Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (2) KOTA BHARU, KELANTAN DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM KES TANGKAP NO: DA-83D-2940-11/2021 ANTARA
DA-82D-18-07/2021
Magistrates Court of Malaysia25 Sept 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal [27] Dalam pada itu jua, Mahkamah ambil maklum mengenai keputusan kes PP V Mohd Safwan Bin Husain [2017] CLJ 685 yang ada menyatakan bahawa kegagalan untuk mematuhi kehendak seksyen 31A ADB 1952 tidaklah membuatkan apa j”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (2) KOTA BHARU, KELANTAN DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM KES TANGKAP NO: DA-83D-2940-11/2021 ANTARA
1
Ini merupakan alasan penghakiman berikutan rayuan yang difailkan oleh Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah yang memerintahkan supaya Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan di akhir pendakwaan tanpa dipanggil membela diri bagi pertuduhan kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 15(1) Akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 38B Akta yang sama.
2
Tertuduh, seorang penjawat awam iaitu anggota polis Batalion 8 PGA Pengkala Chepa telah dituduh dengan pertuduhan di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seusai penutupan kes peringkat pendakwaan, Mahkamah dapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. Justeru, Mahkamah perintahkan supaya Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan di akhir pendakwaan tanpa dipanggil membela diri.
3
Terkilan dengan keputusan tersebut, Pendakwa Raya telah tidak berpuashati terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan Tertuduh tersebut, justeru telah memfailkan rayuan.
4
Berikut diperturunkan pertuduhan sebagaimana yang dikenakan ke atas Tertuduh: PERTUDUHAN DAN HUKUMAN PERTUDUHAN Bahawa kamu pada 24/7/2018, jam lebih kurang 1215 Hrs bertempat di lobi pejabat pentadbiran BN8 PGA Pengkalan Chepa, dalam daerah Kota Bharu di dalam negeri Kelantan, telah memberikan kepada kamu sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine, Methamphetamine. Oleh yang demikian, kamu melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 15(1) Akta yang sama dan dibacakan bersama seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 HUKUMAN SEKSYEN 15(1) ADB 1952 Hendaklah didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada 2 tahun. SEKSYEN 38B ADB 1952 Siapa yang didapati bersalah di bawah seksyen 15, hendaklah menjalani pengawasan oleh pegawai tidak kurang dari 2 tahun dan tidak lebih dari 3 tahun sebagaimana perintah.
5
Fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah sepertimana berikut:
5
5.1 Pada 24/07/2018, SP3 bersama sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah jalankan pemeriksaan ke atas pegawai dan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu seramai 103 orang anggota dan pegawai.
5
5.2 Kemudian, pada jam lebih kurang 12:15 hrs, bertempat di Pejabat Pentadbiran Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Kelantan, SP3 telah menjalankan pemeriksaan air kencing ke atas Tertuduh.
5
5.3 SP3 telah mengarahkan SP7 untuk mengiringi Tertuduh ke tandas di Pejabat Pentadbiran Batalion 8 PGA tersebut bagi proses pengambilan sampel urin milik Tertuduh menggunakan botol yang telah dibekal oleh PDRM dan dipilih sendiri oleh Tertuduh iaitu botol dengan No. Siri 1349960 (P7). SP3 dalam keterangannya mengatakan botol urin tersebut berada di dalam plastik berlogo PDRM (P13) yang masih belum dibuka dan berisi kosong.
5
5.4 SP7 kemudiannya telah mengiringi Tertuduh ke tandas sebagaimana gambar P18 A-C untuk pengambilan air kencing. Di pintu tandas tersebut, SP7 telah arahkan Tertuduh untuk mengoyak plastik botol urin, Tertuduh lipat plastik tersebut dan memasukkan ke dalam poket seluar Tertuduh sendiri. Seterusnya, setelah tiba di dalam tandas, iaitu di mangkuk tandas tersebut, SP7 telah nampak dengan jelas Tertuduh memasukkan kemaluannya ke dalam botol dan Tertuduh memberi sampel air kencing miliknya ke dalam botol urin yang sama. Setelah itu, SP7 arahkan Tertuduh untuk menutup botol urin itu dan botol tersebut dipegang oleh Tertuduh sendiri sehingga Tertuduh tiba di meja pemeriksaan sambil diiringi oleh
5
5.5 Di meja pemeriksaan urin sebagaimana gambar P8 C&D, SP3 telah mengarahkan SP6 untuk mencelup test trip Amphetamine, Methamphetamine, Benzo, THC dan Opiate yang dibekalkan oleh PDRM ke dalam botol urin milik Tertuduh. Hasil pemeriksaan saringan awal tersebut mendapati test trip Methamphetamine (P15) dan Amphetamine (P17) menunjukkan keputusan positif iaitu tertera satu garisan pada test trip tersebut.
5
5.6 SP3 kemudiannya telah membaca keputusan tersebut dengan disaksikan oleh Tertuduh dan SP7. Selepas itu, SP3 menjalankan proses sealed botol, pelabelan botol, mengisi borang Ujian Pengesanan Dadah atau UPD (P2) dan menyediakan borang serah/terima barang kes (P11) dengan disaksikan oleh Tertuduh sendiri.
5
5.7 Pada 24/07/2018, jam lebih kurang 2:50 petang, SP3 telah serahkan Tertuduh bersama-sama barang kes kepada Pegawai Penyiasat kes iaitu SP4 bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Bharu. Proses serah/terima barang kes tersebut telah direkodkan di dalam P11. Manakala, satu laporan polis berkait tangkapan Tertuduh iaitu eksibit P7 telah disediakan oleh SP3.
5
5.8 Setelah itu, SP4 telah daftar kesemua barang kes di stor IPD dan telah memasukkan barang-barang kes ke dalam (1) sampul surat bertanda “ES” (P3). Semasa menerima botol urin P5, SP4 mendapati botol dalam keadaan bertutup rapat dan berseal biru PDRM 786 di bahagian atas. Botol tersebut turut mengandungi sampel air kencing melebihi para (2) line iaitu melebihi 30ml. Barang kes kemudian disimpan di pejabat milik SP4 yang mana kunci hanya dapat diakses oleh SP4 seorang diri sahaja.
5
5.9 Pada 25/07/2018 jam lebih kurang 9:00 pagi SP4 telah menyerahkan P5 kepada SP5 untuk dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tujuan analisa spesimen air kencing milik Tertuduh. Eksibit P5 diterima dalam keadaan baik dan diseal dengan seal PDRM 786 pada bahagian atas botol.
5
5.10 Spesimen air kencing milik Tertuduh tersebut kemudiannya diserahkan kepada SP1 pada 25/07/2018 jam lebih kurang 11:15 pagi. SP1 dalam keterangannya menyatakan telah memeriksa keadaan botol itu dan mendapati seal botol dalam keadaan baik dan bermeterai PDRM merah 786. Botol itu juga mempunyai nombor siri 1349960 serta maklumat yang lengkap dan bertandatangan. SP1 turut mendapati isipadu sampel urin milik Tertuduh itu mencukupi untuk dibuat analisis. Setelah berpuas hati dengan keadaan botol itu, SP1 telah menurunkan tandatangannya berserta cop jawatan rasmi selaku penerima spesimen di eksibit P2
5
5.11 SP1 kemudiannya menyerahkan P5 berserta P2 kepada Pegawai Sains Kimia Hayat iaitu SP2 untuk tindakan analisis sampel urin selanjutnya.
5
5.12 Setelah memastikan maklumat-maklumat pada botol adalah tepat dan isipadu yang mencukupi, SP2 telah membuat tandaan nombor barcode D0244819 pada P2 dan P5. SP2 memecahkan seal botol dan mengambil 1 ml untuk dimasukkan ke dalam mesin saringan Chemistry Analyzer untuk proses saringan. Keputusan dikeluarkan secara automatik iaitu positif dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS). Keputusan saringan adalah tidak spesifik dan memerlukan ujian pengesahan selanjutnya.
5
5.13 Ujian pengesahan dimulakan dengan proses ekstraksi dijalankan sebelum sampel tersebut dimasukkan ke dalam mesin Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS). Sampel disuntik ke dalam mesin dan bergerak melalui kolum sebelum dicas menjadi ion. Campuran dadah dipisahkan kepada komponen dadah berasingan berdasarkan masa dan sifat ionnya. Keputusan dikeluarkan adalah menunjukkan sampel urin tersebut mengandungi Amphetamine dan Methamphetamine. Setelah keputusan diperolehi, satu laporan patologi dikeluarkan pada tarikh 10/09/2018 bernombor barcode D0244819 (P6). ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH DI PERINGKAT KES PENDAKWAAN [6] Untuk mewujudkan kes prima facie sebagaimana pertuduhan di mana Tertuduh telah memasukkan ke dalam tubuh badannya dadah berbahaya, elemen-elemen yang perlu diperhalusi oleh Mahkamah adalah seperti berikut : i. Air kencing yang diuji adalah milik Tertuduh; ii. Air kencing Tertuduh adalah positif mengandungi dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine sebagaimana Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952; iii. Tertuduh memberikan dadah berbahaya kepada diri sendiri.
i
Elemen pertama iaitu air kencing yang diuji adalah milik Tertuduh [7] Menyelusuri keterangan saksi-saksi pendakwaan, melalui rantaian keterangan yang terjaga dan tidak putus mengenai pengendalian barang kes sewaktu prosedur pengambilan sampel air kencing Tertuduh dijalankan, Mahkamah dapati bahawa tiada wujudnya kelompangan yang material terhadap elemen ini. [8] Mahkamah membuat dapatan bahawa, oleh kerana rantaian keterangan mengenai pengendalian botol urin yang mengandungi air kencing Tertuduh adalah terjaga dan tidak putus, maka air kencing yang dihantar untuk dianalisa dan air kencing yang telah pun dianalisa adalah jelas milik Tertuduh sendiri, justeru elemen pertama ini berjaya dibuktikan secara tuntas.
II
(ii) Elemen kedua iaitu air kencing Tertuduh adalah positif mengandungi dadah berbahaya jenis Amphetamine & Methamphetamine sebagaimana Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952; [9] Bagi membuktikan elemen kedua ini, selain air kencing yang diuji adalah jelas pada hemat Mahkamah merupakan air kencing milik Tertuduh, sebarang kandungan yang dikesan di dalam air kencing Tertuduh yang diuji tersebut haruslah dibuktikan wujudnya dadah berbahaya sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Bahagian III dan IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. Perkara ini adalah sebagaimana kehendak Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu sendiri yang jelas menyatakan: Section 15. Self administration.
1
Any person who—
a
consumes, administers to himself or suffers any other person, contrary to section 14 to administer to him any dangerous drug specified in Parts III and IV of the First Schedule; or shall be guilty of an offence against this Act and shall be liable on conviction to a fine not exceeding five thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding two years.
2
For the purpose of this section, “consumes” includes eat, chew, smoke, swallow, drink, inhale or introduce into the body in any manner or by any means whatsoever. [10] Andai tidak wujudnya kehadiran dadah berbahaya sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Bahagian III dan IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 di dalam air kencing Tertuduh, sudah pasti kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta tersebut tidak dapat dibuktikan terhadap Tertuduh. [11] Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP2 selaku saksi pakar, sampel air kencing Tertuduh yang telah dihantar ke Jabatan Patologi, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dianalisa oleh SP2 telah mengesahkan bahawa ianya mengandungi Amphetamine dan Methamphetamine. Perkara ini adalah jelas melalui laporan P6 yang dikeluarkan oleh SP2. [12] Walaubagaimanapun, adalah jelas juga melalui laporan P6, tidak ada dinyatakan sebarang indikasi ataupun dapatan bahawa Amphetamine dan Methamphetamine yang dikesan tersebut adalah merujuk kepada jenis dadah berbahaya yang diperuntukkan di dalam Bahagian III atau IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. Malah lebih parah lagi, sepanjang perbicaraan dijalankan, tiada sebarang keterangan bagi mengesahkan perkara yang sama melalui keterangan lisan ataupun keterangan dokumentari yang lain. [13] Selain SP2 selaku saksi pakar, tidak menyatakan di dalam laporan P6 bahawa Amphetamine dan Methamphetamine yang dikesan tersebut adalah dadah berbahaya di dalam Bahagian III atau IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952, di dalam PSP2 yang digunapakai sebagai pemeriksaan utama SP2 juga tidak pernah dinyatakan perkara yang sama. [14] Dapatan Mahkamah adalah, tinggalan untuk menyatakan Amphetamine dan Methamphetamine yang dikesan tersebut sebagai dadah berbahaya seperti di dalam Bahagian III dan IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang keterangan kes pendakwaan dikemukakan telah meragukan dan menjejaskan kes pendakwaan kerana Amphetamine dan Methamphetamine juga turut tersenarai di dalam Akta Racun 1952 . Perkara ini adalah sama sepertimana diputuskan di dalam kes Kamarul Farkaruddin Mohamed v PP [2013] 7 CLJ 636 yang menyatakan: “[30] Sekarang mengenai alasan di (c). Hujahan peguambela terpelajar bahawa P12 tidak boleh diterima oleh kerana ianya tidak memadai, tidak tepat, tidak cukup dan meragukan sebagai bukti dadah yang diperakukan oleh pegawai sains tersebut sebagai dadah berbahaya di bawah ADB. Tidak dibuktikan dengan tanpa sebarang keraguan yang munasabah bahawa perayu telah memasukkan dadah ke dalam badannya sendiri dadah berbahaya yang tersenarai di bawah Part III dan Part IV kepada Jadual Pertama di bawah ADB yang merupakan satu elemen utama dalam pertuduhan. Peguambela berhujah P12 hanya menyatakan “Keputusan Ujian: ADA mengandungi AMPHETAMINE dan ADA mengandungi METHAMPHETAMINE” tetapi tidak menyatakan amphetamine dan methamphetamine tersebut adalah dadah berbahaya tersenarai dalam Part III dan Part IV Jadual Pertama ADB. Dihujahkan keraguan timbul oleh kerana amphetamine dan methamphetamine turut tersenarai di bawah Akta Racun 1952 Akta
366
Peguambela merujuk mahkamah ini kepada keputusan dalam kes-kes Loo Keck Leong v. PP [1992] 3 CLJ 1332; [1992] 1 CLJ (Rep) 195; [1992] 2 MLJ 177; Shukri Mohamad v. PP [1995] 3 CLJ 799; [1995] 3 MLJ 229 dan Ho Kiat Swee v. Rex [1946] 1 LNS 6; [1947] 13 MLJ 159 untuk menyokong hujahan beliau atas isu ini. [31] Walaupun tiga kes yang dirujuk oleh peguambela melibatkan fakta yang agak berbeza namun prinsip yang sama terpakai dalam kes terhadap perayu dalam kes ini. Prinsip yang diputuskan dalam kes-kes tersebut adalah bahawa ahli kimia hendaklah menyatakan dengan tepat bahan dadah berbahaya tersebut seperti diperuntukkan di bawah undang-undang. Dalam kes terhadap perayu, keraguan timbul apabila P12 gagal menyatakan amphetamine dan methamphetamine sebagai dadah berbahaya seperti disenaraikan di bawah ADB. Munafaat keraguan hendaklah sentiasa diberikan kepada seseorang tertuduh, perayu dalam dalam kes ini. [32] Atas alasan-alasan yang dihuraikan di atas, saya mendapati terdapat merit dalam rayuan perayu terhadap sabitan berkaitan dengan alasan di (b) dan (c). Sabitan terhadap perayu oleh Tuan Majistret adalah tidak selamat dan wajar diketepikan. Oleh itu rayuan perayu dibenarkan.” [15] Atas alasan tersebut, Mahkamah dapati adalah tidak jelas sama ada air kencing Tertuduh mengandungi dadah berbahaya iaitu Amphetamine dan Methamphetamine sebagaimana Bahagian III dan IV
Schedule
Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 atau tidak yang membuktikan Tertuduh telah melanggari peruntukan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atau tidak. [16] Pihak pendakwaan bukan setakat gagal untuk mengemukakan keterangan tersebut melalui SP2, bahkan SP6 yang menjalankan siasatan setelah dicabar oleh pihak pembelaan juga setuju tidak menyemak sebaiknya keputusan laporan P6 tersebut, sekaligus gagal untuk menentusahkan dapatan SP2 tersebut setelah menerima laporan P6 sama ada Amphetamine dan Methamphetamine yang dikesan adalah merujuk kepada kandungan kimia di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 ataupun Akta Racun 1952. [17] Mengguna pakai prinsip bahawa manfaat keraguan hendaklah sentiasa diberikan kepada seseorang Tertuduh, elemen ini adalah jelas telah gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan kerana telah timbul keraguan terhadap identiti kandungan yang dikesan dalam air kencing Tertuduh tersebut sama ada ianya tergolong di dalam Bahagian III dan IV
Schedule
Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 ataupun tidak. (iii) Elemen ketiga iaitu Tertuduh memberi dadah kepada diri sendiri [18] Bagi pembuktian elemen ini pula, dalam ketiadaan fakta secara terus bahawa Tertuduh dilihat memasukkan atau menggunakan atau memberi kepada dirinya sendiri dadah berbahaya, suatu anggapan boleh diguna pakai sebagaimana hujahan ataupun naratif kes pihak pendakwaan di bawah Seksyen 37(k) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan seperti berikut: Seksyen 37. Anggapan. “Dalam semua prosiding di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya- (k) jika seseorang dituduh melakukan suatu kesalahan mengguna dadah berbahaya atau memberi kepada dirinya sendiri atau menyiksa mana-mana orang lain untuk memberi dadah berbahaya kepada dirinya, dan mana-mana dadah berbahaya yang dikesan dalam air kencing orang yang dituduh sebagai keputusan ujian air kencing yang dijalankan di bawah Seksyen 31A, orang tersebut hendaklah dianggapkan, sehingga dibuktikan sebaliknya, ada mengguna dadah atau ada memberi dadah kepada dirinya sendiri atau ada menyiksa mana-mana orang untuk memberi dadah kepada dirinya yang bertentangan dengan Akta ini atau peraturan-peraturannya.” [19] Berdasarkan peruntukan undang-undang di atas, apabila satu dadah berbahaya telah dikesan dalam air kencing Tertuduh, dia boleh dianggap telah memberi dadah kepada dirinya sendiri. Namun begitu, pengesanan dadah berbahaya dalam air kencing Tertuduh hendaklah dilakukan melalui ujian air kencing yang dijalankan di bawah Seksyen 31A ADB. [20] Seksyen 31A Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan: “Seksyen 31A. Pemeriksaan oleh seorang pegawai perubatan ke atas orang yang ditangkap. (1) Apabila seseorang itu ditangkap di atas tuduhan melakukan sesuatu kesalahan terhadap Akta ini- (a) yang mempunyai sesuatu sifat; atau (b) yang dikatakan telah dilakukan di bawah sesuatu hal keadaan, yang boleh memberi alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa sesuatu pemeriksaan ke atas orang tersebut akan dapat memberikan bukti tentang berlakunya suatu kesalahan terhadap Akta ini, adalah menjadi sah di sisi udang-undang bagi seorang pegawai perubatan bertindak dengan permintaan mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan, atau mana-mana pegawai lain yang menjadi ketua di suatu balai polis, atau mana-mana pegawai kastam, dan untuk mana-mana orang yang bertindak dalam membantu pegawai perubatan dan di bawah arahannya, untuk membuat suatu pemeriksaan atau pemeriksaan-pemeriksaan terhadap orang yang ditangkap yang dengan munasabahnya perlu bagi memutuskan kenyataan-kenyataan yang dapat memberikan bukti itu, dan untuk menggunakan atau menyebabkan untuk digunakan peraturan tersebut seperti yang dengan munasabahnya perlu untuk tujuan itu. (1A) Bagi maksud pemeliharaan keterangan, adalah menjadi sah di sisi undang-undang bagi seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan atau seorang pegawai kastam untuk menghendaki orang yang ditangkap untuk memberi contoh air kencingnya untuk tujuan pemeriksaan di bawah subseksyen (1) jika pegawai perubatan atau manamana orang yang membantu dalam perubatan atau yang di atas arahan pegawai perubatan tidak dapat melaksanakan tugas untuk memperoleh contoh air kencing itu pada masa yang munasabah. (1AA) Apa-apa sampel biologi yang diambil bagi maksud suatu pemeriksaan di bawah Seksyen ini boleh dianalisa oleh seorang Pegawai Sains yang diambil kerja oleh Kerajaan. (1B) … (2) Bagi maksud seksyen ini “pegawai perubatan” termasuklah setiap orang yang diambil bekerja oleh Kerajaan atau suatu badan berkuasa yang ditetapkan oleh undang-undang sebagai seorang pegawai perubatan atau sebagai ahli kimia. [21] Bagi membolehkan anggapan di bawah Seksyen 37(k) ADB 1952 digunapakai, Mahkamah haruslah berpuas hati bahawa ujian yang dijalankan terhadap air kencing Tertuduh mematuhi peruntukan Seksyen 31A ADB 1952. Dapatan Mahkamah bahawa Seksyen 31A ADB ini adalah tidak dipatuhi di dalam kes ini berdasarkan keterangan berikut: a. Tertuduh semasa menjalani ujian air kencing merupakan bukan “orang yang ditangkap” sebagaimana kehendak Akta. [22] Sebagaimana bacaan di dalam seksyen 