Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: DA-21NCvC-5-04/2020 ANTARA MOHD ARIF BIN MUDA (Beramal sebagai Perunding Arif QS) … PLAINTIF DAN KERAJAAN MALAYSIA … DEFENDAN
DA-21NCvC-5-04/2020
High Court of Malaysia10 Apr 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“banyak RM2,510,145.00. [48] Peguam plaintif yang bijaksana juga merujuk dan bergantung kepada kes plaintif melawan defendan berkenaan projek UITM iaitu kes Mohd Arif bin Muda lwn Kerajaan Malaysia [2014] MLRHU 1122 serta penghakiman Mahkamah Rayuan berkenaan kes tersebut yang telah **Note : Serial number will be used t”
““first port of call” (see Arnold v. Britton and others [2015] 2 WLR 1593 (UKSC); YES F&B Group Pte Ltd v Soup Restaurant Singapore Pte Ltd (formerly known as Soup Restaurant (Causeway Point) Pte Ltd [2015] SGCA 55).” **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 15 [3”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: DA-21NCvC-5-04/2020 ANTARA MOHD ARIF BIN MUDA (Beramal sebagai Perunding Arif QS) … PLAINTIF DAN KERAJAAN MALAYSIA … DEFENDAN
1
Tindakan ini telah dibawa oleh plaintif bagi menuntut bayaran perkhidmatan profesional plaintif sebagai perunding ukur bahan bagi suatu projek yang dikenali sebagai Cadangan Membina dan Menyiapkan Sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai Yang Mengandungi 18 Bilik Darjah Dan Kemudahan Berkaitan di Mukim Gong Pachat, Daerah Semerak, Jajahan Pasir Puteh, Kelantan (“projek tersebut). 02/07/2025 16:59:59 DA-21NCvC-5-04/2020 Kand. 49
2
Dalam tindakan ini plaintif dalam plidingnya telah menuntut gantirugi kerana plaintif telah menyediakan perkhidmatan tambahan dalam tempoh lanjutan selama 60 bulan bermula dari 01.05.2009 hingga 27.05.2015 (tidak termasuk tempoh tanggungan kecacatan selama 12 bulan).
3
Tuntutan plaintif dalam tindakan ini adalah untuk kos bagi perkhidmatan yang diberikan oleh setiap ahli pasukan kerja plaintif yang dipersetujui dalam perjanjian dengan kadar yuran masing-masing yang terdiri dari gaji pokok (gp) dan faktor pengganda (fp) untuk tempoh tambahan tersebut.
4
Melalui surat setuju terima (SST) bertarikh 28.09.2007, plaintif telah bersetuju untuk menerima tawaran perlantikan sebagai perunding ukur bahan daripada defendan bagi projek tersebut.
5
Lantikan plaintif sebagai perunding ukur bahan kemudiannya telah disusuli dengan satu perjanjian rasmi (MoA) bertarikh 09.01.2008 yang menyatakan syarat-syarat terperinci lantikan serta skop tanggungjawab dan tugasan setiap pihak dan kaedah bayaran yuran profesional plaintif adalah mengikut skala yuran piawai (schedule of fees) dengan butiran seperti berikut:- 3 i. Lantikan dengan bayaran skala yuran piawai (schedule of fees); ii. Skop perkhidmatan: Pos kontrak sehingga perakuan muktamad dan ACDA (As Completed Detailed Abstract) dikeluarkan; dan iii. Kos perkhidmatan sebanyak RM400,222.76.
6
Tempoh asal pembinaan projek tersebut yang sepatutnya disiapkan oleh kontraktor iaitu Jemmings Sdn Bhd adalah pada 01.05.2009, namun kontraktor hanya berjaya menyiapkannya dalam tempoh lanjutan yang telah dibenarkan iaitu bermula 1.5.2009 sehingga 27.05.2015 iaitu tarikh perakuan pelarasan harga kontrak akhir dikeluarkan (tempoh lanjutan selama 72 bulan 26 hari).
7
Tempoh 72 bulan 26 hari tersebut setelah ditolak tempoh tanggungan kecacatan (defect liability period) selama 12 bulan yang sememangnya menjadi tanggungjawab plaintif dalam perjanjian asal, maka tempoh tambahan yang sebenarnya hanya 60 bulan 26 hari namun plaintif dalam penyata tuntutannya hanya menuntut gantirugi bagi tempoh 60 bulan sahaja.
8
Terdapat 3 isu-isu yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak melalui
Lampiran
Lampiran 12 untuk dibicarakan dalam kes ini seperti berikut: (i) Samada plaintif telah memberikan perkhidmatan di dalam tempoh perkhidmatan tambahan kepada defendan; (i) Samada plaintif berhak terhadap jumlah gantirugi bagi perkhidmatan tambahan yang diberikan oleh plaintif kepada defendan dalam tempoh perkhidmatan tambahan bagi projek tersebut; dan (ii) Bagaimanakah pengiraan dan berapakah jumlah gantirugi yang perlu dibayar oleh defendan kepada plaintif? Ringkasan hujahan plaintif berkenaan isu pertama [9] Berkenaan isu pertama ini, peguam plaintif yang bijaksana telah menghujahkan antara lainnya bahawa perkhidmatan plaintif sepatutnya tamat pada 01.05.2009 namun terdapat beberapa lanjutan masa diberikan kepada kontraktor Jemmings Sdn Bhd bagi menyiapkan projek tersebut. Maka adalah tidak boleh dipertikaikan bahawa dalam tempoh lanjutan masa tersebut plaintif masih terus membekalkan dan menjalankan perkhidmatannya kepada defendan. [10] Peguam plaintif yang bijaksana juga menghujahkan bahawa perkhidmatan plaintif dalam tempoh lanjutan projek tersebut merupakan perkhidmatan tambahan kerana ia adalah diluar jadual kerja (Schedule of Works) yang berasaskan kepada jadual pelaksanaan projek. Kesan dari lanjutan masa yang dibenarkan kepada Kontraktor menyebabkan tempoh perkhidmatan plaintif perlu dilanjutkan sekaligus meningkatkan liabiliti plaintif untuk menanggung perbelanjaan tambahan bagi ahli pasukan kerjanya. [11] Peguam plaintif telah merujuk kepada Fasal 9.3 dan mengatakan bahawa penetapan harga bil kuantiti (pricing of bills of Quantities) adalah sebahagian daripada perhidmatan asas (basic services) namun apabila perkhidmatan asas dikehendaki untuk dilaksanakan dalam tempoh tambahan, maka yuran caj akan dikenakan menurut asas masa atau akan dirunding (the fee of charges will be on time basis or to be negotiated). Pada asalnya perkhidmatan asas dibayar mengikut skala yuran piawai tetapi apabila perkhidmatan asas dilaksanakan dalam tempoh masa tambahan, maka bayaran adalah berdasarkan asas masa (time basis). [12] Oleh itu adalah dihujahkan bagi pihak plaintif bahawa memandangkan perkhidmatan yang telah dilaksanakan oleh plaintif di dalam tempoh lanjutan projek tersebut, ia telah dilaksanakan diluar tempoh jadual kerja asal, maka perkhidmatan plaintif dalam tempoh 60 bulan tersebut adalah merupakan suatu perkhidmatan tambahan. Ringkasan hujahan defendan berkenaan isu pertama [13] Peguam defendan yang bijaksana pula menghujahkan bahawa merujuk kepada tempoh kontrak, tugas plaintif dalam projek tersebut adalah untuk memberi perkhidmatan ukur bahan bagi skop perkhidmatan pasca kontrak untuk selama 22 bulan mulai 2.7.2007 sehingga 1.5.2009 dengan kos perkhidmatan perunding sebanyak RM400,222.76 yang telah ditetapkan atas dasar skala yuran piawai (schedule of fees). [14] Peguam Defendan yang bijaksana juga menghujahkan bahawa tempoh lantikan plaintif adalah untuk sepanjang tempoh projek tersebut sehingga perakuan muktamad dikeluarkan. Dalam kes ini, tiada sebarang perkhidmatan tambahan telah diberikan oleh plaintif kepada defendan dalam tempoh lanjutan masa yang diberikan kepada kontraktor tersebut. Analisis dan dapatan Mahkamah bagi isu pertama [15] Dalam kes ini, menurut perjanjian (MoA) yang telah dimasuki antara plaintif dengan defendan, secara khususnya dalam Fasal 2 iaitu dalam bahagian jadual yuran (schedule of fees), terdapat 2 jenis perkhidmatan iaitu perkhidmatan asas (basic services) dan perkhidmatan tambahan (additional services). Perenggan 2 memperuntukkan seperti berikut: 2 TYPES OF SERVICES The professional services to be provided by the Consulting Q.S. shall consist of two (2) types of services as follows: the basic services, and the additional services. [16] Fasal 3 dalam bahagian jadual yuran pula memperuntukkan bahawa perkhidmatan-perkhidmatan yang termasuk dalam kategori perkhidmatan asas adalah seperti berikut: 3 BASIC SERVICES FOR BUILDING AND CIVIL ENGINEERING WORKS The basic services for Building and Civil Engineering Works to be rendered by the Consulting Q.S. shall be as follows: Preparation of Preliminary Estimates and Cost Plans; Preparation of Bills of Quantities and other Tender Documents; C) Preparation of Tender Reports including pricing the bills of Quantities for an estimate and Contract Documents; D) Preparation of Tender Documents, Tender Reports and Contract Documents for P.C. and Provisional Items other than those under the Charge of Mechanical and Electrical Consultants; E) Valuation of works in progress for Interim Valuations/ Certificates including variations; and F) Preparation of Final Accounts. A - D adalah perkhidmatan-perkhidmatan pra kontrak (pre contract services) manakala E dan F pula adalah perkhidmatan-perkhidmatan pasca kontrak (post contract services). [17] Fasal 4 dalam bahagian jadual yuran pula memperuntukkan bahawa perkhidmatan-perkhidmatan yang termasuk dalam kategori perkhidmatan tambahan adalah seperti berikut: 4 ADDITIONAL SERVICES The additional services to be rendered by the Consulting Q.S. shall be as follows: Preparation of Feasibility Studies including Income/ Expenditure Cash Flow. Preparation of Final Costs for Contract based on Provisional Bills of Quantities. C) Pricing of Bills of Quantities or pricing and angreeing Schedule of Rates. D) Remeasurement of the whole or part of the Building Works due to either re-planning of internal layout arising from a change of use or repositioning of the building if remeasurement is required and redesign of structural element in the Works. E) Preparation and Attendance for Arbitration / Litigation. F) Preparation of Documents and Reports for Prequalification of Contractors. [18] Fasal 6 dan Fasal 9 masing-masing memperuntukkan skala yuran bagi perkhidmatan asas dan perkhidmatan tambahan. [19] Menurut syarat-syarat am perjanjian tersebut (General Conditions) khususnya Fasal 2(A) iaitu tempoh lantikan (Duration of Engagement), perlantikan plaintif bermula dari tarikh perjanjian atau dari tarikh plaintif memulakan perkhidmatannya kepada defendan, yang mana lebih awal, dan perlantikan plaintif pula akan tamat apabila plaintif telah mengeluarkan sijil meluluskan pembayaran akhir kepada kontraktor sebagaimana yang di peruntukkan dalam Fasal 2 (H). Fasal 2(A) memperuntukkan seperti berikut: “The appointment of the Consulting QS shall commence from the date the MoA or from the time when the Consulting QS shall have begun to perform for the Government any of the professional services described in this agreement, which ever is the earlier.” Fasal 2 (H) pula memperuntukkan seperti berikut: “Unless terminated under this Clause the Consulting QS’s appointment under this Agreement shall terminate when the Consulting QS issues the certificate authorizing the final payment to the contractor. Provided always that in the event of arbitration or other proceedings after the completion of construction if so required by the Government, the Consulting QS shall assist the Government in any manner whatsoever under the same condition of enggangement as are applicable to this Agreement.” [20] Daripada peruntukan fasal 2 (A) dan (H) dalam “Duration of Engagement” tersebut, adalah jelas bahawa perkhidmatan yang dibekalkan oleh plaintif kepada defendan ini adalah dari jenis perkhidmatan yang berdasarkan kepada peristiwa (event based services) dan bukannya berdasarkan kepada tempoh masa (time based services) atau pun boleh dikatakan perjanjian yang bergantung kepada perlaksanaan atau penyelesaian tugas tertentu dan bukannya perjanjian yang bergantung kepada tempoh masa tertentu. [21] Perjanjian antara plaintif dengan defendan adalah berbeza jika dibandingkan dengan perjanjian antara defendan dengan kontraktor dimana perjanjian defendan dengan kontraktor adalah berdasarkan kepada tempoh masa tertentu bagi kontrator melaksanakan obligasinya di bawah kontrak. [22] Perkhidmatan plaintif adalah perkhidmatan asas (basic services) yang bermula dengan penyediaan laporan tender (Tender Report) sehingga penyediaan akaun muktamad dan ini bergantung kepada penyelesaian kerja-kerja pembinaan yang dijalankan oleh kontraktor. Lanjutan masa yang diberikan oleh defendan kepada kontraktor adalah atas budibicara defendan ke atas kontraktor apabila kontraktor gagal melaksanakan obligasinya dalam masa yang telah ditetapkan dalam kontrak antara defendan dengan kontraktor. [23] Perkhidmatan yang disediakan oleh plaintif kepada defendan di sepanjang tempoh perlaksanaan kontrak pembinaan tersebut oleh kontraktor termasuklah apa-apa tempoh lanjutan yang diberikan kepada kontraktor adalah merupakan perkhidmatan asas yang telah pun dipersetujui antara plaintif dengan defendan dengan bayaran berasaskan skala yuran piawai. Perkhidmatan yang sama telah diberikan oleh plaintif kepada defendan dalam tempoh lanjutan yang diberikan kepada kontraktor. [24] Keterangan plaintif (SP1) sendiri dan saksi pakar plaintif (SP2) mengesahkan bahawa plaintif tiada memberikan sebarang perkhidmatan tambahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Fasal 4 jadual yuran (Schedule of Fees). Perkhidmatan yang diberikan oleh plaintif kepada defendan adalah semata-mata perkhidmatan asas namun perkhidmatan tersebut telah diberikan di sepanjang masa kontrak pembinaan berjalan termasuklah dalam tempoh masa tambahan atau lanjutan yang diberikan oleh defendan kepada kontraktor. [25] Perjanjian (MoA) antara plaintif dan defendan tidak memperuntukkan sebarang tempoh masa dan juga tidak memperuntukkan sebarang lanjutan tempoh masa. [26] Mahkamah ini juga tidak dapat bersetuju dengan hujahan plaintif yang mengatakan bahawa berdasarkan Fasal 9.3 perjanjian tersebut, perkhidmatan asas yang dilaksanakan dalam tempoh lanjutan perlu dibayar mengikut input masa atau asas masa (time basis). [27] Jika diteliti kepada Fasal 9.3, ia merujuk secara khusus kepada kerja-kerja tambahan berkenaan penetapan harga bil kuantiti (pricing of Bills of Quantities) yang mana telah dinyatakan secara jelas bahawa ia adalah sebahagian daripada perkhidmatan asas. Hanya untuk penetapan harga bil kuantiti yang berikutnya (for subsequent pricing of Bill of Quantities) barulah yuran boleh dikira secara asas masa (time basis). [28] Dalam kes ini tiada sebarang perkhidmatan penetapan harga bil kuantiti yang berikutnya (subsequent pricing of Bill of Quantities) yang telah dibuat oleh plaintif. Kerja yang dijalankan oleh plaintif dalam masa tambahan atau lanjutan projek tersebut adalah kerja-kerja pasca kontrak (post contract) iaitu kerja-kerja menilai kemajuan kerja (progress of work) oleh kontraktor dan mengeluarkan sijil atau nilaian interim dan penyediaan akaun muktamad. Oleh itu hujahan plaintif bahawa perkhidmatan asas yang dilaksanakan dalam tempoh tambahan atau lanjutan projek tersebut perlu dibayar menurut input masa adalah tidak berasas dan tidak boleh dipertahankan. [29] Dalam kes Syarikat Binaan Utara Jaya v. Koperasi Serbaguna Sungai Glugor Bhd [2008] 2 MLRA 809, Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut: “[14] It is trite law that the words used in a contract must be interpreted literally and without the aid of the principles of natural justice (Jainarain Singh and another v. The State of Bihar and Others [1980] AIR Vol 67, 24 Patna). And the court in order to avoid superfluity must give effect to every provisions of the contract. The court cannot construe words in an entirely different sense from their natural and grammatical meaning. Thus, the word “when” could not be read as “if”. It must be borne in mind that the court cannot give meaning to a provision totally contrary to the meaning which it bears in plain language (F Ranchoddas v. Nathmal Hirachand & Co [1949] AIR (36), 356 Bombay). [15] Of course, it is trite that when interpreting a contract the language of the contract must be taken into consideration. The intention of the parties must be primarily gathered from the language employed in the contract itself. If, and only if the language is vague, the surrounding circumstances may be looked into in order to assist in interpreting the contract (Bipin Behari Deb v. Masrab Ali and Others [1961] AIR Vol 48, 173 Assam). [17] From the available authorities, the following proposition may be advanced in construing a contract where the language employed is clear: (a) the court must give effect to the plain meaning of the words, no matter how distasteful the result may be (The Central Bank of India Ltd Amritsar v. The Hartford Fire Insurance Co Ltd [1965] AIR Vol 52, 1288 SC); (b) where the language in the document is unambiguous and clear, the real nature of the document is to be determined solely by looking at its contents, uninfluenced by any intention of the parties ((Nawab major Sir) MohammadAkhbar Khan v. Attar Singh and Others [1936] AIR Vol 23, 171 PC); (c) when the mind of the parties are expressed in an unambiguous manner, the court cannot override the declared intention of the parties unequivocally expressed (K Appukuttam Panicker and Another v. SKRAKR Athappa Chettiar and Others [1966] AIR Vol 53, 303 Kerala); and (d) there is no scope, at all, for drawing upon hypothetical consideration or the supposed intention of the parties when the words contained in the contract are clear and unambiguous (The Union of India v. Kishorilal Gupta and Bros [1959] AIR Vol 46, 1362 SC).” [30] Dalam kes Bank Islam Malaysia Bhd v. Lim Kok Hoe & Anor and Other appeals [2009] 6 MLJ 839, Mahkamah Rayuan juga memutuskan seperti berikut: “It is trite law that the court should not rewrite the terms of the contract between the parties that it deems to be fair or equitable.” [31] Dalam kes Cubic Electronic Sdn Bhd v. MKC Corporate & Business Advisory Sdn Bhd and Another Appeal [2016] 3 MLJ 797, Mahkamah Rayuan juga memutuskan seperti berikut: “[33] … The court must give effect to the intention of the parties as embodied in the terms of MTA. While the relevant context is important, the text of the agreement ought always to be the “first port of call” (see Arnold v. Britton and others [2015] 2 WLR 1593 (UKSC); YES F&B Group Pte Ltd v Soup Restaurant Singapore Pte Ltd (formerly known as Soup Restaurant (Causeway Point) Pte Ltd [2015] SGCA 55).” [32] Dalam kes ini, perkataan yang digunakan dalam kontrak tersebut khususnya Fasal 2(H) adalah jelas dan terang bahawa perlantikan plaintif sebagai perunding ukur bahan dalam projek tersebut hanya akan tamat apabila plaintif telah mengeluarkan sijil meluluskan atau mengesahkan bayaran muktamad kepada kontraktor. Oleh itu Mahkamah ini harus menterjemahkan kontrak tersebut menurut peruntukan jelas dan nyata yang terkandung dalam kontrak itu sendiri. [33] Oleh itu bagi menjawab isu yang pertama, Mahkamah ini mendapati bahawa dalam tempoh tambahan atau lanjutan yang diberikan kepada kontraktor Jemings Sdn Bhd untuk menyiapkan projek tersebut, tiada sebarang perkhidmatan tambahan yang diberikan oleh plaintif kepada defendan. Plaintif hanya meneruskan perkhidmatan asasnya sahaja kepada defendan dalam tempoh lanjutan tersebut. Ringkasan Hujahan Plaintif Berkenaan Isu Kedua [34] Peguam plaintif yang bijaksana telah menghujahkan bahawa defendan telah mendapat faedah atau manfaat daripada perkhidmatan tambahan plaintif. Oleh itu plaintif berhak kepada bayaran atas perkhidmatan tambahan tersebut berdasarkan s. 71 Akta Kontrak 1950 dan juga Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 2 Tahun 2011. Ringkasan Hujahan Defendan Berkenaan Isu Kedua [35] Peguam persekutuan yang bijaksana telah menghujahkan bahawa kontrak yang dimasuki oleh plaintif dengan defendan tidak mempunyai tempoh masa tertentu dan kaedah pembayaran perkhidmatan adalah tertakluk kepada skala yuran piawai (“schedule of fees”) di mana perkhidmatan plaintif hanya akan berakhir setelah selesainya perakuan muktamad. Oleh itu plaintif tidak mengalami sebarang kerugian kerana tempoh perlantikan plaintif masih berkuatkuasa dan terus mengikat plaintif dan perkhidmatan plaintif hanya dikira selesai setelah keluarnya Perakuan Muktamad. Analisis dan dapatan Mahkamah bagi isu kedua [36] Persoalan berkenaan isu kedua ini berkait rapat dengan persoalan isu pertama dari segi samada terdapat sebarang perkhidmatan tambahan yang dibekalkan oleh plaintif kepada defendan yang melayakkan atau mewajarkan plaintif menutut bayaran bagi perkhidmatan tersebut. [37] Plaintif dalam keterangannya semasa disoal balas mengatakan seperti berikut: “S: Setuju jika saya katakan bahawa Perunding Arif tidak membuat sebarang kerja-kerja additional services sepertimana di dalam perenggan 2(B) - Additional Services di muka surat 31, setuju atau tidak? Setuju.” [38] Saksi pakar plaintif (SP2) dalam keteranganya semasa disoal balas mengatakan seperti berikut: (ms 55 - 56 NK). “S: Setuju jika saya katakan bahawa tiada perkhidmatan tambahan dibuat oleh plaintif bagi melayakkan yuran perkhidmatan kepada juru ukur bahan dibayar secara time basis, setuju tak? Setuju atau tidak saya katakan bahawa tiada perkhidmatan tambahan yang dibuat oleh plaintif (Encik Mohd Arif) bagi melayakkan yuran perkhidmatan kepada juru ukur bahan dibayar secara time basis? Tiada perkhidmatan tambahan, dia tak buat perkhidmatan tambahan, saya kata? Memang betul tak buat, setuju. S: Merujuk kepada jawapan di soalan 15, setuju jika saya katakan kerja-kerja yang dilakukan oleh plaintif dalam tempoh tambahan tersebut adalah bukan perkhidmatan tambahan yang diberikan oleh plaintif, setuju tak? Setuju. SOALAN DARIPADA MAHKAMAH S: Tempoh sahaja tambahan, kerja bukan tambahan? Kerja bukan tambahan, kerja tetap sama. [39] Daripada petikan keterangan plaintif (SP1) dan juga saksi pakar plaintif (SP2) di atas, adalah jelas bahawa plaintif tidak memberikan sebarang perkhidmatan tambahan kepada defendan yang melayakkan plaintif dibayar caj perkhidmatan menurut input masa (“time basis”). [40] Peruntukan s. 71 Akta Kontrak 1950 seperti yang dihujahkan oleh peguam plaintif yang bijaksana adalah tidak relevan dalam kes yang dibicarakan ini kerana perkhidmatan yang diberikan oleh plaintif dalam tempoh lanjutan yang diberikan kepada kontraktor bukanlah merupakan satu perkhidmatan percuma tanpa sebarang bayaran. Perkhidmatan yang diberikan oleh plaintif dalam tempoh lanjutan tersebut telah dibayar berdasarkan skala yuran piawai yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut kerana perkhidmatan plaintif adalah merangkumi tempoh lanjutan tersebut sehinggalah perakuan Muktamad dikeluarkan. [41] Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bilangan 2 Tahun 2011 pula merupakan satu peraturan baru berkenaan perolehan perkhidmatan perunding yang perlu dipatuhi oleh semua kementerian atau jabatan kerajaan. Kandungannya bukanlah sebahagian daripada peruntukan perjanjian antara plaintif dan defendan. Oleh itu plaintif tidak boleh bergantung kepada peruntukan SPP ini bagi menguatkuasakan perjanjian yang telah dimasukinya dengan defendan. SPP tidak boleh meminda atau menambah peruntukan perjanjian yang telah dimasuki antara plaintif dan defendan. [42] Walaupun dalam Fasal 4 “Terms of Reference” terdapat peruntukan yang bertajuk “Compliance with Government Practice And Procedure” ia lebih kepada peruntukan yang menghendaki plaintif untuk mematuhi prosedur perolehan dan kewangan dalam menyediakan perkhidmatannya. Contohnya, dalam pengurusan perubahan kerja (VO), plaintif hendaklah mematuhi peruntukan Arahan Perbendaharaan 202 dan prosedur JKR. [43] Oleh kerana tiada sebarang perkhidmatan tambahan telah diberikan oleh plaintif, maka isu kedua ini juga dijawab dengan negatif. Plaintif tidak berhak kepada gantirugi bagi perkhidmatan yang diberikannya kepada defendan dalam tempoh tambahan yang diberikan kepada Kontraktor. Ringkasan Hujahan Plaintif Berkenaan Isu Ketiga [44] Peguam plaintif yang bijaksana menghujahkan bahawa dalam perjanjian tersebut, tiada peruntukan khusus berkenaan pengiraan bagi bayaran yang berhak diperolehi oleh plaintif dalam keadaan plaintif membekalkan perkhidmatan tambahan dalam masa lanjutan apabila tempoh kontrak kontraktor dilanjutkan. [45] Oleh itu peguam plaintif telah merujuk dan menggunapakai peruntukan Fasal 9.3 perjanjian tersebut yang membenarkan bayaran yuran perunding dibuat berasaskan asas masa (time basis) apabila plaintif dikehendaki memberi perkhidmatan dalam tempoh lanjutan dengan cara pengiraan berikut: “Basic salary per month X multiplying factor approved by the Government / 172 hours per month.” [46] Peguam plaintif juga merujuk dan menggunapakai para 19 SPP bil 2 tahun 2011 yang membenarkan pengiraan yuran perunding berdasarkan input masa bagi bidang perunding yang tidak mempunyai skala yuran piawai. Perenggan 19 SPP Bil 2 tahun 2011 memperuntukkan seperti berikut: “Penetapan yuran perkhidmatan perunding bagi pelaksanaan projek pembangunan fizikal dan kerja ukur secara amnya adalah berdasarkan kaedah bayaran Skala Yuran Piawai (Scale of Fees-SoF) untuk bidang perunding yang mempunyai skala yuran piawai yang diiktiraf oleh Perbendaharaan atau berdasarkan kaedah bayaran input masa untuk bidang perunding yang tidak mempunyai skala yuran piawai yang diiktiraf oleh Kementerian Kewangan.” [47] Seterusnya dengan menggunakan kaedah pengiraan input masa, peguam plaintif telah memperolehi jumlah gantirugi bagi kerja-kerja tambahan dalam masa tambahan selama 60 bulan sebanyak RM2,510,145.00. [48] Peguam plaintif yang bijaksana juga merujuk dan bergantung kepada kes plaintif melawan defendan berkenaan projek UITM iaitu kes Mohd Arif bin Muda lwn Kerajaan Malaysia [2014] MLRHU 1122 serta penghakiman Mahkamah Rayuan berkenaan kes tersebut yang telah membenarkan tuntutan plaintif dan memerintahkan Mahkamah Tinggi untuk menaksirkan gantirugi plaintif. Ringkasan hujahan defendan berkenaan Isu ketiga [49] Peguam defendan yang bijaksana pula menghujahkan bahawa kaedah pengiraan input masa yang dinyatakan dalam Manual Perolehan Perkhidmatan Perunding Edisi 2011 Kementerian Kewangan Malaysia (MPPP 2011) adalah tidak terpakai kerana kaedah tersebut hanya boleh digunakan jika bidang perunding tersebut tidak mempunyai skala yuran piawai yang diiktiraf oleh Kementerian Kewangan sedangkan bidang perkhidmatan plaintif sememangnya mempunyai skala yuran piawai (schedule of fees) yang diiktiraf oleh Kementerian Kewangan Malaysia. [50] Peguam defendan juga menghujahkan bahawa dalam kes ini plaintif tidak mengalami sebarang kerugian dan terma perjanjian (MoA) yang telah dimasuki adalah mengikat ke atas plaintif. Terma perjanjian telah menyatakan bahawa bayaran kepada plaintif adalah berdasarkan skala yuran piawai. Oleh itu plaintif tidak sepatutnya dibenarkan mengubah terma perjanjian dengan menuntut bayaran secara input masa. Oleh itu Plaintif tidak septatutnya dibenarkan menuntut sebarang gantirugi bagi perkhidmatan yang telah diberikan menurut perjanjian tersebut. Analisis dan dapatan Mahkamah bagi isu ketiga [51] Isu ketiga ini adalah juga berkait rapat dengan isu kedua. Apabila Mahkamah ini telah mendapati bahawa plaintif tidak memberikan sebarang perkhidmatan tambahan kepada defendan dalam masa lanjutan yang diberikan kepada kontraktor tersebut maka sepatutnya tiada sebarang gantirugi yang patut dibenarkan kepada plaintif. [52] Walau bagaimanapun, bagi menjawab isu ketiga ini berkenaan bagaimana cara pengiraan dan berapakah jumlah gantirugi yang perlu dibayar kepada plaintif, Mahkamah ini berpendapat bahawa jika sekali pun plaintif berhak kepada gantirugi kerana melaksanakan perkhidmatan asasnya dalam masa tambahan, kaedah pengiraan input masa seperti dalam pengiraan plaintif adalah tidak boleh digunapakai. [53] Ini adalah kerana pertamanya, kaedah pengiraan input masa hanya terpakai jika terdapat perkhidmatan tambahan yang dijalankan oleh plaintif. Dalam kes ini tiada perkhidmatan tambahan. [54] Keduanya, kaedah input masa juga hanya terpakai bagi bidang perkhidmatan yang tidak mempunyai skala yuran piawai yang diiktiraf oleh Kementerian Kewangan sedangkan bidang perkhidmatan plaintif mempunyai skala yuran piawai yang diiktiraf oleh Kementerian Kewangan. [55] Ketiganya, tuntutan plaintif adalah bagi ganti rugi kos dan perbelanjaan yang ditanggung oleh plaintif berkenaan bayaran kepada pasukan kerjanya dalam masa tambahan selama 60 bulan tersebut. Ganti rugi ini adalah suatu bentuk ganti rugi khas yang memerlukan plaintif memplidkan secara khusus butir-butir tuntutan dan membuktikan setiap kerugian atau perbelanjaan sebenar yang telah dikeluarkan. Perbelanjaan atau kerugian sebenar yang dialami oleh plaintif sudah tentu tidak termasuk faktor penggandaan (multiplying factor) sebagaimana pengiraan gantirugi yang telah dibuat oleh plaintif dalam perenggan 24 pernyataan tuntutannya berdasarkan input masa. [56] Merujuk kepada kes plaintif melawan defendan berkenaan projek UITM, Mahkamah ini setelah meneliti kes tersebut mendapati bahawa fakta material dalam kes tersebut adalah berbeza dengan fakta kes yang dibicarakan ini di mana dalam kes tersebut terdapat persetujuan antara plaintif dan defendan bahawa plaintif patut dibayar kos semasa dalam tempoh lanjutan, hanya jumlah bayaran sahaja yang dipertikaikan. Perkara ini jelas dinyatakan oleh YA Hakim perbicaraan seperti berikut:- “[30] Pihak Defendan juga tidak pernah menafikan yang Plaintif berhak dibayar untuk yuran tambahan bagi tempoh lanjutan 23 bulan berkenaan. Defendan cuma mengatakan yang jumlah tuntutan Plaintif adalah tidak wajar. [32] Di dalam penghujahan Defendan, Defendan juga tidak menafikan yang Plaintif berhak pada bayaran untuk tempoh lanjutan selama 23 bulan. [33] Dengan fakta-fakta yang tidak dinafikan oleh Defendan itu, saya dapati bahawa Plaintif berhak dibayar yuran perkhidmatan tambahan untuk tempoh tambahan selama 23 bulan berkenaan. Hanya jumlah dan cara perkiraannya yang dipertikaikan.” [34] Setelah Defendan bersetuju untuk membayar yuran perkhidmatan tambahan untuk tempoh tambahan selama 23 bulan, jadi apakah jumlah yang harus dibayar oleh Defendan kepada Plaintif sebagai yuran perkhidmatan tambahan tersebut.” [57] Daripada petikan dapatan YA Hakim perbicaraan dalam kes tersebut, adalah jelas bahawa dalam kes tersebut, liabiliti untuk membayar perkhidmatan plaintif untuk masa tambahan selama 23 bulan adalah tidak dipertikaikan sebaliknya telah dipersetujui oleh defendan. Hanya jumlah gantirugi sahaja yang dipertikaikan. Sebaliknya, dalam kes yang dibicarakan ini, tiada persetujuan berkenaan liabiliti seperti dalam kes tersebut. [58] Peguam plaintif hanya mengemukakan perintah Mahkamah Rayuan seperti dalam Tab B ikatan autoritinya tanpa sebarang alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan yang boleh dijadikan sandaran atau ikutan oleh Mahkamah ini. Tanpa alasan penghakiman Mahkamah Rayuan, Mahkamah ini tidak boleh mengenalpasti apakah alasan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan plaintif. Adakah rayuan tersebut telah dibenarkan semata-mata kerana terdapat persetujuan antara pihak-pihak untuk membayar perkhidmatan plaintif dalam tempoh tambahan selama 23 bulan tersebut atau adakah rayuan tersebut dibenarkan atas faktor-faktor lain. Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat bahawa tanpa alasan penghakiman yang jelas yang boleh dijadikan asas sandaran bagi Mahkamah ini, Mahkamah ini tidak terikat dengan keputusan tersebut. KESIMPULAN [59] Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas dan atas dasar imbangan kebarangkalian, Mahkamah ini mendapati bahawa plaintif telah gagal untuk membuktikan tuntutannya terhadap defendan. Oleh itu tuntutan plaintif terhadap defendan ditolak dengan kos sebanyak RM20,000.00 Alasan Penghakiman ini disediakan pada 02.7.2025. ………........…………..……….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu. Peguam Plaintif: En. Abdul Aziz Bin Hasan, Tetuan Nordin Kassim & Aziz, 134-L, Tingkat 2, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu. Peguam Defendan: Puan Masriwani Binti Mahmud @ Mamat, Peguam Kanan Persekutuan, Bahagian Guaman, Aras 6, No. 45, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.