Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(SH)-465-10/2024 ANTARA MOHAMMAD SYAFIQ BIN SHAH DAHLI (NO. KP: 911117-06-5121) … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Perkara Mengenai Mahkamah Tinggi Malaya di Klang Rayuan Jenayah No.: BL-45A-4-01/2023 Antara Pendakwa Raya Dan Mohammad Syafiq bin Shah Dahli KORAM CHE MOHD RUZIMA BIN GHAZALI, HMR AZMAN BIN ABDULLAH, HMR AZHAHARI KAMAL BIN RAMLI, HMR PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Perayu, Mohammad Syafiq bin Shah Dahli telah dituduh mengedar dadah berbahaya jenis cannabis seberat 237.0 gram pada 31.3.2022 lebih kurang pada pukul 11.30 malam di Lebuh Raya WCE Kapar menghala ke arah Klang, satu kesalahan menurut s 39B(1)(a) dan boleh dihukum menurut s 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952). [2] Setelah perbicaraan penuh, perayu telah didapati bersalah oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi (YA HMT) dan dijatuhi hukuman pemenjaraan seumur hidup iaitu selama 30 tahun dari tarikh ditangkap pada 31.3.2022 serta dikenakan hukuman sebat sebanyak 12 kali sebatan rotan. Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah ini. [3] Untuk memudahkan sebutan pihak-pihak akan disebut sama seperti mana di Mahkamah Bicara, iaitu orang kena tuduh (OKT) dan pihak pendakwaan (PP). Fakta kes PP [4] Pada 31.3.2022 jam lebih kurang 11.30 malam, Koperal Noor Azmi bin Che Soh (SP5) bersama Lans Koperal Shafren Fahmi bin Mazlan (L/K Shafren) yang sedang menjalankan tugas rondaan kereta peronda (MPW) di sekitar Sektor 4 dan 5 di KM 35.6 Lebuh Raya WCE Kapar menghala ke arah Klang (tempat kejadian), telah menahan seorang lelaki Melayu yang dalam keadaan mencurigakan yang sedang memandu kenderaan jenis Hilux warna hitam dengan nombor pendaftaran WTR 9802 (Hilux Hitam). Lelaki Melayu tersebut dicamkan sebagai OKT ketika perbicaraan. [5] Setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa, SP5 telah melakukan pemeriksaan fizikal terhadap OKT. SP5 kemudiannya bertanyakan samada OKT ada menyimpan apa-apa barang salah dan OKT telah dengan sendiri mengambil satu paket plastik lut sinar (eksibit P7) berisi ketulan mampat dedaun kering yang disyaki dadah jenis cannabis seberat lebih kurang 255.00 gram yang diambil dari atas tempat duduk penumpang bahagian hadapan Hilux Hitam yang dinaiki OKT. [6] SP5 kemudian telah menahan OKT dan membawanya balik ke Balai Polis Sungai Kapar. Barang kes berada dalam kawalan dan simpanan SP5 sehingga sampai di balai polis. SP5 kemudian membuat timbangan barang kes yang dirampas dan membuat penandaan. SP5 seterusnya membuat dua laporan polis berhubung tangkapan terhadap OKT iaitu Repot Polis Bukit Raja nombor 5234/22 (eksibit P19) dan Repot Polis Bukit Raja nombor 5235/22 (eksibit P20). Seterusnya barang kes dan OKT telah diserahkan kepada Inspektor pegawai penyiasat, Rasyidah binti Abdul Razak (SP7) melalui Borang Akuan Serah/Terima Barang Kes eksibit P22. Semakan seterusnya dilakukan oleh SP7 terhadap Hilux Hitam dan didapati ianya didaftarkan atas nama Power-Gen Engineering (M) Sdn Bhd (PGESB) - (eksibit P11 (1-2)). [7] Lebih kurang pukul 10.30 pagi 1.4.2022, SP7 bersama SP5 dan juru foto Lans Koperal Mohammad Nizar bin Abd Jamil (SP4) telah pergi melawat di tempat kejadian dan SP4 telah merakam sebanyak empat keping gambar tempat kejadian (eksibit P14 (1-4)). SP7 turut menyediakan rajah kasar tempat kejadian (eksibit P23). [8] Pada 7.4.2022 lebih kurang pukul 10.15 pagi, SP7 telah menghantar barang-barang kes ke Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya dan barang-barang kes telah diterima oleh Ahli Kimia, En Abd Rahim bin Ismail (SP1). SP1 telah menjalankan analisis terhadap barang kes dan mendapati ianya ialah dadah berbahaya jenis cannabis dengan berat bersih sebanyak 237.0 gram (barang kes). SP1 telah menyediakan laporan kimia (eksibit P8). Pada 15.9.2022, barang kes dan laporan kimia telah diserahkan kepada Inspektor Azmi bin Ahmed (SP3) yang kemudiannya menyerahkan barang kes dan laporan kimia kepada SP7. Keputusan YA HMT di Akhir Kes PP [9] Setelah mendengar keterangan daripada 7 orang saksi, YA HMT mendapati bahawa PP telah berjaya membuktikan kesemua inti pati pertuduhan terhadap OKT. YA HMT menerima keterangan SP1 yang mengesahkan barang kes yang dirampas ialah dadah jenis cannabis seberat 237.0 gram. Untuk inti pati kedua, YA HMT mendapati bahawa OKT bukan sahaja memiliki, tetapi juga mengetahui kewujudan barang kes berdasarkan keterangan SP5 dan juga anggapan undang-undang menurut perenggan 37(d) ADB 1952. Akhirnya, untuk inti pati ketiga, YA HMT mendapati PP telah membuktikan keterangan yang menjurus kepada elemen pengedaran dadah seperti yang didefinisikan menurut s 2 ADB 1952 iaitu perbuatan OKT ialah kepada perbuatan “concealing, keeping” barang kes tersebut. YA HMT juga berpendapat bahawa daripada jumlah barang kes iaitu dadah jenis cannabis seberat 237.0 gram, adalah mustahil ianya untuk kegunaan peribadi OKT kecuali ianya adalah untuk tujuan pengedaran. Oleh itu, YA HMT mendapati dan memutuskan bahawa PP berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT sepertimana yang diperuntukkan menurut subseksyen 180(1) Kanun Tatacara Jenayah. YA HMT memutuskan untuk memanggil OKT membela diri. Tiga pilihan untuk membela diri telah diterangkan kepada OKT. Pembelaan OKT [10] OKT memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi sebagai SD1 dan menyatakan bahawa dia memandu Hilux Hitam milik majikannya apabila ditahan oleh polis di Lebuh Raya WCE. OKT mendakwa tidak tahu sebab penahanan dan menyatakan bahawa dua anggota polis telah memeriksa kenderaannya tanpa kehadirannya. Dua anggota polis tersebut mendakwa bahawa mereka telah menemui satu bungkusan di bawah kerusi penumpang. Dia digari dan polis meletakkan bungkusan tersebut di atas ribanya lalu diambil gambar. [11] OKT juga mendakwa bahawa polis ada membawanya ke kawasan berhampiran dengan Hospital Columbia dan meminta wang sebanyak RM100,000.00 untuk menyelesaikan kes pengedaran dadah. OKT telah menghubungi sepupunya, Azmir bin Baharum (SD2) untuk tujuan mendapatkan wang yang diminta oleh polis tetapi SD2 gagal mendapatkan wang yang mencukupi bagi memenuhi permintaan polis. [12] Dakwaan OKT disokong oleh SD2 dan disertakan dengan bukti panggilan telefon (eksibit IDD27) serta rakaman suara bertarikh 31.3.2022 (eksibit IDD28). Di samping itu, OKT turut bergantung kepada surat akuan bersumpah bertarikh 17.2.2022 (eksibit D26) dalam pembelaannya. Keputusan YA HMT di Akhir Kes Pembelaan [13] Setelah meneliti semua keterangan pembelaan, YA HMT mendapati bahawa keterangan pembelaan yang diberikan oleh OKT adalah bersifat pemikiran kemudian dan penafian kosong semata-mata. Selaras dengan itu, YA HMT mendapati OKT gagal mematahkan anggapan undang-undang yang terpakai kepada isu pemilikan dan pengetahuan barang kes menurut perenggan 37(d) ADB 1952. OKT juga gagal atas imbangan kebarangkalian untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah bagi menunjukkan dia tidak terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah seperti yang ditakrifkan menurut s 2 ADB 1952. Oleh itu, YA HMT mendapati OKT gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan PP telah membuktikan kes terhadap OKT melampaui keraguan munasabah. Rayuan OKT [14] OKT menyenaraikan 16 alasan rayuan di dalam Petisyen Rayuan. Namun begitu, semasa berhujah melalui hujahan bertulis dan kemudiannya dibuat penekanan di dalam hujahan secara lisan di hadapan kami, peguam OKT hanya fokus kepada 3 isu utama. Pertama, isu berkaitan dengan pemilikan barang kes yang didakwa diberikan sendiri oleh OKT kepada SP5. Kedua, isu berkenaan dengan dapatan YA HMT di akhir kes pendakwaan yang berkaitan hak OKT membela diri terhadap pembuktian inti pati pertuduhan iaitu pemilikan dan pengedaran barang kes oleh OKT. Ketiga, isu berhubungan dengan penilaian YA HMT terhadap pembelaan yang dikemukakan pihak OKT. Analisis dan Dapatan Kami [15] Prinsip undang-undang berhubung dengan campur tangan mahkamah di peringkat rayuan terhadap keputusan yang diputuskan oleh hakim bicara adalah jelas. Mahkamah di peringkat rayuan secara peraturan amnya tidak akan sewenang-wenangnya mengusik atau mengubah keputusan hakim bicara berhubung persoalan fakta. Ini kerana hakim bicara mempunyai kelebihan mendengar dan melihat sendiri saksi-saksi yang memberikan keterangan semasa perbicaraan. Lihat di antara lainnya keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Amri Ibrahim & Anor v. PP [2017] 1 CLJ 617. Namun begitu, terdapat pengecualian kepada peraturan am tersebut. Mahkamah di peringkat rayuan sentiasa diberi kuasa untuk campur tangan dan mesti campur tangan jika ada kesilapan yang serius pada dapatan fakta hakim bicara atau dapatan tersebut bertentangan dengan berat bukti yang ada di hadapannya. Lihat keputusan-keputusan kes Lee Sang Cheah v R [1946]; Periasamy s/o Sinnappan & Anor v Public Prosecutor [1996] 2 MLJ 557; Teo Geok Fong v Lim Eng Hock [1996] 3 SLR 431; Sainal Abidin bin Mading v Public Prosecutor [1999] 4 MLJ 497; Mohd Johi bin Said & Anor v Public Prosecutor [2005] 5 MLJ 409. [16] Apabila mahkamah di peringkat rayuan mendapati ada alasan untuk campur tangan terhadap dapatan fakta yang diputuskan oleh hakim bicara, panduan yang diputuskan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Public Prosecutor v Nordin bin Johan & Anor [1983] 2 MLJ 221 mengenai pendekatan yang perlu diambil sangatlah relevan. Panduan tersebut ialah sepertimana berikut: The approach of an appellate court in a case like this is well established. In such a case it is its duty to make up its own mind, not disregarding the judgment appealed from and giving special weight to that judgment in cases where the credibility of the witnesses comes into question but with full liberty to draw its own inference from the facts proved or admitted and to decide accordingly. Sementara itu, dalam melaksanakan kuasa budi bicara untuk campur tangan di peringkat rayuan, Mahkamah Persekutuan ada membuat pemerhatian sepertimana berikut di dalam kes Lim Kheak Teong v Public Prosecutor [1985] 1 MLJ 38; [1984] 2 CLJ 219: With respect, what Lord Russell of Killowen said in Sheo Swarup v. King-Emperor [1934] AIR PC 227 was that although no limitations should be placed on the power of the appellate Court, in exercising the power conferred "the High Court should and will always give proper weight and consideration to such matters" as -