b
(b) SP7 kemudian telah meminta SP8 untuk membuat pemeriksaan ke atas beg-beg tersebut. SP8 telah memeriksa pengenalan diri OKT dan OKT telah dicamkan oleh SP8 di mahkamah.
/akn/my/judgment/court-of-appeal/2018/a94014ae-6626-4ce8-bbfe-5f39a00fdfcd
Court of Appeal of Malaysia6 Mar 2018B-05(M)-307-08/2016
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Text
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-307-08/2016 ANTARA MOHAMMED IDREES CONTRACTOR (No. PASSPORT: G9114004) …. PERAYU DENGAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Mahkamah Tinggi Shah Alam Dalam Perkara Perbicaraan Jenayah No. 45A-119-05/2013 Antara Pendakwa Raya Dengan Mohammed Idrees Contractor) KUORUM: MOHD ZAWAWI BIN SALLEH, HMR (KINI HMP) AHMADI BIN HAJI ASNAWI, HMR ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Perayu telah dituduh dengan kesalahan mengedar dadah berbahaya di bawah s.39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) yang boleh dihukum di bawah s. 39B (2) Akta yang sama. Perayu telah didapati bersalah, disabitkan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi. Secara terperinci, butiran pertuduhan terhadap perayu adalah seperti yang berikut: “Bahawa kamu pada 23 Disember 2012, lebih kurang jam 7.30 pagi, di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di dalam daerah Sepang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah mengedar dadah berbahaya iaitu Ketamine seberat 3993.7 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama.” [2] Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu merayu ke Mahkamah ini. Setelah mempertimbangkan penghujahan semua pihak dan meneliti keterangan dalam rekod, kami sebulat suara berpandangan bahawa tiadanya kekhilafan yang boleh dirayu di pihak hakim bicara untuk mewajarkan campur tangan kami. Dengan itu kami menolak rayuan ini. Fakta Ringkas [3] Fakta kes telah dinyatakan dengan jelas oleh Hakim bicara dalam penghakimannya. Memadai bagi kami untuk mengemukakan semula fakta tersebut sebagaimana yang berikut: 3 “(a) Semasa SP7 sedang bertugas di mesin pengimbas Kastam, pada 23 Disember 2012 jam 7.30 pagi, beliau melihat OKT datang dan mengimbas 2 buah beg beliau, hasil imbasan, SP7 mendapati terdapat imej yang mencurigakan pada kedua-dua beg tersebut.
b
(b) SP7 kemudian telah meminta SP8 untuk membuat pemeriksaan ke atas beg-beg tersebut. SP8 telah memeriksa pengenalan diri OKT dan OKT telah dicamkan oleh SP8 di mahkamah.
c
(c) Sebelum melakukan pemeriksaan, SP8 telah meminta OKT untuk membuka beg-beg tersebut dan OKT telah membukanya dengan menggunakan nombor kombinasi ”508”. SP8 telah mengeluarkan kesemua barang-barang di dalamnya dan menekan-nekan di bahagian dasar beg.
preamble
Menurut SP8, beliau dapat merasai ada suatu benda keras di bahagian itu. SP8 kemudian telah mengarahkan OKT memasukkan semula barang-barang itu ke dalam beg tersebut.
d
(d) Kemudian SP8 mengarahkan OKT untuk membuka beg kedua, OKT telah membukanya menggunakan kunci kombinasi yang sama, di dalam beg ini terdapat sebuah lagi beg di dalamnya, SP8 juga memeriksa bahagian dasar beg tersebut dan mendapati terdapat benda yang keras di dalamnya.
e
(e) Pemeriksaan juga dibuat ke atas beg ketiga yang berada di dalam beg kedua, SP8 juga mendapati keadaan yang sama pada beg tersebut. Seterusnya SP7 dan SP8 telah 4 membawa OKT dan bagasinya untuk pemeriksaan lanjut dan rapi.
f
(f) Pada jam 10.30 pagi, pegawai penyiasat SP9 dan SP4 dari Bahagian Penguatkuasaan KLIA tiba, lalu proses pembongkaran dilakukan dengan disaksikan oleh OKT dan pegawai-pegawai Kastam yang lain.
g
(g) Hasil pembongkaran ke atas beg P10, didapati terdapat satu ruangan khas, apabila ruangan itu dibuka didapati terdapat satu plastik lutsinar yang mengandungi serbuk putih yang disyakki dadah (P22) dengan berat kasar 1 kg.
h
(h) Hasil pembongkaran ke atas beg kedua pula (P11), keadaan yang sama juga telah ditemui, di sini terdapat 2 bungkusan plastik lutsinar yang berisi serbuk putih yang disyakki dadah iaitu P24 dan P25. Berat kasar P24 adalah 0.95 kg dan P25 pula 2 kg.
i
(i) Di dalam beg ketiga, P12, juga terdapat keadaan yang sama dan anggaran berat kasar dadah ialah 1 kg.
j
(j) Barang-barang kes yang disyakki dadah itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) pada 26 Disember 2012. Hasil analisa oleh SP5, beliau mendapati serbuk kristal tersebut adalah dadah berbahaya jenis Ketamin dengan berat bersih 3,993.7 gm. SP5 juga turut menyediakan Laporan Kimia yang ditanda sebagai P20.
k
(k)
preamble
Menurut SP5 Ketamin adalah sejenis dadah berbahaya dan telah disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952.” 5 Keputusan Di Akhir Kes Pendakwaan [4] Di akhir kes pendakwaan, Hakim bicara telah menggariskan inti pati penting yang berikut untuk dibuktikan oleh pendakwaan iaitu sama ada:
a
(a) dadah tersebut ialah dadah berbahaya sepertimana yang disenaraikan dalam ADB 1952;
b
(b) dadah tersebut berada di bawah kawalan dan jagaan perayu; dan
c
(c) perayu telah melakukan perbuatan mengedar dadah tersebut. [5] Berhubung dengan inti pati pertama, Hakim bicara telah menerima keterangan ahli kimia, Norhaya Binti Jaafar, SP5, yang telah menjalankan analisis ke atas bentuk dan berat dadah berkenaan dan mendapati dadah tersebut ialah Ketamin seberat 3,993.7 gm, iaitu dadah berbahaya yang menjadi hal perkara pertuduhan. Analisis dan dapatan SP5 ini tidak dicabar oleh pihak perayu. [6] Bagi isu kedua, berdasarkan keterangan SP7 (Solehuddin Bin Isa), SP8 (Mohd Nazri Bin Shafie), SP4 (Ahmad Yazid Khan), SP6 (Erizasyira bt Basri) dan SP9 (Muhammad Bukhori Bin Alias) , serta penemuan kesan DNA perayu pada barangan di dalam beg P10, P11 dan P12 dan tercatatnya nama perayu pada tag beg P10 dan P11, Hakim bicara mendapati bahawa beg–beg tersebut adalah dalam kawalan dan jagaan perayu. Dengan mengguna pakai peruntukan s.37 6
d
(d) ADB 1952, Hakim bicara menganggap perayu mempunyai milikan serta mengetahui tentang bentuk dadah yang disembunyikan di dalam beg P10, P11 dan P12. [7] Mengenai isu ketiga pula, Hakim bicara telah menimbang fakta yang dibuktikan melalui keterangan langsung bahawa perayu telah datang dari Bangalore, India ke Malaysia dengan pesawat MAS-MH 193 dengan membawa beg-beg berkenaan. Hakim bicara mendapati bahawa perayu telah melakukan perbuatan membawa dan menyorok dadah berkenaan di dalam P10, P11 dan P12 dengan tujuan untuk mengagihkan dadah tersebut di negara ini. Dengan itu, Hakim bicara membuat dapatan bahawa perayu mengedar dadah tersebut dalam maksud s.2, ADB 1952. [8] Dengan dapatan di atas, Hakim bicara memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu. Perayu dengan itu diarah untuk membela diri. Pembelaan [9] Perayu memberikan keterangan secara bersumpah. Teras pembelaan perayu ialah dia hanyalah pembawa ikhlas (innocent carrier) beg P10, P11 dan P12. Perayu berasal dari Chennai, India, dan menjalankan perniagaan, antaranya, mengimport barang-barang IT, hardware dan barang-barang kemas dari luar negara. Perayu sering berulang alik ke Malaysia untuk mencari dan membeli peralatan 7 komputer. Mengenai beg-beg berkenaan, perayu mengatakan dia menerima beg-beg tersebut daripada seorang yang bernama Ali atau Selva, seorang warga India dan rakan perniagaan biasanya yang dikenalinya pada 21 Disember 2012 ketika dia berada di rumahnya di India. Ali telah datang dengan membawa beg-beg tersebut dan meminta perayu membawa beg-beg itu ke Malaysia yang akan diambilnya nanti apabila dia datang ke Malaysia. Setelah diperiksa, perayu mendapati beg-beg tersebut kosong. Atas dasar kepercayaan, perayu