(iv) Versi perayu tidak disokong oleh SD2. [23] Peguam perayu berhujah HMT telah terkhilaf dalam membuat dapatan fakta mengenai elemen pengetahuan. Dihujahkan bahawa penemuan kad pengenalan bersama bungkusan dadah bukanlah satu bukti kukuh untuk menunjukkan perayu mempunyai pengetahuan bahawa kandungan bungkusan adalah dadah. Juga dihujahkan bahawa tindakan perayu membuat pusingan U adalah kerana beliau takut di saman kerana road tax motosikalnya telah tamat tempoh. Bukan kerana perayu takut mengenai polis akan memeriksa bungkusan dadah. Seterusnya, dihujahkan tidak ada sebab untuk perayu membuka bungkusan dadah kerana arahan telah diberi supaya tidak membukanya dan tindakan perayu adalah konsisten dengan seorang yang memegang amanah. [24] Dalam percakapan amaran beliau (P18), jawapan perayu kepada soalan-soalan berikut adalah relevan kepada isu pengetahuan: S : Apakah barang yang dimaksudkan? J : Kemungkinan dadah. Dia tokan dadah di sekitar Chemomoi. Saya tak berapa nak ambil tahu barang yang dibawa. Saya cuma terima upah RM500 sahaja. S : Kenapa kamu buat U-Turn semasa road block di hadapan Balai Telemong? J : Sebab roadtax moto saya dah mati. Tapi lesen memandu saya masih hidup. S : Adakah kamu buat U-Turn sebab kamu tahu kamu adabawa barang salah? J : Saya tidak berapa risau sangat dengan barang tersebut sebab ingatkan polis tak periksa beg saya. Saya cuma takut kena saman. [25] Dalam kes ini pihak polis tidak memeriksa sama ada betul atau tidak road tax motosikal perayu telah mati. Dalam keadaan yang dinyatakan, peguam perayu menghujahkan bahawa alasan perayu membuat pusingan U kerana takut disaman adalah lebih munasabah dan wajar diterima. Dan dapatan HMT bahawa pusingan U dibuat kerana perayu tahu kandungan bungkusan adalah dadah adalah tidak wajar dan harus diketepikan. [26] Kami tidak bersetuju dengan hujahan perayu. Pernyataan perayu dalam percakapan amarannya bahawa kemungkinan barang yang diarahkan beliau ambil dari lelaki India adalah dadah kerana Mie adalah tokan dadah jelas menunjukkan perayu tahu bungkusan yang dibawanya adalah berisi dadah. Perayu juga tahu membawa dadah adalah kesalahan jenayah yang berat. Perayu juga tahu di sekatan jalan raya, polis akan membuat pemeriksaan fizikal. Perayu juga tahu hukuman bagi saman trafik adalah sangat kecil berbanding hukuman bagi kesalahan berkaitan dadah. Sebab itu, perayu boleh menunggang motosikal sejauh 144 kilometer tanpa road tax tanpa rasa takut. Oleh itu, alasan perayu bahawa beliau buat pusingan U kerana takut disaman dan bukan kerana takut beg berisi dadah diperiksa oleh polis adalah suatu alasan yang tidak boleh diterima akal. Atas fakta kes ini, perayu membuat pusingan U kerana beliau ada pengetahuan mengenai dadah yang dibawanya dan takut ditangkap oleh polis. Inilah satu-satu alasan yang boleh dibuat bagi tindakan perayu itu. Oleh itu kami mendapati HMT tidak terkhilaf bila memutuskan pusingan U dibuat kerana perayu tahu beliau bawa bungkusan berisi dadah. [27] Kami juga tidak bersetuju dengan hujahan perayu bahawa tidak ada sebab untuk beliau membuka dan memeriksa bungkusan dadah kononnya kerana telah diarahkan supaya tidak membuka bungkusan. Jawapan kami, jika itu pilihan perayu, undang-undang tidak memihak kepada beliau. Dalam kes ini hanya ada dua (2) bungkusan dadah sahaja. Satu bungkusan adalah satu plastik lutsinar yang tidak dibalut dengan surat khabar. Ketulan dadah berwarna merah jambu dalam plastik lutsinar itu boleh dilihat dengan jelas. Satu bungkusan lagi dibalut dengan kertas surat khabar dan mengandungi 8 peket kecil berisi dadah. Hanya perlu tengok ketulan merah jambu dan ambil masa beberapa saat sahaja untuk membuka kertas surat khabar untuk lihat 8 peket kecil dadah. Jika sekadar untuk melihat kandungan bungkusan, dadah-dadah itu tidak terjejas pun dan Thambi serta Mie juga tidak akan tahu perayu telah melihat kandungan bungkusan. Dalam keadaan bungkusan yang sedemikian rupa, seseorang yang munasabah (lebih-lebih lagi apabila dilarang dari membuka bungkusan) akan secara spontan melihat isi kandungan bungkusan. Jadi bila perayu memilih untuk menutup mata dari melihat sebab tidak mahu tahu dadah-dadah yang berada didepan matanya, mengikut undang-undang, perayu dikatakan tahu mengenai dadah-dadah itu. Maka, sekali lagi kami mendapati HMT membuat dapatan fakta yang betul bila memutuskan konsep wilful blindness terpakai terhadap perayu. [28] Mengenai keterangan SD2 yang tidak memihak kepada perayu, peguam perayu menghujahkan SD2 telah berbohong untuk menyelamatkan dirinya (SD2). Juga dihujahkan adalah malang bagi perayu kerana polis tidak menjalankan siasatan ke atas telefon bimbit perayu yang dirampas untuk membongkar komunikasi yang didakwa berlaku di antara perayu, Mie dan Thambi. Kami mendapati hujahan peguam perayu mengenai telefon bimbit perayu dirampas oleh polis adalah tidak benar dan ditolak oleh mahkamah ini. Fakta yang betul ialah telefon bimbit perayu tidak dirampas oleh polis. [29] Sama ada SD2 berbohong atau tidak, SD2 telah tampil memberi keterangan bersumpah menafikan versi perayu. Jika benarlah SD2 ini adalah tokan dadah, sudah tentu SD2 akan melarikan diri dan bukannya hadir ke mahkamah untuk membersihkan namanya. Apa pun, SD2 adalah saksi perayu. Apabila keterangan SD2 tidak menyokong versi perayu, ini bermakna versi perayu mengenai innocent carrier tidak berlaku dan adalah tidak benar. Maka, HMT membuat dapatan fakta yang betul bila memutuskan dadah-dadah tersebut adalah milikan perayu dan pembelaan innocent carrier adalah suatu penafian semata-mata. [30] Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, kami mendapati sabitan dan hukuman ke atas perayu adalah selamat. Oleh itu rayuan perayu ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. Bertarikh 16 September 2022. Hadmarah Hadhariah binti Syed Ismail Hakim Mahkamah Rayuan. Bagi Pihak Perayu:Puan Aida Rahayu Abdul Rahman; Tetuan Aida Rahman & Co.Bagi Pihak Responden:Puan Norzilati Izhani bt Zainal @ Zainol Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara.