Pada 6/5/2021 lebih kurang jam 12.31 tengah hari, SP5 telah menyerahkan barang kes kepada Ahli Kimia, SP1, di Jabatan Kimia Kuala Terengganu. SP1 telah melakukan analisa terhadap serbuk/ ketulan kristal jernih dan mengesahkan bahan tersebut adalah dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 366.93 gram. KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI [7] HMT telah berpuas hati berdasarkan keterangan, bahawa pihak Pendakwaan telah membuktikan elemen identiti barang kes dadah dan milikan di bawah Pertuduhan. Mengenai elemen milikan, HMT telah menerima keterangan SP3 dan SP4 bagi pihak Pendakwaan bahawa semasa serbuan dibuat, Perayu hanya berseorangan di atas sebuah motosikal dan beliau dijumpai menggalas pada tubuhnya sebuah beg (ekshibit P8) mengandungi barang dadah. Selain itu, HMT juga mendapati perbuatan Perayu yang cuba melarikan diri membangkitkan inferens pengetahuan Perayu mengenai barang dadah dan fakta itu adalah fakta yang relevan di bawah seksyen 8 dan 9 Akta Keterangan 1950. [8] Dengan demikian, Perayu telah mempunyai pengetahuan dan kuasa untuk berurusan dengan dadah itu. Setelah membuat dapatan bahawa Perayu mempunyai milikan langsung ke atas barang dadah, HMT telah menggunapakai anggapan perbuatan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 37(da) ADB terhadap Perayu. [9] Rujukan telah dibuat kepada keputusan, antaranya, kes Harvinder Singh Joginder Singh v PP & Another Appeal [2018] 6 CLJ 307; [2018] MLJU 51, PP v Abdul Rahman Akif [2007] 4 CLJ 337; [2007] 5 MLJ 1, Tan Lay Hwa v PP [2016] 1 LNS 507; [2016] MLJU 1676, Wong Hong v PP [2013] 1 LNS 489; [2013] MLJU 1639; Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113; [2010] MLJU 278, PP v Ouseng Sama-Ae [2008] 1 CLJ 337 dan Parlan Dadeh v PP [2008] 6 MLJ 19; [2009] 1 CLJ 717. [10] Di peringkat kes Pembelaan, HMT menolak versi kes Pembelaan bahawa beg mengandungi dadah sebenarnya telah dirampas oleh Polis di kawasan semak tempat kejadian dan bukannya di badan Perayu. HMT mendapati tidak ada keterangan yang menunjukkan Perayu telah dianiaya oleh pihak Polis dan tidak ada keterangan sesuatu motif untuk SP3 dan SP4 berbuat demikian. Pada penilaian HMT, perbuatan Perayu yang cuba melarikan diri dan terjumpanya kad pengenalan di dalam beg sandang itu menunjukkan beg sandang itu sememangnya berada pada tubuh Perayu dan bukan dijumpai di kawasan semak. HMT seterusnya mendapati pembelaan Perayu hanya merupakan satu penafian semata-mata dan gagal membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan. Di samping itu, HMT mendapati Perayu telah gagal untuk mematahkan anggapan perbuatan mengedar dadah berbahaya di atas imbangan kebarangkalian. [11] Antara kes yang dirujuk oleh HMT adalah Dickson Levy a/l Maria George v PP [2018] 1 LNS 135; [2018] MLJU 98, Nachilongo Doreen v PP [2014] 2 MLJ 597; PP v Mohamed Ali [1962] 1 MLJ 257; Rahani Ahmad lwn PP [2013] 1 LNS 1536 dan Amran Senin v PP [2013] 1 LNS 1504. ISU-ISU DAN HUJAHAN RAYUAN Oleh Perayu [12] Isu-isu yang dibangkitkan oleh Perayu melalui hujahan bertulis Peguam dan semasa pendengaran Rayuan ini, adalah: (i) sama ada Perayu sebenarnya telah cuba melarikan diri; (ii) bila sebenarnya rampasan barang dadah dibuat; (iii) di mana barang dadah sebenarnya ditemui dan dirampas; (iv) di mana kad pengenalan Perayu sebenarnya ditemui, dan (v) tiadanya borang bongkar untuk rampasan bukan barang dadah disediakan. [13] Mengenai isu pertama, Perayu menghujahkan pertimbangan semua keterangan termasuk Laporan Polis SP3 iaitu Laporan Polis Merchang: 600/21 (ekshibit P14), Penyata Saksi dan keterangan lisan SP3, keterangan lisan SP5 dan Perayu sendiri membangkitkan keraguan sama ada Perayu sebenarnya telah cuba melarikan diri. [14] Laporan Polis SP3 langsung tidak menyebut Perayu telah cuba melarikan diri dan naratif di dalam laporan polis itu mengatakan SP3 telah terserempak dengan Perayu yang sedang duduk di atas motosikal no. pendaftaran TCA 5316 dan kemudiannya SP3 meminta dokumen pengenalan diri sepertimana di butiran tangkapan. Kemudian, di dalam Penyata Saksinya, SP3 menyebut beliau cuba menahan Perayu dengan meletakkan tangan kanannya di atas bahu dan setelah SP3 menunjukkan kad kuasanya, SP3 cuba melarikan diri tetapi gagal kerana SP3 telah memegang bahunya. Di dalam Penyata Saksi itu, tidak diperincikan bagaimana Perayu telah cuba melarikan diri sama ada dengan meronta, bergelut