bersetuju memenuhi permintaan Ali tanpa mengetahui isi kandungan sebenar beg-beg tersebut. Menurut perayu lagi, kesemua ini disaksikan oleh adiknya, SD2, yang kemudiannya mengesahkan cerita tersebut semasa perbicaraan. Keputusan Di Akhir Kes Pembelaan [10] Setelah mempertimbangkan kes pembelaan bersama-sama dengan kes pendakwaan, Hakim bicara tidak mempercayai cerita perayu dan mendapati pembelaannya ialah suatu rekaan dan penafian semata-mata. Oleh itu diputuskan perayu telah gagal mematahkan anggapan s.37 (d) ADB 1952 dan selanjutnya gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Perayu didapati bersalah dan dihukum sepertimana dinyatakan pada awal tadi. Rayuan Ini [11] Dalam rayuan ini, peguam perayu terpelajar memberikan fokus utama kepada isu kegagalan Hakim bicara dalam mempertimbangkan 8 pembelaan pembawa ikhlas perayu secukupnya. Secara khusus, ditegaskan Hakim bicara telah:
a
(a) gagal untuk menghayati dan menilai pembelaan pembawa ikhlas secara tuntas;
b
(b) gagal untuk mempertimbangkan kegagalan pendakwaan untuk menyoal balas saksi-saksi pembelaan mengenai Ali/Selva;
c
(c) gagal untuk menilai pembelaan perayu sepertimana dibangkitkan dalam pernyataan amarannya (IDD60);
d
(d) khilaf dalam mengetepikan keterangan SD2; dan
e
(e) khilaf dalam pemakaian doktrin pembutaan yang disengajakan (wilful blindness). [12] Isu (a) dan (e) boleh dipertimbangkan bersekali. Isu ini merupakan isu penemuan fakta oleh Hakim bicara. Selanjutnya, dalam kes PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499, Raus Sharif (ketika itu PMR) mengatakan: “[45] Wilful blindness necessarily entails an element of deliberate action. If the person concerned has a clear reason to be suspicious that something is amiss but then embarks on a deliberate decision not to make further enquiries in order to avoid confirming what the actual situation is, then such a decision is necessarily a deliberate one. The key threshold element in the doctrine of wilful blindness itself is that of suspicion followed by (and coupled with) a deliberate decision not to make further investigations. Whether the doctrine of wilful blindness should be applied to any particular case would be dependent on the relevant inferences to be drawn by the trial judge from all the facts and circumstances of the particular case, giving due weight, where necessary, to the credibility of the witnesses. 9 [13] Berdasarkan fakta dan keadaan kes ini, kami berpendapat tindakan perayu berkenaan beg-beg yang mengandungi dadah berbahaya yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah amat tidak munasabah sekali. Ali atau Selva, jika wujud sekalipun, dikatakan sebagai kenalan perniagaan biasa yang jarang dijumpai, itu pun di Kuala Lumpur. Agak janggal untuk Ali memberikan tiga buah beg kosong di Chennai India untuk dibawa ke Kuala Lumpur hanya atas alasan kelebihan bagasi dan berkemungkinan dikenakan lebihan caj. Perayu sebagai seorang yang selalu mengembara (frequent traveller) sepatutnya boleh menghidu sesuatu yang tidak kena dengan perbuatan Ali itu. Perayu juga langsung tidak mahu ambil peduli untuk memeriksa beg-beg tersebut walaupun telah berada di rumahnya selama 2-3 hari. Tambahan lagi, perayu sebagai seorang terpelajar dan peniaga yang berpengalaman seharusnya mengesyaki sesuatu yang tidak kena. Namun, dia mengatakan dia hanya membuat pemeriksaan sambil lewa dan tidak menghiraukan keadaan sekeliling terutamanya tiga buah beg kosong dan berat kasar dadah di dalam beg-beg tersebut ialah 4,947.3 gram. Dalam keadaan sedemikian, perayu boleh dianggap mengetahui akan dadah-dadah tersebut (rujuk: Hoh Boon Tong vs PP [2010] 5 CLJ 240). Dengan terpakainya doktrin pembutaan yang disengajakan itu, pembelaan pembawa ikhlas tumbang. Kami mendapati Hakim