Content
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO : P - 05(M) - 17 - 01/2018 ANTARA MOHD AMIN BIN ISMAIL (NO. K/P: 750130-07-5303) PERAYU DAN PENDAKWA RAYA RESPONDEN [Dalam perkara mengenai Perbicaraan Jenayah No. 45A-39-11/2016 Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Pulau Pinang Antara Pendakwa Raya Dan Mohd Amin bin Ismail (No. K/P: 750130-07-5303)] CORAM HAMID SULTAN BIN ABU BACKER, HMR YAACOB BIN HJ MD SAM, HMR HANIPAH BINTI FARIKULLAH, HMR ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Perayu telah dituduh atas satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya iaitu Cannabis seberat 57,273 gram, yang merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. [2] Di akhir perbicaraan, YA Pesuruhjaya Kehakiman (Hakim bicara) mendapati perayu bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan. YA Hakim bicara telah menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadap perayu. [3] Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu telah merayu kepada mahkamah ini. Kami telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut. Pertuduhan Terhadap Perayu [4] Butiran penuh pertuduhan terhadap perayu ialah seperti berikut: Bahawa kamu pada 11.05.2016, jam lebih kurang 11.00 pagi, di alamat No.27, Lorong Aman Putera 5, Taman Aman Putera, Kepala Batas, di dalam Daerah Seberang Perai Utara, di dalam negeri Pulau Pinang, didapati telah mengedar dadah berbahaya iaitu Cannabis seberat 57,273 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. Keterangan Kes Pendakwaan [5] Keterangan kes pendakwaan diringkaskan seperti berikut. Bertindak atas maklumat, pada 11.5.2016, jam lebih kurang 11.00 pagi, Insp. Sherman Jackson Jon Bosco (SP4) bersama sepasukan 8 anggota polis daripada Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Kuala Lumpur telah membuat serbuan ke atas rumah alamat No. 27, Lorong Aman Putera 5, Taman Aman Putera, Kepala Batas, Pulau Pinang. SP4 bersama 4 anggota memasuki kawasan porch rumah setelah memanjat pintu pagar eletronik luar rumah yang berkunci. Anggota lainnya ditugaskan mengawal di bahagian luar hadapan dan belakang rumah. SP4 merapati pintu grill besi dan pintu papan rumah dan mendapati pintu grill dan pintu papan tidak berkunci dan kedua-dua pintu itu dalam keadaan terbuka sedikit. SP4 memperkenalkan diri sebagai polis dan terus menyerbu masuk ke dalam rumah bersama anggotanya. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, SP4 melihat seorang lelaki keluar daripada sebuah bilik sebelah kiri dan berlari ke arah ruang tamu dalam keadaan terkejut dan berpeluh. SP4 terus menahan lelaki tersebut. Butiran identiti lelaki itu dikenal pasti oleh SP4 bernama Mohd Amin bin Ismail, iaitu perayu (“perayu”). Hanya perayu sahaja berada di dalam rumah tersebut ketika serbuan. [6] SP4 memeriksa tubuh badan perayu dan tiada apa-apa barang salah ditemui. SP4 seterusnya memeriksa ruang tamu, tiada apa-apa barang salah ditemui di situ. SP4 seterusnya memasuki bilik di mana perayu dilihat keluar. Sebaik memasuki bilik tersebut SP4 menghidubau ganja yang amat kuat. Di dalam bilik itu SP4 melihat terdapat sebuah kotak bertulis 'PENSONIC' berwarna putih (P9) terletak atas sebuah katil yang tidak bertilam. SP4 memerika kotak tersebut (P9) dan mendapati di dalamnya terdapat 27 slab atau ketulan-ketulan bungkusan disyaki dadah jenis ganja. Setiap slab dibaluti dengan kertas aluminium dan plastik lutsinar. Oleh kerana bahagian penutup kotak terlipat ke bawah, SP4 dapat melihat terus kandungan kotak tersebut daripada luar kotak Pemeriksaan kotak P9 dibuat oleh SP4 dengan disaksikan oleh perayu serta anggota pasukan SP4. [7] Sebaik selesai memeriksa kotak P9, SP4 beralih pula memeriksa sebuah almari yang terdapat dalam bilik tersebut. SP4 mendapati pintu sliding sebelah kanan almari tersebut tidak bertutup rapat. Setelah membuka pintu almari yang tidak rapat itu, SP4 melihat terdapat ketulan-ketulan bungkusan (slab) yang setiap satunya dibaluti dengan kertas aluminum dan plastik lutsinar. Sejumlah 32 ketulan ditemui daripada almari tersebut. Menurut SP4, lampu bilik dan kipas angin di bilik tersebut terpasang ketika SP4 memasukinya. [8] Di dalam bilik tersebut terdapat juga satu meja solek. Di atas meja solek tersebut SP4 telah menjumpai barangan berikut : (i) kad pengenalan perayu (P96); (ii) pasport antarabangsa atas nama perayu (P97); (iii) dua unit telefon bimbit jenama Samsung (P99) dan Galaxy A7(P98); (iv) dua rangkai anak kunci di mana setiap rangkai mengandungi lima batang anak kunci (P19 & P94); satu alat kawalan jauh pintu pagar elektronik berserta satu kunci (P18)(P3-gambar No.17 dan 18 muka surat 17 Rekod Rayuan Jilid 3). [9] SP4 kemudiannya memeriksa ruang dapur, bilik setor dan semua bilik-bilik lain yang terdapat di tingkat bawah dan atas rumah tersebut. Tiada apa-apa barang salah lain ditemui daripada bahagian lain rumah itu. SP4 mengatakan semua pintu-pintu bilik dalam rumah berada dalam keadaan terbuka dan tidak berkunci ketika diperiksa. Tiada terdapat mana-mana orang lain dalam rumah tersebut. SP4 kemudiannya membuat tandaan-tandaan atas semua 27 ketulan-ketulan pertama yang dijumpainya dan seterusnya atas semua 32 ketulan-ketulan kedua yang dijumpainya. SP4 berada di rumah tersebut lebih kurang satu jam. SP4 telah merampas semua barang kes yang dijumpainya termasuk sebuah kereta Proton Perdana yang terletak di 'porch' rumah tersebut. Semua barang kes dan perayu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara. Sebelum meninggalkan rumah itu, SP4 telah menguncikan semula pintu rumah dengan menggunakan anak kunci yang terdapat pada rangkaian kunci yang SP4 rampas dari atas meja solek. [10] Setelah sampai di IPD Seberang Perai Utara, SP4 telah membuat timbangan terhadap semua ketulan-ketulan (slab) (59 ketulan) disyaki ganja tersebut yang telah dibuat tanda-tanda pengenalan catatan oleh SP4. SP4 mengeluarkan Borang Bongkar (P21) (muka surat 113-116 Rekod Rayuan Jilid 3) dan membuat laporan polis melalui Kepala Batas Rpt 3296/16 berkaitan rampasan barang kes dan tangkapan terhadap perayu (P23) (muka surat 121-122 Rekod Rayuan Jilid 3). Pada jam lebih kurang 3.40 petang hari yang sama, SP4 membuat serahan barang kes dan perayu kepada pegawai penyiasat kes Insp. Anastasya binti Abd Ghafar (SP6). Satu borang Akuan Penerimaan ditandatangani oleh SP4 dan SP6 (P22 (muka surat 117 -120 Rekod Rayuan Jilid 3). SP6 kemudiannya membuat tandaan-tandaan beliau atas barang kes. Semua barang kes kemudiannya disimpan selamat oleh SP6. [11] Pada 13.5.2016, jam 4.00 petang, setelah sempurna gambargambar barang kes dirakamkan, dan setelah barang kes dadah dibungkus oleh SP6 dan dimasukkan ke dalam kotak bertanda 'AT(A)' dan 'AT(B)' yang disediakan oleh SP6 dengan kedua-dua kotak tersebut dimeteraikan, SP6 membuat serahan barang kes kepada Jabatan Kimia Malaysia, Pulau Pinang dan diterima serahan oleh ahli kimia Afizawati @ Halimah binti Ayub (SP5) untuk dibuat analisis. Satu resit akuan terima dikeluarkan oleh SP5 kepada SP6 (P26). [12] Afizawati @ Halimah binti Ayub (SP5), ahli kimia mengesahkan beliau telah membuat analisis terhadap barang kes disyaki ganja itu dan mendapati kesemua bahan tumbuhan berbentuk ketulan yang dibaluti dengan kertas aluminum dan plastik lut sinar adalah Cannabis seberat 57,273 gram. Cannabis adalah sepertimana yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952. SP5 juga mengemukakan laporan kimia yang disediakan oleh beliau (P27)(muka surat 129-132 Rekod Rayuan Jilid 3). [13] Habibah binti Ismail (SP3) mengatakan rumah tempat kejadian adalah milik bersama SP3 dan perayu kerana mereka berkongsi membeli rumah tersebut daripada pemaju pada tahun 2010 dengan harga RM280,000.00 (P15). SP3 tidak pernah tinggal di rumah tersebut. SP3 tinggal di Pangsapuri Indah, Telok Air Tawar, Butterworth bersama keluarga SP3. Sejak rumah tersebut dibeli, SP3 hanya dua kali pergi ke rumah itu, iaitu pada tahun 2010 dan 2012. Bil utiliti seperti bil eletrik rumah tersebut atas nama perayu (P17). SP3 mengatakan beliau ada meminta perayu menguruskan ubahsuai bahagian dapur, cabinet dan tangga rumah tersebut pada tahun 2011 dan seorang kontraktor bernama Jamil diambil oleh perayu untuk membuat kerja-kerja ubahsuai. SP3 bagaimanapun tidak pernah berjumpa Jamil. SP3 mengatakan perayu ialah seorang duda dan penjual kereta terpakai. Dapatan Hakim Bicara Diakhir Kes Pendakwaan [14] Di akhir kes pendakwaan, Hakim bicara mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan ketiga-tiga intipati pertuduhan, iaitu (i) dadah Cannabis yang menjadi pertuduhan adalah dadah berbahaya di bawah ADB 1952 seperti berat yang disebutkan dalam pertuduhan; (ii) perayu mempunyai jagaan dan kawalan serta pengetahuan terhadap dadah tersebut; dan (iii) perayu memperedarkan dadah tersebut. Hakim bicara mendapati setelah penilaian maksima dilakukan ke atas keterangan, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perayu. Hakim bicara oleh itu telah memanggil perayu membela diri terhadap pertuduhan. Pembelaan Perayu [15] Perayu membela diri secara keterangan bersumpah. Pembelaan diri perayu atas perkara-perkara yang penting boleh diringkaskan seperti berikut. [16] Rumah tempat kejadian adalah milik bersama perayu dan kakak perayu bernama Habibah binti Ismail (SP3). Menurut perayu rumah tersebut dibeli secara bersama oleh perayu dan SP3 pada tahun 2010 pada harga RM280,000.00. Rumah tersebut tidak didiami sejak dibeli dan ingin disewakan. Perayu dan SP3 memiliki kunci rumah tersebut. Oleh kerana rumah tersebut hendak disewakan, SP3 telah meminta perayu menguruskan rumah tersebut untuk dibuat ubahsuai atau renovasi. SP3 telah mengupah satu kontraktor bernama Jamil untuk melakukan kerja ubahsuai. [17] Perayu mengatakan katil, almari dan meja solek yang terdapat dalam bilik rumah di mana dadah dijumpai telah dibawa oleh perayu ke rumah tersebut dan perabot-perabot tersebut adalah perabot lama yang dbawa ke situ daripada rumah lain. Perayu mengatakan perayu tidak tinggal di rumah tempat kejadian dan hanya datang melihat rumah itu sekali dalam dua minggu. [18] Perayu mengatakan pada hari kejadian perayu pergi di rumah itu sekitar jam 12.00 tengahari adalah untuk memeriksa progres kerja-kerja ubahsuai. Perayu meletakkan kereta Proton Perdana di porch rumah. Perayu mengatakan oleh kerana berasa hendak terkencing, perayu bergegas masuk ke dalam rumah dan terus ke tandas meninggalkan pintu grill dan pintu papan rumah tidak berkunci dan terbuka sedikit dengan kunci rumah masih tersangkut di lubang kunci. Sebaik perayu keluar daripada tandas untuk pergi ke ruang tamu, tiba-tiba perayu melihat sekumpulan orang bersenjatakan pistol telah memasuki rumah dan mengacukan pistol ke arah perayu. Perayu cemas dan terkejut serta berpeluh menyangkakan orang yang masuk ke rumah tersebut adalah perompak. [19] Perayu mengatakan kali terakhir perayu pergi ke rumah tersebut ialah dua minggu sebelum tarikh kejadian dan ketika berada di rumah tersebut perayu tidak melihat terdapat kotak putih di dalam bilik. Perayu mengatakan perayu tiada pengetahuan terhadap dadah yang ditemui oleh SP4 dalam bilik rumah tersebut. [20] Perayu mengatakan Jamil iaitu kontraktor yang menjalankan kerja ubahsuai rumah tersebut ada memiliki kunci rumah itu kerana perayu ada memberi kunci rumah kepada Jamil untuk memudahkan Jamil dan pekerjanya membuat kerja ubahsuai. Perayu mengatakan kunci rumah tersebut ada tiga set, dimana satu set diberikan oleh perayu kepada Jamil. Dua set lagi masing-masing berada dengan perayu dan kakak perayu (SP3). Pada hari itu Jamil tidak ada di rumah tempat kejadian. Perayu menafikan mempunyai milikan dan mengedar dadah tersebut. [21] Perayu juga mengatakan barang-barang peribadi seperti dua set telefon tangan dan kad pengenalan perayu diambil oleh SP4 dari poket seluar yang dipakai oleh perayu dan bukan dijumpai di atas meja solek. Perayu mengatakan pasport perayu ditemui oleh SP4 daripada atas laci kereta Proton Perdana. Berkenaan rangkai kunci rumah, perayu mengatakan kunci tersebut diambil oleh SP4 dari lubang kunci di pintu kerana kunci tersebut tergantung di lubang kunci semasa perayu bergegas masuk rumah untuk buang air kecil. Perayu mengatakan serangkai lagi kunci dijumpai oleh SP4 daripada dalam kereta Proton Perdana. Perayu menafikan mempunyai milikan atau pengetahuan terhadap dadah yang dijumpai di rumah tersebut. Dapatan Hakim Bicara Diakhir Kes Pembelaan [21] Kami meneliti alasan penghakiman Hakim bicara. Kami dapati pada perenggan (60) hingga (114), Hakim bicara telah menimbangkan keterangan pembelaan diri perayu (muka surat 45-77 Rekod Rayuan Jilid 1). Diakhir penilaian Hakim bicara terhadap pembelaan diri perayu, Hakim bicara membuat dapatan bahawa pembelaan perayu hanya bersifat pemikiran terkemudian (an afterthought) dan penapian kosong semata-mata (bare denial) (rujuk: D.A. Duncan v PP [1980] 2 MLJ 195; Magendran Mohan v PP [2010] 5 CLJ 390). Perayu didapati gagal menyangkal anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da)(vi) ADB 1952 atas imbangan kebarangkalian dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Hakim bicara memutuskan kes pihak pendakwaan telah dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah. Perayu didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhi hukuman mati mandatori. Rayuan Perayu [22] Di hadapan kami, peguamcara terpelajar bagi pihak perayu mengemukakan dua alasan rayuan dalam mencabar sabitan terhadap perayu oleh Hakim bicara sebagai tidak selamat dan wajar diketepikan. Dua alasan tersebut ialah: