Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN SIVIL NO: T-01(A) 254-07/2017 ANTARA MOHD ABDUL FADHIL BIN ABDUL LATIF …PERAYU (NO.K/P: 790317-11-5121) (menggantikan Abdul Latif bin Endut) DAN PENTADBIR TANAH DAERAH KUALA TERENGGANU ...RESPONDEN (DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA TERENGGANU DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN, MALAYSIA RUJUKAN TANAH NO: TA-15-21-02-2017) ANTARA MOHD ABDUL FADHIL BIN ABDUL LATIF …PEMOHON (NO.K/P: 790317-11-5121) (menggantikan Abdul Latif bin Endut) DAN PENTADBIR TANAH DAERAH KUALA TERENGGANU ...RESPONDEN Yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Dato’ Zainal Azman bin Ab. Aziz pada 21.6.2017] KORAM: Abdul Rahman bin Sebli, HMR Zaleha binti Yusof, HMR Mary Lim Thiam Suan, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Ini ialah suatu rayuan yang melibatkan pengambilan tanah yang dikenali sebagai GM1142, Lot 1248, Mukim Cabang Tiga, Daerah Kuala Terengganu, Terengganu (tanah tersebut). Di atas tanah tersebut terdapat suatu bangunan rumah kedai dua tingkat separuh kekal (rumah dua tingkat). Di Mahkamah Tinggi perayu telah antara lainnya menuntut pampasan ke atas nilaian rumah dua tingkat itu. Namun untuk tuntutan ini, ianya telah ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana pada 21 Jun 2017 atas alasan bahawa rumah dua tingkat itu melanggari kategori kegunaan dan syarat nyata tanah tersebut serta bahawa tanah tersebut telah dinilai sebagai tanah berpotensi pembangunan. Oleh itu mengikut Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana, nilaian tanah tersebut telah mencerminkan nilai pasaran untuk kegunaan tertinggi dan terbaik. Maka nilaian tanah tidak boleh mengambilkira nilaian bangunan. [2] Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana itu telah bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Syed Hussain Syed Junid & Ors v Pentadbir Tanah Negeri Perlis [2013] 9 CLJ 152 dan kes Calamas Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Batang Padang [2011] 3 5 CLJ 125 serta kes Mahkamah Rayuan Koriah Sudar v Pentadbir Tanah Kuala Langat [2013] 5 CLJ 571. [3] Tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana itu, perayu lalu memfailkan rayuan di Mahkamah ini. [4] Setelah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak secara oral dan bertulis, dan meneliti ikatan-ikatan dokumen yang difailkan, kami telah membenarkan rayuan ini atas alasan yang akan dinyatakan di bawah. HUJAHAN PIHAK-PIHAK [5] Peguam pihak perayu yang terpelajar telah berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah khilaf apabila gagal mengambilkira peruntukan perenggan 2(e) Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) yang menyatakan bahawa antara perkara yang hendaklah dipertimbangkan dalam menentukan pampasan ialah tuan tanah terpaksa berpindah tempat kediaman atau tempat perniagaannya akibat daripada pengambilan tanah itu. Dalam hal ini, perayu sememangnya telah terpaksa berpindah keluar daripada tanah tersebut yang mengandungi rumah dua tingkat itu. Akibatnya perayu telah tidak diberikan pampasan yang memadai berlawanan dengan Artikel 13 Perlembagaan 4 Persekutuan seperti yang ditekankan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat & another case [2017] 3 MLJ 561. [6] Seterusnya peguamcara pihak perayu yang terpelajar itu juga berhujah bahawa adalah tidak benar yang rumah dua tingkat itu telah melanggari syarat hartanah kerana tanah tersebut bukanlah tanah kategori pertanian sebaliknya dokumen hak milik hanya menyebut kategori tanah sebagai “Tiada” dengan syarat nyata sebagai “Kampung”. Tiada sebarang catatan di dalam hak miliknya yang melarang pembinaan apa-apa bangunan di atas tanah tersebut. Justeru kewujudan rumah dua tingkat itu, tidak melanggari mana-mana syarat tanah tersebut. Beliau bergantung kepada keputusan Majlis Privy di dalam kes Garden City Development Berhad v Collection of Land Revenue, Federal Territory [1982] 2 MLJ 98 dan keputusan Mahkamah ini di dalam kes Tan Wei Mia & Ors v Pentadbir Tanah Gombak & Anor [2016] 5 MLJ 43. [7] Lagi pun, pihak perayu seterusnya menghujahkan kewujudan rumah dua tingkat itu adalah sah kerana rumah dua tingkat itu telahpun mempunyai permit sementara yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaran Kuala Terengganu (MBKT) semenjak 2.10.2011 sehingga 31.12.2014, 5 yang bermakna permit itu masih berkuatkuasa ketika pengambilan tanah ke atas tanah tersebut diwartakan pada 20.11.2014. [8] Peguam perayu yang terpelajar juga berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana itu telah khilaf apabila tidak mengambilkira bahawa terdapatnya 3 kes pengambilan tanah yang lain yang diwartakan pada hari dan di dalam Warta Kerajaan yang sama dengan tanah tersebut, yang telah diberikan pampasan bagi bangunan yang terdiri di atas tanah itu walaupun syarat nyata yang tertulis di dalam hak milik tanah-tanah itu ialah “hendaklah didirikan bangunan kediaman sahaja”. Bangunan-bangunan yang terdapat di atas ketiga-tiga tanah itu masing-masingnya ialah kedai makan, kandang lembu dan bengkel ekzos dan servis kereta. Beliau bergantung kepada keputusan Mahkamah Tinggi di dalam kes Zawasima Sdn Bhd v Superitendent of Lands & Surveys Kuching Division [2006] 7 MLJ 488 bagi menyokong hujahnya ini. [9] Di pihak responden pula, YB Penasihat Undang-Undang Negeri (YB PUUN) telah berhujah bahawa berdasarkan Memorandum Rayuan perayu, merit rayuan hanyalah berkisarkan awad pampasan tanah tersebut dan rumah dua tingkat itu. Oleh itu, berdasarkan seksyen 40D dan 49 Akta 486 serta keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes 6 United Malacca Bhd v Pentadbir Tanah Daerah Alor Gajah and other application [2003] 1 MLJ 465; kes Calamas, supra dan kes Syed Hussain, supra; serta keputusan Mahkamah ini di dalam kes Polywell Development Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru, Johor [2014] 4 MLJ 142 dan kes Koriah, supra, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi itu berkenaan pampasan adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi. Justeru beliau menggesa Mahkamah ini menolak rayuan perayu atas alasan itu sahaja. [10] Namun YB PUUN yang terpelajar itu seterusnya telah memberikan hujahan alternatifnya seandainya Mahkamah ini tidak bersamanya di dalam isu pampasan di atas. Hujahan alternatif itu adalah bagi menjawab hujahan yang dibuat bagi pihak perayu. [11] Pertamanya YB PUUN berhujah memandangkan tanah tersebut telah asalnya diberi milik pada tahun 1958, sebelum berkuatkuasanya Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56/1965), maka seksyen 115 yang dibaca bersama-sama seksyen 5 dan seksyen 53(2) Akta 56/1965 adalah terpakai. Justeru tanah tersebut hendaklah tertakluk kepada syarat tersirat yang penggunaannya ialah untuk pertanian sahaja. Oleh yang demikian rumah dua tingkat itu yang digunakan sebagai rumah kedai 7 telah melanggari syarat mutlak yang ditetapkan di bawah seksyen 53(2) dan 115 Akta 56/1965. [12] Beliau bergantung kepada keputusan Mahkamah Tinggi di dalam kes Chim Ken Yu v Pentadbir Tanah Daerah Alor Gajah, Melaka