31A(1) dan (1A) ADB 1952, sesuatu pemeriksaan atau permintaan analisa sampel urin seseorang adalah menjadi sah di sisi undang-undang apabila seseorang itu telah terlebih dahulu ditangkap atas tuduhan melakukan kesalahan terhadap Akta Dadah Berbahaya 1952 sama ada yang mempunyai sifat atau yang dikatakan (alleged) telah dilakukan di bawah sesuatu hal keadaan. Sekiranya seseorang itu ketika diminta memberikan sampel urin bagi tujuan pemeriksaan atau analisa bukanlah ditangkap, maka adalah jelas bahawa permintaan atau analisa yang dilakukan adalah sekaligus tidak sah. Lantas, menjadikan seksyen 31A tidak dipatuhi dan anggapan seksyen 37(k) Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak dapat berdiri serta diguna pakai sebagai keterangan. [23] Dalam kes semasa, Mahkamah dapati tiada langsung keterangan yang jelas bahawa Tertuduh telah ditangkap sebelum saringan urin beliau dilakukan. Apatah lagi, tiada juga keterangan jelas bahawa Tertuduh telah ditangkap sebagaimana pengertian seksyen 31A(1)(a) atau (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 iatu ditangkap akibat suatu kesalahan ataupun disyaki melakukan kesalahan yang melanggari Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum pemeriksaan atau saringan air kencing beliau dilakukan. [24] Keterangan SP2 yang terlibat mengendalikan proses saringan urin Tertuduh ketika hari kejadian, jelas menyatakan bahawa Tertuduh tidak ditangkap tetapi hanya ditahan untuk pemeriksaan semata-mata. Laporan polis P12 oleh SP2 pula hanya menyatakan Tertuduh bersama 102 orang lagi anggota dan pegawai PGA Batalion 8 ditahan untuk ujian saringan awal urin secara rambang. Hanya selepas itu, melalui laporan polis P7, barulah tangkapan ke atas Tertuduh dibuat setelah hasil saringan awal urin Tertuduh didapati positif Methamphetamine & Amphetamine. [25] Mahkamah dapati tiada sebarang keterangan dikemukakan sama ada pemeriksaan ataupun penahanan Tertuduh sebelum sampel urinnya diberikan, adalah disebabkan Tertuduh sejak awal telah melakukan kesalahan atau disyaki (alleged) melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Pemeriksaan secara rambang oleh SP2 terhadap kesemua anggota dan pegawai PGA termasuklah Tertuduh ketika hari kejadian juga tidak dikaitkan sama sekali sama ada pemeriksaan tersebut dibuat atas dasar penglibatan mereka dengan sebarang maklumat dadah, operasi atau serbuan kes dadah atau apa-apa asas yang berkaitan dengan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menjustifikasikan bahawa penahanan atau pemeriksaan dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 31A(1) dan (1A) Akta Dadah Berbahaya 1952. Keterangan mengenai wujudnya tangkapan hanyalah mula timbul selepas Tertuduh memberikan sampel urinnya dan disyaki positif dadah selepas urinnya dicelup. [26] Justeru, Seksyen 31A Akta Dadah Berbahaya 1952 yang berkehendakkan supaya Tertuduh ditangkap terlebih dahulu dan tangkapan itu adalah akibat suatu kesalahan ataupun disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum sampel urin diberikan adalah tidak dipatuhi, sekaligus menjadikan anggapan di bawah seksyen 37(k) ADB 1952 tidak boleh diterima pakai sebagai asas keterangan pendakwaan terhadap Tertuduh di bawah kesalahan seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Apabila anggapan seksyen 37(k) Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak dapat diterima pakai, tiada bukti bahawa Tertuduh telah memberikan dadah berbahaya ke dalam tubuh badannya sendiri sebagaimana pertuduhan. [27] Dalam pada itu jua, Mahkamah ambil maklum mengenai keputusan kes PP V Mohd Safwan Bin Husain [2017] CLJ 685 yang ada menyatakan bahawa kegagalan untuk mematuhi kehendak seksyen 31A ADB 1952 tidaklah membuatkan apa jua bukti yang diperoleh hasil daripada pemeriksaan dilakukan akan menjadi tidak boleh diterima sebagai keterangan (inadmissible). Walaubagaimanapun, dapatan tersebut adalah kupasan mengenai isu sama ada Akta berkehendakkan supaya pihak polis membuktikan telah mengambil langkah-langkah bagi mendapatkan pegawai perubatan untuk pemeriksaan dan pihak polis telah dimaklumkan akan ketidakbolehan pegawai perubatan menjalankan pemeriksaan tersebut. Dapatan tersebut tidak sama sekali menyentuh mengenai isu “orang yang ditangkap” yang sememangnya merupakan suatu kehendak Akta sebagaimana dizahirkan dalam seksyen 31A(1) dan (1A) Akta Dadah Berbahaya 1952. [28] Bahkan, lebih menarik apabila turut dikupas lanjut di dalam kes di atas juga sebagaimana berikut: “Sepertimana yang dinyatakan di atas berkenaan dengan objektif s. 31A, seksyen ini memberikan keabsahan undang-undang (lawfulness) ke atas tindakan yang dilakukan oleh pegawai pegawai atau orang yang disenaraikan dalam mengambil sampel dan membuat pemeriksaan ke atas orang yang ditangkap. Pada pandangan kami itulah dasar utama peruntukan s. 31A ini.” [29] Kes di atas juga menyatakan bahawa objektif seksyen 31A ADB 1952 ini adalah untuk memberikan keabsahan undang-undang (lawfulness) ke atas setiap tindakan pegawai yang disenaraikan termasuklah pihak polis dalam mengambil sampel dan membuat pemeriksaan ke atas orang yang ditangkap. Maka, dalam apa jua keadaan, sesuatu tangkapan haruslah berlaku terlebih dahulu sebelum pemeriksaan urin sama ada oleh pegawai perubatan, pihak polis ataupun pihak-pihak yang disenaraikan oleh undang-undang boleh dilaksanakan secara sah. [30] Tambahan pula, menyelusuri bacaan seksyen 31A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 tersebut, tangkapan yang dilakukan terhadap seseorang itu juga hendaklah tangkapan akibat suatu kesalahan yang dibuat ataupun disyaki melanggari Akta Dadah Berbahaya 1952. Kehendak ini, Mahkamah percaya adalah penting bagi memastikan pemeliharaan keterangan kekal terpelihara kerana sesuatu hasil keputusan saringan yang dibuat adalah akibat daripada sememangnya wujud ataupun timbul syaknya kaitan seseorang Tertuduh itu dengan aktiviti dadah berbahaya. Selain itu, kehendak sebegitu juga adalah bagi memastikan tiadanya ruang manipulasi ataupun ‘planted evidence’ dari pihak tertentu terhadap mana-mana individu serta target dalam kes-kes sebegini sekiranya seseorang itu diperbolehkan memberikan sampel urinnya secara rawak walaupun tidak ditangkap akibat kesalahan ataupun disyaki terlibat dengan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952. Pada pandangan Mahkamah, itulah juga dasar utama peruntukan s. 31A(1) dan (1A) Akta Dadah Berbahaya 1952 ini. [31] Berdasarkan kepada dapatan dan analisa di atas, Mahkamah berpandangan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa seksyen 31A ADB 1952 dipatuhi kerana Tertuduh bukanlah orang yang ditangkap sebagaimana kehendak dan pengertian Akta. [32] Oleh kerana Mahkamah tidak berpuas hati bahawa proses pengambilan air kencing adalah selaras dengan Seksyen 31A ADB 1952, maka mahkamah tidak boleh menggunapakai anggapan di bawah Subseksyen 37(k) ADB, justeru memutuskan bahawa Tertuduh tidak boleh dianggap telah memasukkan dadah berbahaya ke dalam dirinya sehinggalah dibuktikan sebaliknya. KESIMPULAN [33] Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang ada di Mahkamah, Mahkamah telah memutuskan, pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan elemen-elemen penting pertuduhan sekaligus suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. Pihak pendakwaan juga gagal membujuk Mahkamah melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan yang ada bagi membolehkan anggapan di bawah Seksyen 37(k) ADB 1952 diguna pakai terhadap Tertuduh. Oleh yang demikian, di akhir pendakwaan ini, Tertuduh adalah wajar untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri. Disediakan oleh AHMAD SYAFIQ AIZAT BIN NAZRI Majistret Mahkamah Majistret (2) Kota Bharu Kelantan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.