atau turun dari motosikal itu. Semasa pemeriksaan balas, SP3 telah bersetuju dengan cadangan Peguambela bahawa Perayu tidak cuba melarikan diri dan semasa pemeriksaan semula, SP3 menegaskan Perayu cuba melarikan diri setelah SP3 memegang bahunya. Sebagai perbandingan lagi, SP5 sebagai pegawai penyiasat telah bersetuju dengan cadangan Peguambela semasa pemeriksaan balas bahawa Perayu tidak cuba melarikan diri apabila dihampiri SP3 dan SP4 dan perkara ini tidak dijelaskan oleh pihak Pendakwaan semasa pemeriksaan semula. Semasa kes Pembelaan pula, pihak Pendakwaan sendiri telah mencadangkan kepada Perayu bahawa beliau tidak cuba melarikan diri kerana SP3 telah memegang bahunya dan telah disahkan oleh Perayu. [15] Mengenai isu kedua, Perayu menghujahkan terdapat kesangsian di dalam keterangan kes Pendakwaan mengenai urutan waktu pergerakan pasukan serbuan dari lokasi tempat kejadian ke IPD Marang dan mengenai rampasan barang dadah dan bukan dadah dari satu beg yang sama iaitu ekshibit P8 yang dilaporkan dijumpai pada dua waktu yang berbeza dan selang 4 jam. [16] Mengenai pergerakan Perayu, SP3 telah memberi keterangan selepas Perayu ditahan, pasukan serbuan masih lagi berada di tempat kejadian sehingga jam 2 pagi kerana masih mencari barang salah dadah, sedangkan mengikut keterangan SP4 selepas Perayu ditahan, pasukan serbuan telah membuat carian lanjut selama setengah jam dan kemudian beredar menuju ke IPD Marang. Anggaran waktu Perayu seharusnya sampai di IPD Marang jika mengikut keterangan SP4, adalah dalam jam 10 malam sedangkan mengikut keterangan SP3, pasukan serbuan telah sampai di IPD itu pada jam 3 pagi. Maka, terdapat satu percanggahan material mengenai pergerakan pasukan serbuan dari tempat kejadian ke IPD Marang dan ini menyebabkan terdapat dua versi yang berlawanan dalam kes Pendakwaan. [17] Seterusnya, mengikut keterangan SP3, terdapat rampasan barang-barang bukan dadah daripada Perayu yang semuanya di samping barang dadah dijumpai di dalam beg ekshibit P8. Barang-barang itu termasuk 3 telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM12,000. Walaupun semua barang rampasan dijumpai di dalam beg yang sama tetapi SP3 telah membuat dua laporan polis yang berbeza iaitu ekshibit P14 untuk rampasan barang dadah dan P16 untuk barang bukan dadah. Laporan Polis ekshibit P14 dengan jelas menyatakan semua barang dadah dijumpai di tempat kejadian pada jam 9 malam, sedangkan ekshibit P16 melaporkan rampasan barang bukan dadah dirampas pada jam 2 pagi. Maka, timbul persoalan pada waktu manakah sebenarnya barang dadah dirampas, apakah pada jam 9 malam atau pada jam 2 pagi? Terdapat kemungkinan barang dadah sebenarnya dijumpai pada jam 2 pagi jika menurut laporan ekshibit di P16 dan ini menyokong hujahan Perayu bahawa barang kes tidak dijumpai di badannya pada jam 9 malam tetapi dijumpai di dalam kawasan semak di tempat kejadian setelah carian dibuat selama 4 jam sehingga jam 2 pagi. [18] Mengenai isu ketiga, adalah menjadi hujahan Perayu berdasarkan pertimbangan keterangan seperti disebut awal tadi, terdapat keraguan mengenai di mana sebenarnya beg ekshibit P8 dijumpai. Dihujahkan lagi adalah tidak logik bahawa setelah SP3 membuat rampasan beg mengandungi dadah yang dikatakan disandang pada tubuh Perayu, SP3 dan pasukan serbuan masih perlu lagi mencari-cari barang dadah di dalam kawasan semak di tempat kejadian sehingga mengambil masa selama 4 jam. Fakta bahawa SP3 dan pasukannya mengambil masa begitu lama untuk mencari dadah lain menyokong versi kes Pembelaan bahawa beg itu tidak dijumpai disandang pada tubuh Perayu. [19] Mengenai isu keempat, adalah menjadi kes Perayu bahawa kad pengenalannya tidak dijumpai di dalam beg ekshibit P8 tetapi sebenarnya dirampas dari tubuh Perayu setelah SP3 menahan beliau dan meminta dokumen pengenalan diri seperti yang dinyatakan dengan jelas di dalam Laporan Polis ekshibit P14. Kenyataan SP3 di dalam Laporan Polis itu adalah bercanggahan dengan keterangan lisannya bahawa kad pengenalan Perayu dijumpai di dalam beg yang dikatakan disandang Perayu. Maka timbul dua versi keterangan yang berlawanan di dalam kes Pendakwaan dan itu mencukupi untuk mencabar kes Pendakwaan bahawa kad pengenalan itu dijumpai di dalam beg. Dihujahkan HMT telah khilaf apabila gagal menilai percanggahan keterangan itu. [20] Berkaitan isu kelima, dihujahkan pula SP3 telah gagal menyediakan borong bongkar untuk rampasan barang-barang bukan dadah dan hal ini telah menimbulkan pertanyaan mengapa kegagalan itu berlaku. Dihujahkan, walaupun rampasan itu dibuat sebagai satu rampasan sitaan, kegagalan SP3 memaklumkan SP5 mengenai rampasan dan menyerahkan rampasan itu kepada SP5 menyebabkan SP5 tidak dapat menjalankan tugas untuk menyiasat sama ada barang rampasan itu sebenarnya milik Perayu. Oleh kerana kes Perayu adalah rampasan barang bukan dadah yang dijumpai di dalam beg yang sama dimana dadah dijumpai, maka adalah menjadi tugas pihak Pendakwaan mengemukakan barang rampasan itu untuk diperiksa dan disoal mengenainya di perbicaraan kes. Kegagalan itu menyebabkan satu prejudis terhadap Perayu. [21] Di antara kes yang dirujuk bagi menyokong kes Perayu adalah: Goh Ming Han v PP [2015] 3 MLJ 781; [2015] 3 CLJ 17 dan Pang Chee Meng v PP [1992] 1 MLJ 137; [1992] 1 CLJ 39. Oleh Responden/Pendakwaan [22] Pihak Responden pula menghujahkan HMT telah membuat pertimbangan dan penilaian yang betul terhadap keterangan SP3 dan SP4 dalam mendapati tidak ada keterangan yang boleh menunjukkan keterangan mereka tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai. Dihujahkan keterangan bahawa semasa ditahan Tertuduh hanya berseorangan, beg ekshibit P8 dijumpai disandang pada tubuh Perayu, kad pengenalan Perayu dijumpai di dalam beg yang sama dan Perayu telah cuba melarikan diri, menunjukkan Perayu telah mempunyai jagaan atau kawalan serta pengetahuan ke atas barang dadah itu. [23] Perayu telah cuba membangkitkan penama-penama lain iaitu ‘Faiz’ dan ‘Serul’ di peringkat kes Pembelaan tetapi nama-nama itu tidak dibangkitkan semasa tangkapan Perayu dan tidak ada butiran lengkap penama-penama itu telah diberikan kepada Polis untuk membolehkan satu siasatan dijalankan. Dengan itu penama-penama itu hanya rekaan Perayu. [24] Mengenai kegagalan SP3 membuat serahan barang rampasan bukan dadah kepada SP5, adalah dihujahkan rampasan itu tidak material kepada penemuan dadah di dalam beg ekshibit P8 dan kegagalan itu tidak memprejudis kes Pendakwaan. Barangan rampasan bukan dadah itu hanyalah bersifat keterangan sokongan dan tidak mempengaruhi dapatan bahawa barang dadah seperti di dalam Pertuduhan dijumpai oleh SP3 di dalam beg yang disandang Perayu. [25] Mengenai sama ada kad pengenalan dijumpai atau tidak di dalam beg itu, pihak Responden menghujahkan SP5 telah memberi keterangan bahawa beliau tidak bersetuju kad pengenalan Perayu telah dimasukkan oleh SP3 ke dalam beg sandang tetapi tidak dicabar oleh Perayu. Bahkan Perayu sendiri telah bersetuju semasa memberi keterangan bahawa pihak Polis tidak mempunyai sebab untuk menganiaya Perayu dan beliau tidak mengenali SP3, SP4 dan SP5. [26] Di antara kes yang dirujuk oleh pihak Responden termasuk: Parlan Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717; [2008] 6 MLJ 19, Shanmugasundram Perumal v PP [2023] 1 LNS 272; Andy Bagindah v PP [2000] 3 MLJ 644; [2000] 3 CLJ 289, PP v Datuk Haji Harun Idris & Ors (No 2) [1977] 1 MLJ 15; Amri Ibrahim & Anor v PP [2017] 1 CLJ 617 dan Teng Howe Sing v PP [2009] 3 CLJ 733. PERTIMBANGAN DAN DAPATAN MAHKAMAH [27] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap seperti yang diputuskan di dalam kes Chan Pean Leon v PP [1956] 1 MLJ 237; [1956] 1 LNS 17 dan PP v Denish a/l Madhavan [2009] 2 MLJ 194; [2009] 2 CLJ 209, bahawa elemen jagaan atau kawalan tidak sahaja ditentukan oleh faktor kedekatan atau “proximity” ataupun pengetahuan tetapi ditentukan juga oleh pertimbangan sama ada tertuduh mempunyai kuasa tanpa orang lain untuk berurusan dengan dadah itu pada bila-bila masa sebagai pemilik. [28] Dalam menilai hujahan pihak-pihak, adalah menjadi tugas Mahkamah perbicaraan untuk menilai semua keterangan saksi itu secara kritikal mengambil kira semua keterangan dan fakta. Di dalam kes Lee Ing Chin & Ors v Gan Yook Chin & Anor [2003] 2 CLJ 19; [2003] 2 MLJ 97, Gopal Sri Ram HMR (pada masa tersebut) telah menyatakan: “A judge who is required to adjudicate upon a dispute must arrive at his decision on an issue of fact by assessing, weighing and, for good reasons, either accepting or rejecting the whole or any part of the evidence placed before him. He must, when deciding whether to accept or to reject the evidence of a witness, test it against relevant criteria. Thus, he must take into account the presence or absence of any motive that a witness may