Content
MAHKAMAH SESYEN TELUK INTAN, PERAK AC-62-3-03/2025 PP V. MOHD AWIS QARNI BIN MUHAMAD ISMUDDIN
AC-62-3-03/2025
Sessions Court of Malaysia12 Mar 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
MAHKAMAH SESYEN TELUK INTAN, PERAK AC-62-3-03/2025 PP V. MOHD AWIS QARNI BIN MUHAMAD ISMUDDIN
1
Ringkasan fakta kes 1.1 Fakta kes ini telah dibacakan di mahkamah dan OKT telah mengakui fakta kes ini sebagai benar. Pada 3 Mac.2025 jam lebih kurang 9.30 pagi, OKT dan isterinya iaitu pengadu/mangsa di dalam kes ini telah bertengkar mulut, yang berpunca daripada ketidakpuasan hati pengadu kerana OKT telah tidak bekerja selama dua (2) minggu. Pergaduhan mulut di antara mereka telah melarat sehingga melibatkan keganasan fizikal di mana OKT telah menampar pipi kiri dan kanan pengadu, dan kemudian menghentak belakang kepala pengadu ke dinding.
1
1.2 Pengadu yang tercedera telah menelefon kakaknya, yang kemudian datang dan membawa pengadu keluar dari rumah OKT, walaupun OKT cuba untuk menghalang. Pengadu dan kakaknya kemudian telah pergi ke Klinik Kesihatan Tg Malim untuk mendapatkan rawatan, dan hasil pemeriksaan doktor mendapati pengadu telah mengalami pecah gegendang telinga kanan, lebam di bahagian belakang kepala dan di bahagian pergelangan tangan kanan beliau.
1
1.3 Pengadu telah membuat laporan polis berkenaan kejadian ini. Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari IPD Muallim telah menahan OKT di rumahnya pada 10.40 malam pada tarikh yang sama dengan kejadian. Pada 7 Mac 2025, OKT telah dituduh di mahkamah ini di bawah seksyen 325 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah, yang dibaca bersama seksyen 326A Kanun yang sama kerana melibatkan keganasan rumahtangga. Pada 12 Mac 2025, OKT telah mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut, dan mahkamah ini telah menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh (7) tahun bermula dari tarikh tangkapan. Pada 22 Mac 2025, OKT telah memfailkan Notis Rayuan terhadap hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya.
2
Keputusan mahkamah 2.1 Mahkamah telah mempertimbangkan perkara-perkara berikut di dalam menjatuhkan hukuman terhadap OKT.
2
2.1.1 Rayuan mitigasi oleh OKT Mahkamah mempertimbangkan latar belakang OKT seperti mana yang telah dimaklumkan oleh peguambela beliau kepada mahkamah. Mahkamah diberitahu bahawa seminggu sebelum bulan Ramadhan tahun ini, OKT telah diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan di Proton City. Apabila beliau balik ke rumah dan memaklumkan perkara ini kepada isteri beliau, isterinya yang risau kerana bulan Ramadhan yang menjelang tiba telah mula bertengkar mulut dengan OKT. OKT juga memaklumkan kejadian pertengkaran tersebut juga diakibatkan kerana pengadu mempunyai masalah bipolar dan keresahan (anxiety). Mahkamah juga dimaklumkan yang OKT mempunyai lima (5) orang anak, dan ini merupakan kesalahan jenayah pertama OKT. OKT memohon tempoh penjara yang paling minimum dikenakan ke atasnya bermula dari tarikh tangkapan.
2
2.1.2 Kenyataan Impak Mangsa Pengadu telah datang ke mahkamah sendiri dan telah memberi keterangan impak mangsa. Beliau menyatakan bahawa kejadian tersebut telah sangat mengganggu emosi beliau dan beliau tidak mahu OKT mengganggu kacau kehidupannya lagi.
2
2.1.3 Kecederaan yang dilakukan ke atas mangsa adalah sangat serius.
2
2.1.4 Kejadian ini melibatkan keganasan rumahtangga, yang merupakan kesalahan yang berat dan kerap berlaku, dan mestilah ditangani dengan betul.
2
2.1.5 Kepentingan awam mestilah diberikan kepentingan yang lebih tinggi berbanding dengan kepentingan peribadi OKT.
3
Kesimpulan
3
3.1 Setelah mempertimbangkan sebab-sebab di atas, mahkamah telah menjatuhkan hukuman tersebut kepada OKT. NORHAMIZAH BINTI SHAIFFUDDIN
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.