Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR RAYUAN JENAYAH NO: WA-42JSKH-2-02/2025: ANTARA MOHD AZIZULAKIM BIN DZULKIFLI …PERAYU/ TERTUDUH LAWAN PENDAKWA RAYA …PENDAKWAAN ALASAN PENGHAKIMAN A. Latarbelakang
/akn/my/judgment/high-court/2026/7e69ee37-e0a5-4780-805b-18de25b96a0b
High Court of Malaysia2 Mar 2026WA-42JSKH-2-02/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR RAYUAN JENAYAH NO: WA-42JSKH-2-02/2025: ANTARA MOHD AZIZULAKIM BIN DZULKIFLI …PERAYU/ TERTUDUH LAWAN PENDAKWA RAYA …PENDAKWAAN ALASAN PENGHAKIMAN A. Latarbelakang
1
Perayu tertuduh menghadapi pertuduhan pertama iaitu merogol di bawah seksyen 376(3) Kanun keseksaan yang dilakukan terhadap anaknya (yang di bawah umur semasa kejadian). Tertuduh juga menghadapi pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak (mangsa yang sama juga di bawah umur) satu kesalahan yang dihukum di bawah seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (“Akta”).
2
Pada tarikh sebutan ke-4, tertuduh mengaku salah dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh tangkap dan 10 sebatan bagi kesalahan rogol. Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun dan 2 sebatan bagi kesalahan amang seksual. Hukuman bagi pertuduhan kedua berjalan berasingan daripada pertuduhan pertama.
3
Pertuduhan terhadap Perayu adalah seperti berikut: Pertuduhan Pindaan Pertama: Bahawa kamu sekitar tahun 2019 sehingga tahun 2020 pada waktu malam, bertempat di dalam bilik di alamat 90-04-03, Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur, dalam Daerah Cheras, dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu ayah kandung, telah merogol seorang kanak-kanak perempuan bernama: XXX, No Kad Pengenalan: xxxx, yang berumur di antara 11 Tahun dan 12 Tahun sewaktu kejadian, yang mana hubungannya dengan kamu adalah tidak dibenarkan di bawah hukum agama untuk berkahwin dengannya. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah sesyen 376(3) Kanun Keseksaan. Hukuman: Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari 8 (lapan) tahun dan tidak lebih dari 30 (tiga puluh) tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan. Pertuduhan kedua: Bahawa kamu pada 14 Februari 2024 jam lebih kurang 11.00 pagi bertempat di dalam bilik di alamat 90-04-03, Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur, dalam Daerah Cheras, dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai sorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu ayah kandung, telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan bernama XXX, No Kad Pengenalan: XXX yang berumur 15 tahun 5 bulan semasa kejadian dengan cara menyuruh mangsa memegang kemaluan kamu bagi tujuan seksual. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Hukuman: Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang tidak melebihi dua puluh tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan.
4
Mahkamah Bicara juga mengenakan perintah tambahan seperti berikut: i. Perintah kaunseling pemulihan selama tempoh satu (1) tahun kepada tertuduh di bawah seksyen 26(1) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017; dan ii. Perintah pengawasan selama tempoh satu (1) tahun di bawah seksyen 27(1) Akta yang sama.
5
Semasa pendengaran rayuan tertuduh di hadapan Mahkamah ini, tertuduh melalui peguamnya telah menghadkan rayuan terhadap hukuman melibatkan pertuduhan ke-2 sahaja. Mahkamah ini setelah meneliti dan mendengar hujahan, telah menolak rayuan tertuduh dan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan Hakim Bicara. B. Fakta ringkas kes
6
Laporan polis P2 dan P3 menunjukkan latarbelakang kehidupan mangsa dan adik-beradiknya yang diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mangsa, ketika itu tinggal dengan ibu tirinya bersama ayahnya tertuduh, setelah tertuduh berpisah dengan ibu kandung mangsa.
7
Fakta kes yang dikemukakan sebagai Lampiran A, dibacakan dan diakui tertuduh. Ia menunjukkan bagaimana tertuduh melaksanakan perbuatan jenayahnya ke atas mangsa yang masih di bawah umur semasa kejadian (lihat: Rekod Rayuan Jilid 3 C. Alasan Mahkamah menolak rayuan
8
Mahkamah ini telah meneliti alasan penghakiman Hakim Bicara dan bersetuju bahawa dalam menjatuhkan hukuman khususnya untuk kes-kes seumpama ini di mana tertuduh telah mengkhianati kepercayaan mangsa sebagai seorang anak terhadap bapanya apabila tertuduh melakukan perbuatan ini.
9
Maka, adalah tepat untuk Hakim Bicara mengutamakan kepentingan awam berbanding keperluan tertuduh yang memohon hukuman ringan atas alasan perlu bekerja kerana menampung keluarganya dan telah insaf. Hakim Bicara juga telah merujuk kepada statistic oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan peningkatan kes rogol bagi tahun 2022 dan statistic oleh Polis DiRaja Malaysia bagi tahun 2021 bagi kesalahan rogol bawah umur yang juga meningkat.
10
Pertuduhan ke-2 Perayu adalah terhadap kejadian pada tahun
2024
Dengan pengakuan salah tertuduh terhadap pertuduhan pertama untuk kejadian yang berlaku di antara tahun 2019 hingga 2020, jelas ia membawa maksud Perayu mempunyai rekod sabitan di hadapan Mahkamah Bicara bagi tujuan menjatuhkan hukuman bagi pertuduhan ke-2.
11
Oleh itu, semestinya sabitan dan hukuman yang dijatuhkan atas pertuduhan pertama untuk tempoh kejadian yang berasingan, menjadi panduan untuk Hakim Bicara menjatuhkan hukuman bagi pertuduhan ke-2. Asasnya, Perayu tidak insaf daripada mengulangi perbuatan salahnya meskipun daripada kedua-dua pertuduhan tersebut, seolah-olah menggambarkan terdapat sengkang masa kejadian akhir pada tahun 2020, sebelum kesalahan amang seksual berlaku pada Februari 2024.
12
Mahkamah ini melihat laporan perubatan doctor menunjukkan “old hymen tear at 3, 5, 7 and 9 o’clock” pada kemaluan mangsa. Melihat kepada fakta kes bersabit kesalahan amang seksual dalam pertuduhan kedua, Mahkamah ini berpendapat tindakan mangsa yang melawan cubaan tertuduh untuk menyuruh mangsa berbaring selepas mangsa dipaksa memegang kemaluan tertuduh telah menafikan peluang tertuduh melakukan kesalahan yang sama seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
13
Oleh itu, meskipun pertuduhan kedua bukan satu pertuduhan cubaan merogol, tetapi perbuatan amang seksual ini adalah satu tindakan langkah permulaan yang diambil tertuduh ke arah kesalahan seksual yang lebih serius. Ini adalah satu kesimpulan yang munasabah yang boleh dibuat oleh Mahkamah ini apabila fakta menunjukkan mangsa disuruh tertuduh untuk berbaring. D. Hukuman tambahan atau ditingkatkan di bawah seksyen 16 Akta
14
Dalam membincangkan hukuman yang sesuai, seksyen 16 Akta memperuntukkan hukuman yang boleh ditambah atau ditingkatkan “enhancement of sentence”. Ia menetapkan suatu hukuman yang boleh mencapai maksima 5 tahun dan tidak kurang dari 2 sebatan apabila tertuduh adalah seorang yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa. Di dalam kes di hadapan Mahkamah, tertuduh adalah bapa kandung mangsa.
15
Seksyen 16 memperuntukkan: Seksyen 16. Orang yang mempunyai hubungan amanah
Subsection
(1) Jika seseorang yang melakukan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual terhadap seseorang kanak-kanak, mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu, orang itu hendaklah, sebagai tambahan kepada hukuman yang dia boleh dikenakan bagi kesalahan itu, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada dua sebatan.
Subsection
(2) Dalam seksyen ini, seseorang dikatakan mempunyai hubungan amanah dengan seseorang kanak-kanak jika kanak-kanak itu berada di bawah pemeliharaan, pengawasan atau kuasanya, termasuk tetapi tidak terhad kepada—
a
(a) ibu atau bapa, penjaga atau seseorang yang mempunyai hubungan persaudaraan melalui pertalian darah seibu sebapa atau pertalian darah seibu atau sebapa, atau melalui perkahwinan atau pengangkatan, termasuk pengangkatan de facto;
b
(b) …;
c
(c) …;
d
(d) …;
e
(e) …; dan
f
(f) ….”
16
Tertuduh telah dijatuhkan hukuman 6 tahun penjara dan 2 sebatan. Alasan penghakiman Hakim Bicara tidak ada menyentuh seksyen 16 ini. Pertuduhan ke-2 juga tidak ada merujuk kepada hukuman tambahan “enhanced sentence” di bawah seksyen 16 Akta. Oleh itu, Mahkamah berpendapat dengan ketiadaan rujukan kepada seksyen 16 ini di dalam pertuduhan oleh pihak pendakwaan, maka Mahkamah tidak wajar meremedikan ketinggalan ini di peringkat rayuan kerana ia akan memprejudiskan Perayu tertuduh.
17
Mahkamah juga berpendapat prejudis ke atas tertuduh akan berlaku jika hukuman tambahan di bawah seksyen 16 ini dilaksanakan oleh Mahkamah ini kerana ini adalah suatu kes di mana tertuduh mengaku salah. Mahkamah juga mengambil kira tiada rayuan difailkan oleh pihak pendakwaan di atas perintah hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara bagi kesalahan dihukum di bawah seksyen 14(b) ini.
18
Maka jelas, pihak Pendakwaan di peringkat rayuan meskipun ada membangkitkan hujahan bersabit seksyen 16 ini di dalam hujahan bertulisnya di hadapan Mahkamah ini, namun ketinggalan membuat rujukan kepada hukuman tambahan di bawah seksyen 16 di dalam pertuduhan tidak membolehkan ia diremedikan melalui pemakaian seksyen 422 Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”).
19
Pemakaian seksyen 422 KTJ adalah terhad dengan syarat tiada prejudis ke atas tertuduh. Ia memperuntukkan seperti berikut: “Section 422. Irregularities not to vitiate proceedings. Subject to the provisions contained in this Chapter no finding, sentence or order passed or made by a Court of competent jurisdiction shall be reversed or altered on account of -
a
(a) any error, omission or irregularity in the complaint, sanction, consent, summons, warrant, charge, judgment or other proceedings before or during trial or in any inquiry or other proceeding under this Code;
b
(b) the want of any sanction; or
c
(c) the improper admission or rejection of any evidence, unless such error, omission, irregularity, want, or improper admission or rejection of evidence has occasioned a failure of justice”.
20
Mahkamah dalam mencapai keputusan ini, berpendapat fakta kes di hadapan Mahkamah ini berbeza dengan kes Public Prosecutor v Sigol bin Singki [2022] 7 MLJ 1 yang juga menyaksikan ketinggalan oleh Hakim Bicara menjatuhkan hukuman di bawah seksyen 16 Akta. Walau bagaimanapun, di dalam kes Sigol Singki ini, pertuduhan jelas membuat rujukan kepada seksyen 14(a) dibaca bersama seksyen 16 Akta.
21
Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan, telah mengenakan hukuman penjara tambahan 2 tahun di bawah seksyen 16, atas kekhilafan Hakim Bicara yang hanya menjatuhkan hukuman 6 tahun penjara di bawah seksyen 14(a). Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan berpendapat alasan penghakiman tidak mencerminkan dengan jelas jika hukuman tambahan dijatuhkan oleh Hakim Bicara meskipun rujukan kepada seksyen 16 ini ada dinyatakan dengan jelas di dalam kertas pertuduhan.
22
Atas keseluruhan alasan ini, Mahkamah ini berpendapat meskipun ada kekhilafan di pihak Hakim Bicara yang membawa kepada ketinggalan meningkatkan hukuman, namun kekhilafan ini berlaku yang membawa kesan merugikan atau memudaratkan pihak pendakwaan. Mahkamah juga tidak menggunapakai seksyen 422 untuk memberi manfaat kepada pihak pendakwaan.
23
Mahkamah telah mengekalkan tempoh hukuman penjara 6 tahun dan 2 sebatan yang diperintahkan ke atas tertuduh bagi kesalahan yang dihukum di bawah seksyen 14(b). Atas pertuduhan yang jelas menunjukkan kejadian berlaku pada tarikh yang berlainan, Mahkamah ini berpendapat hukuman sebagaimana perintah Hakim Bicara adalah munasabah mengambil kira prinsip penghukuman “retribution, deterrence” dan dikekalkan.
24
Tiada apa-apa prejudis ke atas tertuduh kerana tidak berlakunya apa-apa pertambahan kepada hukuman. Sebaliknya, Mahkamah ini menetapkan hukuman yang sama. Hukuman ini adalah munasabah dan memadai mengambil kira kepentingan awam.
25
Jikapun atas pengakuan salah tertuduh, diskaun 1/3 diberikan menurut kes Mohamad Abdullah Ang Swee Kang v PP [1988] 1 MLJ 167, ia akan membawa kepada hukuman 6 tahun, sebagaimana yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara. Ini selari dengan tren penghukuman oleh Mahkamah (lihat antaranya: PP v Sigol bin Singki [2022] 7 MLJ 1, Md Jahangir v PP [2020] 10MLJ 210)
26
Atas keseluruhan alasan ini, Mahkamah menolak rayuan Perayu dan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara iaitu 6 tahun penjara dan 2 sebatan. Bertarikh 2hb Mac 2026 -t.t.- (NURULHUDA NUR’AINI BINTI MOHAMAD NOR) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR Timbalan Pendakwa Raya : En. Joshua Tee Pejabat Pendakwaan WPKL Peguam Tertuduh Perayu : En. Ameerul Aizat Bin Noor Haslan d/a Pengarah Penjara Kajang
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.