Content
1 DI DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI IPOH DALAM NEGERI PERAK NO. KES: AA-82D-10-07/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN MOHD AMRAN BIN ABDUL SHARIP [NO. K/P: 840508065473] ALASAN PENGHAKIMAN PENGENALAN [1] Mohd Amran bin Abdul Sharip (‘‘tertuduh’’) telah dipertuduh dengan satu (1) pertuduhan di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234]. Tertuduh diwakili oleh peguambela dan apabila pertuduhan dibacakan, tertuduh memilih untuk dibicarakan atas pertuduhan terhadapnya. [2] Pertuduhan ke atas tertuduh adalah sebagaimana berikut: “Bahawa kamu pada 14/09/2018 jam lebih kurang 7.40 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Ipoh, Perak dalam Daerah Kinta Dalam Negeri Perak telah dapati menggunakan dadah jenis Methamphetamine. Oleh itu, kamu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Hukuman: Denda tidak lebih lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan di bawah seksyen 38B ADB 1952 selama tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.” [3] Pada 10 September 2025, Mahkamah ini telah memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan (“A&D”) daripada pertuduhan di bawah seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”) setelah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal meneruskan bicara berikutan ketidakhadiran saksi-saksi pendakwaan. [4] Pihak pendakwaan tidak berpuas hati dan telah memfailkan rayuan terhadap perintah Mahkamah tersebut dan alasan penghakiman ini disediakan atas rayuan tersebut. LATAR BELAKANG KES [5] Tertuduh pada asalnya telah dituduh atas kesalahan sepertimana pertuduhan di atas di bawah nombor kes AA-82D-18-08/2019 pada 19 Ogos 2019 di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Ipoh. Tertuduh ketika itu diwakili oleh Tetuan Rajit Gill & Co. Selepas beberapa kali tarikh bicara ditetapkan, hanya pada 24 Mac 2021 seorang saksi pendakwaan, SP1 (Jurufoto) telah hadir ke Mahkamah dan memberikan keterangan. [6] Pada 06 Disember 2021, pihak pendakwaan sekali lagi gagal menghadirkan saksi dan memohon penangguhan terakhir. Mahkamah setelah menimbangkan permohonan pembelaan telah memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (“DNAA”). [7] Tertuduh kemudiannya telah didakwa semula atas kesalahan yang sama di bawah nombor kes ini pada 04 Julai 2022 di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh. Pada 12 April 2023, kes ini dipindahkan ke Mahkamah Majistret Jenayah 2 atas alasan pelepasan tanpa pembebasan terdahulu dibuat oleh Mahkamah Majistret Jenayah 2 selepas seorang saksi dipanggil memberi keterangan. [8] Pada 17 Mei 2023, kes ini disebut buat pertama kali di hadapan Mahkamah ini dan tertuduh dalam kes ini diwakili oleh Tetuan Naht & Guna Partners. Kes ini seterusnya telah ditetapkan untuk bicara pada 06 dan 07 Disember 2023. [9] Pada 06 Disember 2023, pihak pendakwaan telah memaklumkan bahawa tiada saksi hadir, menyebabkan bicara ditangguhkan ke 14 dan 15 Mei 2024. [10] Pada 14 Mei 2024 dan 08 Ogos 2024, bicara kes ini sekali lagi telah dilapangkan, antara alasannya termasuk atas permohonan pihak pendakwaan sendiri. [11] Pada 12 Disember 2024, pihak pendakwaan memohon untuk reinstate semula kes asal iaitu kes nombor AA-82D-18-08/2019 atas alasan seorang saksi telah memberikan keterangan sebelum ini. Pembelaan tidak membantah permohonan ini tetapi telah memohon penangguhan bagi mendapatkan nota keterangan terlebih dahulu. [12] Seterusnya, pada 11 Mac 2025, pihak pendakwaan telah memohon penangguhan bicara dan permohonan tersebut telah dibenarkan. Kemudian, pada 19 Mac 2025, Mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes ini mulai 09 September 2025 hingga 11 September 2025. [13] Pada 09 September 2025, Timbalan Pendakwa Raya telah memaklumkan Mahkamah bahawa hanya seorang saksi iaitu pengadu telah hadir bagi perbicaraan kes ini dan terdapat baki saksi pendakwaan seramai tiga (3) orang iaitu eskot urin, pegawai sains dan pegawai penyiasat. Timbalan Pendakwa Raya juga telah memaklumkan Mahkamah bahawa saksi eskot urin dilaporkan bertugas di Langkawi, manakala tiada penjelasan diberikan berhubung ketidakhadiran pegawai sains dan pegawai penyiasat. Mahkamah pada tarikh ini telah membenarkan penangguhan dengan peringatan tegas kepada pihak pendakwaan. [14] Akhirnya, pada 10 September 2025, apabila kes dipanggil untuk sambung bicara, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tiada seorang pun saksi hadir. HUJAHAN PIHAK-PIHAK [15] Disebabkan tiada saksi yang hadir ke Mahkamah untuk tujuan perbicaraan, peguam tertuduh telah memohon kepada Mahkamah untuk perintah A&D terhadap tertuduh. [16] Antara alasan peguam adalah tertuduh telah dituduh pertama kali pada tahun 2019 bagi kesalahan yang dituduh dilakukan pada tahun 2018. Kegagalan pihak pendakwaan untuk memastikan kehadiran saksi sebelum menyebabkan tertuduh sebelum ini dilepaskan tanpa dibebaskan sebelum ini. Seterusnya, tertuduh telah dituduh semula pada tahun 2022 dan sekali lagi pihak pendakwaan gagal untuk memastikan kehadiran saksi-saksi pendakwaan. [17] Sejak dari tahun 2018 tersebut, tertuduh yang merupakan seorang penjawat awam, seorang anggota polis telah digantung tugas sehingga ke hari ini selama 7 tahun. [18] Peguam telah merujuk kepada keputusan kes di Mahkamah Tinggi Melaka, Yussof Daniel Khairul Hisham v. Public Prosecutor [2025] 2 CLJ 1018, di mana fakta kes tersebut adalah hampir sama dengan kes ini. Dengan itu, peguam menghujahkan bahawa Mahkamah seharusnya memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan apabila pihak pendakwaan tidak dapat menjelaskan ketidakhadiran saksi pendakwaan di Mahkamah untuk memberikan keterangan. [19] Seterusnya, peguam juga berhujah bahawa sekiranya Mahkamah memberikan perintah DNAA, ia akan memberikan prejudis yang amat tinggi kepada tertuduh. Memandangkan status tersebut akan tergantung dan tidak tahu sampai bila. Maka, perintah DNAA untuk situasi ini adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah. [20] Timbalan Pendakwa Raya pula telah berhujah bahawa pihak pendakwaan telah mengeluarkan sapina kepada saksi-saksi ini dan juga telah berhubung dengan pegawai penyiasat sendiri berkenaan dengan kehadiran saksi memandangkan kes ini pernah di DNAA sebelum ini atas alasan kegagalan saksi untuk hadir. Walaubagaimanapun saksi masih lagi gagal untuk hadir dan tidak memberikan alasan yang munasabah. Pihak pendakwaan akhirnya menyerahkan kepada budi bicara pihak Mahkamah untuk memutuskan perintah yang sesuai bagi kes ini. ISU UTAMA [21] Sama ada Mahkamah ini bertindak secara betul apabila memerintahkan perintah A&D terhadap tertuduh. KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG BERKENAAN PERINTAH DNAA ATAU A&D DAN PERTIMBANGAN MAHKAMAH [22] Mahkamah ini telah merujuk kepada peruntukan seksyen 254 KTJ yang memperuntukkan seperti berikut: “Public Prosecutor may decline to prosecute further at any stage