaan mengemukakan versi alternatif, beban pembuktian utama masih berada pada pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. 32. Berkaitan pembuktian elemen pemilikan, Hakim Augustine Paul dalam kes PP V PUVANESWARAN KANIAPAN (2003) 4 CLJ 609, pada m/s 623 telah menyatakan bahawa:- “Dalam usaha membuktikan pemilikan, Pendakwaan perlu menunjukkan tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan terhadap dadah berbahaya berkenaan dan dia juga mempunyai pengetahuan terhadap apa yang ada dalam milikannya. Jagaan dan kawalan boleh dibuktikan melalui keterangan langsung ataupun dibuat kesimpulan daripada fakta yang telah terbukti terdahulu. Selalunya pengetahuan merupakan perkara yang dapat digarap melalui penyimpulan daripada fakta.” 33. Berhubung isu ini, pihak pendakwaan telah memanggil tiga saksi, iaitu SP1, SP2 dan SP3 yang merupakan pegawai dan anggota polis yang melihat tertuduh mencampak barang kes semasa berlari untuk melarikan diri. Keterangan ini juga disokong dengan laporan polis SP1 (P2) dan Borang Bongkar (P1). 34. Pihak pembelaan menyatakan keterangan pihak polis ini adalah tidak benar dan tertuduh hanya ditunjukkan dengan barang kes dadah tersebut semasa di Balai Polis selepas tangkapan berlaku. Tertuduh juga menafikan ada melarikan diri kerana semasa serbuan dilakukan beliau sedang berada di atas motosikal. Tertuduh menyatakan beliau dipaksa untuk menandatangani P1 dan tidak bersetuju dengan laporan SP1 dalam P2. 35. Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa keterangan saksi polis hendaklah diterima dengan menggunapakai prinsip undang-undang yang mantap dalam kes PP v. Mohamed Ali [1962] 1 MLRH 79; ; [1962] 1 MLJ 257 yang menyatakan: “When a Police witness says something that is not inherently improbable his evidence must in the first instance be accepted. If he says he saw a cow jumping over the moon his evidence is, of course, not to be accepted, but if he says he saw a cow wandering along one of the main streets of Kuala Lumpur (the sort of thing we all see every day of our lives) there is not the slightest justification for refusing to believe him. Of course if his evidence is contradicted by other evidence or is shaken by cross-examination then it becomes the business of the Magistrate to decide whether or not it should be accepted. In the absence of contradiction, however, and in the absence of any element of inherent probability the evidence of any witness, whether a Police witness or not, who gives evidence on affirmation, should normally be accepted.” 36. Dengan merujuk pada kes yang sama di atas, Mahkamah berpegang kepada prinsip bahawa sekiranya keterangan yang diberikan oleh saksi polis dicabar dengan keterangan lain atau dirapuhkan semasa pemeriksaan balas, maka adalah menjadi tugas Mahkamah untuk memutuskan sama ada keterangan tersebut diterima. 37. Pihak pembelaan menghujahkan bahawa ketiadaan bukti sokongan objektif dan bebas seperti rakaman CCTV, rakaman kamera dashcam kereta peronda polis, keterangan saksi bebas awam atau cap jari tertuduh pada paket dadah, yang boleh mengaitkan dadah tersebut dengan tertuduh, melemahkan dakwaan bahawa tertuduh telah melontar dadah tersebut. Justeru, isu sama ada tertuduh berada di atas motosikal atau tidak pada masa kejadian tetap menjadi perkara yang tidak dapat dibuktikan secara pasti oleh pendakwaan. 38. Mahkamah berpandangan konsistensi keterangan SP1, SP2 dan SP3 semata-mata tidak mencukupi sekiranya wujud isu-isu yang tidak disiasat atau ditangani oleh pihak pendakwaan. Harus diingatkan juga bahawa SP1, SP2 dan SP3 ketiga-tiganya adalah saksi pegawai dan anggota polis dan bukannya saksi bebas yang melihat kejadian tersebut. 39. Dalam kes ini, sememangnya pihak pendakwaan tidak mengemukakan apa-apa rakaman CCTV, rakaman kamera dashcam kereta peronda polis, keterangan saksi bebas awam atau laporan cap jari tertuduh. Pegawai penyiasat SP6 menyatakan tiada CCTV di tempat kejadian dan tiada dashcam pada kereta yang digunakan oleh pihak polis semasa membuat serbuan. 40. SP6 turut menyatakan bahawa beliau telah meminta bahagian jenayah menjalankan proses dusting bagi mengesan cap jari, namun keputusan adalah negatif dan tiada laporan cap jari dikeluarkan. Semasa pemeriksaan balas, SP6 juga bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa laporan tetap perlu dikeluarkan walaupun hasilnya negatif. Ketika diminta memberikan penjelasan semasa pemeriksaan semula, SP6 menyatakan bahawa beliau tidak pasti mengapa pihak bahagian jenayah tidak mengeluarkan laporan tersebut dan hanya dimaklumkan bahawa barang kes berkenaan “tidak cukup sifat” untuk ujian cap jari dijalankan. 41. Berkaitan isu saksi bebas di bengkel semasa kejadian, Mahkamah mendapati terdapat percanggahan antara keterangan saksi-saksi polis. 42. Keterangan SP1 semasa pemeriksaan balas adalah seperti berikut: “S: KEADAAN SEMASA KEJADIAN DI BENGKEL KENDERAAN TERSEBUT ADA BANYAK KENDERAAN? J: BETUL S: MASA KEJADIAN BENGKEL BUKA ATAU TUTUP? J: BUKA PAGAR SIKIT S: ADA TERLIBAT ORANG AWAM LAIN? J: DALAM BENGKEL ADA 2 ORANG MAH: 2 ORANG SELAIN OKT? J: SELAIN OKT S: ADA BERTANYA 2 ORANG TERSEBUT? J: SAYA TIDAK TANYA 2 ORANG, TAK TAHU KALAU ANAK BUAH SAYA TANYA TAPI SAYA TIADA S: SETUJU BENGKEL KEDAI ADA CCTV? J: SAYA TAK TAHU” 43. Ini pula keterangan SP2 yang merupakan anggota serbuan, semasa pemeriksaan balas: “PB: PADA MASA PEMERHATIAN, ADA BUAT SIASATAN KE ATAS BENGKEL? SP2: TAK BUAT. BUKAN TUGAS SAYA” 44. Berikut pula adalah keterangan SP3, juga anggota serbuan, semasa pemeriksaan semula oleh TPR: “TPR: DALAM RAMAI-RAMAI ANGGOTA SERBUAN TAK DE SIAPA JUMPA PEMILIK BENGKEL SP3: SAYA TAK PASTI SIAPA YANG JUMPA PEMILIK BENGKEL” 45. SP6, pegawai penyiasat yang diharapkan dapat menyiasat kes ini dengan tulus pula memberi keterangan sedemikian: Semasa pemeriksaan balas: “PB: TAK BUAT SIASATAN KE ATAS PEMILIK BENGKEL DI TEMPAT KEJADIAN? SP6: SAYA ADA BUAT SIASATAN PB: SIAPA PEMILIK BENGKEL? SP6: TAK INGAT NAMA. TAPI ADA AMBIL RAKAMAN PERCAKAPAN PEMILIK BENGKEL. PB: HASIL SIASATAN PEMILIK BENGKEL, BELIAU ADA CERITA TAK SAMA ADA TAHU BERKENAAN TANGKAPAN SP6: SAYA TAK INGAT.” Semasa pemeriksaan semula: “TPR: HASIL SIASATAN KE ATAS PEMILIK BENGKEL ADA TAHU MENAHU TENTANG TANGKAPAN, JELASKAN. SP6: SAYA TAK INGAT. MEMADAI DENGAN SAYA AMBIL KETERANGAN DARI SAKSI SERBUAN DAN PENGADU.” 46. Pemilik bengkel tersebut (yang dikatakan oleh SP6 telah dirakam keterangannya) atau mana-mana saksi bebas lain tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan di Mahkamah. 47. Dalam hal ini, Mahkamah merujuk penyataan Yang Arif Kamardin Hashim HMR dalam kes Mohd Helmi Akmal Mohd Ali lwn. PP [2017] 7 CLJ 666 seperti berikut: “Siasatan bukan sahaja tertumpu kepada pengumpulan keterangan yang boleh menunjukkan bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan tetapi meliputi juga pengumpulan keterangan yang boleh menentukan tertuduh tidak melakukan kesalahan yang menjadi hal perkara yang disiasat.” 48. Mahkamah mendapati terdapat kelemahan dalam siasatan pihak polis apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan daripada saksi bebas yang berada di bengkel sebagaimana yang dikatakan oleh SP1 ataupun pemilik bengkel berkenaan. Keterangan SP6 yang mengatakan memadai siasatan dibuat melalui keterangan daripada pengadu dan anggota serbuan sahaja menunjukkan beliau bertindak sambil lewa, tidak memandang berat apatah lagi membuat pengumpulan keterangan yang boleh menentukan tertuduh tidak melakukan kesalahan yang menjadi hal perkara yang disiasat. Perkara ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan serius terhadap kelengkapan siasatan. 49. Selain itu, harus diingatkan juga bahawa barang kes tidak dijumpai di tubuh badan tertuduh, tetapi di atas tanah, dan keadaan sekeliling (hadapan bengkel kereta) menunjukkan kawasan tersebut bukanlah kawasan terpencil yang hanya dikuasai secara eksklusif oleh tertuduh. Keadaan ini menekankan bahawa siasatan yang lengkap dan menyeluruh oleh pegawai penyiasat adalah amat penting. 50. Mahkamah mendapati bahawa kegagalan pendakwaan untuk menyiasat secara menyeluruh dan menolak versi pembelaan dengan bukti konkrit, ditambah dengan dapatan Mahkamah mengenai isu motosikal di tempat kejadian seperti yang dibincangkan di atas, telah menggugat asas kes pendakwaan, serta menjadikan sukar bagi Mahkamah untuk menerima keseluruhan naratif kes pendakwaan tanpa sebarang keraguan. 51. Apabila menilai keseluruhan bukti, mahkamah berpendapat bahawa terdapat keraguan yang nyata dan munasabah sama ada dadah yang dijumpai itu benar-benar di bawah milikan dan pengetahuan tertuduh. Walaupun anggota polis mendakwa melihat tertuduh mencampakkan barang kes tersebut, ketiadaan keterangan bebas yang mengaitkan tertuduh dengan barang kes berkenaan serta faktor persekitaran barang kes ditemui menimbulkan kemungkinan munasabah bahawa barang tersebut bukan dalam milikan dan pengetahuan tertuduh. 52. Malah, keterangan bersumpah tertuduh menyatakan bahawa beliau hanya ditunjukkan dengan barang kes tersebut semasa di balai polis dan telah dipaksa untuk menandatangani P2. Keterangan ini kekal konsisten sepanjang pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula, serta tidak dapat dipatahkan secara tuntas oleh pihak pendakwaan, kerana tiada bukti bebas atau saksi bebas lain yang dapat mengesahkan sebaliknya, menjadikan versi tertuduh tetap relevan dan boleh dipercayai. 53. Maka, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal menunjukkan tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan terhadap dadah berbahaya berkenaan dan juga mempunyai pengetahuan terhadap apa yang ada dalam milikannya, bagi membuktikan elemen pemilikan dan pengetahuan tertuduh sebagaimana pertuduhan pindaan, pada tahap melampaui keraguan munasabah. (iv) Isu Kredibiliti SD2 dan Sama Ada Keterangan SD2 sebagai Saksi Berkepentingan Boleh Diterima 54. Pendakwaan berhujah bahawa SD2 merupakan saksi berkepentingan, tidak kredibel dan oleh itu Mahkamah seharusnya menolak keterangannya. 55. Keterangan saksi berkepentingan hendaklah dibezakan dengan keterangan ahli keluarga yang rapat. Istilah ‘interested’ atau berkepentingan mengandaikan bahawa orang berkenaan yang mempunyai kepentingan langsung terhadap hasil sesuatu litigasi (rujuk Ratanlal and Dhirajlal, Law of Crimes, 2nd edn, p. 1455). 56. Kendatipun begitu, fakta bahawa seorang saksi mempunyai kepentingannya sendiri tidak bermakna dia akan mereka-reka atau membesarkan-besarkan keterangan. Dalam Public Prosecutor v Mohd Razali bin Zakariya [2018] 3 MLJ 34, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa tiada anggapan undang-undang bahawa saksi yang “berkepentingan” tidak boleh dipercayai. Keterangan saksi berkepentingan hendaklah dinilai seperti saksi lain, tertakluk kepada pemeriksaan balas, dan hanya boleh ditolak jika terdapat alasan kukuh. Mahkamah Rayuan juga menekankan bahawa isu kredibiliti memerlukan pertimbangan faktor seperti motif dan kebarangkalian. 57. Berdasarkan prinsip undang-undang di atas, SD2 tetap berhak kepada credence selagi tiada alasan kukuh untuk menolak keterangannya. Hujahan pihak pendakwaan bahawa SD2 tidak kredibel semata-mata kerana beliau datang “menolong OKT” tidak memadai. Hal ini tidak boleh menjadi asas automatik untuk menolak keterangannya. Tambahan pula, semasa pemeriksaan semula, SD2 telah menjelaskan seperti berikut: “S: KAMU SETUJU KETERANGAN KAMU UNTUK SELAMATKAN IZZE, JELASKAN J: NAK BERITAHU PASAL MOTOR” 58. Pendakwaan juga tidak menunjukkan apa-apa motif kukuh bahawa SD2 mereka cerita selain bergantung dengan keterangan bahawa SD2 hadir “menolong tertuduh”. 59. Selanjutnya, pihak pendakwaan juga gagal menunjukkan bahawa keterangan SD2 adalah sangat tidak berkemungkinan (wholly improbable) atau bercanggah secara material. 60. Dalam menilai kredibiliti SD2, Mahkamah mempunyai kelebihan audio-video dalam melihat tingkah laku (demeanour) saksi semasa memberi keterangan bersumpah di Mahkamah. Oleh itu, Mahkamah dapat menilai secara langsung cara SD2 menjawab, ketenangannya, serta konsistensi gerak geri dan intonasi suaranya, yang seterusnya membantu mengukuhkan penilaian bahawa keterangannya tidak menunjukkan tanda-tanda kepalsuan atau rekaan. 61. Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah mendapati keterangan SD2 tidak sepenuhnya mustahil atau direka secara nyata sehingga boleh diketepikan terus. Justeru, SD2 merupakan saksi yang kredibel dan keterangannya boleh diterima untuk menyokong pembelaan tertuduh. 62. Secara keseluruhannya, Mahkamah mendapati penjelasan tertuduh bukanlah satu penafian kosong atau afterthought, sebaliknya konsisten sepanjang perbicaraan dan cukup untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, terutamanya apabila keterangan saksi pendakwaan sendiri mempunyai kelemahan yang tidak menafikan versi tertuduh secara tuntas serta kelemahan nyata dari aspek siasatan yang tidak menyeluruh. Selain itu, tingkah laku tertuduh ketika memberi keterangan menunjukkan keterbukaan dan konsistensi, sekali gus mengukuhkan kredibilitinya di hadapan Mahkamah. F. KEPUTUSAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PEMBELAAN 63. Prinsip undang-undang dengan jelas menetapkan bahawa beban pembuktian terletak sepenuhnya pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah. 64. Setelah mahkamah meneliti semua keterangan dan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, dan setelah mahkamah meneliti kes ini secara keseluruhannya, Mahkamah mendapati penjelasan yang diberikan oleh tertuduh dalam pembelaannya adalah munasabah dan boleh dipercayai (reasonably be true and probable). Dengan itu, keterangan pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Maka, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah. 65. Menurut prinsip dalam kes Mat v PP, sekiranya Mahkamah menerima penjelasan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, maka Mahkamah wajib membebaskan tertuduh. 66. Selaras juga dengan peruntukan di bawah seksyen 173(m) KTJ, jika Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan terhadap tertuduh. 67. Oleh yang demikian, mahkamah memerintahkan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan pindaan. BERTARIKH PADA 23 NOVEMBER 2025 Disediakan oleh .................................................................... NORYUSRIZA BINTI ZULKIFLI MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET MARANG Kaunsel Bagi pihak pendakwaan Maisarah binti Abd Razak Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu Tingkat 14, Wisma Darul Iman 20200 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman Bagi pihak Tertuduh Tetuan Nur Omar Zul Awang & Co Peguambela & Peguamcara Suite 8.01, Level 8, Menara Binjai No. 2, Jalan Binjai 50450 Kuala Lumpur
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.