bicara telah mempertimbangkan isu ini dan tidak melakukan apa-apa kekhilafan yang boleh mewajarkan pengetepian dapatan tersebut oleh kami (reversable error). [14] Mengenai isu (b) dan (d), ujian asid dalam soal balas saksi-saksi ialah kemunasabahan keterangan yang diberikan dalam sesuatu kes 10 berkenaan. Dari sudut kepeguaman, walaupun keterangan seseorang saksi itu kelihatan tidak berjaya dipatahkan, namun setelah dipertimbangkan bersama-sama dengan keterangan yang dibentangkan secara keseluruhan, keterangan saksi itu boleh dikatakan tidak munasabah. Diperhatikan perayu (SD1) telah disoal balas berkenaan kewujudan Ali/Selva dan bahawa dadah–dadah tersebut diketahui oleh perayu. Walaupun tidak dipersetujui oleh perayu, Hakim bicara, setelah ditimbangkan dengan keterangan pihak pendakwaan, mendapati penafian perayu itu tidak boleh dipercayai dan tidak diterima sebagai sesuatu yang berkemungkinan. Begitu juga dengan keterangan SD2, Hakim bicara, dinilai secara keseluruhan keadaan kes, telah mengetepikan keterangan SD2 bukan sahaja atas alasan bahawa dia merupakan adik perayu, malahan adanya keterangan yang jelas (cogent) yang SD2 tidak melihat beg-beg tersebut dalam jarak dekat atau cuba mengangkatnya dan membuka atau memeriksa beg tersebut. Hakim bicara berhak menilai dan membuat dapatan tersebut. Oleh itu, kami mendapati hujahan peguam terpelajar atas isu-isu ini tidak meyakinkan dan ditolak. [15] Mengenai isu (c), kami bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya yang terpelajar. Kami perhatikan pernyataan beramaran itu telah dikemukakan semasa kes pendakwaan melalui SP9 sebagai IDD60, namun semua pihak telah terlepas pandang untuk pernyataan itu ditandakan. Pada kami, hal tersebut tidak memudaratkan kerana isu utama yang hendak dibangkitkan melibatkan kewujudan dan peranan yang dimainkan oleh Ali/ Selva. Kami juga mendapati semasa pembelaannya, perayu telah gagal merujuk kepada pernyataan itu 11 tetapi telah menyatakan juga peristiwa yang melibatkan Ali /Selva itu. Dalam keadaan begini, apa yang dinyatakan dalam pernyataan beramaran, seperti mana dicadangkan di peringkat pendakwaan, adalah sama dengan apa yang dinyatakan oleh perayu dalam keterangannya. Kami dapati Hakim bicara dalam penghakimannya telah mempertimbangkan isu pembawa ikhlas, pemakaian doktrin pembutaan yang disengajakan dan kewujudan Ali/ Selva, yang diputuskan oleh Hakim bicara sebagai satu rekaan dan penafian semata-mata. Oleh itu kami mendapati tidak ada kekhilafan yang memudaratkan di sini memandangkan pembelaan tersebut telah dipertimbangkan secara menyeluruh oleh Hakim bicara. Hujahan peguam terpelajar atas isu ini juga ditolak. Kesimpulan [16] Dalam mempertimbangkan rayuan ini, kami sedar bahawa isu-isu yang dibangkitkan melibatkan isu-isu fakta dan penilaian kredibiliti saksi-saksi yang merupakan hak bidang kuasa Hakim bicara. Kami hanya boleh campur tangan jika terdapatnya kekhilafan atau salah arah dalam keputusan Hakim bicara tersebut, yang kami telah nyatakan tidak berlakunya di sini (rujuk-Wong Swee Chin v PP[1980] 1 LNS 138; Public Prosecutor v Mohd Radzi bin Abu Bakar [2005] 2 MLRA 590; [2005] 6 MLJ 393; [2006] 1 CLJ 457; dan, Low Kian Boon & Anor v Public Prosecutor [2010] 4 MLJ 425). [17] Berdasarkan huraian di atas, kami mendapati tiadanya merit dalam rayuan perayu. Seterusnya kami memutuskan bahawa sabitan 12 adalah selamat. Dengan itu rayuan perayu ditolak dan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan. t.t ABDUL KARIM ABDUL JALIL Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya Tarikh : 20 Mei 2020 Bagi pihak Perayu: N. Sivananthan (bersama Surjan Singh dan Lam Kah Kah) Tetuan Sivananthan Bagi pihak Responden: Samihah Rhazali Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.