Lampiran
Lampiran B yang diedarkan kepada anda oleh Pegawai Penyelia menyebabkan siasatan tergendala dan tiada berkeputusan. Perbuatan ini boleh diertikan sebagai kruang berusaha dan telah melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan 4(2)(e) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 seperti berikut: Per. 4(2) Seseorang pegawai tidak boleh (e) kurang cekap atau kurang berusaha Jika anda didapati bersalah terhadap Pertuduhan Pertama dan boleh dihukum mengikut Peraturan 38, peraturan yang sama. Pertuduhan Ketiga: Bahawa anda Inspektor G/19504 Mohd Azizul Bin Abd Wahab sebagai Pegawai Awam dalam Pasukan Polis DiRaja Malaysia ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di IPD Langkawi Kedah, antara 1.3.2017 hingga 24.12.2019 didapati tidak bertanggungjawab kerana gagal menyerahkan 286 kertas siasatan seperti di Lampiran C kepada Pegawai Penyelia sebelum bertukar dan melaporkan diri sebagai Insp. (D7A) Judi/Maksiat/Gengsterism JSJ Ibu Pejabat Daerah Polis Klang Utara Selangor. Perbuatan ini boleh diertikan sebagai tidak bertanggungjawab dan telah melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan 4(2)(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 seperti berikut: Per. 4(2) Seseorang pegawai tidak boleh (g) Tidak bertanggungjawab. Jika anda didapati bersalah terhadap Pertuduhan Pertama dan boleh dihukum mengikut Peraturan 38, peraturan yang sama.” [19] Mahkamah ini telah meneliti pertuduhan-pertuduhan terhadap pemohon sepertimana yang tertera di perenggan atas. Bagi pertuduhan pertama, ianya melibatkan kegagalan membuat edaran pertama 165 kertas siasatan seperti di Lampiran A dalam masa 7 hari dari tarikh report dibuat kepada Pegawai Penyelia. Ini bererti terdapat 165 tarikh kertas siasatan yang mungkin berbeza tarikh. Butiran kertas siasatan tersebut adalah di Lampiran A. Oleh kerana butiran tersebut adalah seperti di Lampiran A, mahkamah ini berpandangan adalah mustahil atau tidak munasabah tarikh untuk setiap kertas siasatan dimasukkan ke dalam pertuduhan pertama. Maka, butiran tersebut adalah di Lampiran A. [20] Bagi pertuduhan kedua, penelitian mahkamah ini mendapati bahawa terdapat tarikh tempoh di mana kesalahan dilakukan. Di sini juga, ianya melibatkan 121 kertas siasatan yang telah di senaraikan di Lampiran B. [21] Bagi pertuduhan ketiga pula, penelitian mahkamah ini mendapati ianya melibatkan tarikh antara 1.3.2017 hingga 24.12.2019 dan melibatkan kegagalan menyerahkan 286 kertas siasatan seperti di Lampiran C. Oleh itu, mahkamah ini berpuas hati bahawa isu tiada tarikh, bulan dan tahun tempoh masa serta mengelirukan dari segi kandungan tidak berbangkit. [22] Selanjutnya, peguam terpelajar bagi pihak pemohon membangkitkan bahawa Pertuduhan Pertama, Kedua dan Ketiga yang bertindih, cacat, tak sah atas fakta yang sama merujuk kepada Para 4.1 PTKPN Bahagian ‘D’ 150(A) sebagai ‘Ingkar Perintah’. [23] Dihujahkan bahawa PTKPN/IGSO di Para 4.1 PTKPN Bahagian ‘D’ 150(A) adalah circular-circular, garis panduan SOP pentadbiran prosedur dalaman yang tiada mempunyai kuasa undang-undang untuk digunapakai dalam menguatkuasakan tindakan buang kerja. Rujukan dibuat kepada kes Pendakwa Raya lwn Rosman bin Saprey dan satu lagi rayuan [2018] 4 MLJ 139. [24] Berhubung isu ini, Mahkamah ini merujuk kepada kes Government of Malaysia v Rosalind Oh Lee Pek Inn [1973] 1 MLJ 22 yang telah menyatakan: “I should add that the contract between a public servant such as the plaintiff and the government is of a very special kind, for as was stated by Ramaswami J. at page 1894 when delivering the judgment of the Indian Supreme Court in Roshan Lal v Union of India AIA [1967] SC 1889: “It is true that the origin of Government service is contractual. There is an offer and acceptance in every case. But once appointed to his post or office the Government servant acquires a status and his rights and obligations are no longer determined by consent of both parties, but by statute or statutory rules which may be framed and altered unilaterally by Government … The hall-mark of status is the attachment to a legal relationship of rights and duties imposed by the public law and not by mere agreement of the parties.”” [Emphasis added] [25] Rujukan juga dibuat kepada kes Mahkamah Persekutuan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam Hospital Besar Pulau Pinang & Anor v. Utra Badi K Perumal [2021] 2 CLJ 548 telah memutuskan bahawa “Perintah Am” telah digubal begitu cara dan adalah sejajar dengan prinsip-prinsip keadilan asasi (natural justice) dan keadilan proses (procedural fairness). Hakim Abdul Malek Ahmad memutuskan seperti berikut: “Taking all the above into considerations, we are of the view that the General Orders, in detailing the procedures therein, have sufficiently complied with article 135(2) of the Federal Constitution and, in the process, are in accord with the concept of natural justice and procedural fairness.” [26] Di bawah seksyen 97 Akta Polis 1967 [Akta 344], Ketua Polis Negara boleh mengeluarkan perintah-perintah pentadbiran, bernama “Perintah Tetap”, yang tidak berlawanan dengan Akta 344 atau dengan kaedah-kaedah atau Peraturan-Peraturan Polis yang dibuat di bawahnya, untuk kawalan dan arahan dan maklumat am pasukan dan semua badan yang ditubuhkan atau didirikan untuk menjalankan tugas-tugas polis di bawah Akta 344. Pemohon sebagai seorang anggota polis dan pegawai awam dikehendaki mematuhi PTKPN dalam menjalankan tugas-tugasnya kerana PTKPN ini adalah suatu arahan Ketua Polis Negara di bawah seksyen 97 Akta 344. [27] Tambahan pula, Peraturan 4(2) P.U.(A)395/1995 memperuntukan bahawa seseorang pegawai awam hendaklah tidak boleh ingkar arahan, tidak boleh kurang cekap atau tidak amanah serta tidak boleh tidak bertanggungjawab. Peraturan 4(2) P.U.(A)395/1995 menyebut: “(2) Seseorang pegawai tidak boleh – (a) membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadinya; (b) berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas awamnya; (c) berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa – (i) dia telah membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas awamnya sehingga menjejaskan kebergunaannya sebagai seorang pegawai awam; atau (ii) dia telah menggunakan kedudukan awamnya bagi faedahnya sendiri; (d) berkelakuan dengan sedemikian cara sehingga memburukkan nama atau mencemarkan nama perkhidmatan awam; (e) kurang cekap atau kurang berusaha; (f) tidak jujur atau tidak amanah; (g) tidak bertanggungjawab; (h) membawa atau cuba membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap perkhidmatan awam, sama ada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan mana-mana pegawai lain; (i) ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah; dan (j) cuai dalam melaksanakan tugas-tugasnya.” [28] Dalam kes ini, pemohon merupakan seorang inspektor polis yang terikat dengan segala arahan pentadbiran sebagai penjawat awam. Mahkamah ini berpandangan ini termasuklah PTKPN/IGSO. Mahkamah ini berpandangan, adalah agak mustahil untuk semua arahan merupakan atau menjadi sebahagian daripada undang-undang sebelum tindakan tatatertib boleh diambil terhadap seseorang penjawat awam. Sebagai seorang penjawat awam, pemohon adalah terikat dengan segala arahan walau pun secara pentadbiran. Kegagalan untuk penepati arahan tersebut, pada pandangan mahkamah ini, merupakan satu keingkaran yang mana tindakan tatatertib boleh diambil. Sehubungan itu, mahkamah ini berpuas hati isu ini tidak bermerit. (ii) Breach of Natural Justice [29] Untuk isu ini, pemohon berhujah bahawa telah berlaku satu breach of natural justice apabila pemohon gagal dibekalkan dengan dokumen berikut: (i) Salinan setiap Kertas Siasatan (Muka Depan) dan setiap kerta minit dalam Kertas Siasatan sebanyak 165 Kertas Siasatan seperti di Lampiran A dalam Pertuduhan Pertama; (ii) Salinan setiap Kertas Siasatan (Muka Depan) dan setiap kerta minit dalam Kertas Siasatan sebanyak 121 Kertas Siasatan seperti di lampiran B dalam Pertuduhan Kedua; dan (iii) Salinan setiap Kertas Siasatan (Muka Depan) dan setiap kertas minit dalam Kertas Siasatan sebanyak 286 Kertas Siasatan seperti di lampiran C dalam Pertuduhan Ketiga. [30] Menurut pemohon, beliau memerlukan setiap helaian kertas siasatan dan salinan setiap kertas minit dalam ketiga-tiga pertuduhan tersebut bagi tujuan untuk menyemak dan menjawab sama ada atau tidak beliau ada buat pengedaran pertama untuk menunjukkan sama ada apa-apa tindakan yang sepatutnya telah diambil atau sedang diambil dan untuk menunjukkan sama ada beliau telah minit penyerahan kepada pegawai yang ambil alih atau ketua bahagian siasatan jenayah. [31] Menurut responden, tidak berlaku perlanggaran hak semulajadi oleh responden-responden kerana pemohon telahpun dibekalkan dengan dokumen-dokumen yang ada dalam simpanan responden-responden. [32] Selanjutnya, pertuduhan-pertuduhan terhadap responden-responden adalah dirangka berdasarkan kepada buku-buku daftar dan siasatan responden-responden yang mana telah pun dibekalkan kepada pemohon. [33] Dalam kes ini, buku-buku daftar ini telah menyenaraikan nombor-nombor kertas siasatan yang dibuka dan sepatutnya dibuat edaran pertama oleh pemohon dan merekodkan segara pergerakan serta tindakan yang dilaksanakan ke atas kertas siasatan tersebut. Oleh itu, mahkamah ini berpuas hati bahawa pihak pemohon tidak memerlukan kertas siasatan dan kertas minit memandangkan pihak responden telah pun mengemukakan buku-buku daftar dan siasatan kepada pemohon. (iii) Surat pemberitahuan hukuman cacat/bertindih, tak jelas dan keliru [34] Pemohon berhujah bahawa Surat Pemberitahuan Hukuman Tatatertib juga adalah cacat di muka rekod serta keputusan sabitan dan hukuman buang kerja adalah 'tainted with illegality'. Ini adalah kerana tuduhan pertama hingga ketiga adalah tuduhan yang bertindih atas fakta yang sama dan hukuman bertindih berunsur tiga kali buang kerja adalah dengan sendirinya menjadi tidak rasional, tidak munasabah dan tidak dapat dikuatkuasakan kerana seseorang kakitangan pegawai tidak boleh dibuang kerja tiga kali atas satu jawatan yang sama. [35] Berhubung isu ini, mahkamah mendapati bahawa nombor kertas siasatan yang dinyatakan dalam pertuduhan di Lampiran A, Lampiran B dan Lampiran C telah memberikan nombor kertas siasatan. Pertuduhan pertama melibatkan gagal membuat edaran pertama 165 kertas siasatan seperti di Lampiran A dalam masa 7 hari dari tarikh report dibuat kepada Pegawai Penyelia yang mana bertentangan dengan Para. 4.1 PTKPN BHG ‘G’ 150(A) – Pengedaran Kertas-Kertas Siasatan. [36] Bagi pertuduhan kedua, mulai bulan April 2010 hingga bulan Disember 2014 didapati kurang berusaha kerana tidak mengambil apa-apa tindakan dengan sepatutnya ke atas 121 kertas siasatan seperti di Lampiran B. [37] Bagi pertuduhan ketiga, ianya melibatkan antara 1.3.2017 hingga 24.12.2019 didapati tidak bertanggungjawab kerana gagal menyerahkan 286 kertas siasatan seperti di Lampiran C kepada Pegawai Penyelia sebelum bertukar. [38] Setelah meneliti ketiga-tiga pertuduhan terhadap pemohon, mahkamah ini berpuas hati tiada wujud elemen Surat Pemberitahuan hukuman cacat/bertindih, tak jelas dan keliru. Ketiga-tiga pertuduhan terhadap pemohon membawa hukuman yang boleh dibuang kerja. Ini tidak bermaksud bahawa pemohon dibuang kerja tiga kali atas jawatan yang sama. (iv) Lembaga tatatertib adalah tidak dilantik secara sah (the whole disciplinary board was not properly constituted). [39] Pemohon berhujah bahawa lantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Tatatertib yakni (responden pertama) kompesisi yang bersidang adalah tidak dilantik secara sah (the whole Disciplinary Board was not properly constituted). [40] Menurut pemohon di affidavit sokongan Kandungan 2 beliau difahamkan dan mendapat tahu bahawa Lembaga Tatatertib yang bersidang adalah bukan dipengerusikan oleh responden pertama. Namun, tiada apa-apa selain itu yang telah dikemukakan oleh pemohon. Pemohon tidak memberikan butiran siapakah atau bilakah beliau telah mendapat tahu berhubung Lembaga Tatatertib yang bersidang. Sehubungan itu, mahkamah ini mendapati isu ini adalah frivolous kerana tiada keterangan bagi menyokong isu ini. Isu Deklarasi - Perlanggaran Perkara 8, Perkara 132 dan Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan [41] Pemohon berhujah bahawa responden-responden gagal memberi pemohon satu peluang untuk mengemukakan rayuan di bawah peruntukan 14 Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993 sebagaimana diberikan kepada lain-lain penjawat awam yang disenaraikan dan dikategorikan sebagai penjawat awam di bawah Perkara 132 dan 135(2) Perlembagaan Persekutuan. Perkhidmatan di dalam polis juga termaktub dalam senarai perkhidmatan awam. Ini dihujahkan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat tidak kesamarataan (inequality) dan diskriminasi di dalam pentadbiran yang berhubung dengan pentadbiran, profesion kerjaya atau pekerjaan pemohon. [42] Oleh yang demikian, pemohon menyatakan peruntukkan 37, 37A, 37B, 37C dan 37D adalah tidak berperlembagaan kerana setakat ketidak selarasan itu dengan peruntukkan Perkara 135(2) dan tidak sah di bawah peruntukkan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan. [43] Berhubung isu ini, Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti berikut: “Article 4: (1) This Constitution is the supreme law of the Federation and any law passed after Merdeka Day which is inconsistent with this Constitution shall, to the extent of the inconsistency, be void.” [44] Manakala Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan: “Article 8 (1) All persons are equal before the law and entitled to the equal protection of the law. (2) Except as expressly authorized by this Constitution, there shall be no discrimination against citizens on the ground only of religion, race, descent, place of birth or gender in any law or in the appointment to any office or employment under a public authority or in the administration of any law relating to the acquisition, holding or disposition of property or the establishing or carrying on of any trade, business, profession, vocation or employment” [45] Responden pula berhujah bahawa Peraturan 37, 37A, 37B, 37C dan 37D adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan kerana prosedur diikuti telah diperuntukan bawah 4(2) P.U.(A)395/1995. [46] Bagi meneliti dan mempertimbang isu kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, mahkamah ini merujuk kepada kes Public Prosecutor V Khong Teng Khen & Anor [1976] 2 MLJ 166, yang mana Mahkamah Persekutuan telah menyatakan seperti berikut: “The principle underlying Article 8 is that a law must operate alike on all persons under like circumstances, not simply that it must operate alike on all persons in any circumstance, nor that it “must be general in character and universal in application and that the State is no longer to have the power of distinguishing and classifying persons … for the purpose of legislation”, Kedar Nath v State of West Bengal AIR 1953 SC 404 406. In my opinion, the law may classify persons into children, juveniles and adults, and provide different criteria for determining their criminal liability or the mode oftrying them or punishing them if found guilty; the law may classify persons into women and men, or into wives and husbands, and provide different rights and liabilities attaching to the status of each class; the law may classify offences into different categories andprovide that some offences be triable in a Magistrate's court, others in a Sessions Court, and yet others in the High Court; the law may provide that certain offences be triable even in a military court; fiscal law may divide a town into different areas andprovide that ratepayers in one area pay a higher or lower rate than those of another area, and in the case of income tax provide that millionaires pay more tax than others; and yet in my judgment in none of these cases can the law be said to violate Article 8. All that Article 8 guarantees is that a person in one class should be treated the same as another person in the same class, so that a juvenile must be tried like another juvenile, a ratepayer in one area should pay the same rate as paid by another ratepayer inthe same area, and a millionaire the same income tax as another millionaire, and so on.” [Penekanan ditambah] [47] Berlandaskan otoriti yang telah dinyatakan, peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa seseorang dalam satu kelas orang akan dilayan dengan cara yang sama dengan seseorang dari kelas orang yang sama (that a person in one class should be treated the same as another person in the same class). [48] Dalam konteks kes ini, ini bererti pemohon hendaklah dilayan sama dengan orang-orang dari kelas yang sama dengan beliau. Pemohon hendaklah dilayan sama dengan inspektor-inspektor lain. Dalam erti kata lain pemohon dan pegawai sokongan bukanlah dari satu kelas yang sama dan oleh itu berlandaskan kes Khong Teng Khen (supra) tiada keperluan dilayan dengan cara yang sama. [49] Maka, atas alasan yang telah dinyatakan, mahkamah berpuas hati permohonan semakan kehakiman ini tidak bermerit. Kesimpulan [50] Berlandaskan alasan-alasan di atas. mahkamah dengan ini menolak permohonan semakan kehakiman pemohon tanpa perintah terhadap kos. Tarikh: 31 Januari 2023 (SHAHNAZ BINTI SULAIMAN) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam Peguamcara: Bagi Pihak Pemohon: Subramaniam a/l Govindan Nair, Nurfatin Amirah binti Mohd Shaari Tetuan Maniam Nair & Co Advocates & Solicitors No. 5 Ground Floor, Majistrate’s Square (Hadapan Mahkamah Tinggi) Jalan S2 D38, City Centre 70300 Seremban 2 Negeri Sembilan. maniamnair18@gmail.com +6 06 601 7293 Bagi Pihak Responden: FC Nur Aifaa Binti Che Abdullah Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Darul Ehsan, Tingkat 4, Podium Utara, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40512 Shah Alam, Selangor. +6 03 5544 7183