/akn/my/judgment/high-court/2026/5aaf457e-3121-48ab-bc3a-5c48740d568f
High Court of Malaysia19 Jun 2026CA-44-4-04/2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“but. Keputusan dibuat berpandukan keputusan YAA Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh (sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu) dalam kes Shudangshu Chandra v. Ketua Pengarah Imigresen Malaysia & Yang Lain [2021] MLRHU 1182 yang mana penggantungan pengusiran telah dibenarkan di dalam kes tersebut sementara menunggu pelupusan”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
CA-44-4-04/2026 Kand. 23 01/07/2026 16:44:10 DALAM MAHKAMAH TINGGI JENAYAH DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, MALAYSIA PERMOHONAN JENAYAH NO.
section
1. CA-44-2-04/2026
section
2. CA-44-3-04/2026
section
3. CA-44-4-04/2026
section
4. CA-44-5-04/2026 Antara
section
1. IBRAHIM MIAH (NO. PPT A01959428)
section
2. SHAFIQUR RAHMAN (NO. PPT A07436183)
section
3. MOHAMMAD JAKIR (NO. PPT EG0494006)
section
4. ASIM MONDL (NO. PPT EL0891152) ...PEMOHON-PEMOHON Dan
section
1. KETUA PENGARAH IMIGRESEN MALAYSIA
section
2. TIMBALAN PENDAKWA RAYA JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA NEGERIPAHANG
section
3. MENTERI DALAM NEGERI
section
4. DEPOT IMIGRESEN KEMAYAN PAHANG
section
5. KERAJAAN MALAYSIA ...RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] Terdapat empat Notis Usul yang difailkan secara berasingan oleh keempat-empat Pemohon terhadap Responden Responden bagi perintah supaya writ habeas corpus dikeluarkan iaitu:- i. CA-44-2-04/2026 bagi Pemohon IBRAHIM MIAH (NO. PPT A01959428); ii. CA-44-3-04/2026 bagi Pemohon SHAFIQUR RAHMAN (NO. PPT A07436183); iii. CA-44-4-04/2026 bagi Pemohon MOHAMMAD JAKIR (NO. PPT EG0494006); dan iv. CA-44-5-04/2026 bagi Pemohon ASIM MONDOL (NO. PPT EL0891152). [2] Pemohon juga memfailkan permohonan Semakan Jenayah yang masing-masingnya didaftarkan sebagai:- i. CA-43-4-04/2026 bagi Pemohon Mohammad Jakir; ii. CA-43-5-04/2026 bagi Pemohon Asim Mondol; iii. CA-43-6-04/2026 bagi Pemohon Ibrahim Miah; dan iv. CA-43-7-04/2026 bagi Pemohon Shafiqur Rahman. [3] Pada masa yang sama, Pemohon-Pemohon juga memfailkan Notis Usul berikut bagi mendapatkan perintah menghalang pengusiran:- i. CA-44-7-04/2026 bagi Pemohon Asim Mondol; i. CA-44-8-04/2026 bagi Pemohon Ibrahim Miah; ii. CA-44-9-04/2026 bagi Pemohon Mohammad Jakir; dan iii. CA-44-10/04/2026 bagi Pemohon Shafiqur Rahman [4] Kesemua Notis Usul dan permohonan Semakan Jenayah tersebut telah didengar bersama memandangkan fakta material, adalah berpunca daripada isu yang sama dan melibatkan juga Pemohon-Pemohon yang sama. [5] Pada 19.6.2026, Mahkamah ini setelah meneliti afidavit-afidavit yang difailkan dan mempertimbangkan hujahan pihak-pihak telah menolak kesemua Notis Usul dan permohonan Semakan Jenayah yang difailkan Pemohon-Pemohon. Pemohon-Pemohon kini mengemukakan rayuan bagi Notis Usul No. CA- 44-02/2026, CA-44-03/2026, CA-44-04/2026 dan CA-44- 05/2026 iaitu Notis Usul yang melibatkan permohonan bagi mendapatkan writ habeas corpus sahaja. [6] Berikut adalah alasan Mahkamah ini dalam menolak Notis Usul Pemohon-Pemohon bagi mendapatkan writ habeas corpus. FAKTA RINGKAS [7] Pemohon-Pemohon merupakan warganegara Bangladesh yang sebelum ini telah dituduh di Mahkamah Sesyen Temerloh pada 30.10.2024 di atas pertuduhan melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara ("PLKS") di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963. [8] Pemohon-Pemohon telah mengaku tidak bersalah dan telah dilepaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan. [9] Sementara menunggu perbicaraan, PLKS Pemohon-Pemohon telah tamat. Secara terperinci, PLKS Pemohon-Pemohon tamat pada:- i. Ibrahim Miah - 05.07.2025 ii. Shafiqur Rahman - 08.05.2025 iii. Mohammad Jakir - 06.01.2025 iv. Asim Mondol-20.08.2025 [10] Pada 30.03.2026, selepas prosiding di Mahkamah Sesyen selesai, Pemohon-Pemohon telah ditangkap semula oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang sah. ('tangkapan kedua"). [11] Pemohon-Pemohon kemudiannya ditahan di bawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen bagi tujuan siasatan. [12] Hasil siasatan kemudiannya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya yang mengarahkan agar Pemohon-Pemohon dikompaun bagi kesalahan tersebut dan seterusnya diambil tindakan pengusiran. [13] Kompaun kemudiannya dibayar dan suatu Order of Removal di bawah seksyen 33(1) serta Order of Detention di bawah seksyen 34 Akta Imigresen telah dikeluarkan. [14] Pemohon-Pemohon kini memohon suatu writ habeas corpus atas alasan bahawa penahanan kedua mereka pada 30.03.2026 adalah tidak sah. Permohonan-permohonan ini difailkan pada 02.04.2026. PRINSIP UNDANG-UNDANG Sifat dan skop habeas corpus [15] Writ habeas corpus merupakan remedi yang bertujuan menguji kesahan sesuatu penahanan. [16] Persoalan utama yang perlu dijawab oleh Mahkamah bukan sama ada keputusan pentadbiran pihak berkuasa adalah betul atau salah, tetapi sama ada terdapat asas undang-undang yang membenarkan penahanan tersebut. [17] Mahkamah Persekutuan dalam SK Tangkaliswaran Krishnan v Menteri Dalam Negeri [2009] 6 CLJ 705 menegaskan bahawa pihak yang menahan perlu memuaskan Mahkamah bahawa perlindungan perundangan dan perlembagaan telah dipatuhi. [18] Oleh itu, Mahkamah perlu menumpukan kepada persoalan sama ada pada setiap masa material terdapat kuasa statutori yang sah untuk menahan Pemohon-Pemohon. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN [19] Berdasarkan afidavit-afidavit dan hujahan yang dikemukakan, isu-isu yang dikenalpasti adalah seperti berikut :- i. Sama ada tangkapan kedua pada 30.03.2026 adalah tidak sah; ii. Sama ada pelepasan dengan jaminan menghalang tangkapan semula; iii. Sama ada kegagalan mengeluarkan pas khas menjadikan penahanan kedua sebagai tidak sah; iv. Siapakah yang bertanggungjawab memastikan status Imigresen yang sah; dan v. Sama ada Order of Removal dan Order of Detention menjadikan tahanan kedua sebagai sah. ANALISA DAN DAPATAN Sama ada tangkapan kedua pada 30.03.2026 adalah tidak sah [20] Hujahan utama Pemohon-Pemohon ialah mereka telah ditangkap semula tanpa alasan munasabah diberikan kepada mereka. [21] Mereka turut bergantung kepada seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah serta keputusan dalam Yit Hon Kit v Minister of Home Affairs [1988] 2 MLJ 638. [22] Mahkamah telah meneliti afidavit-afidavit yang difailkan oleh pihak-pihak. [23] Di pihak Pemohon-Pemohon mereka mendakwa alasan tangkapan tidak diberikan. Sebaliknya, Suriani binti Ab Alin selaku pegawai yang mengetuai operasi menerusi afidavitnya pula menyatakan bahawa tujuan pemeriksaan dan asas tangkapan telah diterangkan kepada Pemohon-Pemohon. [24] Beliau turut menyatakan bahawa Pemohon-Pemohon gagal mengemukakan sebarang pas yang sah selepas PLKS mereka tamat. [25] Mahkamah mendapati bahawa walaupun terdapat percanggahan fakta mengenai apa yang berlaku di lokasi tangkapan, adalah tidak dipertikaikan bahawa pada hari yang sama suatu Notis Penahanan di bawah seksyen 51(5)(b) telah dikeluarkan. [26] Notis tersebut secara jelas menyatakan asas undang-undang penahanan. Laporan polis juga dibuat pada hari yang sama. [27] Selanjutnya, keseluruhan tindakan susulan termasuk siasatan, kompaun dan pengeluaran Order of Removal menunjukkan bahawa penahanan tersebut adalah berdasarkan syak munasabah bahawa Pemohon-Pemohon telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen. [28] Mahkamah turut mengambil perhatian bahawa penahanan Pemohon-Pemohon tidak berlaku secara berterusan di bawah satu kuasa yang sama. Sebaliknya, asas perundangan penahanan berubah mengikut perkembangan proses penguatkuasaan yang diperuntukkan oleh Akta Imigresen. [29] Penahanan awal dibuat bagi tujuan siasatan di bawah seksyen 51(5)(b). Setelah siasatan selesai, tindakan penguatkuasaan beralih kepada pengeluaran Order of Removal di bawah seksyen 33 dan Order of Detention di bawah seksyen 34. Selanjutnya, Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa turut melanjutkan tempoh tahanan sehingga 30.04.2026. [30] Berdasarkan keseluruhan afidavit, kronologinya ialah:- TarikhTindakanAsas Undang-undang30.3.2026Ditangkap selepas perbicaraans.51(3)(a) Akta Imigresen30.03.2026Notis Penahanan 14 hari dikeluarkans.51(5)(b)01.04.2026Dipindahkan ke Depot Kemayans.51(5)(b)07.04.2026TPR arah kompauns.1509.04.2026Kompaun dibayars.1510.04.2026Order of Removals.33(i)10.04.2026Order of Detentions.34(i)12.04.2026Tempoh tahanan siasatan 14 hari berakhirs.51(5)(b)Lanjutan tahanan diperoleh daripada Majistret sehingga 30.04.2026 (Ekshibit MHJ-3)s.51(5)(b) [31] Kronologi ini menunjukkan bahawa penahanan Pemohon-Pemohon pada setiap masa material disokong oleh asas undang-undang yang berbeza tetapi berterusan. [32] Mahkamah tidak dapat menerima hujahan bahawa penahanan tersebut merupakan suatu penahanan tanpa kuasa atau suatu penahanan yang menjadi tidak sah secara automatik hanya kerana tamatnya tempoh tahanan siasatan selama empat belas hari. [33] Tempoh tersebut yang berakhir pada 12.04.2026 juga telah dilanjutkan sehingga 30.04.2026 sepertimana dilihat di ekshibit MHJ-3 yang dilampirkan di dalam affidavit Mohd Nurhilman bin Johari. Justeru itu, Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat asas statutori yang nyata bagi tangkapan tersebut. Sama ada kegagalan mengeluarkan pas khas menjadikan penahanan tidak sah [34] Pemohon-Pemohon berhujah bahawa mereka telah diberikan jaminan oleh Mahkamah Sesyen. Oleh itu menurut mereka, penahanan semula tersebut mencabul Perintah Jaminan Mahkamah. [35] Dengan hormat, Mahkamah tidak dapat menerima hujahan tersebut. [36] Perintah jaminan yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen adalah berkaitan pertuduhan di bawah Peraturan 39(b) manakala tangkapan kedua yang dibuat pada 30.03.2026 pula adalah berkaitan suatu kesalahan lain yang berbeza iaitu seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen. [37] Mahkamah ini berpendapat hakikat bahawa seseorang telah dibenarkan jaminan bagi satu kesalahan tidak memberikan imuniti daripada penangkapan bagi kesalahan lain yang dikesan atau berlaku selepas itu. [38] Perintah jaminan tidak menyingkirkan kuasa statutori yang diberikan oleh Parlimen kepada pegawai imigresen di bawah seksyen 51 Akta Imigresen. [39] Mahkamah tidak mendapati bahawa tindakan Responden menahan Pemohon-Pemohon atas kesalahan yang berbeza mempunyai kesan mencampuri atau melanggar perintah jaminan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen. [40] Mahkamah juga tidak menerima hujahan Pemohon-Pemohon yang bersandarkan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah menerima bahawa Perkara 121 merupakan sumber kuasa kehakiman dan meletakkan tanggungjawab kepada Mahkamah untuk menyemak kesahan tindakan eksekutif apabila dicabar. [41] Namun demikian, kuasa kehakiman tersebut bukanlah kuasa untuk mengambil alih atau menggantikan budi bicara yang oleh undang-undang telah diperuntukkan kepada pihak berkuasa eksekutif. Dalam kes ini, kuasa untuk mengeluarkan Pas Khas dan menguruskan hal ehwal imigresen telah diperuntukkan oleh Parlimen kepada Ketua Pengarah Imigresen melalui Akta Imigresen 1959/63. [42] Setelah Mahkamah melaksanakan fungsi semakannya, Mahkamah mendapati bahawa Pemohon-Pemohon gagal menunjukkan bahawa pelaksanaan kuasa tersebut telah dicemari oleh ketidaksahan, ketidakrasionalan, mala fide atau ketidakpatuhan kepada kehendak undang-undang. Oleh itu, tiada asas bagi Mahkamah untuk menggantikan keputusan Ketua Pengarah Imigresen dengan keputusan Mahkamah sendiri. [43] Dengan hormatnya, hujahan Pemohon-Pemohon, jika diterima, akan membawa kepada suatu keadaan di mana Mahkamah bukan lagi menjalankan fungsi semakan terhadap kesahan pelaksanaan kuasa statutori, tetapi mengambil alih fungsi Parlimen yang telah mengamanahkan fungsi tersebut kepada Ketua Pengarah Imigresen. [44] Pendekatan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan struktur Akta Imigresen 1959/63 bahkan tidak selaras dengan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan. Sama ada kegagalan mengeluarkan pas khas menjadikan penahanan tidak sah [45] Isu yang paling banyak ditekankan oleh Pemohon-Pemohon ialah bahawa pihak Imigresen sepatutnya mengeluarkan Pas Khas kepada mereka. [46] Menurut Pemohon-Pemohon, kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka terdedah kepada tindakan atas kesalahan tinggal melebihi masa (overstay). [47] Mahkamah mendapati hujahan tersebut tidak dapat membantu permohonan ini. [48] Pertama, melalui rekod yang dikemukakan oleh Responden, hanya Pemohon Mohammad Jakir dan Pemohon Asim Mondol ada mengemukakan permohonan secara online yang mana butirannya adalah seperti berikut:- NamaPLKS TamatPermohonan OnlineStatusMohammad Jakir06.01.202507.02.2025 08.03.2025“pending renew passport”Asim Mondol20.08.202509.10.2025 07.11.2025“pending decision for visit pass temporary employment” [49] Tiada bukti di hadapan Mahkamah bahawa Pemohon Ibrahim dan Pemohon Syafiqur ada mengemukakan sebarang permohonan secara online. Bagi Pemohon Mohammad Jakir dan Pemohon Asim Mondol pula, permohonan dibuat selepas tamatnya tempoh PLKS dan tidak diproses disebabkan alasan yang dinyatakan. [50] Pada masa yang sama, tidak dikemukakan sebarang keterangan menunjukkan bahawa Pemohon-Pemohon pernah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan Pas Khas walaupun Pemohon-Pemohon ada beberapa kali melapor diri kepada Responden. [51] Sebaliknya afidavit-afidavit Responden secara konsisten menyatakan bahawa semakan rekod Jabatan Imigresen menunjukkan tiada permohonan sedemikian pernah dibuat. [52] Kedua, Mahkamah tidak menemui sebarang peruntukan statutori yang meletakkan kewajipan mandatori ke atas Jabatan Imigresen untuk secara automatik mengeluarkan Pas Khas kepada setiap orang asing yang sedang menghadapi pertuduhan jenayah. [53] Ketiga, walaupun Mahkamah menerima bahawa mungkin terdapat ruang untuk mempertikaikan keputusan pentadbiran berhubung Pas Khas melalui prosiding lain yang sesuai, persoalan tersebut tidak menjejaskan kewujudan kuasa statutori untuk menahan seseorang yang didapati berada di Malaysia selepas tamat tempoh pasnya. [54] Oleh itu isu Pas Khas tidak menjadikan penahanan tersebut tidak sah. Isu Keempat Siapakah yang bertanggungjawab memastikan status Imigresen yang sah? [55] Mahkamah mendapati bahawa sebahagian besar kes Pemohon-Pemohon dibina atas premis bahawa pihak Imigresen mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Pemohon-Pemohon sentiasa memiliki dokumen imigresen yang sah sepanjang tempoh perbicaraan. [56] Pemohon-Pemohon berhujah bahawa mereka tidak mengetahui keperluan memohon Pas Khas dan bahawa pegawai penyiasat yang menerima laporan bulanan mereka sepatutnya memaklumkan perkara tersebut atau mengambil langkah untuk mengeluarkan Pas Khas. [57] Dengan hormat, Mahkamah tidak dapat menerima hujahan tersebut. Pada hemat Mahkamah, beban memastikan seseorang itu mempunyai pas lawatan yang sah kekal di atas pihak pemegang pas tersebut dan tidak boleh di alih kepada pihak Imigresen. [58] Hakikat bahawa Akta Imigresen memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk mengeluarkan sesuatu pas atau permit tidak bermakna Ketua Pengarah atau pegawai-pegawai imigresen memikul tanggungjawab undang-undang untuk memastikan setiap warga asing sentiasa mempunyai dokumen imigresen yang sah. [59] Prinsip asas sistem imigresen adalah bahawa seseorang bukan warganegara yang memasuki dan tinggal di Malaysia bertanggungjawab memastikan kehadirannya di negara ini sentiasa disokong oleh pas, permit atau kebenaran yang sah menurut undang-undang. [60] Dalam kes ini, Pemohon-Pemohon mengetahui bahawa mereka berada di Malaysia atas kapasiti sebagai pemegang PLKS. [61] Pemohon-Pemohon juga tidak mempertikaikan bahawa PLKS tersebut mempunyai tempoh sah tertentu dan akhirnya tamat. [62] Walaupun Pemohon-Pemohon mendakwa tidak mengetahui implikasi tamatnya PLKS tersebut, ketidaktahuan mengenai keperluan undang-undang tidak boleh memindahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berkuasa imigresen. Pada masa yang sama, ketiadaan pengetahuan mengenai undang-undang bukanlah suatu pembelaan. [63] Mahkamah juga mengambil perhatian bahawa Pemohon-Pemohon telah diwakili peguam sepanjang prosiding jenayah berkenaan sebelum dan selepas PLKS tersebut tamat. [64] Namun begitu, tiada bukti bahawa sebarang permohonan rasmi bagi mendapatkan Pas Khas pernah dibuat kepada Jabatan Imigresen selepas tamatnya PLKS tersebut. Tiada juga bukti bahawa sebarang permohonan sedemikian pernah ditolak oleh pihak berkuasa. [65] Sebaliknya, berdasarkan semakan rekod Jabatan Imigresentidak menemui sebarang permohonan Pas Khas yang pernah dikemukakan oleh mana-mana Pemohon. [66] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah mendapati bahawa kegagalan Pemohon-Pemohon untuk memastikan mereka mempunyai pas yang sah selepas tamat PLKS tidak boleh dipindahkan kepada pihak Responden. [67] Mahkamah selanjutnya mendapati bahawa kegagalan pihak Responden mengingatkan, menasihati atau memaklumkan Pemohon-Pemohon mengenai keperluan memohon Pas Khas, walaupun jika dibuktikan sekalipun, tidak mempunyai kesan menjadikan penahanan yang kemudiannya dibuat di bawah Akta Imigresen sebagai tidak sah. Isu Kelima Sama ada Order of Removal dan Order of Detention menjadikan tahanan sebagai sah. [68] Rekod menunjukkan bahawa selepas siasatan selesai, Timbalan Pendakwa Raya telah mengarahkan supaya Pemohon-Pemohon dikompaun. Kompaun kemudiannya dibayar. [69] Setelah itu Order of Removal di bawah seksyen 33(1) dan Order of Detention di bawah seksyen 34 telah dikeluarkan. Bermula dari saat tersebut, asas tahanan bukan lagi seksyen 51(5)(b) tetapi seksyen 34 Akta Imigresen. [70] Dengan itu, hujahan bahawa keseluruhan tahanan menjadi tidak sah semata-mata kerana isu berkaitan tempoh tahanan awal tidak dapat diterima. [71] Pada setiap masa material terdapat instrumen statutori yang memberikan kuasa sah untuk menahan Pemohon-Pemohon sementara pengusiran dilaksanakan. Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan [72] Mahkamah menerima bahawa kebebasan diri merupakan hak asasi yang sangat penting. [73] Namun Perkara 5(1) sendiri memperuntukkan bahawa seseorang boleh dilucutkan kebebasan dirinya mengikut undang-undang. [74] Dalam kes ini penahanan dibuat melalui mekanisme yang diperuntukkan secara nyata oleh Akta Imigresen. [75] Mahkamah tidak menemui sebarang bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa kuasa-kuasa tersebut digunakan tanpa bidang kuasa atau bagi tujuan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang. Kesimpulan [76] Setelah meneliti keseluruhan afidavit, dokumen serta hujahan pihak-pihak, Mahkamah mendapati bahawa: terdapat asas statutori yang sah bagi tangkapan Pemohon-Pemohon; ii. pelepasan dengan jaminan tidak menghalang tangkapan atas kesalahan yang berbeza; iii. tiada kewajipan mandatori ke atas Jabatan Imigresen untuk secara automatik mengeluarkan Pas Khas; iv. dakwaan bahawa status overstay berpunca daripada tindakan responden tidak dibuktikan secukupnya; dan v. penahanan seterusnya disokong oleh Order of Removal dan Order of Detention yang sah di sisi undang-undang. [77] Oleh itu Mahkamah berpuas hati bahawa Responden telah berjaya menunjukkan asas undang-undang yang mencukupi bagi penahanan kedua Pemohon-Pemohon. [78] Sehubungan itu, permohonan untuk mendapatkan writ habeas corpus adalah ditolak. Penggantungan pengusiran [79] Permohonan telah dibuat selepas keputusan supaya perintah pengusiran digantung sementara menunggu rayuan diputuskan di Mahkamah Persekutuan. [80] Mahkamah telah mempertimbang dan kemudiannya membenarkan permohonan tersebut. Keputusan dibuat berpandukan keputusan YAA Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh (sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu) dalam kes Shudangshu Chandra v. Ketua Pengarah Imigresen Malaysia & Yang Lain [2021] MLRHU 1182 yang mana penggantungan pengusiran telah dibenarkan di dalam kes tersebut sementara menunggu pelupusan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan. Tarikh: Julai 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Peguam Bagi Pihak Perayu : Tetuan T. Harpal & Associates Peguambela & Peguamcara No. M3-B-5 Jalan Perdana Indah 4/3A Pandan Indah 55100 Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak : Pejabat Penasihat Undang-Undang Responden Negeri Kementerian Dalam Negeri Aras 5, Blok D1 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62546 Putrajaya
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.