Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN, MALAYSIA KES TANGKAP: DA-83D-1104-03/2025 ANTARA PENDAKWARAYA LAWAN
DA-83D-1104-03/2025
Magistrates Court of Malaysia9 Sept 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“18. Sepertimana dijelaskan dalam kes Koh Teck Chai v Public Prosecutor [1967] CLJU 72, dalam keadaan sepertimana dijelaskan diatas, apabila penamat bagi sesuatu kes tidak dapat dicapai walaupun berbilang perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (discharged not amounting to acquittal) dibe”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN, MALAYSIA KES TANGKAP: DA-83D-1104-03/2025 ANTARA PENDAKWARAYA LAWAN
1
ALASAN PENGHAKIMAN Alasan penghakiman ini ditulis atas suatu rayuan yang dikemukakan oleh Pendakwaan atas suatu perintah lepas dan bebas (acquittal and discharged) keatas Orang Kena Tuduh pada 9/9/2025 bagi suatu pertuduhan dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya.
2
Secara tuntas, kes ini merupakan reinkarnasi semula kes DA-83D- 297-01/2022 yang telahpun sebelum ini diperintahkan supaya Orang Kena Tuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (discharged not amounting to acquittal) yang mana apabila kes ini dipertuduhkan semula ketas Orang Kena Tuduh dengan nombor kes yang baharu iaitu DA-83D-1104-03/2025. Pendakwaan menggunapakai peruntukan Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah apabila kes ini didaftarkan semula dengan menggunapakai semula keterangan saksi pendakwaan pertama iaitu Ahli Kimia dan saksi pendakwaan kedua iaitu Pegawai Serbuan sebagai sebahagian daripada nota keterangan bagi kes baharu ini.
3
Kes asal DA-83D-297-01/2022 berakhir dengan suatu perintah supaya Orang Kena Tuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (discharged not amounting to acquittal) disebabkan saksi pendakwaan yang terakhir iaitu Pegawai Penyiasat, Inspektor Divaha Shannon A/L K. Kanaran gagal untuk hadir perbicaraan di mahkamah pada 16/3/2025 tanpa sebarang sebab yang munasabah.
4
Pada kali ini juga iaitu bertepatan tarikh 9/9/2025, saksi yang sama iaitu Inspektor Divaha Shannon A/L K. Kanaran masih gagal untuk hadir perbicaraan di mahkamah pada tanpa sebarang sebab yang munasabah apabila dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwaraya bahawa berdasarkan semakan minit pada kertas siasatan yang ada dalam simpanannya, kononnya saksi tersebut tidak dapat hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan atas dasar perlu menghadiri kursus.
5
Walaubagaimanapun, selain daripada pernyataan tersebut daripada meja peguam (statement from the Bar) oleh Timbalan Pendakwaraya, tiada bukti sokongan dikemukakan bahawa sememangnya saksi tersebut dikehendaki hadir untuk berkursus.
6
Mahkamah ini berpandangan bawa sekalipun saksi ini dikehendaki supaya hadir berkursus, alasan tersebut bukanlah suatu alasan yang munasabah untuk mengecualikan kehadiaran saksi tersebut dalam mana-mana perbicaraan mahkamah. Ini memandangkan keperluan untuk kehadiran seseorang saksi ke Mahkamah adalah lebih utama berbanding apa jua urusan harian yang ditugaskan kepada saksi – saksi yang telah disepina ke mahkamah.
7
Inspektor Divaha Shannon A/L K. Kanaran sebagai seorang pegawai penguatkuasa undang-undang, seharusnya tahu dengan lebih baik tugasnya untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan mahkamah apabila diperlukan dan menjadi kewajipannya untuk memaklumkan kepada Timbalan Pendakwaraya mengenai keberadaan dan keadaannya. Namun dalam kes ini, jelas pihak pendakwaan tidak mampu untuk menawarkan apa-apa penjelasan munasabah mengapa saksi ini tidak mampu untuk menghadirkan diri sebagai saksi perbicaraan dan lebih memilih untuk hadir kursus, jika benar kursus wujud pada tarikh tersebut dan sememangnya dihadiri oleh saksi ini.
8
Sememangnya pihak pendakwaan ada menyatakan bahawa ia telah memaklumkan kepada Inspektor Divaha Shannon A/L K. Kanaran dimana Mahkamah ini memerlukan kehadirannya tetapi tiada bukti ditunjukkan bahawa ada tindakan yang tuntas dan serius diambil bagi maksud itu yang menatijahkan kes perbicaraan tidak dapat dijalankan. Keadaan ini menunjukkan bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai kawalan ke atas perjalanan kesnya seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah.
9
Tiada sebarang bukti dikemukakan menunjukkan sepina telahpun berjaya disempurnakan keatas saksi tersebut. Tiada kaki sepina yang mempunyai endorsment saksi dikemukakan oleh pendawaan semasa memaklumkan ketidakhadiran saksi tersebut. Atas dasar tersebut tiada sebaranng waran tangkap dapat dikeluarkan untuk tunjuk sebab ketidakhadiran saksi tersebut.
10
Kegagalan mengemukakan kaki sepina tersebut juga membawa kepada satu butiran penting yang perlu ditegaskan kali ini iaitu dalam keadaan kes berlarutan sejak 2022 sehinggalah sekarang dan tiada bukti dalam bentuk kaki sepina dapat dikemukakan bahawa usaha yang patut telah diambil untuk memastikan kehadiran saksi ini, timbul persoalan tentang sejauh mana pihak pendakwaan dalam kes ini serius dalam menjalankan tanggungjawabnya selaku seorang pegawai mahkamah (officer of the court) dalam memastikan kehadiran saksi yang diperlukan dalam sesuatu perbicaraan.
11
Ungkapan ‘pihak pendakwaan hendaklah mempunyai kawalan ke atas arahan semua prosiding jenayah dan pendakwaan’ bermakna bukan sahaja itu pendakwaan mesti dijalankan secara jujur, tanpa sebarang rasa takut atau pilih kasih, dan untuk memastikan bahawa pendakwaan dan pertuduhan keatas Orang Kena Tuduh adalah didasarkan kepada kesahihan keterangan dan perbicaraan yang adil kepada Orang Kena Tuduh. Maka bagi mencapai maksud ini pihak pendakwaan mestilah menguruskan kehadiran saksinya demi kepentingan penyelesaian kes secara tepat dalam masa yang diperuntukkan oleh mahkamah, apatah lagi dalam keadaan dimana terutamanya apabila Orang Kena Tuduh telah mendapat perintah dilepaskan tanpa dibebaskan.
12
Keputusan untuk mendakwa memerlukan Orang Kena Tuduh melapangkan masa dan mengeluarkan kos perbelanjaan untuk membela diri yang mana tiada peruntukan disisi undng-undang yang dia boleh mendapatkan semula kos yang telahpun dibelanjakan jika dia dibebaskan. Oleh itu, pihak pendakwaan bukan sahaja perlu bertanggungjawab keatas dirinya dan mahkamah tetapi juga kepada Orang Kena Tuduh. Melainkan terdapat keadaan yang benar-benar dapat dimaafkan oleh mahkamah, pihak pendakwaan mesti memastikan saksinya hadir apabila mereka dikehendaki, lebih-lebih lagi apabila mereka adalah pegawai yang menguatkuasakan undang-undang.
13
Pihak pendakwaan dalam kes ini mempunyai beberapa peluang semenjak tahun 2022 untuk memastikan kehadiran Inspektor Divaha Shannon A/L K. Kanaran tetapi gagal berbuat demikian. Pada peringkat ini, pihak pendakwaan adalah tidak dapat meneruskan kesnya tanpa kehadiran Inspektor Divaha Shannon A/L K. Kanaran untuk memberikan keterangan dalam mahkamah.
14
Dalam keadaan ini, sekalipun pihak pendakwaan menegaskan hasratnya untuk meneruskan pendakwaan terhadap Orang Kena Tuduh, ini tetap akan menjadi ketidakadilan yang besar ke atas Orang Kena Tuduh mempunyai pertuduhan tergantung di atas kepalanya (looming over his head) tanpa sebarang kepastian tuntas tentang bilakah secara tepat pihak pendakwaan boleh menutup kesnya keatas Orang Kena Tuduh dengan kehadiran Inspektor Divaha Shannon A/L K. Kanaran dalam mahkamah untuk memberi keterangan. Timbalan Pendakwaraya dalam kes ini gagal untuk kemukakan seccara tuntas bilakah pihaknya bersedia untuk menueruskan semual kes keatas Orang kena Tuduh.
15
Sepertimana dijelaskan dalam kes Yussof Daniel Khairul Hisham v Public Prosecutor [2025] 2 CLJ 1018, Pendakwaraya mempunyai niat untuk mendakwa lebih lanjut bukanlah suatu alasan yang mencukupi untuk menidakkan suatu perintah lepas dan bebas (acquittal and discharged).
16
Mahkamah ini berpandangan bahawa situasi yang wujud sekarang melayakkan suatu perintah lepas dan bebas (acquittal and discharged) keatas Orang Kena Tuduh memandangkan selaras prinsip dalam kes Public Prosecutor v Lau Ngik Yin [2007] 3 MLRH 238 yang menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa yang luas kepada Pendakwaraya untuk mendakwa atau mendakwa atau menghentikan pendakwaan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, namun suatu perintah lepas dan bebas (acquittal and discharged) adalah tindakan paling tepat apabila Pendakwaraya tidak dapat meneruskan pendakwaan terhadap Orang Kena Tuduh dalm jangka masa yang boleh dihitung tanpa suatu alasan yang munasabah.
17
Adalah menjadi satu penghinaan kepada prinsip asas keadilan untuk membenarkan pendakwaan untuk menggunakan peruntukan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah mendakwa Orang Kena Tuduh berulang kali atas dasar bahawa ia berhasrat untuk tetap mendakwa tertuduh walaupun jelas bahawa terdapat halangan yang tidak dapat diselesaikan dalam kemajuan perbicaraan. Untuk membenarkan keadaan sedemikian berterusan tanpa kepastian bilakah halangan tersebut boleh diselesaikan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
18
Sepertimana dijelaskan dalam kes Koh Teck Chai v Public Prosecutor [1967] CLJU 72, dalam keadaan sepertimana dijelaskan diatas, apabila penamat bagi sesuatu kes tidak dapat dicapai walaupun berbilang perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (discharged not amounting to acquittal) diberikan keatas Orang Kena Tuduh yang berhujung dengan pertuduhan semula berulang kali terhadap Orang Kena Tuduh seperti dalam situasi kes ini, maka Mahkamah tidak seharusnya terhalang daripada memberikan perintah lepas dan bebas (acquittal and discharged) ketas Orang Kena Tuduh. Dalam keadaan ini, pihak pendakwaan mesti menanggung akibat daripada kegagalannya sendiri dalam memastikan proses pengadilan berjalan keatas Orang Kena Tuduh. Disediakan oleh, ………………………………… (RAIS IMRAN BIN HAMID) Majistret Mahkamah Majistret Kota Bharu Kelantan Bertarikh: 21 September 2025 Bagi Pendakwaan: Muhammad Syamsul Ikhmal bin Ramli (Timbalan Pendakwaraya, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan) Bagi Pembelaan: Dato’ Sukri bin Haji Mohamed, Syed Muhammad Syafiq bin Syed Abu Bakar, Che Mohamad Azim bin Che Hamat (Wan Haron Sukri & Nordin)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.