have in giving his evidence. If there are contemporary documents, then he must test the oral evidence of a witness against these. He must also test the evidence of a particular witness against the probabilities of the case. A trier of fact who makes findings based purely upon the demeanour of a witness without undertaking a critical analysis of that witness' evidence runs the risk of having his findings corrected on appeal. It does not matter whether the issue for decision is one that arises in a civil or criminal case: the approach to judicial appreciation of evidence is the same. There are a number of important and leading cases in which the point has been considered. … In Muniandy & Ors v Public Prosecutor [1966] 1 MLJ 257, the trial judge accepted the evidence of certain witnesses because they had remained unshaken in cross-examination. Based on that evidence, he convicted the appellant. The Federal Court reversed. Ong Hock Thye FJ said at p 258: “In the instant case, it is stated by the learned trial judge as the ground for his belief in the main prosecution witnesses, that they had been unshaken in cross-examination. In our view, being unshaken in cross-examination is not per se an all-sufficient acid test of credibility. The inherent probability or improbability of a fact in issue must be the prime consideration. The fact that the trial judge believed implicitly in the truthfulness of Nagarachnam and Ramasamy does not preclude closer scrutiny of their evidence and this we have done. (Emphasis added.)” [29] Mahkamah harus menilai keterangan secara kritikal dan harus menolak keterangan yang dinilai sebagai tidak munasabah dan tidak logik seperti yang dapat dilihat di dalam banyak keputusan antaranya, kes Gunalan a/I Ramachandran & Ors v PP [2006] 1 CLJ 857 MP; [2006] 2 MLJ 197, Ahmad Najib b Aris v PP [2007] 2 CLJ 229 MR; [2007] 2 MLJ 505, PP v Ng Sing Ting & Anor [2008] 7 CLJ 247 MT; [2007] MLJU 706 dan PP v Nazri Mohd Jufri & Anor [2007] 10 CLJ 590 MT; [2007] 7 MLJ 443. [30] Berbalik kepada Rayuan ini, setelah mempertimbangkan hujahan pihak-pihak, kami membuat dapatan seperti berikut. [31] Berkenaan isu pertama, kami mendapati isu sama ada Perayu telah cuba melarikan diri merupakan satu isu yang memerlukan pertimbangan. Laporan Polis ekshibit P14 merupakan satu dokumen semasa atau “contemporaneous document” yang telah dibuat selepas Perayu dibawa ke IPD Marang. Maka, fakta tangkapan sewajarnya masih segar dalam ingatan SP3. Laporan Polis itu jelas mengatakan SP3 telah meminta dokumen pengenalan diri sebelum pemeriksaan beg dibuat. Tidak ada disebut di dalam Laporan itu mengenai Perayu cuba melarikan diri. Sudah semestinya fakta satu percubaan melarikan diri merupakan satu fakta material yang pada pandangan Mahkamah ini harus dinyatakan dengan jelas kerana ia melibatkan isu pengetahuan dan menunjukkan keadaan mental suspek. [32] Walaupun terdapat keputusan seperti kes Herchun Singh & Ors v PP [1969] 2 MLJ 209; [1969] CLJU 52, dimana Mahkamah Persekutuan memutuskan laporan polis bukan bertujuan merekodkan semua maklumat mengenai sesuatu perkara, namun keputusan itu juga menyebut jika terdapat kegagalan memasukkan satu maklumat penting yang disandarkan oleh pihak Pendakwaan, maka kegagalan itu harus diberi pertimbangan oleh Mahkamah. [33] Maka, apakah selamat untuk Mahkamah perbicaraan menerima keterangan Penyata Saksi dan lisan SP3 yang mengatakan Perayu cuba melarikan diri setelah SP3 meletakkan tangannya ke atas bahu Perayu? Setelah meneliti Laporan Polis ekshibit P14 dan keterangan SP3, Mahkamah ini mendapati tidak ada keterangan bagaimanakah Perayu dikatakan telah cuba melarikan diri. HMT tidak mempertimbang bahawa keterangan SP3 yang tidak disokong oleh Laporan Polisnya, tidak menjelaskan bagaimana Perayu telah cuba melarikan diri setelah SP3 meletakkan tangannya ke atas bahu Perayu. Apakah Perayu telah menepis tangan SP3, atau menolak SP3 atau turun dari motosikalnya dan kemudian dikejar? Keterangan SP3 hanya menunjukkan satu reaksi pasif dari Perayu berdiam diri. Adalah keterlaluan untuk menyatakan bahawa reaksi pasif itu menunjukkan Perayu cuba tetapi tidak boleh melarikan diri kerana telah dipegang bahunya kerana perbuatan cuba melarikan diri seperti dapatan HMT mesti menunjukkan satu reaksi positif yang melibatkan satu usaha melepaskan diri daripada disoal atau ditahan. [34] Oleh kerana fakta usaha melepaskan diri itu tidak ada di dalam keterangan, maka bagaimana boleh HMT membuat dapatan sebaliknya di perenggan 17 Alasan Penghakimannya. Di atas pertimbangan itu, kami berpendapat HMT telah khilaf apabila gagal membuat pertimbangan keterangan secara kritikal dan mencapai satu dapatan bahawa Perayu telah cuba melarikan diri. Dengan itu, pemakaian seksyen 8 dan 9 Akta Keterangan 1950 serta inferens pengetahuan yang bersandarkan kepada keputusan di dalam kes Parlan Dadeh [supra] tidak dapat dibangkitkan terhadap Perayu. [35] Seterusnya, kami mendapati HMT gagal membuat pertimbangan mengenai percanggahan keterangan diantara SP3 dan SP4 mengenai waktu tibanya pasukan serbuan di IPD Marang. SP3 mengatakan pasukan serbuan telah melakukan carian lanjut di kawasan semak lokasi tempat kejadian sehingga jam 2 pagi sedangkan SP4 memberi keterangan bahawa pasukan serbuan telah menuju ke IPD Marang selepas setengah jam membuat carian lanjut di kawasan tempat kejadian. [36] Bahkan, semasa pemeriksaan utama, SP4 mengatakan pasukannya telah membuat siasatan di lokasi tempat kejadian selama 2-3 jam tetapi semasa pemeriksaan balas, SP4 mengatakan carian hanya mengambil masa setengah jam dan beliau tidak bersetuju kepada cadangan Peguambela bahawa pencarian itu mengambil masa 4 jam. Maka, adalah jelas terdapat percanggahan yang material di dalam keterangan SP4 mengenai berapa lama pasukan serbuan berada di tempat kejadian dan percanggahan itu tidak dijelaskan di peringkat pemeriksaan semula apabila SP4 dilepaskan selepas tamat pemeriksaan balas. [37] Pada pandangan Mahkamah ini, percanggahan-percanggahan itu merupakan satu percanggahan yang ketara yang mewajarkan penelitian yang lebih terperinci oleh HMT. Kewajaran itu terkait langsung dengan pembelaan Perayu bahawa beg mengandungi dadah ekshibit P8 tidak berada di tubuhnya tetapi sebenarnya dijumpai di dalam kawasan semak selepas pasukan serbuan melakukan pemeriksaan lanjut apabila tidak menjumpai apa-apa barang salah pada Perayu. [38] Kami telah meneliti keterangan SP3 dan SP4 dan tidak ada keterangan yang menunjukkan pasukan serbuan telah mempunyai kepercayaan bahawa Perayu telah membuang barang dadah lain di kawasan semak tempat kejadian yang memerlukan pencarian lanjut sehingga 4 jam. Mahkamah ini telah meneliti gambar tempat kejadian ekshibit P19 dan mendapati kawasan itu bukanlah sebuah kawasan hutan belantara yang memerlukan pencarian selama 4 jam jika benar terdapat barang dadah yang tersorok di situ. [39] Maka, terdapat persoalan yang tidak terjawab, iaitu mengapa perlu SP3 dan pasukannya masih lagi mencari-cari barang dadah setelah satu rampasan dibuat daripada Perayu? Pencarian itu dan percanggahan dengan keterangan SP4 seharusnya telah menimbulkan pertanyaan yang sama dalam minda HMT. Kegagalan saksi Pendakwaan memberi penjelasan yang memuaskan mengundang keraguan mengenai kemungkinan terdapat kebenaran di dalam versi kes Perayu bahawa beg mengandungi dadah itu hanya dijumpai setelah pencarian dibuat di kawasan semak dan bukan pada badan Perayu. Adalah menjadi prinsip undang-undang keterangan bahawa pihak yang memanggil seseorang saksi adalah terikat dengan keterangan saksi itu, maka pihak Pendakwaan adalah terikat dengan percanggahan keterangan SP3 dan SP4 [lihat keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Ho Tze Kean v PP & Another Appeal [2018] 3 CLJ 71; [2018] 2 MLJ 721 dan John Nyumbei v PP [2007] 2 CLJ 509; [2007] 7 MLJ 206]. [40] Keraguan itu menjadi lebih kusut apabila dipertimbangkan isu di mana sebenarnya kad pengenalan Perayu dijumpai. Mengikut Laporan Polis ekshibit P14, SP3 telah meminta dokumen pengenalan diri Perayu sebelum barang dadah dijumpai. Keterangan Laporan Polis itu bercanggah dengan keterangan SP3 bahawa sebelum rampasan dibuat, SP3 telah terlebih dahulu memegang bahu Perayu dan menahannya dan kemudiannya diikuti dengan pemeriksaan. Walaupun Laporan Polis itu tidak menyebut apakah dokumen pengenalan itu, namun adalah jelas bahawa berdasarkan maklumat peribadi Perayu di dalam Laporan itu, dokumen itu sudah pastinya adalah satu kad pengenalan. [41] Seperti yang disebut lebih awal tadi, Laporan Polis ekshibit P14 merupakan satu dokumen semasa yang telah dirangka selepas SP3 dan pasukannya tiba di IPD Marang. Maka, terdapat kebarangkalian yang lebih besar bahawa apa yang telah dinyatakan di dalam Laporan Polis itu adalah lebih tepat berbanding keterangan SP3 di Mahkamah. Mahkamah tidak bersetuju dengan Responden kalaupun Perayu tidak mencabar keterangan SP5 mengenai ketidaksetujuannya kepada cadangan bahawa kad pengenalan Perayu telah dimasukkan ke dalam beg itu oleh pasukan serbuan, maka Perayu terikat dengan keterangan itu. Pertimbangan yang lebih utama adalah mengenai percanggahan yang material di dalam keterangan SP3 yang menimbulkan kemungkinan kad pengenalan Perayu telah pun berada dalam pegangan SP3 sebelum pemeriksaan dan rampasan beg ekshibit P8 dibuat. Sekiranya kad pengenalan Perayu sudah berada di dalam tangan SP3, maka apabila kemungkinan bahawa beg mengandungi dadah dijumpai di kawasan semak diambil kira, maka tiada keterangan yang dapat mengaitkan Perayu dengan beg itu. [42] Terkait dengan isu urutan waktu juga adalah mengenai Laporan Polis ekshibit P16 terkait rampasan barang bukan dadah yang dibuat oleh SP3. Laporan itu dengan jelas mengatakan rampasan barang bukan dadah dibuat di lokasi tempat kejadian yang sama pada jam 2 pagi, sedangkan rampasan barang dadah dikatakan berlaku pada jam 9 malam. Kedua-dua barang dadah dan bukan dadah dijumpai di dalam beg hitam yang sama iaitu ekshibit P8. [43] SP3 cuba memberi penjelasan semasa pemeriksaan semula bahawa walaupun rampasan barang bukan dadah berlaku pada masa yang sama, namun laporan itu menyatakan apa yang berlaku pada jam 2 pagi hanyalah semakan dan bukan rampasan. SP3 menjelaskan fakta rampasan sudah dinyatakan melalui rujukan kepada Laporan Polis ekshibit P14. [44] Namun begitu, kami mendapati kejanggalan di dalam jawapan itu. Walaupun Laporan Polis ekshibit P16 mengatakan satu semakan dilakukan ke atas barang bukan dadah pada jam 2 pagi, namun apa yang jelas adalah Laporan di ekshibit P14 langsung tidak menyatakan rampasan barang bukan dadah juga telah dibuat pada masa yang sama iaitu jam 9 malam. Tambahan lagi, tidak ada borang bongkar yang disediakan untuk rampasan barang bukan dadah dan ditandatangani oleh Perayu. Ini menyebabkan kelompangan dalam membuktikan kaitan Perayu dengan rampasan itu walaupun ia bukan menjadi subjek Pertuduhan. Walaupun tujuan laporan rampasan bukan dadah adalah untuk tujuan sitaan, adalah suatu yang sangat aneh mengapa laporan sitaan perlu menyatakan semakan dilakukan pada jam 2 pagi dan bukan pada jam 9 malam atau semakan dibuat di IPD Marang. Seperkara lagi, apakah sebenarnya semakan yang SP3 boleh buat pada jam 2 pagi di lokasi tempat kejadian melainkan hanya untuk mengawal barang rampasan itu? Tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa SP3 telah menyemak dan menentusahkan milikan setiap barangan dan membuat kiraan wang sebanyak RM12,000 di lokasi tempat kejadian. [45] Keanehan ini mengundang persoalan manakah di antara kedua-dua waktu di dalam ekshibit P14 dan P16 yang harus diterima sebagai benar. Jika waktu 2 pagi di laporan ekshibit P16 sebenarnya merujuk kepada rampasan dan bukan sekadar semakan, maka ini menyokong kemungkinan barang rampasan dadah juga ditemui pada waktu yang sama dan ini adalah konsisten dengan pembelaan kes Perayu bahawa barang dadah dijumpai di dalam semak selepas pencarian hampir 4 jam. Kami mendapati HMT tidak menilai percanggahan dan kemungkinan tersebut. [46] Telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Goh Ming Han [supra], jika terdapat 2 versi yang bertentangan di dalam keterangan saksi Pendakwaan, maka manfaat keterangan yang memihak kepada tertuduh hendaklah diberikan kepada tertuduh: “[11] Despite this glaring contradiction in the testimonies of SP2 and SP3 on the one hand and SP8 on the other, the learned judicial commissioner found all three of them to be truthful witnesses when he said 'Saya mempercayai SP2 dan SP3' and later 'Saya juga mendapati tidak ada alasan untuk saya untuk tidak mempercayai keterangan SP8 …' (p 24 of the judgment). [12] With due respect to the learned judicial commissioner, he was not at liberty to accept both versions to be credible when the two versions were irreconcilable and in total conflict with one another. Either he believed SP2 and SP3 or he believed SP8 or he disbelieved all three of them. The learned judicial commissioner went into further error when he said that the evidence of SP2 and SP3 corroborated the evidence of SP8. [13] The contradiction gives rise to the question; what did the prosecution prove at the close of its case in relation to custody or control of the container that contained the drugs? Was the container lying on the floor and picked up by the police or was it picked up by the appellant and handed to SP8? This fact was never established one way or the other as the learned judicial commissioner did not make a finding either way. [14] The contradiction is serious and cuts deep into the prosecution case as it involves the crucial question of whether the drugs were in the appellants' custody or control at the time of the raid. It is trite law that where there is a doubt on any essential element of the charge the doubt must be resolved in favour of the accused especially where as in this case the doubt arose from the prosecution's own evidence. … [27] What is clear in this case is that there were two conflicting sets of factlaid out before the court over the issue of custody or control, one favourable to the appellant and the other unfavourable to him. The evidence that is favourable to the appellant is the evidence of SP2 and SP3 that the container containing the drugs was lying on the floor, thus negating custody and control on the part of the appellant. The evidence that is unfavourable to the appellant is the evidence of SP8 which shows otherwise. [28] In this kind of situation the evidence that is favourable to the appellant must be taken to be the truth unless for good reasons the learned judicial commissioner had accepted the other contradictory evidence to be the truth, which unfortunately he did not when he accepted both versions to be true. It is trite jurisprudence that in a doubtful situation such as this the law leans in favour of the accused person. The prosecution's failure to explain the conflict in evidence means that custody or control had not been proved in order to activate the presumption of knowledge under s 37(d) of the DDA.” [47] Di samping itu, Mahkamah ini juga mengambil pendekatan yang sama yang telah diambil oleh Mahkamah ini di dalam kes PP v Norhazwan Abd Wahab [2014] 1 LNS 275; [2014] 4 MLJ 544, dimana Mahkamah ini telah menolak rayuan pihak Pendakwaan terhadap dapatan hakim perbicaraan bahawa adalah tidak munasabah untuk seseorang meletakkan dokumen pengenalan diri di dalam beg dimana dadah ditemui: “7.3. SP7 testified that he recovered the Respondent's wallet containing his identity card, driving licence and Maybank ATM card, from the bag whereas the Respondent said that it was recovered from his rear trouser pocket. The learned trial Judge held that it was more probable for the wallet to be recovered from the Respondent's trouser pocket as "no sane or reasonable man would place his wallet containing his identity card in the bag P14 knowing that the said bag contained proscribed drugs which attract the death penalty". While the learned trial Judge may have been a little too dramatic when he said that the recovery of the wallet in the bag was "too good to be true", but what it really pares down to is that it is highly improbable for the Respondent to place his wallet in the bag containing the drugs unless of course he was unaware that the bag did in fact contain the drugs, in which case then it cannot be said that the Respondent had knowledge of the drugs being in the bag.” [48] Maka, sepertinya di dalam Rayuan ini, adalah tidak munasabah untuk Perayu meletakkan hanya kad pengenalannya di dalam beg sama yang mengandungi barang dadah sebegitu banyak sedangkan tiada rampasan dibuat terhadap dompet milik Perayu. Adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa lazimnya amalan seseorang adalah untuk menyimpan kad pengenalan di dalam dompet dan bukan mengasingkan kad pengenalannya dari dompet dan meletakkannya dengan barang lain, apatah lagi dengan barang yang salah di sisi undang-undang seperti dadah berbahaya. [49] Kesemua penilaian dan dapatan di atas membawa Mahkamah ini kepada alasan HMT untuk menerima keterangan SP3 dan SP4 yang dilihat tidak mempunyai apa-apa motif untuk menganiaya Perayu dan tiada alasan mengapa keterangan SP3, SP4 dan SP5 sebagai anggota polis tidak boleh dipercayai lebih-lebih lagi apabila HMT mendapati keterangan mereka disokong dengan keterangan dokumentar seperti laporan polis, senarai bongkar dan laporan kimia semuanya seperti dihuraikan di perenggan 25 dan 26 Alasan Penghakiman. [50] Pada pandangan kami, rujukan HMT kepada keputusan Mahkamah Agung di dalam kes PP v Mohamed Ali [supra] bahawa keterangan polis yang tidak secara nyata tidak munasabah (“not inherently improbable”) harus diterima bukan sebagai satu kenyataan undang-undang yang mutlak. Dalam mengulas perkara kebolehpercayaan keterangan anggota polis, Mahkamah Agung seterusnya menentukan bahawa keterangan seorang saksi sama ada anggota polis atau orang awam perlu dipertimbang selaras dengan prinsip penilaian keterangan saksi secara umum iaitu dengan melihat sama ada keterangan itu mengandungi percanggahan atau tidak munasabah: “When a Police witness says something that is not inherently improbable his evidence must in the first instance be accepted…Of course if his evidence is contradicted by other evidence or is shaken by cross-examination then it becomes the business of the Magistrate to decide whether or not it should be accepted. In the absence of contradiction, however, and in the absence of any element of inherent probability the evidence of any witness, whether a Police witness or not, who gives evidence on affirmation, should normally be accepted”. [51] Oleh yang demikian, keterangan saksi polis tidak harus diterima tanpa penilaian kritikal hanya kerana tiada motif atau alasan di pihak polis untuk menganiaya, walaupun diakui oleh tertuduh. Perkara penganiayaan hanyalah satu aspek pertimbangan keterangan. Aspek yang lebih utama adalah sama ada keterangan itu tidak mengandungi percanggahan yang material dan tidak munasabah. Adalah menjadi prinsip undang-undang di dalam pembuktian kes Pendakwaan bahawa pihak Pendakwaan mempunyai tugas untuk menutup apa jua kelompangan yang material di dalam kesnya dalam usaha membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah dan bukanlah beban tertuduh untuk menutup kelompangan itu [lihat keputusan di dalam kes Ng Mee Yee & Anor v PP [2025] 6 CLJ 343; [2025] 3 MLJ 883]. [52] Berbalik kepada Rayuan semasa, kami berpendapat kalaupun keterangan SP3, SP4 dan SP5 tidak menunjukkan apa-apa penganiayaan terhadap Perayu, namun keterangan mereka harus tertakluk kepada satu penilaian kritikal sesuai dengan tugas Mahkamah perbicaraan seperti yang digariskan oleh Mahkamah ini di dalam kes Lee Ing Chin [supra] yang dirujuk awal tadi. Seperti juga diputuskan di dalam kes Goh Ming Han [supra], tugas Mahkamah perbicaraan di akhir kes Pendakwaan adalah untuk menumpukan mindanya kepada penilaian setiap aspek material keterangan kes Pendakwaan: “[16] The rule that the prosecution's evidence must be subjected to a maximum evaluation at the close of its case requires that the trial court directs its mind properly and adequately to every material aspect of the evidence both for and against the prosecution in order to determine whether the strict requirement of proof has been met by prosecution." [53] Sebagai kesimpulan, berdasarkan penilaian-penilaian di atas, kami mendapati terdapat beberapa percanggahan yang telah menyebabkan kelompangan material di dalam pembuktian kes Pendakwaan di peringkat kes Pendakwaan. Kami berpendapat HMT telah khilaf apabila gagal membuat penilaian kritikal terhadap isu milikan dan pengetahuan Perayu yang disandarkan kepada perbuatan melarikan diri dan keberadaan kad pengenalan Perayu di dalam beg ekshibit P8. Seterusnya, HMT telah khilaf apabila menerima keterangan SP3 dan SP4 tanpa menilai secara kritikal percanggahan keterangan mengenai urutan waktu pergerakan pasukan serbuan dan tempoh 4 jam yang diambil oleh pasukan serbuan untuk membuat carian lanjut di lokasi tempat kejadian serta percanggahan waktu rampasan barang dadah dan bukan dadah. [54] Pada dapatan kami, terdapat keraguan yang ditimbulkan mengenai di mana beg yang mengandungi dadah itu sebenarnya dijumpai dan sama ada Perayu mempunyai jagaan atau kawalan dan pengetahuan Perayu terhadap barang dadah tersebut. Terdapat alasan untuk menyokong dapatan bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie dan Perayu tidak seharusnya diperintahkan membuat pembelaan terhadap Pertuduhan. [55] Dengan demikian, kami berkeputusan bahawa terdapat alasan untuk Mahkamah ini mengganggu dapatan HMT diatas kegagalan untuk memberi pertimbangan secukupnya kepada fakta-fakta kes mengikut garis panduan dialam kes Mohd Yusri bin Mangsor & Anor v Public Prosecutor [2014] 4 MLJ 875; [2014] 7 CLJ 897. Bagi Pihak Perayu : En. Ghazali Bin Ismail Tetuan Ghazali Ismail & Co. Bagi Pihak Responden : Puan